kajian penyelidikan

31
BAB 1 KAEDAH PEMBELAJARAN MENYERONOKKAN ( BELAJAR SAMBIL BERMAIN) DAPAT MENARIK MINAT KANAK-KANAK PRASEKOLAH DI SK PELABUHAN KLANG, SELANGOR. PENGENALAN 1.1 Latar Belakang Kajian Pendidikan Prasekolah bertujuan memperkembangkan potensi kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun secara menyeluruh dan bersepadu dalam aspek jasmani,emosi ,rohani,intelek dan sosial melalui pembelajaran yang selamat, menyuburkan serta aktiviti yang menyeronokkan, kreatif dan bermakna. Semua kaedah ini adalah bertujuan untuk menanam sifat kendiri yang positif, dan mempertingkatkan kemahiran agar kanak-kanak berjaya melalui cabaran yang sedia ada dan yang mendatang bagi melengkapkan diri kanak-kanak menjadi individu yang sempurna. Setiap kanak-kanak dilahirkan sebagai individu yang berbeza, dan setiap kanak-kanak itu dilahirkan istimewa, jika mereka dididik dengan baik dan ada cara yang tersendiri mengikut tahap pemahaman dan penguasaan mereka. Kanak-kanak dilahirkan sebagai insan yang suka kepada aktiviti yang menyeronokkan atau lebih tepat lagi bermain. Guru sepatutnya 1

Upload: jalaniwba0040spsk

Post on 16-Dec-2015

103 views

Category:

Documents


1 download

DESCRIPTION

pendidikan jasmani

TRANSCRIPT

BAB 1

KAEDAH PEMBELAJARAN MENYERONOKKAN ( BELAJAR SAMBIL BERMAIN) DAPAT MENARIK MINAT KANAK-KANAK PRASEKOLAH DI SK PELABUHAN KLANG, SELANGOR.

PENGENALAN

1.1Latar Belakang Kajian

Pendidikan Prasekolah bertujuan memperkembangkan potensi kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun secara menyeluruh dan bersepadu dalam aspek jasmani,emosi ,rohani,intelek dan sosial melalui pembelajaran yang selamat, menyuburkan serta aktiviti yang menyeronokkan, kreatif dan bermakna. Semua kaedah ini adalah bertujuan untuk menanam sifat kendiri yang positif, dan mempertingkatkan kemahiran agar kanak-kanak berjaya melalui cabaran yang sedia ada dan yang mendatang bagi melengkapkan diri kanak-kanak menjadi individu yang sempurna.Setiap kanak-kanak dilahirkan sebagai individu yang berbeza, dan setiap kanak-kanak itu dilahirkan istimewa, jika mereka dididik dengan baik dan ada cara yang tersendiri mengikut tahap pemahaman dan penguasaan mereka. Kanak-kanak dilahirkan sebagai insan yang suka kepada aktiviti yang menyeronokkan atau lebih tepat lagi bermain. Guru sepatutnya memahami yang kanak-kanak ini suka kepada bermain, oleh itu kaedah belajar sambil bermain tidak boleh dipandang remeh oleh semua pendidik kanak-kanak prasekolah.Perubahan dalam pendidikan kanak-kanak akan sentiasa mengalami perubahan dari semasa ke semasa, dan pernyataan ini sering diutarakan oleh tokoh-tokoh pendidikan awal kanak-kanak pada masa itu seperti Froebel dari Jerman, yang telah mengalami sesuatu pengalaman yang tidak menyeronokkan telah memberikan idea cara baru mengajar yang lebih menyeronokkan dan menggembirakan yang dinamakan kindergartenMenurut Froebel, kanak-kanak merupakan individu sosial dan konsep belajar sambil bermain ini merupakan aktiviti spiritual yang dapat memberi kegembiraan, kepuasan, kebebasan dan keamanan. Di antara aktiviti yang dijalankan oleh Froebel ialah nyanyian dalam bulatan, permainan jari (finger play) dan aktiviti membentuk pekerjaan.Manakala Jerome Singer (Spodek,1987) telah menyatakan bahawa imaginative play adalah salah satu usaha kanak-kanak menggunakan kebolehan fizikal dan mental mereka dalam menyusun pengalaman. Jerome juga berpendapat bahawa dalam permainan, kanak-kanak akan berpeluang meneroka alam yang menjadikan mereka berupaya menyelesaikan masalah dipersekitaran dan menjadikan mereka lebih kreatif dan berinovasi.Aktiviti belajar sambil bermain akan merangsang setiap kanak-kanak itu agar lebih berminat dalam penerokaan dan peningkatan penguasaan mereka dalam perkembangan sebagai manusia normal seperti matlamat daripada Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK).

