pengabaian pembuangan sisa makanan di kantin
TRANSCRIPT
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
KAJIAN KES : PENGABAIAN PEMBUANGAN SISA MAKANAN DAN SAMPAH DI KANTIN SEKOLAH
KEBANGSAAN TAMAN PUTERI
PENSYARAH : DR. ZANATON BT HJ IKSAN
DISEDIAKAN OLEH : ADZLIANA BINTI MOHD DAUD
NO MATRIK : P 59195
GGGR6223– PENDIDIKAN ALAM SEKITAR DAN KELESTARIAN
1
Pengabaian pembuangan sisa makanan dan sampah di kantin Sekolah Kebangsaan
Taman Puteri : Satu Kajian Kes
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk meneroka punca pengabaian pembuangan sisa makanan dan sampah
di kantin sekolah yang dijalankan di Sekolah Kebangsaan Taman Puteri. Selain itu kajian ini juga
bertujuan untuk mengetahui kesedaran responden yang terlibat berkaitan isu ini. Reka bentuk
kajian ini adalah berbentuk kualitatif dan pelaksanaan kajian kes ini menggunakan kaedah
pemerhatian dan temubual. Responden yang terlibat dalam kajian kes ini melibatkan 3 orang
murid yang terlibat dengan pengabaian pembuangan sisa makanan dan sampah di kantin Sekolah
Kebangsaan Taman Puteri. Hasil dapatan menunjukkan bahawa punca utama murid membiarkan
sisa makanan dan sampah tidak dibuang dan diurus dengan baik adalah disebabkan oleh sikap
malas. Justeru, sikap terburu-buru akibat pengurusan masa yang tidak efisien juga menyumbang
kepada permasalahan ini. Pengaruh rakan sebaya juga turut memberi impak terhadap sikap
responden. Responden didapati mempunyai kesedaran namun masih mengabaikan pembuangan
sampah dan sisa makanan dengan betul walaupun mereka mempunyai ilmu berkaitan pengurusan
sisa makanan dan sampah. Antara jenis bahan yang selalu diabaikan pembuangannya dengan cara
yang betul adalah pembungkus plastik makanan, dan meninggalkan pinggan, mangkuk dan gelas
atas meja kantin. Berdasarkan dapatan kajian tersebut beberapa cadangan telah dikemukakan bagi
menangani isu ini. Antaranya adalah pemantauan secara berkala oleh guru bertugas, peranan
pentadbir dan guru disiplin, pendidikan alam sekitar menerusi pembelajaran dan pengajaran guru
untuk meningkatkan kesedaran dan juga sesi bimbingan dan kaunseling.
2
PENGENALAN
1.1 PENDAHULUAN
Persekitaran sekolah yang ceria dan bersih dapat memberi keselesaan dan menggambarkan
kecintaan serta kerjasama yang tinggi dalam kalangan warga sekolah. Suasana persekitaran
sekolah yang bersih, ceria dan tenteram amat perlu bagi menghasilkan keselesaan pelajar bagi
melahirkan insan yang seimbang dari segi emosi, rohani, jasmani mahupun intelek.
Kawasan persekitaran sekolah merangkumi pelbagai kemudahan infrastruktur untuk
keperluan warga sekolah. Infrastuktur ini termasuklah premis kantin. Kantin merupakan tempat di
mana pelajar-pelajar mendapatkan makanan pada waktu rehat. Ini bertepatan dengan kenyataan
oleh Mohd Rizal dan Noor Aini (2010) bahawa kantin adalah perkhidmatan makanan di mana
pelajar-pelajar memperolehi makanan pada waktu persekolahan. Sehubungan itu, sebagai tempat
memperolehi makanan, pihak sekolah termasuklah semua warganya tidak seharusnya
mengabaikan kebersihan dan keselamatan kantin sekolah.
Kebersihan dan keceriaan kantin sekolah secara tidak langsung menggambarkan tahap
keprihatinan warga sekolah terhadap aspek kebersihan. Dengan itu, pihak sekolah termasuklah
staf, dan lingkungan pelajar tidak boleh mengabaikan kebersihan dan keselamatan kantin.
Sebagaimana tumpuan diberikan kepada kelas dengan pengajaran dan pembelajarannya, tumpuan
juga harus diberikan kepada persekitaran kantin sekolah . Ini kerana kantin bukan sekadar tempat
makan, tetapi sebagai tempat di mana pelanggan harus mendapat apa yang dihajati dan berpuas
hati dengan adanya makanan yang bersih, selamat, berkhasiat, segar dan mengenyangkan
(Panduan Pengurusan Kantin Sekolah, 2004).
Selain itu, kantin sebagai salah satu premis yang menjadi sebahagian daripada alam sekitar
adalah merupakan tanggungjawab kita bersama. Kesedaran alam sekitar ini sangat penting di
dalam menjaga keharmonian dan kelestarian alam sekitar ini. Setiap individu mestilah menghargai
alam sekitar sebagai sebuah sumber yang cukup penting di dalam kehidupan ini. Justeru, alam
sekitar yang bersih perlu dipertahankan dan dipelihara bagi meneruskan “survival” kehidupan
3
manusia. Hubungan antara manusia dan alam sekitar adalah sangat rapat kerana setiap aktiviti
manusia akan memberi kesan kepada alam sekitar (Mohd Zaid, 2010).
Dewasa ini, sering terpampang di dada-dada akhbar dan media berhubung isu pengabaian
sisa pepejal. Bukan itu sahaja, sisa makanan yang tidak diurus dan diselia dengan baik juga
memberi impak terhadap keindahan persekitaran. Mengikut laporan Rancangan Malaysia ke-9,
pada tahun 2005, dianggarkan sebanyak 9.57 juta tan sisa buangan pepejal terhasil dan daripada
jumlah ini, 25% atau 2.39 juta tan merupakan sisa buangan makanan. Jumlah sisa buangan
makanan dijangka mencapai 3.75 juta tan pada tahun 2020 (25% daripada jumlah 15.0 juta tan
pada tahun itu). Oleh itu sekiranya aspek pengurusan pembuangan sisa makanan dan sampah tidak
diurus dengan baik, maka tidak mustahil akan menimbulkan penyakit dan mengeluarkan bau
busuk yang boleh menjejaskan keindahan alam sekitar seperti yang dinyatakan oleh Yang et al
(2006) dalam Leow K.T, Aminah Abdullah dan Mushrifah Idris (2010).
