krm3033
DESCRIPTION
TugasanTRANSCRIPT
KURSUS:
KRB 3033 – PENGANTAR BAHASA MELAYU
GROUP: EL-B18
PENSYARAH: ENCIK ZULKIFLI BIN OSMAN
SOALAN: 1 dan 2
TAJUK TUGASAN:
1. MENUKAR PERBUALAN KEPADA BAHASA MELAYU BAKU
2. PERANAN GURU DALAM MENJAYAKAN DASAR “MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU DAN
MEMPERKASAKAN BAHASA INGGERIS” (MBMMBI)
NAMA:
BADRIAH BINTI JAAFAR
NO. MATRIK:
D20102042947
Soalan 1
PENUKARAN BAHASA PERBUALAN KEPADA BAHASA MELAYU BAKU
GURU: Siapakah nama awak dan apa pendapat awak tentang proses
pembelajaran di sekolah ini?
NORJI: Nama saya ialah Norji dan saya berasal dari Kampung Pinang. Sebelum
berpindah ke sekolah ini saya belajar di sekolah yang berhampiran. Pada
pendapat saya, proses pembelajaran di sekolah ini amat menyeronokkan.
GURU: Kenapa awak berkata demikian?
NORJI: Saya mengatakan demikian kerana di sekolah ini saya dapat menimba ilmu
daripada guru-guru yang berpengalaman. Ramai guru yang berkelulusan tinggi
terutamanya dari luar negara.
GURU: Apa peranan awak bila guru yang mengajar menggunakan kaedah
‘smartboard’?
NORJI: Sebenarnya saya baru mengetahui mengenai kaedah ‘smartboard’ tersebut.
Namun begitu saya rasa lebih bersemangat untuk belajar dengan adanya
kaedah tersebut.
GURU: Jadi dahulu awak tidak begitu bersemangat untuk belajar disebabkan tidak ada
kaedah ‘smartboard’ tersebut?
NORJI: Bukan bermaksud saya tidak ada semangat untuk belajar tetapi kaedah
pembelajaran yang menggunakan ‘smartboard’ ini boleh menambahkan lagi
semangat saya untuk belajar. Namun begitu setiap perkara yang mempunyai
kelebihan tentunya mempunyai kelemahan juga.
GURU: ‘Smartboard’ ini mempunyai kelemahan? Apa maksud awak?
NORJI: Maksud saya, kaedah pembelajaran yang menggunakan ‘smartboard’ ini juga
mempunyai kelemahannya. Masa yang diperuntukkan dalam setiap sesi
pembelajaran yang menggunakan ‘smartboard’ terlalu singkat. Kadangkala
boleh menyebabkan saya sukar untuk membuat salinan nota.
GURU: Jadi maksud awak kaedah pembelajaran yang menggunakan ‘smartboard’
memerlukan masa yang lebih panjang bagi setiap sesi?
NORJI: Ya. Saya memerlukan masa yang lama untuk memahami sistem
pengoperasiannya. Maksud saya, masalah ini berkaitan dengan teknikal
kaedah ‘smartboard’.
Soalan 2
PERANAN GURU DALAM MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU DAN
MEMPERKASAKAN BAHASA INGGERIS.
Pengenalan
Pada tanggal 8 Julai 2009, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia telah
mengambil keputusan untuk memansuhkan Dasar Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan
Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan menggantikannya dengan Dasar
Memartabatkan Bahasa Melayu Dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Dasar
baru dalam sistem pendidikan negara ini adalah bertujuan untuk memberi lonjakan yang lebih
praktikal dan bernilai kepada bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi negara. Pelbagai
program di peringkat kementerian seperti kurikulum, kokurikulum, kajian serta latihan dan
pembangunan telah diatur untuk menjayakan perlaksanaan dasar MBMMBI ini.
Walaupun tujuan utama dasar baru ini adalah untuk meletakkan bahasa Melayu pada
tahap yang tertinggi dengan fokus diberikan kepada penguasaan kemahiran bahasa Melayu di
kalangan murid-murid sekolah, namun kepentingan bahasa Inggeris tidak diketepikan.
Seiring dengan pelbagai program peningkatan kemahiran bahasa Melayu, program-program
untuk bahasa Inggeris juga turut diaturgerakkan seperti penempatan guru-guru yang terlatih
dari dalam dan luar negara, pengwujudan jawatan pembantu guru bahasa Inggeris, penambah
baikan sistem yang sedia ada dan lain-lain lagi. Ini adalah untuk mewujudkan keselarian
antara kemahiran berbahasa Melayu dan bahasa Inggeris di peringkat pendidikan.
