bab 1studentsrepo.um.edu.my/5499/12/11)_tesis_bab_1.pdfmelalui beberapa tingkatan dan tahap umur dan...
TRANSCRIPT
2
BAB 1: PENGENALAN.
Bahasa Arab (BA) merupakan satu subjek yang tidak asing lagi dipelajari di
Malaysia. Pembelajaran bahasa asing ini telah berkembang dalam pembelajaran dari
peringkat Pra Sekolah sehingga ke peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT). Ini adalah
disebabkan pendedahan secara meluas akan kepentingan pembelajaran bahasa tersebut.
Antara faktor utama penularan pembelajaran bahasa ini adalah kerana agama iaitu
Agama Islam. Sumber utama bagi mendapat pengetahuan ilmu agama ini adalah Al-
Quran yang menggunakan bahasa Arab (BA) sebagai bahasa pengantar. Al-Qur’an
adalah sumber ajaran Islam yang utama. Al-Qur’an adalah wahyu Allah yang
diturunkan kepada Rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW. Al-Qur’an dijaga dan dipelihara
oleh Allah SWT: Kaelany HD (2009). Bukan sekadar itu sahaja bahkan bahasa ini juga
digunakan untuk melakukan amal ibadat yang disyariatkan kepada penganut agama
tersebut.
Pembelajaran BA yang bermula dari Pra sekolah hingga ke peringkat IPT
melalui beberapa tingkatan dan tahap umur dan keperluan pelajar tersebut. Contohnya
pembelajaran di peringkat pra sekolah dan sekolah rendah pembelajaran bahasa ini lebih
tertumpu kepada mengenal huruf, mengetahui cara menyebut dengan betul dan
mengetahui beberapa makna perkataan yang di terjemahkan di dalam bahasa pertama.
Manakala di peringkat menengah pula beberapa kaedah berkaitan di dalam BA
dipelajari oleh pelajar yang ingin memahami tatabahasa bahasa tersebut. Lebih-lebih
lagi pelajar yang mengambil subjek BA sebagai subjek elektif di dalam peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Di peringkat ini juga terdapat pelajar yang mempelajari
bahasa asing ini untuk mereka memahami dengan lebih mendalam dan bertujuan untuk
menyambung pelajaran ke negara-negara yang menggunakan bahasa tersebut sebagai
3
bahasa pengantar. Kebanyakan dari pelajar tersebut ingin menyambung pelajaran di
dalam bidang ilmu keagamaan.
Di IPT pula pembelajaran bahasa ini tertumpu kepada kehendak pelajar
mengikut pengkhususan yang diambil. Namun begitu terdapat IPT yang meletakkan BA
ini sebagai subjek major atau subjek institusi yang wajib diambil pelajar bagi IPT
berkenaan. Ini adalah kerana terdapat beberapa buah fakulti di sesebuah IPT yang
menggunakan BA sebagai bahasa pengantar, bahan bacaan serta bahasa bahan rujukan
bagi subjek tertentu. Contohnya ia menjadi subjek yang penting sekiranya seorang
pelajar itu mengambil jurusan Pengajian Islam yang mempelajari ilmu-ilmu Islam yang
menggunakan bahan bacaan dalam BA seperti di UIAM, UKM dan lain-lain.
Walaupun pembelajaran bahasa ini telah bermula dari peringkat pra sekolah
hingga peringkat yang lebih tinggi namun penguasaan secara keseluruhan di kalangan
pelajar-pelajar tersebut masih di tahap yang rendah. Pembelajaran BA meliputi
tatabahasa atau qawaid, gaya bahasa atau uslub serta budaya bahasa tersebut yang
diperlukan untuk menguasai empat kemahiran iaitu kemahiran bertutur, kemahiran
mendengar, kemahiran membaca dan kemahiran menulis.
Antara tajuk utama di dalam mempelajari tatabahasa adalah „maṣdar‟ „ ‟
atau diterjemahkan sebagai kata terbitan. Maṣdar atau kata terbitan ini berpunca dari
kata kerja ṣadara, iaitu gabungan huruf „ ‟ „Ṣād‟, „ ‟ „Dāl‟ dan „ ‟ „Rā‟‟
yang memberi maksud keluar atau sumber.
