soalan 2 anjakan paradigma guru
TRANSCRIPT
1
RINGKASAN EKSEKUTIF
Bahagian pertama menyelusur bagaimana proses penyejagatan telah mengakibatkan
sistem pendidikan negara melakukan reformasi dan transformasi. Guru sebagai agen
perubahan, ditugaskan untuk memikul tanggungjawab bagi merealisasikan hasrat dan
cita-cita tersebut. Perubahan itu menuntut guru-guru supaya mempunyai kesedaran
untuk mengubah paradigma sedia ada mereka. Tanpa kesediaan tersebut, misi
tersebut akan menemui kegagalan. Sebaliknya.jika guru sanggup berubah, misi akan
disempurnakan, seterusnya mertabat mereka meningkat. Bahagian kedua, didefinisikan
konsep-konsep penting yang berkaitan dengan tajuk. Antaranya ialah konsep mertabat
guru, perubahan paradigma, belajar sepanjang hayat, penguasaan disiplin ilmu yang
tinggi dan berfikiran kreatif, kritis serta inovatif. Intipati perubahan paradigma tersebut
adalah kesanggupan belajar, menjadi pakar rujuk, dan seorang ahli fikir. Bahagian
ketiga, saya huraikan cara bagaimana merealisasikan perubahan paradigma tersebut.
Tujuh cara tersebut adalah memperhitungkan perkembangan terkini, menghasilkan
penulisan ilmiah, menyertai kursus, melaksanakan kajian tindakan, mengguna pakai
hasil penyelidikan terkini, mereflek kendiri pencapaian, menghuraikan konsep
akauntabiliti dalam perkhidmatan dan kekangan dan halangan. Bahagian akhir ini
penulis menyimpulkan bahawa perubahan paradigma tiga dimensi tersebut boleh
dijelmakan melalui tujuh cara yang telah diketengahkan, yang telah dipraktikkan oleh
penulis sendiri. Seterusnya perubahan paradigma tersebut akan mengangkat mertabat
guru ke tahap yang tertinggi serta menerima pengiktirafan masyarakat.
2
Soalan 2 “Untuk mengangkat martabat guru, kesedaran pada diri guru itu amat penting khususnya dalam membuat perubahan paradigma, yang perlu membudayakan pendidikan sepanjang hayat, penguasaan disiplin ilmu yang tinggi, berfikiran kreatif, kritis serta inovatif”
Modal Insan Minda Kelas Pertama, Kementerian Pelajaran Malaysia
2008 Halaman: 3
Bagaimanakah anda sebagai pendidik merealisasikan pernyataan di atas?
1.0 Pengenalan
Bertitik tolak dari proses penyejagatan (globalisation), sistem pendidikan negara
kita harus melakukan transformasi dan reformasi supaya seiring dengan proses
kemajuan. Antaranya kerajaan telah melancarkan Multimedia Super Corridor (MSC),
sekolah bestari, Pengajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dan
sebagainya.
Perkembangan tersebut menuntut sistem pendidikan asas supaya berubah.
Guru-guru sebagai jentera pelaksana, ditugaskan untuk memikul tanggungjawab bagi
merealisasikan hasrat dan cita-cita tersebut. Dengan itu, timbul persoalan sama ada
kaum guru sebagai ‘orang lama’ yang berkhidmat berpuluh tahun, serta berada di zon
selesa, sediakah menghadapi cabaran alaf baru ini.
Berlatarkan senario tersebut, maka tema anjakan paradigma dalam profesion
perguruan ini mula menarik perhatian orang ramai. Sejak itu kita sering mendengar
pelbagai slogan supaya berubah melalui ucapan pemimpin dan artikel di akhbar,
3
merujuk kepada persoalan yang serupa, sama ada guru-guru mampu berubah
menangani cabaran globalisasi pendidikan.
2.0 Konsep dan Intepretasi Frasa
Sebagai mukadimah marilah kita mendefinisikan frasa dan istilah yang terdapat
dalam pernyataan tajuk yang akan digunakan sepanjang penulisan ini.
2.1 Meningkatkan Martabat Guru
Mengikut Kamus Dewan, martabat bererti kedudukan pada mata masyarakat,
darjat, pangkat, tingkat. Sebagai rumusan frasa ini bermakna meninggikan kedudukan
darjat seseorang guru.
2.2 Membuat Perubahan Paradigma
Menurut Kamus Dewan paradigma bererti lingkungan atau batasan pemikiran
seseorang pada sesuatu masa yang dipengaruhi oleh pengalaman yang ada. Sebagai
kesimpulan frasa tersebut bermakna guru meninggalkan batasan pemikiran yang
sempit kepada yang lebih luas.
2.3 Membudayakan Pendidikan Sepanjang Hayat
Menurut ensiklopedia Wikimedia, http://en.wikipedia.org/wiki/Lifelong_learning),
pendidikan sepanjang hayat adalah proses menuntut ilmu secara seumur dan seluas
hidup, sukarela, sebagai kemahuan diri sendiri bagi tujuan profesional dan peribadi.
