kak zaini -assigment kenegaraan
TRANSCRIPT
Peranan subjek sejarah di peringkat sekolah dalam memupuk semangat patriotisme generasi muda. Bincangkan.
Pengenalan
Sejarah bukanlah satu mata pelajaran yang baharu malah telah menjadi subjek
teras sejak bertahun-tahun lalu di peringkat sekolah menengah. Cuma kini dengan
transformasi pendidikan maka subjek ini akan diterapkan dengan unsur kewarganegaraan,
patriotisme dan perlembagaan bagi memastikan pelajar memahami serta menghayati
sejarah negara secara lebih mendalam di peringkat sekolah.
Pengumuman Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri
Muhyiddin Mohd. Yassin, tentang pengajaran mata pelajaran Sejarah pada peringkat
sekolah rendah merupakan perkembangan pragmatik dan positif pendidikan negara dalam
usaha menanam semangat patriotisme di kalangan pelajar. Tanggal 26 Oktober 2010
menyaksikan keputusan kerajaan menetapkan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek
wajib lulus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 dan menjadikannya mata
pelajaran teras dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai 2014.
Definisi
Menurut Wikipedia, sebuah ensiklopedia bebas, sejarah merupakan pembelajaran
mengenai masa lampau terutamanya menggunakan catatan bertulis. Sejarah membentuk
pemupukan kemahiran berfikir dan kemahiran pemikiran sejarah dalam setiap kalangan
warganegara disamping menerapkan nilai-nilai murni dan semangat patriotik dalam
usaha mencapai aspirasi membentuk negara bangsa yang berkualiti.
Dari segi konsepnya, semangat patriotik boleh didefinisikan sebagai semangat
cinta akan tanah air dan sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan negara
tercinta. Bill Totten (1998) menjelaskan patriotisme bermaksud semangat cintakan
negara. Menurut beliau tidak ada bangsa, keluarga, pasukan dan kumpulan dalam apa
bentuk yang boleh berfungsi dengan baik melainkan semua ahli cintakan negara. Doob
(1964) beranggapan patriotisme ialah the more or less concious convictionof the person
that his own welfare and of that signifikant group he belongs to are depended uponthe
preservationn of the power and culture of his society. Secara ringkasnya semangat
patriotisme berkait rapat dengan emosi mempertahankan kedaulatan negara, institusi
politik dan undang-undang negara daripada dicerobohi oleh kuasa asing. Semangat
patriotik dapat membentuk rakyat Malaysia yang bersatu padu dan harmoni.yang dibina ,
berdasarkan pengetahuan dan pemahaman aspek-aspek sejarah negara. Setiap
warganegara perlu dibimbing untuk menganalisis dan menilai fakta-fakta sejarah secara
rasional. Natijah daripada pemahaman dan penghayatan sejarah negara, seluruh rakyat
dapat membina kekuatan semangat cinta akan negara.
Tidak dinafikan sistem pendidikan di negara kita mendukung semangat
patriotisme. Buktinya Buku Panduan Pemupukan Patriotisme Di Sekolah Rendah
(Kementerian Pelajaran:1994) telah menetapkan garis panduan agar nilai-nilai patriotime
perlu diterapkan melalui kurikulum dan ko-kurikulum. Oleh itu, subjek-subjek seperti
Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Pendidikan Moral, Kajian Tempatan dan
lain-lain subjek sekolah rendah perlu menerapkan nilai-nilai patriotisme dalam proses
pengajaran dan pembelajaran melalui kaedah penggabungjalinan. Begitu juga semasa
aktiviti ko kurikulum. Di peringkat sekolah menengah pula, penerapan nilai-nilai
patriotisme dibuat melalui subjek Sejarah, Pendidikan Moral, Geografi ,Pendidikan Islam
dan lain-lain. Walaupun demikian, didapati bahawa tahap penghayatan generasi muda
akan semangat patriotisme agak rendah malah amat mendukacitakan.
Kebelakangan ini sejarah negara yang merupakan asas kepada pembentukan
peradaban bangsa sekaligus ecintaan yang mendalam kepada negara semakin dilupakan.
