pendidikan swasta - geocities.ws · web viewbahasa lain selain bahasa melayu boleh dijadikan bahasa...
TRANSCRIPT
1.0 Pengenalan
Dalam era globalisasi dan ledakan ilmu ini, rakyat Malaysia seperti rakyat negara lain
juga pasti tidak mahu ketinggalan merebut peluang mengejar ilmu bagi mencapai
kejayaan cemerlang dalam pelbagai bidang. Kecemerlangan ilmu menjadikan kita sama
seiring dalam meneroka penemuan-penemuan baru yang mengharumkan nama negara di
mata dunia. Malahan ramai rakyat negara kita yang telah mencipta nama di luar negara.
Menjadi impian Kerajaan Malaysia untuk memberi segala yang terbaik untuk semua
rakyat. Pelbagai rancangan diatur dan pelbagai program dilaksanakan bagi memastikan
rakyat negara ini mampu bersaing dan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan
rakyat negara lain. Dalam bidang pendidikan terutamanya, kerajaan sentiasa mencari
formula-formula baru bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat pendidikan yang
bermutu. Kemajuan pesat ekonomi negara turut menuntut kemajuan yang pesat dalam
bidang pendidikan.
Permintaan tenaga kerja profesional berikutan berkembangnya sektor industri
merupakan satu cabaran dalam bidang pendidikan negara kita yang kurang menawarkan
program-program tersebut. Selaras dengan pembangunan negara, kerajaan telah
membina institusi-institusi pengajian tinggi yang berteraskan sains dan teknologi. Oleh
sebab tanggung jawab yang terlalu banyak kerajaan tidak mampu menyediakan peluang
pendidikan untuk semua rakyat. Bagi memperlengkapkan kekosongan yang perlu diisi,
kerajaan telah menggalakkan penubuhan institusi pendidikan swasta supaya sama-sama
berganding bahu memikul tanggung jawab memajukan rakyat dalam memastikan rakyat
negara ini mendapat pendidikan yang sewajarnya. Kalau dahulu peranan institusi
pendidikan swasta terlalu kecil bilanganaya dan hanya berfungsi sebagai satu alternatif
kepada pelajar-pelajar yang gagal mendapatkan tempat di institusi-institusi tinggi awam,
keadaan kini telah jauh berubah. Institusi pendidikan swasta mempunyai peranan dan
tanggung jawab yang tidak kurang pentingnya jika dibandingkan dengan institusi
1
pengajian awam. Kini, institusi pengajian swasta tidak lagi sebagai pilihan kedua malah
menjadi satu pilihan utama terutamanya kepada pelajar-pelajar dari golongan
berpendapatan tinggi meneroka bidang-bidang baru dalam dunia pendidikan. Kemudahan
yang serba lengkap serta penawaran kursus yang bersesuaian dengan permintaan semasa
serta masa pengajian yang pendek menjadikan institusi pendidikan swasta tumpuan
pelajar-pelajar dari golongan yang berkemampuan.
1.1 Institut Pendidikan Swasta : Penubuhan , Pengurusan dan Operasi
Walaupun kerajaan tidak terlibat dalam membiayai kewangan institusi pendidikan swasta
bukan bermakna kerajaan tidak terlibat langsung dalam urusan penubuhan dan
pentadbiran institusi pendidikan swasta. Kementerian Pendidikan melalui Jabatan
Pendidikan Swasta terlibat secara langsung mengawasi penubuhan dan operasi serta
menjalankan pemantauan bagi memastikan kecemerlangan dan kualiti pendidikan di
institusi pendidikan swasta berterusan. Bagi memastikan perjalanan pengurusan dan
operasi institusi pendidikan swasta bersesuaian dengan aspirasi dan cita-cita negara
beberapa akta telah disediakan dan segala urusan pentadbiran institusi pendidikan Swasta
adalah berikut iaitu Akta Pendidikan 1996, Akta Institut Pendidikan Tinggi Swasta
1996, Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996, Akta Lembaga Akreditasi Negara
dan Akta Perbadanan Tinggi Nasional 1997.
1.2 Struktur Pendidikan Swasta
Mengikut Shahril et al. (1997) struktur institusi pendidikan secara umum terbahagi
kepada dua kategori iaitu kategori yang pertama ialah institusi pendidikan swasta yang
menawarkan pengajian peringkat rendah, menengah dan kursus-kursus kemahiran.
Kumpulan intitusi yang termasuk dalam kumpulan ini ialah taman didikan kanak -kanak,
sekolah rendah dan menengah persendirian, sekolah-sekolah ekspatrait, sekolah
antarabangsa, sekolah perdagangan dan teknikal serta pusat-pusat kemahiran.
2
Kumpulan kedua pula ialah kolej-kolej swasta, kolej universiti swasta, universiti swasta
dan cawangan universiti swasta. Kumpulan institusi ini dikenali sebagai Institusi
Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang menawarkan pelbagai kursus peringkat diploma,
ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana. Secara umumnya institusi pendidikan swasta di
negara ini adalah seperti yang dinyatakan di bawah.
1.2.1 Sekolah agama
Sekolah-sekolah swasta wujud dalam bentuk sekolah-sekolah agama. Contoh nya ialah
TASKI, sekolah agama pondok yang terdapat dengan banyaknya di Selangor, Kelantan,
Terengganu dan Johor. Sekolah-sekolah ini disusun khas untuk orang ramai mendapat
pendidikan dari peringkat pra-sekolah sehinggalah ke peringkat yang lebih tinggi . Orang
yang telah mencapai usia ‘tua’ dan ingin mendalami bidang agama boleh mendapatkan
pendidikan di sini. Pendidikan awam kurang (tidak) menyediakan peluang pendidikan di
peringkat usia ini. Oleh itu di sinilah peranan IPTS memberi peluang itu kepada meraka
yang berkenaan.
1.2.2 Sekolah Rendah dan Menengah Antarabangsa
Sekolah ini juga ditubuhkan oleh pihak swasta. Untuk melihat peranan sekolah ini, kita
perlu melihat tujuan penubuhannya. Sekolah-sekolah Antarabangsa ini ditubuhkan untuk
anak-anak diplomat yang bertugas di negara ini mendapat pendidikan mereka.
Kurikulum yang mereka gunakan adalah sama bagi sekolah-sekolah antarabangsa lain di
luar negara. Sekolah ini sangat berguna kerana sekiranya ibubapa mereka berpindah
tugas ke negara lain, anak-anak mereka masih dapat menyambung pelajaran mereka di
negara lain kerana kurikulum yang serupa. Oleh itu peranan IPTS ini sangat memberi
manafaat kepada para diplomat.
3
1.2.3 Pusat Tuisyen
Pusat-pusat tuisyen swasta yang didirikan bagi memenuhi keperluan pelajar yang akan
menghadapi peperiksaan. Pusat tuisyen ini memberi pengkhususan bagi mata pelajaraan
yang tertentu. Pelajar hanya perlu mendaftar bagi mata pelajaran yang mereka lemah dan
perlukan bimbingan sahaja. Selain itu bagi pelajar yang tidak cukup latihan dan
penerangan yang mereka dapati di sekolah kerajaan maka mereka akan dapat memenuhi
cita rasa mereka itu di pusat-pusat tuisyen. Bahkan pusat-pusat tuisyen ini juga
berperanan untuk membimbing pelajar yang tidak mendapat bimbingan di rumah.
Ibubapa akan menghantar anak-anak mereka ke sini supaya anak-anak mendapat
bimbingan yang lebih teratur terutama dari segi latihan tambahan di pusat-pusat tuisyen.
1.2.4 Pusat Latihan Komputer
Komputer memainkan peranan yang sangat penting dewasa ini. Celik IT, sebuah rumah
satu komputer, kemudahan pengeluaran caruman KWSP untuk pembelian komputer dan
pinjaman kewangan kerajaan dengan kadar yang rendah adalah langkah kerajaan
menggalakkan bidang IT. Latihan-latihan yang disediakan oleh pusat latihan komputer
memainkan peranan yang sangat penting.
