dari segerasi ke integerasi
Post on 07-Feb-2016
112 Views
Preview:
TRANSCRIPT
1.0 Pengenalan
Segregasi dan integrasi merupakan dua konsep yang berbeza. Dalam konteks Malaysia,
segregasi perlu dielakkan, sebaliknya kita perlu berusaha untuk memupuk integrasi dalam
kalangan rakyat. Segregasi berlaku kesan daripada dasar pecah dan perintah yang diamalkan
oleh pihak British berdasarkan kegiatan ekonomi mengikut etnik. Integrasi antara kaum pula
memerlukan usaha dan sokongan daripada semua pihak sama ada secara top-down atau
bottom-up dalam merealisasikan negara Malaysia yang unggul menjelang tahun 2020.
Kepelbagaian rakyat Malaysia perlu dilihat sebagai aset yang tidak sekadar berjaya memupuk
kesepaduan sosialnya, malah menuju ke arah integrasi. Integrasi hanya akan dapat terjelma
apabila rakyat yang terdiri daripada pelbagai etnik itu bersedia menerapkan unsur-unsur
akomodasi, akulturasi hingga ke peringkat asimilasi dalam kalangan mereka.
1.1 Dari Pengasingan ke Penyatuan
Segregasi merujuk kepada pemisahan atau pengasingan antara satu kumpulan etnik dengan
kumpulan etnik yang lain dalam sesebuah negara. Pemisahan itu berlaku dalam beberapa
keadaan seperti kawasan tempat tinggal, jenis pekerjaan, sistem persekolahan dan penerbitan
akhbar mengikut bahasa ibunda masing-masing. Sebelum merdeka, Malaysia telah pun
melalui keadaan ini selari dengan dasar pecah dan perintah British sebagai kuasa penjajah.
Dasar berkenaan mewujudkan segregasi dalam kalangan pelbagai etnik yang dapat
mengukuhkan kedudukan kuasa politik dan ekonomi British. Seterusnya, British dapat
bertapak dan menjajah selama 170 tahun di negara ini. Pengalaman segregasi yang pernah
dilalui rakyat negara ini turut sama dirasai oleh penduduk di Afrika Selatan. Sungguhpun
terdapat perbezaan yang nyata antara kedua-dua negara, tetapi terdapat pengajaran penting
tentang kesan negatif amalan segregasi tersebut.
Integrasi ialah satu proses penyesuaian bersama pelbagai kebudayaan dan ciri-ciri
sosial yang dapat diterima oleh semua kelompok etnik. Identiti, budaya dan hak hidup
sesuatu kumpulan etnik tidak dihapuskan, tetapi disuburkan. Dalam konteks Malaysia,
integrasi merupakan satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan etnik
yang terpisah-pisah dari segi budaya, agama, sosial dan kawasan penempatan. Mereka
dipupuk menerusi integrasi politik, ekonomi, sosial, kebudayaan, pendidikan dan di peringkat
wilayah (Shamsul 2007). Menurut Ting (1987), integrasi ialah suatu proses yang sangat
kompleks. Tahap-tahap hubungan etnik boleh dilihat dari segi darjah kedekatan bermula
1
dengan hubungan terpisah, iaitu segregasi sehingga hubungan berbentuk sebati iaitu
amalgamasi. Hubungan yang lebih rapat antara wilayah dapat mewujudkan integrasi dalam
bidang politik dan nilai. Hubungan ini seterusnya mampu mengurangkan konflik dan
mengutamakan persefahaman, serta mewujudkan semangat perpaduan antara pelbagai etnik.
2.0 Cabaran dalam Memupuk integrasi di Malaysia
Terdapat beberapa faktor yang boleh mencetuskan perpecahan dalam masyarakat antaranya,
prasangka, perkauman, diskriminasi, stereotaip, rasisme dan etnosentrisme. Perpecahan juga
boleh berlaku apabila wujudnya konflik antara kumpulan masyarakat, kedudukan lokasi
kelas, taraf pendidikan, kemahiran kerja, pendapatan dan budaya hidup yang sesetengahnya
membatasi peluang mobiliti sosial mereka untuk keluar daripada golongan miskin (Mansor
2006). Konflik juga berlaku disebabkan oleh kerumitan menanggung kos hidup yang terus
meningkat, perkhidmatan awam yang kurang memuaskan, pengangguran, kemiskinan,
keterpinggiran dan ketidaksamarataan dalam masyarakat, gejala sosial yang berleluasa dan
wujudnya banyak kumpulan samseng. Justeru, isu-isu berkenaan secara tidak langsung telah
memberi kesan kepada masalah perpaduan dalam kalangan rakyat.
Seterusnya konflik bukan sahaja disebabkan perbezaan budaya dan agama, tetapi turut
berpunca daripada faktor kemiskinan dan keterpinggiran. Contohnya, rusuhan kaum di
Kampung Medan, Selangor dikaitkan dengan isu kemiskinan dan pembangunan (Mansor
2006). Jelaslah bahawa isu kemiskinan dan pembangunan perlu ditangani secara serius untuk
mengelakkan ketegangan etnik. Persoalan asas adalah bagaimana perbezaan etnik itu diatasi,
serta bagaimana kepentingan politik dan ekonomi disesuaikan dengan kehendak pelbagai
etnik sehingga keharmonian dapat dicapai. Perkara ini akan menjadi penanda aras hubungan
etnik di sesebuah negara (Chandra 2008). Malaysia sering menjadi contoh kepada negara lain
dari segi hubungan etnik kerana berjaya mewujudkan keharmonian dalam kalangan etnik
yang pelbagai. Sebahagian besar kejayaan ini merupakan hasil usaha kerajaan yang bersifat
top-down dan disokong oleh pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat sendiri
yang bersifat bottom-up. Proses ini bertujuan memupuk perpaduan dan hubungan etnik yang
mantap dalam kalangan rakyat Malaysia. Usaha ini dipelopori oleh kerajaan untuk
memastikan kestabilan politik dan keadilan sosioekonomi serta keamanan negara sentiasa
terpelihara.
2
2.1 Peranan Kerajaan
Memupuk semangat hubungan etnik yang harmoni menjadi agenda utama kerajaan yang
dilaksanakan menerusi perancangan dan pelaksanaan dasar-dasar tertentu. Usaha-usaha ini
diteruskan dengan memperkenalkan konsep 1Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak dengan slogan "rakyat didahulukan pencapaian diutamakan". Konsep ini
bertujuan untuk melahirkan bangsa Malaysia yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi
pelbagai cabaran yang dibawa oleh arus globalisasi. Disamping itu konsep ini juga bertujuan
memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara rakyat pelbagai etnik di negara ini.