1.2Pernyataan Masalah Kajian

Pendidikan Prasekolah berfokus kepada usaha untuk menyediakan peluang pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna kepada kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun. Fokus utama prasekolah adalah proses pengajaran dan pembelajaran yang bersepadu, bertema, belajar melalui bermain, pembelajaran konstekstual dan pembelajaran berasaskan projek. Fokus ini adalah amat bersesuaian dengan setiap peringkat perkembangan kanak-kanak dan mengambil kira perbezaan individu.Namun begitu sejak akhir-akhir ini ramai yang memandang remeh konsep belajar sambil bermain dan menganggapnya lebih kepada membuang masa. Mereka lebih menekankan cara pembelajaran yang tegas dan keras dapat mendisiplinkan kanak-kanak tanpa mengambil kira perasaan dan keyakinan kanak-kanak itu sendiri. Pengkaji ingin membuat penyelidikan mengapa setiap tunjang di dalam pendidikan prasekolah agak sukar untuk dicapai dan objektif pengajaran guru sukar untuk dicapai di dalam kelas.Senario kini di dapati kanak-kanak adalah kurang berminat untuk belajar dan meneroka dengan lebih mendalam setiap pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan oleh guru di dalam kelas. Kanak-kanak agak lambat untuk bergerak aktif dan meneroka sesuatu dalam pengajaran. Kanak-kanak sukar memahami sesuatu yang diajarkan oleh guru dan masalah ini akan berlarutan dengan buruk sekiranya mereka makin menjauhkan diri dan tidak seronok datang ke sekolah.Pengkaji ada melihat masalah bagi pihak pendidik sendiri, mereka merasa tidak bersemangat dan merasa bosan dengan kaedah pengajaran biasa sehari-hari mereka. Kadang kala ada juga guru yang mengambil sikap berputus asa kerana kanak-kanak di bawah seliaan mereka lambat untuk memahami pengajaran. Mungkin keadaan ini berlaku kerana guru kurang pendedahan dalam mencari kaedah-kaedah baru untuk menarik minat kanak-kanak untuk terus tertarik kepada pengajaran dan pembelajaran.Pengkaji ingin melihat sejauh mana keberkesanan belajar sambil bermain adalah lebih efektif daripada pengajaran yang menggunakan kapur sahaja (chalk and talk), kerana pendapat tokoh pendidikan awal kanak-kanak belajar sambil bermain ini adalah kaedah yang paling berjaya berbanding kaedah pengajaran biasa. Menyedari kepentingan belajar sambil bermain, maka kajian ini turut meninjau beberapa jenis permainan dan aktiviti yang sesuai bagi pembelajaran di prasekolah. Sehubungan dengan itu, Elliason and Jekins (1986) turut menyatakan bahawa pendidik adalah individu yang boleh mengarah perhatian kanak-kanak dan seterusnya menjadi pemudah cara kepada pembelajaran kanak-kanak, dan menjadi pemudah cara kepada pembelajaran kanak-kanak semasa bermain.

1.3Soalan Penyelidikan/Kajian

Kajian Penyelidikan ini dibuat bagi menjawab soalan-soalan seperti berikut :1. Sejauh manakah kaedah pembelajaran yang menyeronokkan iaitu belajar sambil bermain dapat menarik minat kanak-kanak prasekolah dalam setiap tunjang pendidikan prasekolah.2. Apakah tanggapan guru prasekolah dan guru damping yang lain terhadap pelaksanaan kaedah pengajaran yang menyeronokkan di dalam kelas prasekolah.3. Apakah perbezaan kesan pengajaran yang dapat dilihat di antara kelas yang menjalani pembelajaran yang menyeronokkan atau sebaliknya yang lebih menarik minat kanak-kanak prasekolah.

1.4Objektif Kajian

Objektif kajian dijalankan adalah seperti berikut :1. Melihat sejauh mana kaedah pembelajaran yang menyeronokkan iaitu belajar sambil bermain dapat menarik minat kanak-kanak prasekolah dalam setiap tunjang pendidikan prasekolah.2. Mengetahui tahap kefahaman dan tanggapan guru prasekolah dan guru damping yang lain terhadap pelaksanaan kaedah pengajaran yang menyeronokkan di dalam kelas.3. Mengenal pasti dan membuat banding beza kesan pengajaran di antara kelas yang menjalani pembelajaran yang menyeronokkan atau sebaliknya yang lebih menarik minat kanak-kanak prasekolah.

1.5Kepentingan Kajian

Berdasarkan permasalahan di atas, satu kajian mengenai keberkesanan kaedah pembelajaran yang menyeronokkan perlu dibuat tentang kaedah belajar sambil bermain yang bersesuaian. Belajar melalui bermain ini akan dapat merangsang minat dan mendatangkan keseronokan dan merangsang kanak-kanak mempelajari dan meneroka sesuatu dalam cara yang tidak formal. Bagi guru-guru pula kefahaman mengenai belajar sambil bermain ini akan memberikan impak yang tinggi dalam setiap pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan.

1.5.1Kepentingan kepada kanak-kanak prasekolahKajian Penyelidikan ini amat penting bagi kanak-kanak prasekolah kerana kaedah yang betul dapat dipraktikkan bagi mencapai perkembangan individu secara menyeluruh. Jika kanak-kanak ini berminat dalam setiap pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan maka perkembangan potensi mereka akan sempurna. Pendapat-pendapat begini dapat dibuktikan dengan falsafah-falsafah yang diutarakan oleh pihak kerajaan agar individu itu berkembang secara menyeluruh dan seimbang dari segi jasmani , emosi, rohani, intelek dan sosial. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara( Falsafah Pendidikan Kebangsaan)Di dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK), muka surat 1, telah menyatakan matlamat utama KSPK adalah untuk menghasilkan perkembangan pembelajaran yang menyeluruh dan menjalankan aktiviti yang menyeronokkan dan kreatif serta bertujuan meningkatkan kemahiran , keyakinan diri, dan bersikap positif agar kanak-kanak ini lebih bersedia untuk menangani cabaran dan tanggungjawab di sekolah aliran perdana nanti. Oleh sebab itu kanak-kanak ini perlu menguasai kesemua tunjang (6 tunjang) yang terdapat dalam KSPK iaitu, tunjang komunikasi, sains dan teknologi, perkembangan fizikal dan estetika, keterampilan diri, kerohanian, sikap dan nilai, dan tunjang kemanusiaan.Pendekatan pembelajaran menyeronokkan menjadi asas yang utama dalam pendidikan prasekolah, ini kerana bermain sudah sebati dengan diri kanak-kanak. Kanak-kanak perlu bebas bermain dan meneroka untuk membawa diri mereka biasa dengan alam sekeliling.

