paper smp learning
TRANSCRIPT
1.0 PENGENALAN
Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia menghadapi tekanan dan cabaran besar dalam
menghadapi persaingan abad ke 21. Namun keazaman Malaysia untuk menjadi sebuah negara
yang maju, berdaya saing dan teguh tetap kekal utuh . Misi nasional telah disediakan bagi
menggaris pendekatan yang akan dilaksanakan untuk menangani cabaran dan mencapai
matlamat negara seperti mana yang telah ditetapkan dalam wawasan 2020. Sesungguhnya
kejayaan agenda pembangunan modal insan kelas pertama amat bergantung kepada mutu sistem
pendidikan negara. Oleh itu kerajaan berhasrat untuk menggerakkan satu usaha untuk
mentransformasikan pendidikan negara pada semua peringkat dari pra sekolah hingga pengajian
tinggi. (Petikan kata-kata aluan YAB Perdana Menteri Malaysia dalam buku Pelan Strategik
Pengajian Tinggi Negara Melangkaui tahun 2020).
Sejajar dengan hasrat kerajaan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menggariskan
Visi dan Misi yang berdaya saing di peringkat global. Visi KPT adalah untuk menjadikan
Malaysia Pusat Kecemerlangan Pengajian tinggi Menjelang Tahun 2020 manakala Misi KPT
adalah untuk membangun dan mewujudkan persekitaran pengajian tinggi yang menggalakkan ke
arah menghasilkan pusat ilmu yang unggul dan insan yang kompeten, berinovasi serta berakhlak
mulia untuk memenuhi keperluan negara dan antarabangsa (KPT, 2007)
Selain berfungsi sebagai pusat kecemerlangan ilmu, universiti perlu meningkatkan
peranan melahirkan modal insan berbakat besar yang berupaya untuk memenuhi keperluan
semasa dan masa hadapan negara. Graduan ideal yang berbakat ini selain menguasai kemahiran
teknikal, mereka juga memiliki ciri-ciri kemahiran insaniah seperti bijak berkomunikasi, mahir
dalam mengenal pasti dan menyelesaikan masalah untuk penghasilan inovasi, berkesan dalam
cara gaya kepimpinan serta kerja berpasukan. Graduan juga bukan sahaja selesa merebut peluang
dalam pasaran pekerjaan, malah berupaya menghasilkan faedah daya saing, daya juang dan nilai
tambah industri, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.
Tidak dapat dinafikan elemen kemahiran insaniah ini telah diterap sekian lama dalam
mata pelajaran yang ditawarkan oleh IPT. Walau bagaimanapun, cabaran kini lebih besar
kemahiran insaniah perlu dilaksanakan secara terancang dan dihasilkan melalui penilaian
berstruktur.
2.0 KONSEP DAN PENGERTIAN KEMAHIRAN PENGURUSAN INSANIAH
Terdapat pelbagai istilah yang digunakan untuk menjelaskan maksud berkaitan dengan
kemahiran pengurusan insaniah. Kebanyakan istilah tersebut memberi tumpuan ke atas tajuk
yang berkaitan dengan gambaran personal, sikap, tabiat, dan juga tingkahlaku; cara
berkomunikasi, penyelesaian masalah dan kemahiran membuat keputusan serta proses mengurus
organisasi. Gainer (1988) telah membuat satu ringkasan terhadap satu kumpulan kemahiran
insaniah seperti berikut: Ketrampilan individu yang meliputi (kemahiran komunikasi, kemahiran
berhubung, kemahiran komputer, dan kemahiran berbudaya), Kemahiran Kebolehpercayaan
Individu yang meliputi (pengurusan individu, beretika, dan kematangan vokasional). Kemahiran
pengubahsuaian ekonomi (Kemahiran menyelesaikan masalah, pembelajaran secara insaniah,
dan juga pembangunan kerjaya).
