cadangan penambahbaikan pengangkutan awam di shah alam

Download Cadangan Penambahbaikan Pengangkutan Awam Di Shah Alam

If you can't read please download the document

Upload: the-association-for-the-improvement-of-mass-transit-malaysia

Post on 26-Jun-2015

1.540 views

Category:

Documents


28 download

TRANSCRIPT

Cadangan Penambahbaikan Pengangkutan Awam Shah AlamRumusan Eksekutif Kertas kerja ini bertujuan untuk memberi cadangan pragmatik kepada MBSA, untuk melakukan perubahan proaktif yang praktikal dan menyeluruh melalui bidang kuasa sedia ada MBSA ke arah penyelarasan pengangkutan awam (dari sudut bidang kuasa, operasi dan infrastuktur) yang lebih efektif dan mesra pengguna yang akan menjadi pemangkin kepada kesejahteraan ekonomi, sosial dan persekitaran penduduk Shah Alam. Pendahuluan Menurut pandangan Islam, salah satu daripada hak-hak asasi rakyat ialah untuk menikmati kemudahan bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain, dan adalah merupakan amanah bagi pihak pemerintah untuk memastikan jalan yang secukupnya disediakan bagi menjamin hak ini (sepertimana tercatat dalam riwayat-riwayat Hadith yang Sahih). Antara amanah paling utama pihak pemerintah ialah untuk mengutip cukai dari penduduk supaya duit yang dikumpulkan digunakan untuk kepentingan bersama yang dikongsi segenap lapisan penduduk, seperti jalan, jambatan, tanah lapang kegunaan bersama, sistem perparitan, balai raya, balai bomba dan lain-lain. Arus kemodenan semasa menyaksikan pertambahan penggunaan kenderaan peribadi yang menyebabkan jalan-jalan yang sedia ada, yang dibina dari duit cukai, tidak dapat menampung keperluan mobiliti penduduk bandar yang semakin pesat membangun. Adalah menjadi resam bagi pihak berkuasa di kawasan yang ramai penghuninya untuk mengutamakan penggunaan sumber perolehan cukai bagi tujuan memudahkan pergerakan penduduk dengan penyediaan infrastuktur khas untuk tujuan pengangkutan awam, dan resam ini sudah lama diterapkan di bandar-bandar berkependudukan padat dan pesat di negara maju seperti Eropah dan Jepun. Realiti Semasa Namun di negara ini, keperluan mobiliti bersama penduduk perbandaran telah lama dipinggirkan dengan ketiadaan sebarang kepedulian oleh pihak berkuasa untuk mengkhaskan duit perolehan cukai bagi disalurkan kepada infrastuktur dan pengoperasian pengangkutan awam perbandaran yang efektif, efisien dan mesra pengguna Wang-wang kebanyakannya disalurkan pada pembinaan lebuhraya bertol, projek-projek mewah dan infrastuktur perumahan atau perbandaran yang hanya menyokong penggunaan eksklusif kenderaan peribadi tetapi tidak mesra kepada pejalan kaki, penonggang basikal dan pengguna kenderaan pengangkutan awam istimewa yang antaranya terdiri dari golongan OKU, warga tua, wanita hamil dan kanak-kanak. Pengangkutan awam dibiarkan untuk diuruskan oleh pengusaha-pengusaha komersial bebas tanpa sebarang koordinasi, perancangan, sokongan infrastuktur, penilaian piawaian mutu dan maklumbalas pengguna. Akibatnya, pengangkutan awam dianggap hanya diperlukan oleh penduduk yang kurang mampu memiliki kenderaan peribadi, dan persaingan tidak sihat wujud akibat ketiadaan piawaian mutu dan sokongan infrastuktur awam sejak zaman bas mini wilayah sehinggalah ke masa kini. Walaupun perkhidmatan tren Komuter, ERL, LRT dan bas RapidKL sudah lama diperkenalkan, kurang dari 10% penduduk di Lembah Klang menggunakan khidmat pengangkutan awam.

