ucapan belanjawan tahun 2001 oleh y.a.b. datuk … filepada hari jumaat, 3 november 2000 tuan...
TRANSCRIPT
1
UCAPAN BELANJAWAN TAHUN 2001 OLEH
Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA OSU HJ. SUKAM KETUA MENTERI/MENTERI KEWANGAN SABAH DI PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI
PADA HARI JUMAAT, 3 NOVEMBER 2000
Tuan Speaker,
Dengan penuh hormat, saya mohon membentangkan
Belanjawan Negeri bagi Tahun 2001 untuk kelulusan
Dewan Yang Mulia ini.
2. Marilah kita bersama-sama mengangkat kesyukuran
ke hadrat Illahi kerana dengan limpah rahmat dan izin-
Nya, kita dapat berada di Dewan Yang Mulia ini untuk
menunaikan amanah dan tanggungjawab demi
kepentingan negeri khususnya dan negara umumnya.
Belanjawan Negeri bagi tahun 2001 menandakan
bermulanya pelaksanaan Rancangan Malaysia Kelapan
(RMKe-8). Tahun pertama RMKe-8 ini menyediakan
peluang keemasan kepada kita untuk memberikan nafas
baru terhadap usaha-usaha memperkukuhkan lagi
momentum pertumbuhan ekonomi yang telah berjaya
dipulihkan.
2
3. Namun kita perlu mengadakan anjakan paradigma
kerana kita terpaksa mengambilkira dan menyesuaikan
strategi dengan realiti suasana ekonomi dunia hari ini.
Suasana ekonomi dunia sedang mengalami perubahan
yang ketara. Faktor utama yang menjadi penentu
kejayaan ekonomi dewasa ini, dan pada masa depan,
bukan lagi modal wang atau sumber material, tetapi ilmu
pengetahuan. Inilah yang dimaksudkan dengan K-
ekonomi. Perubahan ini berlaku dalam konteks proses
globalisasi dan liberalisasi yang dipecut oleh teknologi
canggih, terutamanya teknologi maklumat dan komunikasi
(ICT). Hal hakikat ini sekaligus menuntut peningkatan dan
pembangunan sumber tenaga manusia, bukan sahaja dari
segi kuantiti tetapi juga dari segi kualiti. Hasrat kita bukan
setakat menjadi pengguna teknologi tetapi kita mesti turut
menjadi penjana teknologi. Inilah budaya yang menjadi
asas kepada pembangunan tamadun. Anjakan baru ini
akan memandu kita untuk terus melangkah mara ke
hadapan dalam memenuhi agenda meningkatkan taraf
hidup rakyat agar dapat mengecapi kualiti kehidupan yang
lebih bahagia dan selesa. Untuk itu, kita terpaksa
bersedia menghadapi cabaran-cabaran baru menerusi
sistem pengurusan yang lebih profesional dan strategik,
serta bertindak secara lebih bijaksana dan efisyen. Kita
tidak seharusnya terlalu ghairah membesar-besarkan
3
rekod kejayaan yang lalu, walaupun memang perlu untuk
pengetahuan umum. Apa yang lebih penting, ialah
keupayaan kita dipelbagaikan dan dipertingkatkan lagi
supaya sumber-sumber yang ada diuruskan dengan lebih
efisyen dan produktif di samping menghasilkan khidmat
dan produk baru. Untuk mencapai matlamat ini, kita harus
menyiapkan diri dan berani menangani cabaran
globalisasi dan liberalisasi. Belanjawan 2001 Negara
dengan tumpuan menggerakkan negara ke arah ekonomi
berasaskan pengetahuan (K-ekonomi) jelas menuntut
perubahan drastik di kalangan rakyat. Setiap golongan
rakyat termasuklah di negeri ini tidak dapat
mengecualikan diri daripada menerima K-ekonomi, kerana
dengan meminggirkan diri daripada hakikat ini, mereka
akan pasti ketinggalan dalam menikmati faedah daripada
ekonomi baru abad ke-21 ini. Dengan itu, rakyat perlu
bersama-sama memperlengkapkan diri dengan kemahiran
dan kebolehan baru.
Tuan Speaker,
4. Kaedah pengendalian sumber-sumber kekayaan
negeri pada abad ke-21 ini, memerlukan perancangan dan
pengurusan yang lebih dinamik. Dalam konteks ini,
terdapat enam bidang teknologi baru yang pasti akan
4
mencorakkan ciri-ciri proses perancangan dan
pengurusan ekonomi, iaitu mikroelektronik,
pengkomputeran, telekomunikasi, kreativiti manusia,
robotik dan bioteknologi yang saling bertalian di antara
satu sama lain. Rangkaian teknologi canggih ini pasti
menguasai dan melahirkan bidang-bidang baru yang
membawa perubahan besar atau mempergiatkan semula
industri-industri lama dalam bentuk baru. Inilah
permulaan ledakan era pembangunan ekonomi dan
kekayaan yang berasaskan ilmu-pengetahuan.
Kebangkitan nafas baru dalam perkembangan ilmu-
pengetahuan ini merupakan daya kekuatan terbaru yang
harus kita sama-sama hayati sedalam-dalamnya dan
berusaha menerokainya serta memanfaatkannya dalam
kehidupan kita. Atas kesedaran inilah, maka Kerajaan
Negeri telah mengorak langkah bijaksana dengan
melancarkan pengurusan elektronik melalui Sabah Net,
yang bertalian dengan industri berasaskan ilmu-
pengetahuan. Sudah tentulah usaha yang lebih luas dan
gigih diperlukan bagi mewujudkan suasana persekitaran
yang boleh menggalakkan perkembangannya secara
merata di kalangan rakyat untuk menyumbang ke arah
peningkatan produktiviti dan seterusnya pertumbuhan
negeri ini dalam semua aspek pembangunan. Langkah ke
arah ini juga telah dimulakan dengan pemakaian Rangka
5
Rancangan Jangka Panjang Sabah (RRJPS). Matlamat
serta strategi-strategi RRJPS telah menjadi teras kepada
dasar dan belanjawan negeri ini pada tahun-tahun
berikutnya. Strategi-strategi sedemikian telahpun
digariskan dalam dasar belanjawan tahunan di sepanjang
pelaksanaan RMKe-7 dan akan terus memandu
pelaksanaan RMKe-8, tetapi dengan pendekatan dan
nafas baru.
Tuan Speaker,
5. Oleh yang demikian, untuk membina pengurusan
yang lebih cekap ke arah mencapai prestasi cemerlang
yang diharapkan, Kerajaan bertekad untuk memberikan
tumpuan terhadap tiga strategi yang akan diterapkan di
sektor awam melalui Belanjawan Negeri tahun 2001, iaitu:
(i) mengemaskinikan peranan dan tanggungjawab
dalam membuat keputusan;
(ii) melicinkan proses menjalankan kuasa
berdasarkan kebijaksanaan tanpa mengorbankan
akauntabiliti; dan
6
(iii) meningkatkan keupayaan di samping bersedia
untuk menyusun semula keutamaan serta
peruntukan sumber-sumber, di mana wajar.