Justeru, adalah amat penting bagi kita memastikan kebersihan persekitaran termasuklah
premis-premis dalam usaha untuk mewujudkan komuniti yang seimbang dan harmonis. Dalam
konteks kajian ini, pengabaian pembuangan sisa makanan dan sampah di kantin sekolah
merupakan salah satu isu alam sekitar yang harus dipandang serius oleh semua warga sekolah. Ini
kerana kantin sebagai salah infrastuktur yang turut mempunyai peranan dalam pembentukan
sahsiah pelajar. Malahan, kebersihan persekitaran kantin akan mencerminkan budaya murni dan
warga bersih dalam sesuatu komuniti sekolah.
1.2 PERNYATAAN MASALAH
Kebersihan dan keindahan alam sekitar merupakan aspek penting dalam pembangunan sesebuah
Negara. Sesebuah negara tidak akan mencapai taraf negara maju selagi persekitaran alam
sekitarnya di tahap yang tidak memuaskan. Di sinilah peranan masyarakat dalam mempraktikkan
usaha-usaha melestarikan alam ini di samping meningkatkan tahap kesedaran terhadap alam
sekitar.
4
Sehubungan itu, kajian yang dijalankan oleh Seow Ta We et. Al (2006) mengenai tingkah
laku masyarakat terhadap program kitar semula di mana daripada 383 responden di Daerah Batu
Pahat, hanya 5% daripada responden yang mengikuti program kitar semula. Seterusnya, hasil
kajian tentang kesedaran alam sekitar ke atas 100% orang pelajar tahun satu Fakulti Kejuruteraan
dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia pula menunjukkan keperihatinan mereka
terhadap isu-isu alam sekitar adalah pada tahap sederhana (42%) dan kebanyakan mereka tidak
terlibat dalam dalam aktiviti-aktiviti alam sekitar (Shahrom et al. 2007)
Selain itu, pengurusan pembuangan sisa pepejal menjadi isu kritikal di Malaysia
berdasarkan kajian yang dibuat oleh Mohd Nasir, Theng L.C., Mizanur Rahman et al (2001). Ini
menunjukkan tahap kesedaran terhadap kebersihan persekitaran tidak memuaskan. Lantaran itu,
melihatkan tahap kesedaran mengenai alam sekitar pada tahap yang tidak memuaskan, maka
penyelidik telah mengambil inisiatif memilih dan memantau kawasan kantin sekolah untuk
dijalankan satu kajian kes.
Sehubungan itu, hasil pemerhatian penyelidik ke atas kantin Sekolah Kebangsaan Taman
Puteri sepanjang waktu rehat selama dua minggu, masalah yang sering kali dilihat adalah
pengabaian pembuangan sisa makanan dan sampah dengan betul. Ini dapat dilihat dengan
terdapatnya beberapa sisa bungkusan makanan yang diletakkan di atas meja kantin selepas tamat
waktu rehat, malahan sikap pelajar yang adakalanya meninggalkan pinggan dan gelas selepas
makan tanpa meletakkannya dalam bekas yang disediakan turut menimbulkan masalah kebersihan
kantin. Oleh itu, kajian kes ini dijalankan adalah bertujuan meneroka punca permasalahan ini dan
mengetahui tahap kesedaran sampel kajian dalam isu ini.
1.3 OBJEKTIF KAJIAN
i) Mengetahui faktor-faktor yang mendorong pelajar mengabaikan pembuangan sisa
makanan dan sampah di kantin sekolah
ii) Meneroka sejauh mana kesedaran murid tentang pembuangan sisa makanan dan
sampah yang betul di kantin sekolah
5
iii) Mengetahui jenis sisa makanan dan sampah yang biasa ditinggalkan oleh murid di
kantin sekolah
1.4 PERSOALAN KAJIAN
i) Apakah faktor-faktor yang mendorong pelajar mengabaikan pembuangan sisa
makanan dan sampah di kantin sekolah ?
ii) Sejauh manakah kesedaran murid tentang pembuangan sisa makanan dan sampah
yang betul di kantin sekolah?
iii) Apakah jenis sisa makanan dan sampah yang biasa ditinggalkan oleh murid di
kantin sekolah?
1.5 KEPENTINGAN KAJIAN
Penyelidik berharap agar hasil kajian yang akan dijalankan ini dapat memberi manfaat kepada
pihak-pihak yang berkenaan. Antara kepentingan kajian ini adalah kepada:-
i) Pihak Sekolah
Menyediakan maklumat-maklumat terperinci dan terkini agar dapat digunakan oleh
pihak sekolah dalam merangka program untuk memastikan kebersihan yang perlu
diaplikasikan oleh para pelajar sewaktu makan di kantin sekolah. Melalui kajian
ini, diharapkan guru-guru akan mengetahui tahap kesedaran pelajar dalam usaha
membentuk sikap terhadap cara pembuangan sampah pepejal di kantin sekolah di
kalangan murid-murid sekolah rendah. Diharapkan juga, melalui kajian ini boleh
membantu guru-guru supaya meningkatkan lagi mutu pengajaran mereka di
sekolah dalam menyampaikan maklumat tentang betapa pentingnya menjaga alam
sekitar kepada murid-murid agar mampu melahirkan murid-murid yang sayang
akan alam sekitar mereka dan menjaga kebersihan. Di samping itu, melalui kajian
6
ini, akan membantu guru-guru dalam mengenalpasti murid-murid yang bermasalah
di kantin sekolah yang suka membuang sampah di merata-merata tempat sekaligus
akan dapat mengatasi masalah disiplin murid-murid tersebut.
ii) Pelajar
Maklumat yang diperolehi daripada kajian dapat memberi kesedaran kepada
pelajar-pelajar tentang kepentingan amalan kebersihan menguruskan sisa makanan
selepas makan. Selain itu, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pelajar
berhubung penjagaan kebersihan kawasan persekitaran kantin. Melalui kajian ini
juga, dapat membantu mereka mengetahui apa akibat dan keburukan membuang
sampah dengan cara yang tidak betul di samping membantu melatih sikap mereka
untuk lebih menghargai dan menyayangi alam sekitar.
