1
E-Proceeding of the 1st INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978-967-
0850-45-0). 25th April 2016, Federal Hotel, Kuala Lumpur, MALAYSIA. Organized by Hadith Research
Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)
KELANGSUNGAN PENGAJIAN KITAB HADITH DI MASJID-MASJID
NEGERI SELANGOR
Rosni Wazir, Mohd Khafidz bin Soroni, Mohd Norzi bin Nasir, Mohd Fairuz bin A.Adi,
Nor Asyikin binti Hasan Adali
Akademi Islam,
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
ABSTRAK
Peranan masjid semenjak dari zaman Rasulullah s.a.w sehingga sekarang amat
penting dalam mendidik masyarakat ke arah pemahaman dan pengamalan yang
tepat tentang Islam. Antara fungsi masjid yang amat penting adalah
menyediakan kelas-kelas pengajian sama ada secara formal dan tidak formal.
Salah satu kelas pengajian yang mendapat sambutan adalah kelas pengajian
hadis sama ada ia berkaitan dengan ilmu hadis riwayah mahupun dirayah.
Kertas kerja ini akan melihat kepada peranan yang dimainkan oleh masjid-
masjid di negeri Selangor khususnya kepada kelas pengajian hadis yang
semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Peranan yang dimainkan ini
mampu memastikan kelangsungan pengajian hadis di masjid negeri Selangor
berlangsung dengan jaya untuk tempoh masa yang lama dan mampu mendidik
masyarakatnya untuk lebih memahami Islam dengan cara yang sebenarnya.
PENDAHULUAN
Masjid adalah institusi yang terpenting dalam perkembangan dan pendidikan agama Islam. Sejak
zaman Rasulullah s.a.w., masjid telah menjadi pusat kegiatan pelbagai program keagamaan. Selain
menjadi pusat ibadat, masjid juga berperanan dalam setiap kegiatan masyarakat seperti pusat
pentadbiran, pendididkan, kesenian dan ekonomi. Dalam konteks pendidikan, masjid memainkan
peranan penting sebgai tempat tumpuan umat Islam mendapatkan pendidikan secara formal atau tidak
formal. Zaman Rasulullah s.a.w. terdapat banyak proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung di
masjid. Dalam sistem pendidikan pada zaman Rasulullah s.a.w., masjid telah dijadikan pusat
pendidikan kepada masyarakat Islam pada waktu itu dan situasi ini semakin berkembang pesat zaman
kegemilangan Islam. Pembinaan masjid di Quba’ dan seterusnya di Madinah menunjukkan
kepentingan masjid dalam sistem pendidikan Islam yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w. Sistem
pendidikan ini terus berkembang pesat dengan terbinanya sekolah, madrasah dan institusi pengajian
tinggi zaman keagungan Islam.1
Semasa perkembangan keagungan Islam, bermula dari zaman Nabi Muhammad s.a.w. sehingga
zaman khalifah-khalifah Islam (Umayyah – ‘Uthmaniyyah), banyak masjid telah didirikan bagi tujuan
pendidikan kepada masyarakat Islam di samping peranannya sebagai pusat ibadah, pentadbiran dan
1 Ab. Halim Tamuri & Nik Mohd Rahimi Nik Yusoff (2011), Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran
Pendidikan Islam, Bangi: Penerbit UKM, hlm. 170-173
2
E-Proceeding of the 1st INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978-967-
0850-45-0). 25th April 2016, Federal Hotel, Kuala Lumpur, MALAYSIA. Organized by Hadith Research
Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)
kemasyarakatan. Sistem pendidikan Islam secara umumnya menjadikan masjid sebagai pusat
pendidikan utama. Contohnya yang paling jelas adalah Universiti Al-Azhar, iaitu universiti tertua
dalam sistem pendidikan Islam yang berasaskan kepada pendidikan di masjid. Perkembangan
pendidikan Islam juga berlaku di Malaysia, apabila masjid telah menjadi pusat pendidikan yang
penting bagi masyarakat Islam di negara ini. Sehubungan itu, dalam meningkatkan keberkesanan
pendidikan Islam, fungsi masjid sebagai pusat pendidikan perlu dihidupkan semula agar masjid
kembali mendapat tempat dalam masyarakat orang Islam masa kini, khususnya dalam kalangan
generasi muda.2
Usaha untuk memberi kefahaman hadis yang tepat kepada masyarakat menjadi tanggungjawab dan
kewajipan bersama, terutamanya bagi para ahli ilmu. Menyampaikan hadith di masjid dan surau
melalui pelbagai metode semasa oleh seseorang pengajar hadith juga dilihat sebagai usaha untuk
memberi kefahaman hadis kepada masyarakat.3
Pengajian ilmu berkitab merupakan medium pengajaran dan pembelajaran yang telah dipraktiskan
oleh para ulama dan ilmuwan Islam sejak sekian lama. Tradisi ini berkembang seiring dengan
perkembangan pelbagai ilmu pengetahuan Islam yang asasnya bersumberkan wahyu.
nstitusi masjid dilihat sebagai pusat utama dan elemen asas yang telah memainkan peranan penting
terhadap perkembangan tradisi ini. Fenomena semasa memperlihatkan kesedaran dan minat
masyarakat yang semakin mendalam terhadap pengajian-pengajian ilmu yang dilakukan di masjid-
masjid serata negeri, khususnya di Selangor.
PENGAJIAN KITAB HADIS DALAM TRADISI PENGAJIAN ISLAM
Pengajian hadis merupakan satu cabang penting dalam pengajian Islam yang wujud serentak dengan
perutusan Nabi Muhammad s.a.w. Baginda juga sebagai pembimbing kepada para sahabatnya dan
seluruh ummat sekalian alam. Hadis-hadis yang disampaikan kepada para sahabat menjadi pedoman
kepada mereka dalam menjalani syariat dengan cara yang lurus seterusnya menghasilkan kehidupan
yang diredhai Allah s.w.t. Perkembangan pengajian hadis sudah tentunya bermula seawal zaman Nabi
Muhammad s.a.w diutuskan seterusnya pengajian hadis diteruskan oleh para sahabat dan tabi’in
hingga ke hari ini.