6. Dalam tahun 70-an dan 80-an, negeri Sabah
terkenal dengan kekayaan sumber asli, khususnya dalam
sektor perhutanan, tanah subur yang luas dan sumber
galian. Tetapi, akibat daripada kelemahan penyelarasan
di kalangan pembuat dasar dan juga di peringkat
pelaksana serta wujudnya jurang atau ketidak sehaluan di
antara ketetapan dasar dengan perancangan, belanjawan
dan proses pelaksanaan, ditambah lagi oleh masalah
kekurangan tenaga pekerja mahir dan bukan mahir, di
samping penggunaan teknologi yang rendah dan masalah
lain, maka perkembangan ekonomi negeri ini menjadi lesu
tidak bermaya. Walaupun kita tidak dapat menafikan
pelbagai program pembangunan telah dilaksanakan oleh
Kerajaan-Kerajaan Negeri yang lalu, namun apa yang
dapat dilihat pada hari ini ialah negeri Sabah masih
ketinggalan dari segi kemudahan infrastruktur utama.
Walaupun demikian, sejak Barisan Nasional menerajui
Kerajaan Negeri ini, tanda-tanda positif tentang halatuju
pembangunan negeri ini telah mula dapat dilihat.
Antaranya, Kerajaan telah menunjukkan komitmen yang
bersungguh-sungguh dan berupaya memperlihatkan
7
kejayaan dalam pelaksanaan beberapa program
pembangunan jangka sederhana dan panjang. Ini
bertujuan memenuhi permintaan yang sentiasa
meningkat dan kerana itu menuntut pertambahan kapasiti
pengeluaran dari masa ke semasa. Sebagai contoh,
pelaksanaan projek-projek bekalan air khususnya
pembinaan empangan air Babagon dan bekalan air luar
bandar; pembinaan jalanraya Beaufort-Sipitang, Kota
Kinabalu-Kota Belud dan Tandek-Pitas; adalah di antara
keperluan asas kehidupan rakyat serta keperluan
penting sektor ekonomi, yang sekian lama menjadi
masalah, telah dapat digerakkan dengan sewajarnya.
Begitu juga dengan pelaksanaan infrastruktur ekonomi
menerusi ‘Kota Kinabalu Industrial Park’ (projek KKIP)
yang merupakan salah satu daripada program yang
berorientasikan anjakan baru.
Tuan Speaker,
7. Di samping memberikan keutamaan terhadap
pembangunan sektor ekonomi, pembangunan sosial tetap
terus diberikan perhatian yang wajar, khususnya melalui
pembangunan kawasan luar bandar yang bertujuan
mengatasi gejala kemiskinan. Tumpuannya adalah
kepada kegiatan-kegiatan ekonomi yang boleh menjana
8
pendapatan yang stabil dan lumayan di kalangan rakyat.
Prasarana luar bandar yang semakin baik, dan kewujudan
persekitaran yang menggalakkan memberikan ruang dan
peluang kepada rakyat termasuk para belia dan
beliawanis, untuk menceburkan diri dalam bidang-bidang
perniagaan dan perusahaan. Pendekatan yang diambil
oleh Kerajaan ialah dengan memberikan dorongan melalui
program latihan motivasi dan kemahiran. Pendekatan
baru ini diharap akan dapat memastikan yang
perbelanjaan awam benar-benar dapat mencapai
matlamat yang dirancang dan sumber-sumber awam
diurus secara berhemat bagi manfaat rakyat.
Persekitaran Ekonomi
Tuan Speaker,
8. Ekonomi dunia dijangka bergerak ke hadapan
dengan tenaga dan keyakinan baru dalam dua tahun
pertama pada alaf baru ini. Tanda-tanda ini dapat dilihat
melalui beberapa petunjuk positif, seperti kekuatan
kedudukan ekonomi Amerika Syarikat yang berterusan,
perkembangan pesat ekonomi di Eropah, pemulihan padu
ekonomi di Asia, pemulihan semula ekonomi di Jepun,
kedudukan pelaburan dunia yang semakin pesat, di
9
samping wujudnya kebebasan perdagangan serta
fenomena ‘e-commerce’. Dengan kedudukan krisis mata
wang Asia 1997/1998 yang telah berlalu, maka ekonomi
dunia dijangka berkembang pada kadar 4.7 peratus pada
tahun 2000, dan ini dijangka dapat bertahan pada kadar
4.2 peratus pada tahun 2001 selepas mencatat kadar 3.4
peratus pada tahun lalu.
9. Amerika Syarikat sebagai kuasa ekonomi terbesar
dunia dijangka akan terus berkembang pada tahun ini
dengan kadar pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus dan
dijangka akan menurun kepada kadar 3.2 peratus pada
tahun 2001, walaupun dasar makroekonomi negara itu
digunakan untuk mengawal impak penurunan yang
dialami. Kepesatan yang berterusan dalam pertumbuhan
ekonomi Amerika Syarikat berkaitrapat dengan
peningkatan produktiviti, iaitu hasil daripada peningkatan
penggunaan teknologi. Hal ini mendorong sesetengah
pihak membuat kesimpulan bahawa Amerika Syarikat kini
sedang mengalami dan menjadi peneroka ekonomi baru,
yakni K-ekonomi. Walaupun demikian, dengan pemulihan
ekonomi yang sedang berlaku di negara-negara lain di
dunia, Amerika Syarikat perlu memastikan bahawa
pengembangan tersebut boleh dikawal dan
dipertahankan.
10
10. Ekonomi Jepun dijangka pulih secara beransur-
ansur. Pertumbuhan KDNK diramal pada 1.4 peratus dan
1.8 peratus masing-masing dalam tahun 2000 dan 2001
berbanding 0.2 peratus pada tahun lalu.
11. Manakala di Eropah, pertumbuhan ekonominya
adalah teguh disebabkan permintaan domestik dan
eksport yang tinggi, iaitu kesan daripada matawang Euro
yang lemah. Kawasan Euro diramalkan mencatat
pertumbuhan 3.5 peratus pada tahun ini dan 3.4 peratus
pada tahun hadapan berbanding dengan 2.4 peratus pada
tahun lalu. Kesatuan German dijangka berkembang
sebanyak 2.9 peratus pada tahun 2000 dan 3.3 peratus
pada tahun 2001 berbanding dengan kadar 1.6 peratus
pada tahun lalu, manakala Peranchis pula diramalkan
berkembang pada 3.5 peratus pada tahun 2000 dan 2001
berbanding dengan 2.9 peratus pada tahun lalu.
Ekonomi Malaysia
Tuan Speaker,
12. Kita amat berbangga atas kejayaan negara kita
dapat keluar daripada belenggu kegawatan ekonomi, dan
11
kini berupaya meningkatkan maruah dan martabatnya
pada mata dunia. Ekonomi Malaysia terus menunjukkan
pengukuhannya. Kekuatan permintaan domestik,
dorongan fiskal dan suasana persekitaran yang positif
dalam ekonomi domestik dan kewangan terus menyokong
pertumbuhan dan penyatuan dalam pemulihan negara.
