soalan 1 - best

Upload: amirul-arif

Post on 04-Mar-2016

236 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

WORK HARD

TRANSCRIPT

1.0 PENGENALANSalah satu cabaran yang sering dihadapi oleh guru pelatih semasa menjalani praktikum adalah masalah tekanan emosi murid. Guru perlu memahami emosi murid kerana perbezaan tingkah laku, sosial dan rohani dalam kalangan murid. Saya akan menerangkan lebih lanjut berkaitan dengan tekanan emosi dalam kalangan murid yang meliputi dari segi maksud gangguan emosi, jenis emosi, kategori gangguan emosi, punca gangguan emosi, tanda-tanda gangguan emosi dan langkah-langkah menangani gangguan emosi. Selain itu, saya juga akan menerangkan satu kes yang berkaitan dengan tekanan emosi dalam kalangan murid berdasarkan pengalaman saya melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran semasa menjalankan praktikum di sekolah.

2.0 MAKSUD GANGGUAN EMOSIEmosi merupakan salah satu unsur yang memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia sejagat. Emosi juga merupakan satu tunjang yang penting dalam perjalanan setiap insan di muka bumi ini. Jika emosi diganggu, akan timbul beberapa masalah yang mampu memberi kesan yang negatif kepada diri sendiri seperti tidak bersemangat dalam melakukan sesuatu perkara dan sering kelihatan gelisah dalam melaksanakan sesuatu tugasan. Jika berlarutan, gangguan emosi ini akan menjadi penyakit yang lebih serius dan boleh menyebabkan gangguan mental. Menurut kamus dewan edisi keempat, emosi bermaksud perasaan jiwa yang kuat seperti sedih, gembira, takut dan lain-lain. Gangguan emosi pula boleh ditakrifkan sebagai satu situasi yang menunjukkan satu atau lebih perwatakan oleh murid-murid.

3.0 JENIS EMOSI

Terdapat dua jenis emosi iaitu emosi positif dan emosi negatif. Emosi positif ialah emosi yang dapat membawa kepada perasaan gembira dan perasaan optimistik. Contohnya ialah cinta, keyakinan, sanjungan, penghormatan, kebanggaan, kepuasan, bertanggungjawab dan sebagainya. Emosi positif sangat penting kepada individu seperti pesakit atau sesiapa yang mengalami tekanan hidup. Emosi negatif pula adalah sebarang perasaan yang membawa perasaan yang tidak baik atau kurang selesa atau destruktif. Contohnya ialah perasaan seperti marah, kemurungan, takut, bersalah, resah, malu, sedih, tersinggung dan sebagainya. Emosi-emosi negatif ini mempunyai pengaruh besar terhadap kesihatan seseorang.4.0 KATEGORI GANGGUAN EMOSI

Gangguan emosi ini dapat dikategorikan dalam tiga jenis iaitu gangguan emosi ringan, gangguan emosi sederhana dan gangguan emosi berat. Gangguan emosi ringan biasanya tidak terlalu kelihatan ciri-ciri dan luarannya. Gangguan emosi sederhana pula lebih jelas kelihatan berbanding dengan gangguan emosi ringan. Gangguan ini dapat dilihat dari segi fizikal seperti gerak badan, mimik muka dan perlakuan murid-murid tersebut seperti marah, takut, sedih dan sebagainya. Bagi gangguan emosi jenis berat pula, dari segi fizikalnya, memang dapat dilihat dengan begitu jelas sekali. Gangguan emosi jenis ini agak bahaya kerana mampu mengundang bahaya apabila murid tersebut akan melakukan percubaan untuk mencederakan rakan-rakannya atau dirinya sendiri.

5.0 PUNCA GANGGUAN EMOSITerdapat beberapa punca gangguan emosi murid seperti persekitaran sekolah. Contohnya kelas tidak kondusif. Selain itu, gaya pengajaran guru. Kepimpinan ini mewujudkan suasana yang tertekan dan tidak menarik serta tidak kondusif. Di samping itu, pengaruh keluarga. Contohnya, keluarga yang sering bertengkar, bergaduh, kurang mesra dan bercerai akan membawa keadaan gangguan emosi dan penyesuaian kanak-kanak yang tidak stabil. Seterusnya, pengaruh rakan sebaya. Contohnya, murid yang diterima oleh rakan sebaya akan bersikap ceria, bersemangat, baik hati manakala murid yang tidak disanjung dan disingkirkan oleh rakan-rakan akan berasa kurang yakin pada diri sendiri, penakut, dan menjauhkan diri dari rakan sebaya. Tindakan guru juga mempengaruhi emosi murid. Contohnya, tindakan guru yang tidak memahami masalah murid mungkin akan mengabaikannya begitu sahaja tanpa memberikan perhatian, sokongan, dan bimbingan.