Pusat-pusat latihan komputer ini menyediakan latihan komputer dari pelbagai aspek
yang diperlukan oleh pelanggan mereka. Pelajar-pelajar lepasan sekolah atau sementara
menunggu keputusan peperiksaan diumumkan, mereka berupaya mendapat latihan
dengan lebih teratur dan terancang.
1.2.5 Pusat Bahasa
Bahasa Melayu adalah bahasa utama di Malaysia. Tetapi berkemahiran bertutur dalam
pelbagai bahasa adalah satu kelebihan yang mendatangkan faedah sosial dan ekonomi.
4
Pusat-pusat mempelajari pelbagai bahasa yang diperlukan sangat penting di sini. Orang
ramai boleh mempelajari bahasa-bahasa yang mereka perlukan di pusat-pusat bahasa ini
dalam tempoh yang singkat.
1.2.6 Sekolah Gaya Pos
Ingin melanjutkan pelajaran tetapi tidak mempunyai masa yang sesuai kerana kekangan
masa bekerja? Ingin meningkatkan kemahiran diri tetapi terbelenggu dengan tugas-tugas
seharian? Jawapan bagi persoalan ini ialah Sekolah Gaya Pos. Sekolah ini
menyediakan penerangan pelajar menerusi gaya pos , iaitu dengan mengirimkan nota-
nota kepada pelajar. Pelajar-pelajar mempunyai pilihan memilih masa yang sesuai untuk
mengulangkaji pelajaran mereka. Mereka tidak terikat dengan jadual waktu. Pilihan
mereka dengan menyertai Sekolah Gaya Pos ini sangat memenuhi kehendak mereka. Di
sinilah letaknya peranan IPTS memenuhi keperluan mereka.
1.3 Kurikulum di Institusi Pendidikan Swasta
Mengikut Akta Pendidikan 1996, kurikulum yang terdapat di peringkat prasekolah
adalah diwajibkan mengikut garis panduan yang disediakan oleh Kementerian
Pendidikan. Bahasa lain selain bahasa Melayu boleh dijadikan bahasa pengantar dan
tadika yang tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar perlu
mengajarkan bahasa Melayu sebagai satu mata pelajaran.
Sekolah rendah swasta sepenuh masa melaksanakan sukatan pelajaran berdasarkan
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBRS) dan menggunakan bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar utama. Bahasa-bahasa lain juga boleh diajar. Begitu juga bagi sekolah
menengah sepenuh masa yang mengunakan Sukatan Pelajaran yang desediakan oleh
Kementerian Pendidikan iaitu Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).
Sekolah ini juga menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa-
5
bahasa lain sebagai bahasa kedua. Terdapat satu lagi kategori sekolah swasta iaitu sekolah
menengah Cina yang menggunakan kurikulum persendirian dan menggunakan bahasa
Cina sebagai bahasa pengantar utama. Bagi sekolah antarabangsa dan sekolah Ekspatrait,
kurikulum yang digunakan ialah kurikulumnya yang tersendiri berpandukan kurikulum
luar negara. Sekolah-sekolah ini menyediakan pelajar-pelajar mengambil peperiksaan di
luar negara.
1.4 Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS)
IPTS yang dikendalikan oleh pihak swasta menawarkan kursus untuk lepasan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mendapatkan sijil. diploma dan ijazah dalam pelbagai
bidang. Secara amnya terdapat dua kategori IPTS mengikut status mereka iaitu :
a. IPTS yang bukan bertaraf Universiti, kolej Universiti atau kampus cawangan.
b. IPTS yang bertaraf Universiti, kolej Universiti atau kampus cawangan.
Kumpulan IPTS yang perlu berdaftar dengan Kementerian Pendidikan ialah institut
pengajian tinggi swasta, universiti swasta, kolej universiti swasta, kampus cawangan
universiti swasta dan pusat pengajian jarak jauh.
1.5 Program-program yang ditawarkan oleh IPTS
Selaras dengan kemajuan negara dan permintaan tenaga semasa, IPTS menawarkan
pelbagai program yang bersesuaian dan memenuhi cita rasa dan kemampuan para pelajar.
Antara program yang ditawarkan ialah :
6
1.5.1 Penyediaan Pendidikan untuk Peperiksaan Luar Negara
Antaranya “A level” anjuran badan-badan peperiksaan Associated Examining
Board(AEB), Cambridge, London atau Oxford, Canadian Grade X111, South Australian
Matriculation Examination. (Kolej Taylor, Damanasara , Bandar Utama , Sunway).
Kebanyakan pelajar yang menduduki peperiksaan ini adalah bertujuan untuk melanjutkan
pelajaran ke luar negara.
1.5.2 Program Profesional
Bidang-bidang yang ditawarkan dalam bidang ini ialah bidang pengurusan, perakaunan,
pemasaran, pengajian bank dan teknikal. Pelajar-pelajar akan dianugerahkan kelulusan
peringkat diploma atau ijazah atau ahli bersekutu. Peperiksaan yang dianjurkan oleh
badan-badan pofesional dalam negara adalah seperti The Malaysian of Certificate Public
Accountant (MACPA), Malaysia Intitut of Accountant (MIA). Chartered Institute of
Management Accounting (CIMA). Institut yang menawarkan kursus-kursus tersebut
antaranya ialah Kolej Stamford, Kolej RIMA, Systematic Business School dan Institut
Teknologi Federal.
1.5.3 Program Pemindahan Kredit
Terdapat dua cara pemindahan kredit yang ditawarkan oleh IPTS. Cara yang pertama
ialah pelajar-pelajar perlu belajar dalam negeri untuk mendapatkan sekurang-
kurangnya 60 jam kredit dan melanjutkan pelajaran ke tahun dua atau tahun tiga ke
Universiti luar negara. IPTS tempatan menggubal kurikulum berasaskan kehendak
Universiti luar negara. Pilihan yang kedua ialah pelajar-pelajar mengambil peperiksaan
peringkat diploma di IPTS tempatan dan mendapat pengecualian pengajian bagi tahun
7
pertama dan tahun kedua kursus ijazah universiti luar negeri yang mengiktiraf diploma
tersebut.
1.5.4 Program Kembar
Melalui program kembar ini IPTS tempatan mengadakan hubungan langsung dengan
sesebuah universiti luar negara untuk menawarkan kursus ijazah universiti tersebut. IPTS
tempatan boleh berkembar dengan dengan beberapa universiti luar negara. Para pelajar
boleh memilih menjalani kursus sama ada sebahagian daripada kursus tersebut dijalankan
di IPTS tempatan dan sebahagian lagi di universiti luar negara. Program Berkembar
merupakan pilihan yang paling digemari oleh para pelajar kerana para pelajar boleh
memilih sama ada belajar sepenuhnya di IPTS tempatan dan mendapat ijazah yang sama
dengan IPTS kembarnya di luar negara. Pilihan ini bukan sahaja mengurangkan kos
perbelanjaan pembelajaran pelajar, tetapi juga mengurangkan pengaliran wang negara ke
luar. Bagi pelajar yang berkemampuan dan bercita-cita untuk belajar ke luar negara,
mereka berpeluang menyambung pelajaran di IPTS luar negara mengikut kadar tahun
pilihan mereka.
1.5.5 Program Ijazah Luaran
Dalam program ini para pelajar dikehendaki mendaftarkan diri sebagai pelajar external
sesebuah universiti. IPTS menyediakan kemudahan kelas tutorial. Antara kolej yang
menawarkan program ini ialah Institute Crecent (dalam bidang undang-undang) dan
Kolej Stamford.