Perkembangan selanjutnya dalam pembaharuan
perbankan dan penstrukturan korporat dan juga
peningkatan prospek pekerjaan telah mengukuhkan
permintaan domestik. Pelaburan terus diperluas dengan
peningkatan yang ketara dalam pembentukan modal
kasar tetap sebenar (real gross fixed capital formation)
dari segi pelaburan baru dan juga dari segi meningkatkan
keupayaan yang sedia ada dalam memenuhi permintaan
yang tinggi.
13. Dasar-dasar kewangan dijangka terus memberikan
sokongan kepada pertumbuhan ekonomi. Tekanan inflasi
juga dijangka terus terkawal. Pertumbuhan eksport yang
kukuh dijangka dapat juga bertahan. Berdasarkan unjuran
Kerajaan, KDNK sebenar Malaysia dijangka berkembang
sebanyak 7.5 peratus pada tahun 2000 berbanding
dengan 5.8 peratus pada tahun lalu. Berdasarkan
strategi-strategi dalam pembentangan Belanjawan
negara bagi tahun 2001 yang telah dibentangkan pada 27
12
Oktober yang lalu, ekonomi negara dijangka mencatat
pertumbuhan 7.0 peratus pada tahun 2001.
Ekonomi Sabah
Tuan Speaker,
14. Pemulihan bagi kebanyakan rakan dagang negeri
adalah juga faktor penting yang membawa kepada
unjuran pertumbuhan dalam ekonomi Sabah yang
berasaskan eksport. Pertumbuhan keluaran Dalam
Negeri Kasar (KDNK) bagi Negeri Sabah adalah
dianggarkan 4.3 peratus dalam tahun 1999 berbanding
dengan penguncupan yang dialami pada tahun-tahun
sebelumnya. Perkembangan ini pada amnya adalah hasil
daripada pemulihan ekonomi Asia dan Malaysia selepas
kejatuhan matawang pada tahun 1997 dan 1998.
Pertanian dan penternakan, perlombangan dan kuari terus
menjadi jentera pertumbuhan yang utama dalam ekonomi
Sabah. Gabungan kedua-dua sektor ini menyumbangkan
lebih daripada 40 peratus KDNK sebenar negeri.
15. Dasar penggalakan perkembangan ekonomi
Kerajaan Persekutuan yang didampingi dengan langkah
melonggarkan kawalan modal telah membantu
13
memulihkan keyakinan pelabur dan perbelanjaan
pengguna di samping merangsang pembangunan
infrastruktur bagi negeri yang memerlukannya seperti
negeri Sabah. Perhubungan dan kerjasama yang
semakin erat di antara Kerajaan Pusat dengan Kerajaan
Negeri telah membawa pertambahan peruntukan
Persekutuan untuk pembangunan di negeri ini.
Tuan Speaker,
16. Dengan faktor-faktor yang telah saya nyatakan tadi
serta semangat yang positif, di samping peningkatan
penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi serta
jangkaan pengukuhan ekonomi Malaysia yang didorong
oleh, dengan izin, ‘current cyclical electronics boom’,
ekonomi negeri Sabah diramalkan akan mencatatkan
pertumbuhan yang menggalakkan pada kadar 4.5
peratus pada tahun ini dan meningkat kukuh kepada 5.0
peratus pada tahun 2001 berbanding dengan 4.3 peratus
pada tahun lalu.
17. Dalam tempoh lapan bulan yang pertama tahun ini,
Kerajaan Negeri dijangka terus mencatatkan lebihan yang
menggalakkan sebanyak RM1.21 billion dalam imbangan
14
perdagangannya. Dalam tempoh Januari hingga Ogos
tahun ini, eksport telah bertambah sebanyak 3.1 peratus,
iaitu bernilai RM8.53 billion berbanding dengan RM8.27
billion dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.
18. Bidang pertanian akan terus menjadi penggerak
utama pertumbuhan ekonomi negeri ini, walaupun dalam
keadaan yang agak perlahan memandangkan adanya
tekanan harga komoditi di pasaran antarabangsa. Dalam
tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, jumlah eksport
keluaran minyak sawit telah meningkat sebanyak 15.3
peratus, iaitu 1.70 juta ton berbanding dengan 1.48 juta
ton dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.
19. Sektor perlombongan dan kuari dijangka didorong
oleh harga minyak di pasaran dunia. Dalam tempoh lapan
bulan pertama tahun ini, jumlah eksport petroleum mentah
dicatatkan pada kadar 2.2 peratus, iaitu meningkat kepada
2.84 juta ton daripada 2.78 juta ton bagi tempoh yang
sama tahun lalu. Nilai eksport juga meningkat sebanyak
91.2 peratus, iaitu bernilai RM2.20 billion daripada
RM1.15 billion.
Tuan Speaker,
15
20. Sektor perkhidmatan dan pelancongan juga dijangka
menjadi penyumbang utama dalam KDNK Sabah. Ini
ditunjukkan melalui pertambahan yang ketara dalam
bilangan ketibaan di Negeri ini, iaitu dalam tempoh lapan
bulan pertama tahun ini, pertambahan sebanyak 56.3
peratus, iaitu 409,851 ketibaan berbanding dengan
262,158 ketibaan dalam tempoh yang sama pada tahun
lalu. Ini disebabkan oleh pertambahan pengunjung
domestik dari negeri-negeri di Malaysia dan pelawat asing
yang masing-masing mencatat pertambahan 248.0
peratus dan 17.1 peratus dalam tempoh lapan bulan
pertama tahun ini.
21. Bidang perkilangan, iaitu salah satu sektor yang
dilanda krisis ekonomi, dijangka akan bertambah baik
dengan adanya suasana perkembangan ekonomi negara
yang sihat. Angka eksport bagi komoditi perkilangan yang
utama menunjukkan perubahan pemulihan yang positif.
Dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, jumlah
eksport kayu bergergaji meningkat sebanyak 11.2 peratus,
lapisan veneer sebanyak 3.7 peratus, ‘wooden mouldings’
sebanyak 8.3 peratus, methanol sebanyak 65.6 peratus
dan HBI sebanyak 14.2 peratus. Walau bagaimanapun,
16
papan lapis telah mencatatkan penurunan jumlah eksport
sebanyak 3.3 peratus dalam tempoh yang sama.
22. Dalam pada itu, hasil perhutanan dan pembalakan
dijangka menurun, walaupun hanya dengan kadar yang
rendah. Kerajaan Negeri akan terus mematuhi ‘annual
coupe’ untuk pembalakan daripada hutan simpan kekal;
dan usaha akan dipertingkatkan untuk menjaga serta
mengawal baki hutan tropika daripada aktiviti pembalakan
yang berlebihan dan juga pembalakan haram.
Pengeluaran permit pembalakan akan diberhentikan buat
sementara. Pengeluaran balak bagi tahun 2000 ini
dijangka di sekitar 3.0 juta meter padu, sama dengan
kedudukannya pada tahun lalu. Dalam tempoh lima bulan
pertama tahun ini, pengeluaran balak mencapai 1.24 juta
meter padu. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 19.0
peratus berbanding dengan angka tahun lalu, iaitu 1.04
juta meter padu dalam tempoh pemerhatian yang sama.
23. Kerajaan Negeri juga berhasil mengawal tekanan
inflasi melalui beberapa strategi sejajar dengan dasar-
dasar negara. Dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun
ini, indeks harga pengguna Sabah telah meningkat sedikit
sebanyak 0.4 peratus, iaitu 115.6 berbanding dengan
115.1 dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.