6.0 TANDA-TANDA GANGGUAN EMOSIGuru yang berhadapan dengan muridnya pada setiap hari seharusnya dapat mengenal pasti tanda-tanda gangguan emosi dalam kalangan murid mereka. Antara tanda gangguan emosi dalam kalangan murid ialah tidak hadir ke sekolah tanpa sebarang sebab munasabah, sentiasa kelihatan letih, duduk dalam keadaan yang tidak selesa, pencapaian akademik yang semakin merosot, sering berasa cemas, takut dan benci, konsep kendiri yang lemah, bertindak tidak wajar disebabkan tekanan perasaan, cepat marah, suka bergaduh, kerap berbohong, bertindak liar untuk menarik perhatian, menunjukkan perasaan dengki, keterlaluan dan suka merenung atau berkhayal.7.0 LANGKAH-LANGKAH MENANGANI GANGGUAN EMOSIMurid yang mengalami gangguan emosi perlu dibantu. Antara langkah yang boleh diambil untuk menangani gangguan emosi murid ialah peranan ibu bapa. Selain itu, tindakan guru dan gaya pembelajaran. Langkah yang seterusnya ialah kepimpinan guru. Kefahaman terhadap minat dan sikap murid juga penting. Penerangan jelas juga penting sebagai langkah menangani gangguan emosi murid. Contoh langkah lain seperti khidmat sokongan daripada pakar psikologi atau kaunselor, diberi bimbingan kerjaya, modifikasi tingkah laku yang bersesuaian, didedahkan dengan pengurusan emosi, peraturan bilik darjah yang bersesuaian dan murid diberi peluang mengenal pasti masalah dan tingkah laku sendiri.

