soalan tugasan 1 waj3106 2012 dr internet
TRANSCRIPT
Nilaikan punca-punca yang membawa kepada berlakunya Peristiwa 13 Mei
1969 dan implikasi terhadap hubungan etnik di Malaysia.
Faktor-faktor tercetusnya Peristiwa 13 Mei 1969.
Tanggal 13 Mei 1969 tercetus satu detik hitam dalam lipatan sejarah
Negara, padahal pada tahun yang sama, Amerika telahpun berjaya mendaratkan
manusia ke bulan. Tetapi Malaysia seolah-olah kembali ke zaman batu ekoran
pertelingkahan kaum yang berlaku telah mengakibatkan negara kehilangan
banyak nyawa dan kerugian harta benda. Pilihanraya Umum 1969 bukanlah
faktor berlakunya hal ini tetapi lebih merupakan puncak manifestasi masalah
perpaduan kaum di Malaysia. Dalam pilihanraya itu, banyak isu sensitif telah
dibangkitkan dan ditimbulkan seperti Bahasa Kebangsaan, kedudukan istimewa
orang Melayu dan hak kerakyatan orang bukan Melayu. Malah, Kua Kia Soong
(2008) bersungguh-sungguh meyakinkan banyak pihak bahawa peristiwa 13 Mei
1969 adalah sebuah rusuhan terancang orang-orang Melayu. Beliau juga
menyatakan bahawa "rusuhan 1969 ialah kerja penjahat-penjahat Melayu yang
disusun atur oleh ahli politik di belakang kudeta"(Kua Kia Soong,2008 :74).
Tunku Abdul Rahman (1969) memberi gambaran bahawa Peristiwa 13
Mei merupakan akibat daripada pelbagai faktor, termasuk perarakan
pengebumian seorang aktivis Parti Buruh pada 9 Mei 1969 yang ditembak mati
oleh polis setelah menyeru orang awam memulau pilihan raya pada 10 Mei
1969. Tetapi sebelum itu, En Kassim bin Omar, seorang pekerja UMNO telah
dibunuh dengan kejam pada 26 April 1969 di Pulau Pinang oleh belia Parti Buruh
ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membantu kempen pilihanraya
dan disimbah cat merah dan ditulis perkataan 'Jangan keluar mengundi' (Rozlan
Mohamed Noor, 2007).
Dalam pilihanraya tahun 1969 Parti Perikatan gagal memperoleh majorirti
dua per tiga kerusi dalam Dewan Rakyat manakala Parti Gerakan dan
Democratic Action Party (DAP) yang berjaya memperoleh sebanyak 25 kerusi
telah mengadakan perarakan di Kuala Lumpur sambil menghina bangsa Melayu.
1
Kua Kia Soong(2008) berpendapat Perikatan tewas dengan teruk kepada
pembangkang. Hal ini memberikan tamparan hebat kepada orang Melayu dan
akhirnya UMNO telah mengadakan perarakan balas sebagai bantahan terhadap
penghinaan parti DAP dan Gerakan. Hal yang berkenaan merupakan faktor
serta-merta berlakunya Rusuhan Kaum, 13 Mei 1969.
Dalam suasana tegang dan penuh emosi maka tercetuslah peristiwa 13
Mei 1969. Peristiwa tersebut telah mengorbankan ramai orang dan telah
mengakibatkan kerugian harta benda yang banyak. Hal ini juga telah
menyebabkan negara kita telah menjadi tumpuan dunia. Sebenarnya Masalah
13 Mei ini merupakan masalah perpaduan yang telah lama berakar umbi dalam
masyarakat majmuk Malaysia sebelum tahun 1969 lagi. Menurut Mohd Isa
Othman(2002), masalah ini telah disebabkan oleh British yang telah memainkan
peranan yang cukup besar untuk mewujudkan keadaan sedemikian rupa.
Banyak faktor yang telah mempengaruhi berlakunya peristiwa 13 Mei
1969. Antaranya ialah Dasar Pecah Dan Perintah British. Semasa pemerintahan
British, British telah mewujudkan kelompok-kelompok etnik berdasarkan kegiatan
ekonomi. Ini dilakukan untuk menjaga kepentingan mereka agar tidak terjejas
dengan kewujudan perpaduan kaum kerana mereka mahu mengeksploitasi
semaksimum mungkin kekayaan semulajadi Malaysia. Justeru mereka telah
menetapkan status dan peranan yang berbeza bagi setiap kaum seperti orang
Melayu digalakkan tinggal di kampung, kaum Cina digalakkan tinggal di bandar
manakala kaum India digalakkan tinggal di estet-estet. Dasar ini telah berjaya
direalisasikan dan kesannya interaksi antara kaum-kaum menjadi terbatas hanya
di pejabat dan pasar sahaja. Apabila ini berlaku maka lahirlah perasaan
prasangka antara satu kaum dengan kaum yang lain. Prasangka yang wujud
inilah yang telah mengapi-apikan lagi tercetusnya sentimen 13 Mei 1969.
Sebagai tambahan, Kia Soong (2008) menuduh British telah menyokong
tuntutan hak istimewa Melayu oleh UMNO. Justeru itu, beliau menganggap
Perlembagaan Malaysia telah menginstitusikan politik perkauman sebagai
ideologi kerajaan.
2
Sistem pendidikan yang berasingan, iaitu tiada keseragaman, sebelum
Laporan Razak dikemukakan, Malaysia tidak mempunyai satu asas atau sistem
pendidikan nasional (Shamsul Amri Baharuddin, 2007). Apa yang wujud ialah
empat aliran pendidikan yang berlainan iaitu Aliran Inggeris, Melayu, Cina dan
India. Bagi kaum India mereka telah menguna pakai silibus yang diambil dari
negara india untuk diajar kepada anak-anak mereka. Begitu juga dengan kaum
Cina dan Melayu. Ini telah menyebabkan tiada keseragaman dari segi identiti
dan fahaman kerana Negara China contohnya mengamalkan fahaman
komunisme dan silibus yang diambil dari Negara China mempunyai unsur-unsur
komunisme tetapi berbeza pula dengan kaum lain yang berteraskan fahaman
tersendiri.
