ponteng sekolah dan puncanya

5
PONTENG SEKOLAH DAN PUNCANYA PENDAHULUAN PELAJAR Akhir-akhir ini, masalah ponteng sekolah *di kalangan pelajar kian membimbangkan. Masalah ini berlaku di *kebanyakan sekolah-sekolah harian sama ada di bandar ataupun di luar bandar. Masalah ponteng sekolah melibatkan pelajar baik di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah. *di kalangan pelajar sepatutnya dalam kalangan pelajar *kebanyakan sekolah-sekolah sepatutnya kebanyakan sekolah KOMEN MUNSYI BAHASA: Pendahuluan ini bertahap sederhana sahaja;

Upload: showchet

Post on 27-Jun-2015

467 views

Category:

Documents


3 download

TRANSCRIPT

Page 1: Ponteng Sekolah Dan Puncanya

PONTENG SEKOLAH DAN PUNCANYA

PENDAHULUAN PELAJAR

Akhir-akhir ini, masalah ponteng sekolah *di kalangan pelajar kian membimbangkan. Masalah ini berlaku di *kebanyakan sekolah-sekolah harian sama ada di bandar ataupun di luar bandar. Masalah ponteng sekolah melibatkan pelajar baik di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah.

*di kalangan pelajar sepatutnya dalam kalangan pelajar

*kebanyakan sekolah-sekolah  sepatutnya kebanyakan sekolah

KOMEN MUNSYI BAHASA:

Pendahuluan ini bertahap sederhana sahaja; Kesalahan tatabahasa amat ketara; Gaya bahasanya tidak menarik kerana tiada ungkapan yang cantik, peribahasa, cogan kata,

hadis, dan sebagainya; Idea / huraiannya tidak matang; dan Pengolahan pendahuluan pincang kerana tiada ayat arahan.

Page 2: Ponteng Sekolah Dan Puncanya

PENDAHULUAN YANG MANTAP

Saiful:  Eh, Zaki! Apakah yang kaubuat di sini? Engkau tidak ke sekolah?

Zaki:    Aku malaslah. Engkau pula kenapa tidak ke sekolah?

Saiful: Aku bosanlah. Kalau begitu, apa kata kita ke kafe siber itu?

Zaki:    Boleh juga.

Dialog ini menggambarkan bahawa masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar kian membimbangkan.  Gejala ini dipandang berat kerana ponteng sekolah merupakan pokok pangkal kepada masalah-masalah sosial yang lain seperti pergaulan bebas, penagihan dadah, dan sebagainya. Yang menyedihkan ialah mereka akan menjadi sampah masyarakat ataupun bangkai bernyawa kerana tanpa pendidikan mereka tidak dapat menyumbangkan tenaga dan idea kepada pembangunan negara. Setiap masalah ada puncanya bak kata pepatah kalau ada asap, tentu ada api.

PERENGGAN ISI PELAJAR (1)

*Ramai pelajar ponteng sekolah dan melepak di *pusat membeli-belah bersama-sama rakan sebaya. Mereka berkeliaran ke sana ke mari tanpa tentu arah sambil mencuci mata. *Selain daripada itu, mereka merokok sambil berbual-bual kosong di pusat hiburan sehingga waktu tengah hari.

*Ramai pelajar sepatutnya banyak pelajar yang

*pusat membeli-belah sepatutnya pusat beli-belah

*Selain daripada itu sepatutnya Selain itu

KOMEN MUNSYI BAHASA:

Tidak memuaskan; Terdapat kesalahan sistem bahasa; Idea utama tidak jelas/taksa/kabur; Pengolahan tidak menarik.

PERENGGAN ISI YANG MANTAP

Pada saya, faktor perdana yang menyumbang kepada gejala ponteng sekolah ialah pengaruh rakan sebaya yang bermasalah dan bobrok akhlak.  Kita sedia maklum bahawa golongan remaja banyak meluangkan masa bersama-sama rakan mereka. Jika tiada bimbingan daripada ibu bapa, mereka kadangkala berjinak-jinak dengan kelompok remaja yang cenderung ponteng sekolah, melepak dan berjudi. Dengan erti kata lain, jika seseorang itu berkawan dengan si penjual minyak wangi, maka keharumannya akan dapat dirasainya. Jika dia berkawan dengan si tukang besi, maka percikan api akan mengenai dirinya juga. Tegasnya, remaja ponteng sekolah kerana terpengaruh oleh rakan sebaya.