8.0 REFLEKSI BERKAITAN TEKANAN EMOSI DALAM KALANGAN MURIDSaya telah mengenal pasti masalah tekanan emosi dalam kalangan murid berdasarkan pengalaman saya melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran semasa menjalankan praktikum di sekolah. Berdasarkan pengalaman saya semasa menjalankan praktikum fasa satu, dua dan tiga saya dapati terdapat murid yang emosinya resah. Semasa menjalankan praktikum yang ketiga iaitu di Sekolah Kebangsaan Dato Klana Putera, Seremban, Negeri Sembilan saya telah mengenal pasti seorang murid yang mana emosinya kerap kali kelihatan resah. Nama murid ini ialah Adam bin Jamil. Murid ini berumur 9 tahun dan berada dalam darjah dua. Adam merupakan anak ke dua daripada enam adik-beradik. Ayahnya bekerja sebagai petani dan ibunya suri rumah. Saya telah memperoleh beberapa maklumat tentang murid ini daripada guru Bahasa Melayu dan juga guru penolong kanak hal ehwal murid serta bertanya sendiri dengan murid tersebut. Adam mempunyai seorang kakak yang juga bersekolah di tempat yang sama. Kakak Adam berumur 12 tahun dan berada dalam darjah enam. Saya dapati Adam dan kakaknya mempunyai emosi yang sama iaitu resah.Gangguan emosi Adam berada pada kategori gangguan emosi sederhana. Hal ini kerana saya boleh lihat emosinya yang resah melalui mimik mukanya dan juga tingkah laku murid ini. Terdapat beberapa punca gangguan emosi iaitu resah dalam diri murid ini iaitu kurang keyakinan diri. Guru Bahasa Melayu ada berjumpa dengan saya dan memberitahu tentang masalah murid ini. Contohnya, murid ini sangat pendiam di dalam bilik darjah. Murid ini tidak seperti murid-murid yang lain yang mana aktif semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Guru Bahasa Melayu ada meminta dengan saya supaya mendekati murid ini dengan harapan supaya murid ini berubah. Selain itu, murid ini juga kelihatan resah kerana sering menghadapi masalah dalam pergaulan. Murid ini tidak mempunyai kawan yang ramai di dalam bilik darjah tersebut. Murid ini juga kerap kali keluar kelas walaupun guru sedang menjalankan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Murid ini juga suka bersendirian. Terdapat beberapa cara yang telah saya gunakan untuk membantu menangani masalah gangguan emosi murid ini. Salah satunya ialah memberikan peneguhan positif kepada murid ini sekiranya menunjukkan perubahan yang baik. Contohnya, saya meminta murid ini supaya bersikap yakin dengan diri sendiri dan berani untuk bergaul dengan kawan-kawannya. Jika murid ini berjaya melakukannya maka saya akan memberikan peneguhan positif seperti hadiah atau pujian. Selepas seminggu, saya dapati murid ini sudah ada sedikit perubahan. Murid ini sudah mampu bermain bersama dengan kawan-kawannya yang lain. Kadang-kadang saya melihat murid ini ketawa bersama dengan kawan-kawannya. Selain itu, saya juga menggunakan motivasi intrinsik untuk menangani masalah emosi murid ini. Contohnya, saya akan memberikan kata-kata semangat kepada murid ini supaya bermotivasi untuk berubah.Selain itu, saya juga merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan emosi murid apabila mengajar di kelas tersebut. Saya akan menjalankan pengajaran dan pembelajaran yang lebih kepada didik hibur. Contohnya, saya akan selitkan aktiviti permainan dan nyanyian dalam pengajaran dan pembelajaran. Hal ini dapat mengurangkan ketegangan dan keresahan dalam diri murid. Saya dapat lihat perubahan yang positif pada diri Adam. Adam seronok dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang saya jalankan. Adam sudah boleh mengambil bahagian bersama dengan kawan-kawannya yang lain. Adam begitu gembira sekali terutamanya dalam aktiviti nyanyian. Di samping itu, saya juga mengaitkan pengetahuan sedia ada murid dan memperkembangkan pengalaman murid menggunakan alat bantu mengajar yang sesuai. Cara lain yang telah saya lakukan ialah membawa murid tersebut berjumpa dengan guru penolong kanan hal ehwal murid dan juga merangkap sebagai guru kaunselor di sekolah tersebut. Saya telah meminta guru tersebut untuk memberikan kata-kata motivasi dan nasihat kepada Adam. Saya dapat lihat Adam begitu ceria kerana merasakan dirinya diambil berat oleh guru tersebut. Lebih-lebih lagi mendapat perhatian yang baik daripada guru penolong kanan hal ehwal murid. Hal ini dapat meningkatkan lagi keyakinan murid dan tidak akan merasakan dirinya bersendirian di sekolah tersebut.9.0 PENGENALANInovatif berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud pembaharuan. Inovatif bermaksud kebolehan untuk membuat pembaharuan atau mengubahsuai untuk menjadikannya lebih baik, elok, berkualiti dan sebagainya. Kreatif pula ialah kebolehan atau keupayaan untuk mencipta, mewujud dan menghasilkan sesuatu yang baru atau dalam bentuk baru melalui kemahiran imaginasi. Guru yang kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sesuai dengan misi dan visi sekolah serta mampu memenuhi matlamat pendidikan negara ke arah meningkatkan kualiti pendidikan seiring dengan cabarandunia globalisasi. Cabaran global kini memerlukan guru mempunyai keunggulan hasil inovasi dalam pedagogi yang ditentukan oleh cara kurikulum yang dilaksanakan dan disesuaikan dengan konteks budaya yang diwakili oleh setiap murid yang berlainan bangsa.Sesungguhnya, guru yang kreatif dan inovatif akan menjadi seorang yang sentiasa berfikir, ingin mencipta, berani dan yakin pada diri sendiri. Inilah ciri-ciri guru yang perlu ada bagi menghadapi cabaran masa depan terutama dalam memasuki era 2020.

