jurnal pengajian islam, akademi islam...
TRANSCRIPT
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 2:NOVEMBER 2015
191
PERBANDINGAN TEORI PENTERJEMAHAN ARAB-MELAYU
Muhammad Firdaus Bin Abdul Manaf1
Maheram Ahmad2
ABSTRAK
Proses terjemahan Arab-Melayu melibatkan beberapa
teori penterjemahan samada ia daripada kelompok teori
penterjemahan langsung atau teori penterjemahan tidak
langsung. Makalah ini memberikan tumpuan kepada
aspek perbandingan terhadap teori-teori tersebut.
Kajian ini dilakukan dengan menggunakan kaedah
'comparative' atau perbandingan antara beberapa teori
terjemahan yang terdapat dalam penterjemahan
langsung dengan penterjemahan tidak langsung.
Dapatan kajian membolehkan para pengkaji mengetahui
latar belakang setiap teori ini secara umum dan mampu
membuat perbandingan antara satu sama lain dalam
memilih kaedah terjemahan dan analisis kritikan yang
sesuai dengannya.
Kata Kunci: Perbandingan, Teori, Penterjemahan,
Bahasa Arab, Bahasa Melayu
PENDAHULUAN
Perkataan terjemah sebenarnya diambil daripada perkataan Arab iaitu
tarjamat (Mohd Bakri Aziz 2010: 37). Al-Fayruz Abadi (1997: 2/1428)
dalam Al-Qamus al-Muhit menerangkan bahawa perkataan ini diertikan
sebagai penerangan, pentafsiran dan penjelasan. Terjemahan dalam
1 Calon Ijazah Doktor Falsafah (P67040) dari Jabatan Pengajian Arab & Tamadun
Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pensyarah di Jabatan Pengajian
Bahasa & Linguistik Arab, Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa
Selangor (KUIS). (Email: [email protected]). 2 Pensyarah di Jabatan Pengajian Arab & Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
MUHAMMAD FIRDAUS BIN ABDUL MANAF, MAHERAM AHMAD
192
konteks ini bermaksud memindahkan pelbagai idea dan perkataan3
daripada satu bahasa ke bahasa yang lain, di samping memelihara
inspirasi teks yang diterjemahkan4 (Muhammad Bukhari Lubis,
Muhammad Fauzi Jumingan dan Khairunnawa Mohamad 1998: 6). J.C
Catford (1965: 20) mendefinisikan terjemahan sebagai satu proses
mencari kesepadanan kata antara bahasa sumber dengan bahasa sasaran.
Justeru, kerja-kerja menterjemah ini bukannya mudah, malah lebih
sukar daripada menulis. Ia dianggap sebagai satu kerja seni yang hanya
mampu dilakukan oleh mereka yang berbakat, berilmu dan
berkemahiran sahaja. Oleh itu, sebelum melakukan kerja-kerja
menterjemah, seseorang itu mestilah menguasai teori-teori
penterjemahan dan membandingkannya antara satu sama lain kerana ia
amat penting dalam menentukan kaedah penterjemahan yang sesuai
dengan jenis teks yang bakal diterjemahkan. Newmark (1992: 31)
menyebut bahawa teori ini seumpama kerangka, petunjuk serta
peraturan untuk menterjemah dan menilai sesuatu teks daripada satu
bahasa ke dalam bahasa yang lain. Muhammad Arsyad Abdul Majid
(2009: 71) dalam tesisnya yang berjudul Terjemahan Arab-Melayu dari
sudut makna pengkhususan menulis bahawa teori penterjemahan itu
secara umumnya terbahagi kepada dua bahagian iaitu teori
penterjemahan langsung (direct translation) dan teori penterjemahan
tidak langsung (indirect translation).
TEORI PENTERJEMAHAN LANGSUNG
Penterjemahan cara ini berasaskan teori penterjemahan yang setia
kepada teks sumbernya. Ia selari dengan idea bahawa penterjemahan
seharusnya menyampaikan maksud yang sama dengan teks yang asal.
Penterjemah harus bebas daripada konteks pendengar sasaran dan
mereka mesti bergantung pada konteks bahasa sumber. Ini dilakukan
dengan tujuan menjamin kesan teks bahasa sumber supaya tidak
terjejas. Kebiasaannya pendekatan ini banyak diaplikasikan dalam
penterjemahan wacana sastera, perundangan agama dan al-Quran
(Puteri Rosalina Abdul Wahid 2012: 46). Walau bagaimana pun, teori
3 Perkataan ialah unit tatabahasa yang terkecil dan bebas. Bentuk perkataan yang
mengambil imbuhan disebut perkataan dan terbitan, manakala yang tidak menerima
imbuhan disebut dasar. 4 Dyrden menyebut bahawa bidang terjemahan itu terdiri daripada tiga jenis iaitu
metafrasa, prafrasa dan tiruan. Metafrasa ialah terjemahan perkataan demi perkataan.
Prafrasa ialah terjemahan yang mengikut karya asal daripada segi makna. Tiruan pula
ialah penerjemahan yang mengambil sikap bebas daripada segi makna dan perkataan
(Ainon Muhammad 1991: 15).
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 2:NOVEMBER 2015
193
penterjemahan cara lama ini seringkali menyebabkan banyak kesilapan
pada terjemahan yang dihasilkan kerana penterjemah lebih banyak
menumpukan kepada bentuk teks asal. Salah faham terhadap teks
sumber juga berlaku kerana pendengar sasaran terpaksa membiasakan
diri dengan konteks bahasa sumber, walau pun sebahagian budaya teks
sumber tidak difahami dalam budaya teks sasaran (Abdullah Hassan
2000: 37). Pendekatan sebegini dibahagikan kepada beberapa kelompok
utama termasuklah semantik, formal, relevans, harfiah dan literal.