Selain itu, tidak terdapat satu bahasa pengantar yang seragam telah
menyebabkan setiap kaum hanya tahu bercakap dalam bahasa ibunda masing-
masing sahaja. Ini telah menyebabkan timbulnya pelbagai masalah yang telah
menggugat perpaduan kaum. Ini telah memberikan satu imapak buruk dalam
pembentukan perpaduan kaum di Malaysia.
Menurut Shamsul Amri Baharuddin (2007), perbezaan budaya dan agama
merupakan salah satu lagi punca berlakunya masalah perpaduan kaum di
Malaysia. Kaum Melayu sebahagan besarnya beragama Islam, kaum Cina
beragama sama ada Buddha, Lao-Tze, Taoisme atau Confucius manakala kaum
India beragama Hindu. Di samping itu terdapat ramai juga yang beragama
Kristian. Setiap kaum pula mempunyai kebudayaan yang berlainan dan ini
menambahparahkan lagi masalah perpaduan kaum di Malaysia. Masalah
perpaduan ini bukannya bermula disebabkan agama yang dianuti oleh kaum-
kaum yang terdapat di Malaysia menggalakkan penganutnya memusuhi agama
lain tetapi ia berpunca dari sikap jahil terhadap agama-agama lain hingga banyak
perkara yang dilakukan secara tidak sengaja telah menyinggung emosi penganut
agama lain. Inilah punca yang telah mengakibatkan peristiwa 13 Mei 1969
berlaku.
3
Aktiviti ekonomi yang berlainan dalam masyarakat pluralistik di Tanah
Melayu menjadikan keadaan lebih buruk kerana wujudnya perbezaan
sosioekonomi yang begitu ketara. Orang Melayu misalnya, kebanyakan terdiri
daripada petani yang tinggal di kampung manakala masyarakat Cina telah
mewarisi pekerjaan turun temurun keluarga mereka iaitu beniaga dan
kebanyakannya tinggal di Bandar. Orang India pula bekerja sebagai penoreh di
estet-estet dan tinggal di estet-estet. Kegiatan ekonomi yang berbeza ini telah
mewujudkan jurang pendapatan yang berbeza antara satu kaum dengan kaum
yang lain. Ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dan persaingan ekonomi
secara tidak sihat dan pada kemuncaknya berlakulah peristiwa 13 Mei 1969.
Struktur masyarakat Malaysia yang terdiri dari berbagai-bagai kaum telah
melahirkan banyak persatuan politik, sosial dan ekonomi yang berasaskan kaum
masing-masing. Perkara ini telah menguatkan lagi rasa syak wasangka di antara
satu sama lain kerana persatuan-persatuan ini hanya memperjuangkan
kepentingan kumpulan kaum yang diwakilinya sahaja tanpa menghiraukan
kaum-kaum yang lain. Parti-parti politik yang berbentuk perkauman seringkali
mengeksploitasi perbezaan-perbezaan yang wujud di kalangan kaum hingga
menimbulkan rasa tidak puas hati yang ketara antara satu kaum dengan kaum
yang lain.
Salah satu punca permusuhan orang Melayu dengan Orang Cina ialah
akibat Pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Ini kerana Jepun memberi layanan
yang lebih istimewa kepada orang Melayu berbanding orang Cina kerana Jepun
masih lagi dipengaruhi sentimen peperangan dengan negara China pada akhir
kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 (Mohd Isa Othman, 2002). Ini menyebabkan
tentera Jepun bersikap pilih kasih dalam hal yang melibatkan kaum Melayu dan
Cina. Jepun juga telah melantik orang Melayu sebagai askar dan polis berbeza
dengan orang Cina yang tidak diberi peluang untuk menjawat sebarang jawatan.
Ketika itu kebanyakan orang Cina menyertai MPAJA (Malaysian People Anti
Japanese Army). Keadaan bertambah buruk apabila kebanyakan tentera Jepun
4
yang menyerang MPAJA ialah terdiri daripada orang Melayu dan ini telah
menimbulkan persengketaan antara orang Melayu dengan Orang Cina.
Hal-hal sensitif telah diwar-warkan semasa Pilihanraya Umum 1969.
Semasa kempen pilihanraya tahun 1969 parti-parti politik yang bertanding telah
memainkan isu-isu yang sensitif seperti kedudukan istimewa orang Melayu, soal
bahasa dan kerakyatan untuk memancing undi daripada orang ramai. Ini telah
menimbulkan pelbagai rasa tidak puas hati antara kaum dan akhirnya setelah
memenangi kerusi yang agak banyak dan berjaya menafikan majoriti dua per
tiga parti Perikatan, parti DAP dan Gerakan telah berarak untuk menghina orang
melayu. Tambah memburukkan lagi keadaan, orang Melayu melalui UMNO telah
mengadakan perhimpunan balas untuk menangkis penghinaan parti DAP dan
Gerakan. Keadaan menjadi tidak terkawal dan akhirnya meletuslah
persengketaan kaum pada 13 Mei 1969.
Namun demikian, Peristiwa 13 Mei 1969 secara lebih tepat bukanlah
rusuhan kaum secara menyeluruh kerana rusuhan atau persengketaan kaum
tidak berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan
Perlis, tiada sebarang pergaduhan. Di Negeri Johor dan Negeri Sembilan juga
tidak berlaku hal yang sedemikian. Jika istilah ‘rusuhan kaum’ digunakan bagi
merujuk peristiwa 13 Mei 1969, beerti pergaduhan kaum pasti berlaku di negeri-
negeri berkenaan walhal peristiwa hitam itu hanya berlaku di Kuala Lumpur dan
sekitar Selangor.
