MENTERI BESAR SEMPURNAKAN SERAHAN
150 UNIT RUMAH TERES PPR SILIAU
YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan (Menteri Besar
Negeri Sembilan) telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci
Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Siliau Jaya, Port Dickson,
Negeri Sembilan pada 13 April 2017.
Beliau diiringi oleh YB Tan Sri Noh bin Haji Omar (Menteri Kesejahteraan
Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan). Turut hadir ialah YB
Datuk Seri Dr. S. Subramaniam (Presiden MIC merangkap Menteri
Kesihatan Malaysia).
Projek PPR Taman Siliau Jaya ini telah dibina di atas tapak seluas 20
ekar dengan kos sebanyak RM17.6 juta. Projek ini terdiri daripada 150
unit rumah teres berkeluasan 700 kaki persegi dan dilengkapi dengan
pelbagai kemudahan asas seperti dewan serbaguna, surau, tadika
dan taman permainan.
Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Kaedah Sewa untuk
Dimiliki (Rent-to-Own, RTO) di PPR Siliau Jaya ini bagi membantu
golongan berpendapatan rendah yang tidak mempunyai
pendapatan tetap, mempunyai komitmen bulanan yang tinggi dan
disenarai hitam.
Seramai 106 pemohon telah ditawarkan kaedah RTO dan akan
menerima kunci unit masing-masing, manakala 34 orang pemohon
lagi akan melalui proses pembiayaan daripada institusi kewangan
tempatan.
Di bawah Kaedah RTO ini, pemohon yang berjaya hanya perlu
membayar sewaan bulanan sebanyak RM200.00 hingga RM250.00
sebulan selama 20 hingga 25 tahun sebelum hak milik diserahkan
kepada mereka.
Dalam tempoh tersebut, sekiranya pemohon melanggar syarat-syarat
kontrak seperti menyewakan kepada pihak ketiga, tunggakan sewaan
bulanan melebihi tiga (3) bulan pada satu-satu masa,
menyalahgunakan premis selain daripada tujuan kediaman dan
melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Kerajaan, maka
Kerajaan berhak untuk menamatkan kontrak sewaan dan tidak layak
untuk meneruskan Kaedah RTO ini.
SUMBER : KPKT