mte3106 resos topik 4
TRANSCRIPT
MTE 3106 RESOS DALAM MATEMATIK
TAJUK 4 KEMUDAHAN DALAM MATEMATIK
SINOPSIS
Tajuk ini meliputi idea tentang kemudahan-kemudahan matematik yang
dapat digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik.
Kemudahan-kemudahan ini akan menjadikan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran lebih seronok dan bermakna. Tiga jenis kemudahan yang
difokuskan dalam perbincangan tajuk ini adalah: (a) Makmal Matematik,
(b) Sudut Matematik dan (c) Taman Matematik.
HASIL PEMBELAJARAN
Membincang peranan Makmal Matematik, Sudut Matematik dan Taman
Matematik dalam pengajaran dan pembelajaran matematik.
Mereka bentuk Makmal Matematik dan Sudut Matematik yang sesuai
digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran matematik.
Merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dapat dijalankan
di Taman Matematik.
KERANGKA TAJUK
1
MTE 3106 RESOS DALAM MATEMATIK
4.1 Makmal Matematik
Makmal matematik mungkin merupakan istillah yang nampaknya baru
kepada anda. Walau bagaimanapun, ideanya adalah serupa dengan idea
makmal sains. Sekiranya digunakan dengan baik, makmal matematik boleh
memainkan peranan yang penting dalam jaminan kualiti proses
pembelajaran matematik di sekolah.
Peranan Makmal Matematik
Makmal matematik memainkan pelbagai peranan dalam meningkatkan
keberkesanan pengajaran matematik di sekolah. Antara peranan penting
makmal matematik adalah fungsinya sebagai pusat bagi
menjalankan aktiviti penerokaan matematik
menjalankan aktiviti praktikal matematik
menyimpan bahan resos matematik
memaparkan bahan resos matematik
Setiap peranan ini perlu diberikan pertimbangan yang wajar dalam reka
bentuk sesebuah makmal matematik.
Reka Bentuk Makmal Matematik
Susunan ruang fizikal dalam makmal matematik akan mempengaruhi proses
pembelajaran yang berlaku di dalamnya secara signifikan. Oleh yang
demikian, reka bentuk makmal perlu dipertimbangkan secara teliti agar ia
dapat berfungsi dengan baik dalam menentukan kejayaan proses
pembelajaran matematik. Selain daripada reka bentuk fizikal, kelengkapan-
kelengkapan bagi melicinkan proses pembelajaran juga perlu diberikan
pertimbangan yang terperinci. Rajah 1 menunjukkan satu contoh reka bentuk
makmal matematik yang dibina dengan pelbagai kelengkapan.
2
MTE 3106 RESOS DALAM MATEMATIK
Rajah 1. Contoh reka bentuk makmal matematik.
Antara kelengkapan-kelengkapan dalam makmal matematik yang
ditunjukkan Rajah 1 adalah projektor LCD dan rak-rak. Projektor LCD diguna
untuk memaparkan slaid-slaid Powerpoint ke skrin putih yang boleh
mempermudahkan proses pengajaran guru. Rak-rak pula boleh diguna untuk
menyimpan pelbagai resos matematik samada yang dibeli di pasaran atau dibina
oleh pelajar dan alat-alat tulis seperti pen marker, pembaris, gam dan kertas.
Kelengkapan alat tulis dengan bilangan yang mecukupi pada awal semester
serta mudah diperolehi bila diperlukan dalam pengajaran akan memudahkan
persediaan dan pengurusan pengajaran. Tambahan pula, murid juga boleh
dilatih untuk mengambil alat-alat secara cepat dan tanpa diarah apabila mereka
memerlukan alat-alat berkenaan. Walau bagaimanapun, Satu kekurangan yang
barangkali wujud ialah alat-alat ini mungkin tidak disimpan dalam tempat yang
betul setelah digunakan. Namun demikian, masalah ini boleh diatasi dengan
melatih murid-murid untuk mengembalikan alat-alat ke rak-rak yang betul supaya
sentiasa dalam keadaan kemas. Selain daripada itu, stok alat-alat ini mungkin
3
MTE 3106 RESOS DALAM MATEMATIK
cepat habis kerana senang diakses oleh murid-murid. Oleh yang demikian,
pengawasan yang rapi adalah kritikal untuk menjaga stok yang sedia ada.
