pendahululan kepada perkembangan sejarah dan ketamadunan islam
DESCRIPTION
EsaimenTRANSCRIPT
1.0 Pendahululan Kepada Perkembangan Sejarah dan Ketamadunan Islam
Perkembangan Islam bermula dari pensyariatan yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W
sejak turunnya wahyu oleh Allah S.W.T kepada Rasulullah di Gua Hira’ pada awal 600
Masihi melalui surah Al-’Alaq iaitu,
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian
makhluk) (1). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku (2). Bacalah, dan
Tuhanmu Yang Maha Pemurah (3).”
(al - ‘Alaq ayat 1 hingga
3)
Surah ini memberikan gambaran bahawa agama Islam mula berkembang melalui
penyebaran ilmu sebagaimana perkataan “Bacalah” yang menekan betapa peri pentingnya
penyebaran ilmu dalam usaha mendekatkan diri kepada Pencipta mereka. Ini berkait rapat
dengan kemajuan sesebuah tamadun sebagaimana kemajuan Tamadun Renaissance yang
dikatakan zaman kelahiran semula kerana masyarakat zaman ini didakwa menjadi
pemangkin kemajuan dalam bidang sains dan teknologi, seni bina, agama dan
kesusasteraan.
Kemajuan dalam penyebaran ilmu pengetahuan ini secara tidak langsung berkait
rapat dengan ketamadunan sesebuah kerajaan. Oleh itu, peristilahan maksud tamadun ini
kebiasaanya akan memberi gambaran mengenai tahap kegemilangan peradaban dan
kemajuan hidup yang dicapai oleh setiap bangsa di dunia ini. Dari segi istilah Bahasa
Melayu, tamadun merupakan istilah yang paling popular digunakan dalam masyarakat
Melayu untuk menceritakan tentang kebudayaan, kemajuan, pembangunan, peradaban dan
kemajuan yang dicapai oleh sesuatu bangsa. (Amdun Husain, 1986). Justeru, tamadun
adalah sebuah masyarakat yang membangun melalui proses urbanisasi dengan nilai-nilai,
adab-adab dan tatasusila hidup serta berbudi luhur.
Dari segi istilah Bahasa Inggeris pula, Civilization menurut Colingwood : “Suatu
proses bagi mencapai tahap kehidupan civil (sopan), membawa lahirnya ciri-ciri masyarakat
bandar yang mempunyai kehalusan budi”. E.B. Taylor (ahli antropologi) pula menyamakan
istilah tamadun dengan budaya sebagai suatu yang merangkumi makna keseluruhan
pencapaian manusia termasuk pengetahuan, kepercayaan, seni moral, undang-undang,
adat dan keupayaan-keupayaan serta tabiat-tabiat lain yang didapati oleh manusia sebagai
anggota masyarakat.
Pengistilahan Bahasa Arab memberikan definisi tamadun sebagai al-hadarah. Istilah
ini dipopularkan oleh Malik bin Nabi, berasal daripada perkataan hadar yang membawa
1
maksud kehidupan secara menetap, tempat lahirnya perkembangan ilmu, kesenian,
kesusasteraan undang – undang dan kemasyarakatan. Selain itu, Mohamad ‘Abduh dan
Muhammad Farid Wajdi memperkenalkan istilah al-madaniyyah berasal daripada perkataan
madana, madani, Madinah yang membawa pengertian pembinaan kota dan tempat tinggal
menetap. (Farid Wajdi, 1967). Ia berupa metodologi kehidupan dan cara mengambil manfaat
daripada segala sumber tenaga semulajadi dan tenaga manusia. Usaha kearah itu
memerlukan keilmuan yang tinggi dan pengalaman yang cukup melalui proses penyelidikan
dan rekaan terhadap sesuatu yang dikira boleh mendatangkan faedah kepada manusia.
Hadharah pula menjurus pembinaan insaniah manusia (kerohanian) sementara
madaniyyah menjurus pembinaan material. Bagaimanapun kedua-duanya adalah sama dari
segi penggunaan Bahasa iaitu membangun, membina, memaju, menguat dan memperbaiki
kehidupan masyarakat. Gabungan kedua-dua maksud di atas memperlengkapkan maksud
sebenar tamadun menurut perspektif Islam. Elemen penting yang ditekankan oleh Ibn
Khaldun ialah segala ciri-ciri tamadun haruslah terbina atas asas spiritual (hidayah) Allah
bukan jibayah yang hanya mementingkan material semata-mata.
