noor suraya adnan_chapter 3.pdf
TRANSCRIPT
51
BAB III
METODOLOGI
Penyelidik: menginterpretasikan data dengan mencari
bagaimana manusia mempelajari dunia, bagaimana
mereka mendefinisikan situasi atau apa maknanya
dunia kepada mereka.
Researcher: interprets data by finding out how the
people being studied see the world, how they define the
situation, or what it means for them.
(Neuman, 2003:148)
3. 0 Mukadimah
Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam bab yang terdahulu, tujuan utama kajian ini
ialah untuk melihat perubahan bahasa dalam warkah sosial raja-raja Melayu (juga
dikenali sebagai warkah diraja). Tempoh masa yang diambil kira untuk tujuan ini
ialah lebih kurang seratus tahun. Justeru, dua kumpulan warkah diraja yang berbeza
seratus tahun telah diambil sebagai data. Iaitu kumpulan yang pertama ialah surat-
surat koleksi Francis Light (1786-1794) yang diterima (kiriman) daripada raja-raja
Melayu. Koleksi ini akan dibandingkan dengan surat-surat koleksi Sultan Abdul
Hamid (1886-1894), yang ditulis oleh baginda kepada pembesar Inggeris dan Siam.
Penyelidik telah memilih untuk menjalankan kajian ini dengan menggunakan
kaedah kualitatif. Kaedah kualitatif sangat relevan untuk mengkaji data-data yang
52
berbentuk manuskrip yang berlatarkan sejarah dengan perubahan tahun yang jelas.
Ini diakui oleh Gay dan Airasian (2003).
Penyelidikan kualitatif cuba meneroka secara lebih
mendalam dan memperoleh data sehingga ke peringkat
persekitaran penyelidikan untuk mendapatkan
pemahaman mengenai cara sesuatu perkara, ‘kenapa’
begitu kaedahnya dan ‘bagaimana’ peserta dalam
konteks melihat perkara tersebut.
Qualitative research seeks to probe deeply into the
research setting to obtain in-depth under-standing
about the way things are, ‘why’ they are that way, and
‘how’ the participant in context perceive them.
(Gay dan Airasian, 2003:13)
Penyelidikan sejarah ataupun diakronik dapat menjelaskan dan menerangkan; (a)
sebab, (b) kesan, dan (c) pola (trend) perubahan. Justeru, ini dapat menerangkan
peristiwa untuk antisipasi pada masa akan datang. Memandangkan perubahan bahasa
dalam kajian ini datangnya daripada dokumen bertulis, lalu telah tertera satu strata
pensampelan yang jelas dalam kajian ini iaitu sekitar tahun 1786-1794 dan 1886-
1894 sebagai satu pola masa yang sahih dan berkala. Sebagai dokumen bertulis,
kajian ini tidak memerlukan penyelidik mempamerkan keputusan mengenai
perubahan bunyi. Oleh itu kajian ini hanya tertumpu seluruhnya pada manuskrip
bertulis warkah diraja sahaja yang akan menjurus kepada implikasi perubahan bahasa
dari aspek perbendaharaan kata sahaja. Dalam aspek perbendaharaan kata, unsur
semantik sama ada dari segi konotatif dan denotatif akan diambil kira.
53
3.1 Reka Bentuk Penyelidikan
Reka bentuk penyelidikan boleh diandaikan sebagai struktur kepada penyelidikan
dan menjadi ‘gam’ untuk mengikat kesemua elemen projek penyelidikan (Trochim,
1999). Reka bentuk digunakan untuk menstrukturkan penyelidikan serta untuk
menunjukkan bagaimana bahagian yang penting dalam projek penyelidikan seperti
sampel-sampel data, pengukuran dan penilaian, kaedah kerja kursus dapat bergabung
untuk membentuk sebuah keputusan.
Mengikut Gay dan Airasian (2003) lagi, reka bentuk penyelidikan adalah deskripsi
yang terperinci untuk menjelaskan prosedur yang akan digunakan dalam sesebuah
penyelidikan. Sehubungan itu reka bentuk penyelidikan akan menyediakan tiga
tujuan penting:
(a) panduan bertulis bagi penyelidik untuk melihat bidang kajiannya;
(b) panduan bertulis dan prasarana yang akan digunakan oleh penyelidik dalam
menganalisis idea, dapat menentukan kekurangan penyelidikannya dan
penyelidik dapat membuat cadangan untuk memperbaiki pelannya;
(c) melengkapi prosedur-prosedur sebagai panduan untuk mengendalikan
kajiannya.