1.6 BATASAN KAJIAN
Kajian ini dibataskan kepada murid di Sekolah Kebangsaan Taman Puteri. Responden yang dipilih
untuk ditemubual adalah mereka yang terlibat secara langsung dalam isu pengabaian pembuangan
sisa makanan dan sampah di kantin sekolah.
1.7 DEFINISI OPERASIONAL
Kajian ini adalah bertujuan meneroka punca isu pengabaian pembuangan sisa makanan dan
sampah di kantin sekolah dan mengetahui kesedaran pelajar terhadap penjagaan kebersihan kantin
sekolah. Bahagian ini mengemukakan definisi istilah-istilah penting yang digunakan dalam kajian
ini.
7
1.7.1 Pengabaian
Kamus Dewan (Edisi ketiga) pengabaian bermaksud perihal atau perbuatan mengabaikan
(tugas tanggungjawab, nasihat dan teguran, peluang dalam kemudahan dan lain-lain).
Sehubungan itu, dalam kajian kes ini, pengabaian bermaksud tidak bertanggungjawab
membuang sampah dan bekas sisa makanan ke dalam tempat yang disediakan.
1.7.2 Sisa makanan
Sisa buangan makanan didefinisikan sebagai makanan masak terbiar seperti nasi, daging,
ikan, mi, roti dan ubi kentang. (Dearman & Betham, 2006) Menurut Kamus Dewan Edisi
Ketiga (1996) ,sisa makanan bermaksud apa-apa yang tertinggal sesudah dimakan, dipakai
dan lain-lain atau lebihnya makanan. Dalam kajian kes ini, sisa makanan merujuk kepada
lebihan makanan yang tertinggal setelah makan di kantin.
1.7.3 Sampah
Sampah sarap didefinasikan sebagai suatu bahan atau sumber yang tidak lagi digunakan
kerana tidak mempunyai nilai ekonomi sebelum ia melalui proses akhir. (Seow Ta Wee
dan Indera Syahrul ,2006) Sampah dalam kajian ini bermaksud plastik pembungkus
makanan, kertas pembalut makanan, sampah dan sebagainya.
1.7.4 Kantin sekolah
Perkhidmatan makanan di mana pelajar-pelajar memperolehi makanan pada waktu
persekolahan (Mohd Rizal dan Noor Aini , 2010)
8
1.8 TINJAUAN LITERATUR
Persekitaran yang bersih merupakan tunggak keharmonian sesebuah negara. Namun, kadangkala
keharmonian sesebuah negara itu boleh terjejas dengan hanya disebabkan persekitaran yang
ditimbuni dengan sampah sarap, juga disebabkan oleh amalan malas membuang sampah merata-
rata tempat. Ini secara tidak langsung boleh menyebabkan masalah yang lebih besar iaitu
pencemaran dan masalah kesihatan.
Sejajar dengan itu, pada era globalisasi kini, alam sekitar semakin tercemar bukan sahaja
oleh pembuangan sampah semata-mata, namun juga disebabkan oleh pencemaran udara, air,
tanah, bunyi, pembalakan haram dan lain-lain. Walaubagaimanapun, menurut kajian oleh
Ojedukun Oluyinka (2011), menyatakan bahawa kebanyakan dunia sekarang mengalami masalah
pembuangan sampah yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar yang paling banyak.
Kajian beliau di Nigeria mendapati masalah pembuangan sampah di merata-rata tempat semakin
meningkat dengan cepat dan bandar Ibadan merupakan bandar yang terkotor di Nigeria seperti
yang dilaporkan oleh The Nation (2008) dalam Ojedokun Oluyinka (2011). Selanjutnya, kajian
beliau turut mendapati terdapat individu yang mempunyai tingkah laku yang positif mempunyai
kecenderungan melibatkan diri aktiviti alam sekitar.
Sebagai langkah menangani isu berkaitan alam sekitar, kesedaran dan literasi alam sekitar
atau ‘celik alam sekitar’ perlulah disemai dalam diri individu. Menurut Moseley (2000), secara
teorinya, kesedaran dan literasi alam sekitar wujud dalam satu kontinum yang bermula dengan
peringkat kesedaran (peringkat nominal), kefahaman (peringkat fungsi) dan akhirnya kelakuan
(peringkat operasi). Sebagai contoh, kita lihat isu pengabaian pembuangan sisa makanan dan
sampah pada tempat yang sepatutnya. Pada peringkat nominal, kita sedar bahawa pengabaian
pembuangan sisa makanan dan pepejal boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar. Pada
peringkat fungsi pula pula, kita memahami jenis-jenis sisa makanan dan sampah serta kesannya
terhadap kesannya terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar andai tidak diurus dengan baik.
Pada peringkat tertinggi iaitu peringkat operasi, kita hendaklah berupaya untuk mempraktikkan
tingkah laku yang dapat membantu mengurangkan masalah ini misalnya dengan membuang
9
sampah atau sisa makanan pada tempat yang disediakan. Oleh itu, ini menunjukkan bahawa sikap
positif memainkan peranan yang amat penting dalam menangani isu-isu alam sekitar.