Kesimpulannya, Tagedi 13 Mei boleh berulang jika masih ada pihak
mengeksploitasi isu-isu etnik. Hal ini juga boleh meletus kerana isu etnik yang
digandingkan dengan isu hak-hak asasi kini jadi semakin ketara. Wacana
mengenai hak-hak asasi ini dimunculkan menerusi pelbagai tuntutan hak-hak
sivil, politik, etnik dan demokrasi. Wacana ini terbahagi kepada aliran universalis
yang menerima dukungan Barat dan aliran komunitarian yang wujud di Asia
( http://syedmahadzirsyedibrahim.blogspot.com/2010/12/sejarah-penggubalan
perlembagaan.html/29 Julai 2012 ).
5
Kesan-kesan Peristiwa 13 Mei 1969
Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan bagi menangani
persengketaan kaum, ekoran daripada peristiwa 13 mei 1969. Usaha segera
untuk membentuk perpaduan selepas Peristiwa 13 Mei 1969 ialah
mengisytiharkan darurat. Negara diisytiharkan darurat pada malam 16 Mei 1969.
Dengan pengistiharan ini, Perlembagaan Persekutuan telah digantung. Negara
diperintah secara terus oleh Yang DiPertuan Agong di bawah undang-undang
tentera.
Dalam pada itu, Majlis Gerakan Negara (Mageran) telah dibentuk. Tunku
Abdul Rahman telah menarik diri dari mengetuai majlis tersebut. Tempat beliau
telah digantikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak. Berikutan itu,
Parlimen juga digantung. Ini merupakan kesan serta-merta hasil rusuhan kaum
itu. Ketika peristiwa 13 Mei 1969, berlaku keadaan amat tidak terkawal dan
pertempuran antara kaum berlaku akibat suasana tegang. Untuk meredakan
ketegangan keadaan ini kerajaan telah mengisytiharkan darurat pada 16 Mei
1969 di seluruh negara. Tujuan diisytiharkan darurat ialah pertama untuk
menenangkan keadaan yang tidak terkawal. Kedua ialah untuk memberi masa
kepada pihak yang terlibat bertenang dan berfikir secara rasional tindakan
mereka. Ketiga untuk cuba menghentikan kekacauan yang berlaku dalam masa
yang singkat.
Setelah mengisytiharkan darurat di seluruh negara pada 16 Mei 1969
kerajaan telah menubuhkan Majlis Gerakan Rakyat (MAGERAN) yang diketuai
oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu iaitu Tun Abdul Razak.
Turut menganggotai MAGERAN ialah pemimpin-pemimpin parti politik, pegawai-
pegawai kanan kerajaan dan pegawai-pegawai tinggi polis dan tentera.
Antaranya ialah Tun Dr. Ismail, Tan Siew Sin, Tun G.T Sambatan, Dato’ Hamzah
Bin Abu Samah, Tan Sri Muhammad Ghazali Shafie, Tan Sri Abdul Kadir
Shamsuddin, Tan Sri Mohd Salleh Ismail dan Jeneral Tunku Osman Tunku Mohd
Jiwa.
6
Fungsi utama MAGERAN ini ialah mengembalikan keamanan dan
undang-undang Negara, menentukan pentadbiran yang licin dan sempurna serta
mengembalikan suasana keharmornian dan kepercayaan antara kaum di
Malaysia. Dengan wujudnya MAGERAN maka sistem kerajaan berparlimen telah
digantung dan semua kuasa pentadbiran telah dipusatkan kepada MAGERAN.
Fungsi kerajaan berparlimen mula dipulihkan semula pada 23 Februari 1971.
Kerajaan juga telah menubuhkan Majlis Perundingan Negara pada bulan
Januari 1970 untuk membentuk perpaduan antara kaum di Malaysia. Majlis
Perundingan Negara telah dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak. Ahli-ahli majlis
ini terdiri daripada wakil-wakil menteri yang menganggotai MAGERAN, Kerajaan-
kerajaan Negeri, Parti-parti Politik Sabah dan Sarawak, Kumpulan-kumpulan
Agama, Badan-badan Profesional, Perkhidmatan Awam, Kesatuan Sekerja Dan
Persatuan Majikan, Wartawan, Persatuan Guru-guru dan juga Kumpulan Minoriti.
Fungsi utama Majlis Perundingan Negara ini ialah untuk meneliti isu-isu
perpaduan negara serta mencari jalan untuk menyelesaikan masalah-masalah
yang melibatkan pelbagai kaum. Ia juga bertindak sebagai penasihat kepada
MAGERAN mengenai perkara-perkara yang bersangkutan dengan perhubungan
dan integrasi kaum di Malaysia.
Menyedari masyarakat berbilang kaum di Malaysia tidak mempunyai satu
hala yang jelas maka kerajaan telah memperkenalkan Rukun Negara untuk
memberi garis panduan yang lebih jelas kepada masyarakat berbilang kaum di
Malaysia. Rukun Negara ialah manifestasi idealogi nasional dengan tujuan untuk
mencapai perpaduan di kalangan rakyat tanpa mengira kaum, warna kulit,
bangsa dan agama.
Konsep Rukun Negara yang dibentuk oleh MAGERAN ini pada asasnya
adalah untuk membentuk corak masyarakat Malaysia berdasarkan prinsip hidup
yang telahpun wujud dan boleh dijadikan pegangan masyarakat Malaysia.
Antaranya ialah mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh
masyarakat, memelihara cara hidup demokratik, mencipta suatu masyarakat
7
yang adil dan kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil
dan saksama, menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi yang kaya dan
pelbagai corak dan juga membina sebuah masyarakat progresif dengan
menggunakan sains dan teknologi. Konsep rukun negara telah dibahagikan
kepada lima prinsip iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja
Dan Negara, Kedaulatan Undang-undang, Keluhuran Perlembagaan, Kesopanan
Dan Kesusilaan.
Majlis Muhibah juga telah ditubuhkan atas arahan daripada MAGERAN.
Majlis ini telah diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Majlis ini
diadakan di setiap peringkat iaitu peringkat pusat, daerah negeri dan kawasan.
