profesion perguruan

15
PROFESION KEGURUAN EN. M. ELANGKO A/L MUNIANDY JABATAN ILMU PENDIDKAN IPGM KAMPUS TUANKU BAINUN [email protected] 1.0 Pendahuluan Profesion keguruan merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial yang amat mencabar. Tenaga pengajar dan pengurus pendidikan seharusnya peka dengan perkembangan terkini dalam proses kepemimpinan, pengurusan, pengelolaan sumber dan pencapaian matlamat pendidikan (Ibrahim Ahmad Bajunid, 1995). Justeru, dengan pelaksanaan berbagai-bagai reformasi dalam pendidikan sudah pasti menjadikan peranan dan tanggungjawab guru menjadi lebih mencabar. Terdapat pelbagai tanggapan dan dakwaan berhubung dengan profesion keguruan dewasa ini. Sesetengah ahli masyarakat mempunyai tanggapan bahawa kerja, beban dan tugas guru sekarang tidak mewujudkan profesion keguruan yang menarik. Malah tidak dinafikan ada yang melihat sekolah sebagai sebuah organisasi yang dihujani dengan pelbagai bebanan tugas dan ada kalanya tugas ini bukan satu yang terancang tetapi muncul dari situasi yang tidak diduga( Abdul Shukor, 1996). Jika keadaan sedemikian dibiarkan berterusan agak pasti suasana pengajaran-pembelajaran di sekolah kini akan menuju ke arah satu keadaan yang tidak terurus dan akan menghadapi kegagalan untuk mencapai matlamat yang diidamkan. Persepsi seperti ini sudah tentulah akan menjejaskan reputasi profesion keguruan yang sentiasa dipandang tinggi dan mulia. 2.0 Keguruan Sebagai Satu Profesion 1

Upload: chuahgege

Post on 10-Apr-2016

22 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

Education

TRANSCRIPT

Page 1: Profesion Perguruan

PROFESION KEGURUANEN. M. ELANGKO A/L MUNIANDY

JABATAN ILMU PENDIDKAN

IPGM KAMPUS TUANKU BAINUN

[email protected]

1.0 Pendahuluan

Profesion keguruan merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial yang amat

mencabar. Tenaga pengajar dan pengurus pendidikan seharusnya peka dengan

perkembangan terkini dalam proses kepemimpinan, pengurusan, pengelolaan sumber dan

pencapaian matlamat pendidikan (Ibrahim Ahmad Bajunid, 1995). Justeru, dengan

pelaksanaan berbagai-bagai reformasi dalam pendidikan sudah pasti menjadikan peranan

dan tanggungjawab guru menjadi lebih mencabar.

Terdapat pelbagai tanggapan dan dakwaan berhubung dengan profesion keguruan

dewasa ini. Sesetengah ahli masyarakat mempunyai tanggapan bahawa kerja, beban dan

tugas guru sekarang tidak mewujudkan profesion keguruan yang menarik. Malah tidak

dinafikan ada yang melihat sekolah sebagai sebuah organisasi yang dihujani dengan

pelbagai bebanan tugas dan ada kalanya tugas ini bukan satu yang terancang tetapi

muncul dari situasi yang tidak diduga( Abdul Shukor, 1996). Jika keadaan sedemikian

dibiarkan berterusan agak pasti suasana pengajaran-pembelajaran di sekolah kini akan

menuju ke arah satu keadaan yang tidak terurus dan akan menghadapi kegagalan untuk

mencapai matlamat yang diidamkan. Persepsi seperti ini sudah tentulah akan menjejaskan

reputasi profesion keguruan yang sentiasa dipandang tinggi dan mulia.

2.0 Keguruan Sebagai Satu Profesion

“Mengajar ialah pekerjaan profesional. Tugas yang dilakukan oleh guru adalah bersifat

intelektual, memerlukan amalan pertimbangan yang konsisten, tidak boleh disamarata

atau dirutinkan, dan menuntut persediaan yang berpanjangan melalui pendidikan.”