Sehubungan itu, pembuangan sampah merata-rata tanpa meletakkannya ke dalam tong
sampah menunjukkan sikap yang tidak bertanggungjawab. Sikap yang tidak bertanggungjawab
dan tidak endah seringkali dikaitkan dengan sebagai penyebab kepada pelbagai masalah alam
sekitar yang berlaku pada masa kini seperti yang dinyatakan oleh Rozita Ibrahim (2002). Lantaran
itu tidak hairanlah kiranya banyak sekali wacana, perbincangan dan perdebatan mengenai isu alam
sekitar yang mencadangkan agar masyarakat membentuk sikap yang lebih bertanggungjawab.
Sebagai usaha menangani isu pengabaian pembuangan sisa makanan dan juga pepejal
dengan kaedah yang betul, maka kesedaran terhadap alam sekitar melalui institusi pendidikan
haruslah diterapkan dalam jiwa generasi masa kini. Ini kerana jalan terbaik adalah memberi
kesedaran kepada masyarakat untuk mengubah sikap dan amalan mereka terhadap alam sekitar.
Oleh itu, sikap dan tingkahlaku terhadap alam sekitar ini harus disemai bermula dari bangku
sekolah lagi. Mengikut Moroyer (2005), sekolah menjadi salah satu cara utama menangani
masalah-masalah yang berkaitan dengan alam sekitar. Pelajar-pelajar yang dididik dengan amalan
murni akan menjadi lebih peka terhadap alam sekitar.
Selain itu, peranan masyarakat terutama ibu bapa di rumah turut menyumbang kepada
peningkatan kesedaran generasi muda terhadap kepentingan menjaga alam sekitar. Kenyataan ini
disokong oleh Maddox.P, Dorran.C, Williams.I.D dan Kus.M (2011) yang menyatakan terdapat
peningkatan tahap kesedaran dan peningkatan sikap yang positif terhadap aktiviti alam sekitar
melalui projek THAW iaitu “Taking Home Action on Waste”. Projek ini melibatkan 6705 kanak-
kanak di 39 buah sekolah di South Yorkshire, England di mana projek ini membolehkan mereka
mengamalkan amalan kitar semula di rumah dengan sokongan ibu bapa. Didapati, pengetahuan
dan kefahaman murid dalam pengurusan sisa meningkat dengan baik.
10
2.0 METODOLOGI KAJIAN
2.1 PENGENALAN
Bab ini membincangkan mengenai kaedah kajian yang akan digunakan oleh pengkaji iaitu
rekabentuk kajian, sampel kajian, instrumen kajian, prosedur pengumpulan data dan prosedur
penganalisaan data.
2.2 REKABENTUK KAJIAN
Reka bentuk kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif. Manakala kaedah yang dipilih ialah
kaedah kajian kes. Kaedah kajian kes ini merupakan satu jenis reka bentuk bukan eksperimen.
Kajian kes ini boleh membantu penyelidik untuk memahami sesuatu isu atau objek yang kompleks
secara terperinci dengan hanya menggunakan sampel yang kecil. Kajian kes juga membantu
penyelidik untuk memahami sesuatu fenomena, disamping menambah pengetahuan sedia ada
tentang fenomena tersebut serta melihat hubungan yang wujud antara pelbagai objek, elemen serta
isu tersirat berhubung fenomena itu. Kajian kes juga turut boleh digunakan untuk mengumpul data
kualitatif bagi memantap dan memahami sesuatu situasi atau fenomena, program,proses atau
kumpulan sosial secara mendalam (Meriam,2002; Yin, 2003). Sementara itu pula, teknik
penyelidikan yang digunakan adalah berbentuk temubual dan pemerhatian di samping dibantu
oleh satu set soal selidik.
2.3 PESERTA KAJIAN
Responden kajian terdiri daripada 3 orang murid tahap dua Sekolah Kebangsaan Taman Puteri.
Murid yang dipilih ini merupakan mereka yang terlibat dalam pengabaian pembuangan sisa
makanan dan sampah di kantin sekolah.
11
2.4 INSTRUMEN DAN PROSEDUR PENGUMPULAN DATA KAJIAN
Instrumen kajian adalah penyelidik sendiri dan prosedur pengumpulan data kajian terdiri daripada
dua proses utama.
I) Penyelidik melakukan teknik pemerhatian terhadap responden
II) Penyelidik melakukan teknik temubual terhadap responden.
2.4.1 Melakukan teknik pemerhatian terhadap responden
Cara pembuangan sampah pepejal oleh murid-murid tahun SK Taman Puteri semasa waktu
rehat di kantin diperhatikan selama dua minggu. Tujuan pemerhatian ini dijalankan adalah
untuk melihat cara pembuangan sampah pepejal oleh murid-murid untuk mengetahui sikap
mereka terhadap cara pembuangan sampah pepejal yang betul. Selain itu juga untuk
memilih responden yang melakukan pengabaian terhadap pembuangan sisa makanan dan
sampah pepejal.
2.4.2 Melakukan teknik temubual terhadap responden
Responden yang dipilih ditemubual oleh penyelidik. Pemilihan responden adalah dalam
kalangan mereka yang melakukan pengabaian pembuangan sisa makanan dan sampah
pepejal ini. Tujuan teknik temubual ini dilakukan adalah untuk mengetahui secara
terperinci dan mendalam tentang jawapan yang dikemukan oleh kesemua responden
2.5 PROSEDUR PENGANALISAAN DATA
Setelah data yang dikehendaki dikumpul, penyelidik seterusnya membuat satu siri analisis data
kualitatif dengan membincangkan hasil dapatan daripada pemerhatian yang dijalankan dan hasil
temubual dengan responden. Selepas itu, satu kesimpulan dapatan kajian terhadap kajian kes ini
dibuat.
12
3.0 HASIL DAPATAN DAN PERBINCANGAN
Berdasarkan hasil temu bual daripada kajian kes yang dijalankan, didapati terdapat beberapa
faktor yang menjadi punca punca utama masalah pengabaian pembuangan sisa makanan.