1.5.2Kepentingan kepada guru prasekolah dan guru dampingPendidik ialah di antara orang yang penting untuk mengetahui dan memahami betapa pentingnya kanak-kanak itu berminat dalam sesuatu pengajaran dan pembelajaran. Bagi menarik minat kanak-kanak pula guru itu sendiri perlu mengetahui cara atau pun kaedah yang betul seperti mempraktikkan belajar melalui bermain, sama ada di dalam dan luar kelas.Kaedah belajar sambil bermain perlu digunakan dalam pengajaran dalam bilik darjah bagi mencapai objektif yang hendak dicapai guru. Melalui bermain, kanak-kanak akan dapat meneroka dan memperoleh pengalaman yang menyeronokkan dan sekali gus memahami pengajaran yang hendak disampaikan oleh guru.Bagi memastikan guru-guru yang terlibat dengan pembelajaran yang menyeronokkan, kursus-kursus atau pun bengkel-bengkel yang berkaitan perlu diadakan. Guru prasekolah dan guru damping juga perlu mencipta sendiri kaedah bermain yang mengandungi unsur-unsur pengajaran. Melalui permainan, kanak-kanak prasekolah akan dapat melatih diri dalam kemahiran sosial, bahasa dan fikiran yang positif dan menjadi insan yang cemerlang.

1.5.3Kepentingan kepada Pejabat PelajaranKaedah penyelidikan ini akan membuka pandangan banyak pihak, dan di antaranya ialah pejabat-pejabat pelajaran. Pihak pejabat pelajaran akan dapat merancang strategi dan jadual yang berkaitan dengan kaedah pembelajaran menyeronokkan. Guru-guru akan dihantar berkursus dan fasilitator yang mahir akan dapat diberikan kepada guru-guru kerana perancangan awal yang telah dibuat. Perancangan yang teliti akan membuahkan hasil yang lumayan. Dengan memberikan persediaan kepada guru dari segi fizikal dan mental, akan menghasilkan keluaran kanak-kanak prasekolah yang berkualiti dan mencapai matlamat Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan.1.6Batasan Penyelidikan

Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dan kuantitatif dan dijalankan kepada kanak-kanak dan guru-guru. Pengkaji membuat pemerhatian dan keputusan ujian kepada kanak-kanak prasekolah dan membuat soal selidik serta temu bual secara terus dengan guru-guru yang terlibat dengan prasekolah.Kajian ini di bataskan kepada guru-guru di SK Pelabuhan Klang iaitu guru kelas Prasekolah Bestari dan guru kelas prasekolah Inovatif serta guru-guru damping pendidikan Islam dan bahasa Inggeris. Kajian ini membataskan kepada 50 orang kanak-kanak prasekolah, iaitu 25 orang setiap kelas.

BAB 2

TINJAUAN LITERATUR

2.1PendahuluanPerbincangan dalam bab 2 menceritakan tentang kajian-kajian lepas yang berkaitan dengan kanak-kanak prasekolah, terutama kaedah-kaedah pengajaran yang bersesuaian dan menepati perkembangan mereka. Kanak-kanak belajar melalui bermain kerana permainan merupakan cara semula jadi kanak-kanak mengenal dunia dan persekitarannya. Menurut Piaget, permainan memainkan peranan asimilasi, iaitu kanak-kanak boleh menerima maklumat yang dapat membantu perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh. Oleh itu pelbagai kajian daripada pengkaji-pengkaji yang lepas akan dikupas serba sedikit bagi mengukuhkan lagi kajian penyelidikan yang dijalankan.

