memanfaatkan sastera dalam pengajaran dan pembelajaran
DESCRIPTION
sastera MelayuTRANSCRIPT
Kepentingan sastera
Pantun misalnya merupakan karya sastera yang cukup popular kerana
keupayaannya membawa keindahan yang menghiburkan. Saya teringat sebuah
pantun lama berbunyi seperti berikut :
Berburu ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Bagai bunga kembang tak jadi
Kualiti menghiburkan dalam pantun tersebut cukup banyak. Rentak dan rima yang
bersukat membentuk irama dalam pantun. Malah pantun pula mempunyai struktur
bacaan yang tersendiri yang menghasilkan keindahan dalam pembacaan. Selain itu,
pantun disampaikan pula dalam pelbagai variasi yang semakin menambahkan
fungsi menghiburkan seperti dijadikan lirik dikir barat di Kelantan, lirik lagu popular,
dan pelbagai bentuk lagi. Kemampuan pantun untuk bertahan sebagai karya sastera
yang popular menunjukkan bahawa unsur hiburan ini amat banyak dalam pantun.
Fungsi kedua karya sastera adalah untuk memberi pengajaran, nasihat atau
pesanan kepada masyarakat. Fungsi ini juga menjadikan karya sastera sebagai
suatu bahan yang dapat membawa kesedaran kepada masyarakat, mengubah
pemikiran, serta memberi ruang untuk masyarakat menyerap nilai-nilai moral yang
dibawa dalam karya sastera. Cerita Sang Kancil dengan Buaya misalnya cukup
terkenal bukan semata-mata kerana ceritanya menghiburkan tetapi keupayaannya
untuk memasyarakatkan nilai, unsur moral dan pengajaran yang berguna kepada
masyarakat. Tanpa kita sedari kita dibesarkan dalam asuhan moral yang dibawa dari
cerita tersebut. Tanpa sedar kita dserapkan dengan kepentingan nilai tolong-
menolong dan kita pula diperingatkan betapa buruknya sikap tidak mengenang budi.
Sama seperti pantun tadi, pemilihan kata yakni berburu dan digandingkan dengan
berguru memberi mesej yang penting pada kita. Dalam ungkapan yang ringkas,
pantun membawa tafsiran makna yang mendalam. Kerja berburu sama sukarnya
dengan berguru. Ia memerlukan kemahiran dan ketekunan. Peringatan yang cuba
dibawa dalam pantun iaitu pentingnya ilmu tetapi jangan salah berguru.
Permasalahan yang perlu direnung kembali adalah bagaimana dwi fungsi sastera ini
dapat dipertahankan dalam cabaran abad ke-21?.
Untuk menjadikan karya sastera dapat diterima dengan berkesan sudah pastinya
dwi fungsi sastera itu dapat berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Meski pun karya sastera itu sendiri sudah lengkap dengan unsur hiburan dan
pengajarannya, bagaimana ia dapat disampaikan kepada pelajar? Ia pastinya
menjadi satu cabaran kepada guru-guru bahasa Melayu. Jika karya sastera tidak
sampai kepada pelajar dalam bentuk yang menghiburkan. Nilai sastera sebenar
tidak sampai kepada pelajar. Keindahan sastera tidak dapat diselami oleh pelajar.
Akhirnya pelajar terasa sastera hanya membebankan mereka dengan teks yang
banyak bukan menghiburkan mereka. Kepalang ajar kadangkala lebih banyak
membunuh minat dan kecenderungan pelajar.
5. Matlamat
5.1. Nilai
Karya sastera tidak terlepas dari pancaran nilai yang terakam di dalamnya. Nilai-nilai
yang dipaparkan bersifat nilai kesejagatan yang membawa kelangsungan kepada
umat manusia. Manusia dilukiskan untuk membayangkan nilai-nilai murni supaya
manusia terus hidup dengan lebih sempurna. Mendekati karya sastera bermakna
pelajar dapat merenung, berfikir, dan membuat refleksi tentang situasi dirinya dalam
kehidupan ini. Kesejahteraan dan kemakmuran manusia yang dipancarkan dalam
karya sastera dapat menyemai naluri keinsanan dalam jiwa pelajar.
5.3. Pembangunan sahsiah
Fungsi mendidik yang dibawa dalam karya sastera bertujuan untuk pembinaan
sahsiah seseorang. Sastera dapat membina manusia yang berfikir, berpegang pada
etika, manusia yang halus pertimbangannya, bersikap adil dan saksama, serta dapat
membayangkan perasaan orang lain. Karya sastera memberi ruang kepada pelajar
untuk merasa prihatin terhadap keperitan dan kedukaaan yang dialami orang lain.
Mereka menjadi peka kepada sesama manusia dan persekitarannya. Karya sastera
mengajak manusia untuk membina sebuah masyarakat atau manusia yang baik.
5.4. Jati diri
Sastera yang tumbuh dalam jiwa dan bahasa sesuatu bangsa akan menjadi alat,
bukti, dan unsur jati diri bangsa berkenaan. Sastera akan menjadi sebahagian dari
wajah dan jiwa bangsa. Karya-karya sastera tradisional seperti pantun, syair, seloka,
dan gurindam serta karya-karya prosa tradisional seperti sastera rakyat, metos,
legenda, dan epik menjadi khazanah yang amat dibanggakan. Mengenali teks
sastera bermakna memberi ruang kepada pelajar memahami jati diri mereka.