Antaranya adalah sikap pelajar yang malas, pengurusan masa yang tidak efisien, pengaruh rakan
sebaya. Di samping itu, responden mempunyai kesedaran dan mempunyai ilmu daripada aspek
pengurusan sisa makanan dan sampah namun masih mempunyai tabiat suka membuang sampah
merata-rata. Selain itu, jenis bahan yang selalu diabaikan pengurusan pembuangannya adalah
plastik pembungkus makanan serta pinggan, mangkuk, gelas dan cawan yang tidak diletakkan
dalam besennya selepas makan.
Sikap malas
Pelajar didapati malas membuang sampah atau sisa makanan ke dalam tong yang disediakan.
Melalui pemerhatian penyelidik, didapati tong sampah yang disediakan oleh pihak sekolah terletak
tidak jauh daripada meja kantin pelajar, namun disebabkan sikap malas bergerak, dan sikap sambil
lewa mendorong pelajar terbabit meletakkan sahaja sisa makanan di atas meja kantin tersebut. Ini
dapat dilihat melalui temu bual penyelidik dan pelajar selaku responden. Kesemua responden
memberikan jawapan berhubung sikap malas mereka apabila ditanyakan kenapa mereka berbuat
demikian iaitu membiarkan sampah atas meja kantin.
Responden 1 : malas lah cikgu , jauh tong sampah tu dari meja kantin
Penyelidik : jauh ?? cikgu tengok dekat jer tong sampah tu dari meja
kantin tempat makan tu
Responden 1 : penat lah cikgu nak pegi buang kat sana..malas lah ..
Begitu juga dengan responden ke 2 dan responden ke 3 :
Responden 2 : sebab saya malaslah nak buang sampah.
Responden 3 : Sebab malas
Sikap malas ini merupakan satu tabiat yang berulangkali dilakukan oleh pelajar sehinggakan
menimbulkan rasa tidak bersalah dalam kalangan pelajar yang melakukannya. Sikap ini jugalah
13
yang menyebabkan seringkali berlakunya isu pengabaian pembuangan sisa makanan dan sampah
dengan kaedah yang betul. Bagi sebab malas atau sengaja membuang sampah merata-rata tempat,
bila ditemubual kenapa responden berbuat sedemikian, mereka menjawab mereka sudah biasa
berbuat. Ada juga menyatakan bahawa ibu bapa mereka kadang kala tegur dan kadang kala tidak
menegur perbuatan mereka tersebut. Jadi, disini, pengkaji boleh menyimpulkan bahawa, sikap
mereka yang malas dan sengaja membuang sampah telah terbentuk dari kecil lagi semasa di
rumah akibat daripada ibu bapa tidak mengendahkanya. Apabila melangkah ke alam persekolahan,
sukar untuk guru-guru memperbaiki sikap buruk mereka tersebut kerana faktor kekangan masa
dan faktor murid tersebut yang telah terbiasa hidup dengan cara hidup sedemikian.
Pengurusan masa yang tidak efisien
Selain daripada sikap malas, sikap terburu-buru akibat pengurusan masa yang tidak efisien
responden dapat dilihat berdasarkan temubual di bawah,
Responden 1 : Lagi satu nak cepat cikgu, nak beratur lagi,
Kadang-kadang, keluar kelas lewat cikgu, nak siapkan kerja,
tu yang tak sempat nak habiskan makanan dalam waktu
rehat
Responden 2 : tak taulah, kadangkala cikgu panggil beratur, saya kena
lari, jadi saya takutlah,
Penyelidik : Em awak sedar tak yang perbuatan awak ni dikira
melanggar peraturan dan disiplin sekolah ?
Responden 2 : Saya sedar tapi saya nak cepat masuk kelas dan beratur,
selalulah cikgu tanya kenapa saya masuk lambat, jadi
saya mahu cepat.
Melalui temu bual, didapati akibat ingin cepat kerana ingin beratur, dan membuat tugasan-tugasan
yang lain menyebabkan responden mengabaikan cara pembuangan sampah dengan betul. Ini
bermakna responden mempunyai pengurusan masa yang tidak efisien. Seandainya responden
mengamalkan disiplin pengurusan masa sewaktu makan atau sebelum makan, sudah tentu masa
14
yang diperuntukkan untuk makan cukup dan bukan menjadi satu masalah untuk responden
membuang sampah dalam tong sampah ataupun meletakkan semula bekas makanan, minuman ke
dalam besen yang telah disediakan. Apabila ditemubual secara terperinci kenapa mereka ingin
cepat meninggalkan kantin sekolah lalu membuang sampah merata-rata, kebanyakan responden
menjawab ingin beratur cepat, ingin bertemu guru dan ingin bertugas di perpustakaan. Jadi,
pengkaji mendapati bahawa, bagi responden, masa rehat selama 20 minit bermula dari jam 10.10
pagi sehingga 10.30 pagi tidak mencukupi bagi mereka. Pengkaji juga mendapati bahawa
kebanyakan responden cukup aktif dan suka bermain. Ini sekaligus menyebabkan mereka tidak
dapat menguruskan masa dengan baik dan menyebabkan mereka mengabaikan terus pembuangan
sisa makanan dan sampah dengan betul.
Pengaruh rakan sebaya
Justeru, pelajar yang mempunyai tabiat ini juga kebanyakannya berada dalam lingkungan rakan-
rakan yang turut mempunyai tabiat yang sama. Apabila ditanya mengenai teguran yang pernah
diterima, penyelidik dimaklumkan melalui responden 1 bahawa tiada teguran yang diterima
malahan rakan-rakannya turut mempunyai tabiat yang sama. Ini dapat dilihat melalui transkripsi di
bawah:
Penyelidik : Kawan-kawan pun takde tegur tabiat awak?
Responden 1 : Takde, kawan-kawan pun macam tu juga..