Penggunaan dasar baru ini bermakna mulai sesi persekolahan 2011, murid-murid di
sekolah rendah akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam mata pelajaran
matematik dan sains dalam bahasa ibunda masing-masing. Manakala di peringkat sekolah
mengengah pula bahasa Melayu akan digunakan sepenuhnya mulai sesi persekolahan 2012.
Namun begitu perubahan ini akan menggunakan kaedah ‘soft landing’ untuk mengelakkan
kekeliruan di kalangan semua murid-murid kohort PPSIM. Melalui kaedah ‘soft landing’ ini,
murid-murid tersebut diberikan kelonggaran iaitu pilihan yang terbuka dalam penggunaan
bahasa untuk mata pelajaran matematik dan sains. Ini bermakna murid-murid dibenarkan
untuk menggunakan bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau kedua-duanya sekali. Murid-murid
tersebut juga diberikan kebenaran untuk terus menggunakan kaedah PPSMI iaitu
menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran matematik dan sains sehingga tingkatan
5.
Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan ketika
membentangkan keputusan kerajaan tersebut bahawa keputusan untuk memansuhkan PPSMI
adalah bersifat kekal. Penggunaan dasar MBMMBI akan dilakukan sepenuhnya bermula
tahun 2016 di peringkat sekolah rendah dan pada tahun 2021 di peringkat sekolah menengah.
Keputusan kerajaan untuk menggantikan PPSMI dengan MBMMBI adalah
disebabkan oleh beberapa kelemahan yang telah dikesan dalam perlaksanaan PPSMI seperti
pencapaian keputusan peperiksaan murid-murid sasaran tidak memberangsangkan, wujud
kadar penurunan yang signifiken dalam gred ABC bagi kohort yang pertama, jurang
perbezaan yang luas antara murid-murid luar bandar dan bandar, daya kefahaman murid yang
kurang dalam mata pelajaran matematik dan bahasa Inggeris dan lain-lain.
Definisi Dan Tujuan MBMMBI
Definisi MBMMBI yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia
adalah:
‘Memartabatkan bahasa Melayu bermaksud meletakkan bahasa Melayu pada
tempat yang sepatutnya sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan
seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia dan kedudukan
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pendidikan mengikut Akta
Pendidikan 1996. Memperkukuhkan bahasa Inggeris pula bermaksud memantapkan
penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa yang wajib dipelajari, bahasa
komunikasi dan bahasa ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa.’
Manakala dalam perbincangan meja bulat mengenai MBMMBI yang diadakan pada
27 April 2010 di Hotel JW Marriot, Putrajaya pula memberikan definisi berikut:
‘Memberikan kedudukan yang tinggi lagi bermaruah serta berprestij kepada
bahasa Melayu di kalangan penutur aslinya serta masyarakat lain pada peringkat nasional,
serantau dan global. Bahasa Melayu yang bermartabat ini bermakna mempunyai kedudukan
ekonomi yang tinggi sebagaimana bahasa Inggeris, bahasa Perancis dan bahasa Jepun.’
Jika dilihat daripada definisi-definisi tersebut, maka tujuan utama MBMMBI adalah
untuk meningkatkan lagi tahap kedudukan bahasa Melayu agar dapat menyaingi bahasa-
bahasa utama dunia terutamanya di kalangan penutur asli di peringkat nasional. Ini kerana
bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan
utama dan bahasa ilmu ke arah membina negara bangsa untuk mencapai hasrat 1Malaysia.
Dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu, bahasa itu sendiri perlu dijadikan bahasa
yang boleh mendukung pelbagai disiplin ilmu dan digunakan sepenuhnya dalam pentadbiran
negara, penggubalan dan rumusan undang-undang, pengendalian kes-kes di mahkamah dan
sistem kehakiman, perdagangan dan ekonomi, korporat, kedoktoran, kejuruteraan dan
sebagainya.
Manakala pengukuhan bahasa Inggeris adalah kerana bahasa tersebut merupakan
bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan bagi
membolehkan penerokaan pelbagai cabang ilmu untuk bersaing di peringkat nasional dan
global.
