psikologi sukan

12
Kritikan Artikel : RESISTANCE TO SPORT PSYCHOLOGY, WHY ATHLETES RESIST SPORT PSYCHOLOGY (PENOLAKAN TERHADAP PSIKOLOGI SUKAN, MENGAPA ATLET MENOLAK PSIKOLOGI SUKAN). Penulis : Thomas Ferraro, Ph.D. & Shannon Rush, M.A. Long Island Institute of Psychoanalysis. Sinopsis Artikel Kebanyakan atlet sama ada profesional atau amatur, bersetuju tentang faedah dan perlunya khidmat ahli psikologi sukan. Bagaimanapun, disebalik pernyataan ini, majoriti daripada mereka jarang sekali mendapatkan khidmat seorang ahli psikologi sukan, walaupun mereka faham bahawa faktor kegagalan mereka adalah kerana kelemahan dalam aspek psikologi dan mental seperti kegagalan untuk mengawal ketakutan, gementar, marah dan sedih. 1

Upload: dennisalap

Post on 14-Sep-2015

240 views

Category:

Documents


4 download

DESCRIPTION

sports

TRANSCRIPT

Kritikan Artikel :

RESISTANCE TO SPORT PSYCHOLOGY, WHY ATHLETES RESIST SPORT PSYCHOLOGY

(PENOLAKAN TERHADAP PSIKOLOGI SUKAN, MENGAPA ATLET MENOLAK PSIKOLOGI SUKAN).

Penulis :

Thomas Ferraro, Ph.D. & Shannon Rush, M.A.

Long Island Institute of Psychoanalysis.

Sinopsis Artikel

Kebanyakan atlet sama ada profesional atau amatur, bersetuju tentang faedah dan perlunya khidmat ahli psikologi sukan. Bagaimanapun, disebalik pernyataan ini, majoriti daripada mereka jarang sekali mendapatkan khidmat seorang ahli psikologi sukan, walaupun mereka faham bahawa faktor kegagalan mereka adalah kerana kelemahan dalam aspek psikologi dan mental seperti kegagalan untuk mengawal ketakutan, gementar, marah dan sedih.

Masalah personaliti seperti narcissism (terlalu sayangkan/ pentingkan diri sendiri) dan sociopathic juga sering didiagnosa di kalangan atlet (Brewer & Petrie, 1996). Jurulatih seringkali menghampakan atlet kerana gagal untuk menyelesaikan masalah ini disebabkan mereka sebenarnya tidak mahir dalam bidang psikologi.

Persoalannya, jika atlet sedar tentang kepentingan psikologi sukan, mengapa mereka jarang mendapatkan khidmat psikologis sukan? Jika ada sekalipun, kenapa 50% daripada mereka akan lesap setelah menghadiri 4 sesi rawatan; terlalu awal sebelum mereka benar-benar bersedia? Apakah yang dapat dibuat oleh ahli psikologi sukan untuk mengubah situasi ini? Jika masalah ini tidak disiasat dan dicari penyelesaiannya, mungkin suatu hari nanti para psikologis sukan tidak lagi mempunyai bidang untuk kajian dan pekerjaan mereka.

Penolakan merupakan satu konsep yang sudah lama dikaji dalam bidang psikoanalisis, tidak seperti bidang psikologi sukan yang lebih menitikberatkan cognitive behaviorism. Malahan tiada langsung sejarah mengenai kajian tentang penolakan di dalam psikologi sukan (Linder, Pillow & Reno, 1989).

Greenson telah mendefinisikan penolakan sebagai semua dorongan dalaman pesakit untuk menentang rawatan (Greenson, 1967). Walaupun menderita dengan pelbagai simptom, atlet hanya akan menemui seorang psikologis sukan sebagai pilihan terakhir. Frued mencadangkan bahawa punca penolakan ini adalah berakar umbi daripada rasa bersalah, perlunya penderitaan(semasa menjalani rawatan), hasil sekunder dari simptom-simptom tersebut, tabiat dan desakan untuk mengulangi rawatan (Frued, 1926).

Terdapat 4 cara penolakan atlet terhadap psikologi sukan iaitu mengamalkan ritual tahyul, pengambilan dadah, tabiat pemakaanan yang buruk dan bulimia latihan (Ferraro dan Rush , 2000). Atlet yang bermasalah percaya bahawa dengan melakukan salah satu atau gabungan perkara-perkara tersebut, masalah mereka dapat diselesaikan.