Sedar atau tidak sedar, pesaing paling utama kepada pengangkutan awam, iaitu kenderaan peribadi seperti kereta, van, pacuan empat roda, trak atau motorsikal, merupakan penyumbang utama kepada kos-kos yang tinggi yang perlu ditanggung pihak berkuasa dari segi persediaan dan penyelenggaraan infrastuktur, pencemaran udara dan bunyi, dan juga kehilangan produktiviti disebabkan masa yang hilang dalam kesesakan ataupun kos rawatan kemalangan yang mengakibatkan kecederaan, kecacatan atau kehilangan nyawa. Malangnya, tidak ada satu langkah sistemik yang berkesan yang diambil bagi mengurangkan masalah ini. Lebih teruk lagi, pembinaan kawasan perumahan dan perbandaran secara melulu tanpa perancangan mobiliti penduduk yang strategik menyulitkan lagi masalah apabila tiada lagi tanah yang ditinggalkan untuk pembinaan infrastuktur pengangkutan awam. Pengangkutan awam terpaksa bersaing dengan kenderaan peribadi, dan jejak perjalanan kenderaan awam menjadi rumit disebabkan hadanganhadangan infrastuktur yang lebih cenderung kepada kemudahan perjalanan kenderaan peribadi, seperti jaringan tertutup lebuhraya bertol dan susur masuk atau keluar lebuhraya serta persimpangan jalan raya yang tidak sistematik. Soalannya, adakah kita mampu untuk berhadapan dengan situasi dimana pemesatan pembangunan bandar tanpa sistem pengangkutan awam berkesan meyebabkan: 1. Kepayahan penduduk bergerak dari satu sudut bandar ke satu sudut yang lain 2. Kekurangan daya saing perniagaan dan perkhidmatan kerana lokasi sukar dicapai oleh kebanyakan pengguna 3. Keperluan ruang tanah dan kos yang banyak bagi pembinaan serta penyelenggaraan jalan tambahan bagi melegakan kesesakan trafik (lebih-lebih lagi apabila lebuhraya terpaksa dibina dengan kos tinggi apabila terdapat banyak stuktur kekal yang terbina disekitarnya) 4. Kebergantungan pada sumber bahan api yang harganya semakin tinggi 5. Penurunan kualiti hidup disebabkan pencemaran udara dan bunyi 6. Peningkatan kadar kemalangan (lebih-lebih lagi dengan pertambahan penunggang motorsikal) 7. Diskriminasi kepada warga emas dan warga kurang upaya yang tidak boleh mengendali kenderaan peribadi Kepentingan Sistem Pengangkutan Awam Berkesan, Efisien dan Mesra Pengguna Kajian akademik di Amerika Syarikat membuktikan: 1. Setiap dollar yang dilaburkan untuk projek pengangkutan awam menjana antara 4 hingga 9 dollar aktiviti ekonomi tempatan 2. Setiap dollar yang dilaburkan untuk pembinaan dan pengoperasian pengangkutan awam meningkatkan lagi jumlah jualan sektor perniagaan yang bergantung kepada pengangktuan awam tersebut sebanyak 3 dollar. 3. Setiap 1 billion dollar yang dilaburkan kerajaan persekutuan untuk infrastuktur pengangkutan awam menambah 47,500 peluang pekerjaan 4. Setiap pengguna pengangkutan awam hanya menyumbang kurang dari 5% pencemaran karbon monoksida yang dihasilkan oleh seorang pemandu kenderaan peribadi 5. Perjalanan bas transit 79 kali lebih selamat dari perjalanan keretaFakta dari Pertubuhan Pengangkutan Awam Rakyat Amerika (APTA): http://www.apta.com/media/facts.cfm

Walaupun pengangkutan berlandasan (seperti LRT, MRT, ERL, Monorel, Komuter dll) paling cekap dalam menggerakkan paling ramai penumpang dalam jangka masa paling singkat, namun pertimbangan antara kaedah-kaedah pengangkutan awam berdasarkan faedah bagi setiap ringgit yang