Lankard (1990) pula mendefinisikan kemahiran insaniah meliputi gambaran personal,
kemahiran interpersonal dan juga sikap dan tingkahlaku yang baik. “The Conference Board of
Canada” (1996) dalam satu artikal yang bertajuk, “Yukon Work Futures: Skills for Today’s
Workplace”, telah mendefinisikan kemahiran insaniah sebagai satu istilah yang digunakan untuk
menjelaskan kemahiran dan juga kualiti individu yang dikehendaki oleh para majikan terhadap
pekerja baru apabila mereka mula bekerja. Kemahiran-kemahiran dan juga kualiti individu yang
diperlukan ini adalah berguna kepada semua pihak, tidak kira dalam bidang usaha secara kecil-
kecilan, mahupun bidang usaha berskala besar, atau dalam kerajaan. Kemahiran insaniah adalah
kemahiran yang boleh dipindahkan dari satu bidang kerja ke satu bidang kerja lain. Ia tidak
meliputi kemahiran dan kualiti yang diperlukan oleh sesuatu bidang pekerjaan yang khusus
sahaja, malah merangkumi semua bidang kerjaya.
Overtoom (2000) dalam satu artikal “Eric Digest” bertajuk “Employability Skills: An
Update” telah mendefinisikan kemahiran insaniah seperti berikut:
“Employability skills are transferable core skill group that represent
essential functional and enabling knowledge, skills, and attitudes
required by the 21st century workplace. They are necessary for career
success at all levels of employment and for all levels of education.”
Di Barat, mereka telah melihat kemahiran pengurusan insaniah ini adalah merupakan
salah satu daripada aspek kemahiran yang perlu diberi perhatian dan sering dikaji. Mereka
menganggap bahawa aspek kemahiran ini adalah satu aspek kompetensi pekerjaan yang harus
diketahui dan dimiliki oleh setiap pekerja untuk membolehkan mereka menjadi seorang pekerja
yang benar-benar trampil dan berkeupayaan tinggi dalam dunia pekerjaan yang mereka ceburi.
3.0 JENIS-JENIS KEMAHIRAN PENGURUSAN INSANIAH
Kajian yang dibuat oleh Yahya (2004) telah mendapati beberapa kemahiran
“Employability” penting yang dipersetujui oleh majikan industri dan perlu diberi perhatian telah
digambarkan dalam satu model kajian. Model tersebut mengandungi tiga aspek kemahiran
pengurusan insaniah yang harus diambil perhatian semasa mengintegrasikan aspek kemahiran
tersebut di institusi latihan vokasional pertanian bagi memenuhi kehendak dan keperluan
majikan industri. Kemahiran-kemahiran tersebut adalah berdasarkan kepada min keutamaan
yang dirujuk kepada kepentingan dan keperluan majikan industri terhadap elemen-elemen
kemahiran pengurusan insaniah. Pola taburan elemen kemahiran pengurusan insaniah yang dikaji
dapat dirumsukan seperti berikut:
a) Kemahiran Akademik; dimana bagi kemahiran ini elemen kemahiran pengurusan insaniah
yang harus diutamakan adalah:
* Kemahiran penyelesaian masalah
* Kemahiran berfikir secara kritikal
* Kemahiran komunikasi
* Matematik
b) Kemahiran Mengurus Diri; dimana elemen kemahiran pengurusan insaniah yang harus
diberikan perhatian adalah meliputi:
* Kemahiran bertanggungjawab
* Kemahiran bersikap positif
* Kemahiran membuat penyesuaian.
c) Kemahiran Berpasukan; di mana dalam kemahiran ini, elemen kemahiran pengurusan
insaniah meliputi:
* Kemahiran bekerja dengan orang lain
* Kemahiran melibatkan diri dalam sesuatu projek.
Kesimpulannya kesemua elemen yang dipaparkan adalah merupakan elemen kemahiran
insaniah yang amat penting dari persepsi tenaga pengajar institusi latihan vokasional pertanian
dan juga pihak majikan industri komersial pertanian. Model yang dihasilkan juga menunjukkan
terdapat persamaan dari segi elemen kemahiran insaniah dalam model kajian yang dijalankan
oleh pihak ”The Conference Board of Canada”. Ini bermakna pihak industri tidak kira apa jua
bentuk industri yang diusahakan sangat memerlukan pekerja yang berketrampilan dalam
pelbagai kemahiran. Pihak industry amat mengharapkan agar pihak pengeluar iaitu institusi
pendidikan dapat menyediakan para pekerja seperti yang mereka harapkan.