Begitu juga dengan Responden 2, apabila ditanya kenapa tabiat ini menjadi amalan, inilah
jawapannya :
Responden 2 : Ikut kawan..
Temu bual bersama responden ke 3 juga mendapati hasil jawapan yang sama;
Penyelidik : Kawan-kawan ada yang buang sampah merata-rata juga tak di
kantin sekolah ?
Responden 3 : Ada, itu kadang-kadang terikut-ikut jugak
Oleh itu berdasarkan hasil jawapan ini, ternyata bahawa rakan sebaya turut mempengaruhi tabiat
dan tingkah laku responden. Menurut Sharifah Raudzah (2007), kumpulan rakan sebaya ini
15
mempunyai peranan dalam aktiviti sosial. Ia adalah agensi tidak formal yang memberikan
pengalaman yang tidak dapat diperolehi daripada keluarga dan juga di sekolah. Jadi pengaruh
mereka amat kuat dalam membentuk tingkahlaku rakannya. Setiap perbuatan yang diperhatikan
oleh individu itu mudah diikuti individu yang lain. Pernyataan ini disokong oleh Azizi Yahaya,
Halimah Ma’alip dan Faizah Idris (2011) yang menyatakan bahawa tingkah laku dibentuk dan
ditentukan oleh apa yang dilakukan oleh orang lain dan diperhatikan oleh pelaku.
Mempunyai kesedaran tetapi masih mengabaikan pembuangan sampah dengan betul
Selain itu, beberapa responden ada mengatakan bahawa mereka tahu bahawa pembuangan sampah
merata-rata dan meninggalkan sisa makanan begitu sahaja atas meja kantin merupakan perbuatan
yang negatif, namun mereka masih berbuat begitu juga. Ini menunjukkan bahawa mereka
mempunyai kesedaran kerana ada ilmu dan kefahaman tentang aspek penjagaan kebersihan
persekitaran. Ini dapat diperhatikan melalui hasil temubual
Penyelidik : Em awak sedar tak yang perbuatan awak ni dikira melanggar
peraturan dan disiplin sekolah ?
Responden 1 : Tahu…
Berikut pula temu bual dengan responden ke 3
Penyelidik : Awak tahu tak yang perbuatan ini merupakan tabiat yang tidak
baik?
Responden 3 : Saya tahu
Penyelidik : Oo awak tahu tapi masih buat lagi ye?
Responden 3 : Ermm…Ya..
Perasaan bersalah juga menguasai diri responden yang melakukan tabiat ini. Ini secara tidak
langsung menunjukkan ada kesedaran cuma kesedaran itu belum berada pada tahap yang optima
yang akan memandu mereka untuk bertindak dengan betul.
Penyelidik : Apa perasaan awak apabila awak tinggalkan sampah begitu?
Responden 1 : Rasa bersalah sikit..
Responden 3 : Kadang-kadang tak sedap hati, ada rasa bersalah
16
Walaupun responden mempunyai nilai kesedaran kerana memiliki rasa bersalah melakukan
kesalahan , namun masih berlaku juga amalan pengabaian pembuangan sisa makanan dan sampah
ini disebabkan tabiat atau sikap mereka yang tidak mementingkan kebersihan dan kelestarian alam
sekitar mereka walaupun mereka mempunyai pengetahuan terhadap perkara tersebut. Ini mungkin
juga disebabkan kurangnya didikan daripada guru-guru dan yang penting sekali ibu bapa di rumah
tentang etika pembuangan sampah terutamanya d kantin sekolah kepada mereka.
Walaupun kefahaman dan ilmu dimiliki oleh individu, namun apabila kurang kesedaran
mahupun tiada langsung kesedaran dalam diri akan menyebabkan isu ini berlaku. Apabila
seseorang itu mempunyai kesedaran yang tinggi akan sesuatu perkara, ia akan mendorong
seseorang itu untuk bertindak mengikut perkara yang mengikut landasan yang sepatutnya. Ini
selaras dengan kenyataan yang dibuat oleh Abdullah Mohamad Said (1999) dalam Ahmad Faisal
Alias (2005) bahawa kesedaran mengenai alam sekitar akan mempengaruhi tahap keterlibatan
mereka dalam isu-isu penjagaan alam sekitar. Secara amnya boleh diringkaskan di sini bahawa
sekiranya orang-ramai sedar tentang alam sekitar, mereka lebih bersedia untuk mengambil
bahagian dalam program-program pengurusan alam sekitar termasuklah tidak mengabaikan
pembuangan sampah ke dalam tong sampah.
Seharusnya guru sebagai pendidik harus lebih memainkan peranan dan tindakan dalam
usaha membentuk kesedaran yang tinggi dalam kalangan pelajar. Menurut Nilkham,
Pinyoanantapong dan Wongchantra (2011), pendidik memainkan peranan penting untuk
menyokong, menggalakkan dan membangunkan etika, dan untuk membantu dalam mengubah
sikap orang ramai untuk memberi perhatian yang lebih kepada isu-isu alam sekitar. Kajian mereka
dijalankan di Fakulti Pengajian Alam Sekitar dan Sumber, Universiti Mahasarakham yang
melibatkan sampel seramai 32 orang iaitu 16 orang merupakan kumpulan rawatan manakala 16
orang daripada kumpulan kawalan. Hasil dapatan menujukkan bahawa kumpulan pelajar rawatan
yang diberi pendedahan tentang keupayaan untuk menjadi pendidik alam sekitar, mengetahui
proses pemindahan pengetahuan alam sekitar, amalan pengaplikasian pengetahuan alam sekitar,
dan pengetahuan pengurusan alam sekitar telah mampu meningkatkan sifat pendidik alam sekitar
dalam diri mereka. Oleh itu, seseorang yang diberi pendedahan berkaitan pendidikan alam sekitar
akan dapat meningkatkan kesedaran dan keprihatinan terhadap isu alam sekitar.