10.0 CARA MEMANFAATKAN PENGALAMAN SEBAGAI GURU PELATIH YANG KREATIF DAN INOVATIFInstitusi Pendidikan Guru Malaysia telah mereka bentuk latihan perguruan bagi memastikan setiap bakal guru yang dilatih bersiap sedia berdepan dengan cabaran dalam dunia pendidikan. Terdapat beberapa cara bagaimana untuk saya memanfaatkan pengalaman sebagai guru pelatih sehingga dapat membentuk diri saya supaya menjadi seorang guru yang kreatif dan inovatif dalam bidang pengkhususan saya seperti pembelajaran berasaskan projek, pembelajaran berasaskan masalah, pembelajaran elektronik dan pembelajaran laman web.

10.1 PEMBELAJARAN BERASASKAN PROJEKSesuatu kaedah pengajaran sistematik yang melibatkan pelajar dalam pembelajaran pengetahuan atau kemahiran melalui proses inkuiri lanjutan yang dibina berdasarkan persoalan asli dan direka untuk menghasilkan produk atau tugasan. Inilah yang saya pelajari di Institut Pendidikan Guru Malaysia. Pembelajaran berasaskan projek ini membolehkan saya membuat aplikasi isi pelajaran kepada permasalahan autentik yang memerlukan pemikiran kritis dan meningkatkan tanggungjawab saya sebagai guru pelatih terhadap pembelajaran. Tambahan pula, pembelajaran berasakan projek ini lebih kepada pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar serta membolehkan saya sebagai guru pelatih mengurus dan menentukan sumber, masa dan bahan.Terdapat beberapa pembelajaran berasaskan projek yang telah saya pelajari di Institut Pendidikan Guru Malaysia contohnya membuat bahan bantu mengajar seperti koleksi pintar matematik, dadu serba guna, papan putih si comel, main sorong tarik, laptop ajaib, pancing botol, dart perkataan dan dadu warna-warni . tugasan ini amat sesuai kerana saya perlu menghasilkan sesuatu bahan bantu mengajar yang baharu atau mencipta bahan bantu mengajar yang baharu bersesuaian dengan peredaran zaman. Tugasan projek yang diberikan ini sudah semestinya mengajar saya agar berbincang untuk mengenal pasti masalah dan mencari jalan penyelesaian. Contohnya, saya akan membaca banyak buku, membuat rujukan dan berbincang dengan senior. Hal ini amat membantu melatih pemikiran saya agar lebih berfikiran kritis, kreatif dan inovatif dalam melakukan sesuatu pembaharuan kerana saya juga dapat bertukar-tukar idea dan pendapat dengan rakan-rakan pelbagai pengkhususan bagaimana menghasilkan bahan bantu mengajar yang kreatif serta inovatif. Pada akhir projek ini membolehkan saya membuat refleksi tentang aktiviti yang dilaksanakan. Saya akan memikirkan apa yang berjaya dilaksanakan? Apa yang tidak berjaya dilakukan? Dan apa yang akan diubahsuai?, supaya kekuatan dapat ditingkatkan dan kelemahan dapat diperbaiki.Saya telah menghasilkan koleksi pintar matematik untuk membantu murid yang bermasalah dalam operasi tambah. Koleksi pintar matematik ini melibatkan aktiviti daripada konkrit ke abstrak. Contoh bahan bantu mengajar dalam koleksi pintar matematik ini iaitu main sorong tarik, power game dan papan magik. Aktiviti pertama iaitu Main Sorong Tarik. Guru akan menerangkan kepada murid bagaimana untuk menggunakan aktiviti ini. Guru akan menyoal murid dan murid akan menyelesaikan soalan tersebut menggunakan Main Sorong Tarik. Contohnya, 2 + 1 = 3. Seterusnya, murid akan beralih pada aktiviti yang ketiga iaitu menggunakan Power Game. Dalam aktiviti ini, murid akan membaling dart pada polistrena warna dan apabila dart tersebut mengenai sasaran iaitu terkena pada warna merah atau biru, kuning atau oren maka murid akan mencabut sampul surat tersebut dan menjawab soalan. Contohnya, 2+5. Murid akan mengambil nombor 2 disebelah kiri Power Game iaitu pada bahagian yang paling atas dan nombor 5 pada bahagian kiri Power Game juga tetapi pada bahagian bawah . seterusnya murid akan menambah nombor tersebut dan memilih jawapan pada sebelah kanan Power Game. Guru boleh meminta murid mengulanginya sebanyak lima kali atau lebih. Akhir sekali, guru akan menerangkan kepada murid bagaimana untuk menggunakan papan magik iaitu murid perlu memasukkan guli ke dalam lubang dan apabila guli tersebut menuju ke sebelah kiri atau kanan maka soalan tersebut yang akan diselesaikan oleh murid. Murid akan menyelesaikan soalan tersebut dengan menunjukkan cara pengiraan menggunakan bentuk lazim pada atas papan plastik lut sinar. Murid yang Berjaya menjawab banyak soalan dengan dengan betul dikira sebagai pemenang. Bahan bantu mengajar lain yang telah saya hasilkan iaitu Dadu Serba Guna dengan papan Putih Si Comel. Saya telah menghasilkan bahan bantu mengajar ini kerana terdapat murid yang bermasalah dalam tulisan iaitu masalah membentuk huruf dengan tepat, keselarasan saiz huruf dan juga jarak antara huruf, suku kata dan perkataan yang tidak konsisten. Aktiviti pertama iaitu murid menggunakan Papan Putih Si Comel untuk menulis huruf abjad kecil dan abjad besar menggunakan pen marker. Murid perlu menyambungkan titik-titik putus menggunakan pen marker sehingga terbentuk huruf tersebut. Setelah siap, murid akan melakukan aktiviti yang kedua iaitu menggunakan Dadu Serba Guna. Murid perlu memusingkan kedua-dua dadu untuk mendapatkan gabungan suku kata agar menjadi perkataan yang betul berdasarkan gambar. Seterusnya, murid menulis perkataan tersebut di atas mounting board yang berbalut dengan plastik lut sinar menggunakan pen marker. Pembelajaran berasaskan projek ini iaitu pameran bahan bantu mengajar sudah semestinya amat membantu saya menjadi seorang guru yang kreatif dan inovatif dalam bidang pengkhususan saya. Hal ini kerana, melalui pengalaman ini saya boleh aplikasikan dengan murid-murid pemulihan dan juga murid-murid perdana. Contohnya, saya dapat menghasilkan bahan bantu mengajar yang bersesuaian dengan masalah murid. Selain itu, saya juga dapat menghasilkan bahan bantu mengajar yang menarik dan menghiburkan. Hal ini mampu menarik perhatian dan menghiburkan murid-murid serta mempercepatkan kefahaman murid-murid tentang topik yang diajar. Di samping itu, melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Saya juga mengaplikasikan beberapa bahan bantu mengajar pada beberapa orang murid di sekolah.