Menurut al-Sayyid Ahmad Al-Ḥāshimī dalam kitab al-Qawāid al-Asāsiyyah
Lilughati al-Arabiyah Maṣdar bermaksud „sesuatu perkara yang menunjukkan satu
4
kejadian yang sunyi dari menunjukkan waktu atau masa, iaitu asal bagi himpunan
segala derivasi‟
Abd al-Ghaniy al-Duqr (1986:343) mendefinisikan maṣdar ialah kata nama yang
menunjukkan perbuatan sahaja. Manakala Fakhr ad-Dīn Qabawat (1988:130)
menjelaskan definisi maṣdar ialah kata nama yang menunjukkan perbuatan yang tidak
terikat dengan masa.
Topik ini merupakan salah satu aspek yang penting di dalam mempelajari ilmu
nahu BA. Perkara ini banyak diperbincangkan di dalam beberapa buah kitab nahu hasil
karangan ulama‘-ulama‘ bahasa yang mu‘tabar. Ini menunjukkan bahawa tajuk ini amat
penting bagi seorang pelajar memahami tatabahasa BA. Secara umumnya tajuk ini
dipelajari meliputi setiap lapisan pengajian terutama di peringkat sekolah menengah dan
institusi pengajian tinggi. Manakala di tempat kajian penulis iaitu di Institut Pengajian
Tinggi Swasta (IPTS) di Perak tajuk ini dipelajari oleh pelajar BA di dalam dua
semester.
Oleh yang demikian maṣdar ini bukanlah asing di kalangan pelajar bahasa
tersebut. Berdasarkan penyataan di atas kajian ini dibuat untuk melihat tahap
penguasaan pelajar di dalam bidang binaan maṣdar dan penggunaannya. Di samping
melihat permasalahan yang timbul menyebabkan kerencatan bagi pelajar untuk
memahami dan mengaplikasikannya di dalam penggunaan BA yang baik.
1.1 MASALAH KAJIAN.
Walaupun tidak keseluruhan pelajar mempelajari BA di peringkat
sekolah menengah namun subjek yang diperkenalkan oleh Jabatan Pendidikan
Islam dan Moral (JAPIM) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) (2006:5) ini
bermatlamatkan adalah:
5
Pengajian BA di peringkat menengah bermatlamatkan untuk
membolehkan pelajar menguasai kemahiran-kemahiran bahasa yang empat
iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta memperaktiskannya
berdasarkan kepada situasi tertentu, menambahkan pembendaharaan kata
mereka, menguasai kaedah-kaedah nahu, saraf dan bahan hafazan terpilih dan
meningkatkan kemampuan mereka menggunakan bahasa dengan betul. Di
samping menyemai nilai-nilai Islam dan akhlak yang mulia. Ini bermaksud
pembelajaran ini bertujuan untuk menyemaikan nilai-nilai murni yang di
terapkan di dalam Islam yang menitikberatkan akhlak yang baik.
Oleh yang demikian tidak hairanlah kebanyakan institusi pengajian
tinggi awam dan swasta meletakkan BA sebagai bahasa wajib dipelajari. Di
antara matlamatnya adalah bagi menerapkan nilai-nilai tersebut. Namun begitu
terdapat juga faktor-faktor yang lain.
Dari sudut penguasaan BA pula, Ismail Ibrahim dalam Ab. Halim
Mohamad (2002:10) menyatakan bahawa, kalau kita meninjau ke sekolah-
sekolah menengah agama di seluruh negara dan meninjau pendapat guru-guru
sekolah tersebut tentang pencapaian BA pelajar di sekolah-sekolah menengah
dan pensyarah-pensyarah BA di universiti, mereka menyatakan bahawa mutunya
telah jatuh begitu rendah, pencapaian pelajar-pelajar begitu lemah dan menurun.
Ab. Halim Mohamad (2002:9) pula menyatakan bahawa tahap
penguasaan BA dalam kalangan pelajar-pelajar yang telah melepasi peringkat
sekolah menengah yang berjaya memasuki pusat-pusat pengajian tinggi
tempatan adalah lemah, khususnya daripada segi penguasaan frasa Arab. Mereka
banyak melakukan kesalahan bahasa dari segi frasa selain daripada unsur-unsur
nahu yang lain sama ada ketika bercakap, membaca teks atau menulis.