8
1.5.6 Pengajian Jarak Jauh
Program ini adalah program terbaru yang menawarkan pendidikan peringkat ijazah dan
ijazah sarjana. Program ini dijalankan dengan kerja sama universiti luar negeri.
Organisasi perniagaan tempatan menyediakan kemudahan bilik kuliah dan pensyarah
tempatan serta kemudahan perpustakaan. Kuliah diberikan secara pos dengan bimbingan
pensyarah tempatan dengan mengadakan kelas dua kali seminggu. Pada akhir semester
pensyarah universiti berkenaan akan datang membimbing pelajar-pelajar atau pelajar
sendiri datang ke universiti berkenaan.Pendidikan jarak jauh ini bertujuan untuk memberi
peluang kepada pegawai-pegawai eksekutif mempertingkatkan kelulusan tanpa
meninggalkan keluarga dan kerjaya.. Antara organisasi tempatan yang menyediakan
program tersebut adalah Malaysian Strategic Consultant dengan Universiti Deakin
(Australia), RAYMA Management Consultant dengan Universiti Strathlyde (UK)
2.0 Peranan Jabatan Pendidikan Swasta
Jabatan Pendidikan Swasta (JPS) adalah merupakan satu jabatan di bawah Kementerian
Pendidikan Malaysia. Jabatan ini dahulunya dipanggil sebagai Bahagian Pendaftaran
Sekolah dan Guru (BPSG) yang telah beroperasi sejak dari tahun 1961. Mulai 1 Oktober
1995 BPSG telah dijadikan sebagai sebuah jabatan yang dikenali sebagai JPS dan
diketuai oleh seorang Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan. JPS bertanggungjawab
kepada segala aspek pengurusan penubuhan, pendaftaran dan pengawalseliaan institusi
pendidikan swasta (IPS) dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS). JPS
bertanggungjawab dalam mempastikan dasar, perancangan dan hala tuju pendidikan
swasta adalah selaras dan selari dengan Dasar Pendidikan Negara. Tugas dan
tanggungjawab ini dipikul bersama dengan unit pendidikan swasta di Jabatan Pendidikan
Negeri (Jabatan Pendidikan Swasta 2001).
Jabatan Pendidikan Swasta bertanggungjawab ke atas semua aspek penubuhan dan
pendaftaran serta pengawalseliaan pendidikan swasta dari peringkat pra-sekolah sehingga
9
ke peringkat universiti. Adalah menjadi tanggungjawab Jabatan ini untuk memastikan
bidang pendidikan swasta memainkan peranan dalam menambahkan peluang mendapat
pendidikan khususnya di peringkat "tertiari" bagi semua golongan masyarakat (Jabatan
Pendidikan Swasta 2001). Pendidikan swasta semakin memainkan peranan yang penting
dalam sistem pendidikan kebangsaan kerana ia merupakan "supplementary" dan
"complementary" kepada institusi pendidikan di Malaysia di semua peringkat, khususnya
di peringkat pendidikan tinggi. Di antara objektif utama Jabatan Pendidikan Swasta
ialah : (Jabatan Pendidikan Swasta 2001).
i. Menentukan pendidikan yang ditawarkan oleh institusi pendidikan swasta
berkualiti, bertaraf dunia dan relevan dengan keperluan negara.
ii. Memastikan semua pengurusan penubuhan dan pendaftaran institusi
pendidikan swasta mematuhi peruntukan perundangan dan syarat yang
ditetapkan.
iii. Menentukan pelaksanaan sistem penguatkuasaan dan pengawalseliaan
yang cekap dan berkesan.
iv. Memastikan keseluruhan prasarana istitusi pendidikan swasta berkualiti.
v. Menjadikan pendidikan sebagai satu industri.
3.0 Peranan Pendidikan Swasta Terhadap Dasar Pendidikan Negara.
Pada masa kini institusi pengajian tinggi awam tidak dapat menampung permintaan
pelajar melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi tempatan. Menurut Menteri
Pendidikan :
10
"Kerajaan tidak dapat menampung kekurangan kira-kira 150,000 tempat belajar
diperingkat pendidikan tinggi, beliau seterusnya menerangkan bagi setiap 100
orang yang layak, pusat pendidikan tinggi di negara ini hanya mampu
menawarkan tempat kepada 33 atau 34 pelajar sahaja" ( Berita Harian 1992 )
Ini menimbulkan masalah untuk menempatkan pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Institusi Pengajian
Tinggi Awam (IPTA) yang jumlahnya terlalu sedikit, berbanding lulusan cemerlang atau
terbaik kedua-dua peperiksaan peringkat sekolah itu (Massa 1997).
Langkah yang telah diambil oleh pihak IPTS dengan menggabungkan institusinya dengan
universiti luar negara yang menawarkan program berkembar di mana kursus-kursus
profesional seperti undang-undang, perakaunan dan kejuruteraan telah ditawarkan.
Langkah ini merupakan satu langkah yang bijak di mana yuran pengajian yang rendah
tetapi dengan kualiti yang sama dengan IPTA menjadikan IPTS sebagai alternatif utama
untuk pelajar meneruskan pengajiannya (Massa 1998).
Dengan ini juga institusi pendidikan swasta dapat membantu IPTA dalam melatih
tenaga profesional dan mahir bagi menampung permintaan sektor perindustrian dan
perdagangan yang sedang pesat membangun. Misalnya pada tahun 1990 hingga 1997,
Malaysia memerlukan kira-kira 300,000 pekerja terlatih dalam sektor perkilangan (Berita
Harian 1993).
Begitu juga mengikut Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua 1991 - 2000,
Malaysia memerlukan tambahan jurutera seramai 30,100 orang, pembantu jurutera
seramai 122,900 orang dan 600 orang lagi bagi pegawai perubatan dan kesihatan
menjelang tahun 2000. Dalam seruannya, Timbalan Menteri Pendidikan Dr.Fong Chan
Onn telah menyeru supaya sektor swasta mendirikan lebih banyak institusi pendidikan
bagi menampung permintaan terhadap pendidikan tinggi (The Sunday Star 1993).
Menteri Pendidikan ketika itu iaitu Datuk Sulaiman Daud menyeru agar sektor swasta
memainkan peranan yang lebih cergas dalam pembangunan pendidikan negara,
11
khususnya menyediakan kursus yang tidak dapat disediakan oleh kerajaan (Berita Harian
1992). Mengikut Rancangan Malaysia Keenam (1991) pada tahun 1985, dianggarkan
seramai 60,000 pelajar telah belajar di institusi pengajian tinggi di luar negeri. Bilangan
pelajar Malaysia yang ramai di luar negeri ini telah mengakibatkan pengaliran keluar
tukaran wang asing kira-kira RM1.2 billion setahun, tetapi dengan tertubuhnya institusi
pengajian swasta telah menyebabkan fenomena pelajar ke luar negara berkurangan.
Misalnya pada tahun 1990, jumlah pelajar yang melanjutkan pelajaran ke luar negeri telah
menurun kepada 52,000 orang sahaja (Kerajaan Malaysia 1991). Sehubungan itu, institusi
pendidikan swasta yang tumbuh seperti cendawan pada akhir-akhir ini, selain dapat
memberikan kemudahan pendidikan kepada pelajar-pelajar tempatan, juga dapat menarik
dan memberi peluang belajar kepada pelajar-pelajar luar negeri khasnya kepada pelajar-
pelajar Asean. Ini disarankan oleh Perdana Menteri sendiri agar :
"Institusi pendidikan swasta berusaha menarik penuntut bukan saja daripada
dalam negara bahkan juga dari luar negara, Beliau seterusnya berkata, bahawa
kita mampu daripada segi kepakaran untuk menyediakan segala kemudahan
peringkat tinggi bagi rantau Asia Tenggara" (Utusan Malaysia 1993)
Setakat ini, menurut sumber Kementerian Pendidikan, cuma terdapat 4,000 pelajar
asing menuntut di negara ini, itu pun termasuk di pusat pengajian tinggi awam ( Massa
1998 ) Menerusi institusi pengajian swasta, pemilihan menerusi pencapaian akademik
untuk kemasukan atau pengambilan tidaklah diperketatkan seperti di IPTA, kerana yang
penting untuk mereka iaitu setiap pelajar berkemampuan menampung kos pembelajaran
dan mengambil kursus yang bersesuaian dengan keputusan peperiksaan sekolah. Selain
peranan-peranan yang tersebut di atas institusi pendidikan swasta juga berperanan sebagai
pelengkap dan bukan pesaing kepada pendidikan awam. Dengan maksud yang lain
institusi pendidikan swasta lebih peka terhadap kehendak pelajar dan masyarakat dalam
menawarkan apa - apa kursus (Massa 1997).