3.2 Prosedur
Bahagian ini akan menerangkan tatacara penyelidik mengendalikan penyelidikannya
dari peringkat awal sehingga ke peringkat akhir. Dalam usaha menerangkan ‘cerita’
mengenai perubahan bahasa ini, penyelidik langsung tidak akan berbicara mengenai
54
perubahan bahasa di luar istana. Penyelidik juga tidak akan menyentuh bahasa lisan
istana dan apa-apa yang berkaitan dengannya. Penyelidik hanya akan meninjau dan
membandingkan warkah sosial diraja antara tahun-tahun yang terpilih;
membuktikan jika wujudnya tekanan politik, perbendaharaan kata pada surat-surat
ini akan berubah secara mendadak; mengesahkan bahawa bahasa Melayu istana
masih mengekalkan ciri-ciri persuratannya dengan mengasingkan dirinya daripada
bahasa rakyat jelata untuk mempamerkan kedudukan kebangsawanannya; dan dan
akhir sekali menunjukkan bahawa perubahan bahasa pada warkah sosial bergerak
dengan kadar yang sangat perlahan.
Prosedur analisis untuk mencapai objektif ini akan melalui tiga peringkat iaitu;
Peringkat Permulaan, Peringkat Penyelidikan dan Peringkat Komprehensif.
.
3.2.1 Peringkat Permulaan
Pada peringkat pertama reka bentuk penyelidikan ini, penyelidik mula memilih dan
mengumpul data-data untuk kajiannya. Secara logiknya, sumber utama untuk
membandingkan bahasa diraja abad ke-18 dengan ke-19 tentulah tersimpan di Arkib
Negara Malaysia. Bagaimanapun pihak arkib tidak mempunyai koleksi surat-
menyurat raja abad ke-18 kerana kebanyakan surat-surat raja-raja Melayu tersimpan
di beberapa institusi di luar negara khususnya, di Britain dan Belanda (selain
daripada di Eropah dan Amerika Utara). Hasil lawatan penyelidik ke Arkib Negara
cawangan Kedah, penyelidik difahamkan terdapat sebuah buku yang disusun
55
sempena Tahun Melawat Malaysia 1994 yang mengandungi dokumen-dokumen
bertulis yang berkaitan dengan tajuk dan cadangan penyelidikan.
Buku berbentuk katalog dwibahasa setebal 240 halaman itu menyimpan 100 surat-
menyurat daripada raja-raja Melayu sejak abad ke-16 sehingga akhir abad ke-19.
Setelah meninjau buku Warisan Warkah Melayu (Gallop & Kratz, 1994), penyelidik
mendapati ada bahagian yang menerangkan mengenai warkah sosial raja-raja Melayu
yang dikirimkan kepada Francis Light (1786-1794). Penyelidik telah membaca dan
memahami isi-isi yang terkandung di dalamnya untuk melihat kesesuaian dengan
penyelidikannya. Sehubungan itu, keseluruhan 17 pucuk surat tersebut telah
dikumpulkan sebagai data mentah yang belum diproses dan akan dilabelkan
kemudian.
Sebagai perbandingan, penyelidik telah menetapkan untuk melihat tempoh masa
seratus tahun sebagai bahan kajian mengenai perubahan bahasa diraja. Dengan
kerjasama pegawai arkib, penyelidik dimaklumkan hanya Sultan Abdul Hamid Halim
Shah (1882-1943) memiliki koleksi salinan surat-surat yang sesuai untuk
dibandingkan. Berbeza dengan sultan-sultan negeri lain, Almarhum Sultan Kedah ini
telah menyalin – menggunakan khidmat jurutulis – setiap kali surat yang dikirim
baginda keluar dari Istana Anak Bukit. Kebetulan pula pada ketika kajian ini
dirancang untuk dijalankan, didapati koleksi surat-surat Sultan Kedah itu telah pun
terpilih sebagai salah satu daripada Warisan Dunia (World Heritage) melalui Projek
UNESCO Memory of the World 2001.
56
Kumpulan surat-surat ini adalah salinan surat yang baginda kirimkan kepada
saudara-mara, rakan taulan dan rakan sejawat serta pembesar-pembesar di dalam dan
di luar negara. Surat-surat tersebut berjumlah 2951 halaman yang bertulis tangan dan
dipisahkan dalam 14 jilid buku. Secara kebetulan pula, buku yang kedua dalam
koleksi Surat-Menyurat Sultan Abdul Hamid (SMSA 2) adalah setara pula dengan
seratus tahun kemudian, daripada surat-surat Francis Light. Dari koleksi SMSA 2 ini
538 halaman surat dikenal pasti berpotensi sebagai data untuk perbandingan.