Pengajian Hadis Zaman Rasulullah s.a.w
Semenjak awal lagi, Rasulullah s.a.w telah menekankan budaya keilmuwan di kalangan para sahabat.
Mereka digalakkan menghafal al-Quran, hadis di samping mendalami ilmu-ilmu lain. Bertepatan
dengan firman Allah s.w.t surah al-‘Alaq ayat 1:
2 Ibid.
3 Muhammad bin Umar Bazmul, (t.t), ‘Ilm Syarh al-Hadith wa Rawafid al-Bahth fihi. t.p., hlm.7-8.
3
E-Proceeding of the 1st INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978-967-
0850-45-0). 25th April 2016, Federal Hotel, Kuala Lumpur, MALAYSIA. Organized by Hadith Research
Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)
Maksudnya: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian
makhluk).”
Pengajian hadis yang sedia ada pada masa kini sebenarnya telah melalui banyak peringkat
kematangan sehinggalah ia menjadi salah satu cabang ilmu yang unik dan terpercaya di dalam Islam.
Pengajian hadis sudah bermula lebih 1400 tahun yang lalu iaitu sejak zaman Rasulullah s.a.w. Pada
peringkat awal, hadis dihafal oleh para sahabat dan tidak dibenarkan untuk ditulis kerana dibimbangi
bercampur dengan ayat-ayat al-Quran. Tetapi tidak lama selepas itu larangan tesebut diangkat kerana
kebimbangan itu dapat diatasi kerana para sahabat r.a mempunyai kemampuan untuk membezakan
ayat-ayat al-Quran dengan hadis Nabi s.a.w.
Dalam menyampaikan hadis, Rasulullah s.a.w tidak menentukan tempat khusus sebagai medium
penyampaian, tetapi secara kebiasaannya masjid dan rumah baginda menjadi tempat baginda berucap
dan menyampaikan hadis. Terdapat sebilangan sahabat r.a yang mempunyai catatan hadis yang
mereka rekodkan sendiri. Catatan tersebut dipanggil sebagai sahifah iaitu helaian ringkas. Di antara
mereka yang mempunyai sahifah tersendiri adalah Sa’d bin ‘Ubadah al-Ansori r.a, Samrah bin Jundab
r.a, Jabir bin ‘Abdullah al-Ansari r.a, Anas bin Malik r.a dan lain-lain lagi.4
Para sahabat menerima hadis sama secara lisan seperti menerima ayat-ayat suci al-Quran yang
diwahyukan oleh Allah s.w.t. Sebahagian dari mereka sentiasa berdamping dan mengikuti
perkembangan serta gerak geri Rasulullah s.a.w. Ini kerana mereka sentiasa menunggu untuk
mendengar hadis dan mempelajarinya terus dari Rasulullah s.a.w. Baginda selalu mengulangi hadis
baginda sebanyak tiga kali bertujuan supaya para sahabat dapat mendengar dengan baik seterusnya
dapat menghafal apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. Sementara itu nada bahasa dan gaya
Rasulullah adalah berbeza mengikut suasana dan keadaan. Adakalanya baginda menyampaikan hadis
dengan nada suara yang tinggi dan keras menunjukkan hadis itu mengandungi pekara penting dan
sebaliknya. Penyampaian hadis tidak hanya tertentu pada kaum lelaki sahaja bahkan nabi juga
meriwayat dan mengajarkan hadis kepada kamu wanita. Nabi Muhammad s.a.w juga menggalakkan
supaya hadis yang telah dihafal dan dipelajari itu agar disampaikan kepada yang tidak berkesempatan
mendengarnya demi kebaikan dan kemaslahatan bersama.5
Dalam keadaan lain pula, hadis disampaikan dalam bentuk catatan, cara ini berlaku semasa hayat
Rasulullah s.a.w. Baginda pernah memerintahkan penulisnya menulis surat untuk dihantar kepada
pemerintah bukan Islam, gabenor, ketua-ketua tentera dan membuat perjanjian.6
Selain dari dari cara tersebut, hadis juga disampaikan melalui amalan atau praktikal seperti cara
menunaikan solat, zakat dan amalan lain yang dilakukan oleh baginda s.a.w seterusnya difahami dan
4 Masturi Irham, 2013, Sistematika Kodifikasi Hadis Nabi Dari Tinjauan Sejarah. Jurnal Addin. Vol 2.
5 Muhd ‘Ajjaj al-Khatib (1988), al-Sunnah Qabl al-Tadwin, Maktabah Umm al-Qura li Tiba’ah wa al-Nasyr,
hlm 54. 6 Md. Hamidullah (1969), al Watha’iq al-Siyasiyyah, Bayrut, hlm 100-101.
4
E-Proceeding of the 1st INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978-967-
0850-45-0). 25th April 2016, Federal Hotel, Kuala Lumpur, MALAYSIA. Organized by Hadith Research
Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)
dicontohi oleh para sahabat r.a. Sahabat menggunakan cara yang sama dalam penyampaikan hadis-
hadis yang berbentuk praktikal ke generasi seterusnya.7
Pengajian Hadis Zaman Sahabat r.a
Setelah kewafatan Rasulullah s.a.w para sahabat mengembara ke negeri-negeri di bawah
pemerintahan Islam untuk mendapatkan hadis dari sahabat lain yang mengajar di negara jajahan
tersebut atau sebagai wakil khalifah di sana. Mereka berbuat sedemikian kerana ingin memastikan
keaslian sesuatu hadis yang tidak didengarinya tetapi terdapat sahabat yang lain telah mendengar
secara langsung dari Rasulullah s.a.w. Para sahabat amat berhati-hati dalam meriwayat dan menerima
sesuatu hadis agar setiap kalimah yang keluar dari mulut mereka adalah sebagaimana yang
diriwayatkan oleh Rasulullah s.a.w tanpa sebarang kesilapan dan kekeliruan. Antara langkah berhati-
hati, Saidina Umar r.a. mengingkari banyak periwayatan hadis atau sebarang khabar tanpa disertai
dengan saksi. Begitu juga yang dilakukan oleh Saidina Abu Bakr r.a, Zubayr r.a dan lain-lain sahabat.