Kini di setiap universiti, aspek kemahiran insaniah telah diberi perhatian yang sewajarnya
oleh pihak pentadbiran Universiti di bawah pengawasan Timbalan Naib Canselor (Akademik).
Beberapa langkah penting telah diambil bagi memastikan setiap tenaga pengajar di universiti
dapat memahami dan mendapat pengetahuan tentang kemahiran insaniah bagi memastikan
penerapannya dapat dilaksanakan. Begitu juga dengan unit ko-kurikulum yang telah mengadakan
bengekel-bengkel khusus tentang kemahiran insaniah bagi memastikan para jurulatihnya dapat
menerapkan kemahiran tersebut dalam setiap program yang diajar.
Terdapat tujuh atribiut kemahiran “employability” (Generik) yang diberi penekanan
kepada para graduan di university iaitu meliputi :
* Communication Skills
* Team working
* Problem Solving
* Adaptability
* Lifelong Learning
* Self-Esteem
* Ethics & Integrity
4.0 KEPENTINGAN KEPADA PARA GRADUAN
Kemahiran pengurusan insaniah atau Kemahiran generik juga dikenali dengan “Soft
Skills.” Ia merupakan elemen kemahiran yang amat diperlukan oleh pihak majikan dan perlu
diberi penekanan terhadap penerapannya di institusi-institusi pengajian tinggi. Kajian yang
dibuat oleh Yahya (2004) mendapati antara kemahiran “employability” yang dianggap penting
oleh pihak majikan industri dan perlu diterapkan kepada
para pelajar termasuklah:
1) Kemahiran berkomunikasi
2) Kemahiran bekerja secara berkumpulan
3) Ketrampilan pelajar dari segi kepimpinan
4) Kemahiran merancang dengan baik
5) Memahami etika kerja yang sesuai
6) Berdisplin
7) Boleh mengurus diri sendiri
8) Menggunakan masa dengan bijak
9) Dapat membuat sesuatu perbezaan
10) Berfikir secara kritikal
11) Mengurus beban kerja
12) Menyelesaikan sesuatu masalah
13) Menentukan keutamaan
14) Membuat sesuatu keputusan dengan bijak
15) Membuat anggaran
16) Berdaya saing
17) Kreatif
18) Fleksibal
19) Peka terhadap isu-isu persekitaran
20) Menghormati pemikiran dan pendapat orang lain
21) Boleh bekerjasama
22) Bergaul dan berunding dengan orang lain
23) Bersikap positif terhadap sesuatu perubahan
24) Bertindak tanpa pertolongan orang lain
25) Menyesuaikan diri
26) Berdaya saing
27) Peka terhadap isu-isu persekitaran
28) Menghargai diri sendiri
29) Bertanggungjawab terhadap tindakan yang diambil
Kemahiran-kemahiran tersebut penting kerana para pelajar yang berupaya memiliki
kemahirankemahiran tersebut akan dapat mempamerkan perwatakan yang penuh yakin serta
bersedia menempuh alam pekerjaan yang memerlukan para pekerja memiliki kepelbagaian
kemahiran “Soft skils” disamping kemahiran teknikal.
5.0 KAEDAH PENERAPAN
Terdapat beberapa cara atau kaedah yang boleh digunapakai oleh pihak-pihak university
untuk menerapkan kemahiran insaniah kepada para pelajar di kolej sama ada secara langsung
atau tidak langsung. Secara Langsung atau formal, kemahiran insaniah boleh diterapkan melalui
aktiviti-aktiviti seperti;
5.1 Kursus-kursus
* Kursus kepimpinan JKM
* Kemahiran generik
* Kursus motivasi
* Kemahiran kaunseling
5.2 Bengkel-bengkel
* Bengkel kerjaya
* Bengkel Akademik
5.3 Pengucapan awam
5.4 Program khidmat masyarakat
5.5 Program khidmat pendidikan
5.6 Ceramah-ceramah agama dan moral
* Taksirah
* Kuliah subuh
* Ceramah moral
5.7 Pidato
5.8 Forum
5.9 Gotong royong
5.10 Sukan dan permainan
5.11 Kempen-kempen
* Kempen anti dadah
* Kempen pencegahan kebakaran
* Kempen amalan berdisplin
* Kempen berbudi bahasa
Dalam program-program tersebut pelajar digalakkan menyediakan kertas-kertas kerja,
membuat perancangan dan belanjawan yang kemudiaannya disemak dan diberi teguran serta
bimbingan oleh pihak pentadbiran kolej dan juga felo-felo. Ini merupakan bimbingan dan
penerapan yang dibuat secara langsung oleh pihak universiti terhadap para pelajar.
