pensijilan guru
TRANSCRIPT
PROGRAM EKSEKUTIF CUTI SEKOLAH
IJAZAH SARJANA PENDIDIKAN (MATEMATIK)
SEMESTER 2 SESI 2013/2014
KOD DAN NAMA KURSUS:
SME6044 ISU-ISU KONTEMPORARI DALAM PENDIDIKAN MATEMATIK
(PENSIJILAN GURU)
TAJUK:
TUGASAN 2
NAMA DAN NOMBOR MATRIKS:
NAMA NO. MATRIK
FU SAI HOE M20131000362
HAZWANI BINTI AWANG MORE M20131000366
LORETA ALAH WAN M20131000370
NAZIRAH BINTI ABD. GHANI M20131000357
(KUMPULAN A: MATEMATIK)
NAMA PENSYARAH:
PROF DR MARZITA PUTEH
PEMARKAHAN
SENARAI ISI KANDUNGAN
PERKARA Muka Surat
PENGENALAN 1
ISU 1: PELESENAN 2
ISU 2: PENGETAHUAN PEDAGOGI 4
ISU 3: PENGUASAAN STANDARD DAN TEMPOH PENGAJIAN 9
ISU 4: ISU KUALITI GURU 10
PENUTUP 13
RUJUKAN
PENSIJILAN GURU
PENGENALAN:
Menurut Kamus Dewan edisi keempat, pensijilan bermaksud pemberian sijil kepada
seseorang atau pihak kerana telah mencapai piawai dan syarat yang ditetapkan bagi
membuktikan barangan yang dikeluarkan adalah berkualiti. Pensijilan guru adalah pemberian
sijil kepada seorang guru yang telah mencapai syarat yang ditetapkan oleh kerajaan dan
merupakan guru yang berkualiti.
Kriteria bagi mendapatkan pensijilan guru ialah memerlukan pelajaran yang tinggi
dan latihan khas, kemahiran diiktiraf, lulus peperiksaan profesional, mengutamakan dan
bertanggungjawab terhadap pelanggan, mematuhi kod etika dan mempunyai satu badan bebas
yang mengawal kualiti. Latihan perguruan bertujuan untuk membolehkan guru pelatih
menyesuaikan diri dengan suasana sekolah, mendapat pengalaman dan mencari kaedah
pengajaran yang sesuai. Seorang guru bukan sahaja mengajar mata pelajaran yang diajar dan
mempunyai ilmu pengetahuan opsyen yang diajar sahaja, tetapi juga perlu mengetahui teori
pengajaran dan pembelajaran dan teknik-teknik pengajaran yang betul.
Sebelum seseorang itu menjadi guru, dia perlu menerima latihan dalam perguruan
untuk menjadi seorang guru yang bertauliah. Umpananya, seorang guru mesti mempunyai
Sijil Perguruan, Diploma Pendidikan atau Ijazah Perguruan atau Pendidikan yang diiktiraf
oleh kerajaan Malaysia sebelum dia boleh mengajar di sekolah kerajaan. Walaupun seseorang
guru itu telah menerima latihan perguruan, dia juga seharusnya mempunyai pengetahuan
yang mendalam tentang mata pelajaran yang hendak diajarnya. Guru juga mesti mengetahui
keadah atau cara penyampaian dalam pengajarannya supaya murid-murid dapat memahami
apa yang disampaikan.
Di samping itu, guru haruslah mempunyai sahsiah yang baik dan dapat dihormati
serta dicontohi oleh murid. Sahsiah ini termasuklah tingkah laku dan sikap yang elok,
bersabar, bermurah hati dan sentiasa bersifat tenang. Kebanyakan kualiti kecerdasan dan
sahsiah guru adalah hasil daripada latihan yang membolehkan seseorang guru menguruskan
pengajarannya dengan berkesan. Latihan itu termasuklah kefahaman terhadap sifat
kejasmanian dan sifat psikologi kanak-kanak serta teori penyampaian pelajaran.