Ini bertujuan memastikan matlamat penubuhan majlis ini berjaya di segenap
lapisan masyarakat Malaysia. Majlis ini berperanan untuk menggalakkan
perkembangan muhibah di kalangan pelbagai kaum dan berusaha ke arah
memulihkan kembali kepercayaan dan keyakinan di kalangan pelbagai kaum di
Malaysia yang telah musnah akibat peristiwa hitam 13 Mei 1969.
Peristiwa 13 Mei 1969 juga telah menyebebkan penyusunan semula
politik. Apabila berlakunya masalah 13 Mei, kebanyakan parti-parti politik mula
menyedari peri pentingnya bersatu dalam satu barisan yang menggabungkan
pelbagai kaum. Justeru wujudlah Barisan Nasional (BN) yang lahir atas
kesedaran untuk mengatasi maslah perpaduan kaum akibat peristiwa 13 Mei
1969. Gabungan ini dianggotai oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
(UMNO), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Kongres India Malaysia (MIC) dan
Persatuan Cina Malaysia (MCA) serta enam lagi parti politik. Tujuan
pembentukan Barisan Nasional ialah untuk mengurangkan perpecahan politik
dan sesuai dengan pindaan Perlembagaan 1971. Rombakan politik ini telah
berjaya menampakkan hasil yang cukup memberangsangkan kerana semua
pihak semakin mula memahami kepentingan perpaduan kaum.
Peristiwa 13 Mei 1969 telah memberikan impak negatif terhadap
perpaduan rakyat Malaysia. Kerajaan pimpinan Tun Abdul Razak Dato’ Hussein
8
menyedari akan hal ini kerana jika tidak dibendung atau disekat, hal ini akan
mencetuskan satu situasi yang lebih buruk. Justeru, pelbagai langkah telah
diambil untuk mengatasi maslah ini melalui dasar-dasar yang dibentuk untuk
membina perpaduan di kalangan masyarakat berbilang bangsa. Maka, Dasar
Ekonomi Baru (DEB) telah diperkenalkan.
Dasar ini telah diperkenalkan pada tahun 1970 dan mempunyai matlamat
serampang dua mata : Pembasmian Kemiskinan Tanpa Mengira Kaum dan
Penyusunan Semula Masyarakat. Melalui dasar ini kerajaan bertindak untuk
merapatkan jurang kekayaan antara golongan kaya dan golongan miskin tanpa
mengira kaum kerana ketidakseimbangan kekayaan terutamanya antara kaum
hanya akan mencetuskan suasana yang tidak harmorni akibat rasa tidak puas
hati antara satu sama lain. Oleh itu, untuk menjayakan DEB ini kerajaan telah
memberi banyak tumpuan kepada golongan seperti pekebun-pekebun kecil,
penghuni estet, petani nelayan dan pesawah.
Melalui strategi Penyusunan Semula Masyarakat dalam DEB, kerajaan
juga memberi tumpuan untuk menyatupadukan semula masyarakat yang telah
berpecah belah akibat ketidakseimbangan perolehan dan pengagihan kekayaan
negara. Dalam dasar ini kerajaan menetapkan sasaran untuk pemilikan ekuiti
dalam bidang perusahaan dan perniagaaan iaitu 70 peratus ekuiti rakyat
Malaysia termasuk 30 peratus ekuiti bagi kaum Bumiputera pada tahun 1990.
Namun demikian, setelah tahun 1990, tahun yang dijangkakan untuk
mencapai matlamat DEB tiba, DEB masih lagi belum berjaya mencapai matlamat
sepenuhnya seperti pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus dalam
aktiviti ekonomi. Namun begitu, banyak juga kejayaan yang telah dicapai seperti
purata pendapatan isi rumah yang bertambah, kadar kemiskinan telah dapat
dikurangkan dan pengenalan kaum berdasarkan aktiviti ekonomi telah
berkurangan. Menurut Profesor Madya Zulkifly Osman (2009), masih terdapat
sasaran seperti dalam objektif penyusunan semula masyarakat, gagal dicapai
sepenuhnya. Kejayaannya juga sering mundur kembali apabila ekonomi meleset.
9
Implikasinya, sukar sebenarnya untuk mencapai kesemua sasaran objektif DEB,
terutamanya berkait dengan matlamat penyusunan semula masyarakat. Ia turut
membuktikan bahawa selain kerancakan pertumbuhan ekonomi, strategi agihan
harus diterap setiap ketika dan kesedaran dalam kalangan kumpulan sasaran
supaya menghayati matlamat sebenar dasar berkenaan amat perlu jika matlamat
DEB ingin dicapai sepenuhnya. Usaha-usaha baru harus dicari bagi mewujudkan
suasana toleransi antara kaum dalam konteks menjadikan DEB sebagai citra
Ekonomi Bangsa bagi Malaysia.
Dasar Pendidikan Kebangsaan telah diperkenalkan hasil daripada Akta
Pelajaran 1961 yang berdasarkan syor laporan Razak 1956 dan Laporan
Rahman Talib 1960. Ini telah termaktub dalam Ordinan Pendidikan 1957(Fuziah
Shafie dan Ruslan Zainudin, 2000). Pada amnya, dasar ini bertujuan untuk
membantu menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan
keturunan melalui sistem pelajaran yang menitikberatkan penggunaan Bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar yang utama serta berasaskan kokurikulum,
peperiksaan dan kegiatan kokurikulum yang sama. Antara langkah yang telah
diambil ialah Bahasa Inggeris diwajibkan di semua sekolah rendah. Bahasa
Melayu dan Inggeris diwajibkan di semua sekolah menengah. Penggunaan
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di semua sekolah diperkenalkan
secara berperingkat-peringkat.