Kata kerja ‘membudayakan’ bermaksud menjadikan satu amalan. Sebagai rumusan,
frasa itu bermaksud guru mengamalkan menuntut ilmu sepanjang hayat.
2.4 Penguasaan Disiplin Ilmu Yang Tinggi
Mengikut Kamus Dewan, disiplin ilmu bermaksud satu lapangan ilmu
pengetahuan. Frasa penguasaan yang tinggi bermaksud mempunyai tahap kebolehan
4
yang dianggap serba tahu dan pakar. Sebagai kesimpulan dalam konteks perguruan,
frasa tersebut bererti guru harus pakar atau serba tahu dalam bidang ilmu pendidikan.
2.5 Berfikiran Kreatif, Kritis dan Inovatif
Mengikut Kamus Dewan, kreatif bermaksud mempunyai kebolehan mencipta
atau mengembangkan sesuatu idea asli, kritis bermaksud tidak dengan begitu sahaja
menerima atau mempersetujui sesuatu, dan inovatif bermaksud bersifat memulakan
sesuatu yang baru. Sebagai rumusan frasa itu bermaksud guru berkenaan
berkebolehan mencipta, menimbangkan buruk baiknya terlebih dahulu sebelum
mempersetujui sesuatu dan suka memulakan cara yang baru.
2.6 Rumusan Konsep
Sebagai kesimpulan kehendak soalan memberikan saya satu kerangka jawapan
bagaimana seorang guru meningkatkan pandangan masyarakat terhadap profesion
keguruan dengan memanifestasikan perubahan pemikiran. Intipati perubahan
pemikiran yang perlu dilaksanakan adalah menjadi seorang pelajar sepanjang hayat,
serba tahu dalam bidang ilmu, serta sarat dengan idea-idea bernas. Bagi menjawab
pertanyaan tersebut saya mengemukan tujuh cara bagaimana saya mengubah
paradigma saya.
3.0 Merealisasikan Perubahan Paradigma (di SMK Gunung Semanggol)
3.1 Memperhitungkan Perkembangan Terkini dalam Profesion Keguruan
Seperti yang telah dibayangkan dalam bahagian pengenalan di atas, guru harus
berubah supaya terus relevan serta berupaya menangani pelbagai cabaran mendatang.
Untuk memulakan perubahan guru harus memahami fenomena yang sedang dilalui
5
oleh profesionnya. Dengan kata lain guru harus memperhitungkan perkembangan
terkini dalam profesion perguruan.
Perkembangan terkini yang dimaksudkan meliputi pelbagai dimensi, bermula dari
dasar KPM dan pekeliling yang terbaru, perkembangan pantas bidang ICT, hingga ke
isu-isu yang hangat dibincangkan dalam masyarakat seperti gejala lumba haram, buang
bayi dan sebagainya, maka guru harus mengambil tahu. Dengan memperhitungkan
perkembangan ini guru akan lebih bersedia menghadapi cabaran atau menyesuaikan
diri apabila tiba masanya. Sebagai contoh apabila diminta oleh ibubapa menerangkan
sesuatu perkara yang masih kabur seperti pengumuman meningkatkan jumlah jam dan
wajib lulus pengajaran Bahasa Inggeris (BI), guru dapat memberikan penerangan yang
memuaskan.
3.1.1 Kepentingan Perkembangan Terkini
Guru dianggap agen perubahan masyarakat. Jadi guru harus mengikuti
perkembangan terkini untuk disampaikan kepada murid. Jika maklumat guru tertinggal,
dikuatiri dalam era ledakan maklumat ini, murid akan lebih menjangkau ke depan. Jadi
personaliti ‘jumud’ selain merugikan diri sendiri, turut akan menjejaskan keberkesanan
pengajaran guru tersebut serta menjatuhkan imej profesion. Sebagai contoh guru
kelihatan terpinga-pinga apabila murid menanyakan hal facebook, blog dan twitter.
Sebaliknya guru yang sentiasa mengemaskini maklumatnya akan lebih diterima murid.
Guru yang sentiasa belajar lebih berupaya memimpin wacana ilmiah dan berasa diri
lebih yakin sebagai penyampai ilmu.
3.1.2 Maklumat Terkini Satu Tanggungjawab Sekolah
6
Maklumat terbaru profesion keguruan terdapat di akhbar harian, televisyen,
laman eduwebtv, dan surat siaran. Sebagai contoh di SMK Gunung Semanggol,
pekerja am akan mempamer surat siaran tersebut di papan kenyataan. Selanjutnya
sebagai pengerusi kelab guru saya memanjangkan ke bilik guru. Kadang-kala
maklumat terkini itu berupa pengumuman pertandingan yang akan berlangsung seperti
Peraduan Mengarang sempena sambutan Hari Guru dan sebagainya.
