PSZ 19:16 (Pind. 1/07)
DECLARATION OF THESIS / UNDERGRADUATE PROJECT PAPER AND COPYRIGHT
Author’s full name : SANITAH BINTI MOHD. YUSOF___________________ Date of birth : 28 APRIL 1969___________________________ Title : PELAKSANAAN PENGANTARABANGSAAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI AWAM DI MALAYSIA Academic Session : 2011/2012 I declare that this thesis is classified as : I acknowledged that Universiti Teknologi Malaysia reserves the right as follows:
1. The thesis is the property of Universiti Teknologi Malaysia. 2. The Library of Universiti Teknologi Malaysia has the right to make copies for the purpose
of research only. 3. The Library has the right to make copies of the thesis for academic exchange.
Certified by : SIGNATURE SIGNATURE OF SUPERVISOR 690428-01-6048 PROFESOR DR. ZAITUN BTE HAJI SIDIN (NEW IC NO. /PASSPORT NO.) NAME OF SUPERVISOR
Date : 22 JUN 2012 Date : 22 JUN 2012
NOTES : * If the thesis is CONFIDENTAL or RESTRICTED, please attach with the letter from the organization with period and reasons for confidentiality or restriction.
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA
√
CONFIDENTIAL (Contains confidential information under the Official Secret
RESTRICTED (Contains restricted information as specified by the organization where research was done)*
OPEN ACCESS I agree that my thesis to be published as online open access (full text)
“Saya akui bahawa saya telah membaca karya ini dan pada pandangan saya karya ini
adalah memadai dari segi skop dan kualiti untuk tujuan penganugerahan ijazah
Doktor Falsafah Pendidikan (Kurikulum dan Pengajaran)”
Signature :………………………………………………………………
Name of Supervisor : PROFESOR DR. ZAITUN BTE HJ. SIDIN
Date : 22 JUN , 2012
BAHAGIAN A – Pengesahan Kerjasama*
Adalah disahkan bahawa projek penyelidikan tesis ini telah dilaksanakan melalui
kerjasama antara _______________________ dengan _______________________
Disahkan oleh:
Tandatangan : Tarikh :
Nama :
Jawatan :
(Cop rasmi)
* Jika penyediaan tesis/projek melibatkan kerjasama.
BAHAGIAN B – Untuk Kegunaan Pejabat Sekolah Pengajian Siswazah
Tesis ini telah diperiksa dan diakui oleh:
Nama dan Alamat Pemeriksa Luar :
Prof. Dr. Sufean bin Hussin
Department of Educational Management,
Planning and Policy, Faculty of Education,
Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur
Nama dan Alamat Pemeriksa Dalam :
Prof. Dr. Mohd. Najib bin Abdul Ghaffar
Jabatan Asas Pendidikan, Fakulti Pendidikan,
UTM, Skudai
Nama Penyelia lain (jika ada) :
Prof. Madya. Dr. Abdul Rahim bin Hamdan
Jabatan Asas Pendidikan, Fakulti Pendidikan,
UTM, Skudai
Disahkan oleh Timbalan Pendaftar di Sekolah Pengajian Siswazah:
Tandatangan : Tarikh :
Nama : ZAINUL RASHID BIN ABU BAKAR
PELAKSANAAN PENGANTARABANGSAAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI AWAM DI MALAYSIA
SANITAH BTE MOHD. YUSOF
Tesis ini dikemukakan
sebagai memenuhi syarat penganugerahan ijazah
Doktor Falsafah (Kurikulum dan Pengajaran)
Fakulti Pendidikan
Universiti Teknologi Malaysia
JUN 2012
ii
Saya akui bahawa tesis berjudul “Pelaksanaan Pengantarabangsaan Institusi
Pengajian Tinggi Awam di Malaysia“ adalah hasil kerja saya sendiri kecuali nukilan
dan ringkasan yang tiap-tiap satunya telah saya jelaskan sumbernya. Tesis ini juga
tidak pernah dikemukakan untuk penganugerahan sebarang ijazah lain.
Signiture : ______________________________________
Name : SANITAH BTE MOHD. YUSOF
Date : JUN 2012
iii
DEDIKASI
Tesis ini ditujukan khas kepada:
Suami,
Abd. Rahim bin Ab. Rahman yang selalu memberi semangat
anak-anak,
Abdul Azim & Sarah Nabihah semoga tesis ini menjadi inspirasi untuk menjadi insan berjaya
emak,
Habsah bte. Mohd Ali dan nenek,
Bedah bte. Betah yang tidak putus-putus mendoakan kejayaanku….
serta
anak-anak saudara, Farah Asila, Fahda Mellisa, Muhammad Iftita Ifdin
Zulhelmi, Izyan, Danish, Adibah dan Awin.
iv
PENGHARGAAN
Alhamdulillah, dengan rasa rendah diri, penulis bersyukur kepada Allah s.w.t
kerana tanpa keizinan dan keredhaanNya penulis tidak mampu menyiapkan tesis ini.
Penulis merakamkan jutaan penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih
kepada penyelia tesis, Prof. Dr. Zaitun bte Hj. Sidin atas bimbingan dan dorongan
yang diberi sepanjang tempoh penyelidikan tesis ini. Segala bimbingan dan
dorongan beliau akan saya hargai selama-lamanya.
Terima kasih juga diucapkan kepada semua pentadbir di enam buah IPTA
yang telah sudi menjadi responden bagi menjayakan penyelidikan ini. Kerjasama
anda amatlah dihargai dan diucapkan terima kasih.
Ucapan penghargaan ini juga ditujukan kepada semua rakan-rakan di Jabatan
Asas Pendidikan serta seluruh warga Fakulti Pendidikan yang secara langsung atau
tidak langsung membantu dalam menjayakan tesis ini terutamanya kepada Dr.
Halijah bte Ibrahim dan Dr. Lokman bin Mohd. Tahir.
Akhir sekali, terima kasih ditujukan kepada suami, anak-anak dan keluarga
yang sentiasa memberi dorongan dan galakan.
