PERLEMBAGAAN DAN KONTRAK SOSIAL DALAM KONTEKS PERPADUAN
DAN INTEGRASI NASIONAL
PENGENALAN
Perkara-perkara berkaitan isu bahasa, agama, kedudukan istimewa Bumiputera dan
kewarganegaraan dalam Perlembagaan Malaysia menjadi faktor penting untuk
mewujubkan hubungan etnik yang erat dan utuh dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurut Mohamed Suffian Hashim (1987), perkara yang dianggap menguntungkan
orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia diimbangi dengan peruntukan lain
yang juga memberi hak kepada kaum bukan Bumiputera. Perkara yang menetapkan
Islam sebagai agama Persekutuan diimbangi dengan peruntukkan kebebasan bagi
rakyat bukan Islam untuk menganut dan mengamalkan agama lain dalam suasana
aman dan harmoni. Begitu juga perkara yang menetapkan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan diimbangi dengan peruntukan bahawa tidak ada seorang pun
boleh dilarang daripada menggunakan (melainkan bagi maksud rasmi) atau
mengajar atau mempelajari bahasa-bahasa lain. Di samping itu, kerajaan
mempunyai hak untuk memelihara dan meneruskan penggunaan serta pengajian
bahasa sesuatu kaum di Persekutuan. Hal yang sama juga berlaku atas perkara
yang menetapkan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan
Sarawak diimbangi dengan peruntukan bahawa kerajaan tidak boleh melucut,
menarik balik atau menyebabkan hak kaum lain terhakis.
KONSEP PERLEMBAGAAN
Umumnya, perlembagaan difahamkan sebagai kumpulan peraturan atau undang-
undang sama ada bertulis atau tidak bertulis, yang menentukan organisasi kerajaan,
1
pembahagian kuasa antara pelbagai badan kerajaan dan prinsip-prinsip umum
bagaimana kuasa-kuasa tersebut dilaksanakan. Bagi sesebuah negara moden yang
berdaulat, perlembagaan merupakan sumber undang-undang tertinggi dan setiap
individu perlu mematuhi keluhurannya. Perlembagaan juga berperanan sebagai
panduan bagi membentuk undang-undang sama ada oleh pihak kerajaan atau
rakyat. Umumnya, perlembagaan dibahagikan kepada dua, iaitu perlembagaan
bertulis dan tidak bertulis. Perlembagaan bertulis (seperti Perlembagaan Malaysia)
ialah bentuk perlembagaan yang dikumpul dan disusun dalam satu dokumen.
Manakala perlembagaan tidak bertulis ( seperti di Britian) pula merangkumi semua
prinsip perlembagaan yang tidak terkumpul dalam satu dokumen seperti undang-
undang yang diluluskan oleh parlimen dan keputusan-keputusan mahkamah.
Setiap negara memerlukan perlembagaan bagi menjamin kestabilan politik serta
sistem pemerintahan negara yang cekap lagi adil. Keperluan sesuatu perlembagaan
menjadi lebih ketara dalam sesebuah negara yang berbilang etnik seperti Malaysia.
Perlembagaan diperlukan untuk mewujubkan suatu rangka politik, ekonomi dan
sosial yang dapat memudahkan perpaduan nasional dan pembangunan negara.
Perlembagaan juga diperlukan bagi melindungi kepentingan semua kumpulan etnik.
Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi di negara kita.
