ar raqaiq bab 1 hingga 5

Upload: nurizzah-abdul-majid

Post on 18-Oct-2015

664 views

Category:

Documents


78 download

TRANSCRIPT

Pemandu Para Pemuda Bagi Keselamatan Pada Hari Pembalasan

PAGE

al-Raqaiq

Mukadimah

Jiwa Yang BerimanMemilih dan mengumpulkan para pemuda yang mempunyai sifat pintar dan berani kemudian mentarbiahkan mereka dengan pentarbiahan yang tuntas dan keras, merupakan dua rukun asasi dalam perancangan harakah Islamiyyah.

Ia sebagaimana dinyatakan oleh Abu al-Hasan Ali al-Nadawiyy: Kita mesti mengeluarkan rijal yang boleh menegakkan dakwah, menguruskan pentadbirannya, mentarbiah rijal dan memenuhi segala lompang. Mana-mana gerakan, dakwah atau institusi meskipun mempunyai kekuatan dan bilangan pendokong yang ramai, namun ia tetap terdedah kepada mara bahaya. Bahkan dalam masa yang singkat, ia akan kehilangan pendokong-pendokongnya seorang demi seorang hingga tiba suatu hari nanti ia akan kehilangan kesemua pendokongnya.

Gerakan Islam Hendaklah Menilik Dirinya

Namun tarbiah ini bukanlah dilakukan secara semborono. Antara ciri khususnya yang paling utama ialah ia menyahut seruan tuntutan marhalah dan menangani realiti. Pada setiap adab yang diserukan oleh Islam ada kebaikan, tetapi tenaga manusia yang mempunyai niat yang baik amat terbatas. Oleh itu, hendaklah ditentukan bahagian kebaikan yang manakah lebih penting, lalu yang lebih penting itu dan yang boleh memenuhi keperluan marhalah semasa dimulakan terlebih dahulu selepas melakukan analisis terhadap kekurangan yang ada.

Hakikat inilah yang mewajibkan harakah Islamiyyah hari ini agar menilik dirinya dengan penuh pengalaman dan dalam khalwat pemerhatian agar ia dapat menentukan apakah kekurangannya dan membilang apakah aset yang dimilikinya. Ini mesti dilakukan agar nanti tilikannya terhadap manusia juga mendapat ketepatan daripada Allah swt, juga dapat menentukan apakah jalan yang harus ditempuhi ketika menghadapi persengketaan yang amat sengit ini. Ia sebagaimana dinyatakan oleh Samnun, seorang zahid yang bijaksana ketika beliau berkata setelah ditanya berkenaan dengan tilikan (firasat) dan hakikatnya:

Sesiapa yang menilik diri sendiri lalu dia dapat mengenali dirinya yang sebenar, maka benar dan tepatlah tilikannya pada orang lain juga.

Ia adalah hakikat agung yang dibongkar oleh Samnun melalui beberapa perkataan yang sedikit sahaja. Beliau menyerahkan kepada kita untuk menerimanya sebagai titik tolak untuk kita melakukan tilikan yang kritis terhadap diri sendiri, agar kita dapat menentukan kedudukan kita yang sebenar dan dapat mengenalpasti apakah kekurangan kita. Kemudian agar kita dapat menukar tilikan (firasat) itu kepada kajian yang kita lalui dan gunakannya sebagai sumber yang tidak pernah kering kepada seluruh pendakwah dengan izin Allah. Lalu setelah menimba daripadanya, mereka menjadi para pendakwah yang mempunyai penuh kesedaran. Mereka adalah orang-orang yang benar berdasarkan kebenaran yang mereka bawa daripada tuhan mereka dengan menjaga segala titah perintahNya.

Dalam tempoh yang terdekat, sejarah menyaksikan beberapa bahagian harakah berada jauh daripada keseimbangan yang dituntut dalam melakukan takwin (pembentukan) dan tarbiah. Ada juga harakah yang memberikan tumpuan yang lebih kepada sesuatu sudut tertentu daripada sudut-sudut yang lain. Anda dapat lihat satu harakah di suatu tempat memberikan tumpuan yang lebih kepada sudut ibadat dan pembersihan jiwa, sedang harakah lain yang berada di tempat lain memberikan tumpuan yang lebih kepada sudut pemikiran, manakala harakah lain yang berada di tempat yang lain lagi memberikan tumpuan yang berlebihan kepada penyertaan dalam aktiviti politik seharian. Hasil daripada kepelbagaian tumpuan yang diberikan ini, lahirlah kepelbagaian pembentukan.

Daripada kes-kes yang banyak berlaku, mereka yang terlibat menyedari bahawa aliran pentarbiahan yang menyeluruh dan seimbang, yang dapat menyempurnakan kekurangan mestilah dimulakan. Ciri-cirinya tercerna melalui penanaman hakikat-hakikat berikut:

Kesungguhan melakukan solat dan mengukuhkan akidah.

Beriltizam dengan adab-adab ukhuwwah.

Gembira kerana dapat berkorban dan memenatkan diri seharian.

Rindu kepada jihad dan mati syahid tetapi bukan dengan semberono.

Berdisiplin dengan melakukan ketaatan.

Mengurangkan pergantungan dengan dunia dan hanya menuntut sedikit sahaja daripada bahagian dunia.

Menunggu-nunggu saat kematian dan melupakan angan-angan keduniaan.

Cinta kepada Allah swt dalam keadaan penuh pengharapan yang digenangi dengan perasaan takut (khauf).

Melakukan mufasalah (tidak bergaul) dengan orang-orang kafir dan orang-orang munafik.

Bersabar terhadap segala mehnah yang dihadapi.

Sesiapa yang dapat merealisasikan ciri-ciri di atas, maka dia menjadi salah seorang daripada batu bata asai (al-qaidah al-sulbah) yang boleh dijadikan sebagai sandaran bagi sesebuah harakah Islamiyyah.

Fasal-fasal akan datang dalam buku ini dikhususkan bagi menjelas dan memperingatkan sebahagian daripada hakikat ini, melalui nasihat dan peringatan yang melembutkan hati, yang membantu jiwa membongkar jalan yang sahih dan menjinakkannya agar terus melalui jalan tersebut. Segala paksi kehidupan ini bersambung dengan paksi jiwa yang sentiasa berulang alik antara ketaqwaan dan kejahatan. Jika jiwa ini baik, maka ia akan memberikan naungan menyegarkan yang mendatangkan keamanan kepada tuannya dan kelapangan kepada orang lain sejauhmana kadar kebaikan yang dimilikinya itu. Jika ia rosak, maka berlakulah kecelaruan dan neraka kegelisahan.

Demi untuk memberikan peringatan terhadap keindahan jiwa yang beriman dan menggesa agar menuruti ciri-cirinya, buku ini didatangkan.

Saya amat tertarik dengan gambaran yang dibuat oleh seorang penyair Tunisia, Ahmad al-Mukhtar al-Wazir terhadap jiwa yang tidak bersalah. Beliau telah memberikan suatu perlambangan kepadanya dengan menjadikannya seumpama rama-rama. Beliau amat hampir menyelami kesempurnaan hakikat yang dipandu oleh fitrahnya, tetapi beliau tidak berjaya memegangnya. Cuma kelebihan beliau ialah kejayaan beliau menggambarkan jiwa yang beriman dengan gambaran yang lebih tepat, tidak sebagaimana yang dilakukan oleh orang lain

Jiwanya menawannya kerana ia: tenang, di dalam diamnya, tetapi lebih jelas daripada orang yang berkata-kata

Demikianlah tanda keimanan: Kelembutan, berfikir dan pemerhatian yang tenang, tidak banyak bercakap, jauh daripada kesia-siaan, tetapi diselaputi kehebatan yang mempengaruhi dan keindahan yang mendalam lagi terang benderang.

Jika perhentiannya lambat, titik bermulanya akan menyegerakan.

Perhentian-perhentian yang berlaku adalah salah satu daripada sunnah kehidupan. Ia juga adalah ketetapan yang telah ditetapkan terhadap manusia. Tetapi bagi seorang yang beriman, ia sama sekali tidak akan bertukar menjadi kendur, kelalaian dan sesuatu yang berterusan serta berpanjangan. Bahkan ia hanya menyelubungi sekejap cuma, kemudian ia akan dihilangkan oleh motivasi tersembunyi yang datang daripada aset yang dihimpunkan sendiri atau daripada khazanah hikmat yang tersimpan.

Tetapi syaitan sentiasa menghalang dan cuba menjadikan masa bertolak tergendala. Ia sentiasa mewas-waskan dan meletakkan pelbagai halangan yang berat dalam bentuk perhiasan palsu yang nampak bersinar agar dapat menipu jiwa yang tidak ketahuan. Tetapi jiwa manusia yang sentiasa diilhamkan oleh imannya dapat melihat hakikat di sebalik semua kepalsuan itu sehingga segala kebongkakan palsu lagi tersembunyi yang dibuat-buat, segala kedengkian yang meragukan, atau kepimpinan yang tidak berani ke hadapan dan kecintaan terhadap harta dunia yang fana dapat dibongkar dan didedahkan.

Demikianlah putaran yang dilakukan oleh rama-rama di sekitar percikan yang digambarkannya di atas permukaan tasik, atau ia adalah pengalaman jiwa yang beriman

Betapa ia melihat khayalannya bergelombang keluar.

Seolah-olah seperti bintang yang dibariskan di atas rak dan air yang sejauh mata memandang.

Kemudian ia berputar-putar, merenung, dan berharap alangkah baik jika ia dapat berpegang erat padanya.

Hampir-hampir -jika tidak sedar- ia akan mati kerana lemas.

Tetapi ia beriman. Oleh itu, adalah sukar ia diperbodohkan.

Jelas kepadanya perbezaan antara kesesatan dan petunjuk.

Ya, demikianlah, garis pemisah adalah jelas. Kedekatan akan dapat menjelaskan gambaran sebenar dan dapat lebih menjelaskan lagi sesuatu yang sudah sedia jelas. Kedekatan juga akan menjelaskan bahawa sesuatu yang disangkakan oleh jiwa sebagai sesuatu yang berkilat memancar-mancar, tidak lain dan tidak bukan hanyalah kosong, tidak bernilai apa-apa.

Tetapi bagaimana cara menyelamatkan diri ketika telah dekat berada di samping ombak besar yang datang secara tiba-tiba? Jika tidak melemaskan sekalipun, ombak ini akan meninggalkan basahan yang memberatkan langkah?

Oleh itu, peringatan mesti diberikan dan amaran sentiasa diperlukan. Peringatan dan amaran itu hendaklah dilakukan dalam bentuk seperti di dalam al-Raqaiq ini agar jiwa yang telah beriman itu tidak jatuh ketika terkena percikan semasa mahu membuat pendekatan, bahkan kehidupannya menjadi lebih tinggi sementara ketika berada di ketinggian itu ia berada dalam keadaan selamat.

Ia adalah suatu petikan bernilai yang jarang dapat digubah oleh penyair yang dihadiahkannya kepada generasi yang baru memulakan langkah. Ia adalah hikmat kebijaksanaan kepada orang-orang yang sudah sampai ke penghujung.

Perkara itu bukanlah suatu yang ganjil dalam kebiasaan hikmat Islam, kerana ia adalah suatu yang kekal kebenarannya. Ia tidak mempunyai fasa-fasa berkembang yang lahir selepas daripada kebersahajaan dan kemunduran, tetapi sebagaimana ia sesuai ketika fasa penamat, ia juga sesuai untuk fasa pertengahan dan sebagaimana ia telah sesuai pada fasa permulaan, iaitu semenjak permulaan kehidupan manusia itu sendiri. Tanda atau bukti kepada perkara tersebut ialah bahawa tauhid diwahyukan kepada Nabi Adam a.s. pada permulaan kehidupan, sedangkan beliau adalah seorang nabi, kemudian diilhamkan pula taqwa kepada Habil lalu beliau menahan tangannya daripada melakukan kerosakan.

Lihatlah kepada pancaran cahaya hati dan kelembutan perasaan yang terdapat pada gerombolan yang membongkar hakikat tabiat jiwa yang suci bersih. Lihatlah juga sebaliknya kepada kekerasan hijab hati seorang penyair tidak beriman (mulhid) yang menyeru kepada kebinatangan

Kehidupan hanyalah dalam kebinatangan kelazatan. Bukan sebagaimana diperkatakan oleh ahli falsafah.

Gelas kematian akan ditonggang sama sahaja oleh si bodoh dan si pintar. Apabila berada di dalam tanah, sama sahaja antara si bodoh dan si pintar.

Bertanyalah kepada tanah tentang mereka berdua, jika pertanyaan anda boleh menghilangkan keraguan dan kekeliruan.

Adalah jelas di sini si mulhid memberikan isyarat bahawa pengertian-pengertian sebenar hanyalah melalui kata-kata ahli falsafah bukan kata-kata yang diucapkan oleh para pendakwah Islam. Dia menyangka dengan berbuat demikian, dia akan terselamat daripada tuduhan bahawa dia telah terkeluar daripada agama.