PERENGGAN ISI PELAJAR (2)

Page 3: Ponteng Sekolah Dan Puncanya

*Mutakhir ini, *ramai pelajar tidak berminat untuk belajar. *Justeru itu, mereka tidak membuat kerja rumah dan *mengulangkaji pelajaran. Apabila tertinggal dalam pelajaran, mereka hilang minat untuk belajar. Mereka pun mula ponteng sekolah dan melepak di pusat-pusat internet.

*Mutakhir ini sepatutnya Dewasa ini

*Justeru itu sepatutnya Oleh (sebab) itu

*mengulangkaji sepatutnya mengulang kaji

KOMEN MUNSYI BAHASA:

Sederhana sahaja; Terdapat kesalahan sistem bahasa; dan Pengolahan idea kurang matang / tidak menarik.

PERENGGAN ISI YANG MANTAP

Selain faktor pengaruh rakan sebaya, ketidakcenderungan untuk belajar menyebabkan pelajar ponteng sekolah. Hal ini mungkin kerana iklim institusi sekolah yang tidak kondusif dan tiada nilai penyayang dalam kalangan guru. Tamsilnya, suasana pengajaran dan pembelajaran yang  tidak mesra pelajar dan stereotaip menyebabkan mereka berasa bosan. Mereka pun mula berangan-angan kosong seperti Mat Jenin dan tidak memusatkan fikiran dalam kelas lalu tercicir dalam pelajaran. Lebih-lebih lagi, mereka merasakan kehadiran mereka tidak dihargai  dan mengambil jalan keluar dengan ponteng sekolah. Pendek kata, gejala ponteng sekoah berpunca daripada hilangnya minat untuk belajar gara-gara suasana sekolah yang tidak mesra pelajar.

PERENGGAN ISI PELAJAR (3)

*Marcapada  ini, pusat internet banyak terdapat di bandar. *Para pelajar-pelajar biasanya akan *berpoya-poya di situ untuk menghabiskan waktu sekolah. Mereka asyik melayari internet dan bermain permainan komputer. Mereka membazirkan masa dan wang.

*Marcapada  ini sepatutnya Dewasa ini

*Para pelajar-pelajar sepatutnya Para pelajar

*berpoya-poya sepatutnya berfoya-foya

KOMEN MUNSYI BAHASA:

Amat sederhana; Kesalahan tatabahasa kerap dilakukan; Tidak menyatakan idea karangan dan tajuk karangan; dan Pengolahan idea kurang matang / tidak menarik.

PERENGGAN ISI YANG MANTAP

Page 4: Ponteng Sekolah Dan Puncanya

Baik disedari mahupun tidak, faktor persekitaran turut mempengaruhi para pelajar agar ponteng sekolah. Dewasa ini, kafe siber tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Selain gedung beli-belah, kaki ponteng sekolah lazimnya berselindung di kafe-kafe siber yang berhampiran dengan sekolah. Di situlah, mereka akan terbawa-bawa oleh dunia mereka yang penuh dengan hiburan, perjudian, dan bahan lucah. Tempat ini begitu kondusif untuk mereka yang benci akan sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan. Dengan erti kata lain, persekitaran yang kondusif, seperti kompleks beli-belah dan kafe siber, menjadi faktor penarik yang menggamit pelajar agar ponteng sekolah.

INTIHA/PENUTUP PELAJAR

Kesimpulannya, masalah ponteng sekolah perlu ditangani oleh  semua pihak. Pihak *ibubapa, sekolah dan masyarakat haruslah *berkerjasama untuk mengatasi masalah ponteng sekolah. Jika tidak, generasi kita akan menjadi masyarakat yang tidak berguna.

*ibubapa sepatutnya ibu bapa

*berkerjasama sepatutnya bekerjasama

KOMEN MUNSYI BAHASA:

Amat sederhana; Tidak mahir dalam pembinaan perenggan penutup; dan Perenggan penutup kurang berkesan / impresif.

PERENGGAN PENUTUP YANG MANTAP

Sebagai intiha, masalah ponteng sekolah disebabkan oleh faktor dalaman dan faktor luaran. Sebelum kudis menjadi tokak, masalah ini haruslah ditangani dengan bijak oleh semua pihak. Hal ini demikian kerana masalah ponteng sekolah menjadi titik tolak kepada banyak masalah sosial lain dalam kalangan pelajar. Dalam konteks ini, pihak ibu bapa, sekolah dan PIBG haruslah mengadakan perbincangan meja bulat untuk mencari penawar yang mujarab untuk wabak sosial ini. Suatu sistem pendidikan yang holistik dan iklim persekolahan yang kondusif dapat menjamin anak-anak didik berada di sekolah untuk menimba ilmu agar dapat membina kerjaya yang cemerlang pada masa depan.