Sehubungan itu, penyelidikan ini telah melalui proses yang penting iaitu mengumpul
data yang setara dari segi jenis data, kesamaan bentuk surat kiriman dan keseragaman
maklumat dari segi sela masanya. Kesimpulannya, kedua-dua kumpulan ini sesuai
menjadi sumber data yang setara untuk kajian ini.
Selain daripada mengumpul maklumat, penyelidik juga telah mengadakan perbualan
ringkas dengan beberapa pakar mengenai hal surat-menyurat diraja untuk
memantapkan lagi pengetahuan mengenai warkah diraja ini. Antaranya penyelidik
telah bertemu muka dengan Dato’ Haji Wan Samsudin Mohd. Yusuf (Presiden
Sejarah Kedah), Puan Nor Janati Ibrahim (bekas Pengarah Arkib Negara cawangan
Kedah), Dr. Annabel Teh Gallop (Kurator British Library) dan Prof. Madya Dr.
Rattiya Salleh (Universiti Taksin Songkhla).
57
Dalam usaha mengukuhkan lagi pengetahuan mengenai warkah diraja ini penyelidik
juga telah membuat rujukan di Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara;
melawat Pameran Manuskrip Melayu serta menghadiri seminar-seminar yang
berkaitan dengannya.
Akhir sekali, untuk memahami proses peringkat pertama ini dengan lebih jelas,
penyelidik telah memindahkannya ke bentuk visual seperti mana yang ditunjukkan
dalam Rajah 3.0. Proses bagaimana penyelidik memulakan kajian disertasi ini adalah
seperti berikut:
Rajah 3.0 – Prosedur Penyelidikan Peringkat Pertama
Menentukan;
(a) objektif
(b) pemilihan data
(c) pembacaan
(d) temu bual ringkas
(e) seminar/ lawatan
Peringkat
Permulaan
Idea Memulakan
Penyelidikan
Peralihan ke Peringkat
Kedua
58
3.2.2 Peringkat Penyelidikan
Pada peringkat ini penyelidik telah mengenal pasti kaedah bagaimana pemilihan
data-data ditentukan untuk memulakan analisisnya. Penyelidik sudah dapat
memfokuskan bagaimana untuk mengendalikan/mengurus data-data yang telah
dikumpulkan. Berikut ialah garis panduan yang ditentukan oleh penyelidik untuk
memulakan proses mengumpul dan menentukan data-data yang terpilih untuk
analisisnya:
(a) sumber/penulis surat mestilah seragam; iaitu daripada seorang Sultan/Raja
sesebuah negeri;
(b) penerima surat bukan sebangsa dengan penulis surat dan semestinya seorang
Gabenor dan wakil kepada pemerintah dari negeri/negara luar;
(c) tahun yang dipilih semestinya merangkumi tempoh (atau sela) yang telah
ditetapkan dalam kajian ini;
(d) kesemua data mesti ditransliterasikan ke aksara Rumi dengan menggunakan
kaedah yang telah ditetapkan oleh Arkib Negara Malaysia dan Perpustakaan
British.
Pada peringkat ini penyelidik telah mereka bentuk kaedah untuk melihat perubahan
bahasa dari aspek perbendaharaan kata.
3.2.3 Peringkat Komprehensif
Pada peringkat akhir dan yang terpenting ini, penyelidik akan menggunakan data
sebagai ‘web of interlocking details’ (Neuman, 2003:142) untuk bergerak daripada
59
tahap interpretasi/tafsiran. Pada tahap ini penyelidik akan menentukan teori yang
signifikan secara umum untuk menghubungkaitkan perubahan bahasa diraja dalam
abad ke-18 dengan abad ke-19. Penyelidik juga akan menentukan rumusan dan
implikasi kepada semua data yang dikajinya. Kelangsungan tahap ini banyak
bergantung pada dua tahap awal penyelidikan ini. Hal ini dapat dilihat dengan jelas
seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 3.1 berikut:
60
Rajah 3.1 – Proses Reka Bentuk Kajian sehingga Penyediaan
Laporan Penyelidikan
3.3 Struktur Warkah Diraja
Sebelum meninjau lebih jauh mengenai prosedur pensampelan, penyelidik akan
menunjukkan terlebih dahulu struktur warkah diraja, agar pemilihan data-data dalam
Perubahan Bahasa dalam Surat-Surat Raja Melayu kepada Gabenor
antara Tahun 1786-1794 dan Tahun 1886-1894
REKABENTUK
PENYELIDIKAN
LAPORAN
PENYELIDIKAN
Peringkat III
KOMPREHENSIF
Peringkat II
PENYELIDIKAN
Peringkat I
PERMULAAN
• mengenal
pasti
objektif
• mengumpul
data-data
• penyelidikan
tidak formal
• interpretasi
• rumusan
• implikasi
• menentukan
kaedah
pemilihan
data
• membina
kaedah
penyelidikan
• analisis data
61
penyelidikan tidak terpisah daripada landasan asal kajian ini. Warkah diraja
dibahagikan kepada dua bentuk iaitu;
(a) warkah sosial
(b) warkah perjanjian
Dalam kajian ini penyelidik menetapkan warkah diraja harus mengandungi tiga
elemen utama tanpa mengambil kira warkah tersebut diklasifikasikan sebagai
warkah perjanjian mahupun warkah sosial diraja. Seperti yang dijelaskan dalam bab
yang terdahulu, penyelidik akan menepikan perkara-perkara yang tidak relevan untuk
kajian ini seperti cap mohor, reka bentuk surat dan juga keindahan seni khatnya.