12
4.0 Implikasi Kebaikan
Penubuhan pendidikan swasta di negara ini telah banyak membantu negara dari aspek
menyediakan prasarana pendidikan dan ekonomi negara. Pendidikan swasta secara tidak
langsung bertindak sebagai pemangkin kepada pembangunan negara. Memang tidak
dapat dinafikan bahawa institusi pendidikan swasta memainkan peranan yang penting
dalam perkembangan pendidikan negara, khususnya dalam melahirkan golongan
profesional dan tenaga mahir, memberi peluang pendidikan kepada pelajar yang layak
dan menjimatkan kos.
4.1 Menampung Pemintaan
Setiap tahun apabila keputusan peperiksaan SPM / SPVM / STPM diumumkan terdapat
peningkatan dalam bilangan pelajar yang lulus dengan baik. Pelajar-pelajar ini
berkelayakan melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Permasalahan
yang timbul ialah bilangan IPTA yang sedia ada tidak berkemampuan untuk menampung
dan menempatkan bilangan lambakan pelajar itu (Massa 1998 ). UKM, UPM, UiTM,
UTM, UIA , USM, UNIMAS dan IPTA-IPTA yang lain walaupun bilangannya semakin
bertambah namun masih belum cukup untuk menampung pelajar-pelajar ini. Pelajar-
pelajar ini terpaksa mengambil alternatif lain. Jawapan yang dicari-cari bagi menghadapi
fenomena ini ialah IPTS. IPTS yang menjalankan program berkembar dengan universiti
luar negara dan menawarkan kursus-kursus yang profesional merupakan pilihan bijak
pelajar ini. Tambahan pula kualiti kursus yang ditawarkan itu hampir sama dengan
IPTA. Faktor ini menjadi tarikan kepada pelajar yang tidak berpeluang melanjutkan
pelajaran ke IPTA.
Sasaran unjuran pembangunan sumber tenaga Malaysia yang dibuat menjelang tahun
2020 ialah 40% daripada rakyat Malaysia mendapat pendidikan di peringkat universiti
(Massa 1998). IPTS bersama-sama dengan IPTA memikul tanggungjawab ini secara
bersama IPTA. Langkah ini juga bertujuan untuk merintis satu perubahan bagi
13
membentuk imej Malaysia sebagai sebuah negara maju yang mempunyai golongan elit
pendidikan tinggi yang akan dapat memainkan peranan penting dalam memodenkan
pembangunan sosial dan ekonomi negara ( Massa 1997).
4.2 Melatih Tenaga Profesional
Apabila menerima masuk pelajar-pelajar ini dengan kursus-kursus bertaraf profesional
yang ditawarkan oleh IPTS secara tidak langsung institusi berperanan membantu
melahirkan tenaga profesional dan mahir. Permintaan terhadap tenaga profesional dan
mahir semakin meningkat dengan pesat pada dekad ini , terutama dalam sektor
perindustrian dan perdagangan . Sebagai contoh mengikut Rancangan Jangka Panjang
ke Dua 1991 – 2000, Malaysia memerlukan tambahan jurutera seramai 30,000, pembantu
jurutera seramai 122,900 orang dan 600 orang lagi pegawai perubatan dan kesihatan pada
tahun 2000 ( Berita Harian 1993).
4.3 Pelengkap Bukan Pesaing
IPTS juga menawarkan kursus-kursus yang tidak terdapat di IPTA. Kehadiran IPTS di
arena pendidikan kebangsaan berfungsi sebagai pelengkap kepada institusi pendidikan
yang sedia ada.
4.4 Penjimatan Kos Kerajaan / Tajaan
IPTS juga mampu untuk menjimatkan tanggungan kewangan kerajaan / tajaan. Sebelum
ini , sekiranya kerajaan memerlukan pakar-pakar dalam bidang tertentu namun kursus
tersebut tidak ditawarkan di sini, maka pelajar tersebut terpaksa dihantar ke luar negara
( Massa 1998 ) Ini bermaksud pengaliran wang keluar. Sila rujuk pada Carta di bawah
14
Yuran Pengajian Satu Tahun Akademik yang dikenakan Oleh Institusi Swasta Tempatan
dan Universiti Luar Negara mengikut Kursus
Bidang Kursus Kolej Swasta
Tempatan
Universiti-Universiti Luar Negara
Amerika Syarikat United Kingdom
Kejuruteraan
Ekonomi
Pengurusan
Perniagaan
Perakaunan
Undang-undang
Sains Komputer
RM10500
RM9500
RM5400
RM9000
RM7500
RM5400
RM25000
(RM14500)
RM25000
(RM15500)
RM25000
(RM19000)
RM25000
(RM16000)
RM25000
(RM175000)
RM25000
(RM16000)
RM35000
(RM24500)
RM30000
(RM20500)
RM30000
(RM24600)
RM30000
(RM21000)
RM35000
(RM27500)
RM35000
(RM29600)
Sumber: Prospektus kolej-kolej swasta tempatan mengenai yuran pengajian dan The
British Council Education Guide (Dalam kurungan ialah kos yang boleh dijimatkan)
15
Peranan penting IPTS di sini ialah dengan twinning program, linkage, transfer program
yang diadakan dengan universiti luar negara menyebabkan pelajar boleh melanjutkan
pelajaran mereka di tanah air. Bayangkan sekiranya satu sesi akademik di USA ialah
RM25000, jika tiga sesi bermaksud RM75000. Maksudnya jika pelajar tersebut
melanjutkan pelajaran di IPTS bayarannya hanyalah RM30000. Kos yang dibayar di luar
negara ini tidak termasuk kos sara hidup pelajar terbabit.
4.5 Kos Tanggungan Ibubapa
Kejatuhan nilai ringgit, kemelesetan ekonomi dan kelembapan ekonomi dunia
mengakibatkan kos pengajian di luar negara meningkat dua kali ganda. Ini menyebabkan
ibubapa beralih pandangan ke universiti tempatan. Permintaan memasuki IPTA telah
melebihi dari tempat yang ditawarkan. Mampukan IPTA menampung jumlah mereka
yang ramai itu? Jawapannya ialah IPTS. Kini IPTS bukan hanya menampung pelajar
lepasan sekolah malah pelajar yang terpaksa kembali meneruskan pelajaran di tanah air
setelah kos hidup di luar negara meningkat ( Massa 1998). Walaupun kerajaan, ibubapa
terpaksa membelanjakan wang untuk pembelajaran pelajar-pelajar itu tetapi tiada
pengaliran keluar wang negara. Di sinilah peranan IPTS menyumbang dalam
mengurangkan kos negara.
4.6 Menambahkan Pendapatan Negara
Kini terdapat 4,452 pelajar asing yang menuntut di negara ini yang membawa pendapatan
sebanyak RM53 juta (Massa 1998). Jumlah ini akan menjadi lebih besar jika diambil kira
jumlah yang perlu dibayar oleh pelajar tempatan. Oleh itu ini menjanjikan sumber
pendapatan negara yang memberikan pulangan yang lumayan. Jika diberi perhatian yang
lebih dengan mengawal selia kualiti IPTS maka sejumlah besar tukaran wang asing akan
dapat diselamatkan.