dibelanjakan membuktikan sistem pengangkutan berlandasan hanya berkesan untuk perkhidmatan di kawasan yang benar-benar padat dan sibuk. Perkhidmatan bas merupakan kaedah pengangkutan awam yang paling sesuai bagi kawasan berkepadatan rendah dan sederhana kerana pengoperasian bas lebih anjal dan fleksibel berbanding dengan keretapi untuk menyelusur masuk ke segenap kawasan pesisiran bandar. Di negara maju, kerajaan tempatan mempunyai bidang kuasa untuk menyelaras penyempurnaan infrastuktur bagi menyokong keperluan pengangkutan awam, seperti penyediaan len, lampu isyarat dan susur masuk/keluar khas untuk bas. Tambah pula, perancangan bandar yang mantap dengan sistem rangkaian jalan serta pejalan kaki yang efisien membenarkan seluruh penduduk mendapat capaian sama-rata kepada laluan utama pengangkutan awam yang mudah dan tidak berbelit-belit. Di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, tambang yang dibayar oleh pengguna pengangkutan awam hanya dapat menampung kurang dari satu per tiga daripada kos keseluruhan perjalanan pengguna terbabit. Selainnya ditanggung menggunakan sumber wang kerajaan, kerana setiap ringgit yang disalurkan untuk tujuan pengangkutan awam berkesan untuk mengurangkan beban kos peleraian kesesakan trafik yang tinggi serta menyelesaikan masalah jurang sosioekonomi antara komuniti yang berjauhan. Cadangan Penambahbaikan Pengangkutan Awam Lembah Klang Cadangan telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kecil Penambahbaikan Pengangkutan Awam di Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Putrajaya pada 24hb Julai 2008 untuk mengambil kira pendapat yang telah disebutkan di atas, serta melaksanakan transformasi meyeluruh yang sangat praktikal serta paling mudah, iaitu menggunakan lebuhraya-lebuhraya kurang trafik yang sedia ada sebagai landasan utama bas-bas ekspres perumahan untuk bergerak antara kawasan perumahan ke kawasan perumahan lain, dan ke stesen-stesen pintu-masuk bandaraya. Untuk Lembah Klang, bagi setiap kawasan penempatan utama bersebelahan dengan lebuhrayalebuhraya tertutup yang lancar trafik, terminal bas ekspres dibina di atas lebuhraya dan di sebelahnya dibina terminal bas kawasan perumahan yang mempunyai capaian paling mudah, pantas dan cekap ke kawasan perumahan bersebelahan tanpa harus meredah kesesakan trafik dan kerumitan laluan susur keluar lebuhraya. Laluan bas kawasan perumahan pula dipermudahkan dan diringkaskan. Tiga terminal pintu-masuk strategik untuk bas ekspres perumahan dicadangkan di Kuala Lumpur, iaitu KL Sentral / MidValley (capaian Lebuhraya Pantai/NKVE ke LRT Aliran Kelana Jaya), Imbi (capaian Lebuhraya Putrajaya ke Monorel) dan Sentul (capaian simpang Lebuhraya Duta-Ulu Kelang ke LRT Aliran Ampang/Sri Petaling). Tiga pintu-masuk strategik ini juga dihubungkan ke rangkaian laluan khas bas berhenti-henti bandaraya yang ringkas, deras, kerap dan cekap. Sistem ini dipanggil sebagai Transit Deras Lebuhraya (Expressway Rapid Transit) dan Transit Deras Laluan Bas (Busway Rapid Transit).