17
Kerajaan Negeri akan terus memastikan bahawa kadar
inflasi berada pada tahap yang rendah.
Anggaran Hasil
Tuan Speaker,
24. Hasil sebenar yang dipungut pada penghujung tahun
1999 berjumlah RM1,258.01 juta, menunjukkan
peningkatan sebanyak 3.7 peratus berbanding dengan
anggaran asal. Dengan mengambilkira senario semasa,
sasaran hasil tahun ini yang berjumlah RM1,345.36 juta
dijangka menunjukkan peningkatan sebanyak 1.16
peratus, iaitu RM1,361.03 juta. Manakala hasil negeri
bagi tahun 2001 dianggarkan berjumlah RM1,236.77 juta.
25. Sebagaimana yang diumumkan dalam belanjawan
tahun 2000, duti kastam merupakan penyumbang terbesar
kepada hasil negeri iaitu dianggarkan sebanyak
RM290.080 juta atau 21.56 peratus. Sebahagian besar
dariapda jumlah itu diperolehi melalu pungutan duti import
dan eksais bagi barangan petroleum. Walau
bagaimanapun jangkaan hasil daripada sumber ini tidak
dapat dicapai akibat daripada pemansuhan duti import
dan eksais bagi barangan petroleum yang berkuatkuasa
18
mulai 1 Januari 2000. Ini adalah sejajar dengan komitmen
Kerajaan Malaysia di bawah Kawasan Dagangan Bebas
ASEAN (AFTA).
Tuan Speaker,
26. Sebagai mendokong dasar negara, Kerajaan Negeri
telah bersetuju terhadap pemansuhan duti import dan
eksais bagi barangan petroleum dengan pendirian
bahawa Item I dalam Bahagian V di bawah Jadual 10
Perlembagaan Persekutuan tidak dimansuhkan. Kerajaan
Negeri akan terus memperolehi hasil bagi menggatikan
item ini, iaitu melalui pampasan yang dibayar oleh
Kerajaan Persekutuan. Untuk tahun ini, Kerajaan
Persekutuan dijangka akan membayar bayaran interim
sebanyak RM150.0 juta kepada Kerajaan Negeri.
27. Perlu diterangkan di sini bahawa walaupun tanpa
pemansuhan duti import dan eksais barangan petroleum,
pungutan hasil daripada kastam tahun ini akan terus
berkurangan. Dengan kenaikan harga minyak, Kerajaan
Persekutuan terpaksa memberikan subsidi yang besar ke
atas barangan petroleum, iaitu dengan memberikan kadar
pengecualian maksimum bagi membolehkan rakyat
menikmati harga yang rendah dalam dua keluaran utama
19
petroleum, iaitu petrol dan diesel. Oleh yang demikian,
tidak ada kemungkinan yang Kerajaan Negeri dapat
memungut purata RM200 juta melalui duti kastam seperti
tahun-tahun lalu. Walau bagaimanapun, untuk tahun
2000, hasil yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan
bagi menggantikan duti import dan eksais bagi barangan
petroleum masih lagi dikira sebagai hasil kastam. Pada
tahun 2001, hasil daripada kastam hanya terhad kepada
duti eksport bagi kayu balak dan hasil-hasil hutan sahaja.
Tuan Speaker,
28. Seperti yang dinyatakan sebentar tadi bahawa
anggaran hasil bagi tahun 2001 turun sebanyak 9.13
peratus, berbanding anggaran hasil disemak bagi tahun
2000. Kerajaan Negeri berharap yang tren penurunan
hasil negeri akibat daripada penurunan hasil hutan,
dapat diatasi menerusi Enakmen Cukai Jualan Negeri
Tahun 1998. Malangnya, pungutan cukai jualan daripada
minyak sawit mentah hanya dapat bertahan untuk suatu
tempoh yang sangat singkat akibat daripada faktor-faktor
di luar kawalan Kerajaan. Sebagaimana yang telah
ditetapkan, cukai jualan sebanyak RM50.0 untuk seton
metrik akan hanya dipungut apabila harga pasaran minyak
sawit mentah mencapai RM1,000 seton metrik. Bermula
20
pada bulan Julai tahun ini, cukai jualan ini tidak dapat
dilakukan kerana harga pasaran jatuh di bawah paras
RM1,000 seton metrik. Oleh itu, selain daripada RM60
juta yang telah dipungut, sasaran pungutan sehingga
pada penghujung tahun ini sukar dicapai. Dipercayai yang
keadaan ini akan berterusan kerana terdapat stok yang
tinggi, diikuti dengan pertambahan pengelauran dan
penurunan permintaan eksport. Oleh yang demikian
hanya tanda peruntukan sebanyak RM10.0 dicatatkan
untuk item ini pada tahun hadapan.
29. Dijangka yang Kerajaan Pusat akan menjadi
penyumbang hasil terbesar sebanyak RM344.29 juta atau
27.8 peratus bagi anggaran hasil tahun 2001. Dibawah
kelas hasil ini, satu item baru telah diperkenalkan.
Kerajaan Negeri telah meminta pampasan tahunan yang
kekal untuk menggantikan kehilangan hasil daripada duti
import dan eksais bagi barangan petroleum bermula
daripada RM200 juta. Untuk tahun 2001, adalah dijangka
Kerajaan Persekutuan akan membuat pembayaran
berjumlah RM250.0 juta sebagai pampasan. Manakala
baki sebanyak RM94.29 juta di bawah kelas ini akan
merangkumi sumbangan tahunan biasa daripada
Kerajaan Persekutuan seperti Pemberian Mengikut Kiraan
Kepala, Pemberian Khas, Pemberian Pertambahan Hasil;
21
Pemberian Bagi Membiayai Perbelanjaan Pengurusan
bagi Jabatan-jabatan di Bawah Senarai Bersama dan
sebagainya.
30. Hasil daripada tanah dan hutan menjadi
penyumbang kedua terbesar kepada hasil negeri tahun
2001 dengan anggaran sebanyak RM241.03 juta bagi
tanah dan RM241.25 juta bagi hutan. Hasil tahunan
daripada tanah telah bertambah baik sejak tahun 1997.
Untuk tahun 2000, pungutan dijangka melebihi RM200
juta mencapai hasil disemak yang dianggarkan sebanyak
RM241.1 juta. Jumlah ini menunjukkan peningkatan
sebanyak 105 peratus berbanding dengan pungutan hasil
tanah yang sebenar bagi tahun 1999 dengan jumlah
RM117.43 juta. Adalah diharapkan yang momentum ini
dapat dikekalkan dengan adanya kerjasama daripada
orang awam bagi mencapai anggaran hasil tanah
RM241.03 juta pada tahun 2001.