Selain tugas dalam bilik darjah, guru juga mempunyai peranan-peranan lain yang
diharapkan oleh masyarakat. Misalnya guru diharapkan menjadi pengganti ibubapa, menjadi
penasihat dan pembimbing di dalam pembentukkan sahsiah murid, menjadi kaunselor kepada
murid-murid, menjadi pengamal dan penyebar nilai kebudayaan yang elok dan seterusnya
menjadi contoh sahsiah yang baik kepada masyarakat.
ISU-ISU DALAM PENSIJILAN GURU:
ISU 1: PELESENAN.
Sehingga hari ini, isu ini masih tidak dapat diselesaikan dan menjadi satu masalah
yang semakin menular di setiap sekolah di seluruh negara. Guru ini dikehendaki mengajar
subjek bukan bidang atau opsyen setelah mendapat penempatan. Penempatan mereka
mengikut kekosongan guru subjek yang terlibat. Terdapat juga masalah yang melanda di
mana-mana sekolah satu daerah, di mana terdapat beberapa sekolah masih mengalami
masalah kekurangan guru dan guru subjek tertentu, sehingga menyebabkan guru bukan
opsyen diminta memikul tanggungjawab untuk mengajar mata pelajaran yang bukan pakar
mereka. Guru-guru ini terpaksa akur dengan arahan dan perintah pihak sekolah dan pentadbir
untuk menggantikan tempat guru yang kekosongan tanpa memikirkan akibat pada masa
hadapan.
Antara kesan apabila guru mengajar subjek bukan opsyen, mereka akan kurang yakin
dan tiada semangat untuk mengajar. Mereka juga akan bersikap sambil lewa dan kurang
membuat persediaan sebelum proses pengajaran dan pembelajaran (P dan P) bermula. Guru
juga tidak bersikap positif dalam ketidaksepadanan pengagihan guru mengikut opsyen kerana
menganggap diri mereka dipaksa untuk mengajar subjek bukan opsyen.
Tidak dapat dinafikan bahawa kefahaman konsep terhadap sesuatu isi kandungan
sesuatu subjek adalah amat penting dalam proses pembelajaran. Kaedah pemahaman konsep
dalam pengajaran matematik pada masa kini telah memberi keutamaan kepada pembentukan
konsep matematik yang dikaitkan dengan pengalaman pelajar di dalam kelas mahupun di luar
kelas. Para pendidik juga sedia maklum bahawa pengetahuan merupakan sesuatu yang tidak
boleh dipindahkan dari seseorang kepada seseorang yang lain sebaliknya ia hanya boleh
dibina oleh murid itu sendiri melalui proses interaksi dengan persekitaran pembelajaran.
Persekitaran boleh dijadikan sebagai alat perhubungan yang dapat mengaitkan idea sesuatu
subjek dengan pengalaman harian.. Kesilapan kepada tafsiran dalam konsep akan memberi
gambaran yang berlainan terhadap makna sebenar. Jika guru kurang semangat dan tidak
membuat persediaan sebelum proses pengajaran dan pembelajaran bermula, mungkin akan
berlaku kesilapan tafsiran kepada konsep atau isi kandungan sesuatu subjek itu.
Seorang pendidik perlulah memiliki ilmu pengetahuan yang mendalam terutamanya
untuk mata pelajaran yang diajar malah mereka bukan setakat perlu mengetahui pelajaran
yang telah tertulis di dalam buku namun mereka juga perlu mempunyai pengetahuan
sampingan yang lain seperti psikologi,sosiologi dan lain-lain bidang perilakunya. Ini telah
dibuktikan di dalam kajian Ahmad Zanzali dan Lim (2011), yakni beliau mengatakan bahawa
untuk mencapai keberkesanan dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan pendidikan
sahsiah yang sempurna,guru atau pendidik perlulah memiliki sifat keperibadian yang unggul,
berpengetahuan, ketokohan dan perwatakan yang sempurna.