3.1.3 Bagaimana Mencari Maklumat (E-Pembelajaran)
Perkembangan terkini dapat menambahkan pengetahuan pedagogi mengajar
mata pelajaran Perdagangan. Rakan sejawat sering kali membangkitkan isu murid yang
mengambil Perdagangan, rata-ratanya berprestasi rendah dan kurang motivasi.
Sebagai guru sumber negeri sayalah tempat mereka mengadu hal mendapatkan
bimbingan berkaitan strategi dan teknik pengajaran yang sesuai bagi kumpulan
tersebut. Untuk cuba mengatasinya saya mencari bahan berkaitan kecelaruan tingkah
laku belajar di internet. Saya menemukan bahan tersebut di laman blog
http://edublogs.org/, laman forum keguruan seperti http://forum.engkabang.net/, berbual
melalui facebook dan sebagainya. Melalui maklumat yang dikumpul, saya
mengenalpasti strategi dan kaedah baru yang bersesuaian dengan kumpulan sasar.
3.1.4 Tindakan Susulan Maklumat Baru
Menghadapi masalah pengurusan murid kelas saya, Tingkatan 4D membawa
saya menemukan laman web Walsh’s Classroom Sosiometric, laman teknik sosiogram
dalam pengurusan bilik darjah. Teknik tersebut saya fahami sunguh-sungguh lalu
praktikkan. Saya mengubahsuai soalan-soalan dalam perisian tersebut supaya sesuai
dengan situasi yang saya hadapi. Akhirnya saya dapat menghasilkan satu peta tempat
7
duduk yang strategik (rujuk Lampiran A) daripada carta sosiogram (rujuk Lampiran B).
Sejak itu iklim kelas saya lebih tenteram dan kondusif. Selepas itu saya mengongsikan
ilmu tersebut dengan rakan-rakan sejawat melalui latihan dalam perkhidmatan (LDP).
Saya percaya usaha itu telah membantu Unit HEM menangani masalah pengurusan
bilik darjah.
3.1.5 Teladan Isu PPSMI
Memikirkan secara kritis perkembangan terkini dasar PPSMI yang akan
diberhentikan pada 2012 ini, dukacita akhirnya harapan masyarakat gagal ditunaikan.
Post-mortem menunjukkan punca kegagalan itu adalah kerana guru gagal berbahasa
Inggeris mengajar Sains dan Matematik. Mengambilkira jutaan ringgit belanja elaun
Bayaran Insentif Subjek Pendidkan (BISP) dan kos prasarana yang lain, sewajarnya
kita tanyakan soalan, benarkah guru sukar mengubah paradigma. Apabila saya
mereflek isu PPSMI, saya berpendapat pada masa depan ‘jangan pisang berbuah dua
kali’, saya harus bersikap terbuka secara proaktif dan bersedia menghadapi perubahan.
Sebagai rumusan sikap sentiasa bermaklumat yang terkini, mengetahui cara
mencari sumber maklumat, merenung dan mengambil teladan, serta membuat tindakan
susulan daripada perkembangan profesion keguruan bererti saya sudah menyahut
cabaran menjadi modal insan minda kelas pertama.
3.2 Menghasilkan Penulisan Ilmiah untuk Berkongsi Pengetahuan
Ensiklopedia Wikimedia, mendefinisikan penulisan ilmiah sebagai penulisan atau
penerbitan yang mempunyai gaya yang serius, ditujukan kepada khalayak yang
berpengetahuan luas, dan berpaksikan dapatan penyelidikan.
3.2.1 Kepentingan Penulisan Ilmiah
8
Guru sebagai pekerja profesional lebih mengetahui daripada sesiapapun
mengenai apa yang betul dalam pekerjaannya. Oleh itu guru mempunyai autonomi
bertugas yang tidak boleh dipertikai oleh pihak luar. Sungguhpun begitu segala tindak-
tanduk guru semasa bertugas haruslah bersesuaian, khususnya apabila ditinjau dari
sudut ilmu keguruan dan perkembangannya. Dalam melaksanakan pekerjaan seharian
guru menemui seribu satu macam masalah, justeru guru memerlukan sumber rujukan
yang relevan, semasa dan tepat yang ditulis oleh orang yang berkecimpung di bidang
yang sama. Pepatah menyebutkan hanya jauhari mengenal manikam. Malangnya
penulisan ilmiah sumbangan guru-guru sendiri sangat berkurang untuk dijadikan
rujukan. Bertitik-tolak dari keadaan lompang ini maka penulisan ilmiah sangat-sangat
dituntut. Jangan sampai terjadi, akibat ketandusan penulisan ilmiah rakan sejawat yang
kanan, guru muda mungkin terpesong memberikan khidmat secara yang salah kepada
murid. Jadi penulisan ini haruslah dianggap simbol muafakat yang wujud dalam
profesion keguruan.