Parlimen (badan perundangan), badan eksekutif (termasuk Kabinet dan semua
jentera Kerajaan yang lain) dan badan kehakiman memperoleh kuasa daripada
perlembagaan. Perlembagaan Malaysia mengandungi 15 Bahagian, 183 Perkara
dan 13 Jadual. Secara ringkas, Perlembagaan Malaysia menyentuh bidang kuasa
eksekutif, legislatif, kehakiman, kedudukan agama Islam, kewarganegaraan, bahasa
kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak
2
dan lain-lain. Oleh itu, perlembagaan mengandungi satu set peraturan tentang hak,
kuasa dan prosedur serta tanggungjawab pihak yang mengawal dan memandu
hubungan antara satu autoriti dengan autoriti lain serta antara autoriti dengan rakyat
awam. ( Nazarruddin Mohd.Jali et al. 2001)
Di Malaysia, tidak terdapat institusi yang mengatasi Keluhuran Perlembagaan
Persekutuan. Malahan ketiga-tiga badan kerajaan (perundangan, kehakiman dan
eksekutif) mahupun Yang di-Pertuan Agong (Ketua Negara) tertakluk kepada
Perlembagaan Malaysia. Sebagai contoh, Parlimen tidak boleh membuat undang-
undang bagi perkara-perkara yang berada di luar bidang kuasanya. Kuasa
kehakiman mahkamah tertakluk kepada kehendak perlembagaan. Begitu juga kuasa
Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua bagi ketiga-tiga cabang kerajaan hendaklah
dijalankan tertakluk kepada sekatan yang dikenakan oleh perlembagaan. Malahan
undang-undang persekutuan atau negeru mengenai sesuatu perkara boleh
diisytiharkan sebagai tidak sah oleh mahkamah jika undang-undang itu bercanggah
dengan Perlembagaan Malaysia setakat mana undang-undang tersebut
bercanggah. Hal ini kerana perlembagaan memperuntukan dengan nyata Perkara
4(1) bahawa Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang utama Persekutuan
dan apa-apa undang-undang yang diluluskan yang berlawanan dengan
perlembagaan ini terbatal setakat mana yang berlawanan itu. Hal ini yang dikatakan
“keluhuran perlembagaan”.
DEFINISI KONTRAK SOSIAL
Teori kontrak sosial menurut pandangan ahli teori demokratik Eropah seperti
Thomas Hobbes (1651) dan John Locke (1689) ialah bahawa manusia mewujudkan
negara sebagai satu perjanjian bersama di mana setiap individu itu bersetuju
3
kepadanya. Kontrak ini bererti individu-individu yang bebas bersetuju untuk
menyerahkan haknya untuk memerintah diri sendiri itu kepada satu institusi bersama
yang berkuasa dan berdaulat.
Menurut bahasa, kontrak boleh didefinisikan sebagai perjanjian formal dengan
syarat-syarat tertentu antara dua pihak atau lebih. Ia juga boleh bermaksud
dokumen yang mengandungi syarat-syarat perjanjian atau cabang undang-undang
yang berkaitan dengan kontrak. Sosial pula boleh ditakrifkan sebagai segala yang
berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat dan kemasyarakatan. Oleh itu,
kontrak sosial apabila diasimilasikan boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk perjanjian
atau permuafakatan yang ditulis dan ditetapkan oleh undang-undang
(perlembagaan) yang melibatkan semua masyarakat di sesebuah negara. Oleh itu,
perbincangan kontrak sosial bagi penulisan ini akan ditumpukan kepada skop
perlaksanaannya di Malaysia.
Secara mudah, kontrak sosial merupakan satu istilah permuafakatan antara kaum
yang dicapai sebelum merdeka melalui satu persetujuan di kalangan rakyat dan
pemimpin yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Pemeteraian kontrak
sosial ini juga turut disertai dan dipersetujui oleh parti-parti yang mereka wakili iaitu
UMNO, MCA dan MIC. Istilah ini sebenarnya tidak wujud dalam Perlembagaan
Persekutuan 1957 tetapi dari perspektif lain, kontrak sosial sememangnya wujud
dalam sejarah negara dan permuafakatan yang dicapai itulah yang mentakrifkan
negara kita dan seterusnya menentukan sifat negara.
Kontrak sosial sebenarnya merupakan watikah asas keadilan sosial untuk negara.