6
Oleh yang demikian dapatlah dilihat bahawa permasalahan ini bukan
hanya menular di peringkat sekolah menengah bahkan di pusat-pusat pengajian
tinggi tidak terkecuali menanggung kelemahan yang sama walaupun pelajar
tersebut telah didedahkan dengan pembelajaran BA di peringkat awal
persekolahan lagi.
Permasalahan ini timbul berdasarkan beberapa faktor yang dikenal pasti.
Di dalam dapatan kajian Ismail Hj. Ibrahim (1974:14) menyatakan bahawa di
antara masalah utama yang dihadapi oleh orang-orang yang bahasa asalnya
bahasa Melayu dalam mempelajari BA ialah:
a) Masalah fonologi atau sebutan huruf-huruf Arab yang tidak ada dalam
Bahasa Melayu seperti .
b) Masalah morfologi atau penambahan yang begitu banyak dalam satu kata
dasar BA dan agak asing bagi Bahasa Melayu seperti kata (kataba)
yang menjadi
dan kemudian dan sebagainya.
c) Masalah struktur ayat yang tidak ada dalam Bahasa Melayu seperti
dalam Bahasa Melayunya “pergi Muhammad”
d) Masalah transliterasi atau menulis perkataan Arab dalam Bahasa Melayu
yang tidak mempunyai satu sistem yang seragam dalam melahirkan bunyi-
bunyi huruf Arab yang asing bagi Bahasa Melayu seperti disebutkan dalam
masalah fonologi (a) di atas.
7
e) Masalah kata pinjaman dari BA yang menimbulkan masalah sebutan bagi
orang-orang yang berbahasa Melayu. Contohnya nama-nama Arab yang
telah dimelayukan; Halīm ( ) dalam BA telah bertukar menjadi Hālīm
( ) apabila di tulis di dalam Bahasa Melayu. Begitulah juga Fātimah
( ), Nūr ad-Dīn menjadi Nūrdīn dan sebagainya.
Walaupun kajian literatur ini dianggap sudah lama iaitu kajian yang
dibuat pada tahun 1974 namun ia dianggap releven kepada penulis kerana
permasalahan berkaitan topik ini masih timbul dari semasa kesemasa. Kenyataan
ini dikuatkan apabila Azlan Abdul Rahman (2003) menulis di dalam disertasinya
berkaitan pencapaian pelajar dalam menguasai topik ini.
Di dalam himpunan elemen atau tajuk di dalam ilmu nahu BA, maṣdar
merupakan satu tajuk yang penting dikuasai oleh pelajar untuk memahami dan
mengaplikasi BA dengan kaedah yang betul. Ini adalah kerana maṣdar banyak
dikaitkan dengan tajuk-tajuk lain di dalam nahu Arab.
Kelemahan pelajar untuk menguasai beberapa tajuk penting terutamanya
maṣdar menjadi punca kepada kelemahan pelajar menguasai BA secara
keseluruhan. Kekeliruan yang timbul di dalam mengaplikasikan maṣdar dari
sudut binaan dan fungsi menjadikan pembelajaran bahasa menjadi sukar dan
berada di tahap yang rendah.
Menurut Azlan Abdul Rahman (2003:4) kelemahan pelajar untuk
memahami maṣdar adalah berpunca dari beberapa faktor berikut iaitu:
8
a) Kelemahan memahami dan menggunakan maṣdar menghalang pelajar daripada
menguasai BA dengan baik.
b) Wujud kelemahan dalam pembelajaran maṣdar Arab.
c) Kekeliruan membezakan jenis, fungsi, dan pola maṣdar menyebabkan mereka
sering melakukan kesilapan dalam pertuturan dan penulisan.
Di antara bahagian yang menjadi permasalahan bagi kalangan pelajar
adalah pembinaan maṣdar sama ada dari sudut fi„l thulāthī, atau ghayr thulāthī
serta pemahaman mengenai fungsi dan penggunaannya. Di mana pelajar tidak
dapat mengenal pasti sesuatu maṣdar sekali gus menyebabkan kerumitan para
pelajar mendapatkan makna tepat dari kamus BA itu sendiri. Justeru itu ia
menjadi satu masalah yang perlu dirungkai oleh pengkaji bagi menjawab
persoalan ini.