Peranan Guru Dalam MBMMBI
Para guru dilihat sebagai pihak utama yang memainkan peranan sebagai penggerak
dan penentu kepada jatuh bangunnya dasar MBMMBI. Para guru boleh berfungsi sebagai
penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda dan pembangunan
sahsiah serta agen perubahan. Guru juga boleh bertindak sebagai pencetus dan penggerak
kepada proses transformasi sistem pendidikan negara dalam usaha untuk melahirkan generasi
masa depan yang intelek, berbudaya saing, mempunyai jati diri yang kukuh serta berpegang
teguh kepada ajaran agama serta nilai sejagat. Ini bersesuaian dengan tema Hari Guru
peringkat kebangsaan tahun ini iaitu:
“GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah
Menengah (KSSM) tidak akan berjaya tanpa komitmen dan sokongan para guru. Begitu juga
dengan MBMMBI dan 1Murid 1Sukan (1M1S). Semua dasar dan pembaharuan dalam sistem
pendidikan negara tidak akan memberi apa-apa makna tanpa kerjasama serta usaha warga
pendidik sebagai golongan yang berada di barisan hadapan dalam memacu arus pendidikan
agar sentiasa dinamik dan progresif.
Oleh itu, terdapat beberapa pendekatan dan langkah yang boleh digunapakai oleh para
guru dalam usaha untuk menjayakan dasar MBMMBI ini. Antara pendekatan dan langkah-
langkah tersebut ialah:
1. Pendekatan Modular Kurikulum Bahasa
Penguasaan asas dalam kemahiran berbahasa diperkukuhkan melalui
pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik menerusi modul
pengajaran dan pembelajaran (P&P). Pelbagai kaedah P&P seperti
penggunaan alat bantu mengajar (ABM), penggunaan bahasa yang mudah
tetapi tepat, kaedah dan strategi P&P yang lebih ringkas tetapi berupaya
menarik minat murid-murid dan sebagainya boleh dimanfaatkan dengan
sebaik mungkin.
Guru-guru yang mengajar mata pelajaran bahasa juga seharusnya
beropsyen bahasa tersebut untuk memastikan kualiti dari segi ilmu pedagogi
yang digunakan adalah lebih tepat dan bersesuaian. Ini kerana sekiranya guru-
guru yang beropsyen berlainan tetapi ditugaskan untuk mengajar mata
pelajaran bahasa berkemungkinan besar akan menggunakan kaedah dan ilmu
pedagogi yang kurang sesuai.
Guru-guru perlu digalakkan untuk menghadiri kursus-kursus yang
berkaitan untuk meningkatkan tahap profesionalisme yang memberikan
pendedahan tentang perkembangan terkini berkaitan ilmu pedagogi yang
berkaitan. Pendedahan ini amat penting sebagai persediaan guru dalam
penyampaian ilmu yang lebih bersifat terkini dalam mana-mana kurikulum
yang diajar. Guru-guru juga boleh mendapatkan pendedahan dan ilmu bahasa
daripada pakar-pakar bahasa sama ada dari dalam mahupun luar negara. Tahap
pengetahuan yang lebih tinggi ini akan dapat disesuaikan dengan kaedah P&P
yang digunakan berlandaskan kepada skop berbahasa yang lebih terkehadapan
dan terkini.
Sebagai contohnya, mungkin terdapat frasakata dan istilah-istilah yang
baru yang boleh digunapakai dalam P&P setiap kurikulum. Dengan
pendedahan terkini tersebut bermakna setiap laras bahasa dan penggunaan
istilah akan menepati standard semasa penggunaannya. Ilmu pedagogi juga
akan terlihat lebih tepat, selaras dan lebih mudah untuk difahami. Jika di
peringkat asas ini, ketepatan dan keselarasan dalam penggunaan bahasa dapat
ditingkatkan maka ia akan menjadi tapak yang kukuh dalam menentukan
kejayaan MBMMBI.
2. Asas Berbahasa (basic to basic)
Pengukuhan asas berbahasa dilakukan secara berstruktur dan
sistematik. Perkara ini dapat dihasilkan sekiranya setiap guru yang terlibat
menggunakan laras bahasa yang betul, tepat dan terkini sama ada dari segi
frasakata, istilah dan sebagainya. Asas berbahasa di peringkat pradengar,
prabunyi, prabaca dan pratulis diperkukuhkan melalui penggunaan modul
P&P yang tepat. P&P tatabahasa perlulah berasaskan sistem bahasa yang betul
dan dilakukan secara bersepadu dalam konteks yang berkaitan.