16
4.7 Pemindahan Teknologi dan Kepakaran
Menerusi program berkembar yang dijalankan oleh IPTS dengan universiti luar negara
akan menyebabkan pemindahan teknologi dan kepakaran berlaku. Pemindahan ini akan
berlaku apabila pensyarah-pensyarah dan pelajar-pelajar turut serta melibatkan diri dalam
penyelidikan bersama yang dijalankan di negara ini.
5.0 Implikasi Keburukan Pendidikan Swasta
Terdapat beberapa kesan keburukan yang wujud dalam proses perlaksanaan pendidikan
swasta di negara ini khususnya dalam penubuhan institusi pengajian tinggi. Di antara
keburukan yang wujud ialah :
5.1 Pengambilan pelajar yang tidak seimbang
Kemasukan pelajar ke institusi pendidikan tinggi adalah tidak seimbang. Pelajar – pelajar
Melayu khususnya terlalu sedikit dalam insitusi pengajian tinggi swasta. Jumlah pelajar
bumiputera di IPTS pada tahun 1997 ialah kira – kira 4,200 orang daripada 84,000 pelajar
(Zainal 1997). Bilangan ini hanya merangkumi 5% daripada jumlah pelajar di seluruh
IPTS. Pada tahun 1998 jumlah pelajar bumiputera ialah kira – kira 26,500 daripada
176,047. Bilangan ini hanya merangkumi 15% daripada jumlah pelajar di IPTS.
Manakala di IPTA pula jumlah pelajar bumiputera ialah 30,250 orang daripada 55,000
orang pelajar (Zainal 1997). Secara keseluruhannya jumlah pelajar bukan bumiputera di
seluruh pusat pengajian tinggi ialah 104,550 berbanding 34,450 pelajar bumiputera
(Zainal 1997). Menurut Ghazali (1993), 80% pelajar – pelajar IPTS adalah terdiri
daripada satu kaum tertentu sahaja. Fenomena ini akan menyebabkan wujudnya jurang
dalam perpaduan di antara kaum di negara ini.
17
5.2 Pendidikan swasta telah melahirkan pendidikan tinggi dwisistem
Mengikut Seksyen 17 (1) Akta Pendidikan 1995, Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi
bahasa pengantar utama di semua institusi pengajian dalam sistem pendidikan kebangsaan
KECUALI sekolah jenis kebangsaan yang ditubuh di bawah seksyen 28 atau mana-mana
institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh menteri daripada sub-seksyen ini (MDC
1996). Mengikut Zainal (1996)," kecuali " dalam seksyen tersebut melibatkan 1290 buah
SRJK Cina dengan jumlah seramai 581,000 pelajar, 544 buah SJK Tamil dengan pelajar
seramai 96,120 orang, 60 buah Sekolah Bebas Cina dan lebih 250 buah IPTS yang
menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Implikasinya, ia akan
menjejaskan matlamat menseimbangkan ekonomi antara kaum dan penubuhan bangsa
Malaysia. Ini disebabkan pihak swasta lebih komited dengan bukan bumiputera yang
lebih daya saing dalam semua segi berbanding kaum bumiputera (Zainal 1996).
Soal bahasa amat penting bagi bumiputera khususnya orang Melayu. bahasa Inggeris
akan menjadi bertambah penting pada abad ke 21 , dan ia mempunyai nilai ekonomi
dalam sektor swasta. Kesan peningkatan bahasa Inggeris dan kejatuhan keagungan bahasa
Melayu akan menyebabkan pelajar-pelajar Melayu luar bandar yang terdidik di sekolah
kebangsaan dan sekolah menengah kebangsan akan tersisih. Menjelang 2020 nanti, sudah
pasti ramai di antara mereka akan tercicir dalam persaingan (Isahak 1994). Selain dari itu,
kesan pelaksanaan Akta Pendidikan 1996 dan Akta IPTS 1996 akan menyebabkan bahasa
Melayu akan jatuh nilai ekonominya dalam tempoh 15-20 tahun lagi. Kedua-duanya juga
akan mewujudkan sekurang-kurangnya dua kumpulan pelajar dan siswazah iaitu satu
aliran kebangsaan dan satu aliran Inggeris dengan kemungkinan kumpulan ketiga dari
aliran Cina (Zainal 1998).
5.3 Konflik dengan dasar pendidikan negara
18
Kesan negatif daripada penubuhan IPTS juga adalah status dan martabat bahasa Melayu
sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa ilmu akan tercabar. Pemisahan yang jelas di
antara pengajian ilmu kemanusiaan umpamanya bahasa, sastera, sejarah dan falsafah
dengan pengajian ilmu ekonomi, pengurusan, sains dan teknologi. IPTS lebih berminat
kepada pengajian yang kedua itu, kerana kepentingan ekonomi dan pasaran dan
menganggap bahawa pengajian ilmu-ilmu kemanusian itu kurang ada gunanya ( Anwar
Ridwan 1995 ). Isu ini dihangatkan lagi dengan kemasukkan pelajar ke IPTS yang tidak
mempunyai kredit di dalam bahasa Melayu yang dibangkitkan oleh Kesatuan Guru
Bahasa Melayu Se Malaysia (KGBMS) di dalam akhbar Utusan Malaysia pada 11 Julai
1998.
Sikap memandang sepi kepada bahasa kebangsaan yang berlaku di IPTS ini perlu
dibendung agar tidak berlaku di kejadian membelakangkan Bahasa Melayu kerana ini
bererti membelakangkan Dasar Pendidikan Negara. Seksyen 41(1) Akta IPTS yang
menetapkan bahawa hanya Bahasa Melayu yang boleh menjadi bahasa pengantar di IPTS
merupakan langkah yang bijak dalam menegakkan DPK. Namun kelonggaran yang
diberikan dalam Seksyen 41(3)(a) dan Seksyen 41(3)(b) dengan membenarkan IPTS
memohon pengecualian menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Arab sebagai bahasa
pengantar telah menyebabkan ia menjadi tandatanya kepada masyarakat. Sikap
membelakangkan bahasa Melayu oleh IPTS bererti membelakangkan Dasar Pendidikan
Negara.
5.4 Kebanyakan IPTS dimiliki oleh satu kaum
Satu lagi masalah yang sering di timbulkan ialah kebanyakan kolej swasta ini dimiliki
oleh satu kaum sahaja atau dimiliki oleh syarikat sendirian berhad yang dikuasai oleh satu
kaum sahaja, begitu juga dari segi jumlah pelajar yang mengikuti kursus-kursus di kolej
swasta adalah majoritinya dari satu kaum sahaja, ini telah dinyatakan oleh Lee Meow Fatt
dalam ceramahnya di ceramah Anjuran Persatuan Mahasiswa UKM di UKM Bangi pada
2 Ogos 1992 yang berjudul "Private Educational Institution" menyuarakan kebimbangan
19
dan menyatakan bahawa masalah yang sering timbul semasa penubuhan IPTS ialah
kebanyakkan IPTS ini dimiliki oleh satu syarikat atau syarikat sendirian berhad sahaja
begitu juga dengan jumlah pelajar yang dimonopoli oleh satu kaum sahaja dimana
fenomena ini akan menyebabkan jurang perpaduan wujud, pada hal kita melihat sektor
pendidikan adalah merupakan satu alat untuk menyatu-padukan rakyat Malaysia yang
berbilang kaum.
