seminar sains & teknologi nuklear ke arah agenda … · 2017-07-27 · seminar sains &...
TRANSCRIPT
SEMINAR SAINS & TEKNOLOGI NUKLEAR KE ARAH AGENDA 2030 UNTUK
PEMBANGUNAN LESTARI DI MALAYSIA
24 - 26 JULAI 2017
AGENSI NUKLEAR MALAYSIA, BANGI, 43000 KAJANG, SELANGOR
Pada 24-26 Julai 2017 yang lepas, Agensi Nuklear Malaysia telah berjaya menganjurkan
Seminar Sains & Teknologi Nuklear ke arah Agenda 2030 untuk Pembangunan Lestari di
Malaysia, di Nuklear Malaysia, Bangi, Selangor. Seminar ini telah dianjurkan oleh Nuklear
Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Agensi
Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan United Nation Country Team (UNCT) di Malaysia.
Lebih 200 peserta telah menghadiri seminar ini termasuk dari agensi kerajaan, institusi
pengajian tinggi, organisasi masyarakat sivil, sektor swasta dan agensi antarabangsa.
Objektif utama seminar ini adalah untuk menyediakan platform bagi menyebarkan maklumat
mengenai peranan sains dan teknologi (S&T) nuklear dalam menyumbang kepada Agenda
2030 untuk Pembangunan Lestari di Malaysia. Di samping itu, seminar ini juga akan
mengenalpasti peluang dan cabaran serta menggariskan pendekatan inovatif dalam
meningkatkan perlaksanaan S&T nuklear dalam mencapai Agenda 2030 untuk Pembangunan
Lestari. Seminar ini juga bertujuan untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang S&T nuklear
antara Nuklear Malaysia, pihak-pihak berkepentingan, IAEA dan sistem UN di Malaysia.
Foto Seminar mengenai Sains & Teknologi Nuklear ke arah Agenda 2030 untuk Pembangunan Mapan di Malaysia, 24-26 Julai
2017, Nuklear Malaysia, Bangi, Selangor
Seminar ini telah dirasmikan oleh Dr Mohd Ashhar Hj Khalid, Ketua Pengarah Nuklear
Malaysia. Penyerahan Plak IAEA Collaborating Centre (ICC) for Radiation Processing of
Natural Polymer and Nano-Materials daripada IAEA kepada Nuklear Malaysia juga telah
diadakan semasa sesi pembukaan. Seminar ini mengandungi tujuh sesi termasuk sesi
mengenai Agenda 2030, sesi-sesi mengenai penggunaan teknologi nuklear dalam lima bidang,
iaitu industri, tenaga, air & alam sekitar, perubatan & penjagaan kesihatan dan pertanian &
makanan. Pembentang terdiri daripada pakar-pakar antarabangsa dan kebangsaan, ahli
akademik dan wakil-wakil dari Jabatan-Jabatan Kerajaan.
Penyerahan Plak IAEA Collaborating Centre (ICC) for Radiation Processing of Natural Polymer and Nano-Materials oleh En. Oscar
Acuna, Ketua Bahagian Asia dan Pasifik, IAEA kepada Dr Mohd Ashhar Hj Khalid, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, disaksikan
oleh En. Asfaazam Kasbani, Penolong Wakil Residen (Program) UNDP Malaysia
Pada masa yang sama, pameran mini turut diadakan semasa seminar ini berlangsung. Ia
melibatkan enam booth yang mempamerkan hasil pencapaian Penyelidikan dan Pembangunan
(R&D) oleh pakar dan saintis Nuklear Malaysia iaitu pengesan sinaran pintar, meter tinjau
sinaran pintar, padi mutan, getah kompaun untuk aplikasi penjagaan kesihatan, radioisotop
untuk perubatan dan aplikasi lubang gerek. Dua booth yang lain mempamerkan buku-buku dan
Nuklear Malaysia at Glance sempena Ulangtahun Nuklear Malaysia ke-45.
Seminar ini secara rasminya telah ditutup oleh Dr Mohd Ashhar Hj Khalid, Ketua Pengarah
Nuklear Malaysia pada 25 Julai 2017. Sebelum majlis penutup, satu sesi panel yang
dipengerusikan oleh Dr Zulkifli Mohamed Hashim, Pengarah Kanan (Pengkomersilan) Agensi
Nuklear Malaysia telah diadakan untuk membincangkan subjek bagi seminar ini iaitu Sains &
Teknologi Nuklear ke arah Agenda 2030 untuk Pembangunan Lestari di Malaysia. Ahli-ahli
panel terdiri daripada En Oscar Acuna, Section Head, Division for Asia & the Pacific, IAEA, Dr
Zulkafli Ghazali, Pengarah Bahagian Teknologi Sinaran Agensi Nuklear Malaysia, En Asfaazam
Kasbani, Assistant Resident Representative (Programme), United Nations Development
Programme (UNDP) Malaysia dan Datin Dr Zaharah Musa, Ketua Perkhidmatan Radiologi
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pada 26 Julai 2017, satu lawatan teknikal ke beberapa kemudahan utama Nuklear Malaysia
telah diadakan. Kemudahan tersebut adalah Reaktor TRIGA PUSPATI, Pusat Pengurusan Sisa
Radioaktif, Makmal Pemprosesan Sinaran, Kemudahan Penyinaran SINAGAMA dan Rumah
Hijau Gamma. Hampir 60 peserta telah mengambil bahagian dalam lawatan teknikal ini.
Semasa lawatan teknikal, peserta berpeluang melihat dengan lebih dekat operasi kemudahan-
kemudahan ini serta bagaimana teknologi nuklear digunakan dalam pelbagai sektor seperti
pertanian, pengurusan sisa dan industri.
Lawatan teknikal ke Gamma Green House Nuklear Malaysia