Dalam isu pelesenan ini, tenaga pengajar di pusat tuisyen juga perlu diteliti. Pusat
tuisyen yang berdaftar dengan pihak kementerian, perkara seumpama ini harus dijaga dan
diteliti apabila mengambil guru yang mengajar di kelas tuisyen. Bukan semua pengajar
lepasan universiti yang tiada kelayakan dalam bidang pendidikan boleh mengajar di pusat
tuisyen dengan baik. Mereka kadang-kadang bukan guru sekolah tetapi diambil mengajar di
pusat tuisyen dan tidak memahami serta mengetahui kandungan sukatan pelajaran dan format
peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM. Selain itu, "guru" yang mengajar di pusat tuisyen
itu bukan seorang guru dan tiada kelulusan ikhtisas. Mengajar hanya untuk mencari
pendapatan sampingan. Seharusnya hanya guru sekolah yang berpengalaman dan memahami
sukatan pelajaran mengajar di pusat tuisyen supaya lebih efektif dan berkesan kepada murid.
ISU 2: PENGETAHUAN PEDAGOGI.
Menurut Kamus Dewan, pedagogi merupakan kajian tentang kaedah dan prinsip
pengajaran. Kemahiran pedagogi merupakan salah satu aset yang mesti dikuasai oleh
golongan pendidik bergelar guru. Hal ini adalah kerana, penguasaan dalam kemahiran
pedagogi dapat membantu menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung
dengan terancang dan teratur.
Malaysia merupakan negara yang sedang pesat membangun dan usaha memacu hala
tuju negara ini perlulah disokong oleh sumber manusia yang berkualiti dan progresif. Sumber
manusia perlu diperkembangkan potensinya secara menyeluruh dan bersepadu untuk
melahirkan insan yang harmonis dan seimbang. Hal ini dapat dicapai melalui sistem
pendidikan yang dilihat semakin mendapat perhatian semua pihak.
Penguasaan pedagogi di kalangan pendidik dan bakal pendidik adalah satu perkara
yang amat penting dan tidak boleh dipandang ringan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)
telah digariskan dengan menyatakan bahawa pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang
berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu
untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan
jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan
untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan,
berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta
memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmurankeluarga, masyarakat dan
negara.
Menurut Slavin (1997), pedagogi itu adalah sebagai penghubung di antara apa yang
guru mahu pelajarnya belajar dengan pembelajaran sebenar yang pelajarnya akan peroleh.
Dalam konteks ini, golongan pendidik harus lebih peka dan kreatif untuk mengaplikasikan
ilmu pedagogi dalam pengajaran mereka agar ianya bersesuaian dengan keadaan
pembelajaran pelajar dan akhirnya dapat mencapai objektif pengajaran.
Menurut Rajendran (2001), proses pengajaran dan pembelajaran dipengaruhi oleh
beberapa pembolehubah dan satu amalan pengajaran dan pembelajaran yang berjaya dalam
satu bilik darjah tidak semestinya akan juga berjaya dalam bilik darjah yang lain. Ini kerana,
bilik darjah yang satu lagi tetap berbeza daripada bilik darjah yang sebelumnya dari aspek
kesediaan guru, tahap pencapaian murid, bahan sumber pengajaran dan pembelajaran yang
digunakan serta waktu mengajar.
Justeru itu, pengetahuan dan penguasaan dalam aspek-aspek pedagogi di kalangan
golongan pendidik pastinya akan dapat membantu mereka dalam menjayakan proses
pengajaran dan pembelajaran yang dirancangkan seterusnya dapat mencapai objektif
pengajaran yang telah digariskan.
Di peringkat ijazah, subjek pedagogi merupakan salah satu subjek pendidikan yang
perlu diikuti oleh setiap pelajar di fakulti pendidikan. Subjek ini merupakan syarat wajib
sebelum seseorang pelajar dapat mengambil kursus pengajaran mikro dan menjalankan
latihan praktikal di sekolah. Secara umumnya, subjek ini ditawarkan semasa pelajar berada
dalam tahun 2 pengajian di universiti.