10.2 PEMBELAJARAN BERASASKAN MASALAHPembelajaran berasaskan masalah dikatakan sebagai satu strategi pembelajaran melalui membuat atau melakukan (learning by doing). Di Institut Pendidikan Guru saya dapat mempelajari pembelajaran berasaskan masalah melalui pelaksanaan kajian tindakan. Saya dapat mempelajari bagaimana untuk mengenal pasti masalah. Saya perlu mengenal pasti masalah murid bertujuan untuk memperbaiki amalan pengajaran dan pembelajaran. Saya dapat mempelajari banyak perkara yang perlu ada dalam kajian tindakan ini iaitu bagaimana untuk membuat refleksi pengajaran dan pembelajaran lepas, refleksi sorotan literature, tinjauan masalah, analisis tinjauan masalah, objektif kajian, persoalan kajian, kumpulan sasaran, langkah-langkah tindakan, cara mengumpul data, cara menganalisis data dan perancangan pelaksanaan tindakan. Pembelajaran berasaskan masalah iaitu membuat kajian tindakan amat membantu saya dalam memperbaiki amalan pengajaran saya. Dengan adanya pembelajaran berasaskan masalah iaitu membuat kajian tindakan mampu melahirkan saya sebagai bakal guru yang kreatif dan inovatif. Hal ini kerana melalui pelaksanaan kajian tindakan saya dapat menimba banyak ilmu pengetahuan berkaitan dengan cara mengajar yang lebih efektif dan berkesan serta bermakna kepada murid-murid. Selain itu, saya juga dapat mengetahui sama ada kaedah yang saya laksanakan itu membantu murid ataupun tidak. Di samping itu, saya juga dapat mengetahui sama ada kaedah yang saya gunakan dapat membantu meningkatkan minat murid dalam pengajaran dan pembelajaran ataupun tidak. Seterusnya, melalui pelaksanaan kajian tindakan ini juga membolehkan saya mendapatkan maklumat yang lebih kaya berkaitan dengan kaedah yang saya laksanakan melalui peserta kajian dan juga guru pembimbing. Hal ini membolehkan saya untuk mengetahui kelebihan dan kekurangan tentang kaedah yang saya laksanakan. Pelaksanaan kajian tindakan ini juga memberikan pendedahan awal kepada saya untuk menjalankan kajian tindakan kelak secara berterusan agar menjadi seorang guru yang kreatif dan inovatif.Pengalaman dalam membuat kajian tindakan amat membantu saya menjadi seorang yang kreatif dan inovatif dalam bidang pengkhususan saya. Hal ini kerana saya dapat memperbaiki amalan pengajaran saya. Pengalaman seperti ini menjadikan saya sebagai seorang guru yang peka terhadap keperluan murid-murid sama ada dari segi jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial murid-murid. Bukan itu sahaja, saya juga boleh berkongsi dengan guru-guru mengenai kajian yang telah saya lakukan supaya dapat dimanfaatkan melalui perkongsian ilmu. Di samping itu, dapat bertukar-tukar idea dan juga dapat bersoal jawab jika terdapat masalah berkaitan perkongsian ilmu. Saya yakin dan percaya bahawa aktiviti seperti ini dapat membantu membentuk pemikiran yang kreatif dan inovatif. Pengalaman dalam membuat kajian tindakan juga membolehkan saya menyesuaikan masalah murid dengan bahan bantu mengajar atau kaedah pengajaran . kaedah yang telah saya laksanakan iaitu kaedah SUMETU diharap memberikan manfaat pada murid-murid dan juga guru yang mengajar.Saya telah membantu murid dalam meningkatkan kebolehan mengingat perkataan KVKVK melalui kaedah SUMETU dalam kalangan murid pemulihan. Kaedah SUMETU mempunyai tiga aktiviti iaitu SU (susun), ME (menyanyi) dan TU(tulis). Saya telah menghasilkan kaedah ini kerana terdapat murid saya yang bermasalah dalam mengingat perkataan KVKVK seperti nanas, berus, bibir, kotak dan rumah.