3.2.2 Pengalaman Menulis
Sejak 9 tahun lalu saya dengan mengetuai kumpulan guru sumber di negeri
Perak menghasilkan karya-karya ilmiah bagi mata pelajaran Perdagangan SPM. Saya
bersama rakan-rakan telah menghasilkan buku Nota Ringkas Perdagangan Tingkatan 4
dan 5. Kami juga menghasilkan SMarT berupa buku panduan membina item dan skema
pemarkahan. Selepas membacanya guru-guru lain memahami soalan harus
mempertimbangkan JSU, aras kesukaran, taksonomi serta kriteria-kriteria tertentu yang
lain. Kedua-dua karya ini telah dicetak dan diedarkan ke sekolah-sekolah menengah
seluruh negeri Perak.
9
Selanjutnya saya telah menghasilkan satu CD all-in-one yang dinamakan CD
Latihan Interaktif Perdagangan SPM atau CLIPS. Program dibina menggunakan Hot
Potatoes version 6.0. Perisian program ini mengandungi koleksi soalan aneka pilihan,
RPT, SP dan HSP dipersembahkan secara interaktif. Antara ciri interaktif program ini
adalah soalan dan pilihan jawapan A, B, C, D berubah secara rawak pada setiap kali
dilawati oleh murid. Ulasan guru kenapa sesuatu jawapan itu salah, dimasukkan.
Melalui konsep akses kendiri itu, pelajar boleh belajar tanpa guru di rumah. Kini
program tersebut boleh diakses melalui laman PPD Larut, Matang dan Selama
(http://www.sekuga.edu.my/pd/news.php).
Sebagai kesimpulan, selepas mengenal genre penulisan yang patut ada di
sekolah, saya menumpukan perhatian kepada menulis buku dan bahan multimedia
interaktif untuk faedah murid dan rakan sejawat. Pengalaman yang saya lalui, ini
membuatkan paradigma saya beranjak ke arah memartabatkan guru.
3.3 Menyertai Kursus profesional, Seminar dan Bengkel
KPM dari masa ke masa telah menganjurkan pelbagai jenis kursus pendidikan.
Antara contohnya adalah kursus induksi, Seminar Kajian Tindakan, bengkel
Pengembangan Profesionalisme Guru-guru Panitia Sains dan sebagainya.
Pekeliling Perkhidmatan Bil 6 Thn 2005 yang merupakan Dasar Latihan Sumber
Manusia Sektor Awam telah menetapkan anggota di semua peringkat mesti mengikuti
kursus sekurang-kurangnya tujuh hari setahun. Surat siaran Bahagian Pendidikan
Guru, KP (BPG) 9131/109 Jld 26(24) bertarikh 25/01/2010 menetapkan tempoh 7 hari
LDP diteruskan pelaksanaannya pada tahun 2010 tetapi formatnya ditambah dengan
blended approach seperti tinjauan buku, mentor-menti dan kejurulatihan rakan sejawat.
10
3.3.1 Kepentingan LDP
Latihan adalah keperluan bagi seorang guru kerana guru adalah agen
perubahan dan penyampai ilmu. Era ledakan maklumat telah menjadikan pengetahuan
berkembang berlipat kali ganda. Kalau seorang guru tidak mengikuti latihan, beliau
akan tertinggal dari mengetahui maklumat baru. Dengan itu dikhuatiri guru tidak akan
dapat berfungsi sebagai penyampai ilmu yang baik kepada murid. Guru tidak lagi boleh
bergantung kepada maklumat yang pernah diterima semasa menjalani latihan ikhtisas
dahulu. Sebagai contoh baru sahaja buku teks Perdagangan digunakan pada tahun
pertama, nama BSKL bertukar kepada Bursa Malaysia (BM).
LDP adalah wasilah bagi kolaboratif profesional yang penting selain daripada
lembaga disiplin, mesyuarat panitia dan sebagainya. LDP akan menggalakkan sikap
muafakat, kerjasama dan kekitaan kesejawatan. Di peringkat individu penyertaan dalam
kursus mendedahkan saya kepada ilmu pengetahuan baru, sebab itu saya hadir pada
setiap kali diadakan. Melalui input yang disampaikan oleh penceramah saya
menambah pengetahuan mata pelajaran, kaedah dan teknik pengajaran, kemahiran
merancang aktiviti persatuan, idea baru menangani masalah disiplin murid dan
sebagainya. Dengan adanya LDP maka saya belajar, bertukar-tukar fikiran,
bermuhasabah diri, mencetuskan semangat inquiring dan sebagainya.
3.3.2 Peranan Jawatankuasa LDP
Sejak awal tahun 2010 hingga kini SMK Gunung Semanggol telah mengadakan
LDP sebanyak tiga kali dengan tajuk Pengurusan Bilik Darjah, Pencegahan Kebakaran,
dan pendekatan Pembelajaran Kontekstual. Sebagai penyelaras LDP saya bertugas
membantu pengetua sekolah saya menentukan tajuk yang memenuhi keperluan rakan-
11
rakan sejawat. Saya akan mencatat isi ceramah dan menyimpan bahan kursus dalam
fail. Berasaskan bahan itu saya menulis laporan kursus bagi diserahkan kepada
Pengetua dan seterusnya ke PPD.