Keadilan sosial yang terkandung dalam perjanjian ini merangkumi bukan sahaja soal
keadilan ekonomi tetapi juga keadilan politik dan keadilan kebudayaan. Oleh itu,
4
kontrak sosial yang dipersetujui perlu dijadikan rujukan asas segala usaha untuk
menegakkan keadilan sosial di negara ini. Pengajaran utama yang harus dipelajari
oleh kaum bukan Melayu ialah peristiwa rusuhan 13 Mei 1969 kerana mencabar
kedudukan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
KONTRAK SOSIAL DI MALAYSIA
Kontrak sosial ialah persefahaman semua kaum Melayu dan bukan Melayu
bersetuju atas beberapa perkara yang sangat penting kepada kestabilan negara.
Melalui Kontrak Sosial ini, orang bukan Melayu telah diberikan hak
kewarganegaraan yang longgar berasaskan prinsip Jus Soli (pengecualian tentang
perlunya mengetahui bahasa Melayu bagi bukan Melayu). Orang Melayu pula
diperuntukkan dalam perlembagaan mengenai agama Islam, Bahasa Melayu dan
kedudukan istimewa orang Melayu serta kedudukan Raja-raja Melayu.
Perlembagaan Malaya ini diisytihatkan pada 31 Ogos 1957, diperbaharui apabila
Singapura, Sabah dan Sarawak bergabung membentuk Malaysia pada 16
September 1963.
UNSUR-UNSUR TRADISI PERLEMBAGAAN DAN KONTRAK SOSIAL
Unsur-unsur tradisi adalah faktor penting untuk mewujudkan identiti Malaysia dan
memupuk persefahaman ke arah perpaduan. Ia juga kontrak sosial yang telah
disepakati. Unsur-unsur tradisi ini meliputi bahasa, agama, kedudukan istimewa
orang Melayu dan bumiputera Sabah Sarawak dan pemerintahan beraja. Ia
berperanan menstabilkan sistem politik negara. Unsur-unsur dilindungi di bawah
Akta Hasutan. Ia dianggap sebagai isu sensitif yang dilarang dijadikan isu
perbincangan awam.
5
ELEMEN-ELEMEN KONTRAK SOSIAL MENURUT PERLEMBAGAAN
PERSEKUTUAN
Perlembagaan Persekutuan adalah hasil daripada persetujuan yang tercapai antara
penduduk di Malaysia daripada kalangan kaum Melayu, Cina dan India.
Perlembagaan Malaysia bukan sahaja dokumen perundangan akan tetapi ia adalah
kontrak sosial dan perjanjian perdamaian. Perlembagaan Malaysia merupakan suatu
bentuk tolak ansur yang ulung dengan setiap kumpulan memberi sesuatu dan
kembali mendapat sesuatu (yang lain).
Manurut Shariff Ahmad (1991) yang pernah ditegaskan oleh Tunku Abdul Rahman:
“Orang Melayu sedia memberikan hak-hak munasabah dan patut kepada orang-
orang bukan Melayu. Orang Melayu telah memberikan pengorbanan yang begitu
banyak kepada bangsa-bangsa bukan Melayu. Belum ada satu bangsa anak negeri
yang berbudi sebegitu tinggi seperti yang diperbuat oleh orang Melayu.
Sesungguhnya ada jaminan hak-hak istimewa Melayu dalam perjanjian persekutuan
tetapi ia tidak sekali-kali mencegah dan menyekat bangsa-bangsa yang bukan
Melayu daripada mencapai kesenangan dan kejayaan, dan lagi sehingga sekarang
hak-hak istimewa Melayu itu masih belum lagi menghasilkan keadaan yang setaraf
di antara orang Melayu dengan bukan Melayu.”
Beberapa peruntukan yang digubal dalam perlembagaan mengekalkan beberapa
elemen penting yang menjadi tradisi sejak zaman sebelum penjajahan British lagi.