Manakala bagi kaedah penerapan secara tidak langsung atau informal pula para pelajar
kolej digalakkan berhubung dengan orang luar dan mengamalkan budaya hidup sihat yang dapat
diterima oleh masyarakat dengan mematuhi peraturan-peraturan dan displin yang telah
ditetapkan. Disamping itu pelajar juga digalakkan berintraksi antara satu sama lain.
6.0 KAEDAH PELAKSANAAN KEMAHIRAN INSANIAH
Kemahiran Insaniah walaupun pada dasarnya dilaksanakan untuk kepentingan masa
depan pelajar namun ianya perlu juga diterapkan kepada semua staf universiti bagi memantapkan
lagi sistem penyampaian sesebuah universiti.
a. Kemahiran Insaniah kepada pelajar.
Secara umumnya Kemahiran Insaniah di IPT boleh dilaksanakan dengan menggunakan model
mata pelajaran mandiri (stand alone subject) dan model terapan (Embedded) dalam kurikulum
akademik dan bukan akademik. Kedua-dua model diterangkan seperti berikut;
Model Mata Pelajaran Mandiri ( Stand Alone Subject )
Mata pelajaran mandiri yang ditawarkan oleh kebanyakan IPT adalah dalam kategori mata
pelajaran teras yang mana memenuhi tujuh elemen Kemahiran Insaniah seperti kemahiran
keusahawanan, kemahiran berfikir kreatif, etika dan moral, kemahiran komunikasi dan
sebagainya lagi. Di antara mata pelajaran yang bersifat mandiri ialah mata pelajaran asas-asas
keusahawanan, kemahiran komunikasi, bahasa Inggeris, kemahiran berfikir dan sebagainya lagi.
Justeru para pelajar yang diwajibkan mengambil mata pelajaran berkenaan akan diterapkan
elemen-elemen Kemahiran Insaniah secara langsung.
Model Terapan (Embedded)
Model Terapan menggunakan pendekatan yang menerapkan Kemahiran Insaniah secara
merentas kurikulum pada aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran yang diikuti.
Model ini tidak memerlukan pelajar mengikuti mata pelajaran khusus seperti yang dinyatakan
dalam Mata Pelajaran Mandiri. Sebaliknya, pelajar dilatih untuk menguasai Kemahiran Insaniah
melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran formal yang dirancang dan dilaksanakan mengikut
kaedah tertentu tanpa mengubah dan mengurangkan kandungan dan hasil pembelajaran yang
perlu dicapai (KPT, 2006). Terapan Kemahiran Insaniah boleh dilakukan menerusi lima kaedah
penyampaian iaitu, kuliah, kajian kes, viva, kerja makmal dan kerja kumpulan.
7.0 PENAKSIRAN DAN PENARAFAN KEMAHIRAN INSANIAH
Pembangunan kemahiran insaniah adalah satu proses berterusan. Kemahiran insaniah
perlu ada pada semua mahasiswa seperti mana yang digariskan oleh Kementerian Pengajian
Tinggi (KPT, 2006) adalah ’developmental objectives’ (Gronund, 1973) dan merupakan
kemahiran-kemahiran yang terus berkembang sepanjang hayat. Oleh itu, prosedur penaksiran
yang paling sesuai adalah berdasarkan penilaian berterusan. Penilaian berterusan mempunyai
beberapa kelebihan, iaitu:
• lebih adil kepada pelajar yang dinilai.
• menghasilkan kesan ‘washback’ yang lebih baik kerana pelajar akan sentiasa menitikberatkan
perkembangan kemahiran insaniah.
• membolehkan pihak berkenaan memantau pencapaian pelajar dan mengambil tindakan
‘remedial’ jika perlu.
Prosedur Penaksiran
Secara keseluruhannya, penilaian boleh dilakukan di sepanjang pengajian pelajar di universiti.