Sebagai rumusan, melalui arahan wajib hadir kursus yang dikeluarkan di
samping manfaat pemerolehan ilmu baru dari pelaksanaan LDP, dan diperkukuhkan
oleh kecekapan peranan jawatankuasa LDP, semuanya menganjakkan budaya belajar
sepanjang hayat.
3.4. Melaksanakan Kajian Tindakan (KT) untuk Memperbaiki Amalan Seharian
Mengikut Bogdan dan Biklen (1982), penyelidikan tindakan merupakan sesuatu
inkuiri yang mengumpul maklumat secara sistematik berbentuk refleksi kendiri yang
dijalankan oleh sekumpulan penyelidik atau individu. Mengikut Surat Pekeliling J. Pend.
Pk (AM) 4941/Jld. 10 yang dikeluarkan pada setiap tahun JPN Perak mengarahkan
sekolah menengah menjalankan empat kajian mengikut bidang akademik, manakala
setiap sekolah rendah menjalankan satu kajian.
Sebelum kajian dilaksanakan, bakal penyelidik akan dilatih oleh JPN Perak
melalui Kursus Bersiri Kajian Tindakan, selepas dijalankan jika kajian mereka mencapai
standard yang ditetapkan, mereka akan membentangkan di Seminar Kajian Tindakan
Peringkat Daerah dan seterusnya di Konvensyen Kajian Tindakan Peringkat Negeri
Perak.
3.4.1 Kepentingan Kajian Tindakan
Guru tidak harus bangga diri, meyakini cara pengajaran dan pembelajaran yang
dijalankannya sebagai serba sempurna. Jika begitu sikapnya, amalan pengajaran dan
pembelajaran akan tersekat ditakuk yang lama. Sebaliknya guru harus berusaha
12
menambahbaikkan pendekatan dan kaedah pengajarannya. Jika tidak menjalankan
kajian, guru yang berdepan masalah pengajaran dan pembelajaran menyelesaikan
masalah tersebut melalui penyelesaian yang bersifat guessing semata-mata.
Sebaliknya dengan menjalankan KT guru akan meningkatkan kualiti pengajaran dan
pembelajaran melalui cara yang sistematik dan saintifik.
3.4.2 Pengalaman Menyelidik
Saya telah dua kali menjalankan kajian tindakan di SMK Gunung Semanggol.
Pertama, pada tahun 2003 bertajuk ‘Penguasaan Isi Mata Pelajaran Perdagangan
melalui Latihan Interaktif’ dan kedua pada tahun 2009 dengan tajuk ‘Meningkatkan
Tahap Kesediaan Belajar melalui Teknik Sosiometrik’.
Saya mulakan kajian dengan mengenalpasti dan menganalisis masalah yang
terdapat dalam aktiviti pengajaran di bilik darjah. Saya menduga terdapat hubungan
antara tahap sahsiah pelajar (HEM) dengan kesediaan belajar (kurikulum). Seterusnya
saya merancang strategi untuk penyelesaian masalah kesediaan belajar. Sampel kajian
saya 40 orang murid dari dua kelas iaitu Tg 4 Nasaie dan 4 Abu Daud yang saya ajar.
Data tahap kesediaan belajar dipungut. Seterusnya saya melaksanakan action
mengubah susunatur tempat duduk berdasarkan peta sosial kelas program Sosiogram.
Sebelum itu program ini telah mengenalpasti jenis pelajar bintang, pasangan sama
suka, singkiran, rejected dan sebagainya.
Kemudian secara berpasukan kami menganalisis data menggunakan perisian
SPSS. Melalui analisis dan perbincangan kolaboratif, diputuskan peta sosial kelas
dapat meningkatkan kesediaan belajar. Akhirnya saya melapor hasil yang diperolehi
13
dalam sesi LDP sekolah, menghantar kepada PPD untuk diterbitkan dalam buku
prosiding kajian tindakan JPN.
Sebagai kesimpulan, arahan JPN mewajibkan sekolah menjalankan kajian,
dibantu oleh kesedaran peranan KT dalam memperbaiki amalan guru, dan pengalaman
menjalankan dua kali kajian, bermakna saya telah mempunyai paradigma baru.
3.5 Mengguna pakai Hasil Penyelidikan yang Terkini
Kamus Dewan mendefinisikan hasil penyelidikan bermaksud sesuatu yang
dipelajari yang merupakan keputusan daripada kajian atau penyelidikan yang telah
dijalankan. Kata majmuk mengguna pakai bermaksud menggunakan sesuatu barang
yang telah siap diciptakan. Sebagai rumusan, frasa tersebut bermaksud guru mendapat
pelajaran daripada keputusan kajian terbaru yang telah siap dalam bidang pendidikan.