Pelbagai agensi kerajaan juga dipertanggungjawabkan untuk memastikan segala
usaha dan perancangan kerajaan dalam menyatupadukan masyarakat pelbagai etnik di negara
ini dilaksanakan dengan berkesan. Penubuhan Jabatan Perpaduan negara dan integrasi
nasional (JPNIN) Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional adalah sebuah badan
yang ditubuhkan dan bertanggungjawab memupuk dan memelihara perpaduan antara etnik di
negara ini. Masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik mempunyai latar
belakang budaya, agama, bahasa dan adat resam yang berbeza. Walaupun etnik yang
berlainan ini berganding bahu di bawah satu sistem politik yang sama namun kehidupan
mereka adalah berasingan. Interaksi dalam kalangan mereka juga kurang dan hubungan
antara mereka hanya terbatas kepada perkara tertentu terutama yang berkaitan dengan aktiviti
ekonomi. Pembahagian buruh dalam sistem ekonomi dibuat berdasarkan pemisahan etnik
dalam masyarakat dengan setiap etnik mempunyai fungsi ekonomi yang tersendiri.
Bagaimanapun suasana ini jauh lebih baik jika dibandingkan dengan suasana sewaktu Tanah
Melayu baru mencapai kemerdekaan. Masyarakat pada waktu itu menepati ciri-ciri
masyarakat majmuk seperti yang diutarakan Furnivall (1948), kesan daripada pelaksanaan
dasar pecah dan perintah oleh British.
Dalam hal ini isu perpaduan dan hubungan antara etnik merupakan agenda penting
negara dalam memastikan kestabilan politik sentiasa terjamin. Generasi kini yang mewarisi
konsep masyarakat majmuk sejak merdeka masih menghadapi persoalan dan dilema akibat
masalah segregasi antara kaum. Keadaan ini secara tidak langsung menggambarkan konflik
antara kaum yang wujud akibat perbezaan persepsi dalam kalangan kaum. Masyarakat kini
masih belum sepenuhnya menjiwai nilai dan konsep satu bangsa Malaysia sebagaimana yang
terkandung dalam cabaran pertama Wawasan 2020 yang menekankan perpaduan masyarakat.
Integrasi nasional penting kerana dapat mengikis sentimen perkauman. Nilai perpaduan
dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum harus dipertahankan agar keharmonian dapat
3
dikekalkan.
Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan sebagai usaha untuk memulihkan
hubungan antara kaum kesan daripada peristiwa 13 Mei 1969. Di samping itu, kerajaan telah
menjadikan Rukun Negara sebagai tunjang kepercayaan dan kesetiaan rakyat berbilang kaum
terhadap kepemimpinan negara. Pada 1 Julai 1969, MAGERAN mewujudkan Jabatan
Perpaduan Negara untuk menangani isu berhubung pembinaan semula perpaduan kaum di
negara ini (Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional 2006). Selepas MAGERAN
dibubarkan, Majlis Penasihat Perpaduan Negara ditubuhkan pada 23 Februari 1971 bagi
memupuk dan memelihara perpaduan kaum. Majlis Penasihat Perpaduan Negara diletakkan
di bawah tanggungjawab Jabatan Perpaduan Negara (JPN). Antara tahun 1990 – 2004, JPN
diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat dan
seterusnya diletakkan semula di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri dengan
nama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
3.0 Dasar-dasar Kerajaan
Kerajaan telah merangka dan memberi penekanan kepada beberapa dasar dalam bidang
sosioekonomi yang menjurus kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai etnik
serta menjalin integrasi nasional. Antara dasar tersebut ialah Dasar Pendidikan Kebangsaan,
Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Ekonomi Baru. Dasar tersebut diperkukuhkan lagi
dengan pengenalan Rukun Negara sebagai ideologi kebangsaan. Kesemua dasar tersebut
bertujuan untuk mengurangkan dan mengawal tindak-tanduk politik melampau yang boleh
memecahbelahkan perpaduan rakyat. Kerajaan juga telah membentuk beberapa dasar lain
seperti Dasar Pembangunan Negara, Dasar Wawasan Negara dan Dasar Sosial Negara.
Semua dasar tersebut dimantapkan lagi dengan pengenalan Wawasan 2020 dengan visi dan
misi menjadikan Malaysia maju dalam semua aspek kehidupan.
Pelan tindakan JPNIN melalui Pelan Tindakan Perpaduan dan Integrasi Nasional 2005
– 2010 telah merancang pelbagai usaha untuk memupuk dan mempertingkatkan lagi
perpaduan dan integrasi nasional melalui pelbagai strategi seperti berikut:-
4
3.1 Strategi Persefahaman Politik
Dalam aspek ini kerajaan telah berusaha memupuk perpaduan negara berlandaskan
peruntukan dalam perlembagaan merangkumi:
i. Sistem kerajaan persekutuan
ii. Demokrasi berparlimen
iii. Raja berperlembagaan
iv. Kedudukan Raja-raja Melayu
v. Bahasa kebangsaan
vi. Hak mengamalkan agama masing-masing
vii. Hak asasi rakyat Malaysia
viii. Kedudukan istimewa kaum bumiputera dan peribumi
ix. lambang-lambang negara
x. Pembahagian kuasa dan tanggungjawab antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan
negeri.
Kesemua perkara tersebut merupakan kerangka kepada usaha kerajaan dalam bidang
politik untuk memupuk identiti nasional, perpaduan antara kaum dan integrasi antara
wilayah.
Di samping itu, mewujudkan langkah keselamatan dan undang- undang juga adalah penting
untuk mengawal dan mencegah pertubuhan yang memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum
atau agama daripada melakukan kegiatan yang dapat menjejaskan keharmonian antara kaum
dan menggugat kestabilan negara. Pemantauan perlu dilakukan ke atas amalan dan etika
dalam parti politik supaya pendukung parti bersikap dan bertindak sederhana terhadap
sesuatu isu untuk mengelakkan daripada berlaku ketegangan antara kaum.
3.2 Strategi Keseimbangan ekonomi
Faktor yang boleh menimbulkan ketegangan hubungan antara etnik selalunya dikaitkan
dengan sentimen etnosentrisme, prejudis serta tanggapan dan kedudukan sosioekonomi antara
etnik yang tidak seimbang. Masalah ini dirumitkan lagi apabila kumpulan etnik dikenali
5
mengikut aktiviti ekonomi mereka. Lantaran itu, usaha kerajaan untuk mencapai perpaduan
adalah dengan mengimbangkan kedudukan sosioekonomi antara etnik dan antara wilayah
serta mengurangkan pengenalan etnik berdasarkan kegiatan ekonomi. Hal ini ditangani
menerusi beberapa kaedah seperti meningkatkan taraf ekonomi antara etnik dan wilayah
tanpa merugikan mana-mana pihak. Penjelasan sewajarnya perlu diberikan kepada semua
pihak supaya sebarang salah tanggapan dapat diperbetulkan dan perasaan tidak puas hati
dapat dibendung. Usaha kerajaan untuk mengurangkan dan membasmi kemiskinan tanpa
mengira etnik dan perbezaan wilayah perlu mendapat sokongan daripada sektor swasta
supaya pengenalan etnik berdasarkan aktiviti ekonomi dapat dikurangkan.