v
ABSTRAK
Kajian ini bermatlamat untuk menganalisis konsep, rasional dan strategi pelaksanaan pengantarabangsaan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia berdasarkan tiga jenis kluster iaitu kluster penyelidikan, kluster komprehensif dan kluster berfokus. Enam buah IPTA telah dipilih menjadi sampel kajian dengan dua buah IPTA mewakili setiap kluster. Model Van Dijk dan Meijer (1999) digunakan untuk menentukan tahap proses pengantarabangsaan IPTA di Malaysia. Kajian ini menggunakan kaedah Concurrent Triangulation Strategy iaitu gabungan kaedah kualitatif dan kuantitatif. Kaedah kuantitatif menggunakan soal selidik yang diubah suai daripada inventori pengantarabangsaan oleh International Association of Universities,(IAU)(2005). Seramai 252 orang pentadbir IPTA iaitu Dekan, Timbalan Dekan, Pengarah dan Ketua Jabatan dari pelbagai jabatan telah dipilih untuk memberikan maklumbalas mereka melalui soal selidik. Data kualitatif diperolehi melalui penelitian terperinci dokumen Laporan Pelan Strategik IPTA bagi Jangkamasa Lima Tahun (2006-2010) dan temu bual bersama enam orang Ketua Hal Ehwal Antarabangsa setiap IPTA yang terlibat. Data kualitatif dianalisis secara manual menggunakan Kaedah Tematik manakala analisis deskriptif dan inferensi yang dilakukan atas data kuantitatif menggunakan SPSS (Statistical Package for Social Sciences). Dapatan kajian menunjukkan bahawa konsep pengantarabangsaan bagi setiap kluster IPTA di Malaysia berasaskan kepada dimensi yang sama iaitu usaha sama antarabangsa, kualiti pendidikan tinggi, dan pengiktirafan antarabangsa. Ketiga-tiga kluster universiti juga mempunyai dimensi rasional yang sama iaitu matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan serantau, meningkatkan kualiti pendidikan tinggi, mendapatkan pengiktirafan antarabangsa dan menjadi sumber pendapatan negara. Di samping itu, tahap proses pengantarabangsaan kluster universiti penyelidikan dan kluster universiti komprehensif didapati lebih tinggi berbanding dengan kluster universiti berfokus. Analisis ANOVA turut menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan di antara konsep (p=0.014), rasional (p=0.026) dan strategi pelaksanaan pengantarabangsaan (p=0.000) berdasarkan tiga jenis kluster. Manakala Ujian korelasi pula menunjukkan bahawa konsep, rasional dan strategi pelaksanaan pengantarabangsaan setiap kluster adalah saling berkaitan. Dua belas strategi yang telah dikenal pasti sebagai strategi pengantarabangsaan IPTA di Malaysia iaitu usahasama antarabangsa, pelajar antarabangsa, kerangka pemikiran, staf, kemudahan, semakan kurikulum, penerbitan, Bahasa Inggeris, kepimpinan, polisi, promosi dan dana. Enam petunjuk pengantarabangsaan IPTA telah dikenalpasti iaitu kemudahan, usaha sama antarabangsa, pelajar antarabangsa, program antarabangsa, staf dan hubungan antarabangsa. Hasil daripada kajian ini, satu kerangka model proses pelaksanaan pengantarabangsaan IPTA di Malaysia dikemukakan.
vi
ABSTRACT
This research was conducted to analyse the concept, rationale and implementation strategy for internationalization of Public Institutions of Higher Education (PIHE) in Malaysia based on three types of university clusters namely research, comprehensive and focus clusters. Six institutions of higher education were used as samples, in which two institutions represented each cluster. The Van Dijk and Meijer model (1999) was applied to determine the level of internationalization process. This study used Concurrent Triangulation Strategy which is a combination of qualitative and quantitative methods. The quantitative method comprised of a set questionnaire adapted from an inventory of internationalization developed by the International Association of Universities (IAU) (2005). The respondents were 252 university administrators who served as Deans, Deputy Deans, Directors and Heads of various academic departments. The qualitative data for this study were derived from the analysis of Five Year Strategic Planning Report (2006-2010) (Laporan Pelan Strategik IPTA untuk Jangkamasa Lima Tahun (2006-2010)) and from interviews with six of the Head of International Affairs of each participating institution. Qualitative data were analyzed manually using Thematic Analysis whereas descriptive and inferential statistics from the quantitative data were analyzed using SPSS (Statistical Package for Social Sciences). The findings indicate that the concept of internationalization for each cluster of universities in Malaysia is based on the same dimensions; international collaboration, the quality of higher education and international recognition. Each cluster of universities also possesses the same rationale even though they highlight different priorities to the dimensions of making Malaysia as the regional education hub, enhancing the quality of higher education and obtaining international recognition and profit. However, internationalization process in research universities cluster and comprehensive universities cluster is higher than in the focus universities cluster. ANOVA analysis showed that there were significant differences between the concepts (p=0.014), rationale (p=0.026) and the implementation of internationalization strategies (p=0.000) based on the three types of clusters. In addition, correlation tests indicated that the concept, rationale and implementation of internationalization strategies of each cluster are related. The twelve strategies identified for internationalization of universities in Malaysia are international collaboration, international students, mind set, staff, facilities, curriculum revision, publication, English Language, leadership, policy, promotion and funding. The six indicators identified for the internationalization of universities are facilities, international collaboration, international students, international programs, staff, and international relations. The result of the study presents a model framework for the implementation of the internationalization process for the PIHE in Malaysia.
1
BAB 1
PENDAHULUAN
1.1 Pengenalan
Pengantarabangsaan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) merupakan salah satu
elemen utama dalam pendidikan tinggi (Harman, 2005; Kehm dan Teicher, 2007).
Terdapat pelbagai aktiviti pengantarabangsaan yang dilaksanakan oleh IPT di seluruh
negara antaranya meningkatkan bilangan pelajar dan staf dari luar negara,
menjalankan usaha sama antarabangsa, mengadakan seminar bertaraf antarabangsa
serta melaksanakan kurikulum antarabangsa. Di Malaysia, pengantarabangsaan IPT
dijadikan sebagai salah satu teras dalam Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara
2007-2010 (MOHE, 2007). Menurut De Wit (2006) pengantarabangsaan bukan
sekadar mempengaruhi reka bentuk kurikulum sesebuah IPT malah menjuruskan
pengurusan dan pentadbiran sesebuah IPT ke peringkat global. Konsep
pengantarabangsaan berbeza-beza berdasarkan latar budaya dan latar geografi
sesebuah IPT, malahan pengantarabangsaan tidak mempunyai satu konsep yang
standard (De Wit, 1997; ERIC, 2002). Kebanyakan IPT mempunyai konsep
pengantarabangsaan yang tersendiri berdasarkan kepada kehendak dan keperluan
masing-masing. Oleh itu, terdapat kepelbagaian dalam menjelaskan tentang konsep
pengantarabangsaan (AUCC, 1991; Callan, 2000; Choi, 2003). Di China,
pengantarabangsaan dilihat sebagai salah satu aktiviti untuk mewujudkan usahasama
budaya bagi menyokong dasar pintu terbukanya (Sun, 1996; Wang, 1998).
Manakala di Australia, pengantarabangsaan lebih menjurus kepada usaha sama
membentuk nilai dan celik akal intelektual yang berpaksikan suasana global.
2
Menurut Knight (1997), mengemukakan rasional pengantarabangsaan IPT
merupakan satu usaha yang sangat kompleks. Terdapat pelbagai alasan dan sebab
melaksanakan pengantarabangsaan yang terbit hasil perubahan masa, keperluan, isu
semasa dan persekitaran sesebuah IPT. Sungguhpun demikian, terdapat empat
rasional pengantarabangsaan yang sering dikemukan oleh IPT iaitu rasional
ekonomi, rasional politik, rasional akademik dan rasional budaya. Mempunyai
rasional pengantarabangsaan yang jelas menjadi tunggak utama dalam menyusun
strategi pengantarabangsaan IPT kerana ia memberi hala tuju dan garis panduan bagi
memastikan keberkesanan strategi yang dijalankan.