Negara pernah menyaksikan detik pahit apabila golongan tertentu di negara kita yang
pernah menjual maruah Malaysia di persada antarabangsa dengan insiden seperti
membakar Jalur Gemilang dan pengubahsuaian lirik lagu ’Negaraku suatu ketika dahulu.
Malahan pernah terpapar di dada- dada akhbar tentang perilaku anak-anak Malaysia yang
berada di luar negara tergamak melempar kata-kata berupa nista yang memburukkan
nama negara. Alpanya mereka bertutur sesuatu yang menjejaskan imej dan nama negara
ibarat “mengumpat” ibunda mereka sendiri, tanah tumpah darah mereka yang banyak
berjasa pada mereka. Generasi muda ini tidak mengenang jasa ibu pertiwi, seumpama
kacang lupakan kulit. Ini membuktikan tipisnya semangat patriotisme di kalangan
generasi muda kini. Generasi muda hari ini seolah telah lupa untuk memelihara dan
mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai etnik dan kaum seperti yang
diwarisi di Malaysia.
Biasanya, golongan remaja yang tidak menyedari kepentingan sejarah silam tidak
memiliki semangat patriotik. Maka kerajaan telah memutuskan untuk menekankan betapa
pentingnya metodologi subjek sejarah melalui satu transformasi besar supaya pengajaran
dan pembelajarannya menjadi lebih relevan lagi menarik sekali gus berjaya mendorong
pelajar menghayati ilmu yang begitu penting dalam kehidupan manusia ini. Kita juga
lupa tentang kesengsaraan dan perjuangan perit generasi terdahulu kerana kita tidak
pernah mengalaminya. Jika disorot, pasti ramai di antara anak-anak kita yang tidak
mengetahui nama-nama terbilang seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Dato' Bahaman,
Abdul Rahman Limbong, Dol Said, Rentap dan ramai lagi kerana saban hari mereka
disogokkan dengan cerita-cerita hero khayalan seperti Spiderman atau Superman yang
lebih menyeronokkan dan mengkhayalkan.
Bagi memartabatkan ilmu sejarah di Malaysia, maka pendedahan awal di
peringkat sekolah rendah kepada subjek ini amat penting. Membina bangsa dengan
semangat patriotisme mestilah bermula dari bangku sekolah. Melalui mata pelajaran
Sejarah serta Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang jelas mendidik dan
memberikan ilmu ke arah semangat cinta negara. Usaha sebegini dapat melahirkan
warganegara Malaysia yang peka akan sejarah negara dan bangsanya dan yang paling
penting melahirkan semangat patriotik di peringkat awal lagi kerana diperingkat ini
mereka mudah menerima ilmu, membentuk nilai diri dan perspektif. Pada masa yang
sama sejarah memberi kita peluang menghayati dan memahami kerelevenan sejarah
dalam kehidupan harian dan kehidupan masa depan. Cara memupuk semangat
patriotisme kepada pelajar mestilah melalui kesedaran dan ilmu sejarah.
Justeru itu, Sejarah yang akan menjadi mata pelajaran teras dalam Kurikulum
Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai 2014 akan menerapkan unsur kewarganegaraan,
patriotisme dan perlembagaan bagi memastikan murid memahami serta menghayati
sejarah negara secara mendalam. Matlamat umum pelaksanaan, KSSR adalah satu
transformasi pendidikan, iaitu proses melakukan satu bentuk perubahan yang holistik
kepada kurikulum persekolahan sedia ada yang melibatkan perubahan bentuk, organisasi,
kandungan, pedagogi, peruntukan masa, kaedah pentaksiran, bahan dan pengurusan
kurikulum di sekolah.
Menurut Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, elemen sejarah
yang diajar melalui subjek Kajian Tempatan di sekolah rendah pada ketika ini kurang
menerapkan ketiga-tiga unsur terbabit. Jadi, kita mahu menekankan perkara ini supaya
mata pelajaran Sejarah dapat dihayati dan difahami oleh semua golongan masyarakat,
terutama generasi muda.