Melalui subjek pedagogi yang diambil oleh pelajar, mereka akan berpeluang untuk
mempelajari tentang aspek-aspek berikut iaitu:
a) definisi pedagogi dari pelbagai aspek
b) model-model pengajaran
c) strategi pengajaran di bilik darjah
d) strategi pengajaran KBSM
e) kaedah pengajaran
f) objektif pengajaran
g) perancangan pengajaran
h) kemahiran pengajaran mikro
i) pengurusan bilik darjah
j) penilaian, pengukuran dan pengujian
k) pengayaan dan pemulihan
l) isu berkaitan profesionalisme perguruan
Guru merupakan aset penting dalam pendidikan. Pengajaran yang berkualiti adalah
hasil daripada mereka yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan pada
suatu disiplin ilmu tersebut. Kenyataan ini turut disokong oleh Ryan, D.G. dalam Crow &
Crow (1983), iaitu guru yang efektif ialah guru–guru yang mempunyai sifat–sifat seperti
berikut :
a) Mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam mata pelajaran yang diajarnya.
b) Mempunyai imaginasi yang tinggi untuk membolehkannya membuat pelbagai
contoh yang dapat membantu pelajar memahami sesuatu konsep dengan mudah.
c) Dapat menggunakan alatan dan bahan pengajaran dengan baik dalam
pengajarannya
Dari sudut pedagogi, amalan guru masih sama dengan dasar kurikulum lama yang
menekankan kaedah hafalan (Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan 1996). Kelemahan dan
kepincangan yang berlaku dalam proses pengajaran dan pembelajaran antaranya berpunca
daripada kepercayaan (Von Glasersfeld 1994) dan tahap penguasaan pengetahuan pedagogi
isi kandungan (PPIK) yang lemah dalam kalangan guru (Bromme 1994; Howey 1999; Wang,
Guo, Chiang & Cheng 1999). Beberapa kajian lepas mendapati bahawa kebanyakan guru
masih lemah PPIK (Lampert 1986; Even 1993; Wilson 1994; Swafford, Jones & Thornton
1997; Ma 1999). Di samping itu juga, terdapat perbezaan yang ketara antara guru baru
dengan guru berpengalaman dari segi tahap PPIK dan pengajaran mereka dalam bilik darjah
(Marks 1990; Schempp, Manross, Tan & Fincher 1998). Di Malaysia, kajian tentang PPIK
dalam kalangan guru sekolah, sama ada rendah atau menengah, masih terlalu sedikit,
khususnya dalam pendidikan Matematik.
Shulman (1986) telah memperkembangkan satu kerangka baru untuk pendidikan guru
dengan memperkenalkan konsep pengetahuan pedagogi isi kandungan (PPIK). PPIK yang
dicadangkan oleh Shulman (1986) telah dikembangkan dalam projek “Knowledge Growth in
Teaching” sebagai satu model perspektif yang lebih luas untuk memahami proses pengajaran
dan pembelajaran. Projek ini mengkaji bagaimana guru-guru memperoleh kefahaman baru
tentang isi kandungan dan bagaimana kefahaman baru ini mempengaruhi amalan pengajaran
mereka. Menurut Shulman (1987: 15):
PPIK ialah satu jenis pengetahuan yang unik bagi seseorang guru dan ia berdasarkan kepada cara guru mengaitkan pengetahuan pedagogi (pengetahuan tentang cara mengajar) yang dimiliki kepada pengetahuan isi kandungan (apa yang perlu diajar). Integrasi kedua-dua jenis pengetahuan tersebut menghasilkan pengetahuan pedagogi isi kandungan.
Menurut Shulman (1987) lagi, PPIK adalah salah satu daripada tujuh asas
pengetahuan yang perlu dimiliki oleh seseorang pendidik. Tujuh asas pengetahuan tersebut
ialah:
a. pengetahuan isi kandungan
b. pengetahuan pedagogi am
c. pengetahuan kurikulum
d. pengetahuan pedagogi isi kandungan
e. pengetahuan tentang pelajar dan ciri-ciri pelajar
f. pengetahuan tentang konteks pendidikan
g. pengetahuan tentang matlamat-matlamat pendidikan.
Beliau turut berhujah bahawa PPIK ialah pengetahuan yang unik kepada profesion
perguruan. Pengetahuan ini membezakan seorang guru daripada seorang pakar bidang.