Sastera menjadi warisan kerana di dalamnya terkumpul alatan komunikasi, fikiran,
konsep, persepsi, emosi, muzik, dan seni bangsa itu (Muhammad Haji Salleh :
2004). Bahan sastera berupaya untuk memberikan pendedahan berkaitan unsur
budaya, pemikiran, sikap, dan nilai yang diamalkan dalam masyarakat.
Awang Sariyan (1993) menjelaskan bahawa penggunaan bahan sastera
membolehkan pelajar menghayati keunikan gaya bahasa individu seseorang
pengarang. Karya sastera memiliki kelainan gaya bahasa antara seorang pengarang
dengan pengarang yang lain. Variasi gaya kepengarangan menjadi bahan bahasa
yang penting dihayati pelajar dalam usaha memahami kekayaan bahasa
masyarakatnya.
Nafii Mat (2006) menjelaskan bahawa penggunan bahan sastera dalam pengajaran
bahasa Melayu berupaya menjadikan pengajaran bahasa Melayu menghiburkan,
menyeronokkan, dan pelajar dapat menguasai bahasa secara maksimum.
Penggunaan bahan sastera dapat mendedahkan kepada pelajar berkaitan dengan
sifat-sifat bahasa yang berkesan di samping pelajar dapat menikmati keindahan
karya sastera.
Matlamat akhir pengajaran bahasa Melayu adalah untuk membina kebolehan pelajar
untuk menggunakan laras bahasa yang sesuai dengan keadaan. Pelajar berupaya
untuk berinteraksi, berunding, memberi pendapat, membuat pertimbangan,
memujuk, mempengaruhi orang lain melakukan sesuatu, atau berurusan untuk
mendapatkan barangan dan perkhidmatan. Pemenuhan terhadap matlamat ini
sewajarnya dapat disempurnakan melalui pengguna bahan sastera. Pelbagai
kemahiran berbahasa dapat dikuasai oleh pelajar melalui penggunaan bahan
sastera sama ada secara lisan atau bertulis. Malah bahan sastera itu sendiri lebih
merujuk kepada apa yang sebenarnya berlaku dalam masyarakat ditambah dengan
unsur hiburan dan pengajaran yang sedia sebati dalam bahan berkenaan.
6.2. Membentuk dan membina tanggapan dan pemikiran tentang cerita
Kemampuan bahan sastera adalah untuk berkomunikasi dalam ruang pengalaman
yang lebih jauh dari apa yang dialami pelajar. Karya sastera itu sendiri lahir dari
proses yang cukup menarik. Di dalam sesebuah karya sastera tersimpan di
dalamnya imaginasi pengarang, emosi, pemikiran, realiti, bahasa, dan nilai. Sifat
estetika karya sastera sama ada dari aspek bahasa, struktur karya, nada, emosi,
dan isi karya mempunyai pelbagai dimensi yang dapat diteroka oleh pelajar. Jika
mereka berhadapan dengan sebuah teks drama, bermakna pelajar bukan sekadar
membaca untuk memahami ceritanya, sebaliknya pembacaan ini membawa pelajar
ke dalam dunia karya itu sendiri.
6.3. Mencipta dan membina kebolehan bercerita
Kepentingan bahan sastera dalam pengajaran bahasa adalah untuk membolehkan
pelajar berkomunikasi dalam pelbagai situasi. Keupayaan ini dapat dilakukan melalui
proses bercerita, deklamasi, lakon, forum, bahas, syarahan, dan sebagainya.
Kebolehan berkomunikasi dalam pelbagai variasi ini memberi peluang kepada
pelajar menguji kemahiran berbahasa mereka sama ada dari aspek mendengar,
membaca, dan menulis. Bahan sastera dapat dijadikan landasan untuk membina
peningkatan kemahiran berkenaan. Sekiranya bahan sastera itu disusuri dengan
penuh bijaksana sudah tentunya kekayaan bahan sastera itu akan dapat dialami dan
dihayati oleh pelajar. Aspek-aspek emosi, nilai dan budaya yang sebati di dalamnya
berupaya memaparkan pengalaman baru kepada pelajar.
Penerokaan bahan sastera melibatkan proses penikmatan dan penghayatan. Karya-
karya sastera dinikmati oleh pelajar melalui proses pembacaan, deklamasi, dan
sebagainya. Melalui penikmatan ini pelajar akan dapat menghayati karya sastera
dengan lebih mendalam. Sebuah sajak perlu dideklamasikan dengan penuh
penghayatan, intonasi yang sesuai dan nada yang bertepatan. Pelajar dapat
membina pengalaman baru berhadapan dengan sajak dan dinikmati pula dalam
bentuk yang lebih kreatif. Sajak berkenaan bukan sekadar dideklamasikan malah
boleh dinyanyikan, mestamu, puisidra, dan sebagainya. Di samping dapat menikmati
keindahan karya sastera sudah tentu aktiviti yang dilakukan melahirkan
keseronokan. Keseronokan akan membuka ruang kepada minda pelajar untuk
meneroka perkara yang lebih mencabar dalam karya sastera seperti memahami dan
menilai karya tersebut.