3.5.1 Kepentingan Hasil Penyelidikan
Hasil penyelidikan seharusnya diguna pakai oleh guru bagi meningkatkan kualiti
pengajaran dan pembelajaran. Telah diwar-warkan sebelum ini profesion doktor
mengguna dapatan penyelidikan bagi membuat keputusan merawat pesakit, yang
mana hasilnya adalah memuaskan. Persoalannya kenapa guru tidak boleh melakukan
perkara yang sama dalam meningkatkan pencapaian murid. Helmsley-Brown (2003)
mendapati walaupun terdapat bukti,ada juga guru dan pengetua memandang positif
terhadap penyelidikan dan dalam sesetengah kes, guru menggunakan dapatan
penyelidikan dalam merancang amalan pengajaran yang berkualiti. Hasil penyelidikan
boleh dijadikan mudah didapati melalui rangkaian jaringan atau guru individu yang
secara khusus bersikap terbuka kepada perubahan. Guru berkenaan boleh membantu
menyebar luaskan hasil penyelidikan kepada rakan sejawat.
14
3.5.2 Hasil Penyelidikan Pendidikan – Mengguna Pakai
Saya guru Perdagangan di Semanggol, Perak. Saya mengambil kira dapatan
penyelidik kajian tindakan di SMK Kenering, Lenggong, yang bertajuk ‘Meningkatkan
Kemahiran Menghafal Fakta Perdagangan melalui Kaedah Membanding’ yang terdapat
dalam buku prosiding JPN Perak 2008 dan laman http://www.jpnperak.edu.my dalam
merancang pengajaran saya. Kaedah membanding yang diterapkan oleh penyelidik
berjaya membantu meningkatkan pemahaman murid beliau. Saya mengulangi ‘action’
beliau di dalam kelas saya serta berjaya mendapatkan respons murid yang serupa.
Seterusnya saya bawakan contoh dua laman web penyelidikan pendidikan yang saya
temui di sini. Pertama, Far West Laboratory, di http://www.wested.org/tech
policy/research.html, yang menunjukkan teknologi pendidikan meningkatkan prestasi
P&P ketika interaktiviti (dua hala) yang menonjol. Demikian juga Interactive Education
di http://www.interactiveeducation.ac.uk/about_findings1.htm, menemukan guru kurang
percaya diri untuk mengambil risiko menggunakan TMK dalam pengajaran mata
pelajaran mereka dan perlu memahami lebih lanjut tentang bagaimana mengguna TMK
dalam pengajaran.
3.5.3 Bagaimana Bertindak Di Lapangan
Mengambilkira dua dapatan penyelidikan tersebut, saya terpanggil untuk
menambah baik bahan sumber pengajaran (BSP) yang pernah saya hasilkan supaya
lebih interaktif. Di SMK Gunung Semanggol saya menghabis masa berjam-jam
mengemaskini bahan CLIPS itu. Ulasan guru ditambahkan kepada perisian tersebut.
Ucapan peneguhan “tahniah anda bijak”, “cuba lagi” juga ditambah. BSP ini saya
mainkan melalui projektor LCD semasa P&P di kelas. Memang betul, sekalipun aplikasi
15
MSPowerpoint agak ringkas, jika kena cara, impak interaktiviti akan menambahkan
keberkesanan pengajaran. Contohnya persembahan slaid fakta one-by-one, bukan all-
at-once akan menimbulkan kesan berfokus, kejutan, dan meramal.
Sebagai kesimpulan, dengan menguasai proses mencari sumber hasil
penyelidikan pendidikan, mentafsir keputusan dapatan kajian dua laman pilihan, dan
berupaya memanifestasi dapatan penyelidikan melalui perubahan amalan guru yang
baru, menandakan paradigma saya sudah berubah.
3.6. Mereflek kendiri Pencapaian sebagai Seorang Guru
Schon (1983) menyatakan refleksi bermaksud tindakan oleh untuk merancang
dan merancang semula dengan menguji pelbagai tafsiran bagi mengatasi masalah
profesional yang kabur dan rumit yang mereka hadapi sehingga dijumpai satu
penyelesaian yang tepat. Fry et al. (2003) mengatakan bahawa refleksi memainkan
peranan penting, “in transforming and integrating new experiences and understanding
with previous/existing knowledge”.
3.6.1 Proses Mereflek
Menjadi pengamal reflektif (reflective practitioner) amatlah penting bagi saya
sebagai guru yang menjadi pakar dalam tugas pengajaran. Refleksi ialah sesuatu
proses seorang guru merenung kembali aktiviti pendidikan yang telah dialaminya,
menganalisis dan menilai kesannya, termasuk memikirkan cara membaiki dengan
mengubahsuai pendekatan untuk digunakan dengan lebih berkesan pada masa
hadapan. Saya mula melaksanakan refleksi kendiri dengan menyediakan buku log
untuk catatan. Selanjutnya saya menganalisis insiden-insiden semasa pengajaran.