Menjadi tanggungjawab dan peranan sesebuah IPT untuk menyusun strategi
bagi menjayakan setiap program yang dirancang kearah pengantarabangsaan.
Seperti konsep pengantarabangsaan, strategi pelaksanaan pengantarabangsaan juga
didasari oleh kehendak dan keperluan sesebuah IPT. Oleh kerana itu, setiap IPT
mempunyai strategi pelaksanaan yang tersendiri (Hayward, 2001; Yang, 2002).
Kajian oleh Choi (2003) dan Jones (2002), dalam kajiannya terhadap
pengantarabangsaan di IPT mendapati staf universiti tidak mempunyai kesedaran
yang tinggi terhadap usaha-usaha pengantarabangsaan walaupun usaha tersebut telah
dijelaskan dalam pernyataan misi dan visi universiti. Di Malaysia, usaha
mengantarabangsakan IPT mula diperkatakan pada tahun 1995 melalui satu seminar
iaitu National Seminar on Internationalising Higher Education. Melalui seminar
tersebut dinyatakan dengan jelas bahawa usaha pengantarabangsaan IPT merupakan
satu cabaran yang harus dihadapi oleh sistem pendidikan tinggi negara. Oleh itu,
semua IPT perlu menyusun strategi pengantarabangsaan agar keperluan dan
pelaksanaannya terancang dan lebih sistematik. Pelaksanaan pengantarabangsaan
IPT akan berjaya sekiranya konsep pengantarabangsaan itu jelas, dilaksanakan
melalui sistem pendidikan tinggi yang berkualiti, mencapai piawaian antarabangsa
serta mendukung cita-cita dan wawasan negara (Kamarudin, 1996; Syed Jalaludin,
1996; Hashim, Norhanom dan Ramli, 2004; Dzulkifli, Ramli dan Ambigapathy,
2004; MOHE, 2006).
3 1.2 Latar Belakang Masalah
Di Malaysia, Pendidikan Tinggi sangat penting kerana ia merupakan agen
utama dalam menghasilkan modal insan minda kelas pertama dalam mengharungi
cabaran di peringkat nasional dan global. Bermula selepas merdeka sehingga kini,
IPT telah banyak mengalami perubahan dari segi polisi dan pelaksanaannya.
Pelbagai cabaran perlu ditangani dalam memastikan matlamat tersebut tercapai.
Cabaran pertama ialah keperluan untuk menghasilkan tenaga kerja mahir bagi
menampung pasaran tenaga kerja yang berorientasikan kemahiran sains dan
teknologi terkini. Cabaran kedua ialah keupayaan IPT dalam menghasilkan ahli
sains, penyelidik dan dapatan penyelidikan yang mampu bersaing dalam dunia
global. Cabaran ketiga adalah tanggungjawab untuk membentuk masyarakat
berteknologi yang progresif serta membudayakan sains dan teknologi terkini
disamping bersifat madani (Shahril dan Habib, 1999).
1.2.1 Pengantarabangsaan IPT
Pengantarabangsaan IPT di Malaysia menjadi bahan polemik pendukung dan
pengubal dasar pendidikan negara bermula pada tahun 1995 apabila konsep
pendidikan bertaraf dunia diperjelaskan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan
Malaysia pada ketika itu Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak. Beliau
menegaskan bahawa pendidikan bertaraf dunia bermaksud “usaha-usaha strategik
untuk menglobalisasikan pendidikan, mencari ilmu pengetahuan tidak kira di mana
dan membuka minda untuk menghadapi cabaran.” Pendidikan bertaraf dunia juga
dimaksudkan sebagai institusi yang boleh melahirkan manusia yang berketrampilan,
dengan nilai moral yang teguh, seorang manusia yang sempurna, bukan sahaja dari
aspek akademik, tetapi dengan kemampuan intelektual untuk menangani cabaran
masa hadapan. Ia juga merupakan satu sistem pendidikan yang boleh dipasarkan di
peringkat global (Sufean, 2003).
Penegasan terhadap pengantarabangsaan IPT diperkukuhkan lagi pada tahun
1996 apabila Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, iaitu Yang Amat Berhormat
Tun Dr. Mahathir bin Mohamed menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia
4 sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan Pendidikan Serantau (Mahathir, 2000;RMK 7,
1996). Pusat kecemerlangan tersebut merupakan salah satu usaha untuk menjadikan
Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 melalui Wawasan 2020. Usaha
menjadikan Malaysia sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan Pendidikan Serantau
akan berjaya sekiranya IPT berjaya menarik minat penuntut-penuntut yang terbaik di
peringkat antarabangsa bagi mengikuti program pengajian di sini. IPT haruslah
menyediakan program-program yang berkualiti, staf akademik yang berkaliber,
kemudahan infrastruktur yang baik disamping sistem tadbir urus yang berkesan
(MOHE, 2006).
Hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan
Pendidikan serantau mendorong semua IPT mengambil beberapa inisiatif. Salah
satunya adalah dengan mengantarabangsakan IPT masing-masing. Sehingga kini,
pengantarabangsaan IPT telah menjadi aspek utama yang ditekankan dalam
kerangka perancangan pendidikan tinggi negara (Hashim, 2004; Zulkifli,2004).
Sehubungan dengan itu, seluruh IPTA berusaha untuk mengantarabangsakan IPT
masing-masing. Kebanyakannya telah mensasarkan untuk menjadi universiti bertaraf
dunia pada pernyataan misi dan visinya (Kementerian Pengajian Tinggi, 1999)
(Lampiran A). Selain itu, kebanyakan IPT tersebut juga telah menubuhkan satu
jawatankuasa khas yang dikenali sebagai Pusat atau Unit Perhubungan dan Hal
Ehwal Antarabangsa yang antara lain berfungsi sebagai membina dan membentuk
jaringan akademik di peringkat antarabangsa, mempromosikan IPT di mata dunia,
meningkatkan kefahaman silang budaya serta menyusun atur segala bentuk aktiviti
bersama pihak luar. Pernyataan visi dan misi dan senarai unit atau pusat
perhubungan antarabangsa beberapa universiti tempatan dilampirkan dalam
Lampiran A.
Pada masa ini, IPT berdepan dengan pengaruh dan unsur yang dibawa oleh
globalisasi. Unsur-unsur utama tersebut termasuklah perkembangan teknologi
komunikasi dan sistem maklumat, perdagangan antarabangsa, usahasama ekonomi
dan wujudnya blok-blok perdagangan. Pengaruh tersebut menyebabkan berlakunya
beberapa perubahan terhadap peranan dan tanggungjawab IPT. IPT bukan sahaja
berfungsi atas landasan nasional tetapi juga berdasarkan kepada kehendak global
(Syed Jalalaudin, 1996). Kualiti graduan yang dihasilkan oleh IPT juga haruslah
menepati piawaian antarabangsa. Antara kriteria graduan yang diharapkan ialah
5 pelajar yang berilmu, versatil, berfikiran positif dan kreatif, inovatif, kompetatif
(boleh bersaing dan berkomunikasi dalam banyak bahasa), yakin, matang, bersikap
positif dan matang. Sebaliknya, graduan yang dihasilkan oleh IPT tempatan
dikatakan tidak memiliki kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris,
kedangkalan penguasaan ilmu dalam bidang pengkhususan, kekurangan bakat, sikap
yang negatif, dan tiada keyakinan diri (Robiah, 1998; MOHE, 2006). Graduan yang
berkualiti dijangka akan terhasil melalui IPT yang berdaya saing dalam konteks ilmu
dan intelektual. (Hashim, Norhanom dan Ramli, 2004; Dzulkifli, Ramli dan
Ambigapathy, 2004: Van der Wande, 2006).