5.5 Kualiti kurikulum yang boleh dipersoalkan
Seperkara lagi ialah kewibawaan kualiti tenaga pengajar di IPTS yang boleh
dipertikaikan. Pendedahan yang dibuat oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun
Razak menyatakan bahawa terdapat IPTS di negara ini yang menggunakan khidmat
pensyarah yang kurang wibawa (Berita Harian 1997). Naib Presiden Kolej Unitek
Malaysia, Petaling Jaya, Rosli Yusof dalam kenyataannya menyatakan bahawa pihaknya
turut menghadapi masalah kekurangan tenaga pengajar terutama di bidang kejuruteraan
dan komputer. (Massa 1997) Sikap IPTS ini amat mendukacitakan kerajaan dan akan
membantutkan rancangan kerajaan menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan
bertaraf antara bangsa.
6.0 Isu – Isu dan Cabaran Pendidikan Swasta
Terdapat beberapa isu yang wujud dari pendidikan swasta di negara ini. Isu yang wujud
ini memberikan cabaran kepada kerajaan supaya masalah ini dapat di atasi dengan baik .
Di antara isu dan cabaran yang wujud ialah :
20
6.1 Menggadai Maruah Pendidikan Tinggi
Menurut Prof. Neil Buxton, Naib Canselor Universiti Hertfordshire, di United Kingdom ,
“ Universiti adalah sebahagian daripada institusi nasional negara. Jika separuh
daripada universiti itu dimiliki oleh orang asing, ini bermakna sebahagian
daripada kemerdekaan anda pergi ke seberang laut ” ( Massa.1998 )
Pendapat ini disuarakan oleh beliau kerana beliau bertaangggapan bahawa IPTS ini
merupakan sebahagian daripada institusi nasional mereka dan kepentingan nasional
mereka adalah bercanggah dengan kepentingan nasional kita. Jadi peranan IPTS sebagai
pusat penyebar ilmu dan melahirkan insan yang berguna kini di persimpangan jalan. Kini
pendidikan sebagai alat penting untuk melahirkan sebuah kerajaan bersatu yang dikawal
dengan sempurna telah terusik. Cuma pendidikan di peringkat menengah dan rendah
sahaja yang masih lagi belum terusik.
Tidak dapat dinafikan sejak kebelakangan ini sudah banyak IPTS yang telah
membelakangkan agenda nasional, tetapi atas nama kehadiran ijazah berkembar dengan
IPTS asing, ini merupakan satu usaha komersial yang menguntungkan, melahirkan tenaga
mahir dan pakar, kepincangan ini telah diketepikan (Chamil Wariya 1998). Jadi ini
membuktikan kepada kita dalam jangka masa panjang, kehadiran dan kewujudan IPTS
asing ini akan menyebabkan “ kebebasan Malaysia terbang ke sebarang laut ”, jika dilihat
dalam konteks akademik.
Pandangan Prof. Neil Buxton ini perlu dinilai secara kritis. Mengapakah beliau
mengambil sikap yang nampaknya tidak menyenangi penubuhan terlalu banyak kampus
cawangan pusat-pusat pengajian tinggi asing ini ? Dan mengapakah sebagai orang asing,
beliau meminta kerajaan Malaysia agar lebih berhati-hati dalam isu ini ? Apakah yang
tersurat disebalik peringatan beliau ini ? Rasional beliau jika diteliti dengan mendalam
21
membolehkan kita membuat interpretasi bahawa universiti-universiti asing yang tidak
berada di bawah kawalan kita akan menyebabkan kita kehilangan kawalan ke atas mereka
dan secara tidak langsung akan menyebabkan kepentingan nasional kita akan turut
terjejas.
Kenyataan Prof. Neil Buxton di atas selari dengan pendapat Dr. Anwar Ridzwan
1995, bahawa kelonggaran di IPTS ini akan menyebabkan sesuatu kerajaan itu semakin
kehilangan kawalan dan suara terhadap institusi pendidikan negara. (Dewan Budaya
1995). Perlu wujud kesedaran bahawa kemungkinan kebebasan kita mengawal IPTS ini
akan tercabar sedikit masa lagi. Tidak dapat dinafikan juga penjajahan semula melalui
bentuk akademik semakin berleluasa tetapi tidak begitu terasa. Keghairahan untuk
mendapatkan kelulusan yang diiktiraf dan kononya mengikuti piawaian antara bangsa
akan membuatkan kita berasa gelap mata (Massa 1998 ).
6.2 Kedudukan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu Tergugat.
Umumnya kita mengetahui bahasa Inggeris merupakan bahasa utama di IPTS sedangkan
bahasa Melayu yang diletakkan taraf sebagai bahasa Kebangsaan berada di kelas kedua
sahaja. Begitulah nasib bahasa Melayu ketika ini. Walau bagaimanapun teradapat
Seksyen 41(3)a, yang membenarkan pihak IPTS memohon kepada Kementerian
Pendidikan pengecualian penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam
proses pengajaran dan pembelajarannya. Manakala Seksyen 41(3)b pula, membenarkan
bahasa Arab bagi pengajian Agama Islam.
Pengecualian di dua Seksyen ini memperlihatkan kepada kita ketidaktegasan pihak
kementerian dalam mendaulatkan imej bahasa Melayu di IPTS. Mengapakah perlu
diberi pengecualian ? Apakah bahasa Melayu itu sendiri tidak mampu menjadi wahana
dan wacana kepada perkembangan dunia keilmuan di IPTS ? Sehingga bilakah kita harus
berbangga dengan perlaksanaan bahasa Melayu di IPTA sahaja ? Kita harus mempunyai
keyakinan bahawa tidak perlu pengecualian dalam apa jua peringkat perlaksanaannya.
22
Tidak dapat dinafikan bahawa IPTS yang digerakkan oleh tokoh korporat dan swasta
lebih kepada acuan keperluan mereka sendiri. Ini selari dengan kehendak pasaran dunia
pekerjaan yang menuntut penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pengamalnya. Bahasa
Melayu akan terus dipinggirkan. Sejauhmana akta yang sedia ada berjaya mengekang
fenomena ini daripada terus menular ?
Menurut Anwar Ridhwan, dalam Seminar Pengkoporatan Institut Pendidikan Tinggi
Swasta di Dewan Bahasa dan Pustaka, Jun 1995, sejak akhir-akhir ini semacam terdapat
satu perubahan secara halus yang seolah-olah membolehkan beberapa matapelajaran
diajar dalam bahasa Inggeris (Dewan Budaya 1995). Bagaimanakah nasib bahasa Melayu
dan bahan-bahan terbitan dalam bahasa Melayu yang dicetak oleh DBP sejumlah 15,000
naskah untuk IPTA dan IPTS menjelang tahun 2020. Nyata bahasa Melayu akan menjadi
bahasa kelas kedua di IPTS. Dengan ini hasrat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai
bahasa ilmu dalam semua bidang telah dibatasi dan dihadkan jangkauannya.
Jika dianalisis secara kritis, ternyata pengaruh bahasa Inggeris ini mempunyai kesan
jangka panjang yang amat berbahaya kepada Dasar Bahasa Kebangsaan. Menurut Prof.
Abdullah Hasan (1996), jika di peringkat IPTS menggunakan bahasa Inggeris, bagaimana
dengan peringkat sekolah menengah, rendah, pra-sekolah, tadika-tadika dan sebagainya ?
Adakah golongan bumiputera disediakan untuk bersaing dalam menggunakan bahasa
antarabangsa ini ? Kita berasa bimbang golongan bumiputera akan terus tertinggal dan
terpinggir dalam arus kemajuan sistem pendidikan yang kita cipta sendiri. Oleh itu kami
berpendapat mesti diwujudkan satu kesinambungan penguasaan bahasa Inggeris ini
sebagai persediaan untuk ke universiti kelak. Pihak kerajaan perlu konsisten dengan dasar
yang ingin dibentuk. Sekiranya kerajaan memberi kelonggaran kepada pihak IPTS untuk
menggunakan bahasa Inggeris maka kerajaan perlu mewajibkan penggunaan bahasa
Inggeris sekurang – kurangnya untuk subjek teknikal di peringkat sekolah menengah.