Perubahan bahasa dalam warkah sosial diraja akan dikaji dalam tiga elemen utama
yang menjadi tunjang penyelidikan ini iaitu:
3.3.1 Kata-kata pembuka surat berserta kepala surat
Sejak dahulu lagi hampir semua warkah kiriman diraja akan diberi tajuk atau kepala
surat. Pada kebiasaannya suatu ungkapan berunsur Islam yang pendek dan ditulis
dengan huruf Arab, mengambil tempat sebagai permulaan kata sapaan surat bagi
sesebuah warkah diraja. Pemilihan kata pembuka ini sebenarnya akan ditentukan
oleh penulis (sultan/raja) berdasarkan tujuannya menulis surat, sebagai contoh ialah
frasa Qawluh al-haqq, yang membawa maksud ‘kata-kata-Nya benar’.
Bagaimanapun kata-kata ini telah ditransliterasikan sebagai ‘raja Islam kepada raja
kafir’ (Gallop & Kratz, 1994). Justeru frasa ini memberi kesedaran emotif yang
bertentangan tentang sikap sultan atau raja kepada penerima surat tersebut.
62
Sepertimana yang telah tercatat dalam Kitab Terasul – CUL Add.3790, hlm.20 –
dipetik daripada buku Warisan Warkah Melayu, kepala surat ditafsirkan sebagai:
Sebagailagi dengar olehmu, hai M.Abdul Nasir! Tiap2
surat itu ada kepalanya dibubuh pada sebelah atas satar
surat itu, tetapi masing2 dengan tempatnya, karena
orang itu pun masing2 dengan pangkat tempatnya.
(Gallop & Kratz, 1994:56)
Selain itu perenggan pembukaan juga harus dicatatkan puji-pujian daripada penulis
dan (untuk) penerima. Malah sesetengah raja-raja Melayu menunjukkan
kebesarannya melalui kata puji-pujian ini secara jelas pada perenggan pembukaan
ini. Sifat terbuka begini pada warkah diraja telah membezakannya dengan surat-surat
orang awam. Dalam kajian ini pembuka surat akan ditandakan secara berperenggan.
Surat-surat raja selalunya mengandungi lebih daripada suatu pembuka kata (Gallop &
Kratz, 1994). Ini dapat dilihat dengan jelas, iaitu sejak warkah diraja Melayu yang
pertama (1521) daripada Sultan Abu Hayat (Ternante) kepada Raja John III
(Portugis), telah menjadi kebiasaannya wujud dua pembuka kata iaitu kata sapaan
yang merupakan frasa gelaran dan kata puji-pujian (sama ada kepada penerima atau
penulis surat ataupun kedua-dua sekali).
3.3.2 Isi kandungan/ isi surat
Menurut Newbold (1839), kumpulan kata-kata adalah kandungan surat, bahasa isi
kandungan seharusnya mudah dan tidak berbunga. Benarkah begitu? Dalam warkah
63
diraja, perkataan atau isi kandungan mempunyai unsur-unsur formal yang ketara.
Hal ini ditekankan oleh Raja Ali Hadi dalam bukunya, Bustan al-Katibin (1892:69-
70) yang dipetik daripada Gallop & Kratz (1994:70 ) yakni selepas puji-pujian:
Kemudian baharulah letakkan perkataan menceraikan
perkataan puji-pujian dengan perkataan yang
dimaksudkan, iaitu ‘wabadahu’ atau ‘ammabadahu’.
Dan terlebih baik dan terlebih sempurna daripada
menyebutkan ‘daripada kalam al-mazkur’ adapun
kemudian itu iaitu ‘adapun kemudian daripada itu’.