Abu Hayyan al-Tawhidiyy berkata: Abu Sulayman Muhammad ibn Tahir al-Sajastaniyy al-Mantiqiyy berkata setelah mendengar bait-bait syair di atas:

Jenis manusia seperti ini akan merosakkan para pemuda yang tidak berpengalaman yang masih belum mempunyai pandangan mata hati dalam segenap urusan. Mereka hanya menjadi hamba kepada perasaan-perasaan yang datang daripada adat kebiasaan yang merosakkan dan kepercayaan-kepercayaan karut yang diajar oleh rakan-rakan yang jahat. Orang yang mengucapkan bait-bait syair ini sebenarnya telah mengingkari agama, mencabut ikatan perasaan malu daripada dirinya, melakukan kerosakan secara terang-terangan, menyekat hikmat kebijaksanaan dan menanam kekeliruan supaya bermaharajalela di dalam jiwa yang lemah dan akal yang kurang pintar.

Wahai si hina! Adakah hanya kerana orang yang baik dan orang yang jahat, orang yang alim dan orang yang jahil, sama sahaja kesudahan mereka iaitu akan dikebumikan ke dalam tanah, maka mereka adalah sama sahaja?

Adakah sama apabila ada sekumpulan manusia yang bermusafir dari suatu negeri ke suatu negeri yang lain, setelah sampai ke destinasi mereka, maka setiap daripada mereka singgah dan tinggal di tempat yang telah disediakan khusus buat mereka masing-masing dan setiap mereka disambut dengan cara yang berbeza? Adakah sama?

Adakah sama juga apabila sekumpulan manusia memasuki sebuah kediaman lalu setiap orang diberikan tempat duduk yang khusus untuknya dan setiap orang diberikan layanan yang berbeza di antara satu sama lain? Adakah sama?

Kemudian engkau berkata: Tanyalah tanah tentang mereka berdua?

Sebenarnya kami telah bertanya dan ia telah memberitahu bahawa ia telah merapatkan jasad, jenazah dan tubuh badan mereka, bukan kufur dan iman mereka, bukan juga keturunan dan kedudukan mereka, bukan juga kebijaksanaan dan kebodohan mereka, bukan juga ketaatan dan kemaksiatan mereka, bukan juga perkataan dan perbuatan mereka, bukan juga keyakinan dan keraguan mereka, bukan juga kezuhudan dan tasbih mereka, bukan juga makrifat dan tauhid mereka, bukan juga kebaikan dan kejahatan mereka dan bukan juga kezaliman dan keadilan mereka.

Melalui dua petikan syair di atas di samping komentar yang diberikan, jelaslah kepada kita beberapa sudut peperangan yang sentiasa berlangsung di antara keimanan dan beberapa bentuk kesesatan.

Di dalam buku seumpama ini terdapat nasihat-nasihat dan peringatan-peringatan, penundukan dan penambahan keyakinan

1. Tasbih Yang Meneguhkan Kekuasaan

Setiap dakwah yang mahu istiqamah dalam jalannya menuju Allah, hendaklah melangkah melalui istiqamah yang pintunya ialah mihrab.

Setiap dakwah Islam hendaklah memulakan amalannya setiap ketika daripada masjid. Ia hendaklah mengislahkan akidah dan mengajar para pendakwahnya tentang adab-adab bergaul secara Islam. Dengan itu, secara automatik segala neraca kelebihan yang lain akan gugur seperti kebolehan penulisan yang hebat, syarahan yang memukau dan timbunan sijil-sijil pengajian.

Himpunan segala kebaikan terdapat pada kunjungan yang selalu dilakukan ke masjid. Bekalan masjid merupakan bekalan paling baik bagi memulakan sesuatu perjalanan. al-Hasan bin Ali bin Abi Talib r.a. telah berkata:

Sesiapa yang sentiasa mendatangi masjid, dia akan mendapat lapan sifat: Tanda yang meyakinkan, saudara yang berguna, ilmu yang dimiliki, rahmat yang menanti, kalimah yang menunjukkan kepada petunjuk atau menghalangnya daripada kemusnahan, dan peninggalan dosa sama ada kerana malu atau takut.

Pada hakikatnya, masjid adalah tempat pengumpulan fikrah yang satu, bersih, suci dan membetulkan segala kesesatan yang masyarakat terjebak ke dalamnya. Ia adalah pemikiran yang satu pada setiap kepala. Oleh itu, ia adalah penyelesaian yang satu terhadap segala permasalahan. Sebagaimana keadaan sungai yang membelah bumi lalu bumi hanya berada di tebingnya tanpa mara lebih daripada itu, maka begitu juga masjid yang didirikan lalu bumi dengan segala pengertiannya yang berbentuk tanah yang hina itu tidak dapat memasuki masjid kerana terhalang oleh dindingnya.

Masjid bukanlah hanya binaan atau tempat seperti binaan dan tempat lain, bahkan ia adalah pembetulan kepada alam yang sentiasa bergelora di sekitarnya. Di dalam kehidupan sentiasa ada sebab-sebab yang mendorong kepada kesesatan, kebatilan, persaingan, permusuhan, konspirasi dan seumpamanya. Semua ini akan dapat dipadamkan oleh masjid, iaitu ketika orang ramai berkumpul beberapa kali setiap hari dalam keadaan dada yang sejahtera, hati yang suci bersih dan jiwa yang berkerohanian tinggi. Masjid tidak dimasuki oleh kemanusiaan manusia melainkan dalam keadaan suci bersih. Seluruh tubuhnya daripada bahagian yang paling atas hingga ke bahagian yang paling bawah digenangi dengan syiar kesucian yang dinamakan sebagai wuduk yang menjadikan manusia seolah-olah membersihkan segala kesan-kesan kotoran dunia daripada seluruh anggotanya sebelum memasuki masjid.

Golongan yang dikurniakan dengan pemberian-pemberian ini telah bertindak balas sehingga mereka amat menyukai pemberian-pemberian tersebut dan amat tertarik kepadanya sehingga menyebabkan seorang penyair menyifatkan mereka dengan berkata:

Mereka berjalan ke arah rumah-rumah Allah ketika mereka mendengar seruan Allahu Akbar dalam keadaan penuh kerinduan dan kegembiraan.

Ruh mereka khusyuk terhadap Allah dalam penuh adab dan hati mereka amat gerun terhadap kebesaran Allah.

Munajat mereka ialah: Wahai tuhan kami! Kami datang kepada-Mu dalam keadaan taat, dan kami tidak mematuhi tipu daya si penipu.

Apabila malam menjelang, mereka bangun dan mata mereka digenangi air mata bak hujan yang lebat.

Mereka adalah rijal yang tidak dilekakan oleh sebarang permainan dan pendustaan kemalasan daripada menunaikan sembahyang.

Demikian pula, para imam yang diberikan taufiq oleh Allah sentiasa memberikan pesanan tentang perkara ini, bermula daripada mereka yang datang daripada golongan pertama seperti Abdullah bin al-Mubarak ketika beliau berkata:

Rebutlah dua rakaat untuk mendekatkan diri kepada Allah, jika anda mempunyai waktu lapang dan dalam keadaan rehat. Manakala jika anda teringin untuk mengucapkan perkara kebatilan, maka gantilah tempatnya dengan mengucapkan tasbih.

Begitu juga dengan para pemimpin dakwah pada kurun ini, seperti Imam Hasan al-Banna ketika beliau berpesan dengan berkata: Wahai saudaraku! Di hadapan anda pada setiap hari terdapat satu masa pada waktu pagi, satu masa pada waktu petang dan satu masa pada waktu dinihari, yang membolehkan anda meningkatkan ruh anda yang suci ke dunia yang tinggi, lalu anda memperolehi kebaikan dunia dan akhirat. Di hadapan anda terdapat hari dan malam Jumaat yang mampu anda penuhi kedua-dua tangan, hati dan ruh anda dengan limpahan yang turun daripada rahmat Allah swt terhadap para hamba-Nya. Di hadapan anda juga terdapat musim-musim ketaatan, hari-hari ibadat dan malam-malam taqarrub yang ditunjukkan oleh kitab anda yang mulia (al-Quran) dan Rasul anda yang agung. Maka hendaklah anda berusaha agar anda terdiri daripada orang-orang yang berzikir pada masa-masa tersebut, bukan terdiri daripada orang-orang yang lalai, terdiri daripada orang-orang yang beramal, bukan terdiri daripada orang-orang yang malas. Rebutlah waktu yang ada pada anda. Waktu ibarat pedang. Tinggalkanlah penangguhan kerana tiada perkara yang lebih mendatangkan mudarat daripadanya.

Juga sebagaimana yang dilakukan oleh Imam Badi al-Zaman Said al-Nursiyy ketika beliau berdialog dengan anda:

Dalam diri anda terdapat kekurangan, kefakiran, kelemahan dan keberhajatan agar melalui teropong kekurangan tersebut anda dapat melihat beranda kesempurnaan Tuhan dan melalui sukatan kefakiran anda dapat melihat darjat-darjat kekayaan dan rahmatNya dan melalui neraca kelemahan anda dapat melihat kekuasaan dan kebesaranNya dan melalui kepelbagaian keberhajatan anda dapat melihat kepelbagaian nikmat dan ihsanNya.

Oleh itu, matlamat fitrah anda ialah ubudiyyah. Ubudiyyah ialah anda mengisytiharkan kekurangan anda di pintu rahmatNya dengan berkata astaghfirullah dan subhanallah dan anda mengisytiharkan kefakiran anda dengan berkata hasbunallah dan alhamdulillah dan juga dengan memperbanyakkan permintaan dan anda mengisytiharkan kelemahan anda dengan berkata la haula wa la quwwata illa billah dan Allahu Akbar dan dengan sentiasa meminta daripadaNya semata. Dengan itu, melalui martabat-martabat ubudiyyah tersebut, anda memperlihatkan keindahan rububiyyahNya.

Begitu juga sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Mawdudiyy r.h. ketika beliau berbicara tentang kebangkitan dan perutusan para rasul a.s. iaitu bagi merealisasikan matlamat ubudiyyah di atas muka bumi. Beliau berkata:

Perhatikan sedikit bagaimana Rasulullah saw sentiasa menggunakan tadarruj dan bertindak mengikut susunan tertentu bagi mencapai matlamat tersebut. Pada mulanya dan sebelum melakukan perkara lain, baginda saw menyeru manusia kepada iman, memantapkannya di dalam hati mereka dan meneguhkannya di atas paksi dan dasar yang amat luas. Kemudian baginda saw menghidupkan di dalam jiwa orang-orang yang beriman keinginan untuk terus mempelajari iman dan mentarbiahkannya berdasarkan keperluan dan tuntutan iman tersebut secara beransur-ansur bermula dengan ketaatan amali (yakni Islam), kesucian akhlak (yakni taqwa) dan cintakan Allah serta memberikan wala kepadaNya semata (yakni ihsan). Kemudian baginda saw barulah mula menyusun usaha mereka yang telah beriman dan ikhlas itu di dalam satu susunan yang berjalan secara berterusan bagi memusnahkan sistem jahiliyyah yang telah punah semenjak sekian lama dan menggantikannya dengan satu sistem yang selayaknya, yang berdiri di atas dasar-dasar dan tapak-tapak yang berpaksikan kepada akhlak dan tamadun yang bersumberkan undang-undang Ilahi yang diturunkan Allah swt. Selepas daripada itu, Rasulullah saw mula menunjuk ajar mereka tentang adab dan adat yang baik ketika berpakaian, makan, minum, bersosial, bangun, duduk dan lain-lain perkara yang merupakan adab zahir yang menambahkan seri kepada kehidupan orang-orang yang bertaqwa dan melakukan kebaikan. Seolah-olah Rasulullah saw pada mulanya membersihkan emas daripada sebarang kotoran dan kemudian mencetaknya dengan cetakan dinar. Baginda saw terlebih dahulu melatih para pejuang dan kemudian memakaikan mereka dengan pakaian perang. Inilah konsep tadarruj yang betul dan diredhai oleh Allah swt dalam hal ini sebagaimana jelas kelihatan bagi setiap orang yang memerhati dan mengkaji al-Quran dan al-hadith dengan teliti.

Sahutlah Seruan Nabi Anda

Rasulullah saw bersabda:

.Maksudnya: Sesiapa bersuci di rumahnya, kemudian berjalan menuju ke salah sebuah rumah Allah swt bagi melaksanakan salah satu kefardhuan yang ditetapkan oleh Allah swt, maka salah satu daripada dua langkahnya akan menggugurkan kesalahan yang dilakukannya dan langkahnya yang satu lagi akan meninggikan darjatnya.

Baginda juga bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang selalu ke masjid, Allah akan menyediakan baginya tempat persinggahan baginya di dalam syurga bagi setiap kali dia pergi.