Janet A. Weiss (1989,2)

1

Page 2: Profesion Perguruan

Penyataan seperti yang dikemukakan oleh Weiss (1989) di atas memperlihatkan

antara ciri profesion keguruan. Ciri utama sebuah profesion ialah yang melibatkan proses

membuat keputusan berdasarkan pengetahuan formal yang diperoleh daripada pendidikan

dan amalan yang menyeluruh. Secara ringkasnya, ciri utama sebuah profesion ialah

mempunyai asas pengetahuan yang kukuh berkaitan dengan tugas (Bowman,1989).

Berdasarkan asas pengetahuan ini, individu profesional adalah seorang pakar dalam

bidang yang khusus dan terhad serta melaksanakan tugas berdasarkan kompleksiti dan

penyesuaian. Golongan profesional turut mempunyai kebebasan untuk melaksanakan

tugas berlandaskan pertimbangan bijak (educated judgment) yang tidak dimiliki oleh

individu lain yang tidak mempunyai pengetahuan atau kelayakan berkaitan (Freidson,

1986, 141).

Seorang profesional ialah individu yang bersifat objektif, adil dan tidak

mementingkan diri sendiri. Perhubungan dengan klien adalah dibatasi oleh tugas secara

teknikal dan mengelakkan penglibatan secara emosi. Ciri ini membolehkan seorang

profesional membuat keputusan yang munasabah dan rasional bagi pihak klien.

Ciri seterusnya bagi seorang profesional ialah berkenaan dengan tahap

perkhidmatan yang diberikan kepada klien. Individu profesional diharapkan sentiasa

memberikan keutamaan kepada klien dan melakukan tindakan yang sewajarnya demi

kepentingan klien. Hal ini demikian kerana klien menaruh keyakinan yang tinggi terhadap

individu profesional tersebut untuk membantunya.

Orientasi berasaskan kumpulan (reference-group orientation) merupakan salah

satu ciri yang penting bagi individu profesional. Kumpulan yang penting bagi golongan

ini ialah teridiri daripada rakan sejawat yang berpengetahuan dan kompeten dalam bidang

yang sama dan berguna dalam proses membuat keputusan. Golongan profesional ini

menitikberatkan integriti profesion dan perkhidmatan yang diberikan kepada klien

mereka.

Ciri lain bagi profesion ialah mempunyai struktur kawalan yang jelas (distinctive

control structure) di mana kepakaran mereka adalah berdasarkan pengetahuan teoritikal

2

Page 3: Profesion Perguruan

dan kemahiran yang diperoleh melalui latihan yang panjang. Dalam hal ini, golongan

profesional mengharapkan autonomi dalam melaksanakan kepakaran mereka dan

berpandangan bahawa mereka layak untuk membuat sebarang keputusan dalam ruang

lingkup bidang kepakaran mereka. Danisiewicz (1985) menyatakan terdapat dua bentuk

autonomi – klien dan organisasi. Golongan profesional mengawal klien mereka dan

responsif terhadap keperluan klien mereka. Dalam masa yang sama juga, prestasi

golongan profesional ini tertakluk kepada kawalan dan kehendak organisasi mereka yang

mengurangkan tahap profesional mereka.

Ciri terakhir profesional ialah golongan ini mempunyai suatu kod etika yang

memandu aktiviti mereka. Kod etika ini digubal untuk melindungi profesion dan klien

atau kepentingan awam (Benvineste, 1987, 40).

Kesimpulannya, ciri sesuatu profesion merangkumi pengetahuan teknikal yang

diperoleh daripada latihan berjangka panjang; akur kepada norma profesional yang

meliputi keobjektifan profesion, tidak mementingkan diri dan tidak berat sebelah;

berorientasi berasaskan kumpulan; mempunyai autonomi dalam membuat keputusan

profesional; dan mempunyai kod etika tersendiri berdasarkan pengetahuan, tanda aras dan

pendapat rakan sejawat. Ciri-ciri yang disenaraikan di atas merupakan ciri-ciri yang

melayakkan bidang keguruan sebagai satu profesion.