Semantik
Persamaan yang dicari oleh penterjemah konsep lama ini ialah
persamaan formal (bentuk), yakni mementingkan bahasa sumber serta
cuba sedaya-upaya mengekalkan bentuk bahasa itu serta isi
kandungannya yang terdiri daripada unit nahu, persamaan penggunaan
perkataan, makna yang terkandung seperti dalam teks asal, rima, rentak,
permainan bahasa dan struktur nahu yang luar biasa (Puteri Rosalina
Abdul Wahid 2012: 47). Justeru terjemahan sebegini dianggap lebih
rumit dan terperinci yang akhirnya akan menghasilkan terjemahan
berbentuk ganjil, lebih kompleks kerana penterjemah cuba menyalurkan
proses pemikiran yang terkandung dalam teks tanpa mengabaikan
maksud sebenar penulis asal (Nida 1981: 57).
Walau bagaimana pun, teori semantik ini menegaskan bahawa
makna perkataan yang mengungkapkan mesej sebenar teks asal lebih
penting daripada isi dan bentuk sesuatu teks. Kesimpulannya,
terjemahan semantik ialah penterjemahan lansung yang cuba
menghuraikan makna konteks yang ada dalam teks sumber setepat
mungkin dengan mengekalkan ‘unsur budayanya’, setakat yang
dibenarkan oleh isi dan bentuk bahasa sasaran (Newmark 1992: 71).
Justeru, penterjemahan ini seolah-olah memberi penekanan kepada
mesej sebenar teks asal dan mengetengahkan budaya konteksnya.
Sebagai contoh ayat berikut, ‘...Go on, little girl! No one’s going to eat
you unless you come back with the kimono still in your hands ...’
diterjemahkan sebagai ‘...Pergilah budak kecil! Tiada siapa akan makan
kau kecuali kau turun semula ke mari dengan kimono itu masih di
tanganmu ...’. Penterjemahan istilah kimono sebagai unsur budaya
pakaian tidak dilakukan dengan bentuk mentafsir, mengubah suai isi
dan makna teks asal, agar makna yang dimaksudkan oleh pengarang
asal tidak diselewengkan. Penekanan teori ini terhadap makna yang
terkandung dalam setiap perkataan dilihat amat sesuai untuk
digunapakai bagi wacana politik, teks keagamaan dan kitab suci seperti
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
MUHAMMAD FIRDAUS BIN ABDUL MANAF, MAHERAM AHMAD
194
al-Quran. Oleh itu, aliran ini paling banyak diaplikasikan dalam bidang
penterjemahan karya agung seperti teks sastera dan teks keagaaman
yang amat aktif pada kurun ke-15 hingga kurun ke-19 di barat (Puteri
Rosalina Abdul Wahid 2012: 48). Allah S.W.T berfirman dalam al-
Quran (12: 27):
Terjemahannya:
Jika baju gamisnya koyak dari belakang, maka wanita itulah yang dusta.
Penterjemahan ini masih mengekalkan perkataan ‘gamis’ iaitu pakaian
seperti jubah sedangkan pakaian tersebut bukan sebahagian adat budaya
pakaian orang-orang Melayu, tetapi masih dikekalkan agar makna
asalnya benar-benar difahami dengan jelas.
Formal
Aliran ini diperkenalkan oleh Nida dan ia merupakan salah satu bentuk
terjemahan langsung yang setia kepada teks sumber. Pendekatan teori
ini juga menumpukan kepada isi dan bentuk (formal) teks asal untuk
menghasilkan terjemahan yang berkualiti dalam bentuk struktur nahu
dan mesej teks asal.
Konsep formal ini seolah-olah sama dengan konsep yang ada
pada teori semantik. Melalui teori ini, penterjemah sedaya-upaya
mengekalkan unsur budaya bahasa asal. Penterjemahan menggunakan
teori ini menumpukan kepada ‘bentuk serta struktur wacana asal yang
terdiri daripada tanda bacaan, pemenggalan perenggan, koma dan
noktah’, walaupun terdapat sedikit kejanggalan terhadap pemahaman
atau pembacaan dalam bahasa sasaran (Nida & Taber 1974: 92).
Pendekatan ini bagaimana pun membenarkan penterjemah membuat
nota kaki sebagai keterangan tambahan bagi memudahkan pembaca
sasaran. Justeru, penterjemahan ini seolah-olah dilihat memberikan
penekanan kepada mesej sebenar teks asal dan unsur budaya serta
mengutamakan unsur nahunya. Dalam terjemahan kitab agama, kaedah
ini lebih senang diterapkan kerana kesetiaannya kepada teks sumber.
Contoh bacaan doa La Haula Wala Quwwata Illa Billah al-cAliyyi al-cAzim diterjemahkan dengan perkataan, ‘Tidak ada daya kekuatan
melainkan daya kekuatan Tuhan Yang Maha Tinggi dan Maha Besar’
(Puteri Rosalina Abdul Wahid 2012: 49). Allah S.W.T berfirman dalam
surah al-Fatihah (1: 1):
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 2:NOVEMBER 2015
195
Terjemahannya:
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Penterjemahan ini dilakukan dengan mengekalkan bentuk dan struktur
sintaksis bahasa asal. Perkataan ‘dengan’ masih digunakan untuk
terjemahan pada permulaan ayat ini walau pun ia dianggap sebagai satu
kesalahan daripada sudut tatabahasa Melayu kerana memulakan sesuatu
ayat dengan perkataan ini dianggap sebagai ayat yang tergantung.