Baginda juga bersabda:

.Maksudnya: Orang yang paling besar ganjarannya dalam sembahyang ialah orang yang paling jauh berjalan (untuk ke masjid). Dan orang yang menunggu sesuatu sembahyang lalu dia menunaikannya bersama dengan imam lebih besar ganjarannya daripada seorang yang sembahyang kemudian dia tidur.

Daripada Jabir r.a., katanya yang bermaksud: Aku berbaiah dengan Rasulullah saw untuk mendirikan sembahyang.

Jabir juga pernah ditanya oleh Ibn Masud: Amalan manakah yang lebih disukai oleh Allah? Beliau menjawab: Sembahyang di dalam waktunya.

Rasulullah saw bersabda lagi:

. . . . .Maksudnya: Setiap orang muslim yang apabila tiba waktu sembahyang fardu lalu dia memperelokkan wuduk, khusyuk dan rukuknya, maka sembahyangnya itu akan menjadi penghapus dosa yang dilakukan sebelum daripada itu selagimana dia tidak melakukan dosa-dosa besar. Keadaan ini berlaku sepanjang masa.

Senyuman terakhir yang dilakukan oleh Nabi saw di dunia ialah senyuman baginda terhadap sembahyang, iaitu setelah baginda menyingkap kain langsir biliknya pada hari Isnin lalu baginda ternampak Abu Bakar sedang mengimamkan sembahyang yang terdiri daripada beberapa saf di belakangnya.

Baginda menggesa agar ditunaikan sembahyang Subuh dan Isyak dengan bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang menunaikan sembahyang Subuh dan Asar akan masuk syurga.

Ketika memandang kepada bulan purnama, Rasulullah saw bersabda:

.Maksudnya: Sesungguhnya kamu akan dapat melihat tuhan kamu sebagaimana kamu melihat kepada bulan ini. Tidak ragu lagi, kamu semua akan dapat melihatNya. Jika kamu mampu menghadapi suasana yang menghalang sembahyang pada waktu sebelum matahari terbit dan sebelum matahari tenggelam, maka lakukanlah. Kemudian baginda saw membaca ayat 39, Surah Qaf yang bermaksud: dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu (terutama) sebelum terbit matahari dan sebelum matahari terbenam.

Baginda juga bersabda:

Maksudnya: Seseorang yang terluput sembahyang Asar, seolah-olah dia kehilangan keluarga dan hartanya.

Di dalam lafaz yang lain berbunyi:

Maksudnya: Sesiapa yang meninggalkan sembahyang Asar, maka terhapuslah (pahala) amalannya.

Oleh itu hendaklah anda wahai pendakwah yang berada di antara amaran yang diberikan oleh Nabi saw yang mengancam bahawa pahala amalan anda akan terhapus dan di antara galakan yang mendorong anda untuk memperoleh balasan syurga dan kebenaran untuk melihat Allah, maka sahutlah seruan tersebut. Sesungguhnya ia adalah harga yang amat menggiurkan dan mesti direbut sebelum ditarik balik. Anda hendaklah segera menyahut cabaran yang dikemukakan oleh al-Fudhail bin Iyadh ketika beliau berkata: Syurga tidak pernah dihias sebagaimana ia dihias bagi ummat ini. Namun anda tidak melihat seorangpun yang merinduinya. Iaitu anda tidak melihat seorangpun yang sanggup keluar demi memperolehnya dalam waktu kesejukan. Sahutlah cabaran tersebut dengan berkata: Akulah orang yang merinduinya.

Jika diri anda merasa berat atau malas, terdapat dialog lembut yang boleh anda gunakan untuk berdialog dengan diri anda sendiri, iaitu dengan anda berkata kepada diri anda: Anggaplah engkau terdiri daripada kalangan anggota tentera, atau pekerja di kilang roti, atau nelayan atau apa saja Bukankah pada ketika itu engkau berkewajipan untuk datang lebih awal daripada para pegawai yang lebih tinggi pangkatnya atau lebih awal daripada orang yang mahu membeli roti? Ini engkau lakukan kerana mematuhi sistem ketenteraan atau sebagai langkah persaingan dalam mencari rezeki. Maka Allah swt lebih berhak untuk ditaati. Sembahyang subuh lebih utama untuk direbut dan dijadikan barang persaingan.

Maka dengan dialog seumpama ini kepada diri sendiri, insya Allah akan terhasil rasa keinginan untuk bersungguh-sungguh melakukannya ketika diri anda merasa malas dan merasa enak untuk meneruskan tidur.

Ketika anda melakukan sesuatu dosa atau kesalahan, maka hendaklah dengan segera anda hapuskannya dengan melakukan rukuk (sembahyang). Ketika Nabi Allah Daud a.s. didatangi oleh dua orang yang berbalah tentang hal kambing, baginda sedar dan perasan tentang kesalahannya. Allah swt menyifatkan kesedaran baginda itu melalui firmanNya:

(24) .

Maksudnya: Dan Nabi Daud (setelah berfikir sejurus), mengetahui sebenarnya Kami telah mengujinya (dengan peristiwa itu), lalu ia memohon ampun kepada Tuhannya sambil merebahkan dirinya sujud, serta ia rujuk kembali (bertaubat). Maka Kami ampunkan kesalahannya itu

Nabi Allah Daud menjadikan istighfar dan rukuk sebagai jalan baginda bagi mengajar para duat agar turut rukuk bersamanya.

Keprihatinan Golongan Awal Terhadap Sembahyang

Golongan salafussoleh amat menyukai agar segala perkara dilakukan dengan penuh teliti dan berhati-hati, kecuali dalam perkara sembahyang. Pernah dikatakan kepada Ahnaf bin Qays r.a.: Sesungguhnya engkau adalah seorang yang amat berhati-hati. Beliau menjawab: Tapi aku tahu aku adalah seorang yang gopoh apabila tiba waktu sesuatu sembahyang sehinggalah aku menunaikannya.

Bishr bin al-Hasan, seorang muhaddith yang thiqah digelar sebagai al-saffiyy (nisbah kepada perkataan saf dalam sembahyang) kerana beliau sentiasa bersembahyang pada saf yang pertama di masjid al-Basrah selama lima puluh tahun.

Sepertinya juga, Ibrahim bin Maymun al-Marwaziyy yang terdiri daripada kalangan para pendakwah dan muhaddith yang thiqah daripada kalangan sahabat Ata bin Abi Rabah. Beliau bekerja sebagai pencelup pakaian, penempa emas dan perak. Mereka mengatakan: Beliau adalah seorang faqih yang mempunyai kelebihan dan terdiri daripada kalangan orang yang sentiasa melakukan amar makruf dan nahi mungkar. Ibn Muin berkata: Apabila mendengar azan ketika beliau mengangkat penukul, maka terus penukul itu diletakkan kembali.

Kathir bin Ubayd al-Himsiyy tidak pernah terlupa di dalam sembahyangnya dalam tempoh enam puluh tahun genap beliau mengimamkan penduduk Hims. Apabila ditanya tentang perkara tersebut beliau menjawab: Sebaik sahaja aku masuk ke dalam pintu masjid, tiada sesuatu pun di dalam hati aku melainkan Allah sahaja.

Sulayman bin Hamzah al-Maqdisiyy adalah ketua qadi di Syam dan beliau juga adalah salah seorang keturutan Ibn Qudamah, pengarang kitab al-Mughni. Beliau berkata: Aku tidak pernah bersembahyang fardu secara sendirian kecuali dua kali sahaja, seolah-olah aku tidak pernah mengerjakannya sama sekali, sedang umurnya hampir sembilan puluh tahun.

Pendakwah yang berbahagia ialah siapa yang memerhatikan semua perkara ini dan mengikutinya.

Dakwah Yang Belajar Daripada Nabi Daud

Nabi Allah Daud sentiasa bertasbih pada waktu petang dan pada waktu pagi ketika terbit matahari, lalu Allah swt mempermudahkan gunung ganang sehingga dapat bertasbih bersama-sama baginda. Allah swt berfirman:

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah mudahkan gunung-ganang turut bertasbih memuji Kami bersama-sama dengannya; pada waktu petang dan ketika terbit matahari.

Lalu Allah swt mengurniakan kepada baginda suatu kurniaan yang amat besar yang difirmankan oleh Allah selepas itu:

Maksudnya: Dan Kami kuatkan kerajaannya

Sesuatu dakwah yang mendakwa sebagai dakwah Islam tidak akan teguh kekuasaannya dan akan dapat dikalahkan jika para pendokongnya tidak melakukan tasbih pada waktu petang dan pada waktu pagi (ketika terbit matahari).

Saling berpesan tentang sembahyang merupakan suatu kebaikan yang kita lakukan akan menyebabkan Allah menambahkan kebaikan pada sembahyang yang kita lakukan. Kita mesti menjadikannya sebagai suatu yang berkekalan sehingga untuk generasi-generasi akan datang. Jika kita tidak melakukannya, maka rantaian dakwah akan terburai dan tidak akan bercantum lagi. Semoga dijauhkan Allah.

2. Minit-minit Yang Berharga

Bersujud di mihrab, beristighfar pada waktu sahur, air mata kerana munajat, semuanya adalah tanda-tanda yang hanya dimiliki oleh seorang yang beriman.

Jika seorang yang duniawi menyangka syurganya adalah pada wang dinar, wanita dan istana yang tersergam, tetapi syurga seorang yang beriman ialah pada mihrabnya.

Syurga Orang Beriman

Allah mengurniakan banyak benda halal yang menafikan sifat kepaderian. Tetapi seorang yang beriman memiliki suatu kelazatan yang jauh lebih besar daripada kelazatan benda-benda halal, iaitu ketika dia menuju kepada tuhannya dengan ruh yang jernih. Ketika itu, dia akan meninggalkan kebanyakan kelazatan yang halal kerana bimbang semuanya akan mengeruhkan kejernihan yang sedang dialaminya.

Orang-orang beriman dahulu telah melaluinya, iaitu ketika kehidupan ini hanya berlangsung dalam bentuknya yang sederhana. Dan orang-orang beriman hari ini juga turut melaluinya iaitu pada zaman yang dipenuhi dengan ketamadunan yang amat kompleks ini.

Bahkan sembahyang yang dilakukan pada zaman ini lebih banyak mendatangkan kegembiraan kerana setelah manusia hari ini menghadapi pelbagai kecanggihan, mereka merasa jemu, bosan dan boring. Sembahyang yang dilakukan dapat menyingkatkan kehidupan mereka yang membosankan itu menjadi beberapa jam sahaja dengan memberikan mereka kehidupan yang tenang dan fikiran yang lapang. Jika teori Einstein berkenaan kerelatifan atau kenisbahan waktu adalah benar, maka di dalam sembahyang mungkin teorinya benar, sebagaimana dihuraikan oleh Mustafa Sadiq al-Rafiiyy:

Betapa besar hikmat kenapa sembahyang difardukan kepada kita antara beberapa tempoh waktu yang tertentu. Agar ruh kita sentiasa selama-lamanya berhubung atau bersedia untuk berhubung dengan tuhannya. Orang yang paling lemah ruh agamanya sekalipun akan mampu untuk mengawal dirinya kerana selepas menunaikan sesuatu sembahyang fardu, dia akan merasakan bahawa dia akan mengadap tuhannya sekali lagi pada sembahyang fardu berikutnya. Oleh itu, dia merasa takut untuk berdiri di hadapan tuhannya dalam keadaan bersalah atau berdosa. Kemudian jika dia berjaya mengawal dirinya selepas menunaikan sembahyang fardu itu, maka dia akan mengingati bahawa selepas itu terdapat sembahyang fardu yang lain lagi yang akan tiba masanya hanya beberapa ketika sahaja lagi. Oleh itu, seseorang itu sentiasa berada dalam keadaan jiwa yang mempunyai azam yang tinggi dan kesucian sepanjang umurnya dalam keadaan dan bentuk yang sama, tidak berubah sama sekali, seolah-olah meskipun umurnya yang panjang, namun sembahyang fardu yang ditunaikannya hanya seperti amalan dalam tempoh beberapa jam sahaja.

Panjang kehidupan adalah sesuatu yang relatif.

Ia amat panjang, gelap dan menggerunkan bagi seorang yang jahil.

Ia adalah pendek, mudah dan bercahaya bagi seorang yang bersembahyang.

Kehidupan seorang jahil: Kebekuan yang berterusan.

Kehidupan seorang yang bersembahyang: Pergerakan yang menambahkan kebenaran, atau memperbetulkan kebengkokan.

Ia adalah seruan Allahu Akbar yang menamatkan kebekuan tersebut dan merintiskan satu pergerakan.

Allahu Akbar!