2.0 Perkembangan Sejarah dan Ketamadunan Islam di Timur Tengah
2.1 Perkembangan Ketamadunan Islam di Zaman Rasulullah S.A.W
Perkembangan Islam bermula di Mekah dan Madinah sebaik sahaja Nabi
Muhammad S.A.W dilantik menjadi Rasul atau Pesuruh yang kemudian dikenal dengan
nama Rasulullah atau Pesuruh Allah, maka baginda terus menjalankan seruan Islam
dengan memperkenalkan ajarannya kepada masyarakat Arab melalui wahyu yang
disampaikan oleh Allah S.W.T. Langkah yang pertama yang mendapat tumpuan Nabi
Muhammad S.A.W ialah membaiki akidah mereka yang menjadi asas kepada perkara-
perkara yang lain. Perkara ini perlu diutamakan sebelum pembentukan masyarakat Islam
yang sempurna secara kesuluruhannya. Menurut Haji Dusuki Haji Ahmad melalui bukunya,
Ikhtisar Perkembangan Islam menyatakan al-Quran diturunkan di Mekah dengan tujuan
utama ke arah pembentukan akidah dan seterusnya diturunkan di Madinah yang
menekankan aspek personal dan masyarakat dari semua aspek seperti soal-soal ibadah,
ekonomi, politik, sosial, jihad, kekeluargaan dan sebagainya. Tamadun Islam yang
diasaskan oleh Rasulullah S.A.W lebih terserlah berlakunya selepas baginda S.A.W
berhijrah ke Madinah dan membina negara di sana. Pembinaan Tamadun Islam pada
zaman baginda S.A.W bermula sejak 13 tahun sebelumnya di Mekah dan 10 tahun di
Madinah. Dilihat dalam susur galur sejarah islam, selepas berlakunya sepuluh tahun
baginda memerintah negara Islam Madinah, Tamadun Islam sudah dapat ditegakkan di dua
2
buah kota besar Semenanjung Tanah Arab iaitu melalui pembinaan kota Madinah al-
Munawwarah dan kota Mekah al-Mukarramah.
Peringkat permulaan ajaran islam melalui 3 tahap iaitu melalui secara sulit, peringkat
secara terus terang kepada kaum keluarga dan peringkat secara berterus terang kepada
orang ramai. Melalui 13 tahun melalui proses tarbiah di Mekah, penumpuan yang diberikan
oleh Rasulullah S.A.W pada peringkat ini bersifat penyediaan untuk menghadapi golongan
jahiliah. Kejayaan baginda dan para sahabat dalam menempuh pelbagai ujian di samping
penyediaan batu asas yang kukuh di Madinah sebelum hijrah, merupakan strategi yang
paling menarik dalam agenda pembinaan tamadun. Antara persediaan yang dilakukan oleh
baginda ialah:
i. Pembinaan ketahanan spiritual melalui penekanan akidah atau kepercayaan
yang teguh kepada Allah S.W.T dan kerasulan Muhammad S.A.W serta
keyakinan kepada alam ghaib, syurga dan neraka melalui penerapan Rukun
Iman dan Rukun Islam.
ii. Pembinaan Ketahanan Mental dengan cara memaksa umat Islam sentiasa
berfikir dan berikhtiar mencari jalan melepasi segala rintangan dan dugaan
yang diterima serta memilih strategi dakwah terbaik di tengah-tengah
gelombang masyarakat jahiliyyah menentang Islam.
iii. Pembinaan ketahanan emosi melalui latihan agar sentiasa tabah dan sabar
dalam mengharungi ujian Allah.
iv. Pembinaan latihan fizikal menerusi latihan secara praktikal melalui
penganiyaan musyrikin Mekah. Mereka terpaksa menahan lapar akibat
pemulauan, terpaksa menahan sakit pedih kerana disebat, dilecur dengan api
dan pelbagai penyeksaan lagi.
Seterusnya menerusi hijrah Nabi Muhammad S.A.W ke Madinah merupakan langkah
drastik ke arah era pelaksanaan syariat secara menyeluruh apabila semua masyarakat
Madinah bersedia menyerahkan kota tersebut di bawah pentadbiran baginda S.A.W. Antara
strategi yang telah ditekankan oleh Rasulullah S.A.W dari aspek politik, ekonomi dan
sosial. Aspek-aspek tersebut seperti:
i. Aspek politik. Nabi Muhammad S.A.W telah menubuhkan negara Islam
melalui penyatuan golongan Aus, Khazraj dan Yahudi yang telah berperang
beratus tahun merebut kekuasaan. Baginda diterima sebagai pemimpin
masyarakat Madinah dan seterusnya melancarkan Piagam Madinah
(Constitution of Madinah) yang terdiri daripada 47 fasal. Seterusnya baginda
telah mewujudkan sistem kehakiman dan menyusun sistem pentadbiran
3
berpusat di Madinah. Kerajaan Islam ini dibahagikan kepada enam wilayah
dan setiap wilayah terdiri dari seorang gabenor yang bertanggungjawab
kepada pentadbiran pusat.
ii. Aspek Ekonomi. Baginda telah melaksanakan sistem zakat, ghanimah,
kharaj, fai’ dan mendirikan pasar di Madinah. Perniagaan, pertanian,
penternakan dan perdagangan antarabangsa juga turut berlangsung pada
zaman baginda. (Nik Kamaliah Nik Abdullah, 1994).
iii. Aspek Sosial. Rasulullah S.A.W membina masjid sebagai tempat solat
sekaligus berfungsi sebagai markaz, madrasah dan parlimen. Ia juga
berperanan sebagai pusat penyebaran dakwah sama ada dalam bentuk
wahyu dan juga tempat menerima tetamu daripada dalam dan luar negeri.