Isi kandungan warkah diraja kebiasaannya bercerita mengenai kenapa penulis
mengirimkan suratnya kepada penerima. Selepas memberi penghormatan dan puji-
pujian yang berlebihan pada perenggan pembuka surat, lalu pada bahagian isi
kandungan surat-surat daripada raja Melayu akan berakhir dengan gaya dan bahasa
yang begitu sederhana dan terus kepada persoalan kenapa surat itu ditulis.
3.3.3 Kata penutup surat
Kebanyakan surat-surat raja Melayu akan diakhiri dengan cara yang paling mudah
misalnya, termaktub pada dua belas hari bulan Rabiulawal hari Sabtu waktu jam
tujuh. Pergi surat. Menurut Gallop & Krazt (1994:86) yang sekali lagi memetik
penerangan Raja Ali Hadi (1892:79), menjelaskan yang warkah diraja ditutup
dengan:
Demikianlagi hendaklah tiap2 akhir perkataan itu
salwat akan Nabi sallallahu alaihai wassalam, serta
ditaruhnya tarikhnya dan bulannya dan harinya dan
waktunya.
64
Sebagai kesimpulannya kajian ini akan mengkaji perubahan bahasa secara
sebahagian-sebahagian (sepotong-sepotong) sebagaimana yang telah diklasifikasikan
dalam struktur surat yang tersebut di atas. Penyelidikan ini akan mengkaji perubahan
bahasa pada pembuka surat, kandungan surat dan penutup surat sebelum membuat
rumusan keseluruhannya.
3.4 Prosedur Sampel
Pada peringkat awal penyelidik telah mengklasifikasikan data-data yang harus dipilih
sebagaimana yang tersenarai dalam perkara (a) sehingga (d) seperti yang tercatat
pada Peringkat Penyelidikan (3.2.2). Justeru dalam menentukan prosedur pemilihan
sampel, berikut adalah tambahan maklumat kepada kriteria tersebut dengan lebih
spesifik untuk dijadikan garis panduan, iaitu;
(a) merangkumi tempoh tahun yang tersebut iaitu, daripada 1 Januari 1786
sehingga 31 Disember 1794 sahaja dengan menggunakan tahun Gregorian; ini
bermakna semua tarikh-tarikh yang menggunakan takwim Hijrah akan
ditukarkan tahun Masihi sepenuhnya;
(b) merangkumi tempoh tahun yang tersebut iaitu, daripada 1 Januari 1886
sehingga 31 Disember 1894 sahaja dengan menggunakan tahun Gregorian; ini
bermakna semua tarikh-tarikh yang menggunakan takwim Hijrah dan takwim
Siam akan dipindahkan ke tahun Masihi sepenuhnya;
(c) ditulis (dengan perintah) oleh sultan atau raja, ini bermakna surat yang
menggunakan kata nama ‘beta’ tetapi ditulis oleh Raja Muda, Raja
Bendahara, Raja Laksamana dan sebagainya tidak akan diambil kira,
65
bagaimanapun sekiranya warkah tersebut menggunakan istilah ‘saya’ tetapi
baginda seorang raja yang memerintah, surat itu termasuk dalam sampel
kajian;
(d) penerima surat mesti pembesar luar iaitu Gabenor (kaunselor) atau setaraf
dengannya dan yang berlainan bangsa sahaja;
(e) surat sosial raja/warkah diraja harus mengandungi tiga komponen utama iaitu
kepala surat (pembuka surat dan puji-pujian), isi kandungan surat dan
penutup surat;
(f) surat sosial/warkah diraja harus berkaitan dengan hal-hal sosial raja misalnya,
hal ehwal dalam negeri yang merangkumi isu-isu ekonomi, politik serta
sosial, ini bermakna surat afidavit tidak termasuk dalam kajian ini; dan
(g) semua maklumat asal mengenai dokumen digantikan dengan kaedah label
yang ditentukan oleh penyelidik untuk memudahkan analisis dijalankan.
3.5 Pengumpulan Data
Data penyelidikan kualitatif dapat dikumpulkan dengan pelbagai cara antaranya,
secara pemerhatian, temu bual, koleksi dokumen peribadi mahupun rasmi dan lain-
lain. Dalam mengumpul data-data berbentuk sejarah linguistik, suatu pola yang jelas
dari segi masa penulisan surat-surat dapat direkodkan dengan sempurna sekali.
Pemilihan data dapat dijalankan dengan mudah apabila penyelidik dapat menentukan
kaedah dengan prosedur pemilihan data yang jelas.