Mereka melakukan demikian sebagai langkah berhati-hati supaya tidak terjatuh dalam kesalahan
dalam periwayatan.8
Rasulullah s.a.w telah menjelaskan kedudukan sahabat dalam satu hadis :
.من ، مث الذين يلو منخريكم قرين مث الذين يلو
Maksudnya: "Sebaik-baik kamu adalah orang yang berada dalam generasiku (sahabat). Kemudian
orang yang datang sesudah mereka (tabi’in), kemudian orang-orang sesudah mereka (tabi’ tabi’in).”9
Oleh itu hadis yang diriwayatkan oleh para sahabat tidak boleh diragukan kerana mereka telah
mendapat pengiktirafan dari Nabi Muhammad s.a.w. walaupun bilangan perawi hanya seorang sahaja.
Mereka juga bersungguh-sungguh menyampaikan hadis kepada orang lain untuk diamalkan dan
dijadikan panduan hidup. Pada zaman inilah hadis disebarkan secara meluas apabila berlakunya
pembukaan negara-negara Islam serta penghijrahan para sahabat ke negara-negara tersebut. Di
kalangan para sahabat yang banyak meriwayatkan hadis ialah Abu Hurairah r.a iaitu sebanyak lima
ribu tiga ratus tujuh puluh empat hadis (5374). Diikuti dengan Abdullah bin Umar r.a sebanyak dua
ribu enam ratus tiga puluh hadis (2630), kemudian Anas bin Malik r.a sebanyak dua ribu dua ratus
lapan puluh enam (2286) dan seterusnya diikuti oleh para sahabat yang lain.
Pengajian Hadis Zaman Tabi’in hingga kini
Pada zaman ini berlakunya perkembangan besar dalam ilmu hadis. Ahli-ahli hadis terpaksa lebih
berhati-hati untuk menerima satu-satu hadis kerana telah berlaku fitnah yang besar disebabkan oleh
7 Muhd ‘Ajjaj al-Khatib (1988 al-Sunnah Qabl al-Tadwin, Maktabah Umm al-Qura li al-Tiba’ah wa al-Nasyr,
hlm 93. 8 Ibid.
9 Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail, tahqiq : Fuad Abd al-Baqi Sahih al-Bukhari, Kitab al-Syahadah, jilid.3,
no. hadis 265, Dar Tawq al-Najah : Bayrut
5
E-Proceeding of the 1st INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978-967-
0850-45-0). 25th April 2016, Federal Hotel, Kuala Lumpur, MALAYSIA. Organized by Hadith Research
Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)
perpecahan umat Islam akibat pertikaian politik di antara Sayyidina ‘Ali r.a dan Mu’awiyyah r.a di
akhir pemerintahan Saiyyidina ‘Ali r.a. Pertikaian ini berlarutan kepada zaman tabi’in sehingga
merebak kepada permasalahan akidah dan ibadah serta soal-soal kehidupan yang lain. Untuk
memenangkan puak masing-masing, mereka terpaksa mereka-reka hadis palsu bagi menguat dan
mempertahankan hujah dan pendapat yang dipegang itu.
Keadaaan ini telah mendorong para ulama terutamanya ahli-ahli hadis berusaha menitikberatkan
kesahihahan hadis dan mengenali salasilah periwayatan hadis yang kemudiannya telah membentuk
satu cabang ilmu hadis yang penting iaitu Isnad al-Hadith.10
Pada zaman tabi’in mereka masih lagi menurut jejak langkah para sahabat di samping mengembara
dan mencari hadis yang belum mereka dengar atau mempelajari ilmu-ilmu yang belum pelajari
daripada tabi’in lain. Maka melalui cara ini, hadis dan pengajiannya terus berkembang dari satu
tempat ke satu tempat yang baru bukan sahaja di Mekah dan Madinah bahkan ke negara-negara lain di
bawah pemerintahan Islam. Keperihatinan tabi’in dalam pengajian hadis dibuktikan dengan
terdapatnya sahifah atau buku kecil hadis. Antaranya kepunyaan seorang tabi’in bernama Humam bin
Munabbih di mana beliau mencatat hadis-hadis yang beliau dengar Sayidina Abu Hurairah r.a.
Seterusnya pada zaman ini juga hadis telah dibukukan secara serius berikutan arahan dari pemerintah
‘Umar ‘Abd al-‘Aziz kepada alim ulama, antara mereka seorang tabi’in yang fakih bernama Abu Bakr
bin Hazm.11
Kelangsungan pengajian hadis di dunia Islam kini, termasuk di Nusantara adalah hasil dari
pengorbanan dan penat lelah ulama terdahulu melalui karya penulisan dan kesungguhan mereka
mengajar dan memberi faham kepada masyarakat Islam berkenaan hadis-hadis Nabi s.a.w. Di
Nusantara, antara tokoh ulama Melayu yang direkodkan sebagai orang yang banyak menyumbang
dalam pengajian hadis adalah seperti Haji Yaakub Gajah Mati, Tuan Guru Pak Chu Him, Haji Awang
Beta dan Haji Saleh Pedada di mana kebanyakan mereka mengajar Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim,
Riyadh alSalihin dan Bulugh al-Maram.12
PERKEMBANGAN PENGAJIAN HADIS DI MALAYSIA
Perkembangan hadis di Malaysia kini semakin bertambah rancak dengan siri-siri pengajian hadis yang
diadakan di masjid-masjid. Antara tokoh-tokoh ulama yang memberikan sumbangan yang besar
dalam pengajaran hadis di masjid-masjid ialah Dr. Muhammad Abu al-Layth al-Khayr Abadi, Dr.
Abdul Hayei Abdul Sukor, Ustaz Mohd. Khairudin dan lain-lain. Keilmuan dan kepakaran yang
dimiliki oleh Dr. Muhammad Abu al-Layth dalam bidang hadis digunakan sebaiknya melalui
pengajaran kitab Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Melalui pengajaran kitab tersebut masyarakat terutamanya
golongan pelajar didedahkan dan dibiasakan dengan kandungan kitab yang perbahasannya sangat luas
dan terperinci. Dr. Abdul Hayei bin Abdul Sukor yang pernah mengikuti pengajian di Deoband India
10
Al-Khatib al-Baghdadi (1974), Taqyid al-Ilmi, tahqiq Yusuf al-‘Asy, Dimasyq: Dar Ihya’, hlm 105. 11
Salahuddin al Nakdili (2009), Lamahat fi al-Sunnah al-Nabawiyyah, Dar Ilmiyyah li’ I’lam, hlm 12. 12
Fauzi Deraman, Ishak Hj Sulaiman, Faisal Ahmad Shah ( 2010), Pengajian Hadis Di Malaysia, Petaling Jaya
: Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, hlm 16.