3.3 Strategi Sistem Pendidikan
Sistem pendidikan merupakan salah satu daripada alat terpenting dan berkesan bagi membina
jati diri nasional, memupuk semangat kebangsaan, cinta kepada negara dan berperanan
mengeratkan perpaduan. Peranan sistem pendidikan meliputi aspek menyediakan
persekitaran serta kemudahan yang kondusif bagi keperluan sosialisasi dalam kalangan
sebilangan besar rakyat. Semangat perpaduan boleh diterapkan kepada pelajar bermula dalam
lingkungan usia muda di samping menanam sikap dan nilai yang dapat melahirkan kesedaran
nasional, semangat cinta dan bangga kepada negara dan perpaduan antara kaum. Pelbagai
langkah telah diambil untuk menggalakkan wujudnya satu sistem persekolahan dari peringkat
prasekolah hingga ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi dengan menggunakan bahasa
Melayu sebagai bahasa perantara dan menyeragamkan kurikulum, kokurikulum, peperiksaan
serta pensijilan yang mempunyai pengiktirafan yang sama. Di samping langkah yang telah
disebutkan, kerajaan juga membenarkan pengajaran dan pembelajaran menggunakan bahasa
ibunda kaum tertentu seperti bahasa Mandarin, Tamil, Iban dan Kadazan Dusun di peringkat
sekolah rendah dan menengah. Kurikulum sekolah rendah dan menengah memberikan
tumpuan yang sewajarnya dalam mata pelajaran sejarah negara, termasuk persetujuan antara
kaum dan negeri tentang peruntukan tertentu dalam perlembagaan, budaya dan adat resam
kaum di Malaysia, serta unsur-unsur penting agama dan kepercayaan utama. Pendidikan dan
aktiviti kokurikulum juga menerapkan sikap dan nilai-nilai yang mendukung pencapaian
perpaduan negara. Sikap dan nilai-nilai ini termasuk juga sikap kesejahteraan, bertolak ansur
dan saling menghormati antara kaum dan agama, taat setia dan cinta kepada negara.
6
Selain itu, pendidikan sepanjang hayat, iaitu program pendidikan yang dijalankan oleh
pelbagai agensi dan pihak di luar sistem pendidikan formal, juga memainkan peranan penting
dalam usaha memupuk perpaduan negara dan integrasi nasional. Terdapat pelbagai bentuk
pendidikan tidak formal yang disertai oleh pelbagai kaum seperti kursus jangka pendek
anjuran badan kerajaan dan NGO. Penyertaan pelbagai kaum dalam program berkenaan
secara tidak langsung akan menggalakkan interaksi antara satu sama lain seterusnya dapat
menjalin ikatan perpaduan.
3.4 Strategi Penggunaan Bahasa Kebangsaan
Penggunaan satu bahasa yang sama merupakan salah satu alat yang paling berkesan untuk
memupuk perpaduan. Penggunaan satu bahasa juga membolehkan pelbagai kaum dan
keturunan berkomunikasi antara satu sama lain dengan selesa. Mereka menggunakan satu
bahasa rujukan yang sama untuk menginterpretasikan alam dan realiti dan mewujudkan satu
ciri persamaan antara mereka sebagai unsur utama pembentukan kebudayaan kebangsaan.
Dalam hal ini, bahasa Melayu amat sesuai digunakan sebagai bahasa penyatu selain diangkat
sebagai bahasa rasmi negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
Berdasarkan fakta sejarah kemampuan bahasa Melayu juga telah terbukti iaitu menjadi
lingua-franca terutama dalam zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka. Bahasa
Melayu juga pernah digunakan dalam hubungan diplomatik antara kerajaan Melayu Melaka
dengan negara luar.
3.5 Strategi Kepercayaan agama
Perlembagaan dan Rukun Negara menjamin bahawa rakyat Malaysia bebas menganut dan
mengamalkan agama dan kepercayaan masing- masing bertujuan untuk memelihara suasana
harmoni antara rakyat berbilang kaum. Walaupun agama Islam sebagai agama persekutuan
namun agama-agama lain dilindungi oleh perlembagaan. Pengembangan sesuatu agama
dalam kalangan penganut agama lain tertakluk kepada peruntukan dalam perlembagaan dan
undang-undang. Justeru, sebarang aktiviti keagamaan perlu dilakukan dengan berhati-hati
supaya tidak menyentuh sensitiviti penganut agama lain.
7
3.6 Strategi Kebudayaan
Kerajaan juga berusaha mewujudkan kebudayaan nasional yang menjadi milik bersama
rakyat negara ini tanpa mengira kaum, keturunan dan wilayah sebagai asas pembentukan
bangsa, jati diri nasional dan perpaduan negara. Kebudayaan nasional dibentuk berpandukan
tiga prinsip dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan iaitu Kebudayaan Kebangsaan Malaysia
berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau ini; unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan
wajar, diterima menjadi unsur Kebudayaan Kebangsaan; dan Islam menjadi unsur penting
dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan.
Kerajaan juga menentukan bahawa pembentukan Kebudayaan Kebangsaan tidak
bermakna mengabaikan kebudayaan sukuan. Kebudayaan sukuan yang tidak menjadi
sebahagian daripada Kebudayaan Kebangsaan seperti ciri-ciri tertentu dalam kebudayaan
Melayu, Iban, Kadazan Dusun, Cina, India termasuk kebudayaan Barat bebas diamalkan
selagi tidak menjejaskan nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan. Bagaimanapun nilai-nilai
masyarakat yang bersifat positif merupakan aspek penting dalam Kebudayaan Kebangsaan
kerana nilai- nilai tersebut adalah nilai-nilai sejagat dan menjadi kepunyaan bersama pelbagai
kaum dan keturunan di Malaysia.
3.7 Strategi integrasi Wilayah
Kerajaan memperkenalkan pelbagai langkah untuk mengintegrasikan antara rakyat di
Semenanjung dengan di Sabah dan Sarawak sejak Malaysia ditubuhkan. Bagaimanapun
faktor geografi telah menyumbang kepada kewujudan jarak sosial antara wilayah tersebut.
Antara langkah kerajaan ialah melakukan penambahbaikan dalam sistem perhubungan
kebangsaan dan pengangkutan perluasan sistem radio dan televisyen nasional di Sabah,
Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan; penubuhan pelbagai agensi kerajaan persekutuan
di negeri berkenaan dan mengadakan program lawatan pemimpin masyarakat untuk
melahirkan integrasi yang kukuh antara negeri dan rakyat di wilayah tersebut.