Bahasa Melayu mula diperkenalkan di sekolah rendah pad athaun 1970
tetapi mulai tahun 1983 semua kursus tahun pertama di peringkat universiti
diajar dalam Bahasa Melayu. Objektif utama sistem pelajaran kebangsaan ialah
untuk memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan
kebudayaan, sosial, ekonomi dan politiknya. Antara matlamat lain dasar ini ialah
menghasilkan masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih,
menggalakkan perkembangan ekonomi, umpamanya menyediakan tenaga kerja
khasnya dalam bidang sains dan teknologi, menggalakkan perkembangan
kebudayaan, sosial dan politik Negara membentuk satu masyarakat majmuk
yang bersatu padu dan saling memahami antara satu sama lain.
10
Langkah-langkah di atas amat penting untuk memupuk perpaduan
terutamanya langkah yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar yang utama. Ini akan memberikan kefahaman dan rasa saling
memahami sambil dapat menghindarkan rasa curiga antara satu sama lain
kerana mereka dapat berinteraksi dengan menggunakan satu bahasa tunggal
iaitu Bahasa Melayu. Melalui aktiviti ko-kurikulum pula akan dapat melahirkan
insan generasi yang dapat menghargai perpaduan dan bermoral tinggi agar tidak
berlaku lagi ulangan kepada peristiwa 13 Mei 1969. Hal ini juga boleh dihayati
menerusi Falsafah Pendidikan Negara.
Kerajaan juga telah menetapkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
Sebagai sebuah negara yang rakyatnya berbilang bangsa, kaum dan agama
Malaysia tidak lari daripada aspek kepelbagaian budaya anatara satu sama lain.
Melalui dasar ini unsur-unsur kebudayaan dapat digunakan untuk membentuk
warganegara yang lebih baik dan membina negara bagi mencerminkan satu
keperibadian Malaysia. Dasar Kebudayaan Kebangsaan telah dirangka
berteraskan tiga prinsip utama yang telah ditetapkan oleh Kongres Kebudayaan
Kebangsaan 1971 iaitu Kebudayaan Kebangsaan Malaysia hendaklah
berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau ini. Unsur-unsur kebudayaan lain
yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur Kebudayaan Kebangsaan.
Islam perlulah menjadi unsur penting dalam pembentukan dalam pembentukan
Kebudayaan Kebangsaan.
Dasar ini juga penting kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan
mempunyai kebudayaan yang berbeza kerana ia dapat saling memberi
kefahaman tentang budaya masing-masing agar perasaan prasangka anatara
satu sama lain dapat dihindari. Antara lain dasar ini juga menolak unsur-unsur
barat yang tidak sesuai daripada meresap masuk dan mempengaruhi
kebudayaan rakyat Malaysia. Matlamat
Dasar Pembangunan Nasional (DPB) diumumkan oleh Datuk Seri Doktor
Mahathir Mohammad pada 17 Jun 1991 di parlimen. DPN dilaksanakan bagi
11
menggantikan DEB dan terkandung dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang
Kedua (RRJP2) bagi tempoh tahun 1991-2000. DPB masih lagi mengekalkan
tujuan asas DEB dan bermatlamatkan untuk mencapai pembangunan seimbang
bagi mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan adil . Matlamat akhir dasar
ini ialah untuk mencapai perpaduan kaum.
Penutup
Kesimpulannya, masalah 13 Mei 1969 jika dilihat dari satu aspek
sememangnya banyak memberikan kesan negatif terhadap negara kita tetapi
jika dilihat pula dari satu sudut yang lebih ekstrim, sebenarnya banyak memberi
pengajaran kepada semua rakyat Malaysia. Melalui peristiwa berdarah itulah kita
kini dapat hidup dan membentuk sebuah negara Malaysia yang aman damai,
harmoni hinggakan menjadi sebutan dunia kerana sebuah negara yang
rakyatnya berbilang kaum dapat hidup bersama dalam keadaan dan suasana
yang aman damai. Justeru, setelah berlaku peristiwa 13 Mei kerajaan telah
mengambil langkah untuk membentuk semula masyarakat Malaysia menerusi
dasar-dasar dan tindakan segera yang telah diambil untuk memastikan bahawa
kemakmuran negara akan terus terpelihara dan terjamin.
Peristiwa 13 Mei merupakan satu titik tolak ke arah kebaikan kepada
negara kita kerana selepas sahaja peristiwa tersebut berlaku semua pihak mulai
sedar dan saling bekerjasama membentuk perpaduan yang lebih jitu seperti
yang dapat kita saksikan kini. Apa yang perlu dilakukan kini oleh rakyat Malaysia
ialah terus mendukung aspirasi nasional tanpa mengira apa pun fahaman politik
dan saling membantu antara satu sama lain ke arah Malaysia yang lebih adil.
Dasar-dasar yang dirangka oleh kerajaan pula haruslah didokong dan diberi
sokongan yang sewajarnya agar dapat mencapai matlamatnya.
Selepas 13 Mei 1969 juga jelas menampakkan satu peningkatan yang
amat membanggakan bagi negara kita dari segi pemupukan perpaduan kaum
dan hasil daripada usaha-usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan melalui
12
dasar-dasar seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pendidikan Kebangsaan,
Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Pembangunan Nasional serta
Wawasan 2020.
Sejauh manakah kepentingan perpaduan dan integrasi dalam konteks
hubungan etnik di Malaysia?
Perpaduan bermaksud sebagai integrasi dan begitu juga sebaliknya
(Dewan Bahasa Dan Pustaka,2002). Dari segi istilah perpaduan merupakan satu
proses mencantumkan pelbagai unit atau bahagian sehingga menjadi satu. Satu
persoalan yang amat penting seandainya perpaduan menjadi satu isu yang amat
besar kepada sesebuah Negara : ‘mengapakah perpaduan itu sangat penting
kepada Negara seperti Malaysia ?’ Jawapannya perlulah merujuk kepada tiga
elemen utama iaitu kepentingan ekonomi, kebudayaan dan keselamatan.
Perpaduan boleh diertikan sebagai satu proses yang menyatupadukan seluruh
masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu
identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan tanahair.