66
3.5.1 Surat-Surat Light (SSL)
Kumpulan surat-surat dalam simpanan Francis Light (1784-1796) telah dikumpulkan
oleh Dr. Annabel Teh Gallop dengan penulisan esei oleh E.Ulrich Kratz pada tahun
1994. Surat-surat yang dikirimkan oleh raja-raja Melayu ini telah diterbitkan British
Library dalam koleksi dwibahasa dengan judul Warisan Warkah Melayu (Gallop &
Kratz, 1994). Surat-surat yang menjadi kajian dari buku tersebut, akan dikenali
sebagai Surat-Surat Light (SSL) selepas ini. Koleksi SSL ini, dikumpulkan daripada
simpanan Sir Francis Light ketika beliau menjadi Gabenor Pulau Pinang (1784-
1796). Setelah melalui proses pemilihan mengikut garis panduan yang telah
ditetapkan enam pucuk surat sahaja didapati sesuai dan memenuhi semua kriteria
yang telah ditentukan dalam prosedur sampel. Surat-surat atau data-data ini
dilabelkan seperti berikut:
67
Label Dokumen Tahun Gregorian
L1 Surat Yang Dipertua Kedah
15 Mac 1786
14 Jamadilawal 1200
L2 Surat Sultan Ibrahim dari Selangor
6 April 1786
7 Jamadilakhir 1200
L3 Surat Sultan Alaudin dari Perak
23 Julai 1787
7 Syawal 1201
L4 Surat Sultan Mahmud Syah dari Johor dan
Pahang
10 November 1787
29 Muharam 1202
L5 Surat Sultan Mansur dari Terengganu
4 Februari 1792
10 Jamadilakhir 1206
L6 Surat Raja Kedah
24 Mei 1792
2 Syawal 1206
Rajah 3.2 – Senarai Lengkap Surat-Surat Diraja kepada
Francis Light dalam Tahun Masihi
3.5.2 Surat-Surat Sultan Abdul Hamid (SSAH)
Kumpulan surat-surat untuk perbandingan ini adalah dalam koleksi simpanan Arkib
Negara Malaysia (Cawangan Kedah). Warkah diraja yang dipilih ialah koleksi Surat-
Menyurat Sultan Abdul Hamid Shah 2 (1886 – 1894) yang dijilid, dan ditandai
sebagai SMSA 2. Surat-surat yang akan dikaji dalam kumpulan ini ialah surat-surat
yang dikirim oleh Almarhum Sultan Kedah itu kepada rakan sejawatnya di luar
negeri (atau luar negara) iaitu seorang Gabenor atau yang setaraf dengannya. Setelah
melalui proses pemilihan untuk disesuaikan dengan SSL yang terhad, penyelidik
telah mengenal pasti enam pucuk surat yang relevan untuk kajian ini. Walaupun
koleksi SMSA 2 terdiri daripada 538 halaman surat, namun dengan mengikut garis
panduan prosedur sampel, surat-surat yang dipilih adalah seperti berikut:
68
Label Dokumen Tahun Gregorian
H1 Surat kepada Phya Monthri Ganti Semuhak
Phrak Kalahom
17 November 1890
4 Rabiulakhir 1308
H2 Surat kepada Raja Senggora
17 September 1891
3 Safar 1309
H3 Surat kepada Phaya Wicham Negeri Senggora
5 November 1891
3 Rabiulakhir 1309
H4 Surat kepada Tuan William Edward Maxwell
Residen Selangor
2 Mac 1892
2 Syaaban 1309
H5 Surat kepada Residen Konsular Pulau Pinang
(Tuan Truter)
1 Jun 1892
5 Zulkaedah 1309
H6 Surat kepada Tuan Truter Residen Konsular
Pulau Pinang
4 Jun 1892
8 Zulkaedah 1309
Rajah 3.3 – Senarai Surat-Surat Sultan Abdul Hamid (SSAH) kepada
Gabenor Inggeris dan Siam dalam Tahun Masihi
3.6 Analisis Data
Seperti yang telah dinyatakan pada awal bab ini, penyelidik akan memfokuskan
pengumpulan/analisis data secara bertema. Pada peringkat pertama, penyelidik akan
menganalisis data pada bahagian pembuka surat dan membandingkan antara tahun-
tahun semasa dan tahun-tahun yang dibandingkan. Kaedah ini berterusan pada
peringkat isi dan penutupnya surat-surat terpilih. Penyelidik akan menggunakan
teknik analisis wacana di mana petikan surat-surat diraja ini akan disemak dan
diperiksa untuk melihat perubahannya dari sudut perbendaharaan kata. Malangnya
penyelidikan ini tidak dapat dijalankan dari sudut pengejaan (dalam perbendaharaan
69
kata) kerana penyelidik bimbang wujudnya kesalahan transliterasi dari aksara Jawi ke
Rumi yang akan memungkinkan kesahan dan ketepatan penyelidikan.