Relevan
Teori ini merupakan cabang baharu dalam dunia terjemahan linguistik
yang diperkenalkan oleh Sperber serta Wilson dan dikembangkan oleh
Gutt. Pendekatan teori ini sebenarnya mengambil pendekatan teori
semantik dan komunikatif. Teori semantik adalah seperti perbahasan
sebelum ini, manakala komunikatif pula adalah hubungan komunikasi
yang difahami dan relevan antara penutur (penulis teks) dan pendengar.
Sebenarnya, teori relevan berasal daripada komunikasi ransangan yang
menuntut penutur untuk menghasilkan ransangan yang jelas dan nyata
agar pendengar dapat memahami maksud sebenar yang hendak
disampaikan oleh penutur tersebut. Penutur seharusnya mampu memilih
perkataan yang sesuai supaya dapat mengembangkannya dalam konteks
asal pendengar, di samping menitikberatkan maksud, budaya dan kesan
teks sumber (Nor Hashimah Jalaludin 1993: 1103). Justeru, bentuk
komunikasi antara penutur dan pendengar mestilah difahami dan benar-
benar relevan antara kedua-duanya. Sebagai contoh apabila seorang
rakyat bercakap dengan rajanya, dia akan membiasakan dirinya dengan
panggilan ‘patik’ atau ‘hamba’ dan bukan ‘aku’ atau ‘saya’. Begitu juga
apabila dia memanggil rajanya itu dengan panggilan ‘tuanku’ dan
bukannya ‘kau’ atau ‘awak’. Manakala raja pula akan membiasakan
dirinya dengan panggilan ‘beta’ dan bukannya ‘aku’ atau ‘saya’
sebagaimana kisah yang terdapat dalam al-Quran, iaitu surah Yusuf (12:
43), firman Allah S.W.T:
...
Terjemahannya:
Raja itu bertitah, ‘Sesungguhnya beta melihat tujuh ekor lembu ...’.
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
MUHAMMAD FIRDAUS BIN ABDUL MANAF, MAHERAM AHMAD
196
Harfiyyah
Istilah ini telah diperkenalkan sejak abad pertama sebelum masihi oleh
sarjana Roman, iaitu Cicero dan Horace. Aliran ini difahami dengan
melakukan penterjemahan terhadap teks sumber satu demi satu tanpa
ada satu kata pun tertinggal dengan setepat mungkin berdasarkan makna
sebenar teks. Proses ini dilakukan dengan mencari padanan kata teks
asal yang sehampir mungkin dengan kata dalam bahasa sasaran dan
memastikan bahasanya juga tidak terasa janggal. Konsep terjemahan ini
dilihat seakan-akan sama dengan konsep terjemahan literal. Namun
setelah penelitian dilakukan jelas menunjukkan bahawa aliran ini lebih
setia dengan teks berbanding aliran literal kerana pemadanan
terjemahan satu lawan satu dalam teks sumber terhadap teks sasaran
tanpa mengira perbezaan kedua-dua bentuk. Sedangkan penterjemahan
literal dilakukan dengan pemadanan teks asal sehampir mungkin
dengan kata dalam bahasa sasaran. Penterjemah melalui konsep ini akan
mematuhi susunan kata dalam bahasa sumber agar sama dengan
susunan kata dalam bahasa sasaran (Puteri Rosalina Abdul Wahid 2012:
52). Catford (1965: 37) menyatakan bahawa perkataan ‘harfiah’
berdasarkan ilmu linguistik disebut sebagai ‘terjemahan struktur nahu’
kerana penterjemahan yang dilakukan lebih memberikan penumpuan
kepada padanan sistem nahu daripada bahasa sumber kepada bahasa
sasaran. Justeru, kesetiaan penterjemah keseluruhannya akan tertumpu
kepada peraturan bahasa sumber, sedangkan padanan konteks antara
kedua-duanya jarang diberikan perhatian. Contoh penterjemahan
harfiah dalam al-Quran yang mengekalkan terjemahannya satu lawan
satu atau kata demi kata seperti firman Allah S.W.T dalam surah al-
Ikhlas (112: 1):
Terjemahannya:
Katakanlah, Dialah Allah yang Maha Esa.
Literal
Nida menyebut terjemahan ini sebagai terjemahan formal. Manakala
Vinay dan Darbelnet memanggilnya sebagai terjemahan langsung (Nida
& Taber 1974: 92). Ada sebahagian penterjemah cuba menyamakannya
sebagai terjemahan harfiah (Puteri Rosalina Abdul Wahid 2012: 54).
Hakikatnya, aliran ini merupakan sebahagian daripada terjemahan
langsung yang mempunyai konsep yang berbeza dengan terjemahan
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 2:NOVEMBER 2015
197
formal dan terjemahan harfiah. Literal merupakan satu aliran
terjemahan yang kontroversial dalam kalangan sarjana bidang
terjemahan sejak dahulu lagi (Muhammad Fauzi Jumingan 2001: 61).