2.2Literatur Yang Berkaitan

Salah satu kaedah yang paling berkesan bagi menarik minat kanak-kanak prasekolah ialah belajar melalui bermain. Keseronokan dan kepuasan kepada kanak-kanak dapat dicapai melalui kedah ini. Menurut Mak Soon Sang, di dalam bukunya yang bertajuk Pendekatan dan Strategi Pengajaran merupakan teknik mengajar yang memberi peluang kepada murid-murid melakukan aktiviti secara berpura-pura dan terkawal. Pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah berlandaskan prinsip belajar sambil bermain dan aktiviti bermain adalah kerja kanak-kanak.Terdapat pelbagai teori-teori dan prinsip yang diberikan oleh tokoh-tokoh terkemuka mengenai kanak-kanak dan permainan. Teori-teori yang telah diutarakan oleh tokoh-tokoh yang tersebut tidak dapat dinafikan lagi kerana teori yang dinyatakan adalah berdasarkan pengalaman dan kajian yang telah mereka jalankan. Strategi belajar sambil bermain adalah aktiviti yang dijalankan secara spontan yang membawa kepada pembelajaran. Main merupakan ekspresi kendiri yang kreatif dan perkembangan yang paling jelas pada peringkat awal kanak-kanak. Melalui kaedah ini pelajar akan mencari pengetahuan dengan kaedah permainan.Di antara ciri-ciri permainan yang boleh diguna pakai ialah permainan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah pembelajaran manipulative, fizikal dan permainan bahasa. Manakala permainan manipulative pula termasuklah teka-teki, jadual bernombor, domino, catur dan congkak. Dari segi permainan fizikal pula iaitu pendidikan jasmani, daya fizikal digunakan di dalam pergerakan, koordinasi, kecekapan dan kemahiran fizikal. Permainan bahasa pula boleh dijalankan dengan mewujudkan suasana belajar yang menyeronokkan dan bermakna. Ciri-ciri pembelajaran begini harus diwujudkan bagi merangsang motivasi kanak-kanak supaya lebih berkesan melalui keseronokan bermain. Ia juga dapat mengembangkan daya imaginasi untuk membantu pelajar menyelesaikan masalah.Vygostsky (1967), main akan membantu perkembangan bahasa dan fikiran. Struktur otak akan membentuk melalui penggunaan simbol dan alat, ia juga membantu dalam pembentukan ini. Main juga memberi kebebasan kepada murid untuk meluahkan tekanan dalam menghadapi dunia sebenar. Dalam car ini, murid dapat mengawal situasi dan menyesuaikan diri dalam dunia sebenar. Mereka dibenarkan untuk memperoleh proses pemikiran yang tinggi melalui bermain. (Spodek et al.1987,p.181).Manakala Imam Al-Ghazali (Hanggan Langgulung,1979) turut memberikan pendapat iaitu menitik beratkan bermain bagi murid kerana dengan bermain murid boleh mengembangkan sikap semula jadi mereka di samping menyihatkan tubuh dan menguatkan otot-otot. Beliau turut menyatakan dengan bermain boleh mendatangkan kegembiraan dan merehatkan kanak-kanak selepas penat belajar. Pelaksanaan belajar melalui bermain boleh dijalankan dengan mengambil kira dengan pengajaran yang dicapai dan ditentukan. Bahan juga perlu sesuai dan berfaedah kepada perkembangan murid. Melalui pendekatan ini juga dapat mengukuhkan penguasaan konsep pembelajaran yang umum kepada yang lebih spesifik.Jerome Singer (Spodek, 1987) pula menganggap imaginative play sebagai usaha kanak-kanak menggunakan kebolehan ffizikal dan mental mereka dalam menyusun pengalaman. Beliau juga berpendapat bahawa dalam permainan, murid meneroka alam yang boleh menjadikan mereka berkebolehan dalam menghadapi masalah persekitaran dan boleh menjadikan mereka kreatif.Carrr dalam teorinya turut menyatakan main adalah penting kepada kanak-kanak kerana main menyediakan peluang kepada kanak-kanak untuk meluahkan pendapat masing-masing. Mengikut Carr, main merupakan katartik, memberi peluang kanak-kanak meluahkan perasaan emosi yang negatif.Teori Almy (1984, Fagen) menyatakan kanak-kanak bermain dengan di arah oleh diri mereka sendiri tanpa mengambil kira tujuan bermain. Semasa bermain, kanak-kanak ini bebas dari segala peraturan. Melalui bermain, kanak-kanak mendapat tingkah laku yang baru. Kanak-kanak melibatkan diri dalam permainan secara aktif. Apa yang dikemukakan oleh Almy turut bersesuaian dengan teori dan pandangan oleh Rubin, Fein dan Vendenberg.Verriour (1994) turut memberikan pandangannya dalam permainan drama, iaitu drama dapat menghasilkan situasi abstrak yang bermakna. Selari dengan penemuan mengenai drama sebagai salah satu aktiviti yang dapat meninggalkan kesan positif di dalam kurikulum prasekolah di bawah komponen kreativiti dan estetika, menunjukkan bermain bukanlah sesuatu yang tidak penting. Malah ia merupakansatu aktiviti yang memerlukan penglibatan aktif sehingga boleh dinyatakan idea serta ekspresi diri.Aktiviti belajar sambil bermain dapat memberangsangkan perkembangan serta dapat menarik minat kanak-kanak prasekolah untuk lebih berminat terhadap pembelajaran seharian yang dijalankan di sekolah. Dalam dunia prasekolah pula, bermain bukan setakat permainan biasa, namun permainan yang diwujudkan mempunyai tujuan yang telah dirancang oleh guru-guru bagi meningkatkan usaha menarik minat dan menguasai semua tunjang dalam prasekolah. Unsur-unsur permainan pula adalah terancang, berstruktur dan fleksibel.Pemilihan kaedah pengajaran yang bersesuaian penting kerana dapat membantu tahap pemahaman kanak-kanak dan seterusnya menarik perhatian pelajar untuk belajar. Apa yang boleh dilihat sekarang, kaedah pengajaran berpusatkan guru dan pelajar bertindak sebagai pemerhati sahaja. Keadaan ini yang mematikan semangat dan minat kanak-kanak untuk terus belajar dan menyebabkan kanak-kanak tidak menguasai Jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