1.2 OBJEKTIF KAJIAN.
Kajian ini akan mengkaji beberapa perkara berdasarkan beberapa
objektif yang dirangka bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul, iaitu:
a) Mengumpulkan tajuk maṣdar dari sumber primer dan skunder berkaitan
sukatan pembelajaran tajuk ini di sebuah IPTS di Perak
b) Melihat penggunaan dan pemahaman fungsi maṣdar di dalam pembelajaran
mereka.
c) Mengenalpasti punca permasalahan yang berlaku dalam pembelajaran dan
pemahaman berkaitan binaan maṣdar di kalangan pelajar.
d) Mencari jalan penyelesaian bagi permasalahan tersebut seterusnya
mencadangkan di dalam pembelajaran BA.
9
1.3 SOALAN KAJIAN.
Berpandukan kepada latar belakang kajian, pernyataan masalah kajian
dan objektif kajian yang telah di huraikan, disertasi ini ingin mengkaji dan
menjawab beberapa persoalan yang berikut:
a) Apakah sukatan serta bahan pengajaran yang digunakan dalam mendefinisi
dan menerangkan tajuk yang berkaitan maṣdar dan binaannya?
b) Apakah aspek yang tidak dapat dikuasai oleh pelajar dalam bab berkaitan
maṣdar dan binaannya?
c) Apakah sebab berlaku kesukaran pelajar untuk menguasai dan memahami
penggunaan binaan maṣdar ini?
d) Apakah jalan penyelesaian yang berkesan bagi pelajar melayu menguasai
topik ini?
1.4 KEPENTINGAN KAJIAN.
Kajian ini menunjukkan pengkaji ingin melihat tahap pencapaian pelajar
dalam menguasai dan mengaplikasi penggunaan maṣdar dan binaannya. Di
mana dalam tinjauan awal penulis, maṣdar dan binaannya merupakan salah satu
tajuk yang sukar difahami di kalangan pelajar. Dengan demikian itu kajian ini
dibuat untuk melihat dan merungkai punca permasalahan dan kekeliruan yang
berlaku.
Menurut kajian yang lampau terdapat beberapa kajian yang menyentuh
perbincangan mengenai maṣdar contohnya seorang pengkaji iaitu Abdullah
Tahmin Hj. Abdul Latiff (1994:131) dengan tajuk “Maṣdar Mu‟awwal: Suatu
Analisis”. Dalam kajian beliau ini ia cenderung untuk membincangkan
berkenaan konsep, bentuk, cara pemakaian dan kepentingan Maṣdar Mu‟awwal.
10
Manakala kajian yang dijalankan oleh Azlan Abdul Rahman (2003:4) di dalam
tajuknya “Penggunaan Maṣdar Di Kalangan Pelajar Melayu: Satu Kajian Kes”
lebih menumpukan tentang kajian penggunaan maṣdar di kalangan pelajar
Melayu.
Pada 2004 juga satu lagi kajian yang berkaitan dengan maṣdar dijalankan
iaitu “Maṣdar Thulāthī Mazīd: Aspek Pola dan Semantik oleh Ummi Syarah
Ismail (2004:9) iaitu pengkaji membuat kajian yang berkaitan salah satu dari
bahagian di dalam maṣdar iaitu jenis-jenis thulāthī mazīd iaitu kajian yang
berkaitan dengan morfologi BA.
Manakala pada 2007 kajian maṣdar dihuraikan lagi oleh Noor
Shamsinar Zakaria (2005:5)iaitu “Analisis Penggunaan Maṣdar Ṣarih dalam
Surah Al-Luqmān”. Kajian ini lebih menumpukan penggunaan maṣdar Ṣarih di
dalam sebuah surah di dalam al-Quran.
Walaupun telah ada beberapa kajian yang dibuat namun kajian ini lebih
tertumpu kepada gabungan di antara dua bahagian penting di dalam maṣdar iaitu
binaan dan penggunaannya. Di samping itu juga kawasan pengkajian yang
berbeza dan latarbelakang responden yang berlainan dengan kajian-kajian yang
lepas memberi kecenderungan pengkaji untuk meneruskan kajian.