17
Jenis bahan yang diabaikan pengurusan pembuangan
Selain itu, bahan-bahan yang dikenalpasti selalu diabaikan oleh responden selepas makan
di kantin sekolah ialah bekas makanan seperti pinggan, mangkuk, gelas dan cawan serta plastik
pembungkus makanan. Responden yang terlibat dalam kajian ini menjelaskan bahawa mereka
meninggalkan sahaja sisa makanan tersebut dengan meletakkannya atas meja kantin. Ada juga
yang membiarkan pembungkus makanan berupa plastik bertaburan atas meja dan juga tidak
ketinggalan ada juga yang meletakkannya di bawah meja makan dan juga dalam longkang. Ini
bermakna walaupun pihak kantin ada menyediakan besen khas untuk bekas makanan dan
minuman yang telah dimakan namun, terdapat segelintir responden yang masih membiarkan
bekas makanan dan minuman tersebut di atas meja kantin. Hasil pemerhatian penyelidik di
kawasan kantin sekolah selama dua minggu, memang setiap hari ada sahaja pekerja kantin akan
mengutip bekas-bekas pinggan mangkuk dan gelas yang ditinggalkan.
18
4.0 CADANGAN
Antara cadangan yang boleh diambil kira dalam menangani isu pengabaian pembuangan
sisa makanan dan sampah di kantin sekolah dan ini adalah menguatkuasakan undang-undang dan
peraturan di sekolah berhubung isu ini. Dalam kes ini, pentadbir , guru disipilin, guru-guru
bertugas , pekerja kantin perlu memainkan peranan yang lebih dalam mengawal disipin pelajar
sewaktu di kantin sekolah. Sebagai contoh, pemantauan secara berkala oleh guru bertugas setiap
kali waktu rehat di kantin sekolah, peringatan secara berterusan oleh guru disiplin sekolah sedikit
sebanyak akan mewujudkan pelajar yang lebih peka terhadap peraturan sekolah termasuklah di
persekitaran kantin yang sering diabaikan. Tindakan tegas juga perlu diambil bagi pelajar yang
mengabaikan tanggungjawab membuang sisa makanan dengan betul seperti denda membersihkan
persekitaran kantin.
Selain itu, guru-guru dalam kelas juga berperanan memasukkan elemen-elemen pendidikan
alam sekitar sewaktu proses pembelajaran dan pengajaran mereka di kelas. Guru-guru boleh
menerapkan pendidikan berkaitan kebersihan persekitaran sekolah termasuklah persekitaran
kantin. Oleh itu, guru perlu bijak memasukkan elemen penjagaan kebersihan ini dalam pengajaran
mereka dan menambahkan ilmu pedagogi dan psikologi mereka dalam membentuk sahsiah pelajar
merentasi kurikulum yang diajar oleh mereka.
Bagi pelajar yang berulang kali mengabaikan pembuangan sisa makanan ini, perkhidmatan
bimbingan dan kaunseling boleh diwujudkan dalam kalangan pelajar berkenaan. Justeru, pihak
kaunselor sekolah boleh membantu mengenalpasti masalah pelajar, seterusnya memberi panduan
dan bimbingan kepada pelajar terbabit untuk berubah sikap ke arah yang lebih positif. Menurut
Rozita Ibrahim (2002), motivasi dalaman adalah amat penting dalam mendorong seseorang itu
mengambil sesuatu tindakan. Teori motivasi turut menjelaskan bahawa salah satu faktor
pendorong utama adalah penetapan matlamat yang jelas. Dalam konteks kajian ini, matlamat yang
jelas di samping motivasi berterusan perlu di nyatakan kepada pelajar kerana ia dapat mendorong
seseorang melakukan tindakan dan sikap yang baik terhadap alam sekitar dan ganjaran yang bakal
didapatinya.
19
5.0 PENUTUP
Persekitaran yang bersih, tersusun dan ceria pasti menyegarkan pandangan mata setiap individu.
Sekolah sebagai salah satu infrastruktur yang menjadi sebahagian daripada alam ini juga
Kebersihan persekitaran sekolah merupakan tanggungjawab semua warga sekolah. Persekitaran
sekolah yang bersih akan mempamerkan budaya sesuatu sekolah itu. Sekiranya budaya dan
amalan mempraktikkan kebersihan dengan membuang sampah dalam tong sampah dan juga
meletakkan bekas makanan dan minuman yang setelah digunakan ke dalam bekas yang disediakan
menjadi satu tabiat dalam kalangan generasi pelajar, sudah pasti warga sekolah akan menikmati
suasana persekitaran yang bersih dan harmonis.
Selain itu, setiap daripada kita perlu bertanggungjawab terhadap bumi yang kita diami ini
bukan terhad kepada tempat-tempat tertentu sahaja misalnya seperti persekitaran sekolah atau.
Walaubagaimanapun, kesedaran ini harus dipupuk bermula dari peringkat kanak-kanak dan
sekolah sebagai mediumnya. Ini kerana pelajar merupakan generasi akan datang yang akan
menguruskan alam sekitar. Segala amalan mereka akan memberi impak terhadap keharmonian
alam. Sekiranya tabiat menjaga alam sekitar dan memelihara kebersihannya diabaikan, maka akan
berlakulah sesuatu musibah kepada alam ini. Dalam Al-Quran juga dinyatakan bahawa
kemusnahan yang berlaku di darat dan di laut adalah akibat kerakusan manusia. Firman Allah
s.w.t yang bermaksud :
“Berlakunya kerosakan di darat dan di lautan adalah disebabkan oleh tangan-
tangan manusia supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada
(akibat) perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah
Ar-Rum :41)
Oleh itu, amalan murni menjaga kebersihan dan pemeliharan alam ini jika diamalkan pasti
dapat mengurangkan isu alam sekitar sekaligus mampu membentuk kesejahteraan masyarakat
amnya.