Prestasi atau tahap pencapaian setiap pelajar akan dinilai pada setiap semester mulai semester
pertama. Penilaian akan dilakukan oleh:
1. Pensyarah/jurulatih/tutor yang mengajar kursus yang diikuti oleh pelajar pada semester itu.
2. Pegawai universiti yang mengendalikan aktiviti yang disertai pelajar pada semester itu.
Penilaian itu akan dibuat pada penghujung semester dan setelah semua aktiviti dijalankan
tamat. Pencapaian yang diperolehi setiap pelajar akan direkodkan secara online dan slip
keputusan akan dikeluarkan oleh Bahagian Peperiksaan sesebuah universiti. Penilaian
pencapaian kemahiran insaniah dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu, ‘Memuaskan’, ‘Baik’,
dan ‘Sangat Baik’ . Mata gred 1, 2 dan 3 akan diberi berdasarkan tahap pencapaian. ( Penilaian
yang diberikan ini adalah cadangan daripada penulis dan pihak universiti bebas menggunakan
kaedah penaksiran tersendiri)
Tindakan Kuratif
Jika prestasi seseorang pelajar adalah kurang memuaskan, pelajar itu akan diwajibkan
menghadiri kursus atau bengkel mandiri yang diadakan khas oleh pihak universiti untuk
membantu pelajar mempertingkatkan tahap penguasaan kemahiran insaniah.
6.0 PENUTUP
Kemahiran insaniah adalah merupakan kemahiran bukan teknikal yang sangat penting
dalam pembangunan diri dan sahsiah pelajar dan berguna untuk melahirkan insan yang
mempunyai ketrampilan diri dan berdaya saing dalam kehidupan.Dalam aspek pembangunan diri
para pelajar di universiti aspek kemahiran insaniah ini harus diberi perhatian yang sewajarnya
selaras dengan wawasan negara bagi melahirkan seorang insan yang cemerlang, gemilang dan
terbilang.
Secara umumnya, membuat penilaian terhadap perkembangan manusia bukannya mudah
kerana keistimewaan manusia ciptaan Ilahi dibandingkan dengan ciptaannya terhadap makhluk-
makhluk yang lain. Namun begitu, akal yang diberikan oleh Tuhanlah yang membantu kita
membentuk sahsiah atau keperibadian yang mulia. Walaupun demikian, manusia harus dipandu,
diberi peringatan dan bimbingan dari semasa ke semasa kerana Imam Al-Ghazali (Ulama dan
Ahli Falsafah Islam) telah menggariskan ketakwaan dan keimanan manusia umpama pasir di
pantai yang kadangkala tinggi dan banyak, kadangkala rendah dan sikit.
Hari ini, dunia semakin rakus dengan persaingan. Hakikatnya mereka yang kuat, bijak,
cekap, rajin dan berkemahiran akan mendapat tempat dan sanjungan manakala mereka yang
lemah sebaliknya akan tercicir. Adakah ini jawapan kepada kehidupan? Justeru adalah menjadi
tanggungjawab kita semua agar dapat memberi kesamarataan dalam mengecapi kenikmatan
kehidupan kepada semua manusia.
Hal ini bermakna, yang bisu tidak akan dibiarkan bisu, yang pekak tidak akan dibiarkan
pekak. Sekarang teknologi telah berjaya membantu mereka. Begitu juga dengan Kemahiran
Insaniah. Bagi mereka yang tidak mencapai tahap atau piawai yang dikehendaki oleh majikan,
mereka akan terus dilatih dan diuji hingga mencapai tahap yang diinginkan. Hari ini, universiti
benar-benar menjadi agen pemangkin penjanaan modal insan cemerlang. Baik pihak pengurusan,
akademik, pentadbiran, staf sokongan dan pelajar harus menghayati dan mengaplikasikan elemen
kemahiran insaniah dengan bersungguh-sungguh agar kita sentiasa boleh bersaing di peringkat
Global. Oleh itu, dengan penyatuan usaha dan tenaga daripada seluruh kakitangan akademik dan
bukan akademik diharap dapat membantu pelajar agar berkeupayaan mendepani cabaran alam
pekerjaan dan sekaligus memberikan sumbangan ke arah menjana ekonomi individu, keluarga,
masyarakat, dan seterusnya negara.