Walaupun pelbagai bentuk langkah seperti yang dinyatakan telah dilaksanakan, tetapi
masih terdapat pelbagai permasalahan dan salah tanggapan dalam usaha ke arah
mengintegrasikan wilayah dan dalam hubungan Kuala lumpur-Kuching-Kota Kinabalu. Oleh
itu tumpuan khusus diberi kepada usaha pemupukan integrasi wilayah dan hubungan antara
Kuala lumpur-Kuching-Kota Kinabalu dengan cara memberi penekanan terhadap aspek
8
interaksi dan pergaulan yang lebih luas antara rakyat di wilayah berkenaan. Pelan tindakan
adalah dengan memberikan penjelasan lebih mendalam tentang adat resam dan kebudayaan
setiap etnik serta mengikis salah tanggapan yang timbul dalam bidang sosioekonomi dan
sebagainya. Selain daripada melakukan integrasi antara wilayah, tumpuan juga diberikan
kepada pengintegrasian antara kawasan bandar dengan kawasan luar bandar agar kemajuan
ekonomi dan prasarana yang diadakan dapat dikongsi secara adil dan saksama.
3.8 Strategi Keselamatan
Kerajaan juga mengatur langkah keselamatan untuk memelihara dan mencapai perpaduan
yang mantap dan berkekalan. Strategi perpaduan negara dalam bidang keselamatan meliputi
aspek pencegahan daripada berlakunya ancaman kepada keselamatan negara dan
ketenteraman awam. Penekanan diberi kepada aspek pencegahan supaya nyawa dan harta
benda awam dan pembangunan negara dapat dipelihara dan tidak terancam. Aspek
pencegahan merangkumi penguatkuasaan sekatan di sisi undang-undang ke atas kebebasan
bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan, tahanan preventif, penguatkuasaan
peruntukan Akta Hasutan, dan kawalan terhadap penerbitan melalui undang-undang yang
berkaitan. Pemulihan pula ialah usaha untuk menenteramkan keadaan setelah berlakunya
sesuatu konflik. Aspek pemulihan termasuk keselamatan dan ketenteraman awam yang
melibatkan tindakan,
terutamanya daripada pihak polis dan dibantu oleh pihak lain seperti angkatan tentera, Ikatan
Relawan Rakyat (RElA), Rukun Tetangga dan dalam keadaan yang ekstrem, mengisytiharkan
darurat.
3.9 Strategi Pembangunan Kawasan
Dalam aspek pembangunan kawasan, kerajaan mengarahkan pemaju perumahan serta pihak
berkuasa tempatan supaya mengambil kira aspek perpaduan etnik. Sesuatu kawasan yang
hendak dimajukan untuk dibuat penempatan baharu, misalnya, seharusnya mempunyai
penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum agar sentimen perkauman dapat dicairkan.
Seterusnya setiap penempatan perlu menubuhkan jawatankuasa penduduk seperti Rukun
Tetangga dan menganjurkan aktiviti yang melibatkan semua penduduk tanpa mengira kaum
dan agama. Prasarana seperti dewan serba guna dan dewan komuniti perlu disediakan untuk
kegunaan penduduk melakukan aktiviti kemasyarakatan. Penyediaan kemudahan tersebut
9
dapat membantu menyemaikan semangat perpaduan dan interaksi antara etnik melalui
pelbagai aktiviti sosial yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Kerajaan juga menegaskan
supaya sesuatu kawasan perumahan mengandungi pembangunan bercampur seperti fasa
perumahan kos rendah, sederhana dan juga mewah agar dapat mengurangkan jurang sosial
dalam kalangan masyarakat melalui pergaulan dan interaksi. Kemudahan yang disediakan
haruslah dapat dinikmati oleh penduduk dan tidak dibatasi oleh taraf sosioekonomi mereka.
3.10 Strategi Penggunaan Tenaga Manusia
Pihak kerajaan meminta kerjasama daripada para majikan sama ada daripada pihak awam
ataupun swasta untuk memastikan agar sebarang lantikan mengisi sesuatu jawatan tidak
berdasarkan faktor kaum, agama dan budaya. Pemilihan perlu dibuat secara adil berdasarkan
kelayakan pemohon kerana hakikatnya, Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri
daripada pelbagai kaum dan agama. Majikan juga perlu memainkan peranan menerapkan
unsur perpaduan dalam kalangan pekerja melalui pelaksanaan dasar syarikat dan program
serta aktiviti yang dianjurkan.
Di samping itu, mereka juga bertanggungjawab melaksanakan setiap dasar yang
digubal oleh kerajaan. Interaksi antara pekerja pelbagai etnik perlu digalakkan supaya
perasaan prejudis dan salah tanggapan antara mereka dapat dikurangkan. Pemupukan nilai-
nilai murni yang menyumbang kepada perpaduan negara seperti semangat patriotisme dan
kekitaan perlu sentiasa diterapkan.
3.11 Strategi Media Massa
Media massa juga memainkan peranan berkesan untuk membantumemupuk perpaduan
negara melalui penyampaian maklumat, pembentukan sikap dan pandangan rakyat serta
penerapan nilai-nilai positif ke arah memajukan semangat perpaduan. Internet sebagai wadah
penyebaran maklumat juga perlu digunakan sebaik mungkin. Perkembangan media elektronik
mampu menghubungkan rakyat termasuk masyarakat terpencil di kawasan pedalaman Sabah
dan Sarawak. Syarikat swasta yang mengendalikan stesen televisyen turut memainkan
peranan penting dalam usaha memupuk perpaduan negara dan integrasi nasional sebagai
tanggungjawab sosial mereka kepada bangsa dan negara. Penerbit akhbar dan majalah juga
digalakkan memberi sumbangan kepada usaha memantapkan perpaduan negara berdasarkan
10
etika kewartawanan. Pengamal media dituntut supaya bertanggungjawab dan peka apabila
menyentuh dan melaporkan perkara yang dapat menjejaskan perpaduan dan perhubungan
antara kaum dan agama. Mereka juga perlu memastikan bahawa laporan tidak melanggar
Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta tidak menjejaskan atau
menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.
3.12 Strategi Kesukanan
Sukan merupakan bidang yang ideal bagi membentuk perpaduan dan integrasi dalam
kalangan rakyat berbilang kaum, khususnya bagi acara sukan yang popular. Sukan
mewujudkan peluang dan persekitaran bagi pergaulan dan interaksi sosial dan melahirkan
suasana yang sangat sesuai bagi memupuk semangat persaudaraan dan solidariti tanpa
mengira etnik dan keturunan. Melalui sukan juga dapat membantu menaikkan semangat
patriotisme dan mencairkan perasaan etnosentrisme, prejudis dan prasangka buruk dalam
kalangan rakyat, lebih-lebih lagi apabila acara itu diadakan di tanah air khususnya sukan di
peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang diwakili oleh pasukan kebangsaan atau negara.
3.13 Strategi Perpaduan dan Pertubuhan Sukarela
Kerajaan telah memperkenalkan konsep pemasyarakatan perpaduan pada 1998 untuk
menerapkan ciri-ciri identiti nasional bagi membangunkan bangsa Malaysia berasaskan
semangat persaudaraan dan kewarganegaraan yang tinggi. Proses penerapan nilai-nilai murni
menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan pelbagai etnik menggunakan segala
saluran dan prasarana yang sedia ada. Selain itu, diperkenalkan juga jentera kemasyarakatan
seperti Rukun Tetangga dan persatuan penduduk dalam usaha menjayakan penerapan nilai-
nilai murni, perpaduan dan integrasi nasional melalui aktiviti kemasyarakatan.