2.3Kajian Berkaitan

Terdapat banyak kajian telah dijalankan mengenai topik belajar sambil bermain. Topik ini begitu menarik perhatian ramai pendidik dan pengkaji kerana kaedah bermain dan pembelajaran yang menyeronokkan ini amat penting bagi menghasilkan kanak-kanak generasi yang akan datang sempurna penguasaannya dalam pendidikan am nya dan prasekolah khususnya.Di antara kajian yang dilakukan di peringkat prasekolah, ialah kajian yang dijalankan oleh Fauziah Md Jaafar (Universiti Utara Malaysia), bertajuk Kepentingan Aktiviti Bermain Di Dalam Pendidikan Prasekolah. Beliau menumpukan perhatian kepada jenis aktiviti permainan prasekolah. Di dalam kajian, penyelidik telah melibatkan 33 orang guru prasekolah dan 47 orang guru KEMAS, di daerah Kubang Pasu. Penyelidikan ini bertujuan meninjau kekerapan aktiviti permainan di kalangan kanak-kanak prasekolah.Data yang diperoleh, dianalisis dengan menggunakan statik deskriptif ( min, peratusan dan frekuensi) dan t-test. Kajian rintis telah dikendalikan di kalangan guru prasekolah di daerah Kulim Bandar Baharu seramai 35 orang. Hasil dapatan pengkaji tentang jenis aktiviti permainan di kalangan kanak-kanak prasekolah ialah menunjukkan min bagi keseluruhan bagi setiap permainan. Min bagi jenis permainan kreatif telah menunjukkan min paling tinggi iaitu 2.801 berbanding permainan yang lain dan seterusnya di ikuti oleh permainan fizikal iaitu 2.753.Kesimpulan yang dibuat oleh pengkaji berdasarkan hasil dapatan kajian , menunjukkan bahawa guru prasekolah dan KEMAS ada menjalankan aktiviti bermain berdasarkan min keseluruhan bagi setiap jenis permainan yang dijalankan.Kajian yang seterusnya ialah kajian daripada Saayah Bt Abu dari Jabatan Ilmu Pendidikan, Maktab Perguruan Islam, Bangi. Beliau telah mengkaji Pelaksanaan Aktiviti Belajar Melalui Bermain Dilaksanakan Di Tadika-Tadika di Daerah Melaka Tengah, Melaka. Di dalam kajiannya, penyelidik telah menggunakan sampel kajian daripada 10 orang guru tadika yang terdiri daripada anjuran KEMAS, JAIM, PERPADUAN, swasta dan Kementerian Pendidikan Malaysia.Pengkaji telah menggunakan kaedah pemerhatian pengajaran guru untuk melihat strategi pengajaran guru, bahan bantu mengajar yang digunakan, dan kemudahan fizikal bilik darjah. Pengkaji melakukan pemerhatian kepada kanak-kanak melalui proses belajar sambil bermain dalam kelas. Setiap tingkahlaku kanak-kanak dan perbualan mereka semasa melakukan aktiviti belajar melalui bermain dicatatkan selepas pemerhatian.Hasil dapatan kajian ini di dapati 70% guru mengatakan faham tentang pendekatan belajar melalui bermain. Manakala 30% guru berada dalam tahap pemahaman yang sederhana.Kajian ini menunjukkan guru-guru faham tentang faedah dan kepentingan belajar melalui bermain. Berdasarkan temu bual yang dibuat tiga orang di antara mereka menyatakan faham dan merancang aktiviti melalui aktiviti kumpulan, tiga di antara mereka pula membuat perancangan belajar melalui bermain dalam kaedah bertema, dua responden lagi melalui aktiviti kelas dan bakinya mengatakan melalui pengetahuan sedia ada kanak-kanak. Sebaliknya pada pemerhatian yang dibuat pengkaji, didapati aktiviti belajar melalui bermain tidak dijalankan, 8 tadika yang dikaji di dapati kanak-kanak yang menjalankan aktiviti di dalam buku kerja yang disediakan mahupun lembaran kerja yang aktivitinya mewarnai, hanya 2 tadika sahaja yang bermain, itu pun kanak-kanak yang tidak mengendahkan pengajaran yang guru jalankan.Tadika seterusnya kanak-kanak dibenarkan bermain secara bebas setelah kerja yang diberikan oleh guru telah disiapkan. Pengkaji dapati persepsi ibu bapa melalui pandangan guru tentang kaedah belajar sambil bermain ini berskala sederhana faham sahaja. Lapan tadika menyatakan ibu bapa faham, tetapi aduan dan rungutan daripada ibu bapa kedengaran bahawa mereka tidak selesa dengan belajar sambil bermain. Hanya 2 tadika sahaja menyatakan ibu bapa tidak setuju dan mahukan anak mereka belajar terus secara formal kerana alasan mahu anak cepat membaca. Walaupun mereka faham mengenai perkembangan anak-anak, minat mereka dan keperluan kanak-kanak, tetapi pemerhatian pengkaji mendapati pengajaran kelas secara formal seperti murid tahun 1 ataupun tahun 2.Dalam masalah guru melaksanakan kaedah belajar melalui bermain, pengkaji dapati strategi pengajaran dan pembelajaran masih tertumpu pada aktiviti menyebut, mengeja, membaca, menulis, melukis dan mewarna. Menurut pengkaji, terdapat 20% guru kurang faham tentang perkembangan kanak-kanak, 10% sederhana, 60% faham dan 10% sangat faham. Manakala dari segi minat kanak-kanak, 20 % guru sederhana faham, 70% faham dan 10% sangat faham. Ini jelas menunjukkan kefahaman guru-guru tentang kanak-kanak tetapi bila peringkat amalan, pelaksanaannya, guru-guru tidak menjalankannya kerana menghadapi beberapa masalah..Dari sudut bahan bantu mengajar pula, hasil dapatan kefahaman guru