Penyelidik menggunakan bantuan, perisian Dewan Eja Pro® (Edisi 2006) terbitan
bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dengan The Name Technology Sdn. Bhd.
Perisian ini dilengkapi kamus-kamus terbitan DBP yang lalu sehinggalah terbitan
kamus terkini edisi keempat. Selain itu, Kamus Inggeris Melayu dan Daftar Istilah
juga dilengkapkan dalam perisian ini. Dengan menggunakan perisian ini penyelidik
dengan mudah dapat mengesan perkataan-perkataan yang tidak mengikut imbuhan
yang terkini sebagaimana yang ditetapkan oleh sistem ejaan baru, perkataan-
perkataan yang tidak diterima pakai dalam bahasa Melayu dan perbezaan dari sudut
semantik. Walaupun perbandingan akan melihat perubahan bahasa antara abad ke-18
dan ke-19, namun bahasa abad ke-20 dan ke-21 akan dijadikan asas untuk mengesan
perubahan bahasa antara kedua-dua abad tersebut. Kaedah penggunaan perisian ini
lebih efektif serta dapat membantu dan mengurangkan kesalahan analisis yang tidak
tercapai oleh mata. Perisian akan menandakan kesalahan bahasa atau kosa kata yang
tidak wujud dengan garis merah dengan syarat penyelidik mesti menyalin (menaip)
data daripada salinan asal dengan tepat untuk menggelakkan ketidaktepatan data
dianalisis. Pengulangan pembacaan pruf berulang kali daripada teks salinan asal ke
teks yang telah dipindahkan dapat memastikan surat tersebut telah ditaip dengan
tepat termasuk penggunaan tanda bacaannya.
70
Selain menggunakan perisian, penyelidik juga menggunakan pelbagai kamus di
samping mendapat khidmat pakar (daripada orang perseorangan) dalam bahasa
Melayu Diraja. Ini kerana perubahan bahasa dari sudut semantik dan perbendaharaan
kata tidak dapat ditunjukkan sepenuhnya, jika penyelidik hanya bergantung pada
bantuan perisian semata-mata. Kaedah analisis data secara ringkas adalah seperti
berikut:
(a) rujukan perisian
(b) semakan kamus/tesaurus dan bahasa istana/halus
(c) rujukan berdasarkan teks
(d) temu bual
3.6.1 Pengurusan Data
Penyelidik ‘mengemas’ data-data yang telah dikutip untuk memastikan tiada
maklumat yang tercicir. Penyelidik membaca keseluruhan data serta mencatat mana-
mana isu-isu yang berbangkit untuk penyemakan semula. Selain daripada mengurus
dan menyemak data-data yang lengkap untuk proses analisis seterusnya, penyelidik
juga telah menghubungkaitkan data dengan objektif penyelidikannya. Data-data ini
telah melalui tiga proses yang penting iaitu:
(a) Pemerihal
(b) Klasifikasi/ Pengekodan
(c) Interpretasi
71
3.7 Batasan Kajian
Pengkajian teks atau manuskrip lama untuk melihat pola perubahan bahasa sebagai
sumber maklumat menjadi agak sukar kerana tidak semua teks yang dipilih akan
mempunyai kesamaan seratus peratus daripada yang akan dibandingkan. Dalam
penyelidikan ini terdapat tiga perkara utama yang menjadi batasan kepada kajian ini.
3.7.1 Sumber
Kajian ini akan melibatkan sejumlah surat-surat Sultan/Raja sebagai perbandingan.
Memandangkan Malaysia tidak mempunyai simpanan surat-surat Francis Light
(sebelum dan semasa beliau menjadi Gabenor di Pulau Pinang) oleh itu, kajian ini
bergantung sepenuhnya pada surat-surat Sultan/Raja koleksi British Library yang
disusun di dalam The Legacy of the Malay Letter terbitan perpustakaan British
(1994). Keseluruhan, ‘koleksi Francis Light ini mengandungi 1000 dokumen dan
setakat ini hanya beberapa sahaja yang diketahui’ (Gallop & Kratz, 1994:130),
bagaimanapun dalam Warisan Warkah Melayu hanya 17 pucuk surat sahaja yang
diterbitkan. Bagaimanapun daripada sejumlah 17 surat yang dicetak (setelah
ditransliterasikan ke tulisan Rumi), hanya enam surat yang relevan dengan kajian ini.
Sehubungan itu penyelidik tiada pilihan lain, dan harus berpuas hati memilih enam
pucuk surat tersebut sahaja, untuk tujuan penyelidikan ini. Oleh itu perlu ditekankan
di sini, dengan enam pucuk surat sahaja agak keterlaluan untuk mengungkap dunia
persuratan diraja abad ke-18.