Menurut Shulman (1987), PPIK berkaitan dengan kebolehan seseorang guru untuk mengubah
pengetahuan isi kandungan yang dimilikinya kepada bentuk yang sesuai untuk pengajaran
serta sesuai dengan kebolehan dan latar belakang pelajar.
Ini menunjukkan bahawa kefahaman dan keupayaan guru bukan sahaja bergantung
kepada pengetahuan isi kandungan dan pengetahuan pedagogi tetapi juga bergantung kepada
pengetahuan guru berkenaan dengan pedagogi yang berkaitan dengan subjek tertentu untuk
pelajar yang khusus. Bagi konteks latihan perguruan pula, ini bermakna program pendidikan
guru tidak boleh lagi menghadkan aktiviti berkaitan pedagogi dan penyeliaan bebas daripada
konteks (Lilia 1997). Konteks di sini bermaksud subjek yang diajar atau isi kandungan.
Shulman juga mencadangkan supaya setiap orang guru mempunyai kefahaman
tentang isi kandungan mata pelajaran untuk tujuan pengajaran. Seperti yang diperkatakan
oleh Bromme (1994), idea utama yang mendasari konsep PPIK ialah guru mengubah suai isi
kandungan untuk tujuan pengajaran. Menurut Grossman, Wilson & Shulman (1989), konsep
PPIK adalah di mana guru perlu “psychologize” sesuatu isi pelajaran untuk pelajar. Dengan
kata lain, guru perlufikirkan bagaimana hendak membina jambatan di antara kefahaman guru
tentang isi kandungan dengan kefahaman pelajar berkenaan isi kandungan yang sama.
Menurut Feiman-Nemser dan Buchmann (1986) serta Feiman-Nemser dan Remillard (1996),
untuk membina jambatan ini, guru perlu memikir secara pedagogikal di mana guru perlu
menimbangkan cara mengajar sesuatu mata pelajaran daripada perspektif pelajar, guru sendiri
dan isi kandungan subjek tersebut.
Satu lagi ciri penting PPIK ialah PPIK merupakan pengetahuan mengenai bagaimana
hendak mengajar topik yang spesifik yang dapat meningkatkan kefahaman konseptual
(Grossman 1990; Fernandez-Balboa & Stiehl 1995; De Corte, Greer & Verschaffel 1996).
Menurut Shulman (1986), bagi sesuatu topik PPIK melibatkan (a) analogi, contoh,
penerangan dan demontrasi yang efektif, (b) kefahaman tentang aspek-aspek yang
membuatkan pembelajaran topik itu senang atau susah, (c) miskonsepsi pelajar tentang topik
dan (d) pengetahuan tentang strategi pengajaran yang efektif.
Berhubung dengan penguasaan kefahaman konsep Matematik, kebanyakan guru
memiliki kefahaman instrumental atau prosedural berbanding dengan kefahaman relasional
atau konseptual (Macgehee 1990; Francis 1992; Hutchiso 1992; Lee 1992; Even 1993).
Kedua-dua jenis kefahaman ini adalah sebahagian daripada pengetahuan pedagogi isi
kandungan (Carpenter et al. 1988). Kefahaman instrumental atau prosedural merujuk kepada
kebolehan seseorang guru atau pelajar menerangkan “bagaimana” untuk memperoleh sesuatu
jawapan tanpa mengetahui “kenapa” sesuatu langkah, cara, operasi, rumus atau
seumpamanya digunakan dalam proses pengiraan atau penyelesaian masalah (Hiebert 1986;
Skemp 1987; Sierpinska 1994).
Marks (1990) dalam kajiannya telah membandingkan tahap pengetahuan pedagogi isi
kandungan di antara guru yang memiliki pengetahuan Matematik yang tinggi dan
berpengalaman dengan guru yang kurang pengetahuan Matematik (bukan opsyen Matematik
tetapi mengajar Matematik). Amat jelas didapati bahawa guru berpengalaman dan
mempunyai pengetahuan Matematik yang tinggi, memiliki pengetahuan pedagogi isi
kandungan yang baik.