tentang bahan bantu mengajar ia memberi faedah kepada kanak-kanak dalam pelaksanaan aktiviti belajar melalui bermain. Seramai 60% guru faham, 20% guru sangat faham dan 20% guru sederhana faham tentang kepentingan bahan bantu mengajar. Walaupun ramai guru yang faham betapa pentingnya bahan bantu mengajar tetapi mereka tidak dapat melaksanakan disebabkan kekurangan peralatan, kewangan yang tidak mencukupi, ruang yang sempit dan guru kurang latihan. Pengkaji meninjau dan membuat pemerhatian tentang tugas-tugas guru dalam melaksanakan aktiviti pembelajaran di bilik darjah. Hasil tinjauan menunjukkan bahawa guru-guru menghadapi masalah untuk melaksanakan tugas-tugas yang bersabit dengan aktiviti.Pengkaji dapat mengenal pasti mengapa guru kurang menjalankan aktiviti belajar sambil bermain . Menurut mereka, masalah berpunca daripada perkembangan yang pesat dalam pendidikan prasekolah. Guru-guru yang di temu bual mengatakan mereka berkeyakinan bahawa masalah yang dihadapi ini boleh diatasi jika mereka diberi peluang mengadakan perbincangan pendidikan dengan pakar-pakar, pentadbir dan penyelidik prasekolah.Setelah analisis dibuat, secara keseluruhannya di dapati kebanyakan sampel menyatakan bahawa semua guru menyedari betapa pentingnya belajar melalui bermain dilaksanakan dan pengajaran dan pembelajaran prasekolah. Masalah yang paling ketara dalam menjalankan kaedah belajar sambil bermain ialah kekangan bahan bantu mengajar. Bahan bantu mengajar yang dibekalkan haruslah selari dan bersesuaian dengan permainan dan konsep yang perlu melibatkan keenam-enam komponen iaitu komponen perkembangan bahasa dan komunikasi, perkembangan kognitif, perkembangan fizikal, perkembangan kerohanian dan moral, perkembangan kreativiti dan estetika serta perkembangan sosial.Kebanyakan guru prasekolah memahami dan berpengalaman dalam pengurusan dan pengendalian tadika, tetapi bahan bantu mengajar tidak mencukupi. Mereka boleh menggunakan bahan terbuang tetapi ia bergantung pada kreativiti guru itu sendiri dalam mengolah bahan tersebut. Bahan-bahan seperti kotak tisu, kotak mancis, cawan plastik, botol plastik, tin susu, bekas telur, daun kering dan lain-lain lagi boleh digunakan sebagai bahan bantu mengajar yang menjadi pemangkin dalam kaedah belajar melalui bermain. Namun begitu setiap perancangan haruslah mempunyai kaedah dan strategi yang mantap bagi menampakkan hasil yang lumayan.Kajian seterusnya yang di jalankan oleh Linah Bt Summase (Buku koleksi kertas kerja seminar penyelidikan IPGM KBL,2009, m.s 92-101. Kajian yang dijalankan ialah Belajar Sambil Bermain. Kajian ini telah dijalankan di sebuah sekolah di Kuching Sarawak iaitu Sekolah Kebangsaan TU. Kajian dijalankan kerana di dapati 4 orang murid pemulihan yang masih tidak dapat membaca dan membatangkan suku kata. Keempat murid ini suka bermain di dalam kelas dan tidak menghiraukan ajaran yang guru beri. Guru telah mengambil langkah-langkah yang betul apabila menggunakan kaedah belajar sambil bermain di dalam pengajaran mereka.Perancangan kajian yang telah dijalankan ialah dengan menggunakan pendekatan belajar sambil bermain secara individu dan kumpulan. Pendekatan ini dimulakan dengan membuat kad bacaan dengan mencantum kad, gambar, mengeja dan menulis perkataan pada kad yang dibina. Di antara pendekatan bermain yang dijalankan ialah teka-teki, lakonan, roda impian, mencantum kad suku kata, nyanyian, cuba teka, kotak beracun dan mengingat. Langkah 1 murid-murid diberi peluang mencipta kad bacaan mereka sendiri. Langkah 2, murid-murid akan mengeja dan mencantum suku kata menjadi perkataan yang bermakna. Langkah 3, murid-murid itu dikehendaki membaca ayat-ayat mudah. Setelah murid-murid membaca dengan lancar murid-murid akan mengeja dan menulis pada papan putih pada langkah 4. Langkah terakhir, murid-murid berpeluang bermain permainan yang agak mencabar iaitu bermain roda impian untuk memilih perkataan bagi membina ayat-ayat mudah di papan putih.Hasil daripada kajian ini di dapati murid-murid boleh menilai diri mereka dan tahu kesalahan yang mereka lakukan. Malahan murid meminta guru agar memulangkan hasil kerja mereka untuk ditunjukkan kepada ibu bapa di rumah dan cuba membuat ulang kaji semula. Daripada kajian ini juga setiap kelemahan murid-murid dapat dikenal pasti dan memudahkan guru mencapai objektif yang ingin dicapai.Kajian-kajian lain yang turut dijalankan mengenai belajar sambil bermain seperti Jensen,2000,2001; Shore,1997; Christie, 2001; Frost, Wortham,2001. Tokoh-tokoh ini dalam kajian mereka menyatakan bahawa bermain merupakan acuan asas untuk peningkatan pembinaan diri dan akan memberikan persediaan dalam diri kanak-kanak sama ada melalui fizikal dan mental pada masa akan datang. Petikan ( play ia a scaffold for development, a vehicle for increasing neural structures, and mean by which all children practise skills they will need ain later life)