Pada setiap saat setiap hari, kehidupan ini sentiasa melaungkan seruannya dengan menyebut:

Wahai seorang yang beriman! Jika anda telah melakukan sesuatu yang betul dalam jam-jam yang telah lalu, maka terus berusahalah untuk jam-jam berikutnya. Tetapi jika anda telah melakukan kesilapan, maka lakukanlah penebusan dan hapuskan (kesalahan yang dilakukan di dalam) suatu saat dengan (kebaikan yang dilakukan pada) saat yang lain.

Gerakan paling jelas yang dilahirkan oleh seruan takbir (Allahu Akbar) ialah: Gerakan pembezaan (tamyiz) dan pemisahan (furqan) antara para wali Allah dan para wali syaitan.

Jika anda berkata Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah beri nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murka dan mereka yang sesat, anda akan merasa pada setiap rakaat sekumpulan daripada ketiga-tiga golongan tersebut. Pada setiap rakaat anda dapat bayangkan siapakah orang yang tergolong di dalam setiap kategori tersebut pada zaman yang sama dan di negeri yang sama. Anda dapat bergerak ke sana ke mari di dalam rakaat-rakaat sembahyang yang anda tunaikan sepanjang hari itu ke seluruh negara Islam, di samping anda juga dapat membentangkan semula sejarah Islam keseluruhannya.

Pada satu rakaat, anda mungkin teringatkan Nabi saw dan para sahabat baginda sebagai contoh golongan yang diberikan nikmat oleh Allah swt. Di samping itu, anda juga teringatkan Abu Jahal dan Musaylamah sebagai contoh golongan yang dimurkai oleh Allah dan golongan sesat.

Dalam rakaat yang lain pula, anda mungkin akan teringatkan Nabi Hud dan Salih sebagai contoh golongan yang diberikan nikmat oleh Allah swt, di samping kaum Ad dan Thamud sebagai contoh golongan yang dibinasakan.

Dalam rakaat yang lain pula, anda mungkin akan teringatkan al-Hasan al-Basri, Ibn Sirin dan Ibn al-Musayyab sebagai contoh orang-orang yang diberikan nikmat oleh Allah swt, di samping ahli murtad yang terdiri daripada al-Jahm bin Safwan dan al-Jad bin Dirham sebagai mereka yang menyeleweng.

Dalam rakaat yang lain pula, anda mungkin teringatkan Imam Ahmad bin Hanbal dan para jamaahnya sebagai ahli-ahli hadith yang mendapat taufiq daripada Allah, di samping Bishr al-Mirrisiyy dan Ibn Duwad sebagai golongan yang zalim.

Dalam rakaat yang lain pula, anda mungkin teringatkan Ibn Taymiyyah, Ibn Qayyim dan Ibn al-Jawziyy sebagai termasuk dalam kategori para reformis, di samping penganut wihdat al-wujud, fana yang fantasi, ketergelinciran (shatahat) dan bidah sebagai golongan yang melakukan penipuan.

Dalam rakaat yang lain pula, anda mungkin teringatkan Imam Hasan al-Banna, Abdul Qadir Awdah dan Sayyid Qutb serta keteguhan pendirian mereka ketika berhadapan dengan golongan taghut yang angkuh.

Dengan cara demikian, anda dapat memahami seluruh sembahyang anda, kerana seseorang tidak mendapat apa-apa daripada sembahyangnya kecuali apa yang difahaminya sahaja. Anda juga sentiasa dapat memperbaharui janji anda dengan generasi orang-orang yang beriman dan meninggalkan serta tidak menghiraukan golongan perosak. Inilah pergerakan iman, kerana iman yang sebenar tidak hanya menerima kesetiaan daripada anda kemudian meninggalkan anda sendirian ketika melakukan mufasalah (pemisahan diri daripada jahiliah).

Rijal dari Madrasah Malam

Tetapi peringatan yang sempurna hanya dapat berlaku ketika waktu tenang dan sunyi.

Dari sinilah wujudnya kepentingan madrasah malam.

Dari sini juga lahir gesaan dan galakan Allah kepada orang-orang yang beriman agar sentiasa memperbaharui ciri-ciri orang yang beriman, iaitu mereka sedikit tidur pada waktu malam, dan beristighfar pada waktu sahur (hujung malam).

Pada zaman awal Islam, seruan muazzin berkumandang kedengaran dengan menyeru:

Wahai rijal malam, bersungguh-sungguhlah! Setiap suara (doa) tidak akan ditolak.

Tidak bangun malam melainkan orang yang kuat azam dan kesungguhannya.

Sesungguhnya ia adalah benar-benar madrasah. Hanya melalui madrasah ini sahaja para rijalnya dapat menyalakan obor semangat mereka dan menyebarkan cahaya di seluruh pelusuk dunia yang sedang dibaluti kegelapan jahiliah.

Ia sebagaimana dialami oleh Iqbal dan disimpulkannya dalam beberapa bait berikut:

Aku mengangis tika malam tenang dan hening. Manusia sedang tidur namun air mataku berguguran.

Ruhku dihangati kedukaan dan kesedihan. Wirid ya qayyum temanku dalam kegelapan.

Aku umpama lilin dan air mataku menyucikanku. Dalam kegelapan malam ku nyalakan oborku.

Orang ramai berkumpul mendapatkan cahaya dengan nurku. Ku nyalakan api dan membakar diriku.

Dakwah Islam hari ini tidak akan dapat ditegakkan selagimana para pendakwahnya tidak menyalakan obor mereka pada waktu malam. Cahaya dakwah juga tidak akan dapat bersinar seterusnya menghapuskan kegelapan jahiliyah kurun ke dua puluh selagimana ia tidak melaungkan ya qayyum.

Saya bukanlah orang pertama yang mengatakan demikian. Sebenarnya ia adalah wasiat Imam Hasan al-Banna ketika beliau berkata kepada para pendakwah:

Minit-minit malam amat berharga. Janganlah kamu menjadikannya tidak bernilai dengan kealpaan kamu.

Adakah kita sudah tidak mampu lagi untuk mengembalikan semula ciri-ciri utama ini? Atau adakah kita terpedaya dengan ijtihad baru yang memungkinkan kita bermudah-mudah dan bermalas-malas?

Sesungguhnya perkataan Allah tidak berubah. Tetapi kita telah memurahkan minit-minit malam yang amat berharga itu dengan pelbagai kealpaan. Oleh itu, tanggungjawab terasa berat dan Allah tidak memberikan kemudahan di dalam segala urusan kita.

Kemenangan dakwah tidak dijamin oleh helaian kertas yang bertimbun. Tetapi ia berlaku dengan kembalinya orang yang ikhlas kepada kebiasaan asal yang sepatutnya. Apabila hati menjadi suci dengan melakukan taubat, dan peringatan ini dipatuhi oleh hati yang peka mendengar, maka ia akan menjadi penebus kepada kesilapan yang berlaku sekarang yang disebabkan oleh kealpaan berpanjangan.

Ini adalah satu syarat yang mesti dipenuhi.

Seolah-olah kita didinding daripada memperolehi kemenangan kerana kita menyeru dari sebalik tembok yang tebal. Kita hanya meninggikan suara memestikan Allah memberikan kita kemenangan begitu sahaja. Kita berjual beli dan menetapkan bahawa kita sudah mempunyai hak terhadap barang yang dibeli tanpa terlebih dahulu kita memberikan bayarannya yang berupa bisikan dan air mata di akhir malam. Sedangkan kemenangan adalah pemberian semata-mata yang dikurniakan oleh Allah kepada sesiapa yang dikehendakinya daripada kalangan penuntut madrasah malam dalam kehidupan di dunia ini. Allah tidak akan mengurangkan balasan pahala ganjaran sedikit pun di akhirat nanti, bahkan Dia akan memberikan balasan tersebut sepenuhnya.

Keikhlasan dan pembongkaran angan-angan dunia yang palsu merupakan antara kurniaan utama madrasah malam, sebagaimana dinyatakan oleh Walid. Sudut ini merupakan sudut yang sewajibnya ditekan dan diperdalamkan di dalam jiwa oleh sistem pentarbiahan kita.

Walid berkata (yang kata-katanya adalah benar):

Wahai malam, berqiyam padamu adalah madrasah. Padanya, al-Quran mengajarku

Tentang makna ikhlas, lalu aku berpegang dengannya, sebagai suatu sistem. Ia juga menempatkanku di dalam syurga.

Ia juga memperlihatkanku bagaimana dunia melemaskanku di dalam angan-angan palsu.

Dunia umpama mengkarung. Pertukaran warnanya memperdayakanku melakukan dosa.

Lalu aku menjauhi dan memusuhinya. Aku mendapatinya cuba menerjah masuk ke dalam diriku.

Lalu ku perteguhkan hubungan diriku dengan Penciptanya Zikir berpanjangan sentiasa memeliharaku.

Lebih daripada itu, orang yang berkelulusan daripada madrasah malam akan memberi kesan kepada generasi-generasi akan datang, sedangkan sesiapa yang tidak menyertai madrasah tersebut akan kering, keras dan hati orang yang memandangnya juga akan turut keras. Buktinya semenjak dahulu lagi terdapat di sisi Bishr bin al-Harith al-Hafiyy. Beliau menyaksikannya dan memberikan petunjuk kepada anda tentangnya. Beliau berkata:

Cukuplah untuk anda tahu bahawa terdapat segolongan manusia yang sudah mati tetapi dengan mengingati mereka hati akan hidup. Sebaliknya terdapat juga segolongan manusia yang masih hidup tetapi hati akan menjadi mati dengan melihat kepada mereka.

Ini tidak berlaku melainkan kerana malam-malam golongan pertama dihabiskan dengan berjaga, sedangkan malam-malam golongan kedua dihabiskan dengan tidur. Begitu juga siang hari golongan pertama dihabiskan dengan melakukan kerja-kerja yang serius sedangkan siang hari golongan kedua dihabiskan dengan memenuhi nafsu syahwat semata.

Adakah Anda Sudah Didahului Oleh Merpati?

Hati yang dimiliki oleh seorang faqih yang zahid, Abu Sahl al-Salukiyy adalah hati yang lembut. Ini ditampilkan oleh kata-katanya yang menyesali diri sendiri:

Aku tidur dalam keadaan alpa, sedangkan merpati yang tidak melakukan sebarang jenayah menangis, tetapi aku banyak melakukan dosa.

Demi Allah, sesungguhnya aku berdusta Jika benar aku seorang yang berakal, nescaya aku tidak akan didahului oleh tangisan merpati.

Sesungguhnya dosa tidak dapat dibasuh melainkan dengan air mata. Keberanian hanya dapat disuburkan dengan air mata pada waktu malam. Sejarah Islam hanya mengenali tokoh-tokohnya sepanjang zaman dengan sifat tersebut. Ibn al-Qayyim tidak berdusta ketika beliau menyifatkan mereka dengan berkata:

Mereka menghidupkan malam dengan ketaatan terhadap tuhan mereka. Dengan melakukan tilawah, tadarru dan berdoa.

Air mata mereka mengalir umpama hujan lebat yang berpanjangan.

Ketika malam, mereka ibarat pendeta yang tekun beribadat, tetapi ketika berjihad mereka adalah pahlawan yang paling berani.

Pada dahi mereka terdapat tanda sujud kepada tuhan, dan nur cahaya yang bergemerlapan.

Abdul Wahhab Azzam pernah bertanya waktu malam apakah rahsianya yang paling indah. Lalu malam memberikan jawapan ia adalah keadaan orang beriman dan melakukan dosa yang dapat menemui waktu yang tepat untuk beribadat. Dengarkanlah dialog mereka:

Aku bertanya kepada malam: Berapakah rahsia yang kedapatan pada dadamu? Beritahulah kepadaku rahsia yang paling indah.

Ia menjawab: Tiada rahsia yang paling bercahaya di dalam kegelapanku yang melebihi air mata orang yang bertaubat pada waktu sahur.

Sudah tentu anda akan dapati jawapan yang diberikan oleh malam itu dibenarkan oleh seseorang mukmin dengan segera. Begitu juga anda akan dapati golongan sasterawan berusaha untuk menyebarluaskan jawapan tersebut. Mereka bertujuan membujuk manusia:

Berjayalah sesiapa yang bertasbih ketika manusia sedang nyenyak tidur. Dia membenamkan keinginannya (untuk tidur) di dalam rusuknya.

Dia diliputi oleh ketenangan dan kekhusyukan. Dia berzikir kepada Allah dan air mata berlinangan.

Air mata itu akan menjadi lilin. Sujud kepada Allah pada waktu sahur memberikan cahaya pada hari mahsyar.

Para sasterawan juga menunjukkan jalan syurga kepada mereka yang melakukan dosa dan kesalahan. Dalam kesempatan lain, mereka membujuk orang yang melampau dengan berkata:

Kembalilah kepada Allah dengan hati yang khuyuk. Berdoalah kepadaNya dengan mata yang mengangis.

Nescaya Dia mengurniakan anda keampunan yang meluas. Menggantikan segala kesalahan anda dengan kebaikan yang pahalanya tidak akan habis.