Ini kerana sebarang perbezaan yang digunapakai oleh guru-guru dalam
konteks ilmu yang sama akan menyebabkan tahap pemahaman yang berlainan
kepada golongan sasar iaitu murid-murid terutamanya di peringkat awal
pendidikan. Ketidaksamaan dalam penyampaian ilmu pedagogi, penggunaan
istilah dan frasakata akan menimbulkan kecelaruan kepada asas kefahaman
murid-murid dan akan memberi kesan kepada keseluruhan sistem pendidikan.
Kesan ini akan dapat dilihat lebih nyata bagi kumpulan sasar dari latar
belakang yang berbeza. Murid-murid dari latar belakang dan kawasan-
kawasan yang berlainan mungkin telah terdedah kepada istilah-istilah bahasa
pasar atau percakapan harian dengan pelbagai bentuk dan bunyi yang berbeza
sedangkan merujuk kepada benda serta maksud asal yang sama. Maka
keselarasan dan keseragaman dalam penggunaan tatabahasa terutamanya
dalam situasi penggunaan rasmi amat penting lebih-lebih lagi di peringkat
awal pendidikan.
Tetapi seandainya di peringkat sekolah itu sendiri murid-murid ini
didedahkan dengan penggunaan tatabahasa yang tidak selaras maka
permasalahan yang ada tidak akan dapat diatasi malah akan menjadi lebih
buruk. Oleh itu, asas berbahasa yang tepat, terkini dan selaras di kalangan
guru-guru adalah bersifat kritikal kerana hanya di peringkat sekolah sahaja lah
yang boleh diletakkan harapan untuk memberi pendedahan yang sama kepada
setiap murid dalam setiap aspek yang dipelajari. Penggunaan asas bahasa yang
betul dan seragam memberikan kesan yang penting dan signifiken kepada
kaedah P&P yang digunapakai. Oleh itu, guru-guru seharusnya memainkan
peranan yang utama dalam memastikan aspek ini berada dalam julat yang
terbaik untuk memastikan kejayaan MBMMBI.
3. Penggunaan Bahasa Standard Merentasi Kurikulum
Penggunaan bahasa yang betul dalam setiap P&P bagi setiap mata
pelajaran akan menjadi sokongan dalam memperkuatkan tahap kefahaman
murid-murid. Tahap kefahaman dan penguasaan guru-guru terhadap
tatabahasa, penggunaan istilah dan kaedah dalam penyampaian ilmu pedagogi
dalam P&P menjadi asas kepada penggunaan bahasa yang betul.
Namun begitu, penggunaan bahasa yang betul ini bukan sahaja
meliputi skop dalam P&P kurikulum semata-mata malah melebihi tahap
tersebut. Penggunaan bahasa dalam setiap aktiviti kokurikulum, percakapan
harian, urusan tidak rasmi persekolahan termasuklah aktiviti-aktiviti sekolah
yang lain juga perlu dititikberatkan untuk menggunakan bahasa standard.
Penggunaan bahasa rojak, bahasa pasar atau dialek tempatan perlu
dikawalselia dan dihadkan. Pengawalan terhadap penggunaan bahasa-bahasa
tidak standard ini bukan sahaja tertakluk kepada murid-murid sahaja bahkan
melibatkan guru-guru dan seluruh kakitangan sekolah. Keadaan ini adalah
untuk menjamin standard bahasa terutamanya bahasa Melayu dan bahasa
Inggeris tidak terjejas.
Penggunaan bahasa-bahasa yang tidak standard di waktu bukan
akademik ini sebenarnya lebih memberi kesan terhadap tahap pemahaman
murid-murid berkaitan penggunaan tatabahasa kerana situasinya lebih mirip
kepada kehidupan harian mereka. Perkara ini lebih jelas di kawasan-kawasan
luar bandar terutamanya di kawasan yang kurang pendedahan kepada
penggunaan bahasa standard. Penggunaan dialek-dialek tempatan, bahasa suku
kaum dan bahasa pasar dalam percakapan harian lebih terdedah kepada murid-
murid dalam kehidupan harian mereka. Dari kebanyakan masa yang ada,
bahasa-bahasa tidak standard ini lebih digunakan bukan sahaja di kalangan
mereka bahkan oleh masyarakat sekeliling seperti ahli keluarga, rakan-rakan
dan sebagainya.
Maka amat penting bagi guru-guru untuk memastikan penggunaan
tatabahasa yang betul dan standard sama ada dalam skop kurikulum mahupun
kokurikulum di peringkat sekolah dipraktikkan oleh semua pihak. Guru-guru
juga boleh menggunakan kaedah penggalakan kepada murid-murid yang
menggunakan bahasa standard ketika di sekolah seperti pemberian
penghargaan, hadiah dan sebagainya. Ibubapa juga boleh digalakkan untuk
menggunakan bahasa standard ini ketika berurusan dengan pihak sekolah.