Para penggubal menganggap elemen-elemen tersebut penting memandangkan
peranan yang dimainkan dalam menjaga kestabilan negara terutamanya dalam
konteks negara Malaysia yang berbilang kaum. Peruntukan itu adalah hasil proses
6
tawar menawar pada asasnya merupakan semangat perjanjian di sebalik
pembentukan perlembagaan tahun 1957. Seperti yang diterangkan oleh Mohamed
Suffian Hashim (1987):
“Sebagai balasan kerana mengendurkan syarat kerana memberi kewarganegaraan
kepada orang-orang Melayu, hak-hak dan keistimewaan orang Melayu sebagai
peribumi negara ini hendaklah ditulis di dalam perlembagaan dan terdapat juga
peruntukan lain yang juga dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin bukan Melayu”
Inilah asas yang menjadi perjanjian sosial di antara masyarakat majmuk di Malaysia
dengan memberi pengorbanan dalam sebahagian hak mereka dan menghormati hak
sebahagian komuniti yang lain demi untuk keseimbangan dalam masyarakat
bernegara. Sebahagian besar ciri-ciri utama yang wujud dalam Perlembagaan
Persekutuan adalah unsur kontrak sosial yang dipersetujui oleh semua pihak.
Di mana-mana negara sekalipun, perlembagaan lahir hasil daripada perkembangan
sejarah. Perlembagaan juga merakamkan sifat-sifat asal negara itu merangkumi nilai
tradisi, politik dan kebudayaan. Elemen-elemen ini yang menjadikan bangsa Melayu
selaku bangsa asal yang mendiami Tanah Melayu memasukkannya ke dalam
Perlembagaan bagi mengekalkan keistimewaan mereka. Di antaranya ialah:
1 KEDUDUKAN RAJA MELAYU DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
Pemerintahan beraja memang telah sedia wujud dalam sistem sosial di negeri-
negeri Melayu sejak berabad-abad lamanya. Menurut sistem beraja ini, raja
mempunyai kuasa mutlak dalam setiap pemerintah dan pentadbiran negeri dengan
dibantu oleh pembesar-pembesar yang dilantik, khususnya sebelum penjajahan
British.
7
Namun semasa penjajahan British, kuasa mutlak raja mula terhad iaitu raja mesti
menerima nasihat Residen British dalam semua perkara kecuali dalam adat istiadat
Melayu dan agama Islam. Hal yang sama juga berlaku apabila British
memperkenalkan Malayan Union yang turut menghapuskan kuasa Raja-raja Melayu.
Tetapi selepas Malayan Union mendapat tentangan hebat daripada orang Melayu,
kuasa Raja-raja Melayu dikembalikan semula apabila Persekutuan Tanah Melayu
diperkenalkan
Setiap negara mencapai kemerdekaan, institusi beraja terus dikekalkan di bawah
konsep raja berpelembagaan selaras dengan sistem demokrasi yang diamalkan di
Malaysia. Menurut konsep Raja Berperlembagaan ini, raja-raja bertindak mengikut
lunas-lunas perlembagaan yang telah ditetapkan.
2. HAK KEISTIMEWAAN ORANG MELAYU DAN BUMIPUTERA SABAH DAN
SARAWAK
Kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak pula
disentuh dalam Perkara 153. Hak istimewa ini meliputi jawatan dalam perkhidmatan
awam, biasiswa, pendidikan, perniagaan dan kemudahan khas lain yang diberikan.
Walau bagaimanapun, perkara ini juga melindungi kaum-kaum lain, iaitu menjadi
tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi hak-hak mereka yang sah
menurut peruntukan lain. Begitu juga perkara ini tidak boleh dilaksanakan jika
mengakibatkan kehilangan sebarang jawatan awam yang dipegang oleh sesiapa
atau penarikan sebarang biasiswa atau keistimewaan yang dinikmati oleh kaum lain
atau perlucutan atau penamatan permit lesen yang dipegang olehnya.
8
Kedudukan-kedudukan istimewa lain orang Melayu termasuklah peruntukan Perkara
86 dan 90 berhubung dengan tanah rizab orang Melayu yang memberi kuat kuasa
undang-undang Perlembagaan kepada undang-undang sedia ada berkenaan
perkara melindungi tanah rizab orang Melayu daripada diselenggarakan oleh orang
bukan Melayu. Kemasukan perkhidmatan oleh orang Melayu ke dalam Rejimen
Askar Melayu, dengan pengecualian orang bukan Melayu, dikuatkuasakan oleh
Perkara 8 (5) dan dengan demikian boleh juga dianggap sebagai sebahagian
daripada kedudukan istimewa orang Melayu ( Mohd Salleh Abas, 1985).