Aspek penikmatan yang bersesuaian membawa kepada proses penghayatan karya
sastera. Pelajar dapat menggali makna karya berkenaan apabila mereka sudah
sebati dengan karya. Proses penikmatan telah menyediakan ruang pengalaman
yang lebih bermakna untuk pelajar meneroka makna yang terkandung dalam karya
sastera. Proses penghayatan akan membawa kepada pemahaman pelajar terhadap
isi karya, watak, latar dan sebagainya. Karya sastera yang digauli akan mudah
difahami. Penerokaan dalam aspek penghayatan akan membuka penemuan ke arah
kemampuan pelajar membuat penilaian terhadap karya sastera. Mereka boleh
mengemukakan pandangan tentang kesan karya yang dibaca, pengalaman yang
diterima, serta menjelaskan di manakah tarikan yang terkandung dalam karya
berkenaan.
6.4. Mencabar dan membina kreativiti
Noriah Taslim (1996) menjelaskan bahawa penghayatan karya sastera boleh
mendidik pelajar berfikiran kritis dan kreatif. Penghayatan memerlukan penaakulan
dan penilaian. Pelajar perlu membina semula dunia makna, dunia ilmu, dan dunia
nilai yang disuratkan dan disiratkan dalam sesebuah karya sastera. Ia melatih
pelajar untuk berhujah, mentafsir apa yang tersurat dan tersirat, membuat
pertimbangan dan membuat keputusan. Sumbangan bahan sastera adalah untuk
melahirkan manusia yang kritis dan kreatif.
Di samping itu pelajar pula berhadapan dengan karya sastera yang sememangnya
mempunyai struktur dan corak tertentu. Aspek penikmatan genre sastera seperti
sajak, cerpen, drama atau novel mempunyai perbezaannya. Drama misalnya
memerlukan pelajar untuk melafaz dialog sesuai dengan intonasi dan keperluan
makna teks. Pantun dibacakan dalam struktur bacaan yang berja dan bersukat.
Tuntutan sedemikian sudah pastinya memerlukan kreativiti yang tinggi. Berhadapan
dengan teks sastera bermakna pelajar akan memasuki dunia kreativiti yang
mencabar emosi, jasmani, intelek dan rohani pelajar. Bahan sastera memberi
peluang kepada pelajar menjana emosi, melahirkan respons terhadap bahan sastera
serta meningkatkan kreativiti dalam melakukan apresiasi terhadap karya sastera. Ini
bermakna karya sastera bukan sekadar untuk dibaca dan menghafal cerita tetapi
dinikmati dan dihayati dengan lebih kreatif.
6.5. Berkongsi pengalaman kehidupan
Bahan sastera berupaya menyediakan dunia pengalaman yang luas kepada pelajar.
Manusia yang dipaparkan dalam karya sastera adalah manusia yang berada dalam
lingkungan kehidupan pelajar dan di luar lingkungan hidup mereka. Watak-watak
yang temui dalam karya akan membuka pengalaman baru terhadap pelajar. Latar
yang ditemui juga berbeza-beza. Zaman yang diungkapkan juga berlainan. Bahasa
yang digunakan mempunyai variasi yang pelbagai. Segalanya berupaya membentuk
kepekaan pelajar tentang pelbagai aspek budaya dan kehidupan masyarakat.
Pelajar melihat diri orang lain dan berupaya untuk membandingkan dengan
kehidupan dirinya. Pelajar merasai denyut emosi orang lain dan disatukan dengan
emosi dirinya. Pengalaman ini akan dapat membantu ke arah pembentukan rasa
persefahaman, tolak ansur, dan kesediaan untuk menyesuaikan diri dengan
persekitaran. Pelajar dapat mengenal budaya dan pola kehidupan bermasyarakat.
Melahirkan anggota masyarakat yang menghormati tatacara hidup masyarakatnya,
mengurangkan potensi meluasnya kadar jenayah dan pelanggaran hak orang lain.
6.6. Meneroka masa dan ruang pengalaman dalam kehidupan
Bahan sastera memberi peluang kepada pelajar meneroka apa yang jauh dari ruang
pengalaman sebenar mereka. Pelajar dapat menemui pengalaman baru
berdampingan dengan teks yang mereka nikmati dan pengalaman ini membuka
ruang kehidupan yang melampaui batas pengalaman sedia ada mereka.
Penerokaan ke alam sastera adalah penerokaan yang indah dan mengkagumkan.
Pelajar akan dapat memahami dan menyedari kehidupan yang bergerak di luar
lingkaran mereka sekaligus memahami bahasa dan budaya masyarakatnya.