10.3 PEMBELAJARAN ELEKTRONIKPembelajaran elektronik merujuk kepada pembelajaran yang berlaku dengan menggunakan komputer dan internet. Ciri-ciri pembelajaran elektronik ialah pemelajaran berlaku mengikut kadar kendiri pelajar, boleh dicapai oleh lebih ramai jumlah pelajar, memerlukan kemahiran menggunakan komputer dan internet serta pembelajaran ini direka bentuk mengikut keperluan pelajar dan memenuhi kepelbagaian gaya pembelajaran. Selain itu, pembelajaran juga berlaku mengikut kehendak dan keperluan pelajar dalam bentuk arahan kendiri. Pelajar sendiri menentukan cara, masa, tumpuan dan kemahiran yang ingin dikuasai.Saya telah mempelajari bagaimana pembelajaran elektronik dibuat. Pembelajaran elektronik yang pernah saya buat ialah pembelajaran online learning iaitu saya telah membuat buku panduan Kami Pintar Matematik dan menghasilkan e-book serta kuiz interaktif. Buku panduan Kami Pintar Matematik ini saya telah bina sebagai satu alat untuk mengatasi sikap murid pemulihan yang sering lupa isi kandungan pelajaran selepas cuti sekolah. Buku panduan ini mengandungi 10 kemahiran matematik yang perlu dikuasai oleh setiap murid pemulihan. Setiap kemahiran mempunyai 12 soalan untuk menguji kemahiran murid. Buku panduan ini boleh digunakan oleh guru pemulihan dan juga ibu bapa untuk diberikan sebagai latihan kepada murid pemulihan. Buku panduan ini juga menggunakan kemudahan teknologi maklumat, di mana ibu bapa boleh menghantar hasil tugasan anak mereka kepada guru pemulihan menggunakan kemudahan laman sosial Facebook. Selepas itu, guru akan menyemaknya dan jika semua jawapannya betul barulah guru meminta ibu bapa mengajar anak-anak mereka dengan kemahiran yang seterusnya. Aktiviti ini dijalankan sehingga semua kemahiran selesai diajarkan kepada murid. Saya juga menghasilkan e-book iaitu berbentuk buku cerita digital. Tujuan saya menghasilkan buku cerita digital ialah agar murid lebih mudah faham dan seronak untuk mendengar serta menghayati cerita berbanding hanya menyampaikannya secara tradisional. Saya juga menghasilkan kuiz interaktif supaya murid seronok dan lebih berminat dalam pengajaran dan pembelajaran saya. Pembelajaran berasaskan elektronik iaitu online learning amat membantu saya menjadi seorang guru yang kreatif dan inovatif dalam bidang pengkhususan saya. Hal ini kerana program Pintar Matematik dan e-book iaitu buku cerita digital serta kuiz interaktif ini sangat sesuai untuk dilaksanakan kepada murid pemulihan. 10.4 PEMBELAJARAN BERASASKAN LAMAN SESAWANG (Web)Pembelajaran berasaskan laman Sesawang (Web) merupakan satu jenis pembelajaran dalam talian yang menggunakan gabungan streaming video, persembahan power point, penerangan audio, dan perisian lain dalam penyampaian pengajaran dan pembelajaran. Pertemuan bersemuka antara guru dengan pelajar tidak diadakan langsung. Pembelajaran berlaku sepenuhnya melalui laman sesawang. Dalam pembelajaran berasaskan laman Sesawang (Web) ini saya telah mempelajari bagaimana untuk membuat blog. Blog yang telah saya hasilkan lebih kepada perkongsian ilmu iaitu berkongsi tentang beberapa bahan bantu mengajar seperti dart perkataan, pancing botol perkataan dan dadu serba guna. Dengan adanya perkongsian bahan bantu mengajar ini mampu memberikan manfaat kepada guru-guru lain. Selain itu, murid-murid juga boleh melihat bahan bantu mengajar tersebut dan ini membolehkan mereka tahu aktiviti-aktiviti yang mereka telah jalankan.Pembelajaran berasaskan laman Sesawang (Web) iaitu menghasilkan blog amat membantu saya menjadi seorang guru yang kreatif dan inovatif dalam bidang pengkhususan saya. Hal ini kerana melalui paparan dalam laman sesawang, maklumat pembelajaran, pentaksiran dan perkongsian idea dan pandangan menjadi lebih mudah, pantas dicapai dan disebarkan. Selain itu, murid yang saya akan ajar nanti juga boleh menyemak markah dan mendapat maklum balas secara langsung khususnya dalam bentuk kuiz. Di samping itu, pembelajaran juga akan menjadi lebih luas dan kaya dengan sumber pembelajaran yang pelbagai, dengan pautan kepada laman yang berkaitan audio dan video di dalam bilik darjah maya. Murid terlibat secara langsung mencari maklumat dan pengetahuan baharu. Dengan adanya pembelajaran seperti ini, saya yakin dan pasti bahawa murid-murid saya akan berasa seronok untuk belajar dan murid saya juga akan lebih faham tentang topik yang saya ajar kerana menggunakan pelbagai sumber pengajaran dan pembelajaran. Bagi saya sebagai seorang guru perlu mahir dalam menggunakan teknologi maklumat supaya menjadi seorang guru yang kreatif dan inovatif. Hal ini juga akan menjadikan saya sebagai modal insan yang berguna.