Perlu juga diperjelaskan siapakah yang dikatakan orang Melayu dan Bumiputera
Sabah dan Sarawak itu. Dalam Perlembagaan Malaysia (Perkara 160), “Melayu” itu
ditakrifkan sebagai:
I. Lazimnya bertutur dalam Bahasa Melayu;
II. Menganuti agama Islam; dan
III. Mengamalkan adat istiadat Melayu.
Manakala Bumiputera di Sabah dan Sarawak ialah:
I. Di Sarawak terdiri daripada mana-mana satu kaum asli iaitu Bukitan, Bidayuh,
Dusun, Dayak Laut, Dayak Darat, Kadayan, Kalabit, Kayan, Kenyah, Kajang,
Lugat, Lisum, Melayu, Melanau, Murut, Penan, Sian, Tagal, Tabun dan Ukit
atau dia berketurunan campuran daripada kaum tersebut; dan
II. Di Sabah pula, anak atau cucu kepada seseorang daripada suatu kaum asli
Sabah dan dia telah dilahirkan di Sabah.
9
3. KEDUDUKAN ISLAM SEBAGAI AGAMA RASMI
Kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah satu isu yang penting
kerana ianya berkait rapat dengan kepercayaan dan iktikad majoroti penduduk
(orang Melayu) di Malaysia.
Dalam Perlembagaan Persekutuan dinyatakan:
“Agama Islam ialah bagi seluruh persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh
diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”
Menurut Tun Salleh Abbas, Melayu dan Islam adalah dua unsur yang bercantum
dan tidak boleh dipisahkan untuk tujuan undang-undang dan perlembagaan. Maka
adalah menjadi tanggungjawab Yang Dipertuan Agong untuk melindungi orang
Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Oleh kerana Islam dan Melayu merupakan dua entiti yang tidak boleh dipisahkan,
maka tugas menjaga orang Melayu termasuk juga melindungi dan menjaga agama
Islam.
Orang Melayu sebagaimana yang telah dijelaskan oleh penulis sebelum ini
ditakrifkan dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan iaitu sebagai seorang
yang menganut agama Islam, yang lazim bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan
adat istiadat Melayu.
Maka dengan ini, peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang
mengisytiharkan bahawa “Islam adalah agama bagi persekutuan” membayangkan
apa yang telah dipertahankan oleh orang Melayu sepanjang masa, malah sebelum
kuasa British masuk ke Malaysia lagi. Semasa penjajahan British, mereka membawa
masuk agama Kristian sementara kaum pendatang membawa masuk agama lain
10
seperti Hindu dan Buddha. Oleh yang demikian, menjadikan agama Islam sebagai
agama bagi Persekutuan mestilah juga memberikan pertimbangan kepada
kepercayaan kaum lain.
Oleh itu, Perkara 3 memperuntukan satu fasal imbangan yang menyebut “tetapi
agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian
Persekutuan“. Malah setiap kumpulan agama juga mempunyai hak untuk:
a) Menguruskan hal ehwal agamanya sendiri
b) Menubuh dan menyelenggara institusi-institusi bagi maksud-maksud agama atau
khairat, dan
c) Memperoleh dan memiliki harta benda serta memegang dan mentadbirkannya
mengikut undang-undang
Berikutan dengan Islam diterima sebagai agama bagi persekutuan, maka kerajaan
Persekutuan dan negeri mempunyai kebebasan, kuasa dan keistimewaan untuk
menubuhkan atau menyelenggara atau membantu penubuhan atau
penyelenggaraan institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam
mengadakan ajaran dalam agama Islam dan untuk mengeluarkan perbelanjaan
yang diperlukan untuk tujuan itu. Oleh itu, kerajaan persekutuan dan negeri melalui
akta dan enakmen perbekalan tahunan, diberi kuasa untuk membelanjakan wang
untuk pentadbiran agama Islam dan undang-undangnya. Peruntukan seumpama itu
jelas disahkan oleh Perkara 12(2).