6
E-Proceeding of the 1st INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978-967-
0850-45-0). 25th April 2016, Federal Hotel, Kuala Lumpur, MALAYSIA. Organized by Hadith Research
Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)
merupakan bekas Profesor Madya di Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya. Melalui pengajaran Sahih al-Bukhari pada setiap hari Jumaat yang diadakan di
Masjid Sultan Abdul Aziz Seksyen 14, Petaling Jaya sedikit sebanyak membantu memperkenalkan
kepada masyarakat awam mengenai kandungan dan perbahasan hadith yang terdapat dalam Sahih al-
Bukhari. Beliau juga turut mengajar buku karangan beliau yang mengandungi koleksi hadith-hadith
Nabi SAW, iaitu “Islam Dalam Sabda” di masjid yang sama. Dengan menggunakan kitab Sahih al-
Bukhari juga, beliau mengajar bagi kuliah maghrib di Masjid Saidina Umar al-Khattab, Bukit
Damansara, Kuala Lumpur pada setiap hari Rabu. Di Masjid Saidina Abu Bakar, Bangsar Kuala
Lumpur, beliau mengajar kitab Mukhtasar Sahih al-Bukhari, pada waktu kuliah maghrib setiap hari
Ahad dua minggu sekali.13
Ustaz Mohd. Khairudin memainkan peranan utama sebagai penggerak dan penceramah utama bagi
aktiviti kuliah di Darul Fuqaha. Kitab Riyad al-Salihin karangan al-Imam alNawawi dan kitab Bulugh
al-Maram karangan Ibn Hajar al-‘Asqalani menjadi bahan bacaan kuliah untuk kuliah Dhuha yang
dijalankan di Balai Islam, Darul Fuqaha. Kuliah Dhuha ini dijalankan pada setiap hari Sabtu setiap
minggu bermula jam 9.00 pagi. Kuliah ini menarik perhatian masyarakat umum khususnya para
pelajar Maktab Perguruan Islam Bangi untuk hadir mendengar perbincangan hadith yang dipetik
daripada 2 kitab hadith tersebut. Selain daripada kuliah yang diadakan, Darul Fuqaha juga pernah
menganjurkan beberapa siri seminar berkaitan hadith seperti Seminar Tokoh Hadith yang
membincangkan mengenai dua tokoh hadith iaitu al-Imam al-Nawawi dan al-Hafiz Ibn Hajar al-
‘Asqalani. Selain kuliah di Darul Fuqaha, Ustaz Mohd Khairudin juga mengajar kitab-kitab hadith
seperti Bulugh al-Maram dan Riyad al-Salihin di beberapa buah masjid seperti Masjid KLCC dan
Masjid al-Falah.14
Penggunaan dan pendedahan kitab Sahih al-Bukhari, Riyad al-Salihin dan Bulugh al-Maram kepada
masyarakat awam merupakan suatu usaha terpuji setelah mereka sebelum ini hanya terikat dengan
kitab-kitab hadis yang sama, seperti kitab Hadith Empat Puluh oleh Imam al-Nawawi. Justeru, telah
sampai masanya masyarakat awam di Malaysia dibiasakan dengan kitab-kitab hadis utama,
terutamanya al-Kutub al-Sittah. Selain daripada kitab-kitab hadis yang dikarang dan disusun oleh ahli
hadis pada awal kurun Islam, karya-karya hadis yang dihasilkan oleh ulama’-ulama’ Nusantara juga
menjadi bahan pengajaran di institusi masjid. Di kalangan masyarakat awam di Malaysia antara kitab
hadis yang ditulis di dalam bahasa Melayu Jawi yang menjadi pilihan untuk diajar di surau-surau dan
masjid-masjid bagi mengisi kuliah maghrib adalah Hadith Empat Puluh karya Mustafa Abdul
Rahman, Bahr al-Madhi karangan Syeikh Mohammed Idris al-Marbawi, Kitab Mustika Hadith
terbitan JAKIM yang dikarang oleh Hj. Mohd Nor bin Hj. Ibrahim, Haji Ismail bin Haji Yusof dan
Sheikh Abdullah Basmeih.15
Berdasarkan tinjauan awal yang dibuat oleh Suhaimi Abdul Wafir mengenai dan pengajaran hadis di
surau dan masjid di negeri Perak, hampir semua masjid dan surau daerah, kawasan dan juga kampung
di negeri Perak pada hari ini telah menjalankan kelas pengajian hadith. Kelas-kelas ini sebahagiannya
dikendalikan oleh Masjid Agama Islam Negeri Perak dengan diberikan elaun kepada setiap guru dan
ada juga yang dilakukan oleh guru-guru agama secara sukarela. Beliau telah membuat kajian di Majlis
13
Ibid. 14
Ibid. 15
Ibid.
7
E-Proceeding of the 1st INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978-967-
0850-45-0). 25th April 2016, Federal Hotel, Kuala Lumpur, MALAYSIA. Organized by Hadith Research
Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)
Agama Islam Negeri Perak, Jabatan Mufti dan Bahagian Guru-guru Ta’mir dan meninjau ke beberapa
buah masjid dan surau di negeri ini terutama di sekitar Bandaraya Ipoh (beliau sendiri terlibat dalam
memberikan pengajian hadith di sekitar bandaraya ini) untuk mendapatkan maklumat dan
perkembangan pengajian hadis di negeri ini.16
Pengajian hadis di masjid, surau atau madrasah pada keseluruhannya ada persamaan dan tidak banyak
perbezaan dari segi metodenya, kitab yang diajar, pendekatan dan juga cara pengajiannya. Cara
pengajian dan penyampaian dapat dilihat melalui lima bentuk berikut : 17
i. Membaca kitab hadis tertentu. Kebanyakan kitab yang dibaca adalah kitab-kitab hadith dalam
Bahasa Melayu, seperti Bahr al-Madhi, Syarh Matn al-Arba’in, Mustika Hadith dan Riyad al-
Salihin.
ii. Selain daripada cara di atas terdapat juga pengajian hadis yang dilakukan secara tematik.