Sebelum sesi pengajaran bermula, saya menyediakan soalan tentang aspek yang ingin
16
diperhati. Saya akan menjawab persoalan tersebut selepas pengajaran. Kadangkala
saya meminta bantuan rakan sebaya membuat pemerhatian dan berkongsi maklumat
selepas pengajaran. Saya juga menggunakan pandangan murid sama ada yang
melibatkan aspek kesukaran pelajaran, keseronokan atau hubungan interpersonal
selepas satu-satu tajuk.
3.6.2 Mereflek Pencapaian Semasa
Pencapaian mata pelajaran saya, Perdagangan dalam peperiksaan SPM 2009
yang baru diumumkan telah merosot sebanyak 12% dari 78% kepada 65%. Seramai
tiga belas orang gagal. Saya secara kritis telah mereflek prestasi saya sebagai guru
mata pelajaran yang bertanggungjawab atas pencapaian keputusan itu. Secara formal
pula pihak sekolah akan mengarahkan saya menjalankan post-mortem dan
menyediakan laporan. Laporan yang disediakan itu mestilah benar, mengenalpasti di
manakah punca kelemahan pengajaran dan pembelajaran yang telah berlaku dan
mencadangkan cara mengatasi. Saya tidak boleh menyalahkan murid, jika perlu
sokongan dan panduan pihak atasan, saya masukkan dalam laporan.
Sebagai kesimpulan, selepas memahami konsep mereflek, saya mampu
mereflek dalam proses pengajaran dan mereflek pencapaian semasa, saya sebenarnya
melaksanakan aspek belajar sepanjang hayat.
3.7 Menghurai Konsep Akauntabiliti dalam Konteks P&P dan Tugas Guru
Mengikut Kamus Dwibahasa, perkataan ‘akauntabiliti’ di huraikan sebagai
bertangungjawab kepada seseorang atau terhadap sesuatu. Menurut Tan Sri Ahmad
Sarji, konsep akauntabiliti adalah satu beban untuk memberikan penjelasan mengenai
sesuatu tindakan kepada mereka yang berhak untuk mendapat jawapan tersebut.
17
Saya sering mengaitkan akauntabiliti itu dengan hadis Nabi yang bermaksud,
tiap-tiap jiwa adalah orang yang akan ditanya dari hal yang dipertanggungjawabkan”.
Dalam konteks pendidikan akauntabiliti keguruan bermakna tanggungjawab yang harus
dilaksanakan oleh seseorang guru terhadap diri sendiri, pelajar, sekolah, profesion
keguruan, masyarakat dan negara.
3.7.1 Kepentingan Akauntabiliti
Guru seharusnya bersifat akautabiliti memandangkan keguruan adalah sektor
pekerjaan yang penting kepada negara. Guru ini diamanahkan oleh masyarakat dengan
tugas besar, mendidik anak-anak yang masih suci bersih menjadi generasi pemimpin
masa depan. Dengan tugas itu guru diharapkan menjadi ‘role model’ dan agen
perubahan kepada murid. Selain mengajar guru diharapkan menerapkan nilai-nilai
murni kepada mereka. Jika guru masuk kerja lewat, sudah letih di awal hari, sentiasa
mencari alasan, berpakaian selekeh, itu petanda murid yang diajarnya akan menjadi
rosak pada masa depan.
3.7.2 Tugas dan Tanggungjawab dalam Organisasi
Antara tugas dan tanggungjawab saya di SMK Gunung Semanggol adalah
mengajar mata pelajaran Perdagangan empat kelas 16 waktu dan Pendidikan Sivik 8
waktu. Selain itu, saya dilantik sebagai Guru kelas Tingkatan 4D, Ketua Panitia
Perdagangan, penyelaras Jadual Waktu Sekolah, penyelaras Kajian Tindakan, dan
sebagainya. Saya juga diamanahkan dengan tugas ko-kurikulum guru penasihat
Persatuan Perdagangan/Pengguna, ketua guru rumah Rumah Kuning, dan pengurus
Kuiz Sekolah dan sebagainya. Saya juga dipilih sebagai pengerusi Kelab Guru dan
Kakitangan (KGKT) sekolah melalui mesyuarat agung tahunan kelab tersebut pada
18
sejak tahun 2009 hingga kini. Sebagai guru berparadigma baru, yang accountable
terhadap amanah tugas, saya sebaik mungkin, melaksanakan tugas tersebut.
3.7.3 Dedikasi Terhadap Sekolah
Para 1 Perintah Am Bab G (1974) menetapkan waktu bekerja perlu dipatuhi oleh
semua anggota kerajaan. Sebagai anggota kerajaan yang menyanjung konsep
akauntabiliti, saya mematuhi perintah ini. Waktu bekerja rasmi sekolah saya bermula
pada jam 7.40 pagi dan tamat pada jam 2.40 petang. Saya akan sampai ke sekolah
setengah jam awal dan balik lebih lewat tertakluk kepada kerja-kerja tambahan yang
perlu dibereskan. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.3/1981, menetapkan waktu luang guru
adalah untuk memeriksa tugasan pelajar, membuat persediaan mengajar, berbincang
dengan rakan sekerja dan sebagainya. Saya memeriksa tugasan pelajar saya seberapa
cepat. Tugasan itu saya kembalikan sebelum waktu pengajaran yang berikutnya.