Ketiga-tiga unsur terbabit akan diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran
subjek sejarah yang menggunakan konsep ‘pendidikan itu menyeronokkan’ membabitkan
pendekatan seperti kuiz, lawatan ke tempat bersejarah, forum, perbahasan, lakonan dan
drama bagi mengelakkan murid sekolah rendah bosan ketika menghadapi pelajaran serta
dapat meningkatkan tahap pembelajaran di sekolah.
Menerusi pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sejarah murid-murid
sekolah rendah berpeluang untuk meningkatkan semangat patriotisme. Sejarah dapat
menyemaikan bibit-bibit semangat perpaduan dan patriotik di kalangan pelajar. Ini
sekaligus bagi mendedahkan pelajar kepada sejarah pembangunan negara bermula dari
peringkat umur rendah.
Pelbagai unsur patriotisme beleh diselitkan dalam sukatan Sejarah agar melalui
proses pengajaran dan pembelajaran Sejarah boleh memupuk semangat patriotisme yang
tinggi dalam diri pelajar.
Antara peranan yang dimainkan oleh subjek sejarah ialah sebagai pemangkin
kepada perpaduan. Perpaduan sangat penting dalam sesebuah negara lebih-lebih lagi
negara berbilang kaum. Hal ini demikian kerana perpaduan merupakan asas
pembentukan sebuah negara yang progresif dan maju. Pepatah Melayu ada mengatakan
bahawa bulat air kerana pembentung, bulan manusia kerana muafakat. Remaja, sebagai
pewaris negara ini dan mereka memainkan peranan penting untuk terus memupuk
semangat perpaduan. Negara pernah menyaksikan detik apabila perpaduan antara kaum
telah dicemari oleh insiden 13 Mei 1969. Oleh yang demikian, sebagai generasi yang
akan meneruskan legasi agenda perpaduan untuk generasi akan datang maka wajarlah
generasi muda hari ini menghargai dan teruskan mengekalkan bibit perpaduan yang telah
terbina sekian lama.
Pembelajaran mata pelajaran Sejarah dapat meningkatkan pengetahuan pelajar
mengenai asal-usul negara. Sukatan Sejarah yang cukup komprehensif izharnya dapat
memberi kesedaran kepada pelajar bahawa perjuangan ke arah kemerdekaan suatu ketika
dahulu bukanlah sesuatu yang mudah. Dengan kolaborasi dan sinergi antara kaum
Melayu, Cina dan India berkat usahasama Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock dan
Tun V.T. Sambathan, barulah kita dapat merasai nikmat kemerdekaan. Perkara ini
sepatutnya perlu diketahui oleh setiap warganegara kerana “sesiapa yang melupakan akar
bangsanya ibarat si Tenggang menderhakai ibunya”. Sehubungan dengan itu, mata
pelajaran Sejarah berperanan sebagai satu platform yang cukup utuh untuk
mengetengahkan kembali warisan sejarah kita suatu ketika dahulu.
Generasi muda hendaklah menghayati dan mengambil iktibar daripada sejarah
negara. Hal ini demikian kerana banyak peristiwa yang berlaku dalam sejarah tanah air
dapat dijadikan iktibar supaya sesuatu yang buruk dapat dihindarkan. Sebagai contoh.
tragedi 13 Mei 1969 merupakan satu detik hitam dalam sejarah yang berlaku akibat
semangat perpaduan yang rapuh dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum. Ahli
falsafah George Santayana mengatakan orang yang melupai sejarah akan melakukan
kesilapan yang sama. Oleh itu remaja hari ini hendaklah diterapkan dengan pengetahuan
sejarah secara lebih serius. Dengan mempelajari, memahami, menghayati, dan
mengambil iktibar daripada sejarah, maka mereka akan menjadi warganegara yang lebih
bertanggungjawab, rasional, dan berhemah tinggi dalam kehidupan di dalam sebuah
negara majmuk seperti Malaysia. Jadi, remaja mestilah mengambil iktibar daripada
sejarah sebagai pemangkin semangat perpaduan yang jitu.