Tuan Speaker,
31. Hasil hutan bagi tahun 2001 dianggarkan berjumlah
RM241.25 juta. Jumlah ini berkurangan sebanyak 19.50
peratus berbanding dengan anggaran hasil disemak bagi
tahun 2000 yang berjumlah RM300.00 juta. Ini adalah
22
kerana rancangan pembalakan telah dikurangkan
daripada 3 juta meter padu dalam tahun 2000 kepada 2.4
juta meter padu sahaja dalam tahun 2001. Justeru, royalti
balak dijangka lebih rendah, iaitu dianggarkan sebanyak
RM161.84 juta pada tahun 2001 berbanding dengan
anggaran disemak bagi tahun 2000 yang berjumlah
RM267.01 juta. Sehubungan dengan ini, keadaan industri
pembalakan masakini jauh berbeza daripada dahulu di
mana Sabah pada ketika itu amat kaya dengan sumber
perhutanan. Pada tahun 1978 dan 1987 pembalakan
telah dibuat secara berleluasa hingga mencapai tahap
pengeluaran yang paling tertinggi, iaitu masing-masing
pada 13.28 juta padu meter dengan pungutan hasil
sebanyak RM510.30 juta dan 12.0 juta padu meter
dengan hasil sebanyak RM1,000.70 juta. Keghairahan
membalak pada masa itu gagal mengambilkira keperluan
perancangan masa depan, maka masalah kekurangan
kemudahan asas infrastruktur amat dirasai sekarang ini.
Walau bagaimanapun, Jabatan Perhutanan meramalkan
hasil yang lebih tinggi bagi dua item yang lain, iaitu
premium bagi balak bulat dan yuran bagi pemuliharaan
hutan yang masing-masing berjumlah RM60.77 juta dan
RM10.129 juta. Hasil daripada premium bagi balak bulat
dianggarkan lebih tinggi pada tahun 2001. Ini adalah
kerana Yayasan Sabah yang bertanggungjawab
23
menghasilkan 50 peratus daripada pengeluaran balak
tidak diberi pengecualian daripada pembayaran premium.
Berikutan dengan kelulusan Kerajaan Negeri bagi
Pembangunan Perladangan Pokok Perindustrian
(Industrial Tree Plantation) ITP, pungutan hasil daripada
yuran pemuliharaan hutan dijangka akan meningkat.
Tuan Speaker,
32. Hasil daripada royalti minyak adalah dianggarkan
berjumlah RM134.59 juta atau 10.88 peratus daripada
jumlah hasil negeri bagi tahun 2001. Harga bagi
petroleum mentah telah meningkat ke tahap yang paling
tinggi pada tahun ini. Ini membolehkan hasil daripada
item ini disemak lebih tinggi, iaitu daripada RM109.350
juta kepada RM170.00 juta bagi tahun 2000. Terdapat
rancangan bahawa negara-negara OPEC dan Amerika
Syarikat bersedia untuk menambah pengeluaran minyak
bagi menstabilkan pasaran antarabangsa agar harga
petroleum mentah turun kepada tahap yang lebih
munasabah pada tahun hadapan. Dengan keadaan ini,
jumlah pungutan hasil yang rendah dengan jumlah
RM134.59 juta adalah dijangka pada tahun hadapan.
Tuan Speaker,
24
33. Hasil daripada penjualan air merupakan item yang
penting dalam menyumbang hasil kepada Kerajaan
Negeri. Bagi tahun 2001, hasilnya dianggarkan sebanyak
RM80.7 juta. Jumlah ini meningkat sebanyak 32.8
peratus berbanding anggaran disemak bagi tahun 2000
yang berjumlah RM60.77 juta. Kerajaan Negeri telah
menyediakan segala kemudahan untuk membolehkan
Jabatan Air bertindak dengan lebih efisyen dan efektif
dalam pemungutan hasil daripada jualan air.
Penyemakan ke atas undang-undang dan peraturan
berhubung dengan perkara-perkara air sedang dalam
proses pelaksanaan, yang akan memberikan penekanan
ke atas penguatkuasaan bagi mengawal kehilangan hasil
air. Orang ramai diseru supaya menyelesaikan
pembayaran bil air dan mengelak daripada
penyambungan air secara haram, kerana ini merupakan
tindakan yang jelas menyalahi undang-undang.
34. Selain itu, hasil berasaskan “pungutan, dividen dan
faedah” dijangka dapat memberikan sumbangan
sebanyak RM69.81 juta. Ini menunjukkan penurunan
sedikit, sebanyak 3.26 peratus berbanding dengan jumlah
yang disemak sebanyak RM72.16 juta pada tahun 2000;
iaitu kesan daripada penurunan hasil faedah akibat
25
penurunan pinjaman kepada agensi-agensi awam. Oleh
kerana kadar faedah di pasaran untuk deposit adalah
rendah dan dijangka kekal pada tahun hadapan, maka
hasil daripada baki tunai dan deposit Kerajaan Negeri
tidak banyak berubah.
35. Pada tahun lalu Kerajaan Negeri telah
mengumumkan pengenaan cukai jualan bagi jualan tiket
loteri. Jangkaan pungutan sebanyak RM45 juta daripada
cukai jualan ini diramalkan dapat dicapai dan dengan yang
demikian anggaran disemak untuk tahun ini dikekalkan
pada RM45 juta. Adalah dijangka jumlah yang sama
akan diperolehi pada tahun 2001.
36. Item hasil yang lain bagi tahun hadapan merangkumi
Lesen dan Hasil Dalaman sebanyak RM2.66 juta.
Kutipan hasil daripada Perkhidmatan Kerajaan yang
tertentu sebanyak RM1.82 juta, Keretapi RM1.20 juta,
Sewa bagi Bangunan Kerajaan RM18.99 juta, Pelabuhan
dan Dermaga RM1.59 juta dan Pelbagai RM53.81 juta.
Perbelanjaan Perbekalan
Tuan Speaker,
26
37. Anggaran Perbelanjaan Perbekalan yang
dicadangkan bagi tahun 2001 sejumlah RM1,236.13 juta
adalah menurun sebanyak 8.77 peratus berbanding
dengan anggaran disemak RM1,355.03 juta bagi tahun
2000. Daripada jumlah ini sebanyak RM406.65 juta
adalah untuk emolumen, RM361.38 juta disediakan untuk
Perbelanjaan Berulang dengan sebanyak RM468.10 juta
untuk Perbelanjaan Khas. Peruntukan untuk emolumen
sebanyak RM406.65 juta menunjukkan pertambahan
sebanyak RM27.12 juta atau 7.14 peratus. Pertambahan
ini mengambilkira kenaikan 10 peratus gaji bagi
anggota-anggota perkhidmatan awam dan juga kenaikan
gaji biasa. Seterusnya, peruntukan sebanyak RM361.38
juta adalah untuk Perbelanjaan Berulang, menunjukkan
pengurangan kecil sebanyak 0.98 peratus dibandingkan
dengan anggaran yang disemak sejumlah RM364.99 juta
pada tahun 2000. Manakala Perbelanjaan Khas adalah
sebanyak RM468.10 juta, termasuk caruman kepada
Kumpulan Wang Amanah serta urusan-urusan lain untuk
kepentingan awam.
Tuan Speaker,
38. Anggaran yang dicadangkan bagi perbelanjaan
pengurusan untuk Kementerian Kewangan bagi tahun
27
2001, adalah sebanyak RM295.83 juta. Daripada jumlah
ini sebanyak 55.09 peratus adalah untuk sumbangan
kepada Kumpulan Wang Berkanun, iaitu sebanyak
RM150.00 juta dicarum kepada Kumpulan Wang
Pembangunan dan RM13.00 juta kepada Kumpulan Wang
Pinjaman. Sejumlah RM109.55 juta lagi diperuntukkan
kepada Perbelanjaan Am Perbendaharaan.