Menurut Spencer (2001) sastera memberi ruang kepada pelajar melakukan
kontemplasi terhadap diri mereka sendiri. Melalui sastera pelajar akan lebih
memahami kehidupan dan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Kepentingan
sastera adalah untuk membawa pelajar berhadapan dengan realiti diri, di mana
mereka berada dan bagaimana mereka memahami diri orang lain. Sastera
memungkinkan pelajar menemui manusia-manusia yang berbeza sama ada dari
segi pengalaman, latar kehidupan, dan sikap. Manusia-manusia berkenaan mungkin
mereka gemari atau benci. Geertz (1973) menambah bahawa apabila kita
berhadapan dengan karya sastera yang berbeza dengan budaya kita, kita bukan
sekadar membaca teks tetapi mengkaji budaya di mana karya itu dilahirkan. Karya
sastera perlu diberi interpretasi dengan penuh sensitiviti untuk mencari maknanya
dan mengenali budaya yang dipaparkan. Sesuatu yang kelihatan asing pada
awalnya barangkali dapat dimengertikan dan mempunyai perkaitan dengan
pengalaman kita sendiri.
6.7. Mencermin kejayaan individu dan masyarakat
Sastera dianggap sebagai dokumen sosial yang memaparkan rupa dan wajah
masyarakatnya. Apabila pelajar berhadapan dengan karya sastera mereka
sebenarnya melihat ke dalam masyarakatnya. Kepentingan sastera adalah untuk
mengajak manusia mengenal budayanya dan mengamalkan nilai-nilai yang dikongsi
bersama. Di dalam karya sastera ada kisah-kisah tentang kejayaan dan kegagalan,
kemurungan dan kegembiraan, dan sebagainya. Kisah-kisah sedemikian dapat
diambil sebagai teladan dan pengajaran bagi pelajar. Nilai-nilai yang tersebar dalam
karya sastera dapat diterapkan untuk membina kekuatan diri dan keperibadian
pelajar. Oleh itu karya-karya yang dihidangkan kepada pelajar adalah karya-karya
sastera yang dapat mencerminkan nilai, budaya, pemikiran, dan sikap masyarakat.
Sejarah Melayu misalnya adalah cermin kecemerlangan masyarakat pada zaman
tradisinya.
6.8. Membina jati diri
Keupayaan bahan sastera adalah untuk memberi peluang kepada pelajar menikmati
suatu hasil yang lahir dari cetusan pemikiran, sikap dan nilai sesuatu bangsa. Karya-
karya sastera bukan sahaja menjadi dokumen budaya tetapi menjadi sumber
khazanah ilmu yang berguna untuk pembinaan jati diri bangsa. Aspek budaya,
masyarakat, dan manusia yang ditatap menerusi karya sastera akan menggerakkan
pelajar untuk mengenal jati dirinya. Sama ada karya tradisional atau karya moden ia
membawa pengaruh tertentu berkaitan suatu zaman. Jika karya sastera terlepas dari
bacaan pelajar bermakna mereka akan ketinggalan satu khazanah penting yang
merakamkan jati diri, budaya dan pemikiran bangsa.
7.0. Pendekatan menggunakan bahan sastera dalam pengajaran bahasa
Menurut Mana Sikana (2001) tidak semua pelajar mempunyai ketekunan membaca
teks sastera. Jika teks sastera gagal dikuasai secara literasi maka menjadi
tangunggjawab guru untuk menguasai teks secara literasi. Kegagalan pelajar
membaca teks sastera membawa kepada kesukaran dalam pengajaran sastera. Jika
pelajar dipaksa membaca teks sastera, ia akan menjadikan sesi pembelajaran suatu
yang menderakan dan akan mengorbankan falsafah sastera itu sendiri. Teks tidak
seharusnya didekati dengan bacaan sahaja. Teks sastera boleh ditransformasi
kepada bentuk-bentuk lain. Puisi boleh dirakamkan dan diperdengarkan kepada
pelajar. Teks drama boleh diterjemahkan kepada lakonan pentas. Malah teks
sastera boleh ditransformasikan kepada bentuk multimedia yang boleh merangsang
pelajar. Mana Sikana merumuskan kegagalan pengajaran sastera adalah
disebabkan oleh :
1. Pengajaran sastera terlalu tertumpu di bilik sekolah, membaca dan
menganalisisnya; alangkah baiknya dibina makmal sastera.
2. Sastera dianggap hanya apa yang ada di dalam teks, tingkat ketergantungan
kekepada teks terlalu tinggi; alangkah baiknya mengaitkannya dengan nilai
sasterawi dengan nilai di luar teks; nilai kehidupan yang berkaitan dengan alam
hidup pelajar.
3. Kurang terdapat hubungan antara teori dengan pengajaran yang boleh
membangunkan rasa apresiasi; malah ada pengajaran tanpa penguasaan teori,
apalagi teori yang terbaru; alangkah baiknya saling menguasai teori dan saling
memperbaharui dengan teori baru supaya pengajaran sastera menjadi dinamik.
4. Sumber sastera sebagai bahan pengajaran dan pemelajaran sering dilihat hanya
diakrifkan oleh guru, pelajar hanya sebagai penerima. Sepatunya guru hanya
bertindak sebagai seorang pengarah drama, pelajarlah yang mempunyai kebebasan
mengaksikan segala tafsiran dramatiknya.
Pusat Perkembangan Kurikulum (1994) menyarankan tiga kaedah untuk mengajar
iaitu Kaedah Analisis-Struktur, Kaedah Mengalami-Menghayati, dan Kaedah
Berfokus untuk digunakan dalam pengajaran bahasa Melayu.