Semua keampunan ini hanya untuk hamba yang bertaubat. Keampunan yang meliputi yang datang daripada Pencipta alam yang luas.

Bagi sesiapa yang segera bertaubat kepadaNya.

3. Permulaan

Setiap aktivis dalam amal tarbawi haraki Islami sudah pasti dapat menyaksikan keguguran dan kemunduran sesetengah pendakwah. Anda mungkin melihat seorang pendakwah menjalankan tugasnya dengan rancak bersama yang lain, lalu anda menyangka dia akan terus thabat (teguh pendirian). Namun sangkaan anda itu ternyata meleset, kerana mungkin dia diugut atau dihasut atau ditawan oleh godaan diri dan nafsu, lalu terpedaya sama ada kerana bujukan atau terhutang budi. Dengan itu dia akan ditimpa kemalasan atau kelemahan (futur).

Kadang-kadang mungkin agak sukar untuk memberikan alasan kepada fenomena tersebut. Tetapi firasat kami terhadap diri sendiri serta pengkajian terhadap fiqh tarbawi mengenai khazanah tinggalan para tokoh tarbiah terdahulu mula menunjukkan kepada kami beberapa gejala bagi mentafsirkan fenomena tersebut. Jika gejala-gejala tersebut dijaga sepenuhnya, dengan izin Allah, hati akan tetap teguh dengan pendiriannya dan kaki kita akan terpelihara daripada tergelincir.

Permulaan Yang Murni

Seorang penyair telah menyebut secara tidak langsung tentang pentafsiran umum fenomena tersebut dengan berkata:

Setiap orang mempunyai -sedang Allah amat mengetahui tentang manusia- kebiasaan yang membentuk karekternya.

Peristiwa yang berlalu pada zaman mudanya membentuk karekter tersebut. Demikian juga setiap perkara dilihat kepada permulaannya.

Yang menjadi penumpuan kita di dalam syair di atas ialah bahagian separuh yang kedua daripada bait yang kedua. Oleh itu, setiap perkara dinilai oleh keadaan bagaimana ia bermula. Tetapi para pakar tarbiah terdahulu berjaya memberikan pendekatan yang lebih jelas daripada penyair di atas. Oleh itu, kita dapat melihat pendekatan mereka dengan jelas hasil daripada huraian dan penjelasan yang mereka berikan tentang makna bahagian permulaan atau bahagian pertama sesuatu perkara.

Antara mereka ada yang menggambarkannya melalui beberapa perkataan yang sedikit tetapi meliputi. Katanya:

Kelemahan (futur) selepas mujahadah adalah berpunca daripada permulaan yang tidak betul.

Oleh itu, sebabnya ialah permulaan itu sendiri. Yakni langkah-langkah pertama bagi seseorang pendakwah pada jalan dakwah yang menyampaikan kepada Allah hendaklah bermula pada jalan yang sahih lagi benar. Dengan itu, dia akan meningkat dari masa ke semasa tanpa merasa lemah dan mundur. Jika dia merasa lemah sekalipun, maka dalam lingkungan yang tidak melebihi apa yang dikesani berlaku di dalam sunnah Nabi saw. Namun ia tetap suatu yang mengaibkan jika ia merupakan kelemahan atau kemalasan yang menghalang daripada berlaku peningkatan.

Tetapi dari manakah datangnya kemalasan atau kelemahan pada diri seseorang pendakwah jika para murabbinya telah menolaknya dengan penuh semangat semenjak langkahnya yang pertama lagi?

Bagaimana boleh berlaku seorang yang hari kelmarinnya telah menjalani suatu jarak yang jauh bagi mencapai matlamatnya tiba-tiba pada hari ini atau esoknya dia tidak lagi bersegera untuk mencapainya?

Bagaimana boleh berlaku seorang yang yakin bahawa dia sedang menuruti jejak langkah salah seorang rasul daripada kalangan ulil azmi tetapi dia tidak mengambil inspirasi daripada keazaman rasul tersebut?

Oleh itu, puncanya ialah langkah pertama itu sendiri. Sesiapa yang kita berjaya perteguhkan langkah-langkah pertamanya, maka insya Allah dia akan tetap dan teguh dengan pendiriannya selepas daripada itu. Tetapi sesiapa yang kita biarkan langkah-langkah pertamanya goyah dan longgar, maka sebenarnya kita telah memberikan gunting yang akan dipergunakan oleh syaitannya untuk memotong segala hubungan yang ada antara kita dengannya. Syaitannya pula memang sentiasa mengintai-ngintai dan menantikan peluang sedemikian.

Jika tidak berjaya memperolehi gunting dan tidak berjaya melakukan kejutan itu sekalipun, syaitannya akan membujuk dan meyakinkannya agar dia memegang hujung tali keazamannya dan melonggarkannya sedikit demi sedikit. Kemudian syaitannya mencampakkan ke dalam hati orang yang sudah sedia terpesong langkah mulanya itu pelbagai bisikan dan hasutan. Syaitannya memperlihatkan bahawa kebaikan yang diperolehinya amatlah sedikit berbanding kerja yang telah dilakukannya, sehingga akhirnya dia dikuasai oleh rasa sombong (ghurur) dan berani melampaui batas, dan akhirnya dia akan terbalik musnah.

Plot kedua yang dimainkan oleh syaitan ini juga telah disaksikan oleh seorang lagi daripada kalangan salihin. Dia menggambarkannya sambil memberikan amaran kepada kita dengan berkata:

Sesungguhnya segala dakwaan (bisikan dan hasutan) lahir daripada permulaan yang tidak betul. Sesiapa yang permulaan perjalanannya betul, maka pengakhirannya juga akan betul dan tepat. Tetapi sesiapa yang permulaannya tidak betul, mungkin dia sendiri akan binasa.

Bahkan pada kebiasaannya dia akan binasa. Permulaan hendaklah didasarkan kepada sifat tajarrud. Sesiapa yang tidak dikurniakan kesucian tajarrud pada langkah pertamanya, maka binaan yang dibinanya akan terus bergoyang meskipun kelihatan amat tinggi dan megah. Bahkan bahaya yang sebenar-benarnya ialah jika binaan itu telah tinggi, kerana ia akan segera condong dan melencong ketika berhadapan dengan setiap seruan ke arah sesuatu perkara bidah atau untuk memperoleh sesuatu keuntungan. Syaitan akan sentiasa menghiasi dan mengindahkan sebarang perkara bidah, serta syaitan juga akan mengeksploitasi waktu kesusahan dan keberhajatan untuk membujuk dan mempedaya.

Jika penyair di atas ragu-ragu tentang kesan permulaan yang tidak betul (rosak) lalu hanya menggunakan perkataan mungkin, dan kita pula hanya menggunakan perkataan pada kebiasaannya, tetapi terdapat seorang lagi penyair yang meyakini akibat buruk daripada keadaan tersebut, lalu berkata:

Sesiapa yang tidak betul pada permulaan kehendaknya, maka dia tidak akan selamat pada akibat akhirnya.

Kenyataan ini bukanlah dibuat dalam keadaan dia lupa kepada kehendak Allah, tetapi dia bercakap melalui pengalamannya sendiri dalam bidang tarbiah. Dia hanya mempersembahkan laporan daripada hasil penyiasatannya dan pengkajiannya terhadap hal ehwal orang yang dikenalinya.

Oleh itu, keprihatinan kita terhadap permulaan menjadi satu garis panduan yang jelas dalam seni tarbiyah haraki yang kita jalankan.

Ia Adalah Niat Yang Bebas

Kesucian permulaan yang mereka maksudkan mengandungi dua makna yang saling ikut mengikuti dalam keadaan berturut-turut. Kedua-duanya saling memerlukan. Iaitu niat yang baik dan keazaman (himmah) yang tinggi. Kedua-duanya digabungkan oleh al-Buhturiyy di dalam satu rangkap syair. Dia menamakan kedua-duanya sebagai:

Jiwa yang bercahaya dan keazaman yang bernyala-nyala.

Jiwa yang bercahaya adalah merujuk kepada jiwa yang mengandungi niat yang suci. Oleh itu, ia dapat memberikan cahaya lantaran kesucian yang dimilikinya.

Ia juga adalah niat yang bebas sebagaimana diungkapkan juga oleh al-Buhturiyy di dalam rangkap yang lain.

al-Buhturiyy berjaya memberikan sifat yang baik kepadanya, seolah-olah jiwa itu bebas daripada ikatan yang mengikat jiwa lain yang terdiri daripada ikatan hawa nafsu, ketamakan dan kepentingan. Jiwa yang bebas juga tidak boleh dijauhkan daripada terus menjalankan tanggungjawabnya walaupun dihasut dengan harta dan kecantikan wanita. Ia juga tidak menjadi hamba kepada pangkat atau pun syahwat hawa nafsu.

Segala amal seseorang pendakwah sama sekali tidak akan lahir kerana nafsu syahwatnya, bukan juga kerana ingin memenuhi sesuatu kepentingan. Tetapi segala gerak diamnya hanyalah kerana mengharapkan balasan pahala daripada tuhannya.

Demikianlah keadaan orang-orang yang salih.

Dengan sifat inilah, Hisham bin Abdul Malik menyifatkan sepupunya, Umar bin Abdul Aziz salah seorang khalifah kerajaan Umawiyyah, r.h. dengan berkata:

Aku yakin tiada langkah yang dibuat oleh Umar melainkan pasti dia mempunyai niat pada setiap langkah itu.

Lantaran kerana itulah, Umar mampu membetulkan kerosakan dua generasi dalam masa kurang daripada dua tahun. Oleh itu, pendakwah hari ini tidak boleh membesar-besarkan penyelewengan yang berlaku di negara-negara Islam pada hari ini, kerana jika setiap langkah yang dilakukannya disertakan dengan niat sebagaimana dilakukan oleh Umar bin Abdul Aziz, nescaya dia mampu mengalahkan dua golongan besar dalam masa kurang daripada dua tahun dengan izin Allah.

Kebaikan akan membesar pada kontrak yang dilakukan di antara kumpulan orang beriman dan Allah swt sekadar besarnya tajarrud mereka ketika melakukan kontrak tersebut. Oleh itu, dunia memandang kebaikan menjadi bertambah ruah ketika pemerintahan Umar bin Abdul Aziz ketika Sulayman bin Abdul Malik r.h. bertajarrud sepenuhnya ketika dia menyerahkan pemerintahan dan melantik Umar bin Abdul Aziz sebagai khalifah. Beliau berkata:

Aku akan melakukan suatu kontrak yang syaitan tidak akan mempunyai bahagian padanya.

Sesuatu dakwah tidak akan berjaya kecuali apabila syaitan tidak mempunyai bahagian di dalam kontrak yang berlaku di antara dakwah tersebut dan tuhannya.

Bahkan sesuatu amalan yang walaupun kecil akan menjadi besar apabila disertai dengan niat, sebagaimana dinyatakan secara tidak langsung oleh Abdullah bin al-Mubarak, semasa beliau berkata: Alangkah banyak amalan yang kecil diperbesar oleh niat dan alangkah banyak amalan yang besar diperkecil oleh niat.

Kalangan pendakwah yang tidak petah berkata-kata akan menjadi seorang pemuisi yang mulutnya dapat menghamburkan permata retorik yang menawan manusia. Ia sebagaimana dinyatakan oleh rawatan yang diletakkan oleh Abdul Qadir al-Kaylani: Hendaklah anda benar ketika berseorangan, nescaya anda akan menjadi fasih ketika berada di hadapan umum.

Manakala sesiapa yang mencampur adukkan niatnya, maka segala urusan dan perjalanan hidupnya akan menjadi kacau bilau. Ini memang menjadi suatu ketetapan yang pasti berlaku terhadap sesiapa yang melakukan campur aduk sepanjang sejarah. Pengertian ini juga telah dibongkar oleh Mutarrif bin Abdullah al-Shikhkhir al-Amiriyy, seorang tabiin dan anak kepada seorang sahabat yang masyhur, melalui kata-katanya: Kebaikan amal adalah dengan sebab kebaikan hati. Kebaikan hati pula adalah dengan sebab kebaikan niat. Sesiapa yang suci, maka dia akan disucikan. Tetapi sesiapa yang mencampur adukkan, maka dia akan dicampur adukkan.

Hasil campur aduk yang dilakukan akan mengakibatkan hati menjadi kelam kabut dan berada dalam keadaan huru hara yang melenyapkan ketenangan. Kesalahan terbesar yang dilakukan ialah anda hanya menyusun kehidupan di sekitar anda sahaja, sedangkan anda meninggalkan kelam kabut di dalam hati anda, sebagaimana dinyatakan oleh Mustafa Sadiq al-Rafiiyy.

Oleh itu, anda hendaklah mengenali politik yang dimainkan oleh jiwa ini, wahai pendakwah. Anda juga hendaklah memasuki politik jiwa ini dengan baik sebelum anda memasuki politik pemerintahan. Kerana difardukan kepada seseorang yang beramal untuk membezakan antara niat dengan angan-angan sebagaimana dikatakan orang.