Umumnya, penterjemahan ini lebih setia kepada teks sumber yang
menumpukan kepada salah satu struktur atau bentuk nahu bahasa teks
asal dan pada masa yang sama menjaga kegramatisan nahu bahasa
sasaran. Ini yang membezakannya dengan terjemahan harfiah kerana
konsep yang dibawa oleh harfiah ini hanya menumpukan kepada nahu
bahasa sumber semata-mata. Kesetiaan pendekatan literal ini lebih
kepada unsur nahu dan bukannya unsur budaya. Ciri ini pula yang
membezakannya dengan terjemahan formal yang mengambil kira
konteks dan budaya bahasa asal. Oleh sebab penterjemahan literal ini
memfokuskan kepada bentuk bahasa, kebarangkalian mesej makna
dalam bahasa asal itu kurang difahami. Ini kerana penterjemahan yang
difahami bukannya hanya sekadar lahir daripada bentuk bahasa, bahkan
hubungkaitnya dengan frasa, pengaruh penutur sasaran, budaya dan
konteks yang pelbagai (Puteri Rosalina Abdul Wahid 2012: 53). Contoh
penterjemahan yang menggunakan konsep ini sebagaimana firman
Allah S.W.T dalam surah kedua iaitu al-Baqarah (2: 2):
Terjemahannya:
Kitab ini (al-Quran) tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka
yang bertaqwa.
Berikut merupakan kesimpulan perbandingan antara kelompok pecahan
bagi teori penterjemahan langsung yang dikemukakan sebelum ini:
Jadual 1 Kesimpulan Perbandingan Jenis Penterjemahan
Langsung
Bil Jenis Kesimpulan
1 Semantik Menghuraikan mesej sebenar teks asal dengan
mengekalkan unsur budayanya, setakat yang
dibenarkan oleh isi dan bentuk bahasa sasaran.
2 Formal Memberikan penekanan kepada mesej sebenar teks
asal dan unsur budaya serta mengutamakan unsur
nahunya. Adakalanya nota kaki dibuat sebagai
keterangan tambahan bagi memudahkan pembaca
sasaran.
3 Relevan Mengambil pendekatan teori semantik serta
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
MUHAMMAD FIRDAUS BIN ABDUL MANAF, MAHERAM AHMAD
198
komunikatif yang merujuk kepada penterjemahan
yang mesti difahami dan benar-benar relevan
difahami antara penulis bahasa sumber dan pembaca
bahasa sasaran.
4 Harfiah Penterjemahan satu demi satu dengan setepat
mungkin tanpa ada satu pun yang tertinggal dan
penumpuan diberikan kepada unsur nahu bahasa
sumber, sedangkan padanan konteks antara kedua-
duanya jarang diberikan perhatian.
5 Literal
Menumpukan kepada salah satu struktur atau bentuk
nahu bahasa sumber dan pada masa yang sama
menjaga kegramatisan nahu bahasa sasaran.
Kesetiaan pendekatan literal ini lebih kepada unsur
nahu dan bukannya unsur budaya.
TEORI PENTERJEMAHAN TIDAK LANGSUNG
Jika penterjemahan langsung memberikan tumpuan kepada teks bahasa
sumber, penterjemahan tidak langsung pula memberikan perhatian
kepada teks bahasa sasaran. Menurut teori ini, penekanan terhadap
keselesaan pembaca dalam memahami sesebuah karya terjemahan amat
dititikberatkan. Penterjemahan cara ini tidak setia kepada bahasa
sumber sepenuhnya daripada aspek susunan bentuk asalnya, walau pun
isi kandungannya dikekalkan. Ini kerana penterjemah adakalanya
mentafsir bagi pihak pembaca serta ‘membina semula’ susunan kata
baharu yang sejadi dengan budaya, bentuk dan kaedah bahasa sasaran.
Sebagai contoh perkataan putih seperti ‘salji’ diterjemahkan dengan
perkataan putih seperti ‘salju’ atau ‘kapas’ kerana mungkin budaya
bahasa sasaran tersebut tidak mempunyai salji. Teori sebegini sesuai
dengan karya ilmiah, akhbar dan bacaan umum. Namun secara
kebiasaannya, pendekatan ini tidak sesuai untuk terjemahan al-Quran
kerana dikhuatiri isi, konteks dan kesan teks bahasa al-Quran ini akan
terjejas kerana terpaksa disejadikan dalam budaya konteks bahasa
sasaran (Puteri Rosalina Abdul Wahid 2012: 54). Walau bagaimanapun,
sebahagiannya daripada pecahan teori ini masih boleh diterapkan pada
sebahagian terjemahan al-Quran, mengikut kesesuaian antara kedua-dua
budaya serta bahasa asal dan penerima. Terdapat beberapa pembahagian
teori penterjemahan tidak langsung ini antaranya ialah komunikatif,
dinamik, bebas dan idiomatik.
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 2:NOVEMBER 2015
199
Komunikatif
Peter Newmark memperkenalkan teori ini dalam bukunya yang berjudul
Approaches to Translation (1981). Teori ini bermaksud menghasilkan
terjemahan yang mempunyai kesan atau reaksi sebaik mungkin kepada
pembacanya sepertimana yang dirasai oleh pembaca teks asal.
‘Semangat’ lebih diutamakan daripada isi, pesan atau mesej bahasa
sumber sebagaimana perkataan ‘Let’s all play’ sepatutnya
diterjemahkan sebagai ‘Ayuh! Mari kita bermain’ dan bukannya ‘Mari
semua bermain’. Sebagai contoh perkataan Arab pula seperti:
حي على الصالةTerjemahannya ialah, 'Ayuh! Tunaikan solat'.