11
4. BAHASA MELAYU
Bahasa kebangsaan disentuh dalam Perlembagaan melalui Perkara 152 yang
memperuntukkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu (yang mengikut
implikasi mestilah digunakan untuk maksud-maksud lain). Namun begitu, perkara ini
juga melindungi bahasa-bahasa lain dan seterusnya memperuntukkan bahawa tiada
sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan (selain maksud
rasmi) atau mengajar atau belajar bahasa lain.
CABARAN-CABARAN INTEGRASI NASIONAL
Malaysia baru sahaja menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-53. Pendek
kata, hari kemerdekaan kali ini disambut dengan begitu meriah sekali di seluruh
negara. Di mana-mana sahaja kibaran jalur gemilang jelas kelihatan. Suasana
sebegini mengingatkan kita ketika negara baru sahaja membebaskan diri daripada
cengkaman penjajah. Sesungguhnya, hari kebangsaan kali ini harus menjadi
kebanggaan semua, kerana Malaysia kini sebuah negara makmur dari aspek
ekonomi, aman damai dari aspek sosial dan mempunyai situasi politik yang stabil.
Malaysia juga semakin terkenal di peringkat antarabangsa dan menjadi teladan
kepada negara dunia ketiga yang lain. Bagaimanapun, di saat kita gembira berpesta
meraikan pencapaian cemerlang negara, kita harus berwaspada dengan ancaman
keretakan integrasi nasional di Malaysia. .
Integrasi nasional bagi sebuah negara berbilang kaum dengan komposisi minoriti
yang agak besar seperti Malaysia adalah pembolehubah penting dalam menentukan
kestabilan politik, sosial, malah ekonomi. Mana-mana kerajaan jua pastinya
berusaha untuk menentukan elemen-elemen penting ini digarap supaya
12
pembangunan sosial, ekonomi dan infrastruktur dapat dicapai.
Konsep integasi nasional berbeza dengan konsep perpaduan kaum, tetapi kedua-
duanya berteraskan kepada semangat nasionalisme yang tinggi dan saling
menyokong satu sama lain. Meninjau kanvas politik dan sosial di Malaysia, terdapat
segelintir pendekatan yang diambil oleh Malaysia dalam hal memulihara integrasi
nasional menongkah arus pendekatan yang diambil oleh Barat. Walau
bagaimanapun, Malaysia dalam banyak hal telah membuktikan bahawa
pendekatannya dalam usaha membentuk integrasi nasional telah berjaya dalam
gayanya yang tersendiri tanpa merujuk pada mazhab pendekatan Barat.
Pendekatan yang digunakan oleh kepimpinan Malaysia dalam beberapa aspek
berada dalam ekstrim yang bersongsangan berbanding dengan teori integrasi
nasional yang disarankan oleh pemikir-pemikir Barat dan yang diamalkan di sebelah
sana. Amerika dan beberapa negara Eropah seperti Britain dan Perancis misalnya
menggunakan konsep ‘mangkuk pelebur’ dalam pendekatan mereka untuk membina
integrasi nasional antara pelbagai kaum minoriti dan kaum superior dalam negara.