Terdapat dua perkara iaitu niat dan angan-angan, sebagaimana dinyatakan oleh Yahya bin Muaz: Seseorang akan terus berlambat-lambat selagimana dia dibuai angan-angan.

Setiap orang yang menjadikan angan-angan sebagai pemandunya, maka sudah pasti langkahnya akan menjadi amat berat. Akhirnya dia hanya akan menemui fatamorgana yang mempedayakan sahaja. Malah dia tidak memiliki air yang dapat menghilangkan dahaga. Tetapi seorang yang bercahaya jiwanya, iaitu para pendakwah yang tidak mempunyai angan-angan, anda dapatinya sentiasa terkehadapan dalam setiap kebaikan selama-lamanya. Anda juga mendapatinya sentiasa berada dalam keadaan penuh kecukupan. Jika dia mempunyai kekuatan, maka dia akan menyirami dirinya sendiri, atau dia akan meminta agar disirami lalu Allah menyahut permintaannya dengan menurunkan air dari langit. Jika dia seorang yang lemah, maka dia akan mendapati seorang waris Nabi Allah Musa daripada kalangan pengembala yang akan menyiraminya dengan menyaingi para pengembala lain.

Iaitu Kaki Kegerunan

Keazaman yang kuat (himmah) adalah teman kepada niat. Selepas niat, tiada sesuatupun sebelum keazaman. Malah ketelitian dalam melakukan sesuatu juga hanya berlaku selepasnya (keazaman). Sesiapa daripada kalangan para murabbi yang berjaya menerapkan perkara ini semenjak langkah-langkah pertama anak buahnya, maka dia sebenarnya telah menjamin bagi mereka keberlangsungan, insya Allah. Dikatakan orang: Anda hendaklah menjaga keazaman (himmah) anda, kerana ia adalah pendahuluan segala sesuatu. Sesiapa yang mempunyai himmah yang baik dan dia benar di dalam himmah tersebut, maka segala amalannya selepas itu akan menjadi baik.

Perkara ini telah dibuat perumpamaan yang baik oleh Ibn al-Qayyim dengan berkata: Hati umpama burung. Setiap kali meninggi, ia akan jauh daripada sebarang penyakit. Tetapi setiap kali merendah, dia akan diterpa pelbagai penyakit.

Keazaman tinggi mengekalkan kebersihan hati dan mengelakkannya daripada ditimpa sebarang perkara remeh, bahkan ia sentiasa disibukkan dengan perkara-perkara yang besar. Bukan setakat itu sahaja, keazaman yang tinggi juga dapat memelihara hati daripada terkena pelbagai jenis penyakit dan keaiban serta panahan syaitan. Keadaan ini sama dengan keadaan dua belah sayap yang diangkat lalu dapat memelihara burung daripada terkena panahan pemburu. Tugas seorang murabbi muslim ialah mengajar generasi baru tentang kebangkitan yang tinggi ini pada permulaan percubaannya.

Peninggian kedua belah sayap bermakna jiwa yang mempunyai kesediaan untuk menanggung bebenan berat dakwah kepada jalan Allah. Sesungguhnya jika seseorang yang masih dalam peringkat permulaan dakwah memahami dakwah ini hanya bermatlamat untuk membersihkan jiwa, atau hanya untuk memperolehi kawan yang baik, atau hanya untuk melepaskan rindu, atau hanya merupakan peluang bagi melakukan kebajikan semata, maka dia akan keberatan melakukan nahi mungkar dan merasa sukar kepadanya perkiraan yang dilakukan oleh Ibn Yazdaniyar dalam masalah firasat, sebagaimana difahami oleh para rijal sebelumnya. Dia juga akan mundur ke belakang pada hari peperangan. Bahkan senarai alasan keuzurannya dengan mudah diperolehi di bawah ketiaknya. Alasan keuzurannya yang pertama ialah bahawa dia tidak pernah diberikan amaran tentang perkara seumpama itu sebelum ini. Perjanjian taat setia yang dilakukannya juga tidak mengandungi syarat tersebut. Oleh itu, para tokoh tarbiah amat prihatin agar langkah pertama yang mahu dilakukan oleh seseorang yang baru melibatkan diri ialah langkah yang menggerunkan, sebagaimana langkah yang dilakukan oleh 70 orang veteren Ansar semasa melakukan bayah al-Aqabah, iaitu ketika mereka berjanji terhadap diri mereka sendiri untuk mempertahankan Rasulullah saw sebagaimana mereka mempertahankan isteri, anak dan harta mereka sendiri.

Oleh itu, ia adalah kegerunan jihad, atau kegerunan melakukan pengingkaran. Antara langkah menggerunkan yang mesti diambil ialah menjauhkan diri daripada dunia yang dipenuhi tipu daya dan nafsu syahwat ini, serta mengurangkan keterikatan dengan harta benda dan kelazatan kehidupan.

Jika menyintai dunia sekalipun maka dia hanya menyintainya sebagaimana ia dicintai oleh Muhammad bin Ahmad yang dikenali dengan nama Ibn Rizqawayh. Cintanya terhadap dunia menyerlahkan suatu keazaman yang amat tinggi di sebaliknya. Beliau membongkarkan tentang perkara ini semasa berdialog dengan murid-muridnya dengan berkata: Demi Allah! Aku bukan menyintai dunia kerana untuk memperolehi sesuatu atau kerana perdagangan, tetapi aku menyintainya kerana untuk berzikir kepada Allah dan kerana aku mahu membacakan hadith kepada kamu.

Beliau menyebut tentang pembacaan hadith hanya sebagai lambang kepada semua jenis amal salih yang sepatutnya menjadi alasan kepada para pendakwah menjadikannya sebagai sebab untuk dia mencintai dunia, bukan kerana yang lain.

Generasi mujaddid masa kini turut mengambil pengajaran tentang kefahaman terhadap keazaman (himmah) daripada generasi terdahulu (salaf). Ia sebagaimana difahami oleh Imam Hasan al-Banna yang berkata: Seorang pendakwah yang mempunyai keazaman yang tinggi akan sanggup mengorbankan segala harta benda, darah dan jiwanya demi akidah yang diimaninya dan yang dia hidup kerananya.

4. Ke Arah Kebahagian Akhirat

Para salihin telah menerangkan kepada kita tanda-tanda bagaimana sesuatu permulaan itu dilakukan agar kita dapat mengambil yang terbaik. Dalam keadaan alpa, mungkin sesetengah kita lupa, tetapi Allah adalah tuhan yang maha pengampun. Tetapi selepas diberikan peringatan, maka dia tidak boleh lagi terus berada bersama dengan orang-orang lalai. Tambahan pula di sisinya terdapat khazanah kefahaman ulama terdahulu yang membantunya melalui jalan petunjuk yang luas, jelas dan menyampaikannya kepada tuhan sekalian alam.

Sesungguhnya ketaqwaan hatilah yang memandu kepada ketaqwaan anggota tubuh badan, sebagaimana difirmankan Allah swt:

.Maksudnya: Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat taqwa hati orang mukmin. (al-Hajj: 32)

Allah swt berfirman lagi:

.Maksudnya: Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa daripada kamu. (al-Hajj: 37)

Rasulullah saw bersabda:

.

Maksudnya: Taqwa adalah di sini. Sambil menunjukkan ke arah dada baginda.Maka orang yang pintar akan dapat menjalani sesuatu perjalanan dengan berbekalkan keazaman yang betul dan himmah yang tinggi, disertai dengan tujuan dan niat yang satu dan ikhlas lagi benar, bersama dengan amalan yang sedikit. Jarak perjalanan yang berjaya dilaluinya adalah berlipat kali ganda lebih jauh daripada perjalanan yang berjaya dilalui oleh seorang yang kosong daripada mempunyai sifat-sifat tersebut, di samping kepenatan dan perjalanan yang menyusahkan. Ini adalah kerana keazaman dan perasaan suka menghilangkan kesulitan dan menjadikan perjalanan sebagai suatu yang menyeronokkan. Perjalanan dan penyegeraan kepada Allah hanya boleh berlaku dengan himmah yang tinggi dan kesukaan serta keinginan yang benar. Oleh itu, seseorang yang mempunyai himmah walaupun bersifat tenang akan dapat mengatasi seorang yang hanya mempunyai amal yang banyak sehingga beberapa tingkatan.

Ketinggian Harganya Ialah Kepenatan

Para salihin telah menunjukkan kepada anda bahawa jalan mendapat ketinggian dan kekuasaan hanya dengan niat dan himmah yang tinggi. Oleh itu, anda hendaklah menjalani jalan tersebut meskipun dipenuhi dengan pelbagai kepenatan dan kesulitan. Jalan untuk memperoleh kekuasaan adalah jalan yang jelas mempunyai kesulitan, bukan sesuatu yang mudah. Tetapi ia adalah perkataan berat yang dicampakkan oleh Allah swt kepada nabiNya saw dan para pengikut baginda bahawa mereka wajib untuk memiliki kekuasaan tersebut.

Namun keberatan dan kesukaran perkataan tersebut boleh diringankan oleh niat. Kesan yang ditinggalkan oleh amal yang sedikit boleh menjadi besar dan hebat apabila disertakan dengan niat yang baik dan ikhlas, sebagaimana dinyatakan oleh mereka yang menjelaskan tentang langkah permulaan yang betul. Tetapi perlu dinyatakan di sini bahawa petunjuk yang diperolehi oleh hati, cahaya yang diperolehi oleh jiwa dan kebangkitan himmah hanya dapat diperolehi melalui kesungguhan semata-mata. Oleh itu, sesiapa yang mahu sifat-sifat di atas berterusan di dalam jiwanya, maka dia hendaklah sentiasa bersungguh-sungguh. Inilah yang dimaksudkan oleh mereka yang berkata: Dapatkanlah cahaya (nur) hati dengan kesungguhan yang berkekalan.

Oleh itu, kita mestilah sentiasa bersungguh-sungguh, kerana lintasan-lintasan fikiran sentiasa berlaku, begitu juga dengan pergerakan anggota badan sentiasa bersambung. Jika sifat bersungguh-sungguh tidak bersamanya sentiasa, maka ia akan disibukkan dengan perkara-perkara yang lebih rendah kedudukannya atau perkara yang bertentangan dengannya sama sekali. Maka ketika itu, akan berlakulah kejatuhan dan penurunan selepas daripada ketinggian. Perkara ini telah diberikan amaran oleh Abdul Wahab Azzam dengan berkata:

Fikiran tidak akan tumpul, lidah tidak akan diam, dan anggota sentiasa bergerak, tidak pernah diam. Jika anda tidak menyibukkannya dengan perkara besar, maka ia akan disibukkan dengan perkara kecil. Jika anda tidak mempergunakannya untuk kebaikan, maka ia akan dipergunakan untuk kejahatan. Sesetengah jiwa cenderung ke arah perkara yang lazat dan mudah, tidak suka kepada kesulitan dan kesukaran. Oleh itu, anda hendaklah mengangkat diri anda semampu mungkin kepada perkara bermanfaat yang sukar itu. Latih dan biasakanlah ia dengan perkara yang tidak disukai tetapi yang lebih baik itu, sehingga anda biasa dengan perkara-perkara besar dan sentiasa berusaha ke arah ketinggian. Juga sehingga anda lari daripada setiap perkara rendah dan merasa jijik terhadap setiap perkara remeh. Ajarkanlah diri anda untuk terbang tinggi sehingga bencikan kerendahan. Kenalkanlah ia dengan kemuliaan, sehingga ia lari daripada kehinaan. Rasakanlah ia dengan kelazatan rohani yang agung, sehingga ia memandang rendah kepada kelazatan anggota badan yang hina.

Anda Empunya Iman

Iman yang sebenar tidak akan sempurna di dalam hati melainkan apabila seseorang itu terlibat dalam mujahadah bersama manusia tentang urusan iman tersebut. Kerana ketika bermujahadah dengan manusia, dia sebenarnya bermujahadah juga dengan dirinya sendiri. Semasa mujahadah itu juga, akan terbuka bagi dirinya segala ufuk keimanan yang tidak akan terbuka sama sekali jika dia hanya duduk dalam keadaan aman dan diam. Begitu juga, segala hakikat manusia dan kehidupan akan terpampang kepadanya yang mana hakikat ini tidak akan terpampang tanpa dia melalui wasilah ini. Oleh itu jiwa, perasaan, tanggapan, kebiasaan, tabiat, emosi dan responnya akan dapat memperolehi banyak perkara yang mana perkara tersebut sama sekali tidak akan diperolehi tanpa melalui pengalaman yang sukar dan sulit ini.