Bagi mendapatkan jawapan sebenar mengapa atlet sanggup untuk tidak menemui psikologis sukan sebaliknya memilih cara sendiri yang merbahaya seperti disebutkan tadi, Ferraro dan Rush telah melaksanakan satu soal selidik yang melibatkan 20 orang subjek yang dipilih secara rawak, di sekitar Long Island, New York. Soal selidik tersebut melibatkan 11 item soalan yang meneroka tentang pengetahuan subjek mengenai psikologi sukan, adakah mereka pernah menemui seorang psikologis sukan, adakah mereka boleh mendapat faedah dengan mendapatkan khidmatnya serta mengapa mereka tidak mendapatkan khidmat tersebut.

Dapatan Soal Selidik

Hanya 10% daripada subjek yang pernah mendapatkan khidmat psikologis sukan. 7 orang mengatakan bahawa seseorang itu perlu menemui psikologis sukan untuk meperbaiki pendekatan mental, 6 orang mengatakan untuk memperbaiki prestasi, 3 orang mengatakan untuk menyelesaikan masalah mental dan 2 orang mengatakan bahawa sukan adalah 50% mental.

Hanya 2 orang yang menyetujui bahawa penolakan adalah kerana adanya stigma tertentu. 5 orang mengatakan bahawa mereka tidak menemui psikologis sukan kerana tiada masa, 5 lagi mengatakan yang sukan tidak begitu penting, 2 berkata faktor kewangan, 2 kerana tiada peluang, seorang kerana mengandung dan seorang lagi berkata bahawa dia tidak gila.

10 orang menyetujui bahawa kos merupakan faktor penting penolakan manakala 10 lagi tidak bersetuju dengannya. Ada yang menambah kenyataan bahawa jika psikologi sukan dapat membantu, mereka tidak risaukan kosnya, tambahan pula jika mereka adalah ahli sukan profesional.

6 orang menyatakan bahawa sesi rawatan psikologi sukan melibatkan perbincangan mengenai masalah sukan, 4 orang tidak tahu, seorang berkata pengawalan minda, seorang lagi berkata ianya membantu pengawalan stress dan seorang lagi berkata ianya membantu visualisasi.

16 orang bersetuju bahawa mereka boleh mendapat faedah daripada psikologi sukan, 4 orang pula tidak. Bagaimanapun semua subjek menyetujui bahawa faktor psikologi mempengaruhi prestasi sukan.

Perbincangan dan Kritikan

Disebalik persetujuan majoriti subjek mengenai faedah yang akan diperolehi jika berjumpa dengan psikologis sukan, hanya 10% yang berbuat demikian. Malah apa yang lebih pelik, 40% daripada subjek merupakan ahli sukan profesional ataupun amatur elit. Ferraro dan Rush telah menjelaskan ini sebagai bukti penolakan atlet terhadap khidmat psikologis sukan.

Dapatan soal selidik telah cenderung untuk menunjukkan bahawa perasaan takut kehilangan masa dan wang menjadi punca yang disedari terhadap penolakan ini. Bagaimanapun maklumat ini tidak selaras dengan hakikat bahawa kebanyakan atlet ini sanggup menghabiskan masa minimum selama 10 15 jam seminggu untuk bersukan.

Malah kebanyakan atlet di Amerika melabur sekurang-kurangnya 3 ribu dolar setahun dalam sukan yang diceburi. Inilah yang menyebabkan Ferraro dan Rush menganggap bahawa data yang diperolehi dari soal selidik berkenaan hal tersebut tidak masuk akal, seterusnya membuat kesimpulan di mana punca sebenar penolakan bukannya kekurangan wang dan masa.

Bagi mereka, faktor yang lebih memainkan peranan ialah faktor yang tidak disedari oleh atlet itu sendiri. Pendapat Ferraro dan Rush ini sebenarnya boleh dipertikaikan kerana mereka sepatutnya tidak menolak terus faktor penolakan yang disedari iaitu kekurangan masa dan wang. Ini kerana nilai masa dan wang adalah relatif antara satu individu dengan individu yang lain.