Sekiranya semua pihak bersepakat dan berpadu tenaga dalam memastikan
penggunaan bahasa yang standard maka hasrat untuk menjayakan MBMMBI
akan tercapai.
4. Program Bacaan Dan Didik Hibur
Program bacaan seperti Komponen Sastera Dalam Bahasa Malaysia
(KOMSAS), Buku Sastera Sekolah Rendah, Bacaan Awal Berstruktur dan
NILAM perlu diteruskan. Guru-guru juga boleh memainkan peranan dalam
meningkatkan minat dan pendedahan murid-murid kepada program-program
tersebut. Guru-guru contohnya boleh menjadi tempat rujukan kepada murid-
murid untuk menentukan bahan bacaan mana yang baik untuk dibaca.
Program-program lain seperti pertandingan menulis esei dan cerpen,
penceritaan, sajak dan puisi, permainan bahasa dan sebagainya boleh
digunapakai dalam usaha untuk memberikan lebih kesan dalam usaha ini.
Pihak sekolah dan guru boleh menggembleng tenaga dalam mengatur serta
menganjurkan program-program yang melibatkan bukan sahaja murid-murid
malahan ibubapa dalam meningkatkan usaha serta minat membaca bahan-
bahan yang berkaitan dikalangan murid-murid.
Suasana yang lebih bersifat libur serta boleh menarik minat murid-
murid perlu dipertingkatkan di semua peringkat terutamanya di awal proses
pendidikan dengan menggunapakai pelbagai kaedah dan instrument yang ada.
Kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis, tatabahasa dan seni
bahasa perlu disulam dengan aktiviti-aktiviti lain yang lebih menyeronokkan
seperti penerokaan, pencarian maklumat, pelaporan dan penghasilan produk.
Guru-guru juga perlu mengurangkan situasi yang boleh memberikan
tekanan kepada murid-murid dalam P&P kurikulum dan kokurikulum.
Penggunaan ABM yang menarik dan bersesuaian dengan keadaan semasa
boleh dimanfaatkan dalam mewujudkan situasi yang tenang dan bersahaja
tetapi dalam masa yang sama boleh menjamin kepada pencapaian
penyampaian ilmu dan penggunaan tatabahasa yang betul. Kaedah pedagogi
untuk mata pelajaran yang lain juga perlu diselaraskan agar kaedah belajar
tatabahasa sambil berlibur diperluaskan skopnya bukan semata-mata tertumpu
kepada mata pelajaran yang berkaitan dengan bahasa sahaja tetapi melibatkan
juga mata pelajaran yang lain. Namun begitu, corak persembahan yang
digunapakai seharusnya tidak tersasar dari matlamat asal.
Penerapan dan penggunaan unsur-unsur libur yang berbentuk psikologi
ini ternyata telah terbukti dalam melahirkan individu yang boleh
mengembangkan tahap fizikal, mental, sosial dan emosi secara betul. Program
seperti ini juga boleh memberi peluang kepada murid-murid untuk
menambahbaik diri, keterbukaan dalam mengasimilasi dan akomodasi idea-
idea baru serta lebih peka kepada alam sekeliling. Dengan keadaan murid-
murid yang tersedia dari sudut psikologi ini maka segala program yang diatur
untuk peningkatan penggunaan bahasa akan kelihatan lebih menarik dan
mudah untuk diterjemahkan.
5. Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Dalam P&P
Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam P&P juga
boleh mewujudkan kondisi yang bersifat interaktif dan menghiburkan bukan
sahaja kepada murid-murid bahkan kepada guru-guru yang terlibat. Guru-guru
seharusnya boleh mengaplikasikan teknologi-teknologi terkini seperti perisian
komputer, e-mel, lambang sembang dan laman sesawang sebagai salah satu
medium dalam kaedah P&P yang digunakan. Alat bantu mengajar (ABM)
boleh disediakan dengan menggunakan teknologi terkini ini. ABM seperti
‘flash card’ misalnya, jika disediakan dengan menggunakan perisian komputer
maka akan lebih kelihatan menarik dan pelbagai. Malahan terdapat perisian-
perisian komputer yang telah tersedia khusus untuk tujuan P&P dalam
pendidikan. Ada sesetengahnya yang begitu terperinci serta lengkap dengan
sebutan, ejaan, sukuan dalam pengejaan dan penuturan. Guru-guru hanya perlu
memahirkan diri dalam mengoptimumkan penggunaan bahan-bahan tersebut.
