buku tanaman menjalar & memanjat
TRANSCRIPT
PRAKATA
andskap memainkan peranan yang penting dalam kehidupan kita pada masa kini.
Sejak kebelakangan ini, tanaman memanjat dan menjalar semakin mendapat
perhatian dalam kalangan peminat hiasan dan landskap di halaman rumah.
Tanaman memanjat dan menjalar memainkan peranan penting bagi menyerikan suasana
persekitaran serta menjadikan laman rumah menjadi lebih indah dan ceria. Di dalam habitat
semulajadinya, tanaman memanjat dan menjalar merupakan tumbuhan yang melilit,
memanjat dan menjalar. Tumbuhan ini kebiasaannya mempunyai alat khas untuk memanjat
seperti tendril, pencangkuk dan akar yang mengeluarkan pelekat untuk melekat pada
sokongan. Tetapi kini, penggunaan tanaman ini telah beralih menjadi pelengkap kepada
elemen taman yang cukup penting. Tanaman ini bukan sahaja ditanam di kawasan laman
rumah bahkan turut ditanam di kawasan hotel, apartmen, kondominium ataupun pejabat-
pejabat juga telah menjadikan tanaman ini sebagai suatu alternatif untuk memperindahkan
lagi sesuatu kawasan. Bagi mendapatkan pelbagai jenis tanaman memanjat dan menjalar,
anda tidak perlu lagi bersusah payah mencari di hutan misalnya kerana tanaman hiasan ini
sudah banyak dijual oleh peniaga-peniaga kecil di tepi-tepi jalan hinggalah di kedai-kedai
besar.
L
Jika suatu ketika dahulu, tanaman menjalar dan memanjat kurang diminati oleh
penggemar landskap kerana dianggap sebagai pengganggu jika penyelenggaraannya kurang
dititikberatkan oleh pemilik sendiri, kini tanaman ini telah digunakan secara meluas dan telah
menjadi tanaman hiasan yang popular dan mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran.
Terdapat beberapa jenis tanaman memanjat dan menjalar seperti E. Cupreata (Hook) Hanst,
Fittonia, Hemigraphis alternata, Monstera delicoasa liebm, Pellionia dan sebagainya.
Dari aspek penjagaan, tanaman ini mudah dijaga ataupun diselenggara. Dalam proses
penjagaan, pelbagai aspek perlu diberi perhatian terutamanya semasa pemilihan tanaman
menjalar dan memanjat yang sesuai. Selain itu, antara persoalan lain yang perlu
dipertimbangkan ialah adakah tanaman ini memerlukan ruang yang luas untuk ditanam?
Bolehkah tanaman ini dapat tumbuh dengan sihat, cantik dan berbunga segar? Masalah ini
tidak hanya dihadapi oleh penggemar tanaman hiasan lain yang telah lama terlibat dalam
dunia landskap ini. Justeru itu, buku ‘Tanaman Memanjat dan Menjalar dalam Landskap’
telah disusun dalam menghuraikan penggunaan tanaman ini sebagai penyeri taman serta
1
memberi pengetahuan yang lengkap mengenai penjagaannya. Buku ini juga, memaparkan
siat-sifat tanaman jenis memanjat dan menjalar, jenis-jenis tanaman memanjat dan menjalar,
habitan tanaman ini dan cara penjagaanya.
Akhirnya sekali, ribuan terima kasih kepada semua pembaca dan pihak yang memberi
bantuan dalam penghasilan buku ini. Penulis menyedari bahawa masih banyak perkara yang
perlu diperbaiki dalam pengisian buku ini. Oleh itu, cadangan dan kritikan membina amat
dialu-alukan daripada semua pihak agar buku ini dapat memenuhi kehendak para pembaca.