2.4Rumusan

Rumusan yang dapat dibuat hasil kajian-kajian lepas dalam konteks tempatan yang berkaitan, jelas menunjukkan bahawa permainan merupakan salah satu kaedah yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran terutama kanak-kanak prasekolah. Tanpa bermain dunia kanak-kanak akan menjadi hambar dan tidak menarik apatah lagi ingin merangsang fikiran mereka supaya lebih berminat untuk belajar. Dari segi bahan bantu mengajar juga , ia adalah amat penting kerana bahan yang baik mampu memberikan penjelasan yang terbaik untuk kanak-kanak cepat faham. Guru juga tidak kurang penting dalam menjalankan kedah belajar sambil bermain, satu pembelajaran yang menyeronokkan akan menjadikan kanak-kanak berminat untuk belajar dan mudah memahami apa yang hendak disampaikan oleh guru. Guru prasekolah dan guru damping perlu mempunyai sikap yang positif bagi mempengaruhi pembentukan dan pengembangan anak-anak muridnya. Guru perlu sedar bahawa tanggungjawab dan amanat yang terpikul di bahu mereka perlu lah di tunaikan bagi mencapai kesejahteraan sejagat.

BAB 3

METODOLOGI PENYELIDIKAN

3.1Pendahuluan

Kajian penyelidikan ini bertujuan untuk melihat keberkesanan kaedah pembelajaran yang menyeronokkan mampu menarik minat kanak-kanak prasekolah di Sekolah Kebangsaan Pelabuhan Klang, Klang Selangor. Pengkaji akan menerangkan bagaimana kaedah ini dijalankan yang melibatkan subjek kajian, instrumen kajian, prosedur kajian dan analisis kajian. Bab ini akan membincangkan secara terperinci tentang metodologi kajian iaitu bertujuan untuk menerangkan tentang reka bentuk kajian, sampel kajian yang dipilih, instrumen yang digunakan, prosedur pengumpulan data serta analisis data yang dilaksanakan di dalam kajian ini.

3.2Reka Bentuk Kajian

Berdasarkan kaedah-kaedah yang biasa digunakan dalam pengumpulan data, kaedah berbentuk senarai semak dan pemerhatian telah dipilih untuk kajian ini. Kaedah pemerhatian yang dijalankan ialah melalui teknik perbualan, berinteraksi dengan kanak-kanak, berinteraksi dengan guru dan guru damping serta melihat perlakuan dan perubahan tingkah laku dari semasa ke semasa. Pengkaji turut menggunakan teknik senarai semak bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan. Bagi mendapatkan maklumat yang terperinci, pengkaji telah menggunakan contoh-contoh soalan seperti yang disertakan di dalam lampiran ini. Borang senarai semak yang dibentuk adalah di adaptasikan daripada instrumen pentaksiran prasekolah kebangsaan dan borang senarai semak oleh Saayah Bt Abu di dalam kajian berkaitan pelaksanaan aktiviti bermain yang dijalankan pada 2 buah kelas di prasekolah. Data dan maklumat yang di peroleh daripada borang senarai semak aktiviti bermain juga dapat membantu penyelidik memahami isu yang dikaji di samping memberikan pengalaman secara terus kepada penyelidik di dalam mengumpul maklumat bagi menjawab persoalan kajian yang di utarakan.

3.3Sampel Kajian

Penyelidik menjalankan penyelidikan bagi memastikan sama ada kanak-kanak prasekolah akan berminat untuk terlibat secara menyeluruh dalam pengajaran dan pembelajaran, mengukur dan membuat banding beza kelas yang manakah lebih menguasai pembelajaran sama ada kelas yang menjalankan pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan atau sebaliknya dan mengenal pasti tahap pemahaman guru serta guru damping tentang kepentingan pendekatan pembelajaran menyeronokkan akan memberikan impak yang positif kepada kanak-kanak.Kajian ini telah dijalankan di dua buah kelas prasekolah, Sekolah Kebangsaan Pelabuhan Klang, Klang Selangor. Kelas tersebut ialah Prasekolah Inovatif dan Bestari yang mengajar kanak-kanak berumur 6 tahun. Prasekolah ini terletak di pinggir bandar dan kanak-kanak yang belajar di sini adalah datang daripada keluarga yang sederhana dan susah. Kebanyakan ibu bapa mereka bekerja sebagai pekerja kilang dan buruh kasar di sekitar Pelabuhan Klang. Apa yang amat menyukarkan keluarga mereka, anak-anak hanya di bela dan di jaga oleh ibu tunggal yang berpendapatan rendah sahaja.Kesemua pelajar adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam. Prasekolah ini beroperasi pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 12 tengah hari. Walaupun begitu, kanak-kanak prasekolah akan datang lebih awal iaitu dari jam 7.30 pagi untuk makan sarapan sebelum memulakan pembelajaran. Setiap kelas mempunyai 25 orang murid dan jantina kedua-dua kelas seimbang di antara lelaki dengan perempuan. Setiap kelas mempunyai seorang guru dan seorang pembantu pengurusan murid serta seorang guru damping pendidikan islam. Setiap kelas dilengkapi dengan kemudahan asas bagi memudahkan perjalanan kelas lancar. Sukatan pengajaran dan panduan kurikulum yang dibekalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia di guna pakai bagi memastikan kanak-kanak menguasai 6 tunjang , hasrat kerajaan Malaysia. Kedua-dua kelas prasekolah menitik beratkan kaedah bermain sambil belajar. Bilangan sampel yang digunakan tidak terlalu besar, namun ia mampu membuktikan bahawa penyelidikan dapat dijalankan dan penyelidik mendapat maklumat yang ingin diperoleh.