Cadangan Transit Deras Lebuhraya dan Transit Deras Laluan Bas

Cadangan Transit Deras Lebuhraya dapat mengurangkan kerumitan perjalanan Cadangan Penambahbaikan Pengangkutan Awam Shah Alam Keadaan pengangkutan awam masa kini menunjukkan kebanyakan cadangan, usul, kertas kerja, pembentangan dan hasil penyelidikan oleh pakar-pakar pengangkutan awam tidak dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan, dan tidak menjadi sesuatu kehairanan yang besar sekiranya cadangan penambah-baikan pengangkutan awam yang dicadangkan dalam kertas kerja ini tidak mendapat perhatian sewajarnya dari pihak yang bertanggung-jawab di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Walaupun pengangkutan awam yang berkesan sukar untuk terlaksana tanpa pertanggung-jawaban dari Kerajaan Pusat, namun masih ada ruang penambah-baikan yang mampu dilaksanakan di peringkat Perbandaran Tempatan tanpa bantuan dari Kerajaan Pusat. Penyediaan kemudahan infrastuktur bagi menyokong sistem pengangkutan awam berkesan merupakan tanggung-jawab Badan Berkuasa Pengangkutan Awam Tempatan. Walaupun Badan Berkuasa di peringkat tempatan khas untuk pengangkutan awam belum boleh diadakan tanpa koordinasi dari Kerajaan Pusat, namun bidang kuasa ini berada di tangan Majlis Perbandaran Tempatan. Antaranya ialah: Memastikan lokasi transit pengangkutan awam selamat, mudah dicapai, strategik dan selesa Perancangan bandar perlu mewajibkan perhentian bas tidak lebih dari 10 minit jalan kaki dari setiap kawasan perumahan padat atau separa padat Ruang pejalan kaki yang mesra pengguna termasuk OKU dari setiap rumah ke lokasi transit dengan telefon panggilan kecemasan percuma di kawasan jenayah Hubungan transit dari luar lebuhraya ke transit di dalam jalan perbandaran tempatan Had laju jalan persiaran terutama di kawasan bulatan bagi memudahkan pengguna melompat antara satu perhentian ke perhentian yang lain, atau jejantas bagi setiap jalan yang sibuk Laluan pejalan kaki dilengkapi dengan lampu yang terang Laluan khas basikal dan rak basikal di lokasi strategik Ruang henti bas yang cukup yang sentiasa dipantau pihak berkuasa Ruang tempat letak khas bas yang tidak dalam perkhidmatan Ruang tempat letak kereta berdekatan laluan bas yang strategik, dan tiada caj dikenakan bagi pengunjung yang dapat menunjukkan bukti penggunaan pengangkutan awam Informasi laluan pengangkutan awam yang komprehensif di setiap lokasi transit beserta alamat web yang merujuk pada laman web berbentuk illustratif dan berinformasi semasa Antara bidang kuasa Badan Berkuasa Pengangkutan Awam Tempatan yang masih sukar untuk dilaksanakan tanpa campurtangan pusat ialah kawalan ke atas laluan bas, penyeliaan penanda pencapaian aras prestasi (KPI) penyedia perkhidmatan bas, dan penetapan jadual perjalanan bas. Untuk tidak melanggar bidang kuasa Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, pihak MBSA boleh mengadakan perbincangan dengan pengusaha bas sedia ada, iaitu RapidKL, CityLiner, bas mini tanpa hawa dingin, Bas Mini SBS, bas UiTM, Triton dan Metrobus untuk menyelaras laluan dan jadual pengangkutan awam. Ekspres Shah Alam ke kawasan bandar lain Kawasan trafik yang paling sesak ialah antara HICOM, dan antara Stadium Shah Alam dengan bulatan berhampiran bukit Kayangan, dan di sepanjang laluan Jalan Sungai Buloh antara bulatan Seksyen 22 dengan Lebuhraya Guthrie. Kebanyakan kesesakan trafik di kawasan terbabit berpunca dari penduduk Shah Alam yang menggunakan kenderaan peribadi untuk menuju destinasi kerja ke arah timur-laut (Kuala Lumpur) dan tenggara (Puchong). Kemudahan pengangkutan awam ekspres perumahan dari Shah Alam terus ke titik-titik transit di KL Sentral, Uptown Damansara, IOI-USJ dan Sunway Pyramid melalui lebuhraya NKVE, KESAS dan Pantai dapat meleraikan kebanyakan masalah trafik Shah Alam dan meningkatkan kesejahteraan penduduk. Bas bertingkat merupakan penyelesaian yang berkesan bagi servis ekspres perumahan. Hanya 8 buah bas dengan 60 tempat duduk setiap satu mampu memuatkan semua pemandu-pemandu kereta yang bergerak perlahan dari susur keluar LDP di HICOM ke bulatan Malawati di Lebuhraya Persekutuan.

Tempat letak kereta di Stadium Shah Alam dapat menempatkan 50,000 kereta, dan amat strategik untuk dijadikan terminal park-and-ride percuma untuk pengguna bas-bas ekspres perumahan menuju ke destinasi utama di Lembah Klang seperti Kuala Lumpur, Damansara, Puchong dan Putrajaya. Ianya mempunyai capaian bebas trafik ke NKVE dan ELITE, dan seterusnya KESAS, LDP dan NPE.