Penggunaan portal yang khusus untuk menghimpunkan bahan-bahan
penulisan serta forum bagi penggiat bahasa, pendidik, sasterawan, murid-
murid serta pengguna bahasa yang berkaitan untuk berbincang, mengkaji dan
mencari maklumat perlu diambilkira. Guru-guru boleh memberikan
pendedahan terkini tersebut kepada murid-murid dalam usaha untuk
menambahbaikkan lagi proses P&P. Dengan cara ini, kaedah P&P yang
digunakan akan kelihatan lebih terbuka, bersifat terkini dan sesuai dengan
keadaan semasa.
Situasi ini juga boleh mengelakkan murid-murid berasa jemu dengan
penggunaan P&P yang sama dengan skop yang sempit. Keadaan ini juga
secara tidak langsung boleh meningkatkan tahap keseronokan kepada murid-
murid untuk belajar bukan sahaja dalam mata pelajaran yang berkaitan dengan
bahasa malah meliputi perkara-perkara lain yang berkaitan.
Namun begitu, untuk memastikan penggunaan teknologi maklumat dan
komunikasi ini berada pada tahap yang memuaskan, kolaborasi di antara pihak
sekolah dan guru-guru seharusnya berada di peringkat yang tinggi.
Persekitaran pembelajaran yang kondusif juga perlu dititik beratkan serta
diberi perhatian yang serius. Pemantauan dalam aspek kebersihan, keceriaan
dan keselamatan di sekolah perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi
memastikan saiz kelas, keadaan fizikal bilik darjah dan persekitaran sekolah
lebih kondisif untuk P&P. Mewujudkan peralatan sokongan seperti makmal
komputer, perkakasan komputer, perisian, tenaga pengajar yang mahir dan
lain-lain juga perlu dititik beratkan.
Penutup
Secara keseluruhannya, pemain utama dalam dasar baru pendidikan negara ini adalah
guru-guru. Penglibatan mereka sebagai pencorak di barisan hadapan memainkan peranan
yang penting dalam merealisasikan matlamat serta tujuan utama MBMMBI mengikut
ketetapan yang telah ditentukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Kerajaan
meletakkan pengharapan yang tinggi kepada para guru untuk menjadi penyumbang utama
dalam penentu kejayaan dasar baru pendidikan ini. Usaha dalam memertabatkan bahasa
Melayu kepada tahap yang lebih tinggi tetapi dalam masa yang sama turut memperkasakan
penggunaan bahasa Inggeris di kalangan murid-murid seharusnya dipikul oleh para guru
dengan sebaik mungkin dengan penuh rasa tanggungjawab.
Strategi Kementerian Pendidikan Malaysia yang telah mewujudkan masing-masing 5
Institusi Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang berorientasikan bahasa Melayu dan bahasa
Inggeris seharusnya dilihat sebagai usaha dan kerjasama yang erat di peringkat tertinggi
dalam mencapai hasrat dasar baru ini. Penambahbaikan sistem pendidikan negara perlu
diselaraskan dengan komitmen guru-guru dalam menterjemahkan strategi dan dasar yang
telah ditetapkan. Bak kata pepatah:
“KALAU TAK DIPECAHKAN RUYUNG, MANA KAN DAPAT SAGUNYA”
Bibiliografi
1. PMR.PENERANGAN.GOV.COM.MY/index.php/component/content/article/373-
info-pendidikan/11254
2. http://www. Moe.gov.my/userfiles/fileMBMMBI.pdf
3. http://www.ar-rifke.com/2011/10/
4. http://www.ppdbtu.edu.my/download/110504.pdf
5. http://www.moe.gov.my/mbmmbi/moe_mbmmbi_02.html
6. http://www.mudahbelajar.com
7. Utusan Malaysia: mohd Fadzly mohd Izab. 14 mei 2011.
http://[email protected]
8. http://suzanalelawaty.blogspot.com
9. http://pelajaranperak.gov.my/v2/modules/mastop_publish/files/
files_4b2eceb0098d3.pdf
10. http://btpnsel.edu.my/main/2010/12/dasar-mbmmbi-kpm/
11. http://www.lamanwebinfo.com/tag/mbmmbi/
12. http://kdpoum.blogspot.com/2009/07/psikologi pendidikan.html