Pasaran ekonomi bebas menyebabkan lebih banyak pelabur dari luar negara
seperti Belgium, Netherland, Taiwan, Jepun, Korea, Itali, Amerika Syarikat,
Australia, Perancis dan United Kingdom melabur dan membuka cawangan di
negara ini seperti Good Year, Intel, Motorola, Nissan, Fuji Elektrik, Samsung Co.,
Pacific Chemical dan Nestle (MITI, 2007). Pelabur-pelabur ini memerlukan tenaga
kerja mahir yang bukan sahaja mahir dalam bidang berkaitan tetapi juga mempunyai
kualiti antarabangsa seperti mahir berkomunikasi dalam beberapa bahasa,
berkeupayaan memahami dan menyesuaikan diri dalam persekitaran dan budaya
masyarakat luar. Menurut Norhayati (2000) perhubungan antarabangsa
mendatangkan pelbagai masalah kerana setiap individu mempunyai kekangan dari
segi masa, bahasa, kedudukan geografi, makanan dan cuaca ditambah lagi dengan
perbezaan dari aspek nilai, kepercayaan, persepsi dan latar belakang. Kesedaran
untuk meningkatkan kualiti graduan bagi memenuhi pasaran tempatan dan juga
antarabangsa memperlihatkan bahawa IPTA berusaha menjadikannya institusi
bertaraf dunia.
Pengantarabangsaan IPT juga penting kerana ia boleh menjana ekonomi
sesebuah negara (Nazri,2001; Elkin,Devjee & Farnsworth,2005; Turpin, Iredale dan
Crinnion, 2002: OECD, 2004). New Zealand memperolehi tukaran wang asing
sebanyak 3.5 peratus daripada industri pendidikan berbanding industri wain
manakala Amerika Syarikat memperoleh US12.3 Billion dalam tahun 1999 daripada
perkhidmatan pendidikan pelajar luar negaranya (Martin, 2002). Manakala
University of Southern Queensland melaporkan bahawa 50 peratus daripada
pendapatan bukan kerajaannya diperolehi daripada pengantarabangsaan IPT (Tim,
Robyn dan Paola, 2002). IPT dikatakan telah berjaya menjana pendapatan melalui
6 bayaran yuran pengajian dan pertukaran wang asing yang diperolehi daripada pelajar
antarabangsa (Knights dan De Wit, 1995; Knights, 2004).
Sehubungan dengan itu, pelbagai usaha dilakukan untuk meningkatkan
bilangan pelajar antarabangsa. Dalam konteks negara Malaysia, berdasarkan
Perangkaan Sepintas Lalu Pengajian Tinggi Malaysia (2005), enrolmen pelajar asing
di IPTA dan Institusi Pengajian Tingi swasta (IPTS) semakin meningkat. Pada
tahun 2001 terdapat 4,770 orang manakala pada tahun 2005 terdapat 40,525 orang
pelajar luar negara yang melanjutkan pelajaran di negara ini. Angka ini dijangka
semakin meningkat. Berdasarkan kepada pertambahan bilangan tersebut,
pengantarabangsaan IPT di Malaysia berpotensi untuk menjadi salah satu daripada
penjana ekonomi negara (Albach, 2002; Burn, 2000; Knight, 2000).
Perlu diperhatikan juga bahawa kewujudan ekonomi yang berasaskan ilmu
pengetahuan, teknologi multimedia dan teknologi komunikasi dan maklumat telah
membuka dimensi baru dalam semua bidang termasuk pendidikan tinggi. Global
Village menjadikan sistem pendidikan tinggi negara boleh diakses oleh masyarakat
dunia dan keadaan ini melebarkan peluang untuk semua IPT menerima pelbagai
pelajar dari pelbagai negara, budaya dan bangsa. Sehubungan dengan itu, IPT negara
bukan sahaja memenuhi keperluan tempatan tetapi juga perlu berusaha untuk
menarik pelajar luar negara terutamanya dalam bidang pasca-siswazah. Ini
menjelaskan bahawa sistem pendidikan tinggi negara berusaha untuk meningkatkan
pengeksportan pendidikan. Selain menambah bilangan penuntut luar negara dalam
pasca-siswazah, IPT negara juga berhasrat untuk mewujudkan cawangannya di
negara-negara seperti Australia, Singapura dan United Kingdom. Bagi menjayakan
usaha tersebut IPT berusaha untuk meningkatkan kualiti dan mendapatkan
pengiktirafan daripada badan-badan profesional dan institusi luar.
Sekitar tahun 2000, aktiviti pengantarabangsaan IPT semakin berkembang
pesat dengan kebanyakan IPTA telah berusaha kearah mengantarabangsakan IPT
masing-masing. Agenda tersebut telah dijadikan sebagai salah satu visi IPTA di
Malaysia. IPTA di Malaysia juga telah menggunakan pendekatan pengajaran dan
pembelajaran melalui internet sekitar awal tahun 2000 yang membolehkan
pensyarah dan pelajar berkomunikasi secara maya (Bajunid, 2002; Raja Maznah,
2004). UTM, USM, UM, UUM, UKM masing-masing mempunyai rangkaian
7 pembelajaran maya yang dikenali sebagai pengajaran dan pembelajaran melalui
elearning. Rangkaian internet juga disediakan secara percuma kepada pelajar, staf
dan pensyarah. Rangkaian internet ini banyak memberi manfaat kepada pelajar dan
pensyarah kerana melaluinya kedua-dua pihak dapat melayari serta berkomunikasi
tanpa batasan ke seluruh pelusuk dunia.
Selain itu, pelbagai lagi aktiviti kearah pengantarabangsaan yang diusahakan
oleh IPT antaranya program usahasama penyelidikan dengan universiti bertaraf
dunia. Dalam tahun 2004 Universiti Malaya telah menandatangai Memorandum
Persefahaman dengan 64 buah negara dalam aspek usahasama penyelidikan dan
pertukaran staf. Universiti Malaya juga menjadi ahli kepada gabungan universiti-
universiti tersohor di dunia iaitu Association of Pacific Rim Universities (APRU),
ASEAN University network (AUN) dan Association of Commonwealth Universities
(ACU) (Hashim, 2004). Universiti Sains Malaysia pula menyediakan program
pertukaran pelajar dengan 23 buah negara dan program ini memberi peluang
kepada pelajar untuk menetap serta belajar selama dua semester di negara luar. USM
juga menjadi pusat kepada Expertise for Education for Sustainable Development dan
menjadi wakil dalam Asia in Commonwealth Universities for Study Abroad
Consortium (CUSAC) (http://www.usm.edu.my).