1. Kaedah Analisis-Struktur (Struktural)
Kaedah pengajaran dan pembelajaran menganalisis karya sastera dari sudut
pembinaan atau struktur karya. Aspek yang dikaji ialah tema, plot, watak dan
perwatakan, gaya bahasa, latar, sudut dan teknik. Kaedah mi menekankan aspek
intrinsik. Kaedah ini digunakan untuk mengkaji dan memahami aspek struktur
sesebuah karya secara induktif. Kaedah ini memerlukan pembacaan rapi
Oleh guru dan pelajar. Guru perlu mengajar aspek struktur secara umum terlebih
dahulu, kemudian menjelaskan setiap aspek secara terperinci. Kaedah ini
menekankan pemahaman pelajar terhadap setiap aspek tentang sesebuah karya.
2. Kaedah Mengalami-Menghayati
Kaedah ini memerlukan penghayatan pelajar sendiri melalui pengalaman,
penaakulan, dan penganalisisan. Melalui kaedah ini pelajar dapat menjiwai
sesebuah karya sastera dan mungkin dapat mengaitkannya dengan pengalaman
sendiri. Aspek yang membentuk karya sastera iaitu tema, plot, watak, bahasa, dan
sudut pandangan dapat dikaji secara terperinci setelah pelajar memahami isi cerita
atau maksud puisi. Kajian dijalankan oleh pelajar sendiri secara individu atau
berkumpulan setelah mendapat bimbingan awal daripada guru untuk mewujudkan
pengajaran dan pemelajaran yang berkesan. Guru hendaklah mempelbagaikan
teknik dan aktiviti yang menarik, di samping memberi penekanan kepada
penggunaan alat bantu mengajar yang sesuai untuk menimbulkan suasana yang
dapat membantu pelajar menghayati sesebuah karya sastera yang dikaji. Latihan
yang diberikan oleh guru harus lebih menumpukan kepada penghayatan pelajar
sendiri, misanya pendapat mereka tentang sesebuah episod, watak atau peristiwa,
dan penilaian terhadap plot Kaedah ini mementingkan aktiviti yang dapat melatih
pelajar berfikir secara kritis dan analitis. Guru harus mempelbagaikan teknik serta
alat bantu mengajar dan belajar yang sesuai dan berkesan.
3. Kaedah Berfokus
Kaedah ini menekankan sesuatu aspek dalam sesebuah karya sastera di samping
aspek lain secara sampingan. Kaedah ini bertitik tolak daripada aspek yang
menonjol dalam sesebuah karya. Fokus utama (FU) dalam sesebuah karya akan
menjadi lebih istimewa dan bermakna jika dibantu oleh fokus sampingan (FS),
kerana kedua-duanya saling berhubung kait. Untuk menimbulkan pengajaran dan
pemelajaran sastera yang berkesan dan menyeronokkan, perkara yang penting dan
menarik dalam karya sastera perlulah dijadikan fokus utama (FU), dan perkara lain
dijadikan fokus sampingan (FS). Fokus utama (FU) dan fokus sampingan (FS) boleh
bertukar ganti, bergantung pada aspek yang hendak ditekankan.
Gaya Pemelajaran Gardner : Kecerdasan Pelbagai
Dalam mengaplikasikan bahan sastera di bilik darjah guru perlu mengenal pasti
tahap kebolehan serta gaya pembelajaran pelajar-pelajarnya. Gaya pembelajaran
merupakan satu set ciri peribadi yang mempengaruhi seseorang dalam menerima,
mengumpul, dan memproses maklumat. Gaya pembelajaran pula berkait rapat
dengan tahap kecerdasan seseorang pelajar. Gardner (1993) yang mengkaji teori
kognitif, telah memperkenalkan satu model kecerdasan pelbagai (multiple
intelegence). Model ini menjelaskan bahawa kecerdasan dapat dipelajari,
dikembang, dan ditingkatkan. Model Gardner ini berlandaskan prinsip:
• Setiap individu mempunyai kesemua sembilan kecerdasan tetapi pada tahap
perkembangan yang berbeza-beza.
• Kebanyakan individu mampu mengembangkan kecerdasan yang dimiliki ke tahap
yang cekap jika diberikan penggalakan, pengayaan, dan pengajaran yang sesuai.
• Kecerdasan sering bertindak serentak dalan menghasilkan sesuatu kerja, dan
jarang beroperasi secara tersendiri.
• Sesuatu kecerdasan dapat dimanifestasikan dalam pelbagai bentuk dan cara.
Berdasarkan Model Kercerdasan Pelbagai Gardner, aktiviti-aktiviti yang berkaitan
dengan penggunaan bahan sastera melibatkan :
1. Kecerdasan Linguistik
Kecerdasan linguistik dapat diperkayakan dengan aktiviti seperti peraduan menulis
cereka/karya kreatif, pertandingan bercerita, deklamasi sajak, pendapat dan
penerangan, teater pembaca, improvisasi, drama, penulisan jurnal, penerbitan
buletin, akhbar kelas dan ulasan, penulisan cerita berdasarkan lukisan komik, dan
projek seperti pameran.