3.0 Ciri Profesionalisme Guru

` Guru yang profesional ditakrifkan sebagai seorang guru yang tahu cara

menghasilkan kerja yang bermutu tinggi dalam bidangnya. Guru yang profesional

sentiasa terbuka untuk belajar tentang cara meningkatkan mutu amalannya serta sentiasa

berusaha memperbaiki dirinya. Guru yang profesional sentiasa bersedia berkongsi

kepakarannya dengan profesional lain dalm bidang keguruan. Matlamat kerjaya seorang

guru yang profesional ialah menghayati prinsip perkembangan yang berterusan

(continuous development) (Wan Mohd Zahid Noordin, 2003).

3

Page 4: Profesion Perguruan

Tugas guru yang berbentuk “meningkatkan tahap pembelajaran, pengetahuan dan

pencapaian” melayakkan guru digelar sebagai seorang profesional dengan kemahiran dan

kompetensi yang dimiliki untuk melaksanakan tugas tersebut. Impak daripada tugas

profesional yang dilaksanakan oleh guru ternyata memberikan sumbangan yang amat

signifikan terhadap ekonomi dan masa depan negara khususnya dalam konteks

pembinaan modal insan.

4.0 Cabaran Dalam Profesion Keguruan

Perkembangan dan cabaran dunia pendidikan yang dinamik masa kini menuntut guru

membuat anjakan paradigma yang menyeluruh. Pergolakan dalam bidang pendidikan

memerlukan guru meneliti setiap aspek pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan

perubahan yang dilakukan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap ahli masyarakat

dalam sesebuah institusi pendidikan.

Kompleksiti tugas dalam profesion keguruan sering disalahtafsir oleh ahli

masyarakat yang beranggapan bahawa jadual tugas guru amat mudah dan guru hanya

perlu bekerja setengah hari sahaja dan mempunyai cuti yang banyak. Pada hakikatnya,

tugas guru adalah melangkaui waktu persekolahan. Di samping melaksanakan

tanggungjawab mengajar murid, guru turut berperanan melaksanakan tugas berdasarkan

arahan dan keperluan tugas yang lain.

Noriah (1994) menyatakan bahawa profesion keguruan merupakan profesion yang

tidak mempunyai pembahagian masa yang jelas. Bebanan kerja guru bukan sahaja

mengajar tetapi juga melaksanakan kerja perkeranian dan pentadbiran, menjalankan

aktiviti kokurikulum dan juga kerja-kerja Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) (Faridah

dan Zubaidah 1999). Selain daripada itu, guru juga turut menjalankan tugas tambahan

seperti menjadi guru penasihat persatuan, jurulatih permainan dan sukan, mengendalikan

rekod murid, memeriksa kerja murid, menyedia persediaan mengajar serta kertas soalan

dan menanda kertas peperiksaan. Pelaksanaan tugas tambahan ini menuntut guru untuk

4

Page 5: Profesion Perguruan

datang ke sekolah selepas waktu persekolahan termasuklah pada hujung minggu dan

semasa cuti persekolahan.

Dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini, guru turut berhadapan dengan

masalah yang berkait secara langsung atau tidak langsung dengan tugas hakiki sebagai

pendidik. Guru perlu mengendalikan murid bermasalah, menghadapi konflik dengan

pihak pentadbiran, kritikan masyarakat, kekangan sumber dan sebagainya. Cabaran yang

dihadapi guru pada masa kini bukan sahaja datang daripada pihak sekolah, bilik darjah

atau murid tetapi merangkumi harapan dan ekspektasi daripada masyarakat dan negara.

Perkembangan dunia tanpa sempadan menuntut guru untuk melihat proses pengajaran dan

pembelajaran dalam konteks yang lebih luas dan bukannya dalam konteks tradisional lagi.

Guru masa kini perlu menjalankan tugas yang diamanahkan untuk mendidik generasi

muda menjadi warganegara seperti yang diaspirasikan oleh masyarakat dan negara.