Penghayatan mata pelajaran Sejarah membolehkan kita membaca tentang masalah
perkauman dan perebutan kuasa yang berlaku antara pembesar-pembesar pada zaman
Kesultanan Melayu Melaka telah membuka pintu kepada penjejahan imperialis-
imperialis Barat selama 446 tahun. Nasib rakyat peribumi tidak terbela dan mereka hidup
merana. Oleh itu,sudah tentu masyarakat pada zaman ini tidak menginginkan peristiwa
pahit tersebut berulang . Mereka akan berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa
Malaysia dan bukannya mengikut etnik masing-masing.
Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Begitu besar harapan bangsa pada
generasi muda hari ini. Maka adalah penting bagi mereka mempelajari nilai-nilai
patriotisme kerana mereka masih dalam proses menuju dewasa. Patriotisme mengajar
remaja mendisiplinkan diri. Generasi berdisiplin dan prodiktif adalah kemudi
pembangunan kepimpinan negra pada masa akan datang (Mahathir dan Belia; dalam
Saifuddin:2002). Jadi apabila nilai-nilai patriotisme disemai dalam jiwa setiap rakyat
Malaysia maka kita tidak mudah dipengaruhi oleh unsur-unsur asing yang
mempamerkan budaya dan acuan lain luar dari ciri-ciri Malaysia.
Rata-rata generasi muda hari ini memiliki kehidupan yang serba senang dan
mudah di kalangan generasi muda masa kini adalah satu faktor yang dikhuatiri
mengurangkan semangat patriotisme di kalangan mereka. Pelbagai kemudahan sosial,
kemajuan ekonomi, kehadiran berbagai-bagai barangan dan perkhidmatan di pasaran,
aneka bentuk hiburan, semua ini boleh melekakan dan mengalpakan generasi muda
daripada hal-hal yang lebih serius seperti soal kedudukan dan kemajuan bangsanya atau
peranan dan tanggungjawabnya terhadap masyarakat dan negara. Era globalisasi dan
liberasi melihatkan ledakan maklumat melalui kemajuan teknologi yang semakin hari
semakin canggih. Apabila remaja selesa menikmati kehidupan sebegini semangat
patriotisme jelas akan menipis.
Seterusnya Sejarah juga mengajar kita agar mengelakkan diri daripada
mementingkan diri dan bersikap etnosentrisme. Sikap etnosentrisme ialah sikap yang
mementingkan kelompok etnik sendiri. Sikap seperti ini akan menjejaskan hubungan
dengan kaum-kaum lagi di negara ini. Remaja perlu menghayati dan mengamalkan
Gagasan 1 Malaysia yang menekankan aspek perpaduan secara tuntas ke arah
pembentukan sebuah negara yang progresif. Remaja perlu menerima segala perbezaan
yang wujud antara kaum di negara ini dengan hati yang terbuka. Contohnya, remaja
tidak harus menyentuh isu-isu sensitif seperti hak istimewa sesuatu kaum yang sudah
termaktub dalam perlembagaan. Natijahnya, negara akan menjadi mundur, masa depan
negara kabur jika generasi pelapis luntur semangat patriotiknya. Mereka hendaklah
mengamalkan sikap di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung. Jika semangat ini
dapat diamalkan oleh setiap remaja, nescaya negara kita akan terhindar daripada sebarang
malapetaka akibat perpaduan yang rapuh.
Subjek Sejarah adalah satu-satunya saluran untuk menyampaikan warisan negara
dan legasi kebudayaan kepada generasi masa kini.. Melalui subjek Sejarah, para pelajar
akan didedahkan kepada kesusahan dan kepayahan masyarakat lalu berjuang
mempertahankan negara. Contohnya, melalui sejarah, penentangan yang berlaku di Bukit
Kepong. Para anggota polis telah bersusah payah untuk menentang pihak komunis
sehingga sanggup mengorbankan nyawa dan keluarga mereka. Hal ini sedikit sebanyak
akan menimbulkan perasaan cinta yang mendalam para pelajar kepada tanah air sehingga
menyebabkan mereka bersemangat tinggi untuk mengekalkan kemerdekaan yang telah
dikecapi.