Dengan kapasiti yang sedia ada sekalipun sudah cukup untuk mengosongkan kesemua kereta yang merangkak perlahan yang dapat dimuatkan di Lebuhraya Persekutuan dari Shah Alam ke Kuala Lumpur. Sekiranya lot tempat letak kereta dipertingkatkan ke 100,000, ianya akan mampu mengosongkan jumlah maksimum keseluruhan kereta yang bergerak laju yang dapat ditampung oleh ketiga-tiga lebuhraya KESAS, NKVE dan ELITE. Tender terbuka boleh dilakukan kepada mana-mana syarikat bas ekspres yang ada untuk mengadakan perkhidmatan ekspres perumahan bermula dari Stadium Shah Alam, terutama bagi syarikat yang bas ekspresnya tidak digunakan pada masa puncak. Harga tiket hendaklah tidak lebih dari harga minyak yang seseorang perlu bayar sekiranya dia menunggang motosikalnya sendiri. Perkhidmatan dalam bandar Shah Alam Kesesakan sementara di persiaran-persiaran berdekatan kawasan sekolah, kolej, universiti dan pusat niaga sementara seperti pasar tani atau pasar malam dapat dielakkan dengan perkhidmatan bas hentihenti yang kerap dan cekap. Bayangkan, 25 buah bas sudah mampu menggantikan jumlah kereta yang

paling tinggi yang dapat ditampung oleh kesemua enam len Lebuhraya Shah Alam-Kota Kemuning untuk laluan lancar pada satu-satu masa. Perkhidmatan bas yang ada sekarang tidak mudah diterima penduduk Shah Alam kerana kerumitan perjalanan dari segi laluan, tempoh masa perjalanan, dan ketiadaan cara untuk keluar dari Shah Alam dengan cepat dan mudah tanpa perlu melalui kesesakan trafik. Ketiadaan kemudahan bas yang cekap, pantas dan mudah ke Komuter Shah Alam dan Padang Jawa juga merupakan masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh RapidKL. Cara paling mudah untuk memudahkan kerumitan perjalanan ialah melalui transformasi laluan bas daripada melalui jalan-jalan kecil kepada hanya melalui persiaran-persiaran besar. Laluan bas tempatan RapidKL mengambil masa lama kerana melalui jalan-jalan kecil di dalam seksyen yang penuh dengan rintangan lalulintas. Persiaran-persiaran di Shah Alam kebanyakannya sudah berada dalam kurang 10 minit perjalanan kaki dari mana-mana kawasan penempatan, dan Majlis Perbandaran perlu memastikan infrastuktur dimantapkan untuk kemudahan pejalan kaki yang terdiri dari orang tua dan OKU. Cadangan ini dapat disimpulkan dengan gambarajah laluan bas pada Sisipan 1 dan Sisipan 2 (Attachment 1 and 2). Sistem ini boleh dikenali sebagai Sistem Transit Deras Laluan Persiaran Shah Alam (Shah Alam Boulevard Rapid Transit). Kawasan perumahan yang sukar dicapai dari persiaran utama, seperti kawasan flet Seksyen 7, kawasan pedalaman Kg Padang Jawa, dan kawasan perumahan bersebelahan landasan Komuter dari Seksyen 18 hingga ke Seksyen 20, sewajarnya dihubungkan ke titik-titik transit laluan Sistem Transit Deras Laluan Persiaran melalui perkhidmatan bas-bas mini. Dicadangkan juga perkhidmatan bas khas Seksyen 13 bagi menghubungkan perkhidmatan bas Transit Deras Laluan Persiaran dari kawasan TESCO/Blok Perniagaan Worldwide ke perkhidmatan bas ekspres perumahan di Stadium Shah Alam berhampiran Giant, melalui Jalan Akuatik yang kurang sesak. Memandangkan laluan ini memberi capaian mudah ke Giant, Tesco Extra dan Kawasan Perniagaan Tadisma, yuran penganjuran wajar dikutip dari mereka. Empat titik utama di Lebuhraya Persekutuan yang bertembung dengan empat titik utama di kawasan MBSA (dengan tanda arah panah sebagai cadangan penambahbaikan laluan pejalan kaki), iaitu: 1. Persiaran Kayangan - Lebuhraya Persekutuan (berhampiran pintu masuk UiTM di Seksyen 7)