2
KANDUNGAN
Prakata
i
1. Pengenalan
2. Landskap dan Pokok Menjalar dan Memanjat
3. Jenis-jenis Tanaman Pokok Menjalar dan Memanjat
4. Kegunaan dalam Landskap
5. Keunggulan dan Kelemahan Pembiakan, Penanaman dan Penyelenggaraan
6. Penutup
Rujukan
3
PENGENALAN
Tumbuhan merupakan elemen yang sangat
penting dalam pembinaan sebuah taman
atau landskap di sesebuah kawasan. Tanpa
tumbuhan bermakna sesebuah taman itu
tampak kurang berseri atau kelihatan
seperti kaku. Tumbuhan landskap
terbahagi kepada beberapa jenis mengikut
kegunaan, bentuk dan ciri-ciri
pertumbuhanya. Jenis tumbuhan landskap
terdiri daripada tumbuhan jenis renek,
naungan, palma, penutup bumi, hiasan
dalaman, semusim, memanjat dan
menjalar, kaktus, lendair, akuatik dan
bonsai. Tanaman memanjat dan menjalar
terdiri daripada tumbuhan yang memanjat,
melilit dan menjalar menggunakan tendril,
pencangkuk atau akar yang mengeluarkan
pelekat contohnya, bunga kertas, petrea,
kembang pagi dan sebagainya.
LANDSKAP DAN POKOK
MENJALAR DAN MEMANJAT
Kehadiran tanaman memanjat atau
menjalar bagaikan pelengkap utama
suasana semula jadi di taman. Tanaman ini
sememangnya kian mendapat perhatian di
kalangan peminat seni taman di Malaysia.
Apatah lagi tanaman ini bukan sahaja
sekadar menampilkan visual hijau
semulajadi, malah melahirkan sudut
pandangan lebih berseni. Keunikan
tanaman menjalar bagaikan simbol
menghargai kunjungan tetamu, sekali gus
menyerikan segenap ruang pergola, gazebo
dan pintu pagar kediaman. Kepelbagaian
warna bunga dan daun tanaman memanjat
ini mewujudkan suasana harmoni dan
sejuk mata memandang.
Penggunaan pergola makin
mendapat perhatian yang mampu
menampilkan keunikan sesebuah laman.
Pergola adalah para kayu yang dibina di
laman untuk memayungi ruang pejalan
kaki atau ruang depan atau belakang
rumah dan boleh diperoleh dalam dua jenis
iaitu bertutup atau terbuka. Nama pergola
di ambil daripada bahasa Latin, Pergula
yang merujuk kepada layar sengkuap dan
kemudian dipinjamkan ke dalam bahasa
Inggeris. Dengan kata lain, pergola adalah
binaan sementara yang biasa dibina di
depan pintu rumah menuju ke taman depan
kediaman.
Hiasan untuk pergola jangan
diabaikan. Pergola perlu dihias mengikut
selera dan konsep yang diinginkan dan
seeloknya jangan biarkan pergola kosong
tanpa sebarang hiasan. Pergola akan
kelihatan lebih hidup dengan hiasan pokok
menjalar. Pokok yang biasanya sesuai
4
untuk hiasan pergola adalah Kembang Seri
Pagi, Bunga Ketup-ketup, Akar Dani,
Titus atau tumbuhan sayuran seperti timun,
tomato, tembikai dan peria.
Pokok jenis menjalar juga boleh
digunakan dalam pelandskapan kawasan
rumah, terutamanya kawasan rumah
sempit. Pokok menjalar boleh digunakan
untuk memberi warna dan teduhan jika
ditanam di atas pergola atau gazebo, atau
hanya untuk kecantikan jika menjalar di
dinding atau di gantung. Kadang-kadang
pokok ini boleh di biarkan menjalar di atas
bumbung halaman dalam (patio) untuk
melembutkan struktur keras.
Kebiasaannya, tanaman memanjat atau
menjalar terbahagi kepada dua jenis iaitu
jenis renek dan herba. Ia juga dibahagikan
pula kepada tiga kumpulan iaitu berkayu
keras, sederhana dan lembut serta merayap
dan menjalar.
JENIS-JENIS TANAMAN POKOK MENJALAR DAN MEMANJAT
POKOK MENJALAR
Pokok jenis menjalar juga boleh digunakan
dalam pelandskapan kawasan rumah,
terutamanya kawasan rumah sempit.