Newmark (1981: 121) menyebut bahawa setiap penterjemah
mempunyai hak untuk menulis dengan gaya bahasanya sendiri dalam
bentuk yang lebih baik dan 'bersemangat' supaya pembacaannya lancar
tanpa kesamaran semasa membaca teks terjemahan. Penterjemahan ini
akan dilakukan dengan memindahkan sebanyak mungkin unsur asing ke
dalam budaya dan bahasa pembaca sasaran, di samping menghormati
bentuk teks dalam bahasa sumber. Menurut Muhammad Fauzi
Jumingan (2001: 53), teori ini popular dalam kalangan penterjemah
komersial yang melibatkan terjemahan berbentuk karya kreatif (bukan
sastera) seperti rencana, akhbar, buku teks, penulisan awam, brosur dan
maklumat promosi barang. Namun, Newmark (1981: 43) tidak
menggalakkan kaedah ini digunapakai dalam penterjemahan teks suci
kerana khuatir beberapa unsur yang sukar diterjemahkan seperti unsur
budaya dan adat resam bahasa sumber akan dibuang. Ini kerana salah
satu pendekatan komunikatif ialah proses pengadaptasian budaya
sumber kepada budaya sasaran sehampir mungkin, walau pun kadang-
kadang nilai budaya dalam bahasa asal itu diketepikan (Hervey dan
Higgins 1992: 72).
Dinamik
Nida (1964: 71) memperkenalkan istilah ini ketika menterjemahkan
kitab Injil. Penterjemahan ini dilakukan dengan menekankan makna
mesej teks asal yang hendak disampaikan dan kesan pembacaan,
bersesuaian dengan konteks budaya penerima iaitu bahasa sasaran.
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
MUHAMMAD FIRDAUS BIN ABDUL MANAF, MAHERAM AHMAD
200
Proses ini mestilah bersifat natural serta tidak berbau unsur terjemahan
yang melalui tiga peringkat termasuklah proses analisis, pemindahan
mesej dan menstruktur semula sintaksis bahasa sasaran.
Rajah 1 Peringkat Penterjemahan Konsep Dinamik
Konsep ini memberikan perhatian kepada penterjemahan jumlah
maklumat atau idea yang perlu sama antara bahasa asal serta penerima
dan bukannya semata-mata kepada jumlah perkataan. Sebagai contoh
perkataan:
لوالادينا إاحسان وباTerjemahannya: Berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa.
Firman di atas diturunkan adalah bertujuan sebagai perintah
untuk melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa. Ia tidak
diterjemahkan dengan perkataan, '... dan dengan kedua ibapalah,
berbuat kebaikan' kerana maksud berdasarkan terjemahan sebegini
masih belum difahami. Namun ia diterjemahkan dengan perkataan, '...
berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa', agar kesan terjemahan dapat
dirasai mengikut konteks bahasa sumber itu sendiri.
Contoh perkataan lain yang terdapat pada sebahagian tempat
letak kereta yang tertera ‘Keep Clear’ bukanlah diterjemahkan sebagai
‘simpan kosong’, tetapi memadai sahaja diterjemahkan sebagai
'Kosongkan'. Newmark (1981: 127) menyebut bahawa kaedah ini ada
masanya berkemungkinan akan menghasilkan terjemahan bersifat
tafsiran yang besar sekali. Menurut Nida, pendekatan ini sesuai
diterapkan dalam penterjemahan Injil serta teks kreatif lain seperti
cerpen dan novel (Nida 1964: 79). Puteri Rosalina Abdul Wahid (2012:
59) dalam bukunya ‘Meneroka Penterjemahan Bahasa Melayu’
Bahasa sumber Bahasa sasaran
Analisis Struktur semula sintaksis
Pemindahan mesej
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 2:NOVEMBER 2015
201
menyebut bahawa terdapat empat prinsip bagi terjemahan dinamik ini,
antaranya ialah:
i. Keselarasan konteks pembaca sasaran lebih diutamakan
daripada keselarasan perkataan demi perkataan dikemukakan.
Dua perkataan yang sama mungkin berlainan ertinya dalam
konteks tertentu. Terjemahan mestilah menepati konteks.
ii. Pembaca teks asal dan pembaca teks terjemahan mestilah
mengalami kefahaman, perasaan dan tindakan yang sama.
iii. Bentuk-bentuk bahasa yang didengari hendaklah diutamakan
lebih dahulu daripada bentuk bertulis.
iv. Keperluan pembaca sasaran hendaklah lebih diutamakan
daripada bentuk bahasa asal. Ini akan membantu menyelesaikan
masalah yang dihadapi oleh pembaca teks terjemahan.
Oleh kerana konsep dinamik ini termasuk dalam penterjemahan
tidak langsung yang lebih menumpukan kepada budaya serta bahasa
sasaran, penterjemahan cara ini kurang sesuai diterapkan dalam
penterjemahan al-Quran kerana ia menekankan kepada makna mesej
semata-mata serta mengabaikan bentuk teks asal, selain dikhuatiri nilai
asli yang terdapat di dalamnya tidak akan dapat diterjemahkan dengan
baik kerana kekangan budaya dan bahasa penerima. Namun pada
sebahagian ayat al-Quran, teori sebegini masih relevan digunakan
kerana ia menekankan kepada konsep penterjemahan makna dan kesan
yang dapat dirasai oleh pembaca sasaran sama seperti pembaca teks
asal.
Bebas
Aliran ini juga dikenali sebagai sense of sense translation, iaitu
terjemahan secara makrifat (Puteri Rosalina Abdul Wahid 2012: 59)
yang berlawanan dengan terjemahan literal dan harfiah. Konsep ini
dilaksanakan dengan mengambil isi serta maklumat penting sahaja
dalam teks sumber tetapi mengubah, mengadaptasi, membuang dan
membetulkan segala bentuk struktur nahu teks asal. Hal ini dilakukan
agar terjemahan teks tersebut kelihatan bersahaja, sejadi dan
memudahkan pembaca kedua. Sebagai contoh perkataan Arab seperti:
حي على الصالةTerjemahannya ialah, 'Jom solat!'.