2. Persiaran Raja Muda - Lebuhraya Persekutuan (bersebelahan Fakulti Seni Lukis UiTM)

3. Bulatan Malawati - Lebuhraya Persekutuan (berdekatan TESCO Shah Alam)

4. Jalan Akuatik - Lebuhraya Persekutuan (bertentangan dengan kilang Carlsberg)

Lebuhraya Persekutuan merupakan laluan utama bagi bas henti-henti antara Klang dan Kuala Lumpur. Perkhidmatan bas khas boleh diwujudkan supaya bas hanya berhenti di lokasi empat titik utama di atas, dan kemudiannya secara terus menggunakan lebuhraya Pantai, KESAS, NKVE atau LDP untuk ke destinasi tujuan. Namun, kemudahan transit di empat titik utama di atas amat mengecewakan dengan ketiadaan tempat teduh, tempat pejalan kaki dan jejantas yang selamat dan sempurna, dan MBSA perlu melaksanakan penambahbaikan kemudahan transit dengan segera. Pelaburan tambahan kepada RapidKL untuk kawasan Shah Alam Perkhidmatan bas RapidKL di Lembah Klang bergantung pada dana yang diberikan oleh Syarikat Prasrana Negara Berhad milik kerajaan. Memandangkan perkhidmatan bas Transit Deras Laluan Persiaran dapat menyumbangkan kepada kesejahteraan sosioekonomi penduduk Shah Alam, maka tidak munasabah untuk MBSA menafikan hak penduduk untuk dilaburkan sumber hasil pendapatan MBSA ke perkhidmatan pengangkutan awam. Pelaburan merupakan istilah yang lebih sesuai berbanding dengan subsidi. Bajet RapidKL untuk pengoperasian bas pada laluan utama persiaran-persiaran setiap 5 minit sekali pada setiap arah (seperti dalam sisipan 2) perlu dibandingkan dengan bajet RapidKL untuk pengoperasian laluan bas RapidKL Tempatan semasa, dan beza antara keduanya merupakan jumlah wang yang perlu disalurkan oleh MBSA. Jadual bas boleh dilonggarkan ke 7 hingga 10 minit sekali pada waktu bukan puncak. Pemandu-pemandu bas sambilan boleh diambil secara kontrak untuk mengisi keperluan hanya pada waktu puncak. Majlis Perbandaran Petaling Jaya telahpun mengadakan perkhidmatan bas percuma atas saranan DYMM Sultan Selangor bagi kedua-dua kawasan PJ Utara dan PJ Selatan, pada kos operasi RM 3,000 sebulan bagi setiap bas*. Dengan teknologi NGV dan penyediaan kemudahan pengisian NGV sedia ada di Shah Alam (yang memerlukan kerjasama PETRONAS), kos operasi bas serta pencemaran udara dan bunyi dapat dikurangkan.

Perkhidmatan pengangkutan awam percuma MBPJ memudahkan golongan OKUMengikut laporan akhbar The Star, http://thestar.com.my/metro/story.asp?file=/2008/5/3/central/21137559&sec=central

Sekiranya rundingan bersama RapidKL tidak membuahkan hasil sekalipun, 10 buah bas sudah cukup untuk mengendali 4 arah laluan Transit Deras Laluan Persiaran (seperti dalam sisipan 2) pada satu-satu masa, dan 2 buah bas lagi bagi menghubungkan perhentian bas di TESCO/Perniagaan Worldwide ke lokasi perkhidmatan bas ekspres perumahan di tempat letak kereta di Stadium Shah Alam, melalui Jalan Akuatik yang kurang sesak. Bedasarkan fakta umum faedah pengangkutan awam, sekiranya kos operasi sebuah bas mencecah RM 5,000 sebulan sekalipun, dengan 12 buah bas yang jumlah operasi keseluruhannya RM 60,000 sebulan, jumlah pertumbuhan ekonomi Shah Alam yang dapat dijana boleh mencecah ke setengah juta ringgit sebulan. Penutup Diharapkan cadangan pragmatik untuk meningkatkan mobiliti penduduk Shah Alam ini dapat diterima MBSA. Penambah-baikan pengangkutan awam di Shah Alam wajar perintis kepada bandarayabandaraya yang lain untuk mengambil inisiatif yang sama demi kecemerlangan kualiti hidup dan kesejahteraan ekonomi, sosial dan persekitaran penduduk. Disyorkan oleh: Muhammad Zulkarnain Hamzah AJK Siasah Syariyyah dan Keadilan Sosial, Jamaah Islah Malaysia (JIM) Disokong oleh: Moaz Yusuf Ahmad AJK Pertubuhan Penambahbaikan Transit Awam (TRANSIT) Muhammad Sha'ani Abdullah Secretary General, FOMCA