1.2.2 Konsep, Rasional dan Strategi Pengantarabangsaan
Konsep merupakan satu kenyataan umum atau definisi sesuatu benda atau
peristiwa. Ia juga dianggap sebagai satu generalisasi, satu idea dan juga satu
pemikiran. Konsep boleh dijelaskan kembali melalui kombinasi beberapa konsep
dan boleh berubah dari satu bahasa dan budaya lain atau sebaliknya. Fortune
(1999) menyatakan konsep adalah satu ekspresi abstrak atau simbol yang
menjelaskan persamaan dan kriteria umum dalam satu fenomena yang juga boleh
dikenali sebagai satu konstruk. Konsep sangat penting kerana ia menjadi satu dasar
ataupun garis panduan bagi menentukan rasional dan melaksanakan strategi
pelaksanaan. Dalam konteks pengantarabangsaan IPT, konsep pengantarabangsaan
harus ditentukan dan diperjelaskan kepada semua pentadbir dan tenaga pengajar bagi
memastikan kejayaan sesuatu program dan pembangunan yang akan dilaksanakan.
8 Menurut Fullan dan Pomfret (1977), dalam melaksanakan pembaharuan ataupun
perubahan kurikulum pihak pentadbir tertinggi perlu memberikan penjelasan
terperinci terhadap perubahan yang akan dilaksanakan.
Terdapat pelbagai konsep tentang pengantarabangsaan bergantung kepada
latar budaya, geografi dan lokasi sesebuah negara bangsa (Knights,1977; Zha,2003).
Manakala Lemasson dan Bond (1999) dan Jones (2002) pula mengatakan konsep
pengantarabangsaan berbeza berdasarkan kepada nilai, pendekatan dan keutamaan
sesebuah institusi. Tambascia (2005) pula mendapati definisi pengantarabangsaan
di Universiti Penyelidikan Swasta di Amerika Syarikat berbeza antara pentadbir
universiti dan staf. Pentadbir universiti tidak langsung memasukkan elemen bahasa
asing, manakala semua responden yang terdiri daripada staf universiti memasukkan
elemen bahasa asing kedalam definisi pengantarabangsaan mereka. Tambascia juga
mendapati bahawa kebanyakan pentadbir universiti memberikan definisi
pengantarabangsaan berdasarkan kepada Pelan Strategik Universiti berbanding staf
universiti yang mendefinisikannya dalam konteks yang lebih umum. Dapatan kajian
ini menunjukkan bahawa staf universiti dan pentadbir universiti mempunyai
perbezaan daripada segi konsep walaupun dalam universiti yang sama.
Rasional pengantarabangsaan merujuk kepada keperluan yang sangat tinggi
dalam mengintegrasikan dimensi antarabangsa ke dalam pendidikan tinggi yang
seterusnya memberi jawapan kepada persoalan ‘Mengapa perlu
mengantarabangsakan IPT?’(De Wit,1997). Dalam konteks pembangunan,
perubahan dan pembinaan sesebuah kurikulum, hasil, matlamat, tujuan, objektif,
rasional sangat penting kerana ia menjadi asas dan panduan untuk perancangan dan
pengurusan segala aktiviti dan proses sesebuah kurikulum. (McNeil, 1981;
Zais,1976; Ornstein dan Hunkins,1993). Menurut Zais (1976) “The important of
curricular purposes is reflected in the fact that no other aspect of education has
received more serious consideration or provoked as much heated controversy as
has the question of aims”. Berdasarkan definisinya pengantarabangsaan merujuk
kepada segala program dan aktiviti yang mempunyai elemen antarabangsa seperti
mengadaptasikan kurikulum antarabangsa ke dalam kurikulum IPT, meningkatkan
pengambilan pelajar dan staf luar negara, merujuk kepada pakar-pakar dari luar
negara, berusaha untuk mencapai piawaian antarabangsa dan melaksanakan pelbagai
usaha sama dengan IPT dan pertubuhan profesional luar negara yang secara
9 langsung melibatkan pelaksanaan kurikulum yang bercirikan antarabangsa di
Malaysia. Sehubungan dengan itu, mengenalpasti konsep dan rasional
pengantarabangsaan merupakan satu proses untuk menyelaraskan kurikulum. Alasan
untuk menyelaraskan kurikulum amat jelas iaitu memastikan konsep dan rasional
sesebuah kurikulum itu jelas supaya strategi yang dilaksanakan menepati
matlamatnya (Glatthorn, 1987). Berdasarkan beberapa kajian lalu didapati terdapat
perbezaan rasional pengantarabangsaan. Rasional utama pengantarabangsaan IPT di
Australia ialah untuk meningkatkan assesibility pelajar ke negara tersebut, manakala
di New Zealand rasional pengantarabangsaan adalah untuk pertumbuhan dan
peningkatan ekonomi dan sosial masyarakatnya (Knight, 2002; Davies, 1995; Zha,
Q, 2003).
Perkataan ‘strategi’ bermaksud kebolehan dalam mengurus dan mempunyai
hala tuju yang jelas (Mohamad Najib, 2004) manakala Knight dan De Wit (1995)
menggunakan perkataan ini merujuk kepada inisiatif yang diambil oleh institusi
pendidikan tinggi dalam usaha mereka untuk mengintegrasikan dimensi antarabangsa
dalam penyelidikan, pengajaran dan pentadbiran. Dalam konteks kurikulum, strategi
pelaksanaan bukan sekadar menyediakan satu kursus khas kepada staf yang terlibat
malah ia melibatkan usaha untuk mengubah kerangka pemikiran, sikap dan ilmu
setiap individu yang terlibat disamping melibatkan interaksi di antara pembuat polisi
dan juga pelaksana (Ornstein dan Hunskin, 1993). Strategi pelaksanaan yang
diusahakan oleh sesebuah institusi sering kali tidak mencapai matlamat utamanya
kerana institusi lebih menjurus kepada program-program perubahan yang sedang
dilaksanakan tetapi mengabaikan keperluan sumber manusia dan institusi yang
terlibat dalam perubahan tersebut (McNeil, 1981; Zais, 1976; Ornstein dan Hunkins,
1993).
1.2.3 Pengantarabangsaan IPT di Malaysia
Dalam melihat perkembangan pengantarabangsaan IPT di Malaysia pengkaji
merujuk kepada pandangan Mazzarol et al. (2003) yang menjelaskan bahawa
perkembangan pengantarabangsaan IPT di Asia dapat dibahagikan kepada tiga tahap.
Tahap pertama ialah pergerakan pelajar dari negara membangun ke negara-negara
10 maju seperti Britain, Amerika Syarikat, Perancis, Jerman dan juga Jepun untuk
melanjutkan pelajaran. Tahap kedua bermula apabila wujud program-program
berkembar yang menawarkan program yang berfokuskan kepada kemahiran.