Dasar ini akan menjadikan pelajar bumiputera dan bukan bumiputera untuk bersaing dari
kedudukan yang sama dalam persaingan pendidikan di IPTS.
23
Lazimnya pelajar yang menguasai bahasa Inggeris ialah pelajar dari taraf sosio
ekonomi yang tinggi. Bagaimanakah dengan nasib pelajar luar bandar yang gagal berbuat
demikian. Kesan jangka panjangnnya ialah pelajar akan selalu didoktrinasikan dengan
kepentingan penguasaan bahasa Inggeris berbanding dengan bahasa Melayu.
6.3 Semangat Patriotisme Kehilangan Arah
Institut Pendidikan Tinggi Swasta, Kolej Swasta, Sekolah Swasta dan sebagainya tidak
mementingkan pendidikan sejarah dan kewarganegaraan. Ini amat bertentangan dengan
agenda pendidikan nasional negara. Sedangkan sejarah merupakan subjek teras untuk
peringkat sekolah. Di Institut Pendidikan Tinggi Awam dan sekolah-sekolah kerajaan
pula melihat kepentingan mata pelajaran ini dalam konteks yang nasional dan
mewajibkan semua pelajar mengambil subjek ini di peringkat SPM dan mata pelajaran
Tamadun Islam di peringkat pengajian tinggi yang turut memaparkan pergerakan sejarah
sesuatu bangsa.
Walau bagaimanapun situasi ini berbeza di IPTS. Mereka tidak melihat subjek ini dari
perspektif nasional. Oleh itu tiada subjek ini ditawarkan di mana-mana IPTS mahupun
kolej swasta. Menurut Puan Maharom Mahmood, Pusat Perkembangan Kurikulum
Kementerian Pendidikan semasa membentangkan Kertas Kerja dalam Persidangan
Kebangsaan Pendidikan Sejarah di Kuala Lumpur Oktober 2001, beliau menekankan :
“ Pendidikan Sejarah akan dapat membawa kita mengenal jati diri / asal usul
bangsa kita serta boleh menanam sifat cintakan bangsa dan setia kepada negara”
Di sini kita dapat membuat interpretasi bahawa mata pelajaran Sejarah ini sangat
penting dan masih relevan dalam konteks kepentingan nasional. Apakah generasi yang
akan terdidik dengan kurikulum IPTS ini akan melupakan sejarah asal-usul bangsa
mereka ? IPTS juga pada hakikat telah meminggirkan subjek keagamaan dan moral.
Kesemua subjek ini dilihat sebagai tidak mempunyai “ market value ” yang baik. IPTS
24
lebih mementingkan nilai ekonomi dalam menawarkan kursusnya ? Hakikatnya, nilai
patriotik akan terus malap dalam jiwa generasi yang belajar di IPTS. Kita bimbang akan
lahir generasi yang lupa sejarah bangsa mereka sendiri.
6.4 Kurikulum IPTS gagal dimantau
Menurut Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Khalid Yunus, setiap kurikulum yang hendak
ditawarkan mesti mendapat kelulusan dari Menteri Pendidikan dahulu mengikut seksyen
38 Akta IPTS dan memenuhi prasyarat Seksyen 39 Akta IPTS (Massa 1998 ).Isunya ialah
sejauhmanakah pihak Jabatan Pendidikan Swasta yang dipertanggungjawabkan berjaya
memantau samada sukatan kurikulum, tenaga pengajar, kemudahan prasarana dan lain-
lain yang disediakan oleh IPTS, kolej-kolej mahupun sekolah-sekolah swasta ? Kita
sering mendengar masalah ini dibangkitkan di media massa. Realitinya, kurikulum di
IPTS atau di Kolej Swasta tidak mencapai standard piawaian yang ditetapkan. Wujud
kepelbagaian kurikulum di peringkat sekolah-sekolah swasta. Jika dilihat secara
terperinci, pendidikan di peringkat pra sekolah atau tadika swasta turut mempunyai
kurikulum yang tidak seragam. Oleh itu persoalannya disini, bagaimanakah agenda
pendidikan nasioanl akan dicapai jika tidak wujud keseragaman dalam kurikulum ini ?
Menurut Chamil Wariya (1998) . Umumnya Kementerian Pendidikan terlalu bergantung
kepada undang-undang dalam memantau IPTS mahupun kolej atau sekolah swasta ini.
Tetapi berdasarkan realiti semasa, undang-undang tidak semestinya bersifat mencegah
dan mengawal dan terdapat banyak undang-undang yang diwujudkan gagal dimanfaatkan.
Kebergantungan kepada undang-undang bukanlah tindakan yang bijak.
Dalam aspek kurikulum juga telah berlaku pengasingan yang jelas antara subjek
kemanusiaan seperti sejarah, sastera, bahasa dan lain-lain dengan pengajian ilmu
ekonomi, sains dan teknologi ,sains dan sebagainya. Kolej swasta dan IPTS luar lebih
berminat menawarkan subjek aliran kedua. Ini selari dengan tuntutan pasaran kerja ketika
ini. Jelas pengasingan ini akan menjadikan subjek ini terus dipinggirkan dan akan hilang
25
arahnya di masa hadapan. Pelajar-pelajar tidak lagi mempunyai ruang untuk mengasuh
minda berkarya dan sebagainya. Sedangkan subjek kemanusiaan ini juga mempunyai
signifikannya yang tersendiri dalam membentuk peribadi dan pemikiran pelajar.
6.5 Kedudukan Pelajar Bumiputera Terpinggir
IPTS mahu pun kolej swasta tidak mempunyai kuota yang khusus untuk pelajar
bumiputera. Kemasukan ke IPTS dan kolej-kolej Swasta ini bergantung kepada
kemampuan kewangan pelajar tersebut. Jika dilihat jumlah pelajar bumiputera di IPTS
mahu pun kolej swasta amat minima. Mereka tiada kemampuan dari segi kewangan.
Kadar yuran yang terlalu tinggi menyebabkan mereka lebih tertumpu kepada IPTA.
Menurut Datuk Khalid Yunus ( Massa 1998 ) :
“ langkah menetapkan kuota bukan langkah yang sesuai. IPTS mempunyai entiti
sendiri. Yang kementerian boleh lakukan ialah mengambil tahu sahaja ”
Bagaimana nasib pelajar bumiputera di IPTS. Dikhuatiri kelak sektor IPTS akan
menjadi industri yang tidak menguntungkan khalayak terbanyak di negara ini. Kita juga
bimbang suatu ketika nanti IPTS akan diidentifikasikan untuk bukan bumiputera dan
IPTA untuk bumiputera. Segala-galanya bukan suatu yang mustahil untuk berlaku. Oleh
itu langkah awal perlulah diambil agar nasib pelajar bumiputera di IPTS dan Kolej
Swasta akan terbela.
6.6 Tergugatnya Kebudayaan Kebangsaan
Pendidikan Swasta mengenepikan dan tidak memberi penekanan elemen budaya
kebangsaan dalam kurikulum mereka. Yang pasti pendidikan swasta lebih menjurus ke
arah melahirkan individu yang lebih materialistik dan individualisitik. Menurut Anwar
Ridhwan (1995) :
26
“ Perkembangan Pendidikan Swasta yang tidak terkawal telah mempercepatkan
kerosakan budaya kebangsaan. Penobatan Bahasa Inggeris sebagai bahasa
utama menggagalkan fungsi bahasa kebangsaan tersebut.”
Jelas Pendidikan swasta akan terus meminggirkan budaya bangsa kita. Langkah-langkah
menuju ke status negara maju menjelang 2020 mula menyaksikan bahawa nilai
kehidupan kini lebih bersandarkan kepada unsur-unsur material. Kian terbentuk
masyarakat yang liberal. Sampai bilakah satu budaya kebangsaan akan dapat
diwujudkan? Kita bimbang kewujudan dan peminggiran budaya kebangsaan di kalangan
generasi di IPTS ini akan mempercepatkan lenyapnya budaya kebangsaan suatu masa
nanti.