Rasulullah S.A.W juga berjaya mempersaudarakan antara Muhajirin dan
Ansar sehingga mereka sanggup berkorban demi kepentingan saudara
mereka. (Nik Kamaliah Nik Abdullah, 1994).
2.2 Zaman Khulafa’ al-Rasyidin
Setelah wafatnya baginda S.A.W, empat orang sahabat iaitu Abu Bakar al-Siddiq,
Umar ibn al-Khattab, Uthman ibn ‘Affan dan Ali bin Abi Talib R.A telah diamanahkan untuk
meneruskan sistem pemerintahan Daulah Islamiah yang berpusat di Mekah dan Madinah
yang dikenali sebagai Khulafa’ al-Rasyidin. Perkataan Khulafa’ atau Khalifah pada asalnya
bererti pengganti kemudian ia digunakan kepada jawtan ketua umum dalam pentadbiran
urusan dunia dan hal ehwal agama selepas Rasulullah. Kedudukan dan taraf seorang
khalifah dari segi kuasanya adalah sama seperti Rasulullah.
Zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar telah membawa banyak pembaharuan
dalam ketamadunan islam selepas zaman Rasulullah S.A.W. Sumbangan yang paling
dominan ialah pengukuhan akidah dalam memerangi golongan yang murtad dan
membentuk pasukan tentera yang khusus untuk menjaga keamanan dan kemakmuran di
kedua-dua negara Islam di Mekah dan Madinah. Usaha pembentukan tentera yang dikenali
sebagai Usamah ini bermatlamatkan untuk menghancurkan gerakan orang murtad selepas
kewafatan Rasulullah. Selain itu, Abu Bakar juga mengumpulkan al-Quran sebagai langkah
untuk memelihara mushaf al-Quran daripada hilang atau dimusnah serta banyak hafiz yang
meninggal dunia.
Pada zaman Khalifah Umar al-Khattab pula telah menjadikan sistem politik negara
islam tersebut lebih tersusun dan sistematik. Malah, penyebaran Islam telah berkembang
dan meluas ke negeri-negeri Syam, Mesir dan Parsi. Beliau membahagikan kawasan
4
pentadbirannya kepada lapan daerah iaitu Mekah, Madinah, Syria, al-Jazirah
(Mesopotamia), Basrah, Kufah, Mesir dan Palestin. Tiap-tiap kawasan ditadbir oleh seorang
pesuruhjaya yang dikenali dengan nama wali dengan dibantu oleh beberapa orang pegawai
seperti Setiausaha Ketua Tentera, Pemungut Cukai, Pegawai Polis, Pegawai
Perbendaharaan dan Hakim (kadi).
Manakala di Zaman Khalifah Osman bin Affan menunjukkan senario politik Islam
tidak menentu. Beliau juga yang merupakan penulis wahyu Rasulullah S.A.W dan dikenali
gelaran Zu-nurain ini dilantik oleh Abdul Rahman bin Auf bagi menggantikan Saidina Abu
Bakar. Beberapa perubahan dalam sistem politik Islam dibawah pemerintahan 12 tahun
Saidina Osman. Antaranya ialah Marwan bin al-Hakam yang merupakan setiusaha Osman
bin Affan melakukan perubahan perlantikan gabenor yang dilantik oleh Khalifah Umar telah
dipecat dan diganti daripada keturunan Bani Umayyah iaitu kaum keluarganya sendiri.
Tindakan Marwan ini menyebabkan berlakunya kekacauan dalam sistem politik yang
diterajui oleh Osman yang dikatakan lemah dalam pentadbirannya kerana sudah mencapai
usia 80 tahun. Osman bin Affan dibunuh kerana fitnah yang dikatakan beliau telah menulis
surat untuk mengarahkan Abdullah bin Saad, Gabenor Mesir untuk membunuh Muhammad
bin Abu Bakar dan rombongannya apabila mereka sampai di Mesir.
Dibawah pemerintahan Khalifah Ali bin Abi Talib juga bertindak memberhentikan
semua gabenor yang dilantik oleh Saidina Osman. Tindakannya menimbulkan perasaan
tidak puas hati dalam kalangan rakyat yang bersimpati atas kematian Saidina Osman.
Ramai ahli sejarah berpendapat bahawa tindakan Khalifah Ali ini dan kelemahan-
kelemahannya dalam pentadbiran merupakan faktor secara langsung kejatuhan kerajaan
Khulafa ar-Rasyidin. Walau bagaimanapun, kelahiran parti dalam sistem politik islam ini
merupakan perintis kepada pembaharuan politik islam moden. Antara parti politik yang
dilahirkan diasaskan ialah Parti Syiah yang pro Khalifah Ali, parti Ahli Sunnah yang pro
Muawiyah dan parti Khawarij yang anti kepada kedua-dua parti tersebut.
Di zaman pemerintahan empat orang khalifah ini, Tamadun Islam dikatakan dapat
dikembangkan ke seluruh Semenanjung Tanah Arab dan melampaui Empayar Rom dan
Parsi. Kota-kota Islam telah dapat diwujudkan antaranya ialah Damascus di Syria, Basrah,
Kufah dan Fustat di Mesir dan Jerusalem di Palestin.