20
Rujukan
Ahmad Faisal Alias. 2005. Kajian Pola Laporan Isu-isu berkaitan Alam Sekitar Dalam akhbar-akhbar Perdana Tempatan, Institut Penyelidikan, Pembangunan dan Pengkormesila Universiti Teknologi Shah Alam Selangor,
Azizi Yahaya, Halimah Ma’alip dan Faizah Idris. 2011. Persepsi Pelajar Terhadap Perlakuan Agresif Yang Berlaku di Lima Buah Sekolah Menengah diKawasan Bandar Johor Bahru. Journal of Educational Psychology and Counseling, volume 1 Mac 2011, Pages 1-24 / ISSN: 2231-735X
Dearmen, B. & Bentham, R.H. 2006. Anaerobic digestion of food waste: Comaparing leachate exchange rates in sequential batchsystem digesting food waste and biosolids. Waste Manage.doi:10.1016/j. wasman.2006.08.006.
Feachem, R., McGarry, M. & Mara D. 1982. Water, Waste and Health in Hot Climate. Chichester John Wiley & Sons Ltd. Dalam Siti Aisha Achmad. 2007. Kajian kes: Keberkesanan Pengurusan Sisa Pepejal Di Pasar Besar Kota Kinabalu dan Pasar Tanjung Tawau. Desertasi Program Sains Sekitaran. Universiti Malaysia Sabah
Kamus Dewan Edisi Ketiga. Dewan Bahasa dan Pustaka.1996.
Leow, K.T, Aminah Abdullah dan Mushrifah Idris. 2010. Anggaran dan Ciri Fizikokimia Sisa Buangan Makanan Di Bandar Baru Bangi. Sains Malaysiana 39(5)(2010):717-723
Maddox P, Doran C, Williams. I.D, Kus M. 2011. The role of intergenerational influence in waste education programmes: The THAW project. Waste Management 31 (2011) 2590–2600
Mohd Nasir Hassan, Theng Lee Chong, Mizanur Rahman, Mohd Nazeri Salleh, Zurina Zakaria dan Muhamad Awang. 2001. Solid Waste Management-what’s the Malaysian position. Malaysia Journal of Environmental Management, 2. Pp. 25-43. ISSN 1511-7855
Mohd Said, Mohd Rizal dan Mohd Noor, Noor Aini . 2010. Amalan Kebersihan Makanan dalam Pengendali kantin di Sekolah Zon Skudai, p.p 1-11
Mohd Zaid bin Ismail . 2009. Amalan-amalan murni alam sekitar kea rah melahirkan warga alam (environment citizen) dalam kalangan pelajar tingkatan 4 di Terengganu. Tugasan Kursus Alam Sekitar dan Kelestarian, Sarjana Pendidikan Sains, Universiti Kebangsaan Malaysia
Moroyer, C.M. 2005. Common ground : an ecological perspective on teaching and learning. Curriculum and Teaching Dialogue 7(1/2) : 123-139
Moseley M. 2000. Teaching for Environmental Literacy. Clearing House Sept/Oct 2000 Vol. 74 Issue 1:23-24 Dalam Rozita Ibrahim. 2002. Literasi alam sekitar menurut paradigma agama. MALIM: Jurnal Pengajian Umum Asia Tenggara, 3. Pp. 137-148. ISSN 1511-8393
21
Nilkham. T, Pinyoanantapong. B, Wongchantra. P. 2011. A study and promotion of attributes of environmental educators for bachelor’s degree students. European Journal of Social Science. Volume 25, Issue 2, October 2011, Pages 233-243
Ojedokun Oluyinka. 2011. Attitude towards littering as a mediator of the relationship between personality attributes and responsible environmental behaviour. Waste Management 31 (2011) 2601–2611
Rozita Ibrahim. 2002. Literasi alam sekitar menurut paradigm agama. MALIM: Jurnal Pengajian Umum Asia Tenggara, 3. Pp. 137-148. ISSN 1511-8393
Seow Ta Wee, Jamaluddin Md Jahi & Indera Syahrul Mat Radzuan. 2006. Tingkah laku Masyarakat Terhadap Program Kitar Semula : Kajian Kes di Daerah Batu Pahat, Jabatan Pengurusan Pembinaan & Harta Tanah, Fakulti Pengurusan Teknologi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Shahrom Md Zain, Noor Ezlin Ahmad Basri, Fatihah Suja, Othman Jaafar & Hassan Basri. 2007. Pendidikan Alam Sekitar: Bagaimana usaha-usaha dilakukan dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran. Jabatan Kejuruteraan Awam & Struktur, Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia
Siti Aisha bt Achmad. 2007. Kajian kes: Keberkesanan Pengurusan Sisa Pepejal Di Pasar Besar Kota Kinabalu dan Pasar Tanjung Tawau. Desertasi Program Sains Sekitaran. Universiti Malaysia Sabah
Sharifah Raudzah bt Syed Junid. 2007. Faktor-faktor yang mempengaruhi salah laku pelajar dan hubungannya dengan personality pelajar. Tesis Sarjana Universiti Teknologi Malaysia
The Nation, 2008. Fed Govt. to Upgrade Slums in 11 States-Aba, Ibadan Dirtiest Cities. February 6, p. 8. Dalam Ojedokun Oluyinka. 2011. Attitude towards littering as a mediator of the relationship between personality attributes and responsible environmental behaviour. Waste Management 31 (2011) 2601–2611
Yang, S.Y, Ji, K.S, Baik, Y.H, Kwak, W.S & /McCaskey, T.A. 2006. Lactic Acid Fermentation of Food Waste for swine feed. Bioresource Technology 97: 1858-1859 . Dalam Leow, K.T, Aminah Abdullah dan Mushrifah Idris. 2010. Anggaran dan Ciri Fizikokimia Sisa Buangan Makanan Di Bandar Baru Bangi. Sains Malaysiana 39(5)(2010):717-723
.
22
Keadaan persekitaran kantin sekolah selepas waktu rehat
23
24