Manakala tahap ketiga merupakan era ekonomi yang berasaskan ilmu pengetahuan
dan teknologi maklumat dan komunikasi maya. Tahap ketiga berdasarkan kepada
tiga kriteria iaitu, pembukaan kampus cawangan melalui program perjanjian pintar,
usaha sama perkongsian dengan sektor swasta dalam membangunkan universiti
korporat dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran
dan pembelajaran. Dalam banyak kajian tentang pengantarabangsaan IPT, didapati
bahawa pergerakan pelajar merupakan salah satu strategi pengantarabangsaan yang
sering digunakan oleh para pengkaji (AUCC, 1993; Van Dijk, 1995; Knight, 1996;
AUCC, 2000). Manakala program berkembar dan pembukaan universiti cawangan
merupakan salah satu dimensi dalam usahasama antarabangsa. Usahasama
antarabangsa juga merupakan salah satu strategi pengantarabangsaan IPT yang utama
(Van Damme, 2001; Knights, 2002; Jun, 2003; Isadora, Maria, 2003; Elkin, 2005).
Apabila masyarakat mula memperkatakan tentang pengantarabangsaan IPT ini,
timbul beberapa persoalan yang dapat mendasari perbincangan seterusnya iaitu
adakah pengantarabangsaan ini satu isu baru atau adakah ia telah wujud sejajar
dengan kewujudan IPT di negara ini? Adakah pengantarabangsaan IPT di Malaysia
merupakan satu isu yang sama tetapi dilatari oleh senario dan latar yang berbeza?
Pergerakan pelajar Malaysia ke luar negara telah bermula sejak zaman
sebelum merdeka dan dipelopori oleh golongan atasan yang terdiri daripada kerabat
diraja dan anak-anak pembesar negeri. Pada tahun 1891, Cambridge Local
Examination telah diperkenalkan yang bertujuan untuk menambah baik penguasaan
Bahasa Inggeris yang menjadi syarat untuk melanjutkan pelajaran ataupun menceburi
bidang profesional. Pelajar yang lulus ujian tersebut telah dihantar ke beberapa buah
universiti di Britain, Hong Kong dan Amerika Syarikat Selain itu, orang Melayu
menghantar anak mereka belajar ke negara Arab terutamanya Mekah dan Mesir.
Sehingga tahun 1925, terdapat 80 orang pelajat Tanah Melayu belajar di Universiti
Al Azhar di Mesir (Abdul Rahman dan Mahani, 2007). Selepas merdeka,
penghantaran pelajar ke luar negara bertujuan untuk memenuhi keperluan guna
tenaga manusia kearah pembangunan negara. Selain itu, pendidikan di Malaysia
telah mengalami pendemokrasian menyebabkan peluang pendidikan bertambah
berlipat kali ganda yang secara langsung membuka peluang kepada lebih ramai
11 rakyat biasa yang berkelayakan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Pada sesi
kemasukan 1964 dan 1965 sahaja seramai 5000 penuntut Malaysia belajar di luar
negara dan dari jumlah itu, 3,271 orang menuntut di Britain (Penyata Jawatankuasa
Peranchang Pelajaran Tinggi, 1967). Angka ini terus meningkat sehingga pada tahun
1971-1973 seramai 11,000 orang pelajar melanjutkan pelajaran di negara seperti
United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Kanada dan New Zealand (UNESCO,
1975).
Dalam tahun 1970-an dan 1980an, pendidikan di Malaysia berkembang pesat
hasil daripada Rancangan Malaysia Kedua hingga Rancangan Malaysia yang
Kelima. Bagi menjayakan rancangan tersebut, Dasar Pelajaran Kebangsaan dan
Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan oleh kerajaan yang antara lain bertujuan untuk
mencapai keseimbangan ekonomi dan politik di antara kaum serta meningkatkan
perpaduan. Sehubungan dengan itu, lebih ramai pelajar bumiputera dihantar keluar
negara untuk melanjutkan pelajaran (RMK2,1971). Bilangan pelajar yang berada di
luar negara bertambah pada kadar 9 peratus setahun daripada kira-kira 36,900 orang
pada tahun 1978 kepada kira-kira 60,000 orang pada tahun 1985 yang
kebanyakannya menuntut dalam bidang sains dan teknologi (RMK 5, 1986).
Selain itu, tenaga pengajar sama ada di sekolah mahupun di Institusi
Pengajian Tinggi pada sekitar tahun 70-an dan 80-an kebanyakannya terdiri daripada
bangsa asing yang didatangkan dari Britain, India, China dan juga Timur Tengah,
malahan bahasa yang digunakan sebagai bahasa pengantar adalah Bahasa Inggeris
terutamanya di institusi-institusi pengajian tinggi. Penggunaan Bahasa Inggeris,
penyerapan budaya Barat dalam sistem pendidikan dan cara hidup masyarakat pada
masa itu diperhebatkan lagi dengan kembalinya graduan-graduan Malaysia dari luar
negara. Golongan ini secara sedikit demi sedikit telah menggantikan pentadbir dan
ahli akademik dari negara luar di negara ini. Secara tidak langsung golongan ini
telah memberi kelangsungan pada kefahaman terhadap budaya luar dalam sistem
pentadbiran dan pendidikan negara ini.
Sekiranya diteliti penghantaran pelajar ke luar negara dan membawa masuk
kepakaran dari luar negara merupakan satu keperluan dan usaha untuk menyediakan
sumber tenaga mahir untuk pembangunan negara. Semasa zaman penjajahan dan
selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, negara belum mempunyai
12 kemudahan untuk menyediakan sumber tenaga mahir seperti institusi pendidikan
tinggi dan tenaga pengajar. Senario yang sama berlaku selepas negara menubuhkan
beberapa IPT seperti UM, USM dan UKM. Pada waktu itu, negara belum dapat
menyediakan kemudahan pendidikan tinggi yang mencukupi. Bagi menangani
masalah ini, jalan terbaik adalah dengan menghantar ramai pelajar ke luar negara.
Sehingga kini, aktiviti ini berterusan kerana sebagai salah sebuah negara yang
membangun, Malaysia masih perlu merujuk kepada pakar yang terdapat di luar
negara terutamanya dalam bidang-bidang yang kritikal. Program berkembar dan
pembukaan universiti cawangan pula bertujuan untuk melebarkan peluang
pendidikan kepada semua masyarakat. Ini bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk
mencapai sasaran 40 peratus daripada penduduk dalam kohort umur 17 hingga 23
tahun mendapat pendidikan tinggi menjelang tahun 2010 (MOHE, 2006).
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa
penghantaran pelajar ke luar negara, pelaksanaan program berkembar dan
pembukaan universiti cawangan menunjukkan bahawa Malaysia telah melaksanakan
aktiviti pengantarabangsaan dalam sistem pengajian tinggi sejak awal penubuhannya.
Walau bagaimanapun ia hanya dilihat sebagai melaksanakan aktiviti
pengantarabangsaan dan sebagai satu respons terhadap kehendak pembangunan dan
kemajuan negara dan bukannya sebagai usaha yang menyeluruh.
Menyeluruh bermaksud terdapat dimensi polisi, dimensi sokongan dan
dimensi perlaksanaan seperti mana yang dikemukakan oleh Davies (1992) dan Van
Dijk dan Meijer (1999). Dimensi-dimensi ini pula digerakkan secara bersama dan
berterusan serta sentiasa peka terhadap perubahan dan perkembangan semasa.