7.0 Rumusan dan Cadangan
Secara umumnya pendidikan swasta memainkan peranan yang penting dalam
perkembangan dan kemajuan pendidikan di negara ini. Walau bagaimanapun perlu ada
kawalan dan pemantauan dibuat ke atas perlaksanaan pendidikan swasta agar ianya tidak
bertentangan dengan dasar dan falsafah pendidikan negara untuk masa yang akan datang.
Penulisan ini mencadangkan beberapa langkah yang boleh diambil demi kebaikan
bersama dalam proses perlaksanaan pendidikan swasta di negara ini. Beberapa cadangan
yan diberikan adalah seperti di bawah :
a. Dasar kurikulum pendidikan swasta harus sesuai dengan falsafah pendidikan
negara di mana keutamaan harus diberi kepada penggunaan bahasa Melayu
sebagai bahasa penghantar. Seterusnya ilmu yang berteraskan nilai – nilai moral
dan patriotisme perlu diberikan perhatian.
27
b. Untuk pendidikan tinggi khususnya untuk memastikan tidak wujud pola
pengambilan pelajar yang tidak seimbang maka setiap IPTS diminta untuk
mengadakan kursus yang membolehkan pelajar mendapat bantuan PTPN.
c. Untuk membantu pengusaha IPTS bumiputera disarankan supaya kerajaan
bekerjasama dengan IPTS bumiputera bagi penubuhan sesebuah kolej komuniti di
sesebuah negeri.
d. Dicadangkan supaya ditubuhkan satu ‘Tabung Penyelidikan dan Pembangunan’
bagi tujuan tenaga pengajar di IPTS menjalankan R&D. Satu bentuk perkongsian
perlu dibentuk di antara IPTA dan IPTS dalam program R&D.
e. Penubuhan IPTS sewajarnya tidak berdasarkan komersial sahaja. Mereka perlu
menawarkan kursus yang masih kekurangan di negara ini walaupun ianya
ditawarkan oleh IPTA.
f. Pihak JPS perlu memastikan yang pihak IPTS memberikan keutamaan kepada
bahasa Melayu dan menyediakan kursus yang mempunyai nilai kenegaraan dan
patriotisme. Contoh pihak JKR telah menetapkan setiap spesifikasi lukisan
pembinaan perlu dibuat dalam bahasa Malaysia dan pihak swasta yang ingin
berurusan dengan JKR terpaksa akur kepada peraturan ini.
g. Kerajaan negeri juga digalakkan memainkan peranan dalam pembangunan
industri pendidikan bersama pihak swasta dengan membangunkan kemudahan
infrastruktur yang sesuai.
h. LAN perlu menggunakan ahli – ahli panel yang betul – betul layak dan
mempunyai ‘mindset’ yang lebih professional dalam menjalankan tugas – tugas
penilaian kursus pengajian dan pemantauan kualiti.
28
i. Pihak LAN perlu mengadakan perbincangan dengan pihak JPA supaya semua
kursus – kursus pengajian yang telah diakreditasi oleh LAN secara otomatik
diiktiraf oleh JPA.
j. Memastikan guru – guru yang benar komited dalam bahasa Inggeris dihantar ke
kawasan luar bandar bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan
pelajar Melayu.
Diharapkan cadangan yang diberikan oleh kumpulan ini akan dijadikan sebagai panduan
untuk pembentukan dasar yang sesuai berhubung dengan perkembangan pendidikan di
negara ini. Diharapkan dasar yang dibentuk nanti akan mengambilkira kepentingan
semua pihak di negara ini.
29
Rujukan
Abdullah Othman. 1998. Penubuhan Sekolah – Sekolah dan Institusi - Institusi Pendidikan Swasta Masa Kini Jenis, Perundangan dan Dasar. Kertas dikemukakan dalam kursus penyelia unit perhubungan dan pendaftaran, Jabatan Pendidikan Negeri. IAB.
Abu Zahari Abu Bakar. 1991. Menghala Wawasan 2020. Kuala Lumpur : Arena Ilmu (M) Sdn. Bhd.
Atkinson. 1983. The Economics of Education. London : Hodder and Staughton.
Anwar Ridhwan. 1995. Pengkorporatan Institusi Pengajian Tinggi – Implikasi terhadap Bahasa dan Budaya Kebangsaan. Dalam Dewan Budaya Julai 1995. Dewan Bahasa & Pustaka. Kuala Lumpur.
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan. 1986. Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur : Percetakan Negara.
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan. 1992. Perangkaan Pendidikan 1990. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Berita Harian. 1993. 10 Mei.
Berita Harian. 1998. 16 Julai .
Berita Harian. 1992. 4 November .
Chamil Wariya. 1998. Menggadai Maruah Pendidikan Tinggi. Massa. Utusan Publications.Kuala Lumpur.
Education Planning and Research Division. 1968. Education Statistics of Malaysia 1938 – 1964. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Education Planning and Research Division. 1990. Education in Malaysia 1989. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
EPRD. 1989. Education in Malaysia. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ee Ah Meng. 1990. Pendidikan di Malaysia. Petaling Jaya : Penerbit Fajar Bakti.
Falsafah Pendidikan Negara dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Malaysia. 1988. Kementerian Pendidikan. PPK.
Ghazali Othman. 1993 . Kesan Bandingan IPS Dalam Pembangunan Negara. Seminar Pengurusan Pendidikan . IAB. 25 -27 Nov.
30
Hj. Shahril Hj. A. Karim. Pendidikan swasta menjelang Wawasan 2020. Kertas dibentangkan di Seminar Nasional ke 2 Pengurusan Pendidikan. IAB. 26 – 28 Nov.
Isahak Haron . 1992. Aliran Perkembangan Pendidikan dan Pembentukan Malaysia sebagai Negara Industri dalam Abad ke 21, Pidato Umum Aminuddin Baki Kali ke 4, UPM.
Jabatan Pendidikan Swasta. 2001. (atas talian) http://www.studymalaysia.com/jps/bm/ (28 Disember 2001).
Kerajaan Malaysia. 1991. Rancangan Malaysia Keenam 1991-1995. Kuala Lumpur : Percetakan Negara.
Kementerian Pendidikan Malaysia. 1985. Garis Panduan Kurikulum Prasekolah Malaysia. Kuala Lumpur : DBP.
Kementerian Pendidikan Malaysia. 1993. Education In Malaysia. Kuala Lumpur : EPRD.
Lee Meow Fatt. 1992. Private Educational Institution. Their Regulation in Full Filling National Mission and Vision . Kandungan ceramah Anjuran Persatuan Mahasiswa UKM di UKM, Bangi pada 2 Ogos.
Lee Pau Wing. 1993. Pendidikan Tinggi di Malaysia dalam Sharil et al. , Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributor.
Maharom Mahmood. 2001. Kurikulum Sejarah Ke Arah Memperkukuh Usaha Pemupukan Semangat Patriotik Di Kalangan Murid . Kertas kerja Persidangan Pendidikan Ke Arah Pembentukan Warganegara Patriotik Kertas2. 8 – 12 Oktober. Kuala Lumpur.
Majalah Dewan Budaya. 1995. Julai
Majalah Massa.1997. 6 Disember
Majalah Massa. 1997. 2 Ogos.
Utusan Malaysia. 1998. 17 Jun.
Utusan Malaysia. 1993. 30 April.
MDC .1996. Akta Pendidikan 1995. MDC. Kuala Lumpur
31
The Sunday Star. 1993. 17 Jan.
Zainal Abidin Wahid .1996. Liberalisasi Pendidikan Gugat Masa Depan Melayu. Tamadun. Mac.
32