Pembelajaran Sejarah bukan setakat kita memperoleh ilmu tentang sejarah negara
kita, malah berupaya memberi ikhtibar dan pengajaran kepada kita agar menjadikan
sejarah lampau yang melanda negara tidak berulang kembali. Saya masih ingat kata-kata
dari guru Sejarah saya yang menyatakan ‘Sejarah ini ibarat roda’, ia sentiasa berputar.
Peristiwa yang lampau boleh berulang kembali. Jika kita mempunyai ilmu dan
pengetahuan tentang ‘sejarah’ yang telah berlaku, setentunya kita berupaya mengubah
‘sejarah’ yang bakal berlaku. Pengertian ini bertunjangkan hasrat untuk mencapai status
negara maju. Syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil dan ini
akan hanya dapat dicapai apabila rakyatnya bersatu padu. Negara yang bersatu padu
hanya dapat dicapai dengan mempunyai rakyat yang mempunyai semangat patriotisme
yang tinggi.
Mata pelajaran Sejarah juga membolehkan kita mengetahui kebudayaan dan
falsafah hidup rakyat majmuk. Kita mengetahui asal usul pelbagai kaum di Malaysia.
Kita juga sedar bahawa pembangunan Malaysia hasil daripada pengorbanan tiga kaum
utama. Dengan itu persefahaman yang lebih erat dapat dipupuk. Sikap toleransi antara
kaum dapat diwujudkan. Semangat kekitaan dapat dilahirkan. Prasangka antara kaum
dapat dielakkan. Semua sikap positif ini haruslah dimiliki oleh setiap rakyat sekiranya
gagasan Satu Malaysia mencapai matlamatnya.
Umum mengetahui bahawa subjek sejarah membolehkan kita membuat
penilaian, mengetahui sebab, akibat dan kepentingan sesuatu peristiwa, memahami
sejarah tamadun awal bangsa kita, melahirkan perasaan jati diri yang tinggi, membentuk
keperibadian bangsa, menghargai jasa pemimpin negara yang telah berkhidmat dan
berbakti demi mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara serta memajukan negara
dari segi ekonomi dan sosial.
Namun tidak dinafikan juga subjek sejarah juga mengingatkan kita agar tidak
mengulangi kesilapan masa lalu, merangka wawasan masa depan dengan penuh
keyakinan, berusaha mempertahankan kedaulatan negara dan memajukan negara dalam
semua bidang malah menjadi panduan dan iktibar dalam hidup kita pada masa kini dan
masa hadapan.
Ini seterusnya mengundang pelbagai soalan tentang kerelevanan pengajaran dan
pembelajaran matapelajaran sejarah khususnya di peringkat sekolah terutama sekolah
rendah.
Antara tujuan subjek sejarah diperkenalkan di peringkat sekolah adalah sebagai
usaha menyemai kefahaman Sejarah di peringkat awal bertujuan melahirkan generasi
baharu yang mampu menilai dan menghayati sejarah. Kandungan kurikulum yang
dirangka bagi sekolah rendah, menengah rendah dan menengah atas seharusnya
memupuk perasaan taat setia kepada bangsa dan negara. Fokus juga diberikan kepada
pemahaman menyeluruh tentang sejarah negara yang merangkumi jangka masa lima ratus
tahun dan dibuat secara kronologis iaitu mengikut susunan tahun. Dasar mewajibkan
pelajar sekolah memepelajari subjek sejarah adalah menepati kehendak Falsafah
Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang inginkan perkembangan jasmani, emosi, rohani dan
intelek pelajar secara seimbang.