1.5 METODOLOGI KAJIAN.
Bagi menjalankan kajian ini, pengkaji menggunakan beberapa metod
seperti pengumpulan data dari teks atau turath Arab mengenai tajuk yang di
jalankan, mengkaji silibus pembelajaran di tempat kajian dan menganalisis data
yang diperolehi dari kajian lapangan. Secara amnya kajian ini menggunakan 2
metod yang berbeza iaitu:
11
1.5.1 Kajian Perpustakaan.
Metod ini digunakan oleh pengkaji untuk mencapai maklumat secara
terperinci mengenai tajuk yang dibincangkan iaitu konsep maṣdar dan
kepentingannya di dalam pembelajaran tatabahasa BA. Pengkaji perlu untuk
melihat sumber utama dan skunder untuk mendapatkan teori-teori yang telah di
bawa oleh pengkaji bahasa atau para sarjana bahasa untuk mendapatkan
maklumat secara terperinci bagi tajuk kajian pengkaji. Di dalam metod ini
pengkaji akan menganalisis bahan pengajaran yang digunakan di dalam
pembelajaran di tempat kajian.
1.5.2 Kajian Lapangan.
Bagi kajian lapangan pula pengkaji akan menggunakan beberapa
instrumen kajian iaitu ujian dan soal selidik ke atas responden yang dipilih
secara rawak. Responden yang dipilih terdiri daripada pelajar yang telah
mempelajari tajuk binaan maṣdar, fungsi dan penggunaannya. Pengkaji
menggunakan instrumen ini untuk mendapatkan maklumat mengenai tahap
penguasaan pelajar iaitu pemahaman dan penggunaan tajuk tersebut.
Instrumen ujian dijalankan terhadap pelajar untuk menilai kemampuan
pelajar terhadap penguasaan tajuk maṣdar. Soalan-soalan yang dikemukakan
meliputi beberapa topik sukatan pembelajaran yang dipelajari di dalam kelas.
Soalan yang luar dari sukatan tidak diberikan di dalam soalan ujian ini.
Berkaitan borang soal selidik pula terdapat tiga bentuk soalselidik yang
digunapakai dalam kajian ini iaitu:
12
a) Soal selidik yang berkaitan dengan latar belakang pelajar.
Soal selidik ini lebih tertumpu kepada ciri responden yang di pilih iaitu
pengkaji ingin mendapatkan data mengenai latar belakang pelajar seperti
umur, jantina, pendidikan, pengalaman belajar BA dan sikap untuk
mempelajari bahasa ini.
b) Soal selidik berkaitan pembelajaran dan pengajaran BA.
Pengkaji ingin mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan sikap
pelajar terhadap pembelajaran nahu secara keseluruhan dan terhadap tajuk
kajian secara terperinci. Bentuk soalan yang diberikan berperingkat dari
yang mudah kepada yang lebih sukar untuk melihat tahap pencapaian dan
penguasaan pelajar.
c) Soal selidik berkaitan maṣdar secara menyeluruh.
Soal selidik ini dijalankan untuk pengkaji memperolehi maklumat
berkaitan tahap penguasaan pelajar dalam disiplin binaan maṣdar serta fungsi
dan penggunaannya. Pelajar akan disoal mengenai pemahaman dan aplikasi
yang dapat dilakukan berdasarkan soalan-soalan yang diberi.
Berpandukan soal selidik yang dijalankan, dapatan kajian ini akan di
analisis secara deskriptif iaitu pengkaji dapat menggunakan peratusan, min
dan taburan skor untuk menghasilkan maklumat yang berkaitan dengan latar
belakang responden dan sikap terhadap pembelajaran dan penguasaan tajuk
maṣdar. Pengkaji juga akan mempamerkan hasil dapatan kajian di dalam
beberapa bentuk seperti graf dan jadual untuk kemudahan pembaca menilai
dan memahami data yang telah dikaji.
Instrumen temubual digunakan untuk menghasilkan dapatan kajian
beberapa perkara berkaitan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam
kelas dan luar kelas. Temubual ini dijalankan terhadap tenaga pengajar yang
13
mengajar subjek dan topik yang menjadi tajuk kajian penulis. Penulis
menggunakan kaedah temubual semi-struktur dalam kajian ini.
1.6 BATASAN KAJIAN.
Batasan bagi kajian ini adalah hanya tertumpu kepada tajuk maṣdar dan
binaannya mengikut sukatan pelajaran di lokasi kajian sahaja. Iaitu meliputi
permasalahan yang timbul di kalangan tajuk ini sahaja tidak menyentuh tajuk
lain di dalam ilmu nahu BA.