Justeru, profesion keguruan yang semakin mencabar dalam era globalisasi ini

menuntut guru untuk mempersiapkan diri secara fizikal dan emosi untuk memastikan

proses mendidik anak bangsa berjalan lancar di samping memenuhi tuntutan dan harapan

ibu bapa, masyarakat dan negara agar murid akan dapat mengharungi cabaran era

globalisasi dengan penuh yakin dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Cabaran yang dihadapi oleh guru dalam profesion keguruan boleh dikategorikan

seperti berikut:

4.1 Cabaran Daripada Pihak Sekolah

Cabaran daripada pihak sekolah merupakan cabaran utama yang dihadapi oleh

guru. Sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan melihat kejayaan sekolah

berdasarkan prestasi peperiksaan yang dicapai oleh muridnya. Fenomena ini mencetuskan

persaingan akademik dalam kalangan pentadbir sekolah untuk mendapatkan pengiktirafan

umum dengan mengarahkan guru mengadakan program akademik seperti kelas tambahan

termasuk dalam masa cuti dan menambah bilangan buku rujukan serta menjalankan

aktiviti bercorak motivasi untuk menjana kecemerlangan murid dalam peperiksaan. Hal

5

Page 6: Profesion Perguruan

ini memberikan tekanan kepada guru serta menambahkan lagi beban tugas mereka.

Sekiranya peratusan kelulusan yang disasarkan tidak dicapai maka guru akan dianggap

sebagai guru yang tidak komited dan kurang berjaya.

Selain daripada itu, masalah kekurangan guru, kekurangan prasarana dan

kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang dihadapi oleh sesetengah sekolah turut

memberikan tekanan kepada guru. Kekurangan tenaga guru menyebabkan guru sedia ada

terpaksa memikul tanggungjawab tambahan untuk mengajar mata pelajaran yang bukan

opsyennya. Hal ini menyebabkan guru terpaksa mengorbankan masa rehatnya untuk

membuat persediaan rapi dengan merujuk kepada bahan pembelajaran mata pelajaran

yang bukan opsyennya.

Di samping itu, bilangan murid yang ramai dalam sebuah bilik darjah turut

memberikan cabaran dan tekanan kepada guru. Keadaan yang sesak ditambah pula

dengan pelbagai karenah murid memberikan cabaran kepada guru untuk memastikan

pengajarannya benar-benar berkesan dan berkualiti. Justeru, sebagai jalan pintas untuk

menangani cabaran tersebut, guru akan memilih kaedah tradisional untuk melaksanakan

tugasnya.

4.2 Cabaran Daripada Murid

Pengurusan pembelajaran yang berkesan dalam bilik darjah merupakan cabaran

kepada guru. Pelbagai karenah yang dijelmakan oleh murid daripada pelbagai latar

belakang, tahap pencapaian dan kebolehan merupakan situasi yang sering dihadapi oleh

guru. Kewujudan keperluan yang berbeza dalam kalangan murid merupakan cabaran

kepada guru yang menuntut usaha yang lebih daripada pihak guru untuk memahami serta

memenuhi kepelbagaian murid serta keperluan mereka. Dalam hal ini, guru perlu

mempunyai pengetahuan yang secukupnya dalam aspek memahami keperluan murid serta

mempunyai kemahiran pengurusan bilik darjah yang baik supaya proses pengajaran dan

pembelajaran berjalan dengan lancar.

6

Page 7: Profesion Perguruan

Guru juga terbeban dengan masalah tingkah laku dan disiplin dalam kalangan

murid. Selain itu, masalah murid yang tidak mempunyai minat untuk mengikuti proses

pengajaran dan pembelajaran merupakan masalah yang perlu ditangani oleh guru.

Sekiranya masalah ini tidak ditangani dengan berkesan, implikasi terhadap murid

bermasalah dan murid lain akan menjadi lebih serius.

Dalam hal ini, sokongan daripada ibu bapa dan masyarakat adalah amat

diperlukan bagi menangani masalah yang timbul ekoran daripada kekurangan prasarana

sekolah, sikap dan tingkah laku pelajar. Masyarakat dapat membantu dari aspek

penyediaan prasarana sekolah manakala ibu bapa dapat membantu dari aspek pemantauan

aktiviti anak-anak mereka di rumah. Kolaborasi antara pihak sekolah, masyarakat dan

ibu bapa sudah tentu akan dapat membantu mengurangkan masalah yang dihadapi oleh

guru dalam memberikan pendidikan yang berkualiti.