Walaupun demikian perlu diingat generasi muda bukan hanya mempelajari
semangat nilai-nilai patriotisme daripada subjek sejarah yang di ajar secara fomal
mengggunakan kurikulum sahaja. Kita tidak mahu mereka hanya membaca dan
menghafal untuk lulus peperiksaan semata-mata yang akhirnya lupa dengan segera apa
yang dihafal. Selain mewajibkan kelulusan subjek Sejarah di peringkat peperiksaan
sekolah, ia juga perlu dipastikan agar dipelajari dan dihayati sepenuhnya oleh anak-anak
kita. Pembacaan sahaja tidak membuktikan individu tersebut kenal sejarah. Pendidikan
secara tidak formal perlu dijalankan sepanjang masa tanpa henti.
Antaranya peranan ibu bapa .Ibu bapa boleh mengajak anak-anak ke tempat
bersejarah.Contoh tempat bersejarah yang boleh dilawati ialah Kota 'A' Famosa di
Melaka.Ibu bapa juga boleh menceritakan tentang kejatuhan kerajaan Melaka dan
Portugis membina 'A' Famosa.Ibu bapa juga boleh bercerita kepada anak-anak tentang
kisah bagaimana tokoh zaman dahulu membangunkan negara. Ibu bapa boleh
membelikan anak-anak buku,DVD dan sebagainya yang mengandungi isu-isu berkaitan
patriotisme. Perkara ini sesuai dilakukan kepada anak-anak sejak kecil kerana "melentur
buluh biarlah dari rebungnya".Jelaslah ibu bapa merupakan orang yang kuat
mempengaruhi anak-anak dengan semangat patriotisme.
Guru juga boleh mengajak pelajar-pelajar menyertai pelbagai seperti
ucapan,pidato,bahas dan sebagainya.Pada bulan kemerdekaan,guru boleh mengajak
pelajar menyertai sambutan hari kemerdekaan.Antara acara yang boleh dijalankan
termasuk nyanyian lagu patriotik,tayangan filem berkaitan semangat patriotik dan
sebagainya.Jelaslah,pihak sekolah turut sama berperanan untuk menyemai semangat
patriotisme dalam kalangan pelajar sepanjang tahun mereka berada di sekolah.
Media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk
menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.Dengan
perkataan lain,televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang
dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-
pejuang kemerdekaan negara.Selain itu,media elektronik itu juga hendaklah menyiarkan
filem seperti "Bukit Kepong","Paloh"dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat
cinta akan negara.Jelaslah bahawa media massa juga seharusnya memainkan peranan
dalam menyemai semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat di negara kita.
Stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan
menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat
yang memperjuangkan semangat kemerdekaan suatu masa dahulu.Aktiviti tersebut bukan
sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara
kaum di negara kita.
Begitu juga menerusi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang
membolehkan remaja Malaysia berusia 18 tahun ditanam dengan semangat patriotik
Sementara Biro Tata Negara yang ditubuhkan pada tahun 1974, dipertanggungjawabkan
untuk menyalurkan pendidikan kenegaraan bagi memupuk semangat patriotisme secara
berterusan kepada semua lapisan masyarakat termasuk anggota komuniti institusi
pendidikan, belia, pekerja awam dan swasta, anggota pertubuhan, serta pemimpin dan
pemaju masyarakat.
Kesimpulannya, pengajaran dan pembelajaran subjek sejarah di sekolah negara
penting untuk melahirkan generasi muda yang tidak buta sejarah, yang tidak
mempersoalkan fakta sejarah negara atau generasi yang menghafal fakta sejarah semata –
mata untuk lulus peperiksaan peringkat sekolah tetapi gagal menghayati, mengambil
pengajaran dan teladan apa yang tersirat daripada peristiwa yang berlaku. Kita perlu
melahirkan generasi yang memahami sejarah tempatan berpaksikan inisiatif untuk
meningkatkan semangat cintakan negara dan perjuangan bangsa, seterusnya dapat
memupuk perpaduan dan sinergi kesinambungan semangat patriotisme generasi muda
akan datang. Kita bimbang tanpa pengetahuan sejarah, generasi muda tidak dapat
menghayati apatah lagi mendukung semangat gagasan 1Malaysia dan pentingnya
perpaduan antara kaum yang hanya dapat dibina berlandaskan keunggulan jati diri yang
dipelajari melalui ilmu sejarah.