Tajuk-tajuk yang ditumpukan dalam pengajian hadis ini ialah: Hadith-hadith hukum, seperti
kitab terjemahan Bulugh al-Maram, dan akidah, seperti kitab Empat Puluh Hadith Peristiwa
Akhir Zaman oleh Abu Ali Ahmad Fahmi bin Zamzam al-Banjari al-Nadwi.
iii. Tidak terikat dengan kitab yang tertentu, tetapi dirujuk kepada banyak kitab hadis yang
terkenal dengan penjelasan dan huraian yang luas mencakupi bidang syariah, akidah, tauhid,
akhlak, kemasyarakatan, politik dan sebagainya. Penekanan yang diberi oleh guru pula lebih
berdasarkan kepada pengkhususan, minat dan kitab-kitab hadith yang baik bagi mereka. Cara
begini biasanya dilakukan di masjid-masjid besar di Bandar Ipoh seperti Masjid Negeri di
Ipoh dan Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh kerana sesuai dengan keadaan orang ramai di
bandar yang umumnya mempunyai berbagai latar belakang disiplin pengajian.
iv. Kaedah penyampaian, kebanyakan guru-guru yang mengajar hadis di masjid, surau dan
madrasah mengambil kira keadaan orang yang datang belajar. Oleh itu tenaga pengajar akan
menerangkan dengan cara yang sesuai dan mudah difahami masyarakat setempat,
terutamanya orang-orang kampung yang tidak berpelajaran tinggi.
v. Penyampaian lebih ditumpukan kepada memberikan kesedaran dan mengaitkan pengajian
dengan isu semasa yang berlaku, tidak terburu-buru untuk menghabiskan silibus kitab hadis
yang diajar, kerana pengajaran tidak terikat kepada masa yang tertentu untuk dihabiskan
silibus yang diajar.
Pengajian hadis di masjid, surau dan madrasah pada masa ini mendapat sambutan menggalakkan
dari pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya di bandar-bandar yang banyak terdapat pusat-pusat
pengajian tinggi. Pada keseluruhannya pengajian hadis di dalam sistem halaqah ini masih lagi
perlu diperbaiki dari segi kaedah penyampaian serta pendekatan-pendekatan yang sesuai dengan
keadaan semasa dan taraf pemikiran pendengar yang hadir, terutama di bandar-bandar kerana
kebanyakan yang hadir mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi.18
16
Ibid. 17
Ibid. 18
Ibid.
8
E-Proceeding of the 1st INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978-967-
0850-45-0). 25th April 2016, Federal Hotel, Kuala Lumpur, MALAYSIA. Organized by Hadith Research
Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)
Bagi meningkatkan lagi mutu pengajian hadis melalui cara ini, usaha-usaha hendaklah
ditingkatkan bagi menggalakkan lagi orang ramai menyertai kelas pengajian hadis. Guru-guru
yang berkelayakan juga hendaklah disediakan secukupnya. Begitu juga orang-orang yang
berkelayakan seharusnya tampil menyampaikan pengajian hadis kepada orang ramai.
KELANGSUNGAN PENGAJIAN HADIS DI MASJID NEGERI SELANGOR
Satu kajian telah dilakukan di tiga buah masjid yang mewakili tiga daerah di negeri Selangor,
iaitu zon utara, zon tengah dan zon selatan. Tiga buah masjid ini dipilih berdasarkan sistem
penanda aras kecemerlangan dari sudut pengurusan dan aktiviti yang aktif dijalankan serta
tarafnya sebagai masjid daerah daripada sembilan daerah di negeri Selangor.19
Pembahagian lokasi kajian adalah seperti yang dinyatakan dalam Jadual 1.1 di bawah:
Bil. Zon Daerah Masjid
1. Zon Utara Kuala Selangor Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Kuala Selangor
2. Zon Tengah Petaling Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah
Alam
3. Zon Selatan Hulu Langat Masjid al-Hasanah, Bandar Baru Bangi
Kajian ini dijalankan untuk melihat kesesuaian hadis-hadis di dalam kitab yang digunakan di
masjid-masjid di Selangor menurut garis panduan yang ditentukan oleh ulama hadis. Ia juga bagi
memastikan kaedah pengajaran yang digunakan bersesuaian dengan ahli jemaah. Kajian ini juga
untuk mengenal pasti keberkesanan pengajaran hadis terhadap ahli jemaah. Bertitik tolak dari
kajian ini, satu modul mampu dihasilkan untuk dijadikan panduan guru-guru dalam pengajaran
kitab hadis, bukan sahaja di masjid, malah di tempat-tempat lain seperti surau-surau, kelas-kelas
pengajian persendirian, institusi-institusi formal dan non-formal. Jelasnya dapatan kajian mampu
digunakan untuk memperbaiki kelemahan dan memantapkan lagi kelebihan yang telah sedia ada
dalam pengajian kitab hadis di masjid-masjid negeri Selangor. Pihak-pihak yang terlibat, terutama
Bahagian Pengurusan Masjid (JAIS), pihak pengurusan masjid dan guru atau tenaga pengajar
yang mengajar amat perlu memberi perhatian utama terhadap perkara ini. Justeru, pengajian kitab
hadis akan dapat dijalankan dengan lebih baik dan berkesan serta mampu menarik minat
masyarakat untuk mempelajari dengan lebih mendalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w.
Namun begitu, penulisan ini hanya akan memfokuskan kepada kelangsungan pengajian hadis di
masjid-masjid di negeri Selangor sahaja.
19
Maklumat lanjut tentang masjid dapat dilihat dalam Laporan Penyelidikan Dana Dalaman KUIS Tahun 2014
yang bertajuk Pengajian Kitab Hadis di Masjid-Masjid Negeri Selangor (April 2014-Disember 2015), Mohd
Khafidz Soroni, Mohd Norzi Nasir, Rosni Wazir, Muhammad Fairuz A.Adi dan Nor Asyikin Hasan Adali, hlm.
42- 45.