Perbelanjaan-perbelanjaan ini termasuklah pelaburan
ekuiti dalam Sabah Electricity Sdn. Bhd., sebanyak
RM35.00 juta, dan penyewaan kenderaan swasta
RM15.00 juta. Manakala sejumlah RM23.27 juta
disediakan untuk membiayai keperluan perbelanjaan
pengurusan bagi Kementerian Kewangan, Jabatan
Bendahari Negeri dan Jabatan Perkhidmatan Komputer.
Kerajaan Negeri juga akan terus menyediakan peruntukan
kepada badan-badan keagamaan bukan Islam dan
bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah. Perlu
dinyatakan di sini bahawa walaupun hasil negeri terhad,
namun rancangan pelaksanaan program-program
pembangunan akan dapat diteruskan; melalui pembiayaan
daripada sumbangan khas Persekutuan dan kemudahan-
kemudahan pinjaman. Penggunaan sumber kewangan ini
akan diuruskan berasaskan keutamaan, khususnya untuk
pembangunan infrastruktur ekonomi.
28
39. Jabatan Ketua Menteri yang meliputi, antara lain,
tanggungjawab yang penting, ke atas Perhutanan, Tanah
dan Ukur, Perkhidmatan Awam Negeri, Pengajian Tinggi,
Pencetakan, Hal Ehwal Agama Islam, Perhubungan
Negeri dan Hal Ehwal Keselamatan Negeri, diperuntukkan
sebanyak RM224.49 juta. Sebahagian besar daripada
peruntukan ini untuk membiayai kos operasi bagi Jabatan
Ketua Menteri sebanyak RM41.60 juta; RM50.63 juta
adalah untuk Jabatan Perhutanan; RM45.62 juta untuk
Jabatan Tanah dan Ukur, sebanyak RM43.52 juta
disediakan untuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri
Sabah dan seterusnya RM33.17 juta untuk Jabatan
Perkhidmatan Awam Negeri untuk menguruskan
perolehan tenaga mahir melalui pengajian tinggi dengan
pemberian biasiswa di samping menerajui program
‘reinventing government’ (RG) dalam sektor Awam.
40. Kementerian Pembangunan Infrastruktur yang
merangkumi beberapa buah Jabatan seperti Jabatan
Kerja Raya, Jabatan Air, Jabatan Keretapi, Jabatan
Pelabuhan dan Dermaga diperuntukkan sebanyak
RM328.39 juta untuk tahun 2001. Daripada jumlah ini,
sebanyak RM156.02 juta diperuntukkan kepada Jabatan
Air, RM148.83 juta untuk Jabatan Kerja Raya, RM10.46
juta untuk Jabatan Pelabuhan dan Dermaga; RM10.16
29
juta untuk Jabatan Keretapi Negeri dan baki sebanyak
RM2.91 juta untuk perbelanjan pejabat Kementerian
berkenaan.
41. Kementerian Pembangunan Pertanian dan Industri
Pemakanan berserta beberapa Jabatan dan Agensi di
bawahnya akan diperuntukkan sebanyak RM126.65 juta.
Daripada jumlah ini sebanyak RM43.41 juta disediakan
untuk Jabatan Pengairan dan Saliran, RM9.62 juta untuk
Jabatan Perikanan, RM15.10 juta untuk Jabatan
Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak, RM40.18
juta lagi untuk Jabatan Pertanian dan RM18.33 juta untuk
empat buah agensi di bawahnya termasuk pejabat
Kementerian berkenaan. Adalah diharapkan agar dasar
pertanian negeri Sabah dapat berjalan dengan lebih
berkesan untuk mencapai matlamatnya, khususnya dalam
penghasilan produk-produk pertanian yang strategik ke
arah pengurangan import bahan makanan.
42. Sebanyak RM33.01 juta dicadangkan bagi
perbelanjaan pengurusan untuk Kementerian
Pembangunan Pelancongan, Alam Sekitar, Sains dan
Teknologi. Peruntukan ini bertambah sebanyak 9.34
peratus berbanding dengan peruntukan disemak
sebanyak RM30.19 juta pada tahun ini. Dengan kekayaan
30
alam semula jadi yang merangkumi warisan budaya dan
sumber alam sekitar, yang berpotensi melahirkan produk
baru negeri yang membanggakan, adalah diharapkan
Kementerian berkenaan akan dapat terus meransang
perkembangan sektor pelancongan dan industri
perkhidmatan di negeri ini. Selain daripada itu, negeri
Sabah kini tersenarai oleh para ahli sains sebagai salah
satu destinasi di dunia yang mempunyai khazanah
sumber alam dengan kepelbagaian biologi yang amat
unik. Dengan kecemerlangan pengurusan alam sekitar
yang diberikan keutamaan oleh Kerajaan, ini dapat
menjamin pembangunan dan penggunaan sumber-
sumber alam diurus secara lestari dan seimbang dengan
keperluan perlindungan dan konservasi alam sekitar.
43. Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal
Ehwal Pengguna dijangka menerima peruntukan
sebanyak RM75.07 juta, untuk meneruskan agenda sosial
sejajar dengan dasar masyarakat penyayang. Manakala
sejumlah RM35.57 juta diperuntukkan kepada
Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Adalah diharapkan agar Kementerian ini dapat
memainkan peranannya untuk memastikan Kuasa-kuasa
Tempatan di bawah kawalannya dapat mengukuhkan
kedudukan kewangan masing-masing tanpa
31
mengharpakan pemberian daripada Kerajaan di
sepanjang masa dalam melaksanakan urusan dan
tanggungjawab mereka.
44. Kemajuan sukan dan pembangunan belia adalah
penting dalam pembangunan masyarakat yang
berdisiplin, sama seperti bidang-bidang pengurusan lain
dalam latihan kepimpinan dan bukannya untuk kesihatan
tubuh-badan semata-mata. Dengan ini sebanyak
RM22.92 juta adalah diperuntukkan untuk tahun hadapan.
Program-program belia yang dinamik akan dapat
membendung kegiatan-kegiatan yang tidak sihat yang
boleh mengancam perkembangan mental di peringkat
usia remaja. Dengan peningkatan peruntukan kepada
Kementerian berkenaan adalah diharapkan juga agar
persediaan awal atlit-atlit negeri akan berjaya
membuahkan hasil untuk merangkul Kejohanan SUKMA,
di mana Sabah akan menjadi tuan rumah pada tahun
2002. Sekaligus program ini dapat memberikan manfaat
kepada kegiatan pelancongan domestik.