Dalam Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara 2007-2010 (MOHE, 2007)
mempergiatkan pengantarabangsaan dijadikan sebagai salah satu daripada tujuh teras
yang bertujuan untuk memartabatkan pengajian tinggi negara sebagai hub
kecemerlangan pendidikan tinggi antarabangsa. Ini menunjukkan bahawa
pengantarabangsaan IPT telah menjadi agenda utama Kementerian Pengajian Tinggi
Negara. Sehubungan dengan itu, pengantarabangsaan IPT haruslah diperhalusi dan
dirancang dengan sebaik mungkin. Usaha ini bukanlah sekadar melaksanakan
aktiviti-aktiviti pengantarabangsaan sahaja, sebaliknya ia memerlukan satu
penjelasan konsep dan rasional perlaksanaannya untuk dijadikan garis panduan oleh
13 semua IPTA bagi merancang strategi yang berkesan agar usaha yang dilaksanakan
dapat mencapai matlamatnya.
Kesimpulannya, IPT merupakan sebuah institusi yang dinamik, sentiasa
mengalami perubahan dan pembangunan sejajar dengan perubahan semasa
disamping mengekalkan identiti negara bangsa bagi memastikan ia kekal lestari.
Tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti pengantarabangsaan IPT di Malaysia telah
mula dilaksanakan seawal penubuhannya. Walaupun begitu, pengantarabangsaan
IPTA dalam konteks masa kini lebih kompleks dan mempunyai skop yang lebih
luas. Sehubungan dengan itu, konsep pengantarabangsaan perlu diperjelaskan dan
dihayati oleh semua. Pembuat polisi, pendidik, pentadbir dan penyelidik juga perlu
jelas akan rasional melaksanakannya.
Pengantarabangsaan IPTA memerlukan banyak penyelidikan agar ia dapat
dihayati, dirancang dan dilaksanakan dengan jayanya. Pengantarabangsaan IPTA
boleh dianggap sebagai satu alat yang jika digunakan dengan baik ia akan
memberikan manfaat kepada penggunanya dan begitu jugalah sebaliknya. Paling
penting ialah mencari jalan terbaik untuk melaksanakannya dengan kaedah yang
paling sistematik disamping memastikan ianya berlangsung mengikut landasan
Falsafah Pendidikan Negara serta sejajar dengan Wawasan 2020 (Kamarudin, 1996;
Syed Jalaludin, 1996; Hashim, 2004; Zulkifli, 2004).
1.3 Penyataan Masalah
Dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara telah dikemukakan strategi-
strategi bagi mempergiatkan usaha pengantarabangsaan IPT di Malaysia seperti
mana yang dijelaskan dalam perenggan pertama. Walau bagaimanapun, IPT di
Malaysia masih belum mempunyai satu senarai strategi berdasarkan keutamaan
dalam usaha mengantarabangsakan institusi masing-masing dan boleh dijadikan
petunjuk (indicator) kepada pengantarabangsaan IPT. Di Amerika Syarikat, (Krane,
1994) program bahasa asing, program pengajian antarabangsa, bilangan pelajar
atau program pengajian di luar negara menjadi petunjuk (indicator) utama terhadap
pengantarabangsaan IPT. Manakala saiz dan kemudahan institusi menjadi peramal
14 kepada pengantarabangsaan IPT. Petunjuk dan peramal ini masih digunapakai
dalam kajian-kajian terkini tentang pengantarabangsaan IPT di sana. Manakala di
Korea (Choi, 2003), program pertukaran pelajar dan aktiviti mengantarabangsakan
kurikulum pengajian mempunyai ranking tertinggi dalam usaha pengantarabangsaan
IPT.
Di Malaysia, kepelbagaian strategi, ketidakjelasan konsep dan rasional
pelaksanaan pengantarabangsaan mungkin berlaku disebabkan oleh Akta Universiti
dan Kolej Universiti 1971 yang menggariskan hal-hal yang berkaitan dengan
penubuhan, pengurusan, pentadbiran dan hal ehwal pelajar. Dalam akta tersebut
setiap IPTA mempunyai Lembaga Perlembagaan Universiti (LPU) tersendiri yang
antara lain menyatakan bahawa universiti mempunyai kuasa tersendiri (autonomi)
terutamanya dalam usaha meningkatkan perkembangan dan kecemerlangannya.
(Bahagian 1, 6 (1) perkara a, dan w, Akta Universiti dan Kolej Universiti, 1971).
Dalam konteks pengantarabangsaan IPT, setiap universiti akan cenderung untuk
menyusun dan merancang serta melaksanakan strategi pelaksanaan
pengantarabangsaan masing-masing berdasarkan kepada KPI yang dikeluarkan oleh
Kementerian Pengajian Tinggi dan juga kefahaman tentang konsep dan rasional
pengantarabangsaan masing-masing. Menurut Morsidi (2010) definisi
pengantarabangsaan masih kabur, 'kenapa' IPT melaksanakan pengantarabangsaan
juga tidak jelas. Manakala strategi pengantarabangsaan masih konservatif iaitu
dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti menambah bilangan pelajar dan staf
antarabangsa tanpa merangka usaha ke arah kerja sama yang lebih bermakna seperti
kolaborasi penyelidikan dan kepakaran.
Kementerian Pengajian Tinggi menetapkan beberapa kriteria utama dalam
menentukan kluster IPTA. Kriteria pertama ialah nisbah pengambilan pelajar pasca
siswazah dan pelajar siswazah. Kluster universiti penyelidikan mempunyai nisbah
50:50 pelajar pasca siswazah dan pelajar siswazah manakala universiti komprehensif
dan universiti berfokus mempunyai nisbah 70:30. Kriteria kedua ialah penegasan
setiap kluster universiti. Kluster universiti penyelidikan memberi penegasan kepada
aktiviti penyelidikan, kluster universiti komprehensif memberi penegasan kepada
kepelbagaian bidang pengkhususan, manakala universiti berfokus memberikan
penegasan kepada satu bidang tertentu sahaja. (Kementerian Pengajian Tinggi,
2007).
15
Faktor latar belakang penubuhan dan usia sesebuah universiti tidak
dititikberatkan dalam pengkelasan IPTA oleh Kementerian Pengajian Tinggi di
Malaysia sedangkan setiap IPTA di Malaysia mempunyai latar belakang penubuhan
yang agak berlainan kerana terdapat sesetengah IPTA yang ditubuhkan hasil
daripada proses naik taraf daripada institut ataupun kolej kepada IPTA manakala
terdapat IPTA yang ditubuhkan sebagai universiti sejak penubuhannya. Sebagai
contoh, kluster universiti komprehensif yang dianggotai oleh empat buah IPTA iaitu
Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS),
Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA)
mempunyai latar belakang penubuhan yang pelbagai. Universiti Teknologi Mara
(UiTM) merupakan IPTA yang dinaik taraf daripada Institut Teknologi Mara (ITM)
pada tahun 1999 manakala tiga buah universiti lagi ditubuhkan terus sebagai sebuah
universiti. Dari segi latar belakang, UiTM mempunyai kelebihan daripada aspek
program, kurikulum, kemudahan, kepakaran staf serta kepimpinan berbanding
dengan IPTA lain dalam kluster tersebut kerana UiTM telah menjadi sebuah institusi
pengajian tinggi lebih daripada sepuluh tahun. Kriteria dan sejarah penubuhan IPT
tersebut menunjukkan terdapatnya perbezaan daripada aspek iklim dan budaya setiap
kluster universiti. Berdasarkan kepada perbezaan ini dijangkakan terdapat perbezaan
daripada aspek konsep, rasional dan strategi pelaksanaan pengantarabangsaan bagi
setiap kluster universiti.