Pendidik Matematik bertanggungjawab untuk memastikan para pelajar memahami
sepenuhnya isi kandungan supaya mereka mampu menyelesaikan masalah yang berkaitan, di
samping mengelak daripada berlakunya kesilapan konsep. Untuk tujuan ini, aktiviti
pengajaran haruslah dijalankan secara bermakna dengan memberi perhatian kepada gaya,
masalah dan keperluan pelajar.
Matematik akan dihayati sebagai satu subjek yang mudah dan menyeronokkan jika
pelajar diberi peluang terlibat secara aktif dalam aktiviti yang membina kefahaman, sikap dan
kreativiti mereka. Kebijaksanaan dan kecemerlangan guru dalam bilik darjah bergantung
kepada pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki, khususnya yang berhubung dengan isi
kandungan dan cara penyampaian. Gabungan kedua-dua jenis pengetahuan tersebut yang
dikenali sebagai pengetahuan pedagogi isi kandungan (PPIK) adalah merupakan keperluan
utama pendidik bestari.
ISU 3: PENGUASAAN STANDARD DAN TEMPOH PENGAJIAN
Kualiti guru yang cemerlang merupakan tonggak utama kepada pencapaian sekolah
yang cemerlang ke arah menyediakan murid yang inovatif dan produktif. Sebelum bergelar
seorang guru , sesesorang bakal guru perlu menerima latihan dalam perguruan agar menjadi
seorang guru terlatih yang bertauliah dan menepati standard kriteria perguruan yang
ditetapkan oleh pihak Kementerian Pendidikan.
Tempoh pengajian yang berbeza mempengaruhi penguasaan kemahiran isi kandungan
ikhtisas yang berbeza bagi bakal guru mahupun guru terlatih. Semakin lama tempoh
pengajian, semakin banyak silibus yang akan dipelajari dalam pengajian tersebut.
Di peringkat Institut Pendidikan Guru (IPG), tempoh pengajian bagi Program
Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPSMI) mengambil masa selama dua semester,
iaitu setahun pengajian. Setelah lulus dan menepati syarat-syarat yang ditetapkan,barulah
pelajar akan ditawarkan ke pengajian Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) selama lapan
semester, iaitu empat tahun. Pelajar program ini ditempatkan di perlu mengikut latihan
perguruan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Sepanjang tempoh pengajian, di
samping mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik kuliah, bakal-bakal guru
ini juga akan didedahkan kepada aktiviti-aktiviti luar. Dengan itu, bakal-bakal guru perlu
mengikuti aktiviti kokurikulum sebagai sebahagian daripada kurikulum kursus. Tempoh bagi
program Ijazah Sarjana Muda Perguruan(ISMP) di universiti tempatan juga mengambil masa
selama selama 4 tahun.
Sebelum tahun 2012, Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) telah ditetapkan
selama satu tahun saja. Namun bermula tahun 2012, Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah
(DPLI) mula menggantikan KPLI bermula sesi Januari 2012. Tempoh pengajian
dipanjangkan kepada satu tahun setengah.
Program latihan dalam perkhidmatan juga semakin dipergiatkan di kalangan guru-
guru yang sedang berkhidmat dengan Kementerian Pendidikan. Tempoh pengajian
mengambil masa antara tiga sehingga empat tahun.Antara program latihan yang ditawarkan
adalah Program Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah (PGSR). Dalam Rancangan
Pembangunan Pendidikan 2001-2010, Program Pensiswazahan Guru (PGG) ditawarkan
untuk pegawai perkhidmatan pendidikan lepasan diploma yang menepati kriteria kelayakan
yang ditetapkan bertujuan untuk menyasarkan sebanyak 90% guru lulusan siswazah di
sekolah menengah dan 60% guru lulusan siswazah di sekolah rendah.