9
E-Proceeding of the 1st INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978-967-
0850-45-0). 25th April 2016, Federal Hotel, Kuala Lumpur, MALAYSIA. Organized by Hadith Research
Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)
Pengajian hadis di masjid-masjid negeri Selangor mempunyai masa depan yang cerah dan mampu
berlangsung dalam satu tempoh masa yang lama kerana sebab-sebab berikut :
a) Latar belakang tenaga pengajar yang memuaskan.
Kelangsungan dilihat berdasarkan kepada latar belakang tenaga pengajar yang mempunyai
latar belakang pendidikan yang berbeza daripada pelbagai negara. Kebanyakan daripada
mereka menyambung pengajian di peringkat sarjana muda mahupun sarjana di universiti
tempatan dan luar negara seperti Indonesia, Thailand, Pakistan, Mesir dan sebagainya. Ada di
antara tenaga pengajar yang mempunyai kepakaran dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Malaysia,
Bahasa Arab dan Bahasa Urdu rentetan pengalaman beliau yang melanjutkan pelajaran di
negara yang terletak di Asia Selatan. Selain itu, sesetengah tenaga pengajar juga mempunyai
latar belakang pendidikan dalam bidang perguruan sekaligus menjadi satu kelebihan ketika
berkomunikasi dengan masyarakat. Kesemua tenaga pengajar mempunyai pengalaman
berkhidmat dengan masyarakat sebelum mereka menabur bakti secara langsung di masjid di
mana ianya menjadi faktor besar kelangsungan pengajaran pengajian kitab hadis.20
b) Tenaga pengajar sentiasa dilahirkan dari IPTA, IPTS di Malaysia dan luar negara.
Ternyata perkembangan ini, adalah amat positif kerana bidang pengajian hadis khususnya
semakin mendapat tempat di IPTA dan IPTS seluruh Malaysia dan di luar negara. Boleh
dikatakan hampir keseluruhan institut pengaian tinggi Islam menawarkan pilihan pengajian
berteraskan al-Quran dan al-Sunnah ini. Melihat pada keadaan ini, “bekalan” tenaga pengajar
bagi masjid-masjid di seluruh Selangor tidak berkurangan dan menjamin kelangsungan
pengajian hadis ini untuk tempoh masa yang lama.21
c) Tenaga pengajar adalah mereka yang berpengalaman luas dalam bidang masing-
masing.
Hasil analisis menunjukkan bahawa tenaga-tenaga pengajar bagi pengajian kitab hadis di
sekitar Selangor ini merupakan individu-individu yang mempunyai pengalaman yang luas
bukan sahaja tertumpu kepada lapangan ilmu hadis, malah dalam lapangan ilmu Islam yang
lain.
Selain itu, secara asasnya, tenaga pengajar mestilah bertauliah dalam mencurahkan ilmu
kepada ahli jemaah masjid. Hal ini kerana, pentauliahan tersebut memberi kesan sedikit
sebanyak kepada masyarakat berkenaan tahap kefahaman mereka terhadap ilmu hadis. Ilmu
hadis tidak hanya berfokus kepada pembacaan semata, tetapi mestilah diterangkan sebaik
mungkin dari sudut kesahihan dan martabat sesuatu hadis. Sekiranya tenaga pengajar tidak
mempunyai tauliah, pihak masjid akan menjemput mereka secara berkala iaitu sebulan sekali
disamping mengusahakan pentauliahan sementara di JAIS. Keseriusan yang ditunjukkan oleh
pihak JAIS ini sangat terpuji kerana selain memastikan kelas pengajian berlangsung dengan
cara yang betul dan tepat sebagaimana yang diingini oleh Islam bahkan sentiasa membuka
20
Ibid., hlm. 46-49 21
Ibid.
10
E-Proceeding of the 1st INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978-967-
0850-45-0). 25th April 2016, Federal Hotel, Kuala Lumpur, MALAYSIA. Organized by Hadith Research
Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)
peluang kepada sesiapa sahaja untuk mengajar dengan syarat mengikuti syarat dan peraturan
yang ditetapkan.
Temubual yang dibuat terhadap tenaga pengajar juga menunjukkan hampir keseluruhan
membuat persediaan yang cukup sebelum ke kelas sehingga ada yang tidur lewat demi untuk
memastikan penyampaian yang diberikan nanti mampu memberikan impak yang maksimum
kepada jamaah. Malahan persediaan yang dibuat melangkaui disiplin ilmu hadis seperti fikah,
sirah, tafsir, akidah, tasawuf dan lain-lain.22
d) Pihak masjid sentiasa menyediakan wang sagu hati yang mencukupi untuk tenaga
pengajar
Berdasarkan analisis temu bual dengan pihak JAIS, bayaran tenaga pengajar ditentukan oleh
pihak masjid sendiri menggunakan peruntukan masjid tersebut. Bayaran kepada tenaga
pengajar berbeza-beza mengikut tahap kelulusan akademik dan kesohoran individu. Purata
bayaran yang ditetapkan kepada tenaga pengajar ialah seratus hingga tiga ratus ringgit
(RM100-300). Bayaran ini bergantung kepada faktor jarak dan tahap kelulusan akademik
individu. Purata bagi bayaran tenaga pengajar yang mempunyai nama dan kesohoran pula
ialah seribu (RM1000) dan boleh mencecah sehingga tiga ribu (RM3000). Keperihatinan
pihak berwajib menyediakan wang saguhati kepada tenaga pengajar adalah amat dihargai
kerana walaupun tiada penetapan dibuat tetapi sekurang-kurangnya dapat menampung kos
perjalanan yang semakin meningkat saban hari.23
e) Pemilihan kitab-kitab hadis yang sesuai dan muktabar
Pemilihan kitab hadis yang sesuai juga mampu menjamin kelangsungan pengajian hadis di
masjid-masjid negeri Selangor dan ditempat lain juga. Analisis menunjukkan bahawa
pemilihan kitab hadis yang menjadi teks utama pengajian adalah muktabar dan berada pada
tahap yang sesuai dengan jamaah yang datang ke masjid. Masih menekankan metodologi asas
iaitu pembacaan bentuk matn, terjemahan kemudian keterangan oleh tenaga pengajar.