Tuan Speaker,
45. Kementerian Pembangunan Perindustrian beserta
Jabatan di bawahnya akan mendapat peruntukan
32
pengurusan sebanyak RM4.71 juta. Manakala sebanyak
RM43.87 juta diperuntukkan kepada Kementerian
pembangunan Luar Bandar dan Keusahawanan agar
Kementerian ini dapat terus memain peranan
membangunkan ekonomi luar bandar, mewujud peluang-
peluang pekerjaan dan perniagaan, sekaligus
membanteras masalah kemiskinan. Jumlah ini termasuk
perbelanjaan pengurusan bagi semua daerah penuh dan
daerah kecil. Sebagai usaha untuk meningkatkan
kesedaran kepada masyarakat luar bandar berhubung
dengan teknologi maklumat dan komunikasi, Kerajaan
akan menyediakan peruntukan untuk program ‘internet’
bergerak pada tahun hadapan. Sementara itu
Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan
Teknologi Maklumat dan agensi di bawahnya akan
menerima sebanyak RM17.01 juta bagi membolehkan
Kementrian ini menampung perbelanjaan bagi latihan
kakitangan awam, program penempatan pekerjaan dan
aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pembangunan
dalam tenaga mahir dalam bidang yang diperlukan.
Sebanyak RM14.27 juta lagi akan disediakan bagi
memenuhi perbelanjaan Yang di-Pertua Negeri, Dewan
Undangan Negeri, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam
Negeri, Jabatan Peguam Besar Negeri dan Jabatan
Kehakiman Syariah Negeri.
33
Tuan Speaker,
46. Walaupun peringatan demi peringatan diberikan
melalui setiap dasar belanjawan, masih terdapat
kelemahan di kalangan sesetengah pegawai pengawal
dan juga di agensi-agensi Kerajaan dari segi disiplin
mematuhi peraturan kewangan dan pengawalan
penggunaan wang awam. Misalnya, keabaian
tanggungjawab ke atas kawalan penggunaan kenderaan
Kerajaan telah mengakibatkan Kerajaan menanggung
kos penyelenggaraan yang tinggi setiap tahun. Setiap
pengguna kenderana Kerajaan sepatutnya memelihara
kenderaan berkenaan sama seperti harta sendiri, iaitu
lebih cermat dan jimat. Demikian juga dalam mengawal
perbelanjaan bagi peralatan lain. Anggota-anggota awam
hendaklah meningkatkan keutuhan menerusi disiplin
kewangan, agar menjadi kebanggaan kepada
perkhidmatan awam dan seterusnya meyakinkan orang
awam.
Peranan Agensi-Agensi Awam
Tuan Speaker,
34
47. Kerajaan akan terus memberikan bantuan dan
galakan kepada sesetengah agensi-agensi awam yang
mendokong projek sosio-ekonomi. Sebanyak RM49.5 juta
diperuntukkan bagi tahun 2001. Jumlah ini bertambah
sebanyak 3.34 peratus berbanding dengan tahun ini, iaitu
sebnayak RM47.9 juta. Walau bagaimanapun kita perlu
mengadakan perubahan dari segi pendekatan.
Penglibatan sektor swasta yang lebih aktif dalam
menyediakan beberapa kemudahan dan perkhidmatan
yang sama menimbulkan masalah pertindihan dan
penggunaan sumber yang tidak efisyen. Cadangan
penyerapan kegiatan Yayasan Usaha Maju (YUM) ke
dalam Perbadanan Pinjaman Sabah pada tahun
hadapan akan memanfaatkan kedua-dua agensi dan
seterusnya, memantapkan kemudahan pinjaman mikro
bagi masyarakat luar bandar sejajar dengan dasar
masyarakat penyayang. Dasar ini akan terus memandu
proses penyatuan (consolidation) ke atas agensi-agensi
awam yang lain pada masa akan datang. Sehingga
penghujung tahun 1999 bayaran balik yang tertunggak
atas pinjaman negeri yang belum diselesaikan oleh
agensi-agensi awam ialah RM1.15 billion. Jumlah ini
amatlah tidak munasabah untuk terus dibiarkan. Justeru,
penstrukturan ke atas ekuiti dan hutang agensi-agensi
awam ini akan juga dilakukan untuk membolehkan
35
mereka terus berfungsi dan dalam entiti baru. Kerajaan
yakin yang agensi-agensi awam ini berperanan untuk
menggerakkan kegiatan ekonomi negeri.
Belanjawan Pembangunan 2001
Tuan Speaker,
48. Matlamat kembar ekonomi baru di bawah
Rancangan Malaysia Ketujuh (RMKe-7) akan diteruskan
di bawah Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), iaitu;
- mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dengan
kadar pertumbuhan yang tinggi; dan
- mengurangkan insiden kemiskinan dan
ketidakseimbangan dalam pembangunan ekonomi
di antara kawasan bandar dengan kawasan luar
bandar.
49. Belanjawan Pembangunan tahun 2001 sewajarnya
memberikan penekanan kepada matlamat kembar
tersebut. Dalam pemilihan projek dan peruntukan dana
pembangunan, pelbagai strategi pembangunan telah
diambilkira, seperti berikut:
36
- memperkukuh asas ekonomi dan menggalakkan
pelaburan asing;
- membangunkan infrastruktur dan kemudahan awam
di kawasan bandar dan luar bandar; dan
- memperbaiki taraf sosial dan kualiti hidup rakyat
terutama di kawasan luar bandar.
50. Secara khususnya, pembahagian peruntukan projek
dalam anggaran perbelanjaan pembangunan tahun 2001,
adalah berdasarkan kriteria berikut:
- keutamaan diberikan kepada projek sambungan dan
projek baru yang sedia dilaksanakan;
- projek berupaya menambah hasil Kerajaan dan
keuntungan dari segi pertukaran wang asing;
- projek infrastruktur yang menyumbang kepda
pertumbuhan di kawasan bandar dan luar bandar;
- program untuk membasmi kemiskinan; dan
- program/projek untuk membantu membangunkan
dan menggalakkan penyertaan bumiputera dan
wanita dalam pelbagai sektor ekonomi.
51. Di sepanjang pelaksanaan RMKe-7 dengan siling
peruntukan sebanyak RM3,242.59 juta, yang melibatkan
sejumlah 1,182 projek pembangunan, sebanyak
37
RM1,844.20 juta atau 56.87 peratus telah dibelanjakan
bagi empat tahun pertama tempoh tersebut. Daripada
jumlah projek itu 489 telah siap dilaksanakan manakala
381 sedang dalam tahap pelaksanaan dan 312 masih
dalam perancangan pelaksanaan. Bagi RMKe-8 siling
yang diluluskan ialah sebanyak RM3,754.77 juta. Jumlah
ini merupakan pertambahan sebanyak 15.79 peratus
daripada jumlah siling bagi RMKe-7, yang melibatkan
1,184 projek pembangunan, terdiri daripada 381 projek
sambungan dan 803 projek baru.
52. Dengan ini sejumlah RM516.59 juta telah
dicadangkan untuk peruntukan pembangunan tahun 2001.