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
MUHAMMAD FIRDAUS BIN ABDUL MANAF, MAHERAM AHMAD
202
Penterjemahan al-Quran melalui konsep ini tidak sesuai
dipraktikkan kerana bentuk asal bahasanya kurang ditumpukan dan
banyak proses adaptasi ke dalam bahasa sasaran akan mencacatkan nilai
bahasa al-Quran itu sendiri. Hal ini ditambah lagi dengan terdapat
segelintir penterjemah gaya ini yang terlalu bebas menterjemah
sehingga menyimpang jauh daripada tugas sebenar penterjemah.
Idiomatik
Beekman dan Callow (1974: 11) memperkenalkan istilah ini dalam
menterjemahkan kitab Injil. Idiomatik berasal daripada perkataan idiom
yang membawa maksud bentuk ungkapan unik yang terdapat dalam
sesuatu bahasa. Justeru, istilah ini merujuk kepada penterjemahan
makna teks asal yang mengandungi ungkapan-ungkapan tersebut
dengan menggunakan acuan bahasa teks sasaran semurni mungkin
sebagaimana perkataan ‘He put up his behaviour’ diterjemahkan
sebagai ‘Dia menahan perasaan bencinya terhadap kelakuannya itu’.
Menurut Nida (1964: 81), konsep ini amat sinonim dengan konsep
penterjemahan dinamik. Contoh perkataan Arab ialah:
ليالا المولادا راحتا األطيار تشدو فاTerjemahannya, 'Burung-burung itu riang berkicauan pada malam
kelahirannya'.
Berikut merupakan kesimpulan perbandingan antara kelompok
pecahan bagi teori penterjemahan tidak langsung yang dikemukakan
sebelum ini:
Jadual 2 Kesimpulan Perbandingan Jenis Penterjemahan Tidak
Langsung
Bil Jenis Kesimpulan
1 Komunikatif Menumpukan kepada kesan, reaksi dan
semangat sebaik mungkin kepada
pembacanya sepertimana yang dirasai oleh
pembaca teks asal.
2 Dinamik Menekankan makna mesej teks asal yang
hendak disampaikan dan kesan pembacaan,
bersesuaian dengan konteks budaya penerima
iaitu bahasa sasaran.
3 Bebas Mengambil isi serta maklumat penting sahaja
dalam teks sumber tetapi mengubah,
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 2:NOVEMBER 2015
203
mengadaptasi, membuang dan membetulkan
segala bentuk struktur nahu teks asal. Ini
dilakukan agar terjemahan teks tersebut
kelihatan bersahaja, sejadi dan memudahkan
pembaca kedua.
4 Idiomatik Menterjemah makna teks asal yang
mengandungi ungkapan-ungkapan unik
(idiom) dengan menggunakan acuan bahasa
teks sasaran semurni mungkin.
Jadual di bawah pula akan menerangkan secara ringkas
perbezaan ciri-ciri setiap pecahan yang terdapat sama ada dalam
penterjemahan langsung dan penterjemahan tidak langsung, seperti
berikut:
Jadual 3 Perbandingan ringkas ciri-ciri setiap pecahan dalam
penterjemahan langsung dan penterjemahan tidak langsung
Pecahan Tumpuan
Bahasa
Jenis Tumpuan Utama
Penterjemahan
Langsung
Bahasa
Asal
Semantik 1. Menghuraikan mesej
sebenar teks asal.
2. Mengekalkan unsur
budaya.
Formal 1. Menghuraikan mesej
sebenar teks asal.
2. Mengekalkan unsur
budaya.
3. Mengutamakan unsur
nahu.
Relevan
(gabungan antara teori
semantik dan
komunikatif):
1. Menghuraikan mesej
sebenar teks asal.
2. Mengekalkan unsur
budaya.
3. Menumpukan kepada
kesan, reaksi dan
semangat.
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
MUHAMMAD FIRDAUS BIN ABDUL MANAF, MAHERAM AHMAD
204
Harfiah 1. Penterjemahan satu
demi satu.
2. Mengutamakan unsur
nahu.
3. Padanan konteks antara
kedua-dua bahasa
jarang diberikan
perhatian.
Literal 1. Mengutamakan salah
satu bentuk struktur
nahu.
2. Menjaga gramatis nahu
bahasa sasaran.
3. Kesetiaan kepada unsur
nahu dan bukannya
budaya.
Penterjemahan
Tidak
langsung
Bahasa
Sasaran
Komunikatif 1. Menghasilkan
terjemahan yang
mempunyai kesan,
reaksi dan semangat
sebaik mungkin kepada
pembacanya
sepertimana yang
dirasai oleh pembaca
teks asal.
Dinamik 1. Menekankan makna
mesej teks asal yang
hendak disampaikan.
2. Menumpukan kepada
kesan pembacaan,
bersesuaian dengan
konteks budaya
penerima.
Bebas 1. Mengubah,
mengadaptasi,
membuang dan
membetulkan segala
bentuk struktur nahu
teks asal untuk
menjadikan teks
sasaran kelihatan
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 2:NOVEMBER 2015
205
bersahaja.
Idiomatik 1. Menumpukan
penterjemahan kepada
ungkapan-ungkapan
yang unik (idiom)
dengan menggunakan
acuan bahasa teks
sasaran semurni
mungkin.
KESIMPULAN
Penterjemahan merupakan satu proses kreatif yang melibatkan
pemindahan makna dan gaya yang terdapat dalam teks sumber ke dalam
bahasa sasaran dengan menggunakan padanan yang paling sejadi
(Maheram Ahmad 2008: 112). Proses ini bukannya mudah, malah lebih
sukar daripada menulis kerana ia dianggap sebagai satu kerja seni yang
hanya mampu dilakukan oleh mereka yang berbakat, berilmu dan
berkemahiran sahaja (Abdul Hadi Abdullah 1998: 13-45). Justeru,
sebelum memulakan proses penterjemahan, teori kepada amali ini perlu
dikuasai kerana ia boleh dianggap sebagai penyelamat kepada masalah-
masalah yang timbul ketika proses ini dilakukan (Nabbahan 1999: 17).