Walaupun sebahagian besar masih berbentuk pengajian tradisional, ternyata pihak jamaah
menganggap ia masih berbaloi dan tidak bosan untuk diikuti. Malah adalah lebih baik
sekiranya buku teks disediakan sendiri oleh pihak masjid atau tenaga pengajar, sama ada
menjualnya atau mengedar secara percuma. Antara kitab-kitab hadis yang digunakan oleh
masjid-masjid tinjauan adalah seperti berikut :24
i. Al-Adhkar oleh Imam al-Nawawi.
ii. Riyad al-Salihin oleh Imam al-Nawawi.
iii. Bulugh al-Maram oleh Imam Ibn Hajar
iv. Mastika Hadis oleh Syeikh Abdullah Basmeih.
v. Arba‘un Nawawiyyah oleh Imam al-Nawawi.
22
Ibid., hlm.50 23
Ibid., hlm. 51 24
Sila lihat keterangan mengenai buku dalam Ibid., hlm. 56-61.
11
E-Proceeding of the 1st INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978-967-
0850-45-0). 25th April 2016, Federal Hotel, Kuala Lumpur, MALAYSIA. Organized by Hadith Research
Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)
vi. Syama’il Muhammadiyyah oleh Imam al-Tirmizi.
vii. Bahr al-Madhi Syarh Sunan al-Tirmidhi oleh Syeikh al-Marbawi.
viii. 40 Hadis Akhir Zaman oleh Syeikh Fahmi Zam Zam.
f) Menekankan kepada penggunaan hadis yang muktabar dan sahih sebagaimana yang
digariskan oleh ulama hadis
Penelitian didapati bahawa pihak masjid di negeri Selangor ini amat mementingkan kaedah
penggunaan hadis yang bertepatan sebagaimana yang dikehendaki oleh ulama hadis.
Penekanan kepada autentik hadis adalah amat-amat ditekankan.
g) Bentuk pengajaran tidak mempengaruhi minat untuk ke kelas pengajian
Temubual yang dilakukan kepada pihak jamaah masjid menunjukkan bahawa bentuk
pengajian tradisional iaitu menggunakan kitab dan keterangan secara lisan oleh tenaga
pengajar masih boleh diterima. Walaupun ia dikatakan telah ketinggalan zaman, namun bagi
pihak jamaah, ia tidak banyak mempengaruhi minat mereka untuk datang ke kelas pengajian.
Bagi mereka yang penting adalah ilmu yang disampaikan oleh tenaga pengajar dan mereka
memahami bahawa kadangkala menggunakan alat bantu mengajar untuk kuliah yang hanya
mengambil masa selama 30-45 minit adalah tidak berbaloi, malah mencuri masa yang sudah
terhad itu. Ini menunjukkan, walaupun dalam keadaan serba canggih dan pelbagai bentuk alat
bantu mengajar, yang masih dititik-beratkan adalah ilmu dan kitab yang digunakan, bukannya
teknik. 25
a) Jumlah kekerapan kuliah dijalankan
Ini adalah antara perkara yang paling banyak diutarakan oleh pihak jamaah. Mereka
menginginkan kekerapan kelas ditambah kepada 3 hingga 4 kali sebulan. Namun begitu,
temubual yang dijalankan pada pihak masjid menunjukkan bahawa masa yang diperuntukkan
adalah amat terhad dan kelas-kelas yang ingin dijalankan adalah banyak. Setelah disusun,
setiap pengajian hanya mendapat tempat 1 atau 2 kali sahaja sebulan kerana ia bukan sahaja
melibatkan pengajian hadis, malah pengajian fiqah, tasawuf, aqidah dan tafsir juga. Melihat
kepada keseriusan yang ditunjukkan oleh pihak jemaah terhadap isu ini menunjukkan bahawa
keinginan mereka untuk menimba ilmu adalah tinggi dan sekiranya jadual pengajian dapat
disusun dengan baik dan sistematik oleh pihak masjid, kelangsungan pengajian hadis ini
mampu berjalan untuk tempoh masa yang lama.26
h) Kelas pengajian hadis tidak dijadikan sebagai medan melebarkan pengaruh politik
secara berlebihan
Tenaga pengajar juga diperhatikan tidak memasukkan nilai-nilai politik yang keterlaluan
dalam pengajaran masing-masing. Hal ini kerana mereka berpandangan kesedaran politik itu
25
Ibid., hlm. 62-64 26
Ibid., hlm. 66-69
12
E-Proceeding of the 1st INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978-967-
0850-45-0). 25th April 2016, Federal Hotel, Kuala Lumpur, MALAYSIA. Organized by Hadith Research
Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)
akan lahir dengan sendiri hasil daripada penekanan berkaitan Islam secara syumul. Secara
keseluruhannya, analisis mendapati bahawa kuliah pengajian hadis yang dijalankan adalah
bersesuaian dengan masyarakat setempat.
Secara kesimpulan, berlatarbelakangkan kepelbagaian peringkat umur dan pendidikan para
jemaah, pihak masjid yakin dengan pengetahuan yang diperlukan ahli jemaah merentasi
berbagai cabang ilmu yang ada. Apa juga bidang ilmu yang dibekalkan oleh pihak masjid,
pasti akan dihadiri oleh ahli jemaah kerana itulah medan masyarakat dalam menampung
kelompongan diri.
Kelangsungan pengajian hadis di masjid negeri Selangor ini akan bertambah positif sekiranya
dilakukan beberapa penambahbaikan seperti :
b) Pendekatan tenaga pengajar adalah lebih bersifat dua hala
Sehingga kini, sebahagian besar tenaga pengajar menggunakan teknik pengajian satu hala
iaitu iaitu tenaga pengajar membacakan satu hadis dari kitab-kitab tersebut kemudian
memberi penjelasan terhadap makna hadis. Jika terdapat pandangan ulama terhadap
pemahaman hadis, maka ia dibacakan dan diberi penjelasan lebih lanjut kepada audien. Dari
segi pemilihan topik pula, terdapat tenaga pengajar mengikut apa yang disusun oleh
pengarang kitab dan ada juga yang mengajar mengikut topik semasa dan terdapat juga tenaga
pengajar yang membaca hadis menurut topik-topik yang beliau rasakan sesuai untuk orang
awam :27
Pihak tenaga pengajar seharusnya membuka lebih banyak ruang untuk soal-jawab
memandangkan perubahan mentality dan pemikiran pihak jamaah yang lebih tinggi rasa ingin
tahu dan tidak segan untuk bertanya. Apatahlagi dengan suasana sekarang yang mencetuskan
banyak persoalan kerana pergerakan maklumat yang sangat cepat dari satu individu kepada
individu yang lain.