4.3 Cabaran Untuk Memenuhi Harapan dan Jangkaan Ibu bapa

Profesion keguruan sentiasa terdedah kepada kritikan masyarakat. Tanggungjawab

mendidik seringkali diserahkan sepenuhnya oleh ibu bapa kepada guru. Kehendak ibu

bapa yang mahukan guru mendidik anak mereka dan membentuk sahsiah dan

keperibadian serta kebolehan intelektual anak mereka merupakan tanggungjawab dan

cabaran yang amat berat bagi guru. Ibu bapa juga cepat mempersalah dan

mempertikaikan tindakan guru terutama sekiranya berlaku sesuatu peristiwa yang kurang

disenangi di sekolah yang melibatkan anak mereka. Sehubungan itu, adalah amat penting

bagi guru untuk mengetahui latar belakang murid dan keluarga, matlamat dan aspirasi ibu

bapa terhadap anak mereka bagi membolehkan guru menjalankan tugas mereka dengan

lancar dan penuh keyakinan. Selain itu, perkongsian dan jaringan pintar serta hubungan

yang baik antara ibu bapa dan sekolah perlu dimantapkan supaya proses pendidikan akan

dapat dilaksanakan dengan sempurna dan kurang memberikan tekanan kepada guru.

7

Page 8: Profesion Perguruan

4.4 Cabaran Untuk Memenuhi Harapan dan Jangkaan Negara

Guru ialah golongan yang menjadi harapan negara dalam proses pembentukan

modal insan demi kemajuan negara di masa hadapan. Peranan guru dalam merealisasikan

misi dan visi negara tertakluk kepada bentuk warga yang dihasilkan melalui sistem

pendidikan negara. Dalam konteks ini, guru perlu memahami aspirasi masyarakat dan

negara terhadap golongan guru. Dasar Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan

Kebangsaan dan Pelan Induk Pembangunan Negara merupakan antara dokumen yang

perlu difahami dan dihayati oleh guru dalam usaha untuk merealisasikan hasrat negara

melalui proses pembinaan modal insan. Penghasilan modal insan yang seimbang dari

aspek intelek, jasmani, rohani dan emosi yang menjadi tunjang pendidikan di bawah

Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjadi cabaran yang perlu dihadapi oleh guru dengan

penuh tanggungjawab.

Cabaran yang dihadapi oleh guru melalui perubahan kurikulum yang bersifat

dinamik selaras dengan keperluan semasa menuntut guru untuk melakukan penyesuaian

agar segala objektif yang disasarkan melalui perubahan kurikulum akan dapat dicapai.

Perubahan secara mendadak boleh memberi tekanan kepada guru. Sehubungan itu, guru

perlu sentiasa bersedia dari segi mental dan psikologi serta meningkatkan pengetahuan

mereka bagi melaksanakan perubahan yang diharapkan.

Selaku role model kepada murid, guru harus mempunyai ciri dan nilai yang boleh

diteladani oleh murid. Ciri dan nilai positif yang perlu ada pada setiap guru meliputi

ketrampilan diri, pengetahuan, akhlak dan keperibadian yang tinggi serta pengamalan

nilai murni di dalam dan di luar bilik darjah. Penyesuaian dalam kalangan masyarakat

pelbagai etnik menuntut guru melakukan penyesuaian supaya selari dengan norma yang

diamalkan oleh masyarakat setempat. Justeru, guru perlu menunjukkan kewibawaan dan

keterampilan yang boleh diteladani oleh muridnya.

8

Page 9: Profesion Perguruan

4.5 Cabaran Untuk Memenuhi Tuntutan Perubahan Semasa

Masa kini, cabaran utama guru adalah berkaitan dengan keperluan masyarakat dan

negara dalam menghadapi era globalisasi dan k-ekonomi. Hargreaves (2003)

menyenaraikan tiga cabaran utama guru dlam era k-ekonomi iaitu: 1) menjadi pemangkin

kepada masyarakat berpengetahuan (knowledge society) untuk merealisasikan peluang

yang dibawa bersamanya; 2) menjadi pengimbang kepada masyarakat dari ancaman yang

dibawa oleh era k-ekonomi; dan 3) menjadi pihak yang dipertanggungjawabkan untuk

memenuhi jangkaan dari segi pendidikan dengan menggunakan kos yang minima. Dalam

hal ini, bidang pendidikan dan guru adalah diharapkan berfungsi sebagai penyelamat

masyarakat.