Ini adalah sebahagian isyarat yang ditunjukkan oleh firman Allah swt:

Maksudnya: Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini. (al-Baqarah: 251)

Perkara pertama yang rosak ialah jiwa disebabkan ketiadaan aktiviti yang membusukkan ruh, melemahkan semangat dan yang dirosakkan oleh kemewahan dan kelembutan. Selepas itu, kehidupan keseluruhannya membusuk kerana tiada aktiviti yang dijalankan, atau jika ada aktiviti yang dijalankan sekalipun, tetapi hanya pada perkara yang melibatkan nafsu syahwat sahaja, sebagaimana berlaku kepada bangsa-bangsa di dunia yang diuji dengan kemewahan.

Orang paling penat ialah orang yang besar permintaannya.

Anda Adalah Seorang Yang Bebas Merdeka Lagi Mulia

Seorang yang bebas merdeka tidak melakukan sesuatu melainkan dia mahu mencapai natijah yang paling besar daripada setiap percubaan yang dilaksanakannya. Oleh itu, dia tidak pernah merasa kedekut untuk berusaha sehingga dayanya yang paling tinggi dan kemampuannya yang paling maksimum. Dia akan sentiasa meningkatkan kemampuannya dari masa ke semasa. Dia juga akan merealisasikan ketakjuban yang terdapat di dalam dirinya dan daripadanya dia dapat menampilkan segala sarana yang mengkagumkan di dalam amalannya. Di samping itu, dia juga memancarkan cahaya daripada kepintarannya dan daripada kerdipan cahaya darahnya sama seperti cahaya bintang yang membuktikan kepada setiap yang empunya mata bahawa dia adalah bintang, bukan suatu benda yang lain.

Anda Yang Empunya Matlamat

Seseorang pendakwah hanya akan sampai kepada matlamatnya melalui kesukaannya yang amat terhadap dakwahnya, keimanannya, keyakinannya, pengorbanannya dan pengembelingan seluruh kebolehan, tenaga dan cara yang boleh menyampaikannya kepada dakwahnya. Itulah syarat asasi dan tanda utama bagi para pendakwah.

Anda Penuntut Kekuasaan Allah

Seseorang yang menuntut agar kekuasaan diserahkan kepada Allah dan hari akhirat, bahkan kepada setiap ilmu, pembuatan dan kepemimpinan, sekira-kira dia menjadi model dalam perkara tersebut, maka dia perlu menjadi seorang yang berani dan terkehadapan. Dia juga hendaklah menjadi pemutus terhadap sangkaannya, tidak dikuasai oleh khayalannya. Dia juga hendaklah zuhud terhadap selain daripada matlamatnya, hanya rindu kepada tujuannya. Dia juga hendaklah arif tentang jalan yang boleh menyampaikannya kepada matlamatnya itu serta jalan-jalan yang boleh menghalangnya. Dia juga hendaklah seorang yang tinggi himmahnya, teguh pendirian, tidak boleh digugat daripada mencapai matlamatnya oleh celaan orang yang mencela. Dia juga hendaklah menjadi orang yang banyak bertenang, sentiasa berfikir, tidak menyeleweng meskipun dipuji melangit atau dikeji menghangit. Dia juga hendaklah sentiasa melaksanakan segala sebab yang boleh membantu kejayaannya. Dia juga hendaklah tidak boleh dipengaruhi oleh penentangan orang yang menentang. Slogan yang dibawanya ialah sabar. Dan kerehatannya adalah dalam kepenatannya.

Mehnah Kekosongan Dan Kealpaan

Segala perkataan yang benar ini berkumpul untuk memperakui bahawa mehnah seorang pendakwah Islam bukanlah pada penentangan golongan kufur terhadapnya. Bahkan bukan juga pada pemenjaraan, penyeksaan dan kelaparannya. Tetapi ia lebih terdapat pada kelesuan himmahnya dan kelazatannya terhadap kerehatan.

Mehnah seseorang pendakwah ialah ketika dia hanya bermain-main, alpa dan duduk sahaja tanpa melakukan apa-apa. Mungkin dia terjerumus lebih jauh iaitu apabila terbuka pintu lagha kepadanya setelah dia hanya sekadar bermain-main sahaja.

Itulah mehnah sebenar yang dicipta oleh jahiliyyah bagi para pendakwah. Jahiliyyah membentangkan segala tipu daya dan segala bentuk hiburan yang boleh menarik pandangan kepadanya.

Kejayaan para pendakwah hanya akan tercapai apabila jiwanya merasa muak dan jijik terhadap apa sahaja perkara yang tidak memajukan dakwahnya.

Sesungguhnya kealpaan seseorang pendakwah merupakan suatu mehnah, kerana ia boleh memalingkannya daripada kemenangan yang mungkin boleh dicapainya melalui usaha yang bersungguh-sungguh dan amal yang berterusan. Mehnah itu juga boleh memalingkannya daripada ganjaran dan balasan pahala ukhrawi yang pendahuluannya adalah kesungguhan tersebut sahaja.

Nama kita akan terus tercatat di dalam rekod orang-orang yang lalai selagimana kita hanya memberikan waktu-waktu kita yang berbaki untuk dakwah, juga selagimana kita tidak mencintai dakwah kita dan menjadikannya sebagai pekerjaan kita yang utama.

Seseorang pendakwah sebenarnya tidak memiliki hatta dirinya sendiri sehingga dia layak memberikan cuti kepada dirinya. Tetapi dirinya itu sebagaimana digambarkan oleh sesetengah orang yang mulia sebagai wakaf kepada Allah swt. Persis seperti senaskhah kitab bermanfaat yang diwakafkan demi kerana Allah swt dan diletakkan di salah sebuah masjid. Maka setiap pendakwah adalah wakaf untuk Allah dalam salah satu bahagian dakwah.

Waktu-waktu yang berbaki bukan sahaja tidak banyak dan terhad, tetapi ia juga merupakan waktu yang paling tidak berkualiti, kerana fikiran dan fizikal pada waktu itu berada dalam keadaan yang amat penat dan letih.

Kenyataan terus terang yang dilakukan oleh Ustaz al-Mawdudiyy di dalam bukunya Tazkirat Duat al-Islam tidaklah melepasi batasan kebiasaan generasi para pendakwah. Beliau berkata:

Sewajibnya terdapat di dalam hati anda api yang marak menyala sekurang-kurangnya sama marak seperti api yang menyala di dalam hati salah seorang daripada anda apabila dia mendapati seorang anaknya sedang sakit. Sudah tentu tanpa berlengah-lengah lagi dia akan segera membawa anaknya itu berjumpa doktor. Atau sama marak seperti ketika seseorang daripada anda mendapati rumahnya tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan oleh anak-anaknya, maka sudah tentu dia akan berada dalam keadaan bimbang yang memaksanya untuk berusaha dan bekerja keras.

Sewajibnya juga terdapat di dalam hati anda perasaan benar yang menyibukkan anda pada setiap waktu dengan melakukan usaha untuk mencapai matlamat anda. Perasaan benar itu juga melabuhkan ketenangan kepada hati anda dan memberikan keikhlasan, tajarrud dan kesederhanaan (al-hanifiyyah) kepada akal anda. Perasaan benar itu menjadikan anda hanya menumpukan segala usaha dan pemikiran anda terhadap usaha-usaha tersebut. Jika terdapat masalah peribadi atau masalah keluarga sekalipun yang memerlukan perhatian anda, maka anda berpaling kepadanya hanya dalam keadaan terpaksa. Anda hendaklah berusaha bersungguh-sungguh agar waktu dan tenaga yang digunakan untuk kepentingan peribadi diri anda sahaja hanyalah dalam kadar yang paling minimum supaya kadar maksimumnya dapat anda gunakan untuk merealisasikan matlamat kehidupan anda yang sebenar. Jika perasaan ini tidak mencengkam kuat di dalam kepala anda, dan tidak bersebati di dalam ruh dan darah anda, serta tidak mendapat sepenuh perhatian daripada hati dan pemikiran anda, maka anda tidak akan mampu untuk menggerakkan seorang pun yang diam dengan semata-mata perkataan anda.

Beliau juga tidak melampau ketika sekali lagi beliau berkata dan menegaskan:

Benarkanlah saya berkata sekali lagi kepada anda. Jika anda hanya mempunyai perasaan yang sejuk ketika melalui jalan dakwah ini, iaitu perasaan hati yang lebih sejuk daripada perasaan hati yang anda alami ketika berhadapan dengan masalah isteri, anak, dan ibu bapa anda, maka sudah pasti anda akan menemui kegagalan. Kegagalan yang pasti akan menyebabkan generasi akan datang tidak lagi berani untuk hanya berfikir bagi melaksanakan suatu gerakan seperti ini dalam tempoh yang panjang. Oleh itu, anda hendaklah mengembeling terlebih dahulu kekuatan hati dan akhlak anda sebelum anda berniat untuk melakukan langkah-langkah yang hebat.

Sesungguhnya sesiapa yang menuntut agar waktu rehat dihapuskan sebenarnya dia bersandarkan kepada salah satu fasal yang jelas dalam undang-undang dakwah dan pendakwah yang telah disunnahkan oleh Sayyidina Umar al-Faruq r.a. Fasal tersebut dengan jelas mengatakan bahawa rehat bagi rijal adalah kealpaan.

Kemudian fasal tersebut diperbaharui oleh imam para muhaddithin, Shubah bin al-Hajjaj al-Basriyy yang berkata: Janganlah anda hanya duduk kosong, kerana mati sedang mencari anda.

Kerana orang yang mahu mendapatkan kerehatan dan ketenangan, maka di dalam kuburlah dia boleh memperolehinya dalam kadar yang amat banyak.

Demi Allah! Seolah-olah kita telah terlalu melampau dalam kealpaan. Oleh itu, kita memerlukan suatu keazaman tinggi agar kita dapat menjauhkan diri kita daripada terus berada di dalam kelalaian dan permainan.

Walaupun kami membenarkan para pendakwah mengambil nikmat daripada perkara-perkara yang dibenarkan dan diharuskan oleh syarak, namun seruan tersebut dilakukan agar orang yang mendengarnya memahami bahawa kami tidak menyeru kepada cara bidah yang dilakukan oleh sesetengah golongan zuhud yang berlapar, tidak berpakaian dan rahbaniyyah (hidup seperti paderi). Sebab jawapan yang diberikan oleh Ibn al-Jawziyy ketika beliau ditanya oleh seseorang, boleh kami gunakan juga. Beliau ditanya: Adakah boleh saya melapangkan diri saya dalam perkara-perkara permainan yang dibolehkan? Beliau menjawab: Sudah cukup kealpaan yang ada pada diri anda.

Jika ada yang tidak bersetuju, maka kita boleh bawakan kata-kata seumpama kata-kata Ibn al-Qayyim ketika beliau berkata: Tidak dapat tidak, sedikit kealpaan pasti akan berlaku. Tetapi anda hendaklah mengurangkan tidur.

Kita tidak mengingkari makna secara literal daripada perkataan-perkataan mutlak yang digunakan oleh orang-orang yang mengaibkan kerehatan, kerana apa yang kami dan mereka maksudkan ialah mengurangkan kerehatan hingga ke tahap paling minimum yang diperlukan oleh badan. Setiap orang berdasarkan keadaan kesihatan dan keperluan diri masing-masing. Terutamanya orang mukmin pada zaman ini amat perlu melebihkan pemerhatiannya dan amat perlu untuk menjaga serta memeriksa hatinya sentiasa jika dibandingkan dengan keperluan orang Islam pada zaman-zaman yang lampau. Ini kerana orang Islam yang hidup pada zaman-zaman yang lampau, mereka hidup dalam suasana keIslaman yang menjadi arus perdana pada ketika itu. Kehidupan mereka sentiasa dipenuhi dengan kebaikan dan saling menasihati dengan kebenaran. Jika adapun keburukan dan kejahatan yang berlaku, tetapi ia terpaksa bersembunyi dan berselindung agar tidak kelihatan oleh mata para ulama dan pedang para umara. Tetapi apa yang berlaku sekarang, tamadun moden telah menjadikan kekufuran semua aliran kefahaman dapat didengar dan dilihat dengan jelas melalui radio, televisyen dan akhbar. Ia juga menjadikan segala hasutan dan bujukan segala jenis syaitan dapat diperolehi daripada jarak yang amat hampir sekali daripada hati. Sehubungan dengan itu, kemungkinan seseorang mukmin terpengaruh dengan segala apa yang didengar atau dilihat meskipun dia tidak mahu atau berlaku secara tidak sedar, adalah besar sekali. Ditambah lagi dengan ketiadaan pelaksanaan hukum Islam di negara-negara Islam yang dihuni oleh si mukmin tadi. Oleh itu, dia wajib melebihkan sedikit mujahadah dan muraqabah (pemerhatian) terhadap waktunya jika dibandingkan dengan golongan terdahulu.