3.15 Strategi Penyelidikan dan Penerbitan Bahan Bacaan
Usaha kerajaan memperbanyakkan aktiviti penyelidikan tentang perpaduan negara dan
integrasi nasional penting untuk mengetahui pola hubungan etnik semasa. Hasil kajian dapat
digunakan untuk merangka strategi dan perancangan program yang berkesan di samping
mewujudkan instrumen untuk mengukur tahap perpaduan. Ia boleh diperkukuhkan dengan
11
adanya penerbitan bahan bacaan tentang perpaduan dan integrasi serta adat resam masyarakat
Malaysia.
3.16 Strategi Pemantauan isu-isu Semasa dan Konflik
Mewujudkan mekanisme pemantauan tahap perpaduan dan integrasi nasional secara
berterusan dan sistematik merupakan langkah pengesanan awal terhadap isu-isu semasa dan
konflik. Pengesanan perhubungan sosial perlu ditingkatkan lagi melalui sistem dalam talian
kerana bukan sahaja maklumat dapat dikesan atau diperoleh dengan segera, tetapi dapat
membantu pihak jabatan dan agensi lain untuk mengambil tindakan pencegahan awal.
Strategi Penubuhan Panel Penasihat Perpaduan negara (Panel) dan Jawatankuasa Penasihat
Perpaduan Peringkat negeri (JKPPN) Penubuhan Panel Penasihat Perpaduan Negara
(PANEL) dan Jawatankuasa Penasihat Perpaduan Negeri (JKPPN) bertujuan untuk
membincangkan isu perpaduan dan integrasi nasional dan memainkan peranan lebih
berkesan. Badan-badan ini bertindak sebagai penyelaras kepada agensi lain dan seterusnya
bertanggungjawab menasihat, melapor, dan mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri dan
Parlimen tentang sebarang isu yang berkaitan dengan perpaduan dan integrasi sosial.
3.17 Strategi Program dan aktiviti Perpaduan
Kerajaan merangka program pemetaan perpaduan untuk meningkatkan kesedaran dan
penghayatan kumpulan sasaran termasuk kanak- kanak prasekolah sehingga ke peringkat
pengajian tinggi. Seterusnya kakitangan kerajaan dan swasta serta anggota komuniti seperti
belia, wanita dan orang kurang upaya serta orang ramai juga boleh berperanan membawa
perubahan dari aspek pengetahuan, sikap dan kemahiran tentang perpaduan antara etnik. Di
peringkat sekolah, aktiviti yang dicadangkan adalah berbentuk pendidikan pelbagai budaya
yang boleh diintegrasikan dalam bentuk kurikulum dan kokurikulum. Di tempat kerja pula,
aktivitinya adalah tentang pengurusan kepelbagaian dalam kalangan pekerja, manakala pada
peringkat komuniti, aktivitinya berunsurkan pengembangan yang boleh membawa perubahan
serta pembangunan kepada masyarakat setempat. Selain itu, strategi lain yang difikirkan
dapat membantu memantapkan proses perpaduan dan integrasi juga turut diwujudkan seperti
12
latihan dalam bidang komunikasi antara budaya, pengauditan dasar kerajaan dan
menghasilkan satu etika tentang hak dan tanggungjawab kemanusiaan untuk rakyat Malaysia.
Usaha juga perlu dipergiatkan untuk menerbitkan bahan bacaan secara meluas tentang
pelbagai etnik di Malaysia.
3.18 Memperkasakan Sekolah Kebangsaan
Sistem pendidikan negara pelbagai aliran menyebabkan tidak ada acuan khusus yang boleh
digunakan untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu. Hal ini menyebabkan ibu bapa
lebih cenderung memilih aliran mengikut etnik masing-masing. Usaha memupuk perpaduan
harus bermula sejak awal lagi, iaitu sewaktu anak-anak berada di peringkat prasekolah,
sekolah rendah dan menengah, mengikuti acuan kurikulum yang sama. Dengan itu, sekolah
kebangsaan perlu diperkasakan bagi menerapkan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar
pelbagai etnik supaya mereka dapat dilatih hidup saling bekerjasama dan mempunyai
semangat patriotisme serta berakomodatif yang tinggi.
Langkah-langkah untuk memperkasakan sekolah kebangsaan perlu diletakkan di
landasan yang lebih kukuh ke arah menyatupadukan rakyat berbilang etnik tanpa
mengetepikan sekolah rendah jenis kebangsaan yang telah dipersetujui oleh semua golongan
etnik di bawah kontrak sosial. Setiap ibu bapa diberi kebebasan menghantar anak mereka ke
sekolah kebangsaan termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina atau Tamil tanpa halangan.
Sekolah kebangsaan merupakan institusi pendidikan utama bagi anak-anak Malaysia untuk
memenuhi aspirasi dan memiliki jati diri nasional. Sekolah Kebangsaan bukan sahaja
berkemampuan mendidik pelajar pelbagai etnik, tetapi juga membantu menanam nilai- nilai
perpaduan dalam kalangan warganegara Malaysia.
Memupuk semangat perpaduan dan keyakinan terhadap sistem sekolah satu aliran, iaitu
sekolah kebangsaan perlu ditadbir sebaik- baiknya supaya bukan sahaja boleh menarik orang
Melayu, tetapi juga orang bukan Melayu menghantar anak mereka belajar di sekolah tersebut.
Lantaran itu, dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh, kualiti pengajaran di sekolah
kebangsaan dipertingkatkan dengan 100 peratus guru di sekolah menengah dan 25 peratus
guru di sekolah rendah akan mempunyai kelayakan ijazah pertama menjelang tahun 2012
supaya sekolah kebangsaan menjadi sekolah pilihan. Semangat perpaduan dalam kalangan
pelajar perlu dipupuk bukan sahaja di peringkat sekolah, tetapi juga di peringkat Institusi
Pengajian Tinggi dengan beberapa pendekatan. Antaranya, tidak mengetepikan penguasaan
13
bahasa ibunda masing-masing seperti bahasa Mandarin, Tamil, Iban dan Kadazan Dusun,
memberikan kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan interaksi antara golongan etnik,
mengadakan lebih banyak aktiviti antara golongan etnik, mengadakan program interaksi
antara sekolah dan memasukkan unsur-unsur interaksi etnik dalam kurikulum serta
meningkatkan kemahiran berinteraksi dengan golongan etnik lain.