Masyarakat yang berpengetahuan merujuk kepada sistem ekonomi yang dijana

melalui aspek kreativiti dan keaslian. Hal ini menyebabkan masa hadapan dan

kemakmuran negara bergantung kepada kemahiran tenaga kerjanya (k-worker) yang

meliputi aspek menterjemahkan idea yang kompleks, mengambil peluang daripada

perkembangan sains dan teknologi serta menyelesaikan masalah yang belum pernah

dihadapi. Tambahan pula, golongan k-worker ini diharapkan akan dapat memberikan nilai

tambah kepada sebarang bentuk produk dan perkhidmatan yang dihasilkan. Sehubungan

itu, sekolah dan guru adalah diharapkan dapat memainkan peranan penting dengan

sebaiknya dalam menyediakan murid dengan kualiti tersebut dan memperkembangkan

pengajaran tentang kreativiti dan keaslian. Justeru, guru dan sekolah adlah diharapkan

akan dapat melahirkan modal insan yang berfungsi untuk kesejahteraan diri dan

menyumbang ke arah pembangunan negara.

4.6 Cabaran Dalam Diri Guru Terhadap Profesion Keguruan

Cabaran terbesar yang dihadapi oleh guru ialah untuk memotivasikan diri menjadi

pendidik selaras dengan harapan ibu bapa, masyarakat dan negara. Tekanan beban kerja,

penghormatan masyarakat terhadap profesion keguruan yang agak hambar serta imbuhan

pendapatan yang tidak setanding dengan golongan profesional lain boleh dikaitkan

9

Page 10: Profesion Perguruan

dengan tahap motivasi dalaman guru. Faktor bebanan tugas yang boleh menimbulkan

fenomena burn out dalam kalangan guru, imbuhan kerja yang kurang menarik dan

kekurangan peluang kenaikan pangkat menjadi faktor penolak kepada guru untuk terus

kekal dalam profesion yang mulia ini.

Namun demikian, telah wujud usaha oleh pihak kerajaan untuk menangani isu ini

dengan mempelbagaikan peluang kenaikan pangkat dan penyediaan struktur gaji yang

lebih menarik serta penyediaan persekitaran kerja yang lebih kondusif demi kebajikan

guru di samping untuk menarik lebih ramai individu menyertai profesion keguruan. Hal

ini turut dinyatakan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 – 2010 (PIPP) di

bawah teras strategik Memartabatkan Profesion Keguruan.

5.0 Memartabatkan Profesion Keguruan di bawah Pelan Induk Pembangunan

Pendidikan 2006 – 2010 (PIPP)

Dalam usaha untuk memotivasikan guru serta meletakkan profesion keguruan

setanding dengan golongan profesional lain, Kementerian Pelajaran melalui Pelan Induk

Pembangunan Pendidikan 2006 – 2010 (PIPP), telah menggariskan teras strategik khas

berkaitan dengan profesion keguruan iaitu Memartabatkan Profesion Keguruan.

Di bawah teras ini, KPM telah menggubal dasar untuk memartabatkan profesion

keguruan dengan meningkatkan kualiti guru, kerjaya guru dan kebajikan guru. Bagi

mencapai matlamat dan dasar tersebut, fokus untuk memartabatkan profesion keguruan

adalah:

i. menambah baik sistem pemilihan calon guru;

ii. memantapkan latihan perguruan;

iii. memantapkan kerjaya guru;

iv. menambah baik persekitaran kerja dan kebajikan guru; dan

v. memantapkan perancangan dan pengurusan sumber manusia.