Aktiviti kumpulan boleh membawa kesan positif kepada pembelajaran
matematik. Justeru itu, meja-meja berbentuk heksagon digunakan dalam
makmal matematik ini. Kelengkapan meja heksagon ini dapat memberi peluang
maksimum untuk murid-murid berinteraksi secara bersemuka dalam aktiviti
kumpulan tanpa mengubah tempat duduk. Hal ini dapat menjimatkan masa dan
memudahkan pengurusan bilik darjah. Tambahan pula, meja berbentuk
heksagon ini mempunyai ruang yang lebih besar dan ini memudahkan murid-
murid menjalankan aktiviti penerokaan yang melibatkan pengolahan bahan-
bahan konkrit dan manipulatif. Namun demikian, satu kekurangan penggunaan
meja seperti ini adalah kawasan bilik yang lebih luas diperlukan.
Perbincangan 1
Selain daripada projektor LCD, rak dan meja heksagon, senaraikan kelengkapan-kelengkapan lain dalam makmal matematik yang ditunjukkan dalam Rajah 1. Seterusnya, bincangkan peranan kelengkapan-kelengkapan tersebut.
Latihan 1
Lukis dan labelkan satu pelan makmal Matematik yang sesuai untuk sekolah anda dan beri justifikasi tentang pelan anda
Latihan 2
1. Apakah makmal matematik?
2. Mengapakah makmal matematik penting untuk pembelajaran matematik di sekolah rendah?
4.2 Sudut Matematik
Sudut matematik menyerupai makmal mini untuk matematik. Oleh itu, ia
memainkan peranan yang lebih kecil berbanding dengan makmal matematik.
Penyediaan sudut matematik hanya memerlukan ruang yang sedia ada di dalam
atau di luar bilik darjah.
4
MTE 3106 RESOS DALAM MATEMATIK
Peranan Sudut Matematik
Secara umum sudut matematik direka untuk menyokong program pembelajaran
matematik dalam bilik darjah. Secara spesifik, ia berfungsi sebagai:
pusat maklumat
pusat pameran
pusat penerokaan
Sebagai pusat maklumat, pelbagai maklumat berkaitan kandungan
matematik boleh diperolehi dari sudut matematik. Maklumat ini boleh berbentuk
elektronik seperti CD-rom atau bukan elektronik seperti buku dan poster.
Sebagai pusat pameran, sudut matematik merupakan ruang yang sangat sesuai
untuk mempamerkan hasil kerja matematik yang diusahakan oleh murid.
Sebagai pusat penerokaan, pelbagai aktiviti penerokaan matematik boleh
dilaksanakan oleh murid-murid sama ada secara berkumpulan atau individu.
Rajah 2 menunjukkan contoh sudut matematik yang digunakan sebagai pusat
maklumat dan pusat pameran, manakala Rajah 3 menunjukkan contoh sudut
matematik sebagai pusat penerokaan.
Rajah 2. Sudut matematik sebagai pusat maklumat dan pusat pameran.
5
MTE 3106 RESOS DALAM MATEMATIK
Rajah 3. Sudut matematik sebagai pusat penerokaan
Tiga fungsi sudut matematik yang baru sahaja dibincangkan pula
menunjukkan bahawa ia juga boleh memainkan peranan sebagai sudut untuk
menyimpan dan mempamer resos matematik
murid-murid menjalani aktiviti sponge
murid-murid menjalani aktiviti pengayaan
Reka Bentuk Sudut Matematik
Sudut matematik boleh disediakan sama ada di dalam atau di luar bilik darjah.
Rajah 4 menunjukkan contoh sudut matematik di dalam bilik darjah manakala
Rajah 5 menunjukkan contoh sudut matematik di luar bilik darjah.
Rajah 4. Contoh sudut matematik di dalam bilik darja. Rajah 5. Contoh sudut mateatik di
luar bilik darjah.
6
MTE 3106 RESOS DALAM MATEMATIK
Beberapa perkara asas yang perlu diberikan pertimbangan semasa penyediaan
sudut matematik ialah:
Di manakah tempat yang sesuai?
Apakah yang hendak dipamerkan?