3.19 Memperkasakan Sekolah Wawasan
Kerajaan telah memperkenalkan konsep Sekolah Wawasan sebagai satu daripada pendekatan
alternatif untuk memupuk nilai perpaduan etnik dan integrasi nasional dengan membina dua
atau tiga jenis sekolah rendah yang berlainan bahasa pengantar. Namun, pentadbiran terletak
dalam kawasan yang sama dan berkongsi kemudahan asas seperti padang permainan dan
dewan. Sekolah Wawasan ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang memberikan
peluang yang luas kepada para pelajar pelbagai etnik untuk bergaul dan berinteraksi melalui
pelbagai aktiviti tanpa menjejaskan status dan perkembangan sekolahnya.
3.20 Memperkenalkan Program latihan Khidmat negara (PLKN)
Program latihan Khidmat Negara (PLKN) mula dilaksanakan pada 2004 sebagai kursus
wajib selama tiga bulan di kem latihan bagi remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
PLKN yang berteraskan Rukun Negara mempunyai kurikulum berbentuk multidisiplin yang
mengandungi beberapa modul. Antaranya:
i. Modul Fizikal yang merangkumi aktiviti kawad, merempuh halangan, merentas desa dan
kembara hutan;
ii. Modul Kenegaraan yang memberi penekanan terhadap aspek pengetahuan tentang
pembinaan negara bangsa;
iii. Modul Pembinaan Karektor mencakupi penerokaan diri sendiri dan hubungan
interpersonal;
iv. Modul Khidmat Komuniti yang menyentuh antara lain aktiviti gotong-royong seperti
membersihkan, mengindahkan dan menceriakan kawasan sekitar.
14
Antara objektif utama PLKN adalah untuk:
i. Menanam semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda atau remaja Malaysia.
ii. Memupuk perpaduan etnik serta integrasi nasional.
iii. Membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni.
4.0 Peranan Masyarakat dalam Konteks hubungan etnik
Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dimainkan oleh masyarakat untuk memastikan
keharmonian etnik sentiasa terjaga. Antara aktiviti itu adalah seperti berikut:
4.1 Rukun Tetangga
Rukun Tetangga diperkenalkan pada tahun 1975 berikutan penguatkuasaan Peraturan-
Peraturan Perlu mengenai Rukun Tetangga 1975. Pada mulanya Rukun Tetangga bertujuan
untuk membolehkan rakyat mengawal keselamatan di kawasan kediaman masing-masing
dengan mewajibkan masyarakat setempat berumur 18 hingga 55 tahun menjalankan tugas
rondaan pada waktu malam. Mulai 1 Januari 1983, kerajaan telah membuat pindaan terhadap
Peraturan Perlu (Rukun Tetangga) 1975 dengan memberi penekanan kepada konsep kejiranan
untuk memupuk serta mengukuhkan lagi semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat
setempat. Pada tahun 2000, peraturan Rukun Tetangga telah dipinda sekali lagi dengan
memberi ruang yang lebih luas untuk pembangunan masyarakat secara menyeluruh ke arah
mewujudkan perpaduan nasional.
Visi dan misi Rukun Tetangga adalah untuk membantu memupuk persefahaman dan
bertolak ansur ke arah pembangunan bangsa Malaysia yang bersatu padu serta mempunyai
identiti sendiri dengan motonya “Bersatu Terus Maju” dalam konteks pencapaian Wawasan
2020. Objektifnya ialah memelihara, meningkat dan mengukuhkan perpaduan rakyat dan
integrasi nasional selaras dengan dasar pembangunan negara berlandaskan Perlembagaan
Persekutuan dan Rukun Negara. Dengan kata lain, Skim Rukun Tetangga diperkenalkan
15
sebagai langkah untuk membolehkan rakyat sendiri mengawal dan menjaga keselamatan
kawasan kediaman mereka dengan penekanan terhadap konsep kejiranan serta falsafah
bahawa kesejahteraan kawasan sejiran akan menjamin kesejahteraan negara. Peranannya
diperluaskan lagi kepada pembangunan komuniti bagi memastikan perpaduan dan
keharmonian hubungan dalam masyarakat akan berterusan dan berkekalan.
Dari aspek sosial, ahli Rukun Tetangga melakukan amalan kunjung- mengunjung
semasa musim perayaan. Dari segi pendidikan, mereka mengadakan sistem pendidikan tidak
formal seperti kolokium jiran wanita, kursus motivasi, kursus kepemimpinan, tuisyen dan
ceramah dalam pelbagai bidang. Selain itu, mereka juga mengadakan aktiviti sukan seperti
sukaneka, larian amal, permainan bola sepak, bola baling, bola jaring, sukan air, sukan
tradisional dan sukan rakyat. Mereka juga mengadakan aktiviti rekreasi seperti tai chi,
ekspedisi mendaki bukit, kembara mendaki gunung dan khemah kerja. Ceramah kesihatan
berkaitan anti-dadah, AIDS, kanser, kempen kebersihan, dan menjaga harta awam juga
dianjurkan oleh Jawatankuasa Rukun Tetangga.
Ceramah dan forum berkaitan dengan keagamaan juga diadakan. Aktiviti melawat ke
rumah warga tua, memberikan sumbangan kepada orang miskin, membuat kerja amal,
membantu mangsa banjir, ribut dan bencana alam juga dilaksanakan. Jawatankuasa Rukun
Tetangga juga mengadakan kelas seni tari, kraf tangan, permainan tradisional, kelas gamelan,
kompang, tarian tradisional, tarian singa, pertunjukan pentas dan lain-lain.
Dalam aspek ekonomi pula mereka mengadakan projek tanaman secara hidroponik,
ternak ikan air tawar dan membuat air lada manakala dalam aspek keselamatan, mereka
mengadakan rondaan sukarela, mengesan dan melaporkan isu hubungan etnik dan menjadi
perantara dalam penyelesaian konflik. Aktiviti tersebut bertujuan untuk membolehkan
penduduk setempat berkenalan, bantu-membantu dalam menghadapi masalah bersama,
berinteraksi dan merapatkan hubungan di peringkat akar umbi antara pemimpin dengan
rakyat dan antara rakyat pelbagai keturunan, adat dan budaya.
4.2 Rumah Terbuka
Rumah terbuka diadakan sempena sambutan musim perayaan sesuatu kaum di Malaysia.
Masyarakat pelbagai etnik saling berkunjung ke rumah jiran tetangga mereka. Sebagai
contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, etnik Cina, India, Kadazan Dusun, Iban dan
16
pelbagai lagi akan berkunjung ke rumah etnik Melayu dan begitulah sebaliknya apabila tiba
perayaan etnik lain. Etnik Cina, misalnya, akan berusaha menyediakan makanan yang halal
kepada etnik Melayu apabila menjemput etnik Melayu datang ke rumah mereka sewaktu
perayaan Tahun Baru Cina. Demikian juga semasa perayaan Krismas atau Deepavali.