Newmark (1992: 31) menyebut bahawa teori ini seumpama
kerangka, petunjuk serta peraturan untuk menterjemah dan menilai
sesuatu teks daripada satu bahasa ke dalam bahasa yang lain. Teori
yang berbeza akan memberikan kaedah penterjemahan yang berlainan
dengan teori yang tidak sama dengannya. Oleh itu, memahami
perbandingan teori penterjemahan ini akan memberikan pencerahan
dalam memilih teori yang terbaik untuk menentukan kaedah dan
analisis kritikan dalam bidang ini.
RUJUKAN
Abd Aziz Abdul Talib. 1996. Menguji Kemahiran Bahasa: Prinsip,
Teknik dan Contoh. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Abd Basir Awang. 2002. Ketidakbolehterjemahan Katawi Dari Bahasa
Arab ke Bahasa Melayu. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Disertasi Sarjana.
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
MUHAMMAD FIRDAUS BIN ABDUL MANAF, MAHERAM AHMAD
206
Abdullah Hassan. 1980. Linguistik Am untuk Guru Bahasa Malaysia.
Penerbit Fajar Bakti, Petaling Jaya.
Abdullah Hassan. 1983. Rencana Linguistik. Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur.
Abdullah Hassan. 1987. Nota Ringkas Terjemahan. Penerbit Fajar
Bakti, Kuala Lumpur.
Abdullah Hassan. 2006. Morfologi. PTS Professional, Batu Caves
Kuala Lumpur.
Abdullah Hassan. 2006. Morfologi:Siri Pengajaran dan Pembelajaran
Bahasa Melayu. Penerbit Fajar Bakti, Petaling Jaya.
Abdullah Hassan. 2008. Tatabahasa Pedagogi untuk Sekolah
Menengah. PTS Professional Publishing Sdn.Bhd, Kuala
Lumpur.
Ahmad Zaki Ibrahim dan Norhayati Hamzah. 2007. Soroton Gerakan
Penterjemahan dan Penerbitan Buku-buku dalam Dawlah
Abbasiyyah di Baghdad. Journal of al-Tamaddun. Kuala
Lumpur.
Ainon Muhammad. 1991. Panduan Menterjemah. Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur.
Ainon Muhammad. 1980. Pengantar Terjemahan. Penerbitan Adabi,
Kuala Lumpur.
Ali Mahmood. 2007. Modul Pembelajaran Morfo Sintaksis Bahasa
Melayu. Open University Malaysia, Kuala Lumpur.
Ali Mahmood. 2010. Modul Morfologi dan Sintaksis Bahasa Melayu.
Open University Malaysia, Kuala Lumpur.
Arrowsmith, W & R Shattuck.1961. The Art and Craft of Translation.
The University of Texas Press, Texas.
Antone al-Dahdah. 1999. Al-Mucjam al-Wasid fi Tasrif al-Afal.
Maktabah Lubnan, Lubnan.
cArif Karkhi Abu Khudayri. 1993. Prosiding Persidangan
Penerjemahan Antarabangsa ke-4; Persatuan Penerjemah
Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 2:NOVEMBER 2015
207
cArif Karkhi Abu Khudayri. 1994. Talim al-Lughah al-cArabiyyah li
Ghair al-cArab: Dirasat fi al-Manhaj wa Turuq al-Tadris. Dar
al-Thaqafah li al-Nashr wa al-Tawzic, Misr.
Asmah Omar. 1979. Aspek Penterjemahan dan Interpretasi. Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Asmah Omar. 1993. Nahu Melayu Mutakhir. Dewan Bahasa & Pustaka,
Kuala Lumpur.
Bell, Roger T. 1991. Translation dan Translating. London: Longman.
Brislin. R.W. 1979. Translation: Application and Research. Gardner
Press, New York.
Catford, J.C. 1965. A Linguistic Theory of Translation. Oxford
University, London.
Al-Dahdah, Abu Faris. 2004. Sharh Alfiyyah Ibn Malik. Maktabah al-
Aybakan, Riyadh.
Al-Fayruz, Abadi, Majd al-Din Muhammad bin Yacqub. 1997. Al-
Qamus al-Muhit. Taqdim: Muhammad cAbd al-Rahman al-
Marashli. Jil. 2. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-cArabi wa
Muassasat al-Tarikh al-cArabi.
Frederick J. Newmeyer. 1996. Teori Tatabahasa Keterbatasan dan
Kemungkinannya (Terjemahan). Dewan Bahasa & Pustaka,
Kuala Lumpur.
Al-Hamlawi, Ahmad. 2003. Shaza al-cArf. Dar al-Fikr, Misr.
Al-Haud, Ahmad. 2007. Qadiyyah al-Icrab. Damascus, Syria.
Hashim Musa. 1993. Binaan dan Fungsi Perkataan dalam Bahasa
Melayu. Dewan Bahasa & Pustaka Kuala Lumpur.
Ibn Hisham, Abu Muhammad cAbdullah Jamaluddin Yusuf. 1987.
Mughni al-Labib. Maktabah Asriyyah, Beirut, Lubnan.
Ibn Jinnī, Abu al-Fath cUthmān. 1313 H/1965 M. Al-Munsif li Kitāb al-
Tasrīf. Mesir: Maktabat wa Matbacat Mustafā al-Bābī al-Halabī.