Apakah medium pameran yang hendak digunakan?
Memikir
1. Di manakah tempat yang sesuai untuk menyediakan sudut matematik di sekolah anda?
2. Bandingkan kekuatan dan kelemahan antaa sudut matematik di dalam bilik darjah dan sudut matematik di luar bilik darjah.
Perbincangan 2
Bincangkan kekuatan dan kelemahan antara sudut matematik di dalam bilik darjah dan sudut matematik di luar bilik darjah.
Latihan 3
1. Apakah sudut matematik?
2. Mengapakah sudut matematik penting untuk pembelajaran matematik di sekolah rendah?
4.3 Taman Matematik
Alam semulajadi berupaya menyegarkan suasana pembelajaran. Suasana yang
segar boleh mengaktifkan minda kanak-kanak dan seterusnya
mempertingkatkan keberkesanaan pembelajaran. Oleh yang demikian,
pembelajaran matematik tidak semestinya hanya berlaku di dalam bilik darjah.
Pengajaran matematik yang memberi peluang kepada murid-murid berinterasi
dengan alam semulajadi di luar bilik darjah telah mendapat sambutan yang baik
dalam kalangan pendidik matematik sedunia. Sehubungan dengan itu, taman
matematik merupakan satu kemudahan yang boleh mewujudkan suasana
pembelajaran yang semulajadi untuk kanak-kanak mempelajari matematik.
7
MTE 3106 RESOS DALAM MATEMATIK
Peranan Taman Matematik
Taman matematik sesuai digunakan untuk menjalankan aktiviti pembelajaran
matematik dalam situasi yang lebih fleksibal dan menyeronokkan. Ia bertujuan
mewujudkan suasana pembelajaran di luar bilik darjah yang boleh meningkatka
semangat murid-murid untuk belajar matematik secara berkumpulan kecil.
Secara umum, taman matematik berperanan sebagai stesen pembelajaran
di luar bilik darjah dan sebagai pusat aktiviti matematik.
Reka Bentuk Taman Matematik
Kawasan lapang di luar bilik darjah diperlukan untuk menyediakan taman
matematik. Mana-mana taman sedia ada di sekolah boleh dijadikan taman
matematik dengan membina stesen-stesen aktiviti yang berkaitan dengan
matematik. Setiap stesen dibina khas untuk menjalani aktiviti pembelajaran bagi
tajuk-tajuk tertentu dalam matematik.
Rajah 6. Contoh stesen dalam taman matematik.
Rajah 6 menunjukkan contoh stesen dalam taman matematik. Stesen ini terdiri
daripada petak seratus di bahagian tengah yang berbentuk oktagon dan lapan
‘kaki’ yang bercabang dari setiap sisi octagon. Aktiviti ini boleh melibatkan 8
pasangan murid yang berdiri di setiap ‘kaki’. Setiap pasangan murid diberi kad-
kad angka yang merupaka hasil darab (atau hasil tambah) dari carta fakta asas.
Secara bergilir-gilir, setiap pasangan murid dikehendaki membina sifir tertentu
8
MTE 3106 RESOS DALAM MATEMATIK
dengan meletakkan kad-kad angka sebagai jawapan sifir berkenaan pada petak
seratus di tengah. Pasangan yang berada di ‘kaki’ bertentangan dikehendaki
menyemak sama ada jawapan itu adalah betul.
Rajah 7. Contoh stesen dalam taman matematik.
Rajah 7 menunjukkan satu lagi contoh stesen yang terdiri darpada 10 pasang
petak segiempat tepat dan petak octagon.
Memikir
Apakah aktiviti yang sesuai dijalankan pada stesen dalam Rajah 7?
Latihan 4
Kenal pasti satu ruang di luar bilik darjah di sekolah anda yang sesuai dijadikan sebagai taman matematik. Rancang satu stesen matematik yang sesuai dibina dalam taman matematik itu.
Latihan 5
1. Apakah taman matematik?
2. Mengapakah taman matematik penting untuk pembelajaran matematik di sekolah rendah?
TAMATRujukan
Institute of Scientific Research and Training. (n.d.). Mathematics lab in your
school. Available online at: http://www.isrt.in/lab.html downloaded on 24
June 2012.
9