11.0 RUMUSAN Kesimpulannya, emosi merupakan salah satu unsur yang memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia sejagat. Jika emosi diganggu, akan timbul beberapa masalah yang mampu memberi kesan yang negatif kepada diri sendiri seperti tidak bersemangat dan melakukan sesuatu perkara dan sering kelihatan gelisah dalam melaksanakan sesuatu tugasan. Guru perlu memahami emosi murid kerana murid mempunyai tingkah laku, sosial dan rohani yang berbeza. Guru perlu mengetahui dan memahami maksud gangguan emosi, jenis emosi, kategori gangguan emosi, punca gangguan emosi, tanda-tanda gangguan emosi dan langkah-langkah menangani gangguan emosi dalam kalangan murid. Sebagai seorang guru, tahap kesediaan murid untuk belajar haruslah dipantau agar emosi murid tersebut sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk belajar. Pendidikan pada masa kini bukan sahaja mementingkan pencapaian di dalam ujian dan peperiksaan, malah setiap aspek perlu diberi perhatian. Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menyeru para pendidik untuk memperkembangkan potensi individu iaitu murid-murid secara menyeluruh dan bersepadu bagi mewujudkan insan yang seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi, rohani dan sosial.Kreatif ialah kebolehan atau keupayaan untuk mencipta, mewujud dan menghasilkan sesuatu yang baru melalui kemahiran imaginasi. Inovatif pula bermaksud kebolehan untuk membuat pembaharuan atau mengubahsuai untuk menjadikannya lebih baik, elok, berkualiti dan sebagainya. Guru yang kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sesuai dengan misi dan visi sekolah serta mampu memenuhi matlamat pendidikan negara ke arah meningkatkan kualiti pendidikan seiring dengan cabarandunia globalisasi. Oleh itu, guru perlu memanfaatkan pengalaman sebagai guru pelatih yang kreatif dan inovatif melalui pembelajaran berasaskan projek, pembelajaran berasaskan masalah, pembelajaran elektronik dan pembelajaran berasaskan laman sesawang (web). Sesungguhnya, guru yang kreatif dan inovatif akan menjadi seorang yang sentiasa berfikir, ingin mencipta, berani dan yakin pada diri sendiri. Inilah ciri-ciri guru yang perlu ada bagi menghadapi cabaran masa depan terutama dalam memasuki era 2020.