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
MUHAMMAD FIRDAUS BIN ABDUL MANAF, MAHERAM AHMAD
208
Ibn Jinni, Abu al-Fath Uthman. 1903. Al-Khasa’is. Dar Kutub al-
Misriyyah, Misr.
Kamus Besar Arab-Melayu. 2006. Dewan Bahasa & Pustaka Kuala
Lumpur.
Kamus al-Miftah. 2008. Al-Azhar Media, Negeri Sembilan.
Khalusi, Safa. 1982. Fann al-Tarjamat. Baghdad: Dar al-Hurriyat Li al-
Tibacat.
Khalusi, Safa. 2000. Fann al-Tarjamat. Cetakan kedua. Kaherah
Liaw Fock Fang dan Abdullah Hassan. 1994. Nahu Melayu Moden.
Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
Maheram Ahmad. 2008. Permasalahan Penterjemahan Arab-Melayu:
Satu Analisis Teks Sastera. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tesis Doktor Falsafah.
Mohamad Syukri Abdul Rahman & Adnan Mat Ali. 2012. Minat dan
Persepsi Pelajar Terhadap Program Sarjana Muda Bahasa
Arab (Terjemahan) (Kepujian); Prosiding Nadwah Bahasa dan
Kesusasteraan Arab Ketiga. Penerbit Universiti Putra Malaysia,
Serdang, Selangor.
Mohd Bakri Aziz @ Saari. 2010. Ketepatan Padanan Terjemahan Puisi
Arab Dalam Kitab La Tahzan: Satu Analisis Bandingan.
Universiti Kebangsaan Malaysia. Disertasi Sarjana.
Mohd Haris Sulaiman. 2011. Penguasaan Kemahiran Perterjemahan
Perkataan Arab Berimbuhan di Kalangan Pelajar IPTA.
Universiti Malaya. Tesis Sarjana
Mohd. Hilmi b. Abdullah. 2008. Teori & Kaedah Penterjemahan Arab-
Melayu. Kelantan: Pustaka HILMI.
Mohd. Rosdi Ismail. 2003. Bahasa Arab Mikro; Binaan Kata & Fungsi
Makna. Percetakan Darul Naim, Kelantan.
Mokhtar Ahmad. 1986. Penerjemah Seperti Tukang Perabot. Pelita
Bahasa, Kuala Lumpur.
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 2:NOVEMBER 2015
209
Muhammad Bukhari Lubis, Muhammad Fauzi Jumingan dan
Khairunnawa Mohamed. 1998. Penerjemahan Arab Melayu
Arab Peraturan & Dasar. Penerbit Universiti Putra Malaysia,
Serdang Selangor.
Muhammad Bukhari Lubis. 1993. Kursus Penerjemahan Arab-Melayu;
Seminar Terjemahan Arab-Melayu. Universiti Kebangsaan
Malaysia, Bangi, Selangor.
Muhammad Fauzi Jumingan. 2012. Penterjemahan ialah Satu
Perniagaan; Prosiding Nadwah Bahasa dan Kesusasteraan Arab
Ketiga. Penerbit Universiti Putra Malaysia.
Al-Mucjam al-Asasi. 1997. Al-Munazzamah al-cArabiyyah li al-
Tarbiyyah wa al-Thaqafah wa al-cUlum, Beirut, Lubnan.
Mucjam al-Mustalahat al-cArabiyyat fi al-Lughat wa al-Adab. 1984.
Beirut: Maktabat Lubnan.
Mujahid, Abd Karim. 1991. cIlm al-Lisan al-cArabi. Amman: Dar al-
Quds.
Al-Munjid fi al-Lughah wa cAlam. 2002. Dar al-Mashriq Publisher,
Beirut, Lubnan.
Nabbahan, M. Rudolf. 1999. Teori menterjemah bahasa Inggeris.
Yogjakarta: Pustaka Pelajar.
Nida, E.A. 1964. Toward A Science of Translation. Leiden: E.J. Bril.
Nida, E.A. & C.R. Taber. 1974. The Theory and Practice of
Translation. Leidin: E.J. Brill, Leidin.
Nida, E.A. 1975. Compenential Analysis of Meaning.The Hague.
Mouton.
Nida & Taber. 1982. The Theory and Practice of Translation. Leidin:
E.J. Brill, Leidin.
Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Musa dan Abdul Hamid
Mahmood. 2008. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga; Entri ‘ia’.
Dewan Bahasa & Pustaka. Kuala Lumpur.
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
MUHAMMAD FIRDAUS BIN ABDUL MANAF, MAHERAM AHMAD
210
Nik Safiah Karim. 1996. Tatabahasa Dewan. Dewan Bahasa &
Pustaka. Kuala Lumpur.
Peter Newmark. 1994. Pendekatan Penterjemahan (Terjemahan).
Dewan Bahasa & Pustaka Kuala Lumpur.
Puteri Rosalina Abdul Wahid. 2012. Meneroka Penterjemahan Bahasa
Melayu. Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Soheir Abd Moneim Sery. 1993. Terjemahan dan Kemajuan; Kertas
kerja Diskusi Ilmiah Pengajian Islam UKM.
Steiner. 1976. After Babel: Aspect of Language and Translation.
Oxford University Press, London.
Syed Ali. 1990. Arabic For Beginners. Golden Book Centre Sdn. Bhd.,
Kuala Lumpur.
Taufiq cUmar. 1999. Kaifa Natacallam al-Icrab. Dar al-Fikr, Beirut,
Lubnan.
Van Slyle, G. Guinet, J.F., Seitz, F. & Benejam, R. 1983. Better
Translation for Better Communication. Pergamon Press,
London.