Pokok menjalar boleh digunakan untuk
memberi warna dan teduhan jika ditanam
di atas pergola atau gazebo, atau hanya
untuk kecantikan jika menjalar di dinding
atau di gantung. Kadang-kadang pokok ini
boleh di biarkan menjalar di atas bumbung
halaman dalam (patio) untuk melembutkan
struktur keras. Bagi daya tarikan dan
sebagai tanaman tumpuan, pokok menjalar
jenis berbunga elok digunakan (Nor Ain
Mohd Rejab, 2006).
Episcia
Famili: Gesneriaceae
Genus Episcia mempunyai 40 spesies,
kesemuanya berasal dari kawasan Amerika
Tropika dan Hindia Barat. Pokok ini
mempunyai tabiat hidup menjalar dan
mengeluarkan sulur berakar seperti pokok
strawberi. Daun-daunnya terlalu rapat ke
bumi dan biasanya berwarna-warni.
Bunganya berwarna merah cerah
berbentuk trumpet. Di tanah yang lembap
dan agak terlindung daripada panas
matahari yang terik, pokok ini boleh
dijadikan penutup bumi.
Selain itu, pokok Episcia boleh
ditanam di dalam pasu kecil dan
digantung. Sulur-sulur yang terjuntai dan
daun-daun yang berkilat serta bunga
berwarna merah cerah menjadikan pokok
ini sangat menarik apbila digantung. Dua
psesis yang popular di Malaysia ialah E.
Cupreata dan E. Reptans.
5
E. Cupreata (Hook) Hanst.
Pokok jenis herba menjalar ini mempunyai
daun berbentuk bujur telur, berwarna
perang kehijauan atau hijau berbelang
kelabu, berkilat. Bunganya, berbentuk
trumpet dan berwarna merah cerah.
E. Reptans Mart.
Daun-daunnya bujur telur dan berbulu
halus bak baldu. Warnanya perang tua atau
hijau kemerahan berbelang kelabu berkilat
pada tulang daun dan urat daun sisi.
Bunganya juga berbentuk trumpet,
berwarna merah cerah.
Spesis ini hidup subur di tanah
gembur yang banyak mengandungi humus
tetapi bersaliran baik, iaitu tidak menakung
air. Episcia mudah dibiakkan dengan
mengambil anak pokok berakar daripada
sulur yang menjalar dan memindahkannya
ke dalam pasu yang lain.
Fittonia
Famili: Acanthaceae
Pokok menjalar atau merayap yang rendah
ini berasal dari Amerika Tengah. Daunnya
berbentuk bujur, tersusun secara
bertentangan, dua helai pada setiap buku
dan terasing oleh jambak spika yang
6
tumbuh tegak mengeluarkan bunga-bunga
berwarna kuning. Tanaman ini begitu
menarik kerana daun-daunnya mempunyai
urat-urat yang berwarna putih, iaitu F.
Verschaffeltii var. Argyroneura lebih
mudah ditemui daripada yang berurat daun
merah.
F. Verschaffeltii var. Argyroneura
Fittonia dapat hidup dengan baik di
tempat-tempat yang teduh dan terlindung.
Selain ditanam di dalam pasu dan
digantung, tanaman ini juga sesuai sebagai
tanaman penutup bumi di taman batu.
Spesis ini juga cantik jika ditanam
bercampur bersama-sama tumbuhan hiasan
lain seperti Selaginella, Spiscia dan lain-
lain. Untuk hiasan di dalam pasu perlu
dinaikkan sedikit kerana pokok ini jenis
pokok merayap yang rendah dan daun-
daunnya lebih menarik jika berada rapat ke
permukaan tanah. Penyiraman air yang
teratur perlu dilakukan kerana spesis ini
tidak tahan terhadap kekeringan.
Fittonia dibiakkan dengan kerataan
batang yang mempunyai buku. Keratan ini
akan berakar dalam masa 2-3 minggu.
Walaupun mudah dibiakkan, tumbuhan ini
agak sukar berkembang dengan subur
kerana daun-daunnya sangat digemari
siput.
Campuran tanah yang sesuai untuk
tanaman ini ialah yang banyak
mengandungi bahan organik atau humus
tetapi tidak sampai menakung air. Pasu
diletakkan di tempat yang agak terlindung
dengan keamatan cahaya 20-30%.
Hemigraphis
Famili: Acanthaceae