2. Kecerdasan Visual/ spatial
Aktiviti melibatkan lakonan atau drama, diorama adegan tertentu dalam cereka,
penontonan rakaman video atau sebahagian filem untuk tujuan perbincangan atau
penjelasan, tetamu dalam aksi (menjemput tetamu, seperti penulis atau pelakon
dalam sesuatu pementasan), permainan drama, penciptaan gerak bermakna dan
gerak kreatif, bagi menjelaskan atau menghuraikan maksud sesuatu aspek dalam
teks, dan pantomim.
3. Kecerdasan Muzikal
Memasang lagu latar ketika mendeklamasikan sajak atau bercerita, melafazkan puisi
dengan nada, emosi dan rima yang sesuai, mestamu (memelodikan sajak tanpa alat
muzik), melagukan puisi (nyanyian lagu puisi), menulis lirik berdasarkan idea dalam
teks, merancang kesan bunyi berdasarkan urutan peristiwa atau bercerita
berpandukan kesan bunyi dalam rakaman, dan membuat projek seperti
pertandingan melagukan puisi tradisional dan puisi moden.
4. Kecerdasan Kinestetik
Main peranan, simulasi penyelesaian masalah, andaian, ramalan, improvisasi (aksi
kaku) plot berdasarkan teks, teater bercerita, pantomim, permainan drama, kerusi
panas (berdasarkan watak dan perwatakan dalam karya), gerak kreatif dan gerak
bermakna.
5. Logik Matematik
Penyelesaian masalah seperti melakar bentuk bagi menjelaskan rumusan,
melakarkan peta minda, grafik atau carta aliran, mengisi borang pengurusan grafik.
6. Kecerdasan Interpersonal
Aktiviti perbincangan rakan sebaya, aktiviti kumpulan pakar. teater pembaca,
dramatisasi, simulasi dan improvisasi membina satu idea baru atau karya kreatif
berdasarkan idea dalam teks, kerusi panas berdasarkan watak dalam cereka,
balang emas (wawancara dan ulasan), forum (perkara pokok dalam karya),
perbahasan (isu yang ditimbulkan dan teks).
7. Kecerdasan Intrapersonal
Menulis surat kiriman kepada sahabat, berkenaan salah satu aspek dalam karya,
menghantar e-mel memberikan pendapat anda tentang watak dalam cerpen,
menulis jurnal atau diari (refleksi tentang perasaan anda ketika membaca novel),
membuat kerusi panas berdasarkan watak dalam cereka, mengadakan perbahasan
(isu yang ditimbulkan dan teks), dan membuat bayangan minda seperti membuat
suatu ramalan masa depan.
8. Kecerdasan Naturalistik
Menikmati karya bersama rakan di taman atau di bawah pohon sekitar sekolah,
membuat improvisasi meluahkan perasaan kepada alam dan persekitaran, untuk
penghasilan karya atau penikmatan karya, membuat buku skrap berdasarkan bahan
alam, dan membuat analogi dengan kehidupan sendiri untuk mencari konsep serta
idea penghasilan karya.
9. Kecerdasan Emosi
Perbincangan tentang nilai dan pengajaran dalam karya, perbahasan isu-isu dalam
karya yang perlu diselesaikan, main peranan sepeti watak-watak yang boleh menjadi
model atau menimbulkan aspek positif pelaku, improvisasi seperti mengisahkan
klimaks dalam drama dan memberi penjelasan mengapakah penelesaiannya harus
begitu, tetamu dalam aksi seperti menjemput pengarang untuk membicarakan moral
dan pemikiran dalam karya, dan monodrama atau monolog seperti menghayati
watak dalam karya serta merasai perasaan dan aspek kerohanian watak dalam
karya.
Teknik Pengajaran
Bahan sastera seharusnya diajar menggunakan teknik pengajaran yang dapat
mengekalkan keperluan corak dan struktur sastera. Unsur-unsur hiburan dan
keseronokan harus dikekalkan di samping teknik yang digunakan tetap berperanan
memperkayakan pengetahuan dan kemahiran yang perlu dikuasai oleh pelajar.
Di antara teknik pengajaran yang boleh digunakan di dalam bilik darjah ialah :
1. Respons pembaca
Respons membaca melibatkan sebarang tingkah laku yang dapat dilihat daripada
aktiviti membaca. Respons pembaca terhadap bahan sastera dapat dinyatakan
dalam pelbagai bentuk : penulisan jurnal, buku laporan, ulasan lisan, persembahan
dramatik, lukisan, dan sebagainya. Tujuan respons pembaca ialah pelajar dapat
memberi reaksi terhadap teks yang dibaca.
2. Mestamu
Mestamu bermaksud melagukan puisi tanpa muzik. Biasanya dilakukan secara
berpasangan, seorang mendeklamasi puisi manakala pasangannya akan melagukan
puisi. Manakala jika dilakukan secara perseorangan, orang yang sama akan
mendeklamasikan sajak dan melagukan puisi.
3. Puisidra
Puisi yang didaramakan atau dilakonkan. Seorang pelajar akan mendeklamasikan
puisi manakala sekumpulan pelajar akan melakonkannya. Pergerakan pelakon
adalah selaras dengan ungkapan puisi berkenaan.
4. Teater Bercerita
Satu bentuk drama naratif bercorak cerita. Seorang pelajar akan membacakan cerita
manakala pelajar yang lain akan melakonkannya. Ia boleh melibatkan ramai
pelakon. Lakonan pula dibuat secara spontan. Pencerita akan menyampaikan cerita
dan pelakon beraksi mengikut watak dalam cerita berkenaan.