27
Ibid., hlm.62.
13
E-Proceeding of the 1st INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978-967-
0850-45-0). 25th April 2016, Federal Hotel, Kuala Lumpur, MALAYSIA. Organized by Hadith Research
Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)
c) Menyediakan dan menggunakan alat bantu mengajar dengan lebih cepat, segera dan
berkesan
Analisis menunjukkan bahawa jamaah tidak menganggap bahawa penggunaan alat bantu
mengajar dapat mempengaruhi minat mereka untuk datang ke kelas pengajian. Ini disebabkan
oleh faktor usia jamaah yang kebanyakannya dalam lingkungan 35 tahun ke atas yang kurang
terdedah dengan bentuk pengajaran dan pembelajaran yang terkini. Mereka juga menganggap
bahawa penyediaan alat bantu mengajar itu juga akan mencuri masa pengajian yang amat
terhad iaitu sekitar 30 hingga 40 minit.
Namun begitu, pihak masjid seharusnya bersedia untuk berhadapan dengan jamaah yang lebih
muda usianya dan lebih terdedah dengan alat bantu mengajar yang lebih canggih dan gadget
yang menarik. Sudah pasti minat mereka akan banyak dipengaruhi oleh teknik pengajaran
yang lebih moden. Begitu juga dengan penyediaan alat bantu mengajar secara tetap di dalam
masjid dan bukan jenis portable yang selalunya mengambil masa untuk dipasang dan
ditayangkan.
d) Waktu pengajian yang lebih sesuai
Analisis menunjukkan terdapat response yang pelbagai berkaitan dengan waktu pengajian
yang sesuai. Ia dapat disimpulkan sebagaimana berikut :
i. Waktu antara maghrib dan isyak iaitu selama 30 hingga 40 minit adalah sudah
memadai. Ini disebabkan ada di kalangan jamaah yang mempunyai kekangan
masa atas tugas-tugas yang lain.
ii. Boleh dilakukan antara maghrib dan isyak tetapi lebih baik sekiranya tenaga
pengajar mengambil sedikit masa sebelum solat isyak menjadikan tempoh
pengajian adalah selama 1 jam.
iii. Perlu dilakukan selepas waktu isyak kerana tempoh antara maghrib dan isyak
adalah terlalu sekejap.
iv. Untuk pengajaran yang berbentuk mudah dan pendek sudah memadai masa
antara maghrib dan isyak. Sekiranya pengajaran yang lebih berat dan mendalam,
seharusnya dibuat selepas isyak.
v. Diadakan selepas subuh, khususnya untuk golongan yang telah bersara atau
mereka yang mempunyai waktu kerja yang fleksibel atau mempunyai tidak
banyak kekangan masa.
vi. Diadakah kuliah pada waktu dhuha, khususnya untuk golongan yang telah
bersara atau mereka yang mempunyai waktu kerja yang fleksibel atau tidak
banyak kekangan masa.
14
E-Proceeding of the 1st INHAD International Muzakarah & Mu’tamar on Hadith 2016 (e-ISBN 978-967-
0850-45-0). 25th April 2016, Federal Hotel, Kuala Lumpur, MALAYSIA. Organized by Hadith Research
Institute (Institut Kajian Hadith-INHAD)
Berdasarkan analisis ini, untuk menjamin kelangsuangan pengajian hadis bagi tempoh masa
yang lama, pihak berwajib seharusnya mengkaji semula waktu pengajian yang lebih sesuai
berdasarkan keperluan jamaah, kekangan waktu tenaga pengajar dan bentuk pengajian yang
disampaikan sama ada berbentuk santai atau mendalam.
KESIMPULAN
Melihat kepada analisis dapatan kajian menunjukkan bahawa pengajian hadis di masjid-masjid negeri
Selangor menampakkan masa depan yang cerah dan cemerlang. Kelangsungan pengajiannya akan
berlangsung dalam tempoh masa yang lama, apatahlagi dengan melihat kepada cadangan yang
dikemukan oleh hasil kajian tersebut.
RUJUKAN
1) Ab. Halim Tamuri & Nik Mohd Rahimi Nik Yusoff (2011), Kaedah Pengajaran dan
Pembelajaran Pendidikan Islam, Bangi: Penerbit UKM.
2) al-Nakdili, Salahuddin (2009), Lamahat fi al-Sunnah al-Nabawiyyah, Dar Ilmiyyah li’ I’lam.
3) al-Baghdadi, Al-Khatib (1974), Taqyid al-Ilmi, tahqiq Yusuf al-‘Asy, Dimasyq: Dar Ihya’.
4) Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail, tahqiq Fuad Abd al-Baqi, Sahih al-Bukhari, Kitab al-
Syahadah, Dar Tawq al-Najah : Bayrut
5) al-Khatib, Muhd ‘Ajjaj (1988), al-Sunnah Qabl al-Tadwin, Maktabah Umm al-Qura li
Tiba’ah wa al-Nasyr.
6) Fauzi Deraman, Ishak Hj Sulaiman, Faisal Ahmad Shah ( 2010), Pengajian Hadis Di
Malaysia, Petaling Jaya : Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya,
7) Masturi Irham, 2013, Sistematika Kodifikasi Hadis Nabi Dari Tinjauan Sejarah. Jurnal
Addin. Vol 2.
8) Mohd Khafidz Soroni, Mohd Norzi Nasir, Rosni Wazir, Muhammad Fairuz A.Adi dan Nor
Asyikin Hasan Adali, Pengajian Kitab Hadis di Masjid-Masjid Negeri Selangor (Laporan
Penyelidikan Dana Dalaman KUIS Tahun 2014) (April 2014-Disember 2015).
9) Muhammad bin Umar Bazmul, (t.t), ‘Ilm Syarh al-Hadith wa Rawafid al-Bahth fihi. t.p.