Kemajuan ekonomi banyak bergantung kepada keadaan politik yang
stabil. Kestabilan politik hanya akan wujud dengan adanya perpaduan di
kalangan rakyat. Justeru, ini akan memberi peluang kepada setiap golongan
etnik untuk menceburi bidang ekonomi tanpa sebarang halangan. Di samping itu
juga, persaingan yang sihat dalam urusan ekonomi dapat menghapuskan
penguasaan ekonomi untuk satu-satu kaum sahaja, maka ekonomi negara akan
terjana dengan pelaburan dari pelbagai bidang.
Perpaduan atau integrasi nasional dapat mewujudkan budaya yang
pelbagai dalam Negara (masyarakat majmuk), menghapuskan sikap pentingkan
kaum sendiri serta mewujudkan kefahaman tentang budaya yang berbeza.
Kefahaman terhadap budaya lain oleh kaum yang berbeza amat penting bagi
memupuk sikap toleransi. Oleh yang demikian, perpaduan kaum akan dapat
13
dibina tanpa ada perasaan syak wasangka. Kefahaman dan penerimaan setelah
berlakunya pertembungan budaya atau agama akan mewujudkan satu
masyrakat yang saling menghormati antara satu sama lain.
Usaha membentuk perpaduan kaum merupakan satu perkara yang amat
penting untuk membentuk satu negara yang utuh (Fuziah Shafie dan Ruslan
Zainudin, 2000). Menyedari hakikat tersebut, kerajaan telah berusaha
membentuk perpaduan kaum di negara Malaysia agar Malaysia mampu maju
seiring dengan negara lain di dunia. Perpaduan boleh dicapai melalui dua cara
utama iaitu “Integrasi” iaitu satu merupakan proses bagi mewujudkan identiti
nasional di kalangan kumpulan-kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan,
sosial dan lokasi dalam sesuatu unit politik. Yang kedua ialah “Asimilasi” : satu
proses bagaimana kumpulan-kumpulan minoriti diasimilasikan melalui
perkahwinan campur dan sebagainya ke dalam kumpulan etnik yang lebih besar.
Namun, jika diteliti, kerajaan lebih banyak mengusahakan pembentukan
perpaduan kaum melalui proses integrasi kerana melalui proses integrasi setiap
etnik akan dapat berkongsi satu identiti nasional dan apabila ini berlaku maka
secara logiknya akan wujudlah proses asimilasi (Fuziah Shafie & Ruslan
Zainudin, 2000). Namun begitu apa yang ingin difokuskan di sini ialah usaha
kerajaan membentuk perpaduan selepas peristiwa 13 Mei 1969.
Kesimpulannya, integrasi nasional akan dapat dibentuk dengan adanya
kemajuan ekonomi, kebudayaan sejagat dan keutamaan kepada keselamatan
Negara. Hal ini hanya akan tercapai melalui perpaduan kaum dengan acuan
Malaysia sendiri tanpa menyingkirkan adat dan budaya setiap etnik. Semua
pemimpin khasnya di Malaysia harus segera menilai dan meneliti setiap unsur
positif atau negatif yang mampu menggalakkan perpaduan serta yang
menghalang kepada proses perpaduan kaum di Malaysia.
14
Galurkan proses pembentukan masyarakat pluralistik di alam Melayu.
Mengikut Kamus Dewan (2002), konsep ‘masyarakat’ membawa maksud
kumpulan manusia yang menetap bersama-sama di sesuatu tempat dengan
mengikut aturan dan cara tertentu. Masyarakat ini pula terdiri daripada beberapa
kaum atau bangsa. ‘Pluralistik (Majmuk)’ terbentuk daripada beberapa bahagian
yang merupakan kesatuan atau dalam konteks masyarakat terdiri daripada
beberapa kumpulan etnik (Kamus Dewan, 2002). Oleh itu, masyarakat pluralistik
membawa maksud ‘satu kumpulan manusia yang terdiri daripada pelbagai
rumpun bangsa telah membentuk satu kesatuan khususnya dalam aspek politik,
sosial dan ekonomi di sesuatu tempat bagi membentuk satu kumpulan yang
bersatu padu’.
Alam Melayu pada suatu masa merupakan satu wilayah yang menjadi
tempat pertemuan pelbagai tamadun dan budaya utama dunia. Ciri-ciri
masyarakat Alam Melayu dalam kepluralitian semulajadi, tanpa paksaan oleh
mana-mana pihak. Ciri pluralisme Alam Melayu sebelum kedatangan orang
Eropah boleh dikatakan bersifat fleksibel, kemudiannya terhapus dengan
kedatangan kuasa kolonial dan imperial Eropah. Umpamanya, Perjanjian
Bangkok 1909 telah menetapkan sempadan di antara Siam dengan Tanah
Melayu. Perjanjian ini menjamin Inggeris agar dapat menjalankan dasar
monopoli perdagangannya di Semenanjung Tanah Melayu
(http://www.geocities.ws/cominglucky/pb1909.htm/28 Jun 2012 ). Sebelum
kedatangan kolonialisasi, masyarakat nusantara sudah mempunyai
ketamadunan baik di dalam aspek politik, budaya mahupun bermasyarakat.
Kesan besar daripada penguasaan colonial ini ialah wujudnya
nasionalisme methodological iaitu satu cara membina dan menggunakan ilmu
berasaskan kewilayahan sesebuah negara. Metod ini mengetepikan konsep
yang menganjurkan bahawa kehidupan sosial merupakan satu fenomena sejagat
dan tanpa sempadan. Pembentukan pola pluralisme di Tanah Melayu berbeza
dengan zaman sebelum kedatangan Eropah. Penghijrahan warga Cina dan India
15
kerana adanya galakan daripada British bertujuan memajukan kepentingan
ekonomi British sendiri. Orang Cina digalakkan membuka lombong bijih timah.
Mereka menjalankan kehidupan dalam kelompok masing-masing, namun wujud
juga akomodasi sosial.