2.3 Zaman Daulah Bani Umaiyah
Pada zaman Daulah Bani Umaiyah, Tamadun Islam telah sampai ke Asia, Afrika dan
Eropah. Kota Byzantine yang terletak di sempadan Damsyik menjadi tumpuan. Selanjutnya
5
Islam berkembang di bumi India melalui pimpinan Muhammad al-Qasim yang berjaya
menawan Sind pada abad ke – 8 Masihi. Di sekitar abad ke 13 Masihi pula, Islam telah
sampai ke Asia Tengah apabila tentera Islam dapat membuka Bukhara, Samarqand,
Khawarizmi, dan Farghanah. Seterusnya membuka jalan ke China melalui Qutaybah bin
Muslim yang berjaya menguasai Singkiang dan kemudiannay mara ke Kansu. Daulah Bani
Umaiyah dikatakan dapat menjalankan hubungan Maharaja Hsuan pada tahun 713 Masihi.
Manakala di sebelah Afrika Utara dan Maghribi pula, Tamadun Islam telah berjaya
ditegakkan di sana melalui Hassan bin Nu’man al-Ghassani yang kemudiannya dilantik
sebagai gabenor di situ. Tempat beliau kemudiannya diganti oleh Musa bin Nusayr yang
menjadi Amir Qayrawan. Sementara itu, di Andalusia, Sepanyol telah berjaya dibuka oleh
panglima perang Tariq bin Ziyad. Beliau telah berjaya membuka beberapa buah kota besar
seperti Carmona, Seville dan Toledo. Maka, beberapa buah masjid, institusi-institusi
pendidikan dan juga istana turut dibina.
2.4 Zaman Kerajaan Daulah Abbasiyah
Pada zaman Daulah Abbasiyah, telah wujud pertelingkahan dan perebutan takhta
yang membawa muncul beberapa buah kerajaan kecil di wilayah-wilayah Arab, Parsi, Turki,
Kurdi dan lain-lain. Parsi sebagai contoh, telah muncul kerajaan Tahiriyah yang berpusat di
Khurasan, Kerajaan Saffariyah di Fars, Kerajaan Samaniyah di Trensoxania, Kerajaan
Sajidiyah di Arzerbaijan, Kerajaan Ziariah di Jurjun dan Kerajaan Buwayh di Iraq dan semua
kerajaan ini dikatakan wujud sekitar abad ke 9 Masihi hingga abad ke 12 Masihi.
3.0 Kesan Perkembangan Sejarah dan Ketamadunan Islam di Timur Tengah
Terhadap Kepelbagaian Aspek Perkembangan Islam di Malaysia
Terdapat beberapa faktor yang boleh dilihat sebagai penyumbang kepada kepesatan
perkembangan Islam di Malaysia sejak dari awal Kesultanan Melayu Melaka atau
sebelumnya lagi. Antaranya ialah:
i. Hubungan dagang kerajaan Awal Melayu dengan negara Arab
ii. Hubungan diplomatik dengan wilayah-wilayah Islam dan pusat pemerintahannya
iii. Hubungan ilmu secara dua hala dengan negara arab terutamanya Mesir dan
Hijaz
iv. Perluasan wilayah oleh Kerajaan Islam Melayu Melaka
v. Islam itu mudah difahami
vi. Peranan ulama dalam pemerintahan
6
3.1 Pengaruh Dalam Akidah dan Kepercayaan
Kedatangan Islam ke Alam Melayu telah mempengaruhi banyak aspek sebagaimana
yang dinyatakan; bahawa ia "mencetuskan suatu zaman baru". Pengaruh yang dibawa oleh
Islam merupakan suatu kesan menyeluruh berasaskan paradigma tauhid. Pengaruh
tersebut bukan hanya melibatkan pertukaran watak luaran tetapi terkesan daripada falsafah
dan pemikiran Islam yang tulen. Ledakan tauhid ini telah mencetuskan zaman baru dan
meninggalkan zaman kehidupan pengaruh Buddha dengan alam khayalannya iaitu
penyembahan berhalanya dan dengan kepentingan kepada keseniannya. Tauhid itu juga
membuahkan kehidupan beribadah, menghiasi akhlak yang bernilai tasawwuf, juga
mencetus perubahan-perubahan lain seperti dalam bidang sosial, politik, perundangan,
keilmuan, kesusasteraan atau persuratan dan sebagainya.
Pandangan serta falsafah pemikiran masyarakat Alam Melayu juga turut berubah
setelah mereka menerima ajaran Islam. Sebagai contoh, Islam menyuruh umatnya supaya
berusaha bersungguh - sungguh mencari rezeki yang halal agar disenangi dan dihormati
oleh semua orang. Jika gagal sekalipun, Islam menyuruh umatnya agar tabah dan sabar
serta menghargai nyawa yang diberikan oleh Allah S.W.T. dan redha dengan ketentuanNya,
bukannya berputus asa dan membunuh diri.