Perbezaan tempoh ini seharusnya tidak memberikan impak yang besar walaupun
perbezaan latar belakang latihan perguruan di kalangan bakal guru, termasuklah guru yang
sudah berada dalam perkhidmatan pendidikan. Tempoh pengajian yang lebih pendek tidak
semestinya melahirkan bakal guru yang kurang berkualiti berbanding dengan tempoh
pengajian yang lebih lama. Pendapat Zainun (1994), peranan guru sebagai profesional adalah
semakin mencabar dan untuk menjadi seorang guru yang unggul, mereka perlu memiliki
kebolehan akademik dan profesional secukupnya untuk melaksanakan tugas mereka dengan
berkesan. Maka, para pendidik perlu menggandakan usaha demi mempertingkatkan
kemahiran perguruan ke arah yang lebih baik dari segi akademik dan profesional.
ISU 4: ISU KUALITI GURU
1. Memartabatkan profesion perguruan
Guru memainkan peranan yang professional yang memiliki sifat dan ciri-ciri unggul
sebagai penyampai ilmu pengetahuan dan kemahiran dan sebagai contoh dan teladan kepada
setiap anak muridnya.Oleh itu, guru perlu membekalkan diri dengan ilimu yang secukupnya
seperti Pengetahuan isi kandungan mata pelajaran (Content Knowledge),Pengetahuan
kandungan pedagogi (Pedagogical Content Knowledge) dan sebagainya supaya dapat
melahirkan generasi yang dapat memberi sumbangan kepada masyarakat dan Negara.
1.1 Pendidikan kita bertaraf dunia dan diiktiraf
Kerajaan betungkus lumus dalam membangunkan sistem pendidikan negara yang
memenuhi keperluan pelajar dan juga negara.Untuk merealisasikan perkara ini, Kementerian
Pendidikan Malaysia mementingkan penerapan program dan inisiatif yang komprehensif bagi
merealisasikan aspirasi negara dan meletakkan piawaian sistem pendidikan negara bertaraf
dunia. Mohd A. S. & Haspaizi M. Z. (2013, Oct 12) Seperti kata Timbalan Perdana Menteri,
Tan Sri Muhyiddin Yassin:
Sistem pendidikan perlu sentiasa dikaji semula dan melalui proses penambahbaikan seiring perkembangan ilmu dan teknoloji bagi melahirkan modal insan yang berupaya memacu Malaysia menjadi negara maju.
Juga ,menteri pendidikan negara anggota Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan
Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) kagum dengan pencapaian
Malaysia dalam memajukan bidang pendidikan terutamanya Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan September lalu. Ini telah membuktikan
bahawa sistem pendidikan kita memang berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan
negara maju.
1.2 Pengambilan guru
Usaha menjaga kualiti profesion guru yang akan dilaksanakan oleh KPM ialah
meletakkan sasaran 30 peratus daripada graduan terbaik dari pelbagai institusi pengajian
tinggi diserapkan menjadi guru( Mohd N. ,2012, Aug 5). Keutamaan diberikan kepada
pemohon memiliki tiga gred Cemerlang dan tiga gred Kepujian dalam Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) bagi syarat kemasukan ke Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan
(PISMP) di IPG. Selaras dengan dasar ini, Kementerian Pendidikan juga akan menghentikan
pengambilan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) kerana hasrat Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia memang memerlukan guru yang benar-benar mahir dan terlatih dengan
sistem pengajaran.Kementerian Pendidikan yakin bahawa profesion keguruan akan menjadi
lebih berprestij apabila pengambilan dibuat hanya dalam kalangan graduan 30 peratus
terbaik dalam negara dalam usaha mentransformasi profesion itu menjadi profesion
pilihan( KPM,2013).
1.3 Pelantikan guru besar atau pengetua
Selain itu, pelantikan guru besar dan pengetua akan melalui proses penilaian tahap
kepemimpinan dan yang berkaitan kemampuan melaksanakan tanggungjawab, kreativiti,
inovatif, dan inovasi di samping rekod cemerlang dalam kerjaya guru, selain menjalani
latihan dan bimbingan yang komprehensif, bukan lagi disandang secara automatik seperti
dalam sistem naik pangkat sekarang (Norfatimah A. ,2013, July 3). Dengan kata lain,
Kementerian Pendidikan telah mengubah kriteria memilih pengetua dan guru besar daripada
pemilihan berasaskan tempoh perkhidmatan kepada pemilihan berfokus kepada kecekapan
kepimpinan( KPM,2013).