Alangkah tepatnya gambaran yang diberikan oleh Imam Badi al-Zaman Said al-Nursiyy ketika beliau menjelaskan tentang hakikat ini:

Sesungguhnya tamadun bodoh ini telah menjadikan dunia umpama hanya sebuah negeri, di mana penghuninya dapat saling berkenalan dan berbisik-bisik tentang perkara dosa dan apa sahaja yang remeh temeh melalui akhbar pada waktu siang dan malam. Dengan sebab itulah, maka segala hijab kealpaan menjadi tebal dan tidak dapat ditembusi melainkan dengan memberikan keazaman dan himmah yang tinggi.

Oleh itu wahai pendakwah Islam! Anda hendaklah sedikitkan tidur agar anda memiliki himmah yang besar itu.

Sedarlah daripada tidur kealpaan, kerana umur hanya sedikit.

Buangkanlah saya akan dan saya mesti. Kerana ia adalah penyakit dalaman.

Golongan salihin yang lain menggambarkan pengertian ini kadang-kadang dengan menggunakan perkataan yang lain. Iaitu mereka menamakannya sebagai menjaga waktu atau memelihara waktu.

Imam Hasan al-Banna berpendapat bahawa:

Sesiapa yang mengetahui hak waktu, maka sebenarnya dia mengetahui nilai kehidupan. Waktu adalah kehidupan.

Beliau juga berkata dalam pidato al-Mutamar al-Khamis:

Sesungguhnya waktu adalah kehidupan.

Dengan kenyataan tersebut, beliau sebenarnya menyalahi perkataan yang biasa digunakan oleh golongan materialis, iaitu masa adalah emas.

Beliau juga suka jika seseorang pendakwah bukan setakat mengetahui hak waktu pada hari tersebut sahaja, bahkan lebih daripada itu berusaha melakukan perancangan untuk hari esoknya. Dengan itu, dia sebenarnya berniat untuk melakukan kebaikan pada setiap saat dan dia tidur dalam keadaan memiliki azam yang paling baik.

Meninggalkan perkara kosong dan sia-sia serta bangkit daripada tidur kealpaan maknanya kepenatan demi kepenatan serta menghabiskan seluruh tenaga demi beramal kerana Allah. Inilah apa yang diucapkan oleh Imam al-Shafiiyy dan beliau menafikan maruah daripada seorang pendakwah yang mahukan kerehatan. Beliau berkata:

Menuntut kerehatan di dunia adalah tidak wajar dilakukan oleh orang yang bermaruah. Setiap orang yang bermaruah sentiasa berada dalam kepenatan sepanjang zaman.

Ketika seorang zahid ditanya tentang bagaimanakah jalan bagi seorang muslim untuk mencapai kedudukan golongan yang dipilih oleh Allah, beliau menjawab: Apabila dia meninggalkan kerehatan dan berpenat lelah dalam ketaatan.

Seorang pendakwah yang sebenar ialah seorang yang membuang kerehatan dan tidak lagi mengenalinya. Kerehatan baginya hanya menjadi kenang-kenangan zaman muda dan zaman kanak-kanaknya sahaja.

Bahkan perjalanan hidup Imam Ahmad telah menterjemahkan sifat-sifat ini dalam mehnah yang dihadapinya dalam bentuk praktikal, sehingga beliau berkata kepada anaknya:

Wahai anakku! Sesungguhnya aku telah memberikan segala daya dan upayaku.

Maksud beliau ialah ketika menghadapi mehnah.

Dengan itu, beliau telah meletakkan satu batasan yang tidak boleh dikurangi atau ditinggalkan oleh mana-mana pendakwah. Oleh itu, setiap pendakwah wajib memberikan segala daya dan upayanya serta menumpahkan segala kemampuannya demi kerana dakwah.

Inilah jalan yang telah digariskan oleh Imam Ahmad yang tidak boleh kita menyeleweng daripadanya. Inilah juga garisan yang telah digariskan oleh beliau yang tidak boleh mana-mana pendakwah untuk berhenti sebelum garisan tersebut. Ia adalah jalan dan garisan yang telah ditetapkan. Iaitu memberikan segala daya dan upaya yang tandanya ketika menghadapi mehnah ialah kesabaran terhadap kesakitan yang dihadapi sehingga maut sekalipun yang datang. Tandanya pula dalam kehidupan anda seharian ialah ketika anda pulang pada waktu malam menuju ke tempat tidur, anda dapati lutut anda mengadu kesakitan dan otot anda pula terasa lenguh kerana pergerakan yang banyak anda lakukan pada waktu siangnya.

Kita menamakannya penat, mengaduh dan lenguh semata-mata dengan tujuan untuk memudahkan kefahaman kepada pendakwah yang baru, kerana ia adalah istilah-istilah yang biasa digunakan oleh orang awam yang baru sahaja ditinggalkannya. Manakala pada bahasa pendakwah ia adalah permainan semata-mata yang amat diminati oleh mereka. Demikianlah sebagaimana disifatkan oleh al-Buhturiyy ketika beliau memuji orang yang dipujinya dengan berkata:

Ia adalah hati yang menjelaskan pemikirannya, tangan yang melaksanakan segala perkara dan jiwa yang permainannya pada kepenatannya.

Sesiapa yang tidak mengetahui neraca orang-orang yang beriman menyangka bahawa yang demikian merupakan pengharaman daripada memperolehi kelazatan, penipuan penggunaan perkataan dan kesesatan kerana mengikut kata-kata para penyair. Tetapi sesiapa yang diberikan ilmu al-kitab mengetahui bahawa kerehatan yang sebenar ialah kerehatan di akhirat, bukan kerehatan di dunia. Oleh itu, ketika Imam Ahmad ditanya: Bilakah seseorang hamba akan memperoleh kerehatan? Beliau menjawab: Ketika langkah pertama dia melangkah ke dalam syurga.

Seorang yang lalai merasa takjub kepada seorang yang sentiasa mengorbankan masa dan tenaganya lalu bertanya: Sampai bila engkau mahu memenatkan dirimu? Kawannya menjawab: Sebenarnya kerehatannyalah yang aku mahu.

Oleh itu, seorang penuntut atau pencari kebenaran yang sebenar apabila sesuatu daripada dirinya musnah, dia menjadikannya sebagai pembinaan kepada hati dan ruhnya. Setiap kali sesuatu daripada dunianya mengurang, dia menjadikannya sebagai penambahan kepada akhiratnya. Setiap kali dia terhalang daripada menikmat sesuatu kenikmatan duniawi, dia menjadikannya sebagai tambahan kepada kelazatan akhiratnya. Setiap kali dia mengalami kedukaan atau kesedihan, dia menjadikannya sebagai kebahagiaan dan kegembiraan di akhirat nanti.

Sesiapa yang tersinar kepadanya fajar ganjaran, akan terasa mudah baginya segala kegelapan taklif, sebagaimana dinyatakan oleh Ibn al-Jawziyy.

Demi Allah, sebenarnya ia bukanlah kegelapan, tetapi ia adalah perkataan yang terpaksa digunakan agar orang-orang yang tidur dapat memahaminya dengan baik.

5. Ukhuwwah, Syiar Dakwah Kita

Bertasbih ketika waktu sahur yang amat berharga dan berinteraksi secara ukhwwah keimanan, merupakan dua paksi yang saling memerlukan yang menjadi binaan sesebuah jamaah Islam. Kedua-duanya juga adalah mata air yang sentiasa memancarkan kebaikannya kepada para pendakwah, tidak pernah kering.

Kedua-duanya merupakan paksi penting yang menjadi asas binaan sesebuah jamaah Islam. Dengan keduanya, jamaah tersebut dapat melaksanakan tugasnya yang amat berat dan sukar. Jika salah satu daripada keduanya runtuh, maka tidak terdapatlah apa yang dinamakan sebagai jamaah Islam. Sehubungan dengan itu, tiadalah tugas atau peranan yang boleh dimainkannya.

Bertaqwa Terlebih Dahulu

Tasbih yang dilakukan menjadi lambang keimanan dan penyerahan diri kepada Allah swt. Keimanan pula adalah lambang kepada tasawwur yang seimbang dan jaminan kepada peneguhan pendirian berhadapan dengan mara bahaya perjalanan.

Paksi keimanan dan ketaqwaan yang pertama ialah ketaqwaan yang mencapai tahap menyempurnakan segala hak Allah yang maha mulia Iaitu taqwa yang berterusan, yang sentiasa sedar, yang tidak lalai dan tidak menjadi lemah walaupun seketika, sehinggalah menemui ajal. Firman Allah swt:

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa...

Maksudnya, bertaqwalah kepada Allah sebagaimana sepatutnya. Demikianlah perintah taqwa itu dibiarkan begitu sahaja tanpa mempunyai batasan had tertentu agar hati dapat berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai had taqwa yang ditanggapinya sendiri dan yang termampu olehnya. Setiap jarak yang dijalani oleh hati melalui taqwa ini, akan menyebabkan terbuka baginya beberapa ufuq dan menimbulkan beberapa keadaan kerinduan. Setiap kali dia dapat menghampirkan dirinya kepada Allah dengan perasaan taqwanya, maka perasaan rindu dendamnya akan bangkit untuk menuju kepada maqam atau martabat yang lebih tinggi daripada apa yang telah dicapainya. Akhirnya dia akan sampai kepada maqam yang menyebabkan hatinya sentiasa berjaga, tidak tidur lagi!

Firman Allah swt:

Maksudnya: dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Kematian adalah perkara ghaib yang tidak diketahui oleh seseorang bila dia akan menghadapinya. Sesiapa yang mahu agar dia tidak mati melainkan dalam keadaan Islam, maka caranya ialah dengan dia menjadi muslim bermula saat ini dan dalam setiap keadaan dan masa seterusnya. Dalam ayat di atas, perkataan Islam disebut selepas perintah supaya bertaqwa. Ini bagi menunjukkan makna Islam yang luas; menyerah diri. Menyerah diri kepada Allah dengan mentaatiNya, mengikut manhajNya dan berhukum dengan kitabNya. Inilah pengertian yang dipertegaskan oleh seluruh isi surah Ali Imran pada setiap ayatnya.

Ini merupakan paksi pertama yang menjadi asas sesebuah jamaah Islam agar kewujudannya direalisasikan dan peranannya dapat dilaksanakan dengan baik. Kerana tanpa paksi ini, semua perkumpulan akan bertukar menjadi perkumpulan jahiliyyah. Dengan itu, tiada kepimpinan yang boleh memandu kemanusiaan di atas muka bumi. Cuma yang ada ialah kepimpinan jahiliyyah.

Iman kepada Allah adalah suatu perkara yang diperlukan bagi memberikan neraca yang benar terhadap nilai-nilai. Ia juga diperlukan bagi memberikan definisi yang betul terhadap perkara maruf dan mungkar. Istilah yang diberikan oleh sesuatu kumpulan manusia sahaja tidak memadai, kerana mungkin kefasadan telah melata hingga menyebabkan neraca mengenai kebaikan dan keburukan telah rosak dan tidak dapat berfungsi lagi. Oleh itu, kita hendaklah merujuk kepada tanggapan yang thabit (tetap) mengenai kebaikan dan kejahatan, mengenai kepujian dan kekejian, mengenai maruf dan mungkar. Ia pula hendaklah bersandarkan kepada suatu kaedah yang lain daripada istilah sesuatu generasi manusia.

Inilah apa yang dipastikan oleh iman, iaitu menegakkan tanggapan yang benar bagi kewujudan ini dan hubungannya dengan penciptanya. Sebagaimana ia juga menegakkan tanggapan yang benar bagi manusia dan matlamat kehidupannya serta kedudukannya yang sebenar di dalam dunia ini Daripada tanggapan yang umum ini, lahirlah segala kaedah-kaedah akhlak. Daripada matlamat untuk memperolehi keredhaan Allah dan mengelakkan daripada terkena kemurkaanNya, manusia terdorong untuk merealisasikan kaedah-kaedah tersebut. Melalui penguasaan Allah terhadap perasaan manusia dan melalui kekuasaan syariatNya terhadap masyarakat, kaedah-kaedah ini juga dapat dipelihara.

Iman juga diperlukan agar para pendakwah yang menyeru kepada kebenaran dan mencegah kemungkaran dapat meneruskan perjalanan mereka yang amat sukar ini dan menanggung bebanan kesulitannya, iaitu ketika mereka menghadapi taghut kejahatan yang banyak melakukan kejahatan dan kekejian. Dalam masa yang sama mereka juga terpaksa menghadapi taghut syahwat yang menggila dan membujuk. Mereka juga menghadapi semangat yang menjunam, ketumpulan keazaman dan ketamakan yang mencengkam Bekalannya mereka hanyalah keimanan. Persediaan mereka ialah keimanan. Sandaran mereka hanyalah Allah Segala bekalan selain daripada bekalan iman pasti akan habis. Segala persediaan selain daripada persediaan iman adalah tumpul. Segala sandaran selain daripada sandaran Allah akan runtuh.

Iqbal telah berbicara tentang apa yang dapat dilakukan oleh iman iaitu penyatuan tasawwur (tanggapan) yang disedari juga oleh Say