SENARAI RUJUKANAdenan Ayob, Khairuddin Mohamad. (2012). Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu. Shah Alam. Oxford Fajar Sdn. Bhd.

A.J.Michael. (2006). Kompetensi Kecerdasan Emosi. Kuala Lumpur. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Haliza Hamzah, Joy Nesamalar Samuel. (2009). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Shah Alam. Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Khairuddin Mohamad, Maridah Alias dan Faiziah Shamsudin. (2013). Bahasa Melayu Pemulihan. Selangor Darul Ehsan. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.Mok Soon Sang. (2009). Ilmu Pendidikan Untuk KPLI. Shah Alam. Seasons Sdn. Bhd.Mohd. Sharani Ahmad. (2010). Mengurus kanak-kanak yang susah belajar. Kuala Lumpur: PTS Profesional Publishing Sdn.Bhd.Noraiti A Rashid, Lee Keok Cheong, Zulkufli Mahayudin, Zakiah Noordin. (2012). Falsafah & Pendidikan Di Malaysia. Shah Alam. Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Noriati A. Rashid et.al (2009), Murid dan Alam Belajar.Shah Alam :Oxford Fajar Sdn. Bhd.Raminah Hj.Sabran, Rahim Syam. (1985). Kaedah Pengajaran Bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn. bhd.Syed Abu Bakar Syed Akil (1997) , Bimbingan Khas Perkhidmatan Pendidikan Pemulihan . Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.Syed Ismail Syed Mustapa. (2014). Guru dan Cabaran Semasa. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.Tuan Jan Tuan Yusof, Faridah Nazir. (2011). Pengajaran Kemahiran Bahasa Melayu. Shah Alam. Multimedia. Sdn. Bhd.Bakhtiar Mansor. (2010). Teori Pembelajaran. http://www.sabah.edu.my/skpmtdon/notes/Teori%20&%20Model . Dilayari pada 15 julai 2015.Hairil Hazlan. (2010) . Apa Yang Dimaksudkan Dengan Kreativiti Dan Inovasi. http://hairilhazlan.com/2010/12/27/apakah-yang-dimaksudkan-dengan-kreativiti-dan-inovasi/. Dilayari pada 15 julai 2015.Saoda Hajil. (2010). Teknik Mengajar Berkesan. http://saodahajil.wordpress.com/2010/08/06/teknik-mengajar-berkesan/ . Dilayari pada 15 julai 2015.Zirasumie. (2010). Definisi Kreativiti Dan Inovatif. zirasumie.blogspot.com/.../aktiviti-5-definisi-kreativiti. Dilayari pada 15 julai 2015.

11