5. Improvisasi
Lakonan secara spontan yang mengisahkan kejadian, peristiwa, atau situasi
sebenar dalam kehidupan seharian. Aktiviti dijalankan dalam kumpulan kecil iaitu
antara dua hingga lima orang.
6. Kerusi Panas
Pelajar diberi satu peranan berdasarkan skrip atau improvisasi. Pelajar akan cuba
berimaginasi tentang gaya atau aksi watak tersebut dalam semua aspek seperti cara
bercakap, cara berjalan, pemikiran dan seumpamanya. Pelajar hendaklah mengkaji
latar belakang watak dari aspek umur, gambaran fizikal, dan bagaimana watak itu
bertindak. Aspek penting yang diberi perhatian adalah aspek watak. Pelajar-pelajar
lain boleh bertanya soalan berkaitan dengan teks kepada pelakon tersebut yang
duduk di atas kerusi di hadapan kelas.
7. Adaptasi Genre
Pelajar memilih mana-mana teks sama ada cerpen, novel atau drama. Teks tersebut
diolah semula ke dalam bentuk teks lain yang berbeza genrenya. Misalnya sebuah
teks cerpen dipindahkan menjadi sebuah drama atau sebuah syair.
8. Teknik Penfasiran Grafik
Memindahkan teks sastera seperti sajak ke dalam bentuk bahan grafik sama ada
lukisan, fotografi, lakaran, carta, graf, dan sebagainya.
9. Monodrama
Satu teknik lakonan yang dilakonkan oleh seorang pelakon. Pelakon perlu
menghayati satu watak yang dipilih dari teks yang dibaca. Pelakon akan berlakon
secara perseorangan meluahkan rasa hati, dan emosi watak agar ia dapat
menjelaskan peranan dan tindakan watak. Pelajar akan menilai perwatakan pelakon
dan perwatakan watak lain berdasarkan lakonan tersebut.
Berdasarkan perbincangan di atas dapatlah dirumuskan pengajaran dan
pembelajaran bahan sastera sebagai berikut :
1. Penggunaan teknik pengajaran yang sesuai dengan bahan sastera. Kepelbagaian
teknik pengajaran akan memberi peluang kepada pelajar meneroka bahan sastera
melalui pengalaman yang berbeza-beza. Pelajar lebih gemar kepada proses
pengajaran dan pembelajaran berlaku secara tidak formal dan banyak melibatkan
pelajar secara aktif.
2. Guru perlu menguasai kemahiran sastera. Guru perlu menjadi model kepada
pelajar. Guru dapat menguasai pelbagai aspek sastera seperti mendeklamasi,
berlakon, bersyair, berseloka, berpantun, beraksi dan sebagainya. Guru menjadi
penyubur kepada bahan sastera dalam bilik darjah. Sentuhan emas guru
menjadikan bahan sastera berkembang dan semerbak dalam bilik darjah
3. Sesuatu pengajaran perlu perancangan yang teliti. Perancangan ini melibatkan
masa, penggunaan bahan, fokus pembelajaran, dan sebagainya. Perancangan yang
dilakukan membolehkan guru merangka aktiviti yang bersesuaian dengan keperluan
pembelajaran pelajar. Keutamaan perancangan guru adalah bagaimana untuk
melibatkan pelajar secara berkumpulan atau individu dalam proses pengajaran dan
pembelajaran.
4. Penggunaan bahan bantu belajar yang menarik. Bahan bantu mengajar terdiri
daripada peta minda, lakaran grafik, video, fotografi, keratan akhbar, majalah, cd,
vcd, dvd dan sebagainya. Bahan-bahan ini hendaklah dirancang dengan teliti
pengunaannya agar ia dapat memanfaatkan pengajaran guru. Bahan-bahan yang
dicipta secara kreatif oleh pelajar sesuai digunakan dan akan menyeronokkan
mereka.
5. Aktiviti dalam bilik darjah berfokuskan pelajar. Guru memberi peluang kepada
pelajar untuk terlibat aktif dalam aktiviti yang dirancang. Guru bertindak sebagai
fasilitator manakala pelajar akan menggunakan segala kemahiran berbahasa dalam
aktiviti yang dilakukan.
8.0. Faktor penentu kejayaan nasional
Keperluan akhir dalam mencorakkan kejayaan adalah keupayaan guru untuk
menguasai pendekatan dan teknik pengajaran yang bersesuaian dengan keperluan
pelajar. Pelajar hari ini tidak menerima apa sahaja yang guru berikan malah mereka
lebih berminat untuk mempelajari sesuatu yang menarik, menyeronokkan, dan
melibatkan mereka secara aktif. Guru perlu bersedia untuk menajamkan kemahiran
dan pengetahuan yang seiringan dengan keperluan dan tuntutan pendidikan masa
kini. Guru-guru perlu menyertai seminar, bengkel, kolokium, dan sebagainya yang
boleh mempertajamkan ilmu mereka tentang bahasa dan sastera. Guru perlu
bersikap positif terhadap kemunculan bahan sastera dalam pengajaran serta
menerimanya dengan cukup profesional tentang pembaharuan dan inovasi yang
perkenalkan.