Hal ini menunjukkan etnik Cina, India, Iban, dan Kadazan Dusun begitu mengambil
berat dan memahami budaya etnik Melayu dan etnik Melayu pula tidak akan menyajikan
daging lembu kepada etnik India apabila mereka datang ke rumah semasa Hari Raya
Aidilfitri. Pertimbangan ini memperlihatkan keharmonian hubungan etnik sentiasa terjalin
kukuh dalam kalangan rakyat dan memahami keharmonian budaya masing-masing. Amalan
ini membuktikan kesepaduan sosial dalam masyarakat berada pada tahap yang tinggi
walaupun mereka berlainan agama, etnik dan budaya.
4.3 Penerimaan Budaya
Pada masa ini, masyarakat bukan Melayu seperti Cina dan India termasuk juga etnik
bumiputera di Sabah dan Sarawak telah menerima budaya etnik Melayu dari segi pakaian dan
makanan. Contohnya, orang bukan Melayu seperti Cina, India, dan Kadazan Dusun telah
memakai baju kurung dan baju Melayu. Malah, trend berpakaian dan menikmati juadah
makanan Melayu sudah menjadi lumrah bagi etnik bukan Melayu. Bagi orang Melayu pula,
mereka mula menerima masakan Cina dan India serta pemberian duit raya telah
menggunakan sampul atau angpau yang terkenal dalam golongan orang Cina.
4.3.1 Program di Institusi Pengajian Tinggi (IPT)
Di IPT bahagian hal ehwal pelajar melalui persatuan dan kelab telah menggalakkan aktiviti
dan program yang menjurus kepada perpaduan etnik dalam kalangan mahasiswa. Sebagai
contoh, aktiviti Pesta Tanglung bukan sahaja melibatkan mahasiswa Cina dan India, tetapi
turut disertai mahasiswa Melayu. Dalam aspek kepemimpinan pelajar, ternyata tidak
didominasi oleh sesuatu etnik sahaja, malah dianggotai oleh pelbagai etnik seperti dalam
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Kandungan kursus di semua IPT menitikberatkan aspek pendidikan yang harmoni
dalam masyarakat pelbagai etnik. Nilai rohani dan budaya diberikan keutamaan dalam subjek
17
Kenegaraan, Tamadun Islam dan Asia khususnya menerusi kursus Hubungan Etnik untuk
menguatkan peribadi dan sahsiah pelajar.
Kelab Perpaduan atau Kelab Rukun Negara telah diwujudkan di IPT sebagai usaha
menyemai kesedaran terhadap kepentingan perpaduan etnik dengan menggalakkan
mahasiswa menganggotai kelab berkenaan. Pelajar juga digalakkan mempergiatkan dan
mempertingkatkan aktiviti kokurikulum seperti dalam program sukan, kelab, persatuan,
pameran dan ceramah. Aktiviti kokurikulum sedemikian merupakan bidang pembelajaran
yang menekankan pemupukan dan perkembangan diri individu melalui psikomotor, kognitif
dan afektif.
Di luar sistem akademik pula, para mahasiswa dilibatkan dalam aktiviti pelbagai etnik
seperti menyertai program keluarga angkat, persatuan dan badan beruniform. Para pelajar
juga perlu ditugaskan dalam projek perkhidmatan masyarakat seperti operasi khidmat
masyarakat dan mahasiswa balik kampung. Hal ini akan memberi pengalaman yang sangat
berharga dalam memahami kehidupan rakyat Malaysia yang pelbagai sifatnya.
Aktiviti berpersatuan dan khidmat masyarakat mempunyai peranan penting dalam
menggalakkan penyertaan dan pengalaman bersama antara etnik. Lantaran itu, pihak kerajaan
dan sektor swasta perlu menyokong sepenuhnya aktiviti berkenaan. Para pensyarah juga perlu
diterapkan dan didedahkan dengan sikap perpaduan antara kaum yang positif. Mereka perlu
mendapat pendedahan tentang kursus seperti Hubungan Etnik untuk menerapkan nilai-nilai
yang penting dalam kalangan pelajar bagi memupuk keharmonian etnik. Para pensyarah dan
mahasiswa berperanan sebagai agen penyebar perpaduan dan keharmonian. Mereka
merupakan agen integrasi dan perpaduan yang memainkan peranan penting dalam
menggalakkan lebih banyak interaksi melalui tugasan dan projek akademik.
4.3.2 Peranan NGO dalam Konteks hubungan etnik
Terdapat pertubuhan induk di peringkat kebangsaan yang menaungi pertubuhan berasaskan
etnik seperti Pertubuhan Belia Malaysia dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Malaysia.
Pertubuhan NGO pula dapat memainkan peranan untuk mempercepatkan proses hubungan
etnik di Malaysia. Dari aspek kepemimpinan pula pemimpin persatuan di peringkat negara
atau persatuan, barisan kepemimpinannya disertai oleh pemimpin daripada pelbagai etnik.
Sebagai contoh, kepemimpinan Majlis Belia Malaysia disertai oleh semua golongan etnik.
Walaupun terdapat pembahagian pertubuhan mengikut etnik seperti Pergerakan Belia 4B,
18
Persatuan Belia Tamil, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Dewan Perniagaan Cina dan
Dewan Perniagaan India Malaysia, namun persatuan berkenaan dapat digunakan oleh NGO
untuk mengadakan pelbagai dialog dan seminar dalam usaha memahami permasalahan dan
jalan penyelesaiannya. Melalui dialog dan seminar tersebut, secara tidak langsung akan dapat
memupuk hubungan antara etnik.
Sains dan teknologi juga memainkan peranan untuk meningkatkan hubungan etnik
kerana pembangunan ekonomi di Malaysia berasaskan sains dan teknologi termasuk sektor
perindustrian dan pembangunan bioteknologi. Dalam konteks ini, kerajaan telah menetapkan
bilangan pelajar dalam bidang sains dan teknologi dan sains sosial adalah berdasarkan nisbah
60:40. Hal ini menunjukkan bilangan saintis yang akan dilahirkan adalah terdiri daripada
pelbagai etnik. Justeru, pihak kerajaan dan sektor swasta memainkan peranan dalam usaha
menyumbang dana bagi meningkatkan penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan
inovasi dan seterusnya memacu pertubuhan ekonomi negara.
Dana dan geran daripada pihak swasta dan penubuhan institusi tertentu seperti Koridor
Raya Multimedia (MSC), Akademi Sains Negara dan pelbagai lagi merupakan penjana
kepada pembangunan ekonomi negara. Justeru, sains dan teknologi memainkan peranan
dalam pembangunan ekonomi negara. Apabila pembangunan ekonomi negara berkembang
pesat, kestabilan politik dapat diwujudkan dan kesannya dapat menarik lebih ramai pelabur
dari dalam dan luar negara untuk memacu pertumbuhan ekonomi. Keadaan ini akan memberi
banyak peluang pekerjaan tanpa mengira golongan etnik. Hasilnya taraf hidup rakyat akan
meningkat, jurang ekonomi antara etnik dapat dirapatkan dan akhirnya akan wujud
keharmonian rakyat di Malaysia.