Model Kiub Pengantarabangsaan oleh Van Dijk dan Meijer (1999)
merupakan model yang dikembangkan dari Model Kuadrant oleh Davies (1992).
Model Kuadrant oleh Davies merupakan salah satu model yang digunakan pada
awal perkembangan pengantarabangsaan IPT. Model Kiub Pengantarabangsaan ini
membolehkan kedudukan pengantarabangsaan sesebuah IPT diletakkan dalam lapan
sel yang mewakili tiga dimensi iaitu dimensi polisi, dimensi sokongan dan dimensi
perlaksanaan. Model Kiub Pengantarabangsaan ini telah digunakan oleh Van Dijk
dan Meijer dalam menentukan kedudukan pengantarabangsaan tiga belas buah
universiti di Netherland. Menurut Van Dijk dan Meijer (1999), model ini tidak
bertujuan untuk menentukan kedudukan pengantarabangsaan sesebuah IPT,
bermaksud setiap institusi pendidikan tidak semestinya bergerak dari sel 1 ke sel 8,
sebaliknya ia hanyalah sebagai satu kayu ukur untuk menentukan kedudukan proses
pengantarabangsaan sesebuah institusi. Selain itu, ia juga dapat menjadi garis
panduan kepada sesebuah institusi tertentu agar dapat menyusun strategi bagi
16 menggerakkannya kepada sel yang lebih baik. Model ini telah digunakan oleh
beberapa pengkaji sebelum ini. Sehubungan dengan itu, kajian ini ingin melihat
kedudukan proses pengantarabangsaan IPT di Malaysia.
Sehubungan dengan itu, kajian ini akan dilaksanakan di enam buah IPTA
yang dipilih berdasarkan kepada jenis kluster IPTA. Dua buah IPTA dipilih
daripada setiap kluster iaitu kluster universiti penyelidikan, kluster universiti
berfokus dan kluster universiti komprehensif untuk mengenalpasti apakah konsep,
rasional dan strategi pengantarabangsaan seterusnya mengenalpasti apakah terdapat
perbezaan antara konsep, rasional dan strategi berdasarkan kluster universiti. Kajian
ini seterusnya akan melihat adakah terdapat perkaitan di antara konsep, rasional dan
strategi pelaksanaan setiap IPTA, juga melihat apakah terdapat perkaitan antara
polisi, sokongan dan pelaksanaan pengantarabangsaan IPTA di Malaysia. Kajian ini
telah dilaksanakan bagi mengetahui apakah terdapat dimensi baru dalam konsep,
rasional dan strategi pelaksanaan pengantarabangsaan yang akan diperolehi daripada
data temu bual. Selain itu, kajian ini juga akan mengenalpasti apakah strategi utama
dalam melaksanakan pengantarabangsaan di IPTA. Model Kiub Pengantarabangsaan
oleh Van Dijk dan Meijer (1999) telah digunakan untuk melihat kedudukan
pengantarabangsaan di ketiga-tiga kluster universiti tersebut. Akhir sekali, kajian ini
diharap dapat memberikan satu kerangka model pelaksanaan pengantarabangsaan
IPTA di Malaysia.
1.4 Objektif Umum Kajian
Kajian ini dilakukan untuk mengenalpasti konsep, rasional dan strategi
pelaksanaan pengantarabangsaan IPTA berdasarkan kluster di Malaysia
1.5 Objektif Khusus Kajian
Kajian ini dilakukan berdasarkan kepada objektif khusus berikut:
17 i. mengenalpasti apakah konsep pengantarabangsaan IPTA berdasarkan kluster
di Malaysia
ii. mengenalpasti apakah rasional pengantarabangsaan IPTA berdasarkan kluster
di Malaysia
iii. mengenalpasti apakah strategi pengantarabangsaan IPTA berdasarkan kluster
di Malaysia
iv. mengenalpasti adakah konsep dan rasional pengantarabangsaan IPTA
berdasarkan kluster di Malaysia berkaitan dengan strategi yang
dilaksanakan?
v. mengenalpasti adakah terdapat perbezaan di antara konsep, rasional dan
strategi pelaksanaan pengantarabangsaan berdasarkan IPTA
vi. mengenalpasti adakah terdapat perbezaan di antara konsep, rasional dan
strategi pengantarabangsaan di IPTA berdasarkan kluster di Malaysia.
vii. mengenalpasti adakah terdapat perkaitan di antara polisi, sokongan dan
pelaksanaan pengantarabangsaan IPTA berdasarkan kluster di Malaysia.
viii. mengenalpasti apakah senarai petunjuk (indicator) pengantarabangsaan IPTA
di Malaysia.
ix. mengenalpasti kedudukan pengantarabangsaan IPTA berdasarkan Model
Kiub Pengantarabangsaan oleh Van Dijk dan Meijer
x. mengemukakan satu rangka model strategi perlaksanaan pengantarabangsaan
IPTA di Malaysia
1.6 Persoalan Kajian
Kajian ini diharap dapat menyumbang banyak maklumat dan data empirikal
berhubung dengan pengantarabangsaan Institusi Pengajian Tinggi Awam di
Malaysia. Berikut dikemukakan persoalan bagi kajian ini.
i. Apakah konsep, rasional dan strategi pengantarabangsaan IPTA di Malaysia
berdasarkan kepada kluster?
ii. Apakah terdapat perbezaan di antara konsep, rasional dan strategi
pelaksanaan pengantarabangsaan IPTA berdasarkan kluster di Malaysia?
iii. Apakah terdapat perkaitan di antara konsep, rasional dan strategi pelaksanaan
pengantarabangsaan IPTA berdasarkan kluster di Malaysia?
18 iv. Apakah terdapat perbezaan di antara polisi, sokongan dan pelaksanaan
pengantarabangsaan IPTA di Malaysia?
v. Apakah terdapat perkaitan di antara polisi, sokongan dan pelaksanaan
pengantarabangsaan IPTA berdasarkan kluster?
vi. Apakah strategi utama pengantarabangsaan yang dilaksanakan oleh IPTA di
Malaysia
vii. Apakah kedudukan proses pengantarabangsaan IPTA di Malaysia
berdasarkan Model Kiub Pengantarabangsaan Van Dijk dan Meijer (1999)?
viii. Apakah rangka strategi perlaksanaan pengantarabangsaan yang sesuai dalam
konteks negara Malaysia?