“Syarat utama adalah mengikuti Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL). Seramai 1,000 pendidik akan mengikuti kursus lima bulan di Institut Aminuddin Baki (IAB) tahun depan,” katanya selepas merasmikan Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan.” Kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
1.4 Pengambilan pensyarah di IPG
Salah satu matlamat Pelan Pembangunan Pendidkan Malaysia ialah menetapkan
inisiatif mentransformasi IPG supaya menjadi universiti latihan guru bertaraf dunia. Dalam
pada itu, usaha juga dilakukan untuk IPG mengutamakan pengambilan pensyrah yang
berkelulusan ijazah sarjana atau ijazah doktor falsafah (PhD). Analisis statistik pada 2013
menunjukkan bahawa 3,947 daripada pensyarahnya, seramai 315 pensyarah memiliki PhD
dan 3,057 sarjana (Fakhrurrazi, 2011) MMMMMMMMMMMMMMMMMMMMMM
PENUTUP
Profesion perguruan adalah merupakan satu profesion yang sangat mulia. Jasa dan
sumbangan yang diberikan oleh warga pendidik untuk melahirkan masyarakat yang berilmu,
beriman dan mengamalkan nilai-nilai yang baik tidak harus dipandang rendah oleh
masyarakat. Masyarakat haruslah sedar cabaran dan bebanan tugas yang dihadapi oleh
golongan guru sebelum mengambil jalan mudah dengan memandang rendah golongan ini.
Sekiranya Malaysia ingin memartabatkan profesion perguruan di Malaysia, maka seharusya
kualiti guru perlu diiktiraf melalui pemberian lesen guru kepada setiap guru yang mempunyai
kelulusan iktisas perguruan. .
Lesen guru adalah merupakan kaedah yang releven serta boleh mengekalkan integriti
guru dari mula ianya diiktiraf sebagai guru sehingga akhir hayat. Secara tidak langsung pihak
berwajib lebih senang untuk membuat kawalan standard kualiti guru, produktiviti guru
disemua peringkat pendidikan sama ada disekolah pra sekolah, sekolah rendah, sekolah
menengah dan pengajian tinggi awam dan swasta.
RUJUKAN
Ahmad Zanzali, N.A. & Lim, W.Mei. (2011). Bimbingan Oleh Guru Pembimbing Kepada
Guru Pelatih Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Journal of Educational sychology
and Counseling, Universiti Teknologi Malaysia
Dr Aminudin Mansor. Peranan pusat tuisyen perlu diperluas. Internet.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Perananpusattuisyenperludiperluas//
Article/article_print Diakses pada 29 Mei 2014
Fakhrurrazi U. (7 Julai 2011). Latihan Guru Ditambah Baik. Internet.
http://www.bharian.com.my Diakses pada 1 Jun 2014
KPM (2013) . Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025. Internet.
www.moe.gov.my/userfiles/file/PPP/Preliminary-Blueprint-BM.pdf Diakses pada 1 Jun
2014
Mohd A. S. & Haspaizi M. Z. (12 Oktober 2013). Kualiti Pendidikan Bertaraf Dunia.
Internet. http://www.bharian.com.my Diakses pada 1 Jun 2014
Mohd N. (5 Ogos 2012). Pengambilan Guru Hanya Dalan Kalangan 30 Peratus Graduan
Terbaik. Internet. http://www.bharian.com.my Diakses pada 1 Jun 2014
Noresah binti Baharom (2005). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
Dan Pustaka
Norfatimah A. (2 Julai 2013). Syarat Ketat Jadi Pengetua. Internet.
http://www.bharian.com.my Diakses pada 1 Jun 2014
Suhaila S. A. (9 November 2013). Pendidikan Kita Diiktiraf. Internet.
http://www.bharian.com.my Diakses pada 1 Jun 2014
Zainun. 1994. Profesion Guru dan Cabaran. Mestika, November.