Alaf baru memerlukan pemikiran, sikap, dan pandangan baru seorang guru.
Bergeraklah ke dalam dunia sastera dengan penuh minat, kesedaran, dan rasa
tanggungjawab. Tajamkanlah kefahaman dan kebolehan guru terhadap sastera. Jika
guru berbakat menulis dan berkaryalah kerana ia memberi kematangan ilmu
terhadap guru-guru. Kajian dan penyelidikan sesama rakan seperjuangan boleh
memanfaatkan banyak pihak sama ada guru, pelajar dan sekolah. Amalan
pengajaran kolaboratif, kerja berpasukan, kajian tindakan, dan sebagainya boleh
membina pengukuhan ilmu dan penemuan terhadap idea baru yang membantu
guru-guru.
Sudah sampai masanya guru mendeklamasi sajak di khalayak, mementaskan teater,
dan menyanyikan lagu puisi. Hadirlah ke majlis-majlis sastera seperti seminar, baca
puisi dan sebagainya kerana ia membawa manfaat besar terhadap guru. Guru perlu
menonton teater, bersemuka dengan pelakonnya atau membawa bersama-sama
pelajar menonton, kerana ia memberi dimensi baru guru dan pelajar terhadap dunia
sastera. Undanglah sasterawan dan penulis ke sekolah atau bilik darjah kerana
kehadiran mereka membina ufuk baru terhadap pelajar.
Kehadiran bahan sastera dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu akan
membuka lembaran baru kepada guru dan pelajar. Iklim pengajaran dan
pembelajaran akan menjadi lebih bermakna, menyeronokkan, dan menggembirakan.
Ada hilai tawa dan kecindan. Ada muzik dan suara bergandingan.
Bahasa dan sastera menjadi irama dan lagu yang semakin indah dan sukar
dipisahkan lagi.
Penutup
Sulamlah kain sastera berbenang bahasa
pakailah ke taman ilmu ke kolam pujangga
serikanlah taman dengan muzik sastera dan suara bahasa
dendangkanlah puisi sabda bahasa lidah sastera
di kolam sastera ada cermin budaya ada citra bahasa
sulamlah kain sastera berbenang bahasa
hiasan anak muda di bangku ilmu
gemerlap sutera bahasa serinya cahaya sastera
membiak nusa membina negara
BIBLIOGRAFI
Ali Ahmad (1994). Pengantar Pengajian Kesusasteraan. Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan (2003). ”Isu-Isu Asas Penggunaan Bahan Sastera Dalam
Pengajaran Bahasa”. Dewan Bahasa. Jil 3 Bil 4 : 7 – 11
Abdul Hamid Mahmood dan Ab Rahman Ab Rashid (2002). Teknik Pengajaran
Sastera Dalam Bahasa Melayu. Dewan Bahasa. Jilid 2 Bil 6 : 12 – 17.
Gardener, H (1993). Frames of Mind:The Theory of Multiple Intelligences. (2nd
edition) London: Fontana
Gutiérrez, Kris (2000) . “Teaching and Learning in the 21st Century”. English
Journal. 7 : 290 – 298
Geertz, Clifford. (1973). The interpretation of cultures, Basic Books, New York.
Hashim Awang. (1985). Teman Pelajar Kesusasteraan. Petaling Jaya : Fajar Bakti
Sdn Bhd.
Mana Sikana (2001). ”Pengajaran Drama Sebagai Peneguhan Bahasa Melayu”.
Dewan Bahasa. Jil 1 Bil 9 : 7 -13.
Muhammad Haji Salleh (2004). “Sastera Di Ambang Globalisasi” Dlm. Ilmu
Kesusasteraan Abad Ke 21. Jelani Harun (ed). Pulau Pinang : Penerbit Universiti
Sains Malaysia
Mohd Taib Osman (1977). Pengajaran Bahasa dan Kesusasteraan Melayu. Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Marohaini Yusoff. (2001). ”Landasan Pengajaran Komponen Sastera Dalam Bahasa
Melayu”. Dewan Bahasa. Jil 1 Bil 6 : 20 – 26.
Modul Pengajaran dan Pembelajaran KOMSAS Tingkatan 4 dan 5. (2004). Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Meek Spencer, Margaret. (2001). Children’s literature and national identity,
Trentham Books, Stoke on Trent.
Nafii Mat (2006). “Keperluan Teks Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu”.
Dewan Bahasa. Jilid 6 Bil 9. : 44 – 47.
Nik Safiah Karim. (2004). ”Bahasa Melayu Bahasa Tamadun Moden”. Dewan
Bahasa. Jil 4 Bil 1. : 10 – 15.
Noriah Taslim. (1996). ”Menggarapi Dunia Faedah dan Keilmuan Sastera Melalui
Penstrukturan Kurikulum dan Pemantapan Kaedah Pengajaran”. Dlm. Pengajaran
Sastera. Othman Puteh (Peny.). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pusat Perkembangan Kurikulum. (1994). Buku Panduan Guru Kesusasteraan
Melayu Tingkatan IV dan V . Kuala Lumpur : Pusat Perkembangan Kurikulum.
Sandra Burchsted. Prospectiva. http://www.prospectiva.net