Tajuk-tajuk yang menjadi perhatian dalam kajian ini adalah bab binaan
maṣdar dari aspek maṣdar thulāthī dan ghayr thulāthī , termasuk juga aspek
maṣdar al-Mīmī dan penterjemahan sahaja. Manakala dari sudut penggunaannya
pula, kajian ini lebih tertumpu kepada penggunaan yang melibatkan fungsi
maṣdar dan terjemahan sahaja. Hubungan dengan elemen yang lain tidak di kaji
di dalam kajian ini kerana ia di luar skop silibus pembelajaran BA di tempat
kajian.
Kajian ini dilakukan kepada responden yang terdiri dari 42 orang pelajar
yang dipilih secara rawak dari kalangan pelajar Kolej Islam Darul Ridzuan,
Kuala Kangsar, Perak. Pelajar-pelajar tersebut adalah dalam kalangan pelajar
yang telah menduduki kelas pengajian BA secara berperingkat dari semester
kedua, ketiga dan keempat iaitu subjek al-Lughah al-„Arabiyyah I (LA I), al-
Lughah al-„Arabiyyah II (LA II) dan al-Lughah al-„Arabiyyah III (LA III).
Responden ini dipilih kerana jumlah pelajar yang terhad di institusi
tersebut dan penulis hanya dapat mengumpulkan kesemua pelajar tersebut pada
masa kajian dijalankan. Pelajar-pelajar lepasan tiga subjek ini akan bertambah
dan berkurang mengikut keadaan semasa.
14
1.6.1 Pengenalan lokasi kajian dijalankan.
Kolej Islam Darul Ridzuan telah ditubuhkan pada tahun 1999 oleh
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Pada September, 1999 seramai 11
orang pensyarah perintis telah diambil bagi memulakan operasi penubuhan
Kolej Islam Darul Ridzuan. Pada 4 Oktober, 1999 seramai 47 orang pelajar
perintis telah diambil bagi mengikuti 3 program Pengajian iaitu Diploma Syariah
Islamiyyah (SYA), Diploma Bahasa dan Kesusasteraan Arab (BKA) dan
Diploma Usuluddin (USL).
Pada peringkat awalnya Kolej Islam Darul Ridzuan telah didaftarkan di
bawah Enakmen Kawalan Sekolah-sekolah Agama Islam 1996 di bawah Jabatan
Agama Islam Negeri Perak. Kampus sementara Kolej Islam Darul Ridzuan
terletak di Jalan Dato‟ Seri Shaari, Off Jalan Raja Dihilir, 30350 Ipoh. Kampus
ini telah dirasmikan oleh Kebawah DYMM Paduka Seri Sultan Perak pada 16
Oktober, 1999.
Pada 17 November, 2000 Dewan Undangan Negeri Perak telah
meluluskan enakmen Bil.3 Tahun 2000, Enakmen Kolej Islam Darul Ridzuan
yang menjadikan Kolej Islam Darul Ridzuan sebagai sebuah Badan Berkanun
yang terletak terus di bawah Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.
Enakmen Kolej Islam Darul Ridzuan telah diluluskan oleh Dewan
Negeri Perak pada 19 November 2001 dan telah diperkenankan oleh Ke bawah
DYMM Paduka Seri Sultan Perak pada 6 Mac 2002 dan telah disiarkan untuk
pengetahuan umum pada 28 Mac, 2002. Pada 24 Mei 2003 penubuhan Kolej
Islam Darul Ridzuan telah didaftarkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi
Malaysia.
15
Kampus tetap Kolej Islam Darul Ridzuan telah siap dibina pada 30 April
2008 dan mula berpindah ke Kampus Tetap Kolej Islam Darul Ridzuan pada
Mei 2008 dan pengambilan pelajar pertama di kampus ini bermula 2 Mei 2008.
Perasmian Kampus Tetap Kolej Islam darul Ridzuan, Kuala Kangsar
telah disempurnakan oleh Ke bawah DYMM Paduka Seri Sultan Perak pada 16
Julai 2009.