3.2 Pengaruh Dalam Aspek Sosial
Berikutan dengan perkembangan Islam di awal kerajaan Melayu, ciri - ciri sosial
Islam juga telah bertapak secara beransur-ansur yang akhirnya berjaya mengambil tempat
ciri-ciri sosial Hindu yang menguasai masyarakat ketika itu. Antara ciri-ciri sosial yang
dibawa oleh Islam ialah persamaan taraf dan persaudaraan Islam antara semua anggota
masyarakatnya, sehingga tergugat kedudukan sistem kasta dan perhambaan serta
perbezaan taraf di kalangan mereka. Dengan terhapusnya sistem kasta yang dipengaruhi
oleh budaya dan tamadun Hindu itu, Islam telah menggantikannya dengan memperkenalkan
sistem atau konsep persamaan taraf dan persaudaraan Islam, malah berjaya mewujudkan
perpaduan, kemesraan dan semangat bantu membantu antara satu sama lain. Setelah
kedatangan Islam ke rantau ini, konsep kasta dilihat tidak lagi releven kerana Islam
menegaskan bahawa manusia berasal dari Adam dan Hawa. Kedudukan dan taraf manusia
dinilai berdasarkan iman dan taqwa, bukan pada pangkat dan darjat kebangsawanan seperti
yang diamalkan oleh tamadun Hindu melalui sistem kasta tersebut.
7
Bagi mendidik masyarakat, Islam telah memperkenalkan hukum-hukum dan
peraturan berdasarkan al-Qur’an dan al-Hadith. Ajaran agama Islam telah mengatur sistem
perhubungan sosial dan kekeluargaan yang cukup menarik kepada masyarakat. Contohnya
dalam perhubungan antara anak-anak dengan ibu bapa, suami dengan isteri, orang tua
dengan orang muda, pemimpin dengan rakyat dan sebagainya. Melalui hukum dan
peraturan itu, akan terbentuklah nilai akhlak yang mulia dan harmoni dalam perhubungan
sosial antara individu dan kumpulan masyarakatnya. Komunikasi antara kelompok manusia
akan dapat berjalan dengan sempurna, terjalin menerusi sifat hormat menghormati,
bergotong-royong dan bantu-membantu antara satu sama lain.
Selain daripada itu, institusi-institusi baru kemasyarakatan juga turut muncul seperti
masjid, surau, madrasah dan sebagainya yang memainkan peranan utama dalam hubungan
sosial harian. Tempat-tempat seperti ini bukan sahaja berguna sebagai tempat beribadat
tetapi juga sebagai tempat pertemuan sosial. Masjid umpamanya menjadi tempat menimba
ilmu, dewan tempat bermesyuarat dan kelab untuk membincangkan pelbagai masalah dan
urusan, sama ada dalam perkara agama atau bagi menyelesaikan hal-halkemasyarakatan
yang dihadapi.
3.3 Pengaruh Dalam Politik dan Perundangan
Pengaruh yang peling jelas ialah apabila raja-raja Melayu menganut Islam dan
memakai gelaran seperti Sultan, Malik, Amir al-Mu’minin. Penggunaan undang-undang
syariah dengan munculnya Hukum Kanun Melaka, Undang-undang Laut Melaka, Undang-
undang Johor dan sebagainya.
Dalam susunan pentadbiran Melaka, kerajaannya diketuai oleh sultan dan dibantu
oleh Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggong, Shahbandar, Perdana Menteri, Seri
Bija Diraja, Laksamana dan lain-lain. (Hashim, 1977). Temenggung bertugas membanteras
kemungkaran, mengawal keamanan dan kebajikan awam di dalam negeri. Manakala
Syahbandar bertanggungjawab terhadap kebajikan pedagang, anak yatim dan orang-orang
yang teraniaya. (Muhammad Taha, 1990).
Sistem perundangan bukan lagi terhad kepada aspek munakahat (kekeluargaan dan
perkahwinan), tetapi juga mengjangkau persoalan jenayah dan sivil. Hukum Kanun Melaka
misalnya, hudud meliputi kesalahan melakukan zina, qazaf, mencuri, merompak, murtad
dan minum arak sepert yang terkandung dalam fasal 40(2), 43(5), 36(1), 11(1), 42 dan 43.
Tidak ketinggalan juga kesalahan melakukan hubungan jenis sesame lelaki (liwat) dan
hubungan jenis dengan binatang seperti dalam fasal 43 (5).
8
Pada sekitar abad ke 20 hingga 21, pengaruh islam dalam politik Malaysia
menunjukkan kemajuan yang signifikan. Ini dapat dibuktikan melalui penyertaan golongan
ulama didalam kebangkitan kesedaran bangsa dari era dahulu. Sebagai contoh, golongan
ulama seperti syeikh syed al-Hadi dan sheikh Tahir Jalaluddin adalah antara golongan
intelektual pertama yang mengagaskan peranan Islam di dalam politik (Jamaie, 2005).
Penubuhan parti politik kebangsaan seperti UMNO juga pada dasarnya mendapat sokongan
para ahli agama. Kerana ia berfungsi sebagai medium politik bagi orang melayu yang rata-
ratanya beragama Islam.