Pada tahun pertama RMKe-8 jumlah ini adalah dikira
sederhana mengikut kapasiti pelaksanaan. Dari jumlah
ini, RM275.96 juta atau 53.42 peratus diperuntukkan untuk
projek sambungan, dan RM240.63 juta atau 46.58 peratus
untuk projek baru. Pengagihan bagi jumlah peruntukan
yang dicadangkan bagi sektor-sektor adalah seperti
berikut:
RM(Juta) %
Ekonomi 322.49 62.4
Sosial 153.47 29.7
38
Utiliti Pentadbiran 40.63 7.9
53. Daripada RM240.63 juta yang dicadangkan untuk
projek baru pada tahun 2001, RM143.91 juta atau 59.81
peratus adalah untuk sektor ekonomi, RM90.59 juta atau
37.65 peratus untuk sosial dan RM6.13 juta atau 2.54
peratus untuk pentadbiran. Untuk sektor ekonomi
sebanyak RM75.32 juta telah diperuntukkan untuk
Pertanian dan Pembangunan Tanah dan RM37.59 juta
untuk kemudahan-kemudahan infrastruktur awam. Di
antara komponen terbesar di bawah sektor sosial
RM41.00 juta adalah untuk pembangunan masyarakat
dan luar bandar, RM30.00 juta untuk kemudahan
pembangunan infrastruktur sukan dan RM16.70 juta untuk
pembangunan bandar dan perumahan awam. Sektor
perindustrian amat penting bagi pertumbuhan negeri.
Peruntukan sebanyak RM5.94 juta yang disediakan untuk
sektor ini akan ditokok tambah melalui sumber pinjaman
sejajar dengan pendekatan baru.
54. Saya ingin menarik perhatian Dewan Yang Mulia ini
bahawa dengan jumlah peruntukan yang dicadangkan,
Kerajaan akan terus memastikan agar perancangan
perlaksanaan program-program utama dalam agenda
pembangunan dapat berjalan dengan lancar.
39
Tuan Speaker,
55. Saya dengan penuh rasa yakin memaklumkan
bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan
sumbangan kepada Kerajaan Negeri seperti yang
dilakukan pada tahun-tahun lalu. Berdasarkan
Belanjawan Negara yang dibentangkan pada 27
Oktober baru-baru ini, sumbangan yang dikhaskan
untuk projek-projek pembangunan adalah berjumlah
sebanyak RM111.81 juta bagi tahun hadapan, iaitu
RM34.06 juta untuk imbuhan balik persekutuan dan
sebanyak RM77.76 juta sebagai pinjaman. Pembiayaan
menerusi imbuhan balik persekutuan merangkumi projek-
projek di bawah Jabatan-jabatan, iaitu Pengairan dan
Saliran RM12.54 juta, Pertanian RM14.24 juta dan
Perkhidmatan Haiwan RM7.28 juta. Manakala pinjaman
persekutuan adalah terdiri daripada projek KKIP
RM30.00 juta, pembangunan perumahan kos rendah
RM0.76 juta, sukan RM10.00 juta dan bekalan air
sebanyak RM37.00 juta.
56. Di samping itu program-program seperti jalanraya,
bekalan air, bekalan elektrik luar bandar dan lain-lain
kemudahan-kemudahan infrastruktur awam akan terus
40
dinikmati oleh rakyat di negeri ini. Peruntukan sebanyak
RM609.34 juta di bawah pengendalian Kerajaan
Persekutuan telah disediakan untuk maksud tersebut.
Sumbangan sedemikian besar membuktikan bahawa
rancangan pembangunan negeri ini sentiasa mendapat
perhatian yang wajar daripada pihak Kerajaan Pusat. Ini
juga menandakan kesanggupan serta keprihatinan
Kerajaan Pusat dalam pembangunan sosio-ekonomi yang
diperlukan oleh rakyat di negeri ini. Justeru, saya bagi
pihak Kerajaan Negeri merakamkan setinggi-tinggi
penghargaan kepada kepimpinan Kerajaan Pusat atas
sokongan moral dan kewangan yang berterusan.
Penutup
Tuan Speaker,
57. Betapa peri mustahaknya untuk kita memberikan
perhatian yang serius terhadap kesan belanjawan ke atas
prestasi ekonomi negeri dan peruntukan sumber dan cara
penggunaan sumber, oleh kerana untuk melangkah ke
RMKe-8, kita mahu menggelak daripada melakukan
sebarang kesilapan dalam membuat keputusan yang
boleh menjejaskan kepentingan rakyat dan negeri ini. Kita
perlu mempastikan penyelarasan yang licin di antara
41
perancangan dan ketetapan dasar dengan proses
pelaksanaan dan pengurusan belanjawan. Perlu disedari
bahawa prestasi ekonomi adalah dipengaruhi oleh
elemen-elemen berisiko luaran, ditambah dengan
ketidakpastian ekonomi dunia dan sistem kewangan yang
di luar kawalan Kerajaan. Pengalaman daripada krisis
kewangan di Asia pada tahun 1997 hingga 1998
mengingatkan kita semua bahawa krisis kewangan
mungkin akan berulang tanpa dapat diduga, lebih-lebih
lagi dalam era ini, iaitu era teknologi maklumat dan
komunikasi tanpa sempadan. Di samping itu, virus
komputer yang lebih berbahaya boleh muncul dan
memusnahkan kekayaan kebanyakan negara dalam masa
yang singkat. Dalam hubungan ini, berdasarkan
pengalaman krisis kewangan yang baru berlalu, adalah
penting untuk kita memiliki agenda ekonomi sendiri dan
lebih berdikari (self-reliance) serta mempunyai kekuatan
yang mampu bertahan daripada kesan-kesan negatif
ekonomi ‘baru’ yang berisiko tinggi. Dengan yang
demikian, struktur ekonomi semasa yang kita miliki
sekarang ini perlu segera diubahsuai supaya
berorientasikan ilmu-pengetahuan, semoga kita boleh
bersaing dan dapat meneruskan agenda kita dengan lebih
berwibawa dan mampan di tengah-tengah gelombang
globalisasi dunia baru.
42
58. Ahli-ahli Yang Berhormat, kita yang berada dalam
Dewan ini merupakan pemegang amanah rakyat, tempat
rakyat mengadu tentang kesulitan yang mereka hadapi
dalam hidup seharian dan menuntut pembelaan.
59. Dengan demikian kita bertanggungjawab untuk
memastikan pengurusan negeri dan pengendalian proses
pembangunan berjalan dengan lancar dan efisyen serta
mengelak daripada melakukan kesilapan yang
mengakibatkan pembaziran sumber dan tenaga negeri.
60. Kini kita seharusnyalah menjadi lebih matang dalam
menghadapi apa juga isu dan cabaran semasa, sama ada
di peringkat negeri, nasional atau global. Selain itu, kita
juga harus lebih bijaksana dan rasional dalam menangani
apa juga isu semasa yang boleh menggugat perpaduan
di kalangan rakyat di negeri ini. Perpaduan amat penting
sebagai paksi pembinaan tamadun bangsa ke arah masa
depan negeri dan negara yang lebih cemerlang agar kita
berjaya merealisasikan wawasan negeri dan negara maju
menjelang tahun 2020.
61. Saya yakin bahawa dengan sokongan daripada
rakyat dan semua pihak yang terlibat terutamanya Ahli-
43
ahli Yang Berhormat, pegawai-pegawai Kerajaan, para
pengusaha dan ahli perniagaan di sektor swasta serta
para pemimpin masyarakat di segenap lapisan. Kita boleh
membawa negeri Sabah ke tahap yang lebih cemerlang.
Tuan Speaker, saya memohon mencadangkan.