Nilai 10 -15 jam dan juga 3 ribu dolar mungkin dianggap besar magnitudnya bagi seseorang individu tetapi tidak memberi apa-apa makna untuk individu yang lain. Percanggahan dapatan ini sepatutnya dikaji dengan lebih lanjut sebelum boleh ditolak sepenuhnya. Tidak mustahil jika wang dan masa sememangnya menjadi salah satu faktor yang disedari terhadap penolakan psikologi sukan di kalangan atlet; dengan syarat kajian lanjut harus dibuat mengenainya.

Dapatan seterusnya menunjukkan antara perkara yang disebut oleh atlet dalam soal selidik adalah meliputi latihan mental, fokus, konsentrasi, visualisasi dan peningkatan prestasi, tetapi tiada seorang atlet pun yang menceritakan tentang emosi mereka. Linder et.al mencadangkan bahawa atlet berasa takut untuk kehilangan kedudukan sosial ataupun malu jika orang lain mengetahui bahawa mereka mendapatkan khidmat psikologis sukan. Bagaimanapun dapatan soal selidik menunjukkan hanya 10% subjek yang merasakan penolakan ini disebabkab oleh stigma (reputasi yang memalukan).

Jelas sekali atlet-atlet ini mempertahankan khidmat yang dianggap boleh membantu peningkatan prestasi mereka. Bagi Ferraro dan Rush, sebab yang tidak disedari atlet terhadap penolakan ini adalah berkaitan dengan emosi mereka kerana tiada seorang pun yang memberikan maklumat mengenai sebarang status emosi seperti takut untuk berjumpa, berhadapan, mengetahui atau melalui pengalaman tertentu. Tidak hairanlah jika atlet hanya akan mendapatkan khidmat psikologis sukan apabila hanya apabila karier mereka mula terumbang-ambing.

Atlet sebenarnya takut untuk berhadapan dengan psikologis sukan, bukannya malu dan bagi Ferraro dan Rush, atlet tidak menyedari perkara ini. Mungkin inilah hakikat sebenarnya yang mengakibatkan penolakan, walaupun pendapat ini dibuat bukan berdasarkan maklumat yang diperolehi dari soal selidik, sebaliknya ianya adalah kesimpulan daripada maklumat yang tidak diperolehi darinya, iaitu mengenai emosi para atlet.

Atlet mungkin lebih takut untuk berjumpa seorang psikologis sukan berbanding dengan menghadapi lawan yang paling gagah. Jika ini benar, ianya tentu disebabkan oleh kebiasaan atlet untuk melepaskan emosi mereka dalam bentuk pergerakan motor, bukannya melalui percakapan. Atlet juga tahu bahawa sesi rawatan psikologi sukan antaranya melibatkan berbaring, pergerakan yang terbatas dan membenarkan maklumat tertentu diperolehi tanpa disedari mereka.

Walaupun faktor emosi nampaknya paling logik untuk diterima sebagai punca utama berlakunya penolakan, kajian lanjut mengenainya harus dilakukan. Ini kerana kajian ini hanya merangkumi satu populasi yang terhad dan mungkin hanya benar untuk kelompok tersebut sahaja. Malah mungkin dapatan kajian yang lebih menyeluruh dan global akan membuahkan pernyataan mengenai status emosi dan ketakutan ini daripada atlet itu sendiri seterusnya mengukuhkan lagi penemuan dalam soal selidik yang dilakukan oleh Ferraro dan Rush ini.

Kesimpulan

Penolakan terhadap psikologi sukan di kalangan atlet memang berlaku dan kajian ini telah mencadangkan punca utamanya adalah ketakutan atlet untuk menghadapi seseorang psikologis sukan dan program rawatan yang akan diberikan olehnya. Untuk itu kajian yang lebih lanjut dan bersifat global haruslah dijalankan bagi mengesahkan lagi dapatan tersebut dan juga bagi mengenal pasti punca-punca yang lain.

Dengan adanya kajian sebegini, barulah kaedah untuk mengatasi masalah penolakan dapat dicari seterusnya meningkatkan pembangunan bidang psikologi sukan. Jika kajian sebegini diteruskan, tidak mustahil suatu hari nanti penolakan ini tidak lagi berlaku dan semua atlet akan mendapat faedah daripada khidmat para psikologis sukan.

Bibliografi

http://www.athleticinsight.com /vol 21ss3/Resistance

PAGE 7