Terdapat ramai intelektual politik Malaysia adalah berlatarbelakangkan agama,
seperti Dr Burhannudin Al-Hemy dan Profsessor Zulkifli Mohammad . Para intelektual inilah
yang memainkan peranan yang besar didalam pengisian Islam didalam politik Tanah Melayu
menjelang kemerdekaan (Jamaie, 2005). Namun, diatas sikap tidak mahu bekerjasama
dengan pihak penjajah, para ulama ini telah disenarai hitamkan berbanding para nasionalis
yang mengambil sikap bekerjasama dengan pihak penjajah. Terdapat ramai tokoh-tokoh
agama yang turut terlibat di dalam kepimpinan Tanah Melayu pasca kemerdekaan tahun
1957 seperti Ahmad Badawi yang merupakan ulama tempatan yang terkenal didalam politik.
Apabila berlakunya pertembungan idea diantara golongan ulama dan para ahli politik
berpendidikan barat, ramai di kalangan ulama telah keluar dari parti pemerintah dan
menubuhkan sebuah parti Islam sebagai wadah memperjuangkan politik Islam
(Kamarulnizam, 2003). Parti yang dimaksudkan ialah Parti Islam Semalaysia (PAS).
Perjuangan politik Islam di Malaysia telah melalui pelbagai liku lantaran terpaksa bersaing
dengan pelbagai pemikiran politik barat seperti liberalisme yang didukung oleh UMNO dan
sosialisme yang didukung oleh Barisan sosialis. Namun, politik Islam mendapat sambutan
yang menggalakan di negeri-negeri yang berpenduduk majoriti Melayu. Ini kerana
terminologi Islam tidak dapat dipisahkan dari aspek budaya Melayu. Menurut Syed Naquib
(1972), Islam dan Melayu tidak dapat dipisahkan kerana terdapat ikatan yang kuat diantara
kedua-duanya dari segi budaya dan agama.
3.4 Pengaruh Dalam Perlembagaan Malaysia
Kenyataan pengaruh Islam terhadap Malaysia jelas termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan, Bahagian 1, Perkara 3 mengenai Agama bagi Persekutuan. Contohnya
Perkara 3 (1): “Agama Islam adalah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain
boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.” Perkara
tersebut bermaksud agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan, tetapi pada masa yang
sama, sifat Islam yang mulia membentuk perlembagaan dan Negara Malaysia supaya
mengizinkan hak-hak orang bukan Islam untuk mengamalkan agama masing-masing.
9
Peruntukan ini bukan sahaja mengakui agama Islam sebagai agama yang agung, tetapi juga
memberi ruang dan kebebasan kepada rakyat berbilang kaum untuk mengamalkan agama
masing-masing di negara ini.
Selain daripada penetapan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan,
terdapat juga peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang telah menyatakan Yang
di-Pertuan Agung merupakan Ketua Agama di Malaysia dan kerajaan haruslah mengadakan
peraturan mengenai hal ehwal agama Islam dan menubuhkan sebuah Majlis untuk memberi
nasihat kepada Yang di-Pertuan Agung mengenai perkara yang berhubung kait dengan
agama Islam. Perkara 3 (5), Perlembagaan Persekutuan: “Walau apa-apa jua dalam
Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agung hendaklah menjadi Ketua Agama Islam dalam
Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, dan bagi maksud ini
Parlimen boleh dengan undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi menubuhkan
suatu Majlis untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agung mengenai perkara-perkara
berhubung dengan agama Islam”.
Manakala pembinaan institusi agama Islam juga termaktub dalam Perkara 12 (2),
dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa : “ Tiap-tiap kumpulan agama
adalah berhak menubuh dan menyenggara institusi-institusi untuk pelajaran kanak-kanak
dalam agama itu sendiri, dan tidaklah boleh ada pembezaan semata-mata oleh sebab
agama dalam mana-mana undang-undang berkaitan dengan institusi-institusi itu atau
dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu, tetapi adalah sah bagi Persekutuan
atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggara institusi-institusi Islam atau
mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan
melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.”
Dengan peruntukan yang terkandung dalam Perkara 3 dan Perkara 12 dalam
Perlembagaan Persekutuan Malaysia, boleh disimpulkan bahawa dasarnya agama Islam
merupakan agama rasmi Persekutuan. Dengan itu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan
Negeri mempunyai kuasa untuk menyelenggara dan menubuhkan institusi Islam seperti
penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pembinaan surau-surau atau
masjid-masjid di seluruh negara untuk kemudahan rakyat melaksanakan aktiviti keagamaan.