Sebagai mana syor dalam Buku Panduan Ko-kurikulum saya membentuk
jawatan kuasa Persatuan Perdagangan dan Pengguna. Saya mengadakan pemilihan
supaya memberikan keadilan kepada murid bagi memilih calon pemimpin mereka
sendiri. Saya mengenepikan sikap favouritisme dalam perlantikan AJK, kerana amalan
tersebut tidak accountable. Sebagai ketua guru rumah Kuning saya juga menyimpan
segala peralatan sukan selepas digunakan bagi menjaga harta benda kerajaan. Bagi
membantu bidang HEM, saya menampalkan peraturan sekolah di kelas untuk
makluman murid. Jika saya tidak melakukannya, saya khuatir murid melanggar disiplin
tanpa mengetahui, dengan itu saya tidak berlaku adil atau accountable kepada mereka.
Sebagai kesimpulan, dengan memahami konsep akauntabiliti saya akan cuba
sebaik mungkin melaksanakan pelbagai amanah tugas yang diberi, bukan sekadar
19
dengan acuh tak acuh tetapi secara berdedikasi khasnya dalam pengajaran. Dengan
berbuat begini saya telah berubah paradigma menjadi lebih bersikap kritis dan inovatif.
3.8 Kekangan dan Halangan
Terdapat halangan dan kekangan menunggu guru di sepanjang jalan untuk guru
mengubah paradigma. Pelbagai faktor seperti bebanan tugas bertimbun yang ada
kalanya bukan satu yang terancang tetapi muncul dari situasi yang tidak diduga ( Abdul
Shukor, 1996), masalah pengurangan peruntukan kerajaan sehingga NUTP memohon
pelaksanaan LDP dikurangkan 50 peratus, rasa tidak puashati terhadap sistem naik
pangkat PTK, komitmen kekeluargaan yang bertambah, dan sifat negatif peribadi
seperti malas, dengki, tamak dan sebagainya. Sebagai kesimpulan pelbagai halangan
tersebut menjejaskan sedikit hasrat guru untuk mengubah paradigma.
4.0 Penutup
Kesimpulannya sebagai guru alaf baru saya harus dinamis, responsif
menghadapi cabaran baru yang mendatang. Saya mesti berpengetahuan luas dan ‘up-
dated’ dalam mata pelajaran. Saya penuhi itu melalui memperhitungkan perkembangan
terkini, menghasilkan penulisan ilmiah dan menyertai kursus. Tidak cukup itu, saya
mesti menjadi pakar rujuk dalam strategi dan kaedah pengajaran, yang saya lakukan
dengan melaksanakan kajian tindakan, mengguna pakai hasil penyelidikan terkini dan
mereflek kendiri pencapaian sendiri. Akhir saya juga bersikap penyayang terhadap
murid bagi mendapatkan penerimaan mereka. Untuk itu saya berpegang teguh dan
laksanakan konsep akauntabiliti terhadap murid. Melaksanakan semua yang disebutkan
bererti saya telah meningkatkan mertabat profesion di mata masyarakat.
20
SENARAI RUJUKAN
1. Abdul Shukor Abdullah (Dato Dr), Penilaian Semula Situasi Pengurusan
Sekolah. Kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar Nasional Ke-4
Pengurusan Pendidikan di Institut Aminuddin Baki pada 14 - 16 Nov
1996.
2. Ahmad Sarji A. H., The public service of Malaysia, Published in 1992, Printed by
National Print. Dept. (Kuala Lumpur)
3. Bogdan, R., & Biklen, S. (1982). Qualitative research for education: An
introduction to theory and methods. Boston: Allyn and Bacon.
4. Helmsley-Brown, J. & Sharp, C. (2003) "The use of research to improve
professional practice: a systematic review of the literature", Oxford Review
of Education, Vol. 29, No. 4, December 2003.
5. Kamus Dwibahasa, (1985). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
6. Kamus Dewan (Edisi Keempat). (2007). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
7. Nota Ekspres Perdagangan Tingkatan 4, Unit Kurikulum, Jabatan Pelajaran
Perak: Perniagaan Sasmuda, Ipoh (tanpa tarikh)
8. Perintah-perintah am, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, Published in 1973,
(Kuala Lumpur).
9. Schon, D. (1983). The Reflective Practitioner. New York: Basic Books.
Pekeliling-pekeliling
10. Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil 6 Thn 2005
11. Surat Pekeliling J. Pend. Pk (AM) 4941/Jld. 10
12. Surat siaran Bahagian Pendidikan Guru, KP (BPG) 9131/109 Jld 26(24)
21
LAMPIRAN A
22
LAMPIRAN B