Terdapat beberapa faktor tarikan penghijrahan etnik Cina dan India ke
Tanah melayu iaitu kekayaan ekonomi Tanah Melayu yang terkenal dengan
jolokan Kepulauan Rempah. Perkembangan perusahaan getah dan bijih timah di
Tanah Melayu telah menyediakan peluang pekerjaan yang berganda kepada
kumpulan migran ini. Tambahan pula, ledakan industri berat di Eropah seperti
perusahaan kereta dan meningkatnya permintaan keperluan domestik
menggalakkan ekonomi di Tanah Melayu.
Penerimaan orang-orang Melayu dalam sektor buruh tidak begitu
menggalakkan. Oleh hal yang demikian, Kerajaan British membuat persetujuan
dengan kerajaan India dengan membenarkan kemasukan buruh secara
terancang bagi mengatasi kekurangan tenaga buruh. Faktor lain yang berkaitan
kemasukan etnik Cina dan India ini ialah berkembangnya sistem ekonomi
eksport yang berteraskan perladangan dan industri. Perkembangan perusahaan
getah dan bijih timah yang pesat di Tanah Melayu memerlukan penggunaan
tenaga buruh yang ramai. Aktiviti agen buruh (kongsi gelap) yang membekalkan
tenaga buruh menggalakkan lagi kemasukan migran asing. Terdapat juga
majikan atau pengusaha yang menguruskan pengambilan imigran misalnya
melalui Sistem Kangani dan Sistem Kredit Tiket dan juga Sin Kheh (Mohd Isa
Othman, 2002).
Faktor dalaman di Negara asal sesuatu etnik juga menggalakkan
penghijrahan ke Tanah Melayu lalu mewarnai masyarakat di situ. Misalnya,
keadaan bencana di China, India dan di Tanah Jawa. Kebuluran yang berlaku
telah memaksa etnik-etnik ini berhijrah ke Tanah Melayu. Keadaan politik yang
tidak stabil, tiadanya ransangan ekonomi dan lebihan penduduk menyebabkan
kekurangan makanan, menjjadi faktor tolakan etnik ini berhijrah ke Alam Melayu.
16
Keadaan ini menyebabkan masyarakat Melayu menerima konsep pluralisme
dalam budaya mereka.
Pedagang-pedagang India telah datang ke Gugusan Tanah Melayu sejak
abad pertama Masihi (Sivamaniam, 1986). Masyarakat Alam Melayu telah
menerima unsur-unsur agama Hindu dan Buddha yang tidak bercanggah dengan
kepercayaan tempatan. George Coedes (1948) (dalam Sivamaniam, 1986,Indian
in Malaysia) menggunakan istilah Indianisation atau ‘penghindiaan’ bagi
melambangkan proses perluasan pengaruh agama dan kebudayaan India di
Asia Tenggara maka, wujudnya pengaruh Hinduisme dan Buddhisme dari segi
seni budaya dan adat dalam kalangan orang melayu. Watak-watak wayang kulit
yang memakai nama Hindu seperti Ramayana dan Hanuman sangat terkenal
dalam kalangan orang Melayu. Adat Istiadat pekahwinan orang Melayu juga
dipengaruhi oleh kebudayaan India, misalnya, peralatan-paralatan seperti bunga
manggar dan bunga telur serta acara bersanding.
Agama Hindu Buddha diterima baik dan memberi impak besar kepada
pemerintah Alam Melayu sebelum kedatangan Islam. Terdapat pelbagai
kerajaan purba yang dibentuk di kawasan nusantara dan antara yang terkenal
ialah kerajaan besar Srivijaya yang berpusat di Palembang. Kerajaan ini
membentuk petempatan dan membina kerajaan di nusantara di mana
terdapatnya usaha ke arah pembentukan tamadun manusia melalui kebudayaan,
pembinaan kerajaan dan hubungan ekonomi. Kerajaan ini adalah sebuah
kerajaan yang didasari oleh prinsip keagamaan hindu dimana ketika era tersebut
pengaruh hindu adalah begitu kuat di nusantara pembentukan kerajaan ketika
era ini adalah berpaksikan kepada dua agama utama iaitu Hindu dan Buddha
yang mana menjadi agama rasmi negara era tersebut.
Selepas kedatangan Islam pada kurun ke-13 masihi, segala adat yang
bertentangan dengan Islam diharamkan kecuali adat istiadat yang tidak
bercanggah dengan akidah. Ketika era penyebaran Islam di nusantara, terdapat
pelbagai perubahan dalam aspek masyarakat khususnya aspek sosiopolitik di
17
mana pelbagai konsep pemerintahan yang berpaksikan Hindu dan Buddha
diubah kepada prinsip-prinsip Islam. Namun demikian, tidak semua penduduk
berubah kepada agama Islam pada awal kemunculannya pada kurun ke 13,
tetapi hanya berlaku kepada golongan pemerintah dan aristokrat. Selepas
pengislaman para aristokrat, terdapat usaha-usaha ke arah pengislaman seluruh
penduduk nusantara melalui pemerintah dan usaha-usaha dakwah yang
dilakukan oleh pendakwah yang kebanyakannya berasal daripada Tanah Arab
dan India.
Penyebaran Islam amat berkait rapat dengan faktor strategiknya
kedudukan Nusantara dan faktor ekonomi. Kedudukan strategik Melaka
umpamanya sebagai penguasa kepada selat Melaka telah menjadi kayu ukur di
dalam penyebaran agama Islam. Begitu juga kedudukan negeri-negeri
Nusantara yang umumnya kaya dengan bahan-bahan mentah seperti rempah,
pertanian dan sebagainya menjadi penyumbang utama kepada kemasyuran
Islam di nusantara dan menjadi faktor kedatangan pihak kolonial ke nusantara
khususnya Portugis pada tahun 1511 ke Melaka dan Belanda di Pulau Jawa.