Dalam proses peleburan itu budaya kaum minoriti terlebur, tercerna dan teradun
dalam budaya majoriti yang lebih besar. Pendekatan ini, terutamanya di Amerika
Syarikat, tidak mengambilkira taraf pribumi sesuatu kaum. Contohnya, meskipun
kaum ‘red Indian’ adalah kaum pribumi Amerika Syarikat, namun budaya mereka
tidak mendapat tempat istimewa dalam proses integrasi nasional. Prinsip ini
menyokong pendekatan integrasi nasional yang mereka amalkan apabila kaum
pribumi itu hanyalah merupakan kaum minoriti berbanding dengan komposisi
nasional yang majoritinya adalah pendatang Barat. Namun dalam konteks Britain
ada juga nilai-nilai budaya minoriti yang positif daripada kacamata kepimpinan politik
13
serta budayawan yang diambil, dikekalkan dan terus diamalkan sebagai budaya
nasional meskipun berlaku improvisasi. Sama ada mereka setuju atau tidak, telah
berlaku proses asimilasi budaya yang kadangkala terpaksa mengorbankan malah
melenyapkan bahasa dan budaya nenek moyang golongan minoriti tertentu. Namun
di Malaysia kita lihat konsep mangkuk pelebur itu tidak wujud, sebaliknya yang
wujud ialah ‘mangkuk sayur-mayur’ yang tidak meleburkan mana-mana unsur etnik
tetapi mempersatukan kepelbagaian warna kulit dan budaya dalam satu
persekitaran yang sihat dan saling bertoleransi.
Dasar integrasi nasional Kerajaan Malaysia amat mesra dengan bahasa etnik
minoriti. Penggunaan bahasa etnik minoriti tidak pernah dikenakan hukuman malah
tidak pernah dilarang digunakan di mana-mana sekolah di Malaysia, meskipun di
sekolah-sekolah kebangsaan. Malah diwujudkan pula sekolah-sekolah jenis
kebangsaan dengan memberikan hak mutlak kepada etnik minoriti untuk
menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengajaran. Dalam konteks
media massa pula khalayak etnik minoriti juga diberikan hak untuk menerbitkan
akhbar mereka sendiri serta saluran radio yang seratus peratus menggunakan
bahasa ibunda mereka.
Mohd Noor Yazid (2000), calon kedoktoran dalam bidang politik antarabangsa di
The University of Burmingham, England, berpendapat bahawa integrasi nasional di
England tidak mendapat perhatian yang serius daripada pemerintah kerana
golongan etnik minoriti amat kecil berbanding dengan Malaysia. Malah kedudukan
komposisi kaum di Malaysia dilihat sebagai kritikal berbanding dengan negara-
negara jiran seperti Thailand, Singapura, Filipina dan Indonesia. Di Thailand 86%
14
komposisi rakyatnya terdiri daripada kaum majoriti Thai, komposisi kaum di
Singapura pula terdiri daripada 95% Cina, 98% jumlah penduduk Indonesia pula
adalah terdiri daripada kaum pribumi Indonesia manakala majoriti besar rakyat
Filipina adalah terdiri daripada kaum Filipino sendiri. Majoriti besar etnik pribumi di
negara-negara jiran (Singapura sahaja terdiri daripada majoriti kaum pendatang
Cina), mewujudkan iklim dan persekitaran sosial dan politik yang selesa bagi mereka
berbanding dengan Malaysia dengan komposisi Melayu (tidak termasuk kaum
bumiputera Sabah dan Sarawak) yang hampir sama banyak dengan jumlah
komposisi kaum Cina dan India. Dengan komposisi penduduk yang sedemikian
Malaysia harus berhati-hati dan sensitif dengan polisi integrasi nasional yang
diamalkannya..
Abdul Rashid Abdul Rahman (2007) , calon kedoktoran dalam bidang komunikasi
massa di University of Loughborough pula melihat bahawa hubungan kaum di
Malaysia amat sensitif dan masing-masing sentiasa menjaga tingkah laku agar tidak
melanggar batas-batas sensitiviti berkenaan. Kerajaan pula telah mengambil
langkah-langkah yang bijak untuk mengelakkan ketegangan kaum, khususnya
melalui Dasar Ekonomi Baru agar kekayaan negara dibahagikan sama rata antara
pelbagai kaum. Banyak peristiwa hitam dalam konteks perpaduan nasional telah
berlaku dalam sejarah Malaysia akibat daripada perlanggaran batas-batas sensitiviti
tersebut. Dengan itu, baik individu, kelompok masyarakat, ahli politik mahupun
media massa hendaklah berwaspada.
15