(http://www.kiperak.edu.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&
id=63&Itemid=83)
1.6.2 Pengenalan Kepada Program Pengajian.
Kursus-kursus pengajian di Kolej Islam Darul Ridzuan telah mendapat
pengiktirafan Akreditasi penuh oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan
diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmtan Awam (JPA) setaraf dengan Diploma dari
Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tempatan. Program-program pengajian
yang ditawarkan adalah seperti berikut :
Jadual 1.7.2.1: Senarai Program yang ditawarkan di Kolej Islam Darul
Ridzuan.
Bil. Program
1 Diploma Bahasa dan Kesusasteraan Arab
2 Diploma Teknologi Maklumat
3 Diploma Perbankan dan Kewangan Islam
4 Diploma Perakaunan
5 Diploma Syariah Islamiyyah
6 Diploma Usuluddin
7 Diploma Pentadbiran Perniagaan
8 Diploma Pengajian Islam
9 Diploma Kaunseling Islam
10 Diploma Komunikasi Islam
11 Diploma Pengurusan Muamalat
16
Lepasan Diploma Syariah Islamiyyah (SYA), Diploma Usuluddin
(USL), Diploma Bahasa dan Kesusasteraan Arab (BKA) berpeluang
melanjutkan pengajian keperingkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Jordan,
Universiti Yarmouk, Universiti Mu‟tah, Universiti Ahlu Al-Bayt dan Universiti
Hashimiyyah di Jordan serta Universiti Muhammad Al-Khamis, Universiti Al-
Qarawiyyin di Morocco dan IPTA tempatan di seluruh Malaysia.
Dari segi pasaran kerja atau „Job Market‟ pula, graduan lulusan Kolej
Islam Darul Ridzuan mempunyai peluang yang tinggi untuk bekerja samada di
sektor awam atau swasta memandangkan graduan lulusan kolej memiliki
pengiktirafan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA), Syarikat-
syarikat GLC dan Syarikat-syarikat swasta di Malaysia.
(http://www.kiperak.edu.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&
id=63&Itemid=83)
Senarai fakulti/sekolah/jabatan/pusat dalam PPT (dan kampus
cawangannya) dan bilangan program ditawarkan:
Jadual 1.7.2.2: Senarai Fakulti di Kolej Islam Darul Ridzuan.
Bil. Nama Fakulti/Sekolah/Jabatan/Pusat Bilangan Program
ditawarkan
1. USL 3 program
2. SYA 2 program
3. BKA 1 program
4. Fakulti Pengurusan 4 program
5. Fakulti Teknologi Maklumat 1 program
17
Jumlah Pelajar Tahun 2011
Jadual 1.7.2.3: Bilangan Pelajar di Kolej Islam Darul Ridzuan.
Jantina Bilangan pelajar Jumlah
Tempatan Asing
Lelaki 326 7 333
Perempuan 502 0 502
Jumlah 828 7 835
1.6.3 Pengajaran bahasa Arab di lokasi kajian..
Kolej Islam Darul Ridzuan merupakan institusi Islam yang menerapkan
pengajian Islam bagi semua fakulti termasuklah matapelajaran BA. Di mana BA
merupakan subjek wajib di ambil bagi setiap fakulti. Namun begitu
pembelajaran tersebut dibahagikan kepada beberapa tahap mengikut kesesuaian
fakulti masing-masing.
Fakulti yang menggunakan bahasa pengantarnya BA sepenuhnya adalah
seperti SYA, USL dan BKA. Bagi fakulti ini satu modul telah disediakan oleh
pihak akademik kolej yang telah mendapat pengikitirafan oleh Malaysian
Qualifications Agency atau akronimnya MQA. Subjek yang ditawarkan bagi
fakulti tersebut ialah al-Lughah al-„Arabiyyah I, al-Lughah al-„Arabiyyah II dan
al-Lughah al-„Arabiyyah III.
Untuk pemantapan BA di kalangan pelajar sebelum menduduki diploma
ini pelajar harus menduduki peperiksaan penempatan BA untuk melihat tahap
kebolehan pelajar tersebut. Sekiranya pencapaian di dalam peperiksaan tersebut
tidak mencapai kepada tahap piawaian yang ditetapkan oleh pihak kolej, pelajar
tersebut perlu memasuki kelas asas BA sama ada pada tahap satu atau dua.
18
Manakala bagi fakulti yang tidak menggunakan BA sebagai bahasa
pengantar, subjek yang ditawarkan adalah BA I dan BA II. Ia merupakan subjek
yang wajib diambil untuk memperolehi diploma.