3.5 Pengaruh Dalam Pendidikan Dan Ilmu Pengetahuan
Kesedaran Tentang Ilmu Pengetahuan Kedatangan Islam ke nusantara terutamanya
Malaysia telah banyak memberi kesedaran dalam aspek pendidikan dan ilmu pengetahuan
masyarakat Melayu. Islam telah melahirkan semangat keilmuan di kalangan penduduknya
untuk mencari dan mempelajari ilmu pengetahuan. Menurut Profesor Syed Muhamad
Naquib al-Attas bahawa; "Islam membawa semangat rasionalisme dan intelektualisme
10
bukan sahaja di kalangan istana dan kraton, malah sampai juga dengan lebih merebak di
kalangan rakyat jelata". Faktor asasi yang merupakan punca kesedaran atau punca revolusi
kebudayaan ini ialah penjelasan rasional mengenai konsep perihal wujud yang dibawa untuk
pertama kalinya oleh Islam. Pandangan sarjana tersebut menunjukkan kesedaran yang
dicetuskan oleh Islam meliputi juga bidang keilmuan. Hal berkenaan juga menggambarkan
pola kesedaran dalam aspek-aspek yang bersifat keilmuan ini yang melibatkan golongan
atasan dan istana malahan juga golongan bawahan dan rakyat jelata.
Sistem pendidikan Islam di Malaysia merangkumi pendidikan formal dan pendidikan
tidak formal. Pendidikan formal adalah pendidikan yang didapati dari institusi pendidikan
agama seperti sekolah, surau, madrasah dan sebagaina serta ia berasaskan bidang
pengajian Islam seperti fiqah, tafsir, sejarah Islam, tauhid dan akhlak. Manakala pendidikan
tidak formal pula adalah pengajaran yang berlaku secara langsung dalam kehidupan
seharian seseorang muslim tersebut seperti cara berfikir, amal, kecergasan muslim dalam
bidang ekonomi dan sebagainya.
Terdapat empat pencapaian dalam bidang pendidikan agama Islam di Malaysia
seperti:
i. Wujudnya naskhah-naskhah Melayu yang dicetak dalam tulisan Arab dan
jawi yang merangkumi ilmu politik, falak, kemasyarakatan dan sebagainya.
ii. Kewujudan institusi pendidikan agama Islam melalui inisiatif kerajaan
Malaysia membina pusat latihan dakwah, Institut Kemahiran Islam Malaysia,
pembiayaan kerajaan untuk kelas-kelas fardhu ain dan sebagainya.
iii. Kecenderungan sultan menguasai pendidikan Islam sejak awal Kesultanan
Melayu Melaka.
iv. Kemunculan golongan intelektual nusantara seperti Nuruddin al-Raniri,
Sheikh Daud al-Fatani, Tok Kenali dan sebagai.
3.6 Pengaruh Dalam Ekonomi dan Sosio-budaya
Pengaruh Islam dalam Tamadun Melayu juga terkesan dalam aspek ekonomi. Suatu
ketika dahulu Melaka pernah muncul sebagai sebuah pusat perdagangan utama di rantau
ini. Peraturan islam jelas muncul dalam undang-undangnya. Terdapat undang-undang yang
mengetengahkan peruntukan yang mengharamkan perniagaan benda-benda haram seperti
anjing, babi, arak, tuak dan sebagainya. Turut dinyatakan peraturan sah jual beli, akad dan
lain-lain. Undang-undang tersebut juga turut menggariskan tentang pengharaman riba,
hokum orang muflis, sulh (perjanjian), ikrar, amanat, pinjam-meminjam, syarikat
(perkongisan dan pelbagai lagi. (Muhammad Taha, 1990).
11
Selain daripada itu penggunaan wang syiling juga diperkenalkan di Melaka seperti
penggunaan pada zaman Sultan Muzaffar Syah. Syiling tersebut ditulis perkataan berunsur
Arab iaitu “Muzaffar Shah al-Sultan” dipermukaannya dan “Nasir al-Dunya wa al-Din”
bermaksud penolong dunia dan agama islam.
Penerima masyarakat Melayu terhadapa sistem ekonomi Islam juga dapat dilihat dari
segi peranan yang dimainkan oleh Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan utama dari
segi impot dan eksport suatu ketika dahulu. Pelabuhannya menjadi pusat persinggahan
para pedagang dari seluruh pelusuk dunia. Ini secara tidak langsung menjadikan Melaka
berkembang pesat sehingga wujud gudang-gudang yang besar dan rumah tumpangan
untuk kemudahan para pedagang dan pendatang khususnya dari semenanjung Tanah Arab.
Selain itu, sejak tahun 1963 sudah wujud pengenalan kepada sistem ekonomi islam yang
lebih moden dan sistematik yang dipanggil sistem perbankan Islam. Perbadanan Wang
Simpanan Bakal-Bakal Haji (PWSBH) telah ditubuhkan untuk dijadikan institusi bagi umat
Islam membuat simpanan sebagai persediaan mengerjakan ibadat Haji ke tanah suci
Mekah. Pada tahun 1969, PWSBH telah bergabung dengan Pejabat Urusan Haji bagi
membentuk Lembaga Urusan dan Tabung Haji (kini dikenali sebagai Lembaga Tabung
Haji). Manakala, Bank Islam pertama telah ditubuhkan pada tahun 1983. Perbankan Islam
adalah aktiviti perbankan yang dijalankan berlandaskan prinsip Syariah iaitu tidak
membenarkan pembayaran atau penerimaan faedah dan menggalakkan perkongsian
untung di dalam amalan perbankan dari sudut pandangan Islam.