3.4Instrumen

Pengumpulan data melalui temu bual boleh dilaksanakan dalam kajian tinjauan (Walker&Burnhill, 1998). Maklumat dan data ini diperoleh melalui temu bual penyelidik dengan responden. Pemerhatian juga dibuat untuk mendapatkan maklumat tambahan dan mengukuhkan maklumat temu bual. Maklumat-maklumat dan data-data tersebut dikumpulkan oleh penyelidik dengan menggunakan borang catatan yang mengandungi soalan-soalan kajian berkenaan.Penyelidik telah menyediakan tiga borang soal selidik bertujuan mengumpul maklumat tentang latar belakang prasekolah dan guru-guru serta guru damping dan amalan pelaksanaan aktiviti bermain dalam pengajaran dan pembelajaran. Borang soal selidik ini terdiri daripada borang pemerhatian pengajaran dan pembelajaran, senarai semak dan temu bual.

3.4.1Borang Pemerhatian (lampiran 1)Borang ini mengumpul maklumat mengenai amalan pelaksanaan pengajaran dalam kelas prasekolah merangkumi strategi pengajaran yang digunakan dan bahan bantu mengajar yang telah digunakan. Borang ini mengumpul maklumat tentang kefahaman dan pengetahuan guru prasekolah serta guru damping dalam aktiviti belajar melalui bermain, di samping memahami perkembangan kanak-kanak, tingkah laku mereka ketika sesi pengajaran yang dilakukan sebelum dan selepas aktiviti permainan dijalankan di samping minat dan keperluan mereka dan bahan bantu mengajar yang telah digunakan.3.4.2Borang temu bual dengan guru prasekolah dan guru damping (lampiran 2)Borang ini mengumpulkan segala maklumat mengenai perancangan guru, tempoh waktu yang digunakan, aktiviti untuk kanak-kanak, perbezaan minat dan tingkah laku murid dan perkara-perkara lain yang melibatkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

3.4.3Borang latar belakang guru prasekolah (lampiran 4)Borang maklumat tambahan mengenai guru yang diperlukan oleh penyelidik.

3.5Prosedur Pengumpulan Data

Sebelum penyelidik mengumpulkan segala data di dalam penyelidikan, kebenaran daripada pihak Universiti Terbuka Malaysia (OUM) telah diperoleh. Pihak Fakulti Pendidikan dan Bahasa telah mengarahkan satu kajian penyelidikan perlu dijalankan. Penyelidik telah memilih untuk membuat penyelidikan mengenai kaedah pembelajaran menyeronokkan dapat menarik minat kanak-kanak prasekolah.Kebenaran turut dipohon daripada guru besar dan pihak pentadbiran yang berkenaan di Sekolah Kebangsaan Pelabuhan Klang sebagai sampel kajian penyelidik iaitu Prasekolah Bestari dan Inovatif. Dalam tempoh kajian yang dijalankan penyelidik akan menjalankan perkara-perkara berikut:1. Memberi penerangan tentang prosedur kajian kepada responden yang terlibat.2. Menemu bual guru-guru prasekolah dan guru damping untuk mengumpul maklumat mengenai latar belakang prasekolah yang dikaji.3. Menjalankan pemerhatian terhadap pengajaran guru tentang strategi pengajaran guru, tingkah laku murid ketika sesi pembelajaran.4. Pemerhatian terhadap kesesuaian bahan bantu mengajar dan kemudahan bilik darjah.

3.5.1Pemerhatian dalam kelasPemerhatian dilakukan semasa kanak-kanak menjalani proses belajar melalui bermain di dalam kelas. Pemerhatian dalam konteks kajian ini membolehkan pengkaji mengesan perkara-perkara yang mungkin dianggap kebiasaan bagi mereka yang terlibat. Oleh itu setiap tingkah laku kanak-kanak perlu diperhatikan sama ada pergerakan, pergaulan, perbualan, sosio emosi dan lain-lain perlu dicatat dan di ambil tindakan yang sewajarnya jika ia berkait rapat dengan kajian penyelidikan yang hendak di jalankan.

3.5.2Temu bual dan soal selidikTemu bual dan soal selidik adalah aspek yang penting dalam kajian penyelidikan berbentuk kualitatif. Melalui perkara ini penyelidik mendapat gambaran yang sebenar tentang situasi dan dapat menjelaskan lagi perkara-perkara yang tidak dapat dilihat secara lahiriah . Dalam kajian ini gambaran mengenai belajar sambil bermain diperoleh daripada proses temu bual. Soalan temu bual dan soal selidik telah disediakan oleh pengkaji berdasarkan pengalaman mengajar, buku-buku rujukan dan rakan-rakan lain yang mengajar prasekolah.

3.6Analisis data

Maklumat dan data hasil temu bual guru dan pemerhatian pengajaran guru di dalam kelas di buat secara pemerhatian. Segala dapatan kajian di persembahkan dalam bentuk kualitatif. Data analisis diperoleh melalui temu bual dengan guru-guru prasekolah yang dijalankan semasa dan selepas kelas. Penyelidik menggunakan borang yang memerlukan guru-guru menjawab ya, tidak atau tidak pasti. Penganalisis data melalui temu bual dengan guru prasekolah bagi mengetahui tentang persediaan dan tahap pemahaman guru mengenai pendekatan belajar sambil bermain.

3.7Rumusan

Di dalam bab ini penyelidik membuat analisis tentang data-data yang telah dikumpul hasil daripada temu bual dengan guru-guru prasekolah. Data-data yang diperoleh dari Prasekolah Sekolah Kebangsaan Pelabuhan Klang dianalisis mengikut kategori, latar belakang kedua-dua kelas prasekolah, persepsi guru tentang kaedah bermain , teknik-teknik yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran di tadika. Masalah yang dihadapi guru untuk melaksanakan kaedah belajar sambil bermain dan mengenal pasti kesesuaian latihan yang diperoleh oleh guru-guru.

1