Umum mengetahui bahawa kehadiran pihak kolonial ke nusantara adalah
akibat revolusi industri yang tercetus di Eropah di mana setiap negara
perindustrian memerlukan bahan mentah sebagai ramuan utama pembuatan
industri seperti pembuatan tayar dan pemprosesan makanan mentah. Selain itu,
faktor agama dan sosial juga memainkan peranan yang besar dalam
menyumbang kepada kolonialisasi.
Hubungan perdagangan secara langsung antara Gugusan Kepulauan
Melayu dengan China telah diasaskan pada awal abad ke 5 Masihi. Hubungan
tersebut terjadi atas faktor perdagangan dan pendidikan. Alam Melayu terkenal
sebagai pusat pengajian dan penyebaran ilmu pengetahuan sejak abad ke-7
Masihi. Menurut T-Shing, seorang Sami Buddha dari China yang telah singgah di
Palembang, Sumatera pada tahun 671 Masihi dalam pelayarannya ke India,
18
terdapat lebih 1000 sami Buddha di Srivijaya (Fuziah Shafie dan Ruslan
Zainudin, 2000).
Penghijrahan warga Indonesia ke Tanah Melayu telah bermula pada abad
ke-14 Masihi lagi seiiring dengan kemasukan dari India, Arab, China dan lain-lain
kaum pendatang yang lain. Tujuan utama yang mendorong mereka memasuki
Tanah Melayu khususnya Melaka pada abad ke 15 ialah kerana ingin meluaskan
perniagaan mereka ke pasaran antarabangsa. Mereka yang datang daripada
pelbagai daerah di Indonesia membawa barangan yang berbeza-beza untuk
diperniagakan. Sebagai contoh,masyarakat dari Sumatera membawa barangan
seperti emas dan rempah,dari Pulau Jawa membawa bahan makanan,dari
Maluku membawa bunga cengkih dan dari Pulau Banda membawa buah pala
( http://zanas.wordpress.com/tirai-kemerdekaan-negara/masyarakat-imigran-di-
malaysia/27 Jun 2012)
Menurut Mohd Jasmin B. Jasni (2006), Kesultanan Melayu Melaka
merupakan zaman keemasan keagungan kerajaan Melayu. Melaka diperintah
oleh para sultan dan pembesar yang berpandangan jauh. Empayar Melaka
merupakan tempat pertemuan para pedagang dari seluruh pelosok dunia, digelar
The Venice Of The East (Shamsul Amri Baharuddin, 2007). Pemerintahan
dijalankan dengan sikap penuh diplomasi dan terbuka. Para pegawai Istana
bukan sahaja daripada kalangan orang Melayu tempatan. Terdapat orang India
menjawat jawatan di dalam istana Sultan Melaka. Perkahwinan campur telah
berlaku antara pemerintah Melaka dengan anak perempuan pemerintah negara
China. Zaman Empayar Kesultanan Melayu Melaka merupakan zaman pluraliti
kerana proses penghijrahan berlaku secara semula jadi tanpa paksaan. Keadaan
ini membolehkan para pedagang dari Arab, India dan China berdagang secara
sukarela. Mereka telah berakomodasi dengan penduduk tempatan dan
sistemnya dengan baik. Zaman ini terdapat interaksi aktif di kalangan pelbagai
bangsa dan kaum.
19
Kesimpulannya, Masyarakat plural Malaysia yang wujud kini merupakan
hasil interaksi beberapa faktor sejarah (Katiman Rostam,1984). Pluraliti budaya
terdapat di Alam Melayu sejak sekurang-kurangya abad ke-19 Masihi dan ke-20
Masihi telah mengakibatkan penghijrahan masuk orang Cina dan India secara
besar-besaran ke Tanah Melayu. Meskipun pelbagai kumpulan etnik hidup pada
umumnya secara berasingan dan mengekalkan kebudayaan masing-masing,
terdapat semangat persefahaman dan keharmonian kaum yang erat.
Persefahaman dan kerjasama inilah yang membolehkan negara kita mencapai
kemerdekaan pada tahun 1957 dan seterusnya mempergiat usaha bagi
mengeratkan perpaduan nasional dan keharmonian kaum.
20
BIBLIOGRAFI
Buku :
Fuziah Shafie & Ruslan Zainudin.(2000).Sejarah Malaysia.Kuala Lumpur:PenerbitanFajar Bakti Sdn. Bhd.
Kamus Dewan Bahasa. (2002). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Katiman Rostam.(1984).Penduduk Malaysia.K.Lumpur:Nurin Enterprise.
Kua Kia Soong.(2008). 13 Mei Dokumen-dokumen Deklasifikasi Tentang Rusuhan 1969 Malaysia. Petaling Jaya, Selangor: Suaram Komunikasi.
Mohd Jasmin B. Jasni.(2006).Kupasan Grafikal Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).Kuala Lumpur:Eastview.
Mohd Isa Othman.(2002). Sejarah Malaysia(1800-1963).Kuala Lumpur:UtusanPublications.
Rozlan Mohamed Noor.(pnyt).(2007). 13 Mei : Sebelum dan Selepas.Kuala Lumpur:Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Shamsul Amri Baharuddin.(2007). Modul Hubungan Etnik. Shah Alam:Penerbitan UiTM.
Sivamaniam.J.(1986).Indian in Malaysia.K.Lumpur:Persis Sdn. Bhd.
Zulkifly Osman.(2009). Dasar Ekonomi Baru Dalam Rangka Pembentukan Ekonomi Bangsa.Abstrak Penerbitan Kertas Diskusi Fakulti Ekonomi Dan Perniagaan (Discussion Paper of the Faculty of Economics and Business) Universiti Kebangsaan Malaysia.
Internet :
http://syedmahadzirsyedibrahim.blogspot.com/2010/12/sejarah-penggubalan perlembagaan.html
http://www.geocities.ws/cominglucky/pb1909.htm/
http://zanas.wordpress.com/tirai-kemerdekaan-negara/masyarakat-imigran-di-malaysia/
21
22