laporan sambutan hari hak asasi manusia suhakam
TRANSCRIPT
LAPORAN SAMBUTAN HARI HAK ASASI MANUSIA SUHAKAM
BERSAMA UNIMAS
Butiran Sambutan Hari Hak Asasi Manusia
Tajuk: Sambutan Hari Hak Asasi Manusia – Human Rights For All
Tempat: Seminar di Bilik Konferens, Aras 2, FSS;
Pameran Hak Asasi Manusia di Ruang Foyer, Aras G, FSS
Tarikh: 2 Oktober 2014 (Khamis)
Masa: Seminar (8.30 pagi – 1 tengah hari)
Pameran Hak Asasi Manusia (8.30 pagi – 2 petang)
Penganjur: FSS dan SUHAKAM Cawangan Sarawak
Isi Kandungan
Pada 2 Oktober 2014 yang lepas,Fakulti Sains Sosial (FSS) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia
(SUHAKAM) Cawangan Sarawakdengan bantuan Persatuan Sains Sosial (PSS) telah
menganjurkan Hari Hak Asasi Manusia SUHAKAM bersama UNIMAS. Program khas ini
merupakan kolaborasi antara FSS dan SUHAKAM dalam mencapai objektif utama iaitu
memberi kesedaran kepada warga UNIMAS berkenaan dengan hak asasi manusiaterutamanya di
Malaysia. Bersempena dengan sambutan tersebut, dua aktiviti utama telah dijalankan iaitu
seminar dan juga pameran berkaitan hak asasi manusia. Seminar mengenai hak asasi manusia ini
telah berjaya menarik penyertaan seramai 94 pelajar daripada pelbagai program dan 22 orang
pensyarah. Dua penceramah khas telah dijemput untuk berkongsi kepakaran dan pengetahuan
mereka dalam isu hak asasi manusia.
Sambutan Hari Hak Asasi Manusia ini telah dirasmikan dengan ucapan alu-aluan oleh Dekan
FSS, Prof. Madya Dr Neilson Ilan Mersat dan juga ucapan daripada Encik Francis Johen Anak
Adam, Pesuruhjaya SUHAKAM Cawangan Sarawak, selaku wakil daripada SUHAKAM.
Ceramah pertama berkenaan dengan SUHAKAM telah dipersembahkan oleh Encik Francis
Johen Anak Adam, Pesuruhjaya SUHAKAM Cawangan Sarawak. Secara dasarnya, ceramah
oleh Encik Francis menjelaskan serba sedikit latar belakang dan sejarah penubuhan SUHAKAM
yang telah wujud dibawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Akta 597.
Penceramah turut berkongsi mengenai aktivit-aktiviti yang dijalankan oleh SUHAKAM
Cawangan Sarawak dalam membantu golongan-golongan seperti kanak-kanak, individu kelainan
upaya, masyarakat bumiputera dan sebagainya. Ceramah oleh Encik Francis ini secara jelas
membuktikan bahawa kewujudan SUHAKAM adalah signifikan sebagai satu institusi yang
mempromosikan pendidikan hak asasi manusia kepada rakyat Malaysia. SUHAKAM juga dilihat
begitu aktif dan proaktif dalam menjalankan program pendidikan hak asasi manusia terutamanya
kepada masyarakat di luar bandar agar mereka dapat memahami hak-hak asasi mereka.
Ceramah kemudiannya disampaikan oleh Encik Ameer Izyanif Hamzah, Ketua Penolong
Setiausaha SUHAKAM Malaysia. Ceramah membincangkan mengenai Konvensyen
Antarabangsa Mengenai Hak Asasi Manusia termasuklah intipati yang terkandung dalam
Universal Declaration of Human Rights (UDHR), Convention on the Rights of the Child (CRC)
dan UN Convention on the Rights of Persons with Disabilities (CRPD). Penerangan mengenai
setiap konvensyen-konvensyen yang telah ditandatangani oleh Kerajaan Malaysia ini secara
tidak langsung telah memberi serba sedikit pendedahan kepada pensyarah dan pelajar akan
wujudnya beberapa konvensyen yang bertujuan membela hak asasi manusia agar ia tidak
dicabuli sewenang-wenangnya oleh individu atau pihak lain.
Kedua-dua ceramah diakhiri dengan sesi soal jawab antara penceramah dan pensyarah serta
pelajar. Sesi ceramah dilihat telah bejaya menarik minat pelajar untuk bertanyakan soalan-soalan
berkenaan dengan hak asasi dan peranan SUHAKAM dalam menyelesaikan serta membantu
kumpulan-kumpulan spesifik seperti kanak-kanak dan golongan kelainan upaya.
Seminar tamat tepat pada jam 1.00 tengah hari dengan ucapan penutup daripada Dekan FSS yang
melahirkan harapan agar program seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang.
Sambutan Hari Hak Asasi Manusia yang berlangsung turut dimeriahkan dengan pameran oleh
SUHAKAM Cawangan Sarawak berkenaan Hak Asasi Manusia yang dijalankan bertempat di
Ruang Foyer,Aras G bermula pada jam 8.30 pagi sehingga 2.00 petang. Pameran melibatkan
panel pameran foto-foto aktiviti oleh SUHAKAM Cawangan Sarawak. Pameran foto ini secara
tidak langsung telah memanfaatkan penggunaan imej bagi memupuk kesedaran dalam kalangan
pelajar akan kepentingan hak asasi manusia. Pegawai-pegawai daripada SUHAKAM turut
mengedarkan risalah, laporan tahunan dan Buletin SUHAKAM kepada para pelajar sekali gus
memberi penerangan ringkas kepada pelajar-pelajar berkenaan isu hak asasi dan juga peranan
yang dimainkan oleh SUHAKAM dalam membela hak asasi manusia. Pameran telah berjaya
menarik ramai pelajar bukan sahaja daripada FSS, malahan pelajar-pelajar daripada fakulti
berdekatan.
Penutup
Secara keseluruhannya, Sambutan Hari Hak Asasi Manusia SUHAKAM Bersama UNIMAS ini
telah berjaya mencapai objektif-objektif berikut:
Memupuk kesedaran kepada pensyarah, pelajar dan staf UNIMAS berkenaan dengan
konsep Hak Asasi Manusia.
Mengeratkan kerjasama dan kolaborasi antara UNIMAS dan SUHAKAM dalam aspek
perkongsian pengetahuan dan potensi melalukan kajian bersama berkaitan isu hak asasi
manusia di masa akan datang.
Sebagai platform dan percubaan awal kerjasama antara UNIMAS dan SUHAKAM dalam
merealisasikan pembentukan Human Rights Cluster di peringkat UNIMAS.
Laporan disediakan oleh:
Cik Shafina Tantiana Bt Zulkipli
Gambar-gambar Sambutan Hak Asasi Manusia SUHAKAM Bersama UNIMAS