10

Page 11: Profesion Perguruan

Selain daripada meneruskan usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti, KPM

turut berhasrat untuk memastikan guru yang berkualiti akan kekal dalam sistem

pendidikan negara dan kekal berkualiti di sepanjang tempoh perkhidmatan.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, KPM telah menggariskan beberapa strategi

berdasarkan fokus yang ditetapkan seperti berikut:

i. Menambah baik sistem pemilihan calon guru dengan memperketat syarat dan

kriteria pengambilan calon guru.

ii. Memantapkan latihan perguruan dengan:

a) menaik taraf maktab perguruan kepada IPG yang menawarkan program

pada peringkat ijazah sarjana muda pendidikan;

b) mereka bentuk serta menggubal kurikulum IPG secara berpusat dan

mendapat kelulusan Majlis Kurikulum Pendidikan Guru;

c) meningkatkan pemantapan dan peluasan kursus dan latihan; dan

d) memperluas dan meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan

(R&D).

iii. Memantapkan kerjaya guru dengan menambah baik perjawatan guru dan

menambah perjawatan dan peluasan kenaikan pangkat untuk PPPS di

KPM/JPN/PPD/G.

iv. Menambah baik persekitaran kerja dan kebajikan guru dengan menyediakan

persekitaran kerja yang kondusif serta menempatkan guru mengikut opsyen dan

keperluan.

v. Memantapkan perancangan dan pengurusan sumber manusia dengan

penyediaan mekanisme bekalan guru.

6.0 Penutup

Perkembangan dan perubahan yang berlaku dalam bidang pendidikan hari ini

menuntut perubahan perspektif masyarakat terhadap profesion keguruan. Profesion

keguruan tidak boleh dianggap sebagai satu kerjaya yang boleh diceburi oleh sesiapa

sahaja. Hanya mereka yang mempunyai kualiti, keterampilan, kewibawaan, kelayakan,

11

Page 12: Profesion Perguruan

minat, iltizam dan berjiwa pendidik layak menjadi guru. Di samping menuntut

kesungguhan dan tanggungjawab guru dalam mengharungi cabaran di era globalisasi,

pemantapan kebajikan dan kerjaya harus terus diberi penekanan oleh pihak kerajaan.

Skim perkhidmatan keguruan perlu terus diperbaiki bermula daripada aspek pengambilan,

latihan dan penempatan bagi memastikan guru-guru berpeluang menikmati skim yang

setara atau lebih baik daripada skim perkhidmatan profesional yang lain. Pendekatan yang

mewujudkan laluan kerjaya profesion keguruan yang lebih menarik akan meningkatkan

persepsi masyarakat terhadap profesion keguruan, menarik minat individu lain untuk

menyertai profesion ini serta akan dapat melahir dan mengekalkan guru-guru berkualiti

dan sekali gus memartabatkan profesion keguruan yang mulia ini.

12

Page 13: Profesion Perguruan

RUJUKAN

Bakhtiar Mansor. 1993. “Perguruan: Satu Perspektif Perkembangan Kerjaya” dalam

Jurnal Pengurusan Pendidikan. Kuala Lumpur: Institut Aminuddin Baki.

Hoy, K.W. & Miskel, G.C. 1991. Educational Administration: Theory, Research &

Practice.(ed. 4) New York: McGraw Hill Inc.

Kementerian Pelajaran Malaysia. 2006. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-

2010. Putrajaya: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kementerian Pelajaran Malaysia. 2005. Pendidikan Di Malaysia. Putrajaya: Kementerian

Pelajaran Malaysia.

Kementerian Pelajaran Malaysia. 2007. Risalah Maklumat Asas Pendidikan. Putrajaya:

Kementerian Pelajaran Malaysia.

Norzaini Azman & Mohammed Sani Ibrahim. 2007. Profesion Perguruan. Bangi:

Universiti Kebangsaan Malaysia.

Robiah Sidin. 2003. Teori Pentadbiran Pendidikan:Satu Pengenalan. Bangi: Universiti

Kebangsaan Malaysia.

Shuib Dirwan & Johari Seman. 2001. Profesyen Keguruan Di Malaysia: Sejauh Manakah

Martabatnya Kini? dalam Bestari Koleksi Guru Johor, JPN Johor, hlm 40 – 48.

Yazid Abdul Manap. 2001. “Memartabatkan Profesion Keguruan Tanggungjawab

Bersama” dalam Bestari Koleksi Guru Johor, JPN Johor, hlm 15 – 33.

13