Sejajar dengan hasrat dan matlamat kerajaan untuk memupuk perpaduan dalam
masyarakat, Multinational Corporation (MNC) turut memainkan peranan ke arah
kesejahteraan masyarakat dengan cara menaja aktiviti yang memupuk perpaduan dalam
kalangan masyarakat pelbagai etnik. Antara syarikat tersebut ialah YTL Corporation, Lion
Group, Maxis dan Berjaya Group. Syarikat berkenaan sering menganjurkan aktiviti
kemasyarakatan melibatkan pelbagai etnik melalui penajaan dalam bidang pendidikan,
penjagaan alam sekitar, kebajikan,
Hubungan Etnik hari keluarga atau dikenali sebagai Corporate Social Responsibility (CSR).
Antara matlamat utama syarikat MNC ini adalah untuk memberi peluang kepada golongan
sasar terutamanya masyarakat luar bandar yang rendah tahap kehidupan mereka supaya dapat
menikmati bantuan menerusi program CSR ini. Tanggungjawab sosial yang diberikan dapat
19
membantu kerajaan memperbaiki kualiti kehidupan dalam kalangan masyarakat yang
memerlukan tanpa mengira batas etnik di seluruh pelosok negara. Di samping itu, generasi
muda terutamanya para pelajar pelbagai etnik ialah golongan penting kepada syarikat MNC
kerana program dan aktiviti anjuran CSR melibatkan pemberian dana bantuan berbentuk
biasiswa kepada mereka yang cemerlang untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang
lebih tinggi. Golongan warga emas juga turut didekati oleh pihak MNC dengan menyalurkan
sumbangan untuk meringankan sedikit tanggungan oleh pihak tertentu dan sebagai
mengingati jasa dan bakti mereka kepada masyarakat dan negara.
5.0 Kesimpulan
Setiap golongan etnik di Malaysia mempunyai jati dirinya sendiri dan diamalkan mengikut
etnik masing-masing. Kepelbagaian jati diri ini merupakan satu keunikan yang tidak
sewajarnya dicerobohi. Usaha ke arah meraikan kepelbagaian yang sedia ada perlu difahami
oleh semua lapisan masyarakat demi mewujudkan keharmonian hubungan antara etnik.
Usaha ke arah mewujudkan integrasi etnik di Malaysia perlu melibatkan pelbagai pihak dan
tidak seharusnya diserahkan kepada pihak kerajaan semata-mata. Kerajaan dengan
pelaksanaan pelbagai dasarnya perlu disokong oleh badan-badan bukan kerajaan dan juga
pihak swasta bagi memastikan hubungan etnik sentiasa berada dalam keadaan harmoni.
Penglibatan semua pihak mampu menjayakan usaha ke arah mengeratkan hubungan tersebut.
Kepelbagaian budaya dalam negara Malaysia seharusnya tidak menimbulkan masalah
perkauman. Setiap kaum mahupun etnik, perlu mengetahui dan memainkan peranan mereka
dalam memastikan konflik perkauman supaya peristiwa 13 Mei 1969 tidak berulang semula.
Peristiwa tersebut menunjukkan betapa pentingnya untuk kita berinteraksi antara satu sama
lain tanpa mengira warna kulit, agama, budaya dan bangsa. Perpaduan kaum ini amatlah
penting bagi menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang
2020.
Keutuhan sesebuah negara terletak kepada perpaduan rakyatnya. Apabila rakyatnya
saling memahami mahupun saling menghormati satu sama lain, nescaya negara akan sentiasa
stabil dan kemajuan dapat dinikmati. Kehidupan masyarakat yang bersegregasi sememangnya
menyebabkan perpaduan sangat sukar untuk dikecapi. Ini kerana, apabila persefahaman
antara kaum yang kurang, yang sentiasa hidup di kelompok sendiri, masyarakat tidak akan
mengambil berat akan satu sama lain. Persefahaman yang kurang boleh mendatangkan
pelbagai kesan buruk yang boleh mengancam keselamatan dalam negara, ketidakstabilan
20
ekonomi, dan mungkin juga boleh mencetus perang saudara. Sentimen perkauman juga
haruslah dielakkan.
Di samping itu, isu-isu sensitif adalah wajar untuk tidak dipermainkan dalam arena
politik mahupun di “perbualan kedai kopi”. Hal ini kerana dikhuatiri perkara tersebut mampu
menggugat kestabilan negara kita yang sekian lama kita pelihara. “Bersatu kita teguh,
bercerai kita roboh”, demikianlah perumpamaan Melayu yang patut kita ambil iktibar dan
pedoman, untuk mengelakkan masyarakat mula berpecah-belah dan sesebuah negara itu
hancur. Apabila sesebuah negara itu hancur, maka kuasa-kuasa asing akan mula mengambil
kesempatan ke atas negara kita.Sehubungan dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara
kaum di negara ini hendaklah diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang
lebih aman, maju, selamat dan makmur. Kerjasama daripada semua pihak seperti kerajaan,
masyarakat dan pertubuhan badan bukan kerajaan amatlah diperlukan untuk meningkatkan
hubungan etnik di negara Malaysia.
21
RUJUKAN
Buku
Amidah Hamim. (2001). Rancangan Malaysia Ke-8 (Teras Utama Pertumbuhan Mapan). Kuala Lumpur: Jabatan Penerangan Malaysia.
Amir Hasan Dawi. (2002). Penteorian Sosiologi dan Pendidikan. Tanjong Malim, Perak: Quantum Books.
Shamsul Amri Baharuddin. (2012). Modul Hubungan Etnik. Bangi, Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Zaid Ahmad (Editor), Ruslan Zainuddin, Ahmad Tarmizi Talib & Nazri Muslim, Najeemah Mohd Yusof, Sarjit Singh Gill, Lee Yok Fee, Ho Hui Ling. ( 2006). Hubungan Etnik di Malaysia. Shah Alam; Oxford Fajar Sdn Bhd.
Mohd Ashraf Ibrahim, Mohd Aris Othman, Amaran Abd Malek, Chin Kuang Tiu & Mohd Saleh Ismail. ( 2013 ). Siri Pendidikan Guru: Hubungan Etnik. Shah Alam; Oxford Fajar Sdn Bhd.
( 2010 ) Malaysia Kita; Panduan dan Rujukan Untuk Peperiksaan Kerajaan. International Law Book Services,Petaling Jaya, Selangor
Laman Web
http://Hubungan-Etnik.Blogspot.Com/2009_10_01_Archive.Html
htp://jontirikoloiyo.blogspot.com/2008/10/segregasi-etnik-dan-cabaran-integrasi.html
http://testingrema.blogspot.com/2011/11/pengenalan-konsep-interaksi-menurut.html
http://www.youblisher.com/p/369280-MODUL/ http://zanas.wordpress.com/tirai-kemerdekaan-negara/pembentukan-masyarakat-majmuk-di-malaysia/
22
23
top related