1.7 RANGKA KAJIAN.
Penulis telah membahagikan kerangka kajian disertasi ini kepada lima
bab iaitu:
Bab 1: Pengenalan.
Bab ini disusun sebagai pengenalan atau pendahuluan kepada disertasi
ini. Bab ini membicarakan tentang beberapa tajuk iaitu pengenalan, masalah
kajian, objektif kajian, kepentingan kajian, metodologi kajian, batasan kajian
dan kerangka kajian yang akan dijalankan.
Bab 2: Kajian Literatur dan Maṣdar.
Bab ini pula membicarakan tentang kajian lepas yang telah dilakukan
terhadap tajuk yang berkaitan dengan disertasi ini. Iaitu kajian yang berkaitan
dengan ilmu tatabahasa di dalam BA dan permasalahan yang timbul. Di dalam
ini juga menjelaskan hasil dapatan kajian terdahulu serta pendapat atau cadangan
yang dikemukakan oleh ahli bahasa.
Dalam bab ini juga dipamerkan tajuk maṣdar mengenai definisi maṣdar
serta binaannya mengikut peraturan nahu Arab. Di dalam bab ini penulis akan
membahagikan perbahasan mengenai maṣdar kepada dua bahagian iaitu
binaannya dan penggunaannya. Pembahagian ini dibuat mengikut peraturan dan
disiplin serta silibus pembelajaran maṣdar iaitu binaannya yang terdiri dalam
bentuk thulāthī dan ghayr thulāthī serta beberapa bab maṣdar yang telah
19
diterangkan sahaja. Seterusnya perbincangan fungsi dan penggunaannya maṣdar
di dalam hubungan dengan beberapa perkara di dalam nahu Arab.
Bab 3: Pengajaran Bahasa Arab dan Metodologi Kajian.
Adalah bab yang membincangkan berkaitan pengajaran BA di lokasi
kajian secara umum dan pengajaran tajuk maṣdar secara khususnya. Di dalam
bab ini juga diterangkan mengenai susur galur pengajaran bermula dari pihak
yang bertanggungjawab menyediakan pembelajaran BA di kolej tersebut
sehingga topik-topik yang dipelajari di dalam matapelajaran BA yang
ditawarkan kepada pelajar.
Bagi bahagian yang berikutnya penulis fokus di dalam bab ini adalah
kaedah kajian yang digunakan oleh penulis untuk menghasilkan dapatan kajian
selaras dengan objektif kajian yang dilakukan. Di dalam bab ini penulis
menunjukkan rentetan aktiviti-aktiviti yang dilakukan sehingga disertasi ini
dapat diselesaikan.
Bab 4: Dapatan Kajian dan Analisis.
Analisis dapatan kajian akan dibincangkan di dalam bab ini. Semua data
dan maklumat yang diperolehi setelah kajian dijalankan dikumpul dan
dihuraikan secara terperinci. Dapatan yang terhasil dari kajian ini akan
dibentangkan di dalam bab ini dengan beberapa cara seperti jadual atau graf bagi
memudahkan pencarian pembaca tentang dapatan kajian dan perbezaannya.
Bab 5: Rumusan dan Cadangan.
Bab kelima merupakan bab yang terakhir. Penulis akan menempatkan
rumusan kajian dan kesimpulan yang dicapai. Cadangan kepada penyelesaian
20
masalah bagi soalan kajian ini akan diutarakan di dalam bab ini untuk rujukan
kepada kajian yang mendatang.
1.8 KESIMPULAN.
Sebagai rumusan, penulis mengharapkan agar kajian ini dapat dilaksanakan
dengan sempurna hingga ke akhirnya tanpa ada kesulitan yang menghalang penulis
mencapai jawapan bagi setiap persoalan yang ditimbulkan. Semoga kajian ini serba
sedikit dapat membantu di dalam memperbaiki kekurangan dan kelemahan di dalam
pengajaran dan pembelajaran BA terutamanya berkaitan ilmu tatabahasa BA. Walaupun
ia merupakan salah satu tajuk dari beberapa tajuk dalam perbahasan BA namun penulis
berbesar harap agar kajian ini dapat membantu para pengkaji yang mendatang bagi
menyelesaikan masalah pembelajaran bahasa ini pada masa akan datang.