72
3.7.2 Data
Kajian mengenai surat-surat daripada Sultan/Raja untuk tahun 1886 -1894 ini hanya
bergantung pada surat-surat daripada Sultan Abdul Hamid Halim Shah sahaja. Ini
memandangkan untuk tempoh seratus tahun kemudian (daripada Surat-Surat Light)
hanya Sultan Kedah sahaja mempunyai dokumentasi koleksi surat untuk tempoh itu
dengan lengkap serta sesuai untuk dibandingkan dengan Surat-Surat Light itu. Surat-
surat itu dikumpulkan oleh Arkib Negara Kedah dan disalin ke tulisan Rumi seperti
yang terdapat dalam siri Surat-Menyurat Sultan Abdul Hamid antaranya kepada
rakan-rakan sejawat baginda, Gabenor Siam, Raja Chulalongkorn, Gabenor Negeri-
Negeri Selat, Residen Inggeris di Perak dan Selangor.
Selain itu, memandangkan data-data yang diperoleh dari koleksi surat-surat ini
adalah hasil transliterasi huruf-huruf Jawi ke aksara Rumi, dan disesuaikan dengan
perkataan Melayu yang dieja dengan ejaan baru mengikut Kamus Dewan, 1989, lalu
perubahan pengejaan tidak dapat dikaji sebagai suatu komponen perubahan bahasa.
Hal ini demikian untuk mengelak ketidaktepatan hasil kajian.
3.7.3 Pemprosesan
Kewujudan sebuah pusat rujukan utama mengenai bahasa abad-abad yang terdahulu,
sememangnya boleh memudahkan penyelidik membuat kajian dan menjadi kayu
ukur kepada perubahan bahasa di Malaysia. Penyelidikan mengenai perubahan
bahasa persuratan diraja yang tidak begitu popular di rantau ini, tentu sahaja akan
73
mendapat sambutan penyelidik jika wujud sebuah bank data peristilahan dan kosa
kata.
3.8 Menulis Laporan
Peringkat terakhir dalam penyelidikan kualitatif ialah menulis laporan untuk
menerangkan tentang kajian dan keputusannya (Gay & Airasian, 2003). Menulis
laporan bagaikan serampang dua mata bagi penyelidik. Selain sebagai tambahan
untuk menterjemahkan keputusan kajian dengan teks bertulis, laporan juga bertindak
menentukan sama ada penyelidik perlu memeriksa semula tafsiran data-data yang
telah diperoleh. Tumpuan kepada proses menulis laporan memerlukan penyelidik
mengambil kira logik dan tatacara penerangan yang relevan. Justeru dalam usaha
menulis laporan, penyelidik juga dapat menentukan kesalahan pemikirannya,
kelonggaran pada deskriptifnya dan juga pemahaman kepada tafsiran baru
serta konsep. Banyak maklumat boleh dititipkan dalam laporan. Sehubungan itu
penyelidik mempamerkan deskriptif keputusan data, membangunkan kategori dan
paten, petikan dan contoh kepada ilustrasi data, metodologi analisis data dan tafsiran
utama serta keputusannya dalam teks laporannya. Setelah itu penyelidik
menyenaraikan cadangan untuk penyelidikan akan datang serta kesimpulan
penyelidikannya.
3.9 Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, apa yang dibincangkan dalam bab ini dapat ditunjukkan visual
seperti dalam Rajah 3.4.
74
Rajah 3.4 – Pengumpulan Data dan Pemprosesan Data
Proses dan peringkat mengumpul dan menganalisis data yang dijalankan dipaparkan
dalam Rajah tersebut. Data 1 dan Data 2 yang mentah dipilih mengikut prosedur
pensampelan yang ditetapkan oleh penyelidik. Data-data kemudiannya melalui
proses memeriksa, memilih, pemerihal, klasifikasi, pengekodan, menilai,
membanding, sintesis, interpretasi dan memperincikan. Proses analisis data
dijalankan dengan membahagikan data bertulis kepada tiga komponen (kata pembuka
surat, isi kandungan dan penutup surat) dan kemudiannya dikaji dari sudut
perbendaharaan kata. Setelah dianalisis untuk melihat perubahan bahasanya, akhir
sekali perubahan bahasa dikenal pasti dan keputusan dicapai.
� Memeriksa
� Memilih
� Pemerihal
� Klasifikasi
� Pengekodan
� Menilai
� Membanding
� Sintesis
� Interpretasi
� Memperincikan
DATA
1
DATA
2
KEPUTUSAN
ANALISIS DATA
KESIMPULAN