Penghayatan masyarakat Melayu berkait rapat dengan penghayatan terhadap nilai-
nilai murni Islam oleh anggota masyarakat. Walaupun masyarakat dalam negara yang
berbilang bangsa dan boleh diterima oleh etnik dan agama lain. Contohnya, Adat
menyambut kelahiran bayi dengan zan, membelah mulut, hari ketujuh iaitu mencukur
jambul, marhaban dan selawat. Begitu juga majlis perkahwinan dengan majlis khatam al-
Quran, gotong royong ketika majlis kenduri. Majlis tahlil dan pengebumian jenazah cara
islam juga menggambarkan pengaruh Islam secara tidak langsung.
12
4.0 Kesimpulan
Islam merupakan satu agama yang terbaik dan ajarannya diikuti oleh semua umat Islam
sedunia. Syariat Islam bermula dengan penciptaan Nabi Adam A.S dan berubah mengikut
peredaran zaman kenabian yang terdahulu sehinggalah Nabi Muhammad S.A.W yang
dikatakan dalam al-Quran sebagai nabi yang terakhir kepada seluruh umat manusia. Dari
turunnya wahyu yang pertama melalui malaikat Jibril dengan perkataan “Bacalah”, ia
menggambarkan peradabannya yang tersendiri dalam bentuk masyarakat Islam yang
universal dan sesuai mengikut zaman. Perkembangannya semakin meluas dari Barat
hinggalah ke Timur dan ke Asia. Kedatangan Islam ke dalam dunia masyarakat Melayu
dapat menyemarakkan lagi semangat dalam memperjuangkan Islam. Pengaruh Islam dalam
pentadbiran masyarakat Melayu sememangnya tidak dapat dipisahkan dari kaca mata
seorang pemimpin. Ini akan merealisasikan sebuah negara yang berbentuk islamik dalam
masyarakat Melayu.
Pengaruh Islam amat kuat dalam pentadbiran masyarakat Melayu dan kepulauannya. Ia
merangkumi dalam aspek-aspek seperti ekonomi, kesusasteraan, kesenian, pendidikan
dalam penghayatannya, dan sistem perundangan. Gabungan kesemua ini akan
mewujudkan satu negara Islam yang bertaraf dunia dan sebagai langkah permulaan untuk
menjejaki dunia tanpa sempadan.
Sekiranya sesebuah negara Islam itu sedang membangun, ia sering mendapat
perhatian dunia. Ini tidak lain kerana pembangunan ekonomi dan kestabilan politiknya yang
terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama. Justeru, ditambah pula dengan
keharumannya sebagai contoh dalam memajukan Islam dan memperbaiki taraf hidup
rakyatnya yang beragama Islam tanpa menyekat kebebasan beragama bagi penganut-
penganut agama lain dan tanpa menindas mana-mana kaum di negara itu. Dalam erti kata
lain, rakyat di negara itu akan diacu mengikut acuan Islam dan nilai-nilai murni sejagat serta
pembangunan yang akan ditempa nanti tidak akan terpisah dari dasar-dasar yang
digariskan oleh Al-Quran dan As-Sunnah.
13
5.0 Bibliografi
Buku Ilmiah
Asar Abdul Karim. (2008). Kecemerlangan Tamadun Islam Masa Kini. Kuantan: Universiti Malaysia Pahang.
Haji Dusuki Haji Ahmad. (1980). Ikhtisar Perkembangan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Khairul Azhar Idris. (2014). Karya Agung Tamadun Islam dan Peradaban Melayu. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Nik Mohd Rosdi Nik Ahmad & Nik Kamaliah Nik Abdullah. (2009). Kenalilah Tamadun. Kuala Lumpur: Universiti Teknologi Mara.
Saifullah Mohd Sawi & Samsu Adabi Mamat. (2009). Sejarah dan Tamadun Islam di Asia Tenggara. Shah Alam: Karisma Publication.
Jurnal
Ali Mohammad. (2000). Sumbangan Tamadun Islam Dalam Kehidupan. Sejarah dan Pemikiran Islam, 68.
Mashitah Sulaiman. (2013). Islam Dana Transformasi Sosial Masyarakat Melayu Malaysia : Suatu Kajian Eksploratori . International Conference of Social Sciences Research, 68.
Akbar
A. Aziz Deraman. (18 Nov 2009). Ke Arah Mengangkat Tamadun Islam Dunia. Kuala Lumpur: Akhbar Sinar Harian.
Datuk Dusuki Ahmad. (10 June 2009). Budaya Keusahawanan Bangunkan Ekonomi Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Akhbar Berita Harian.
Laman Sesawang
14
Nurul Aisyah Yap Abdullah. (28 September 2011). adminscience.blogspot.com. Diambil dari pautan Pengaruh Islam Dalam Pembinaan Tamadun Malaysia: http://adminscience.blogspot.com/2011/09/pengaruh-islam-dalam-pembinaan-tamadun.html#!/tcmbck
Perbankan Islam . (10 Julai 2010). Pengenalan perbankan Islam. Diambil dari pautan Spidm.wordpress.com: https://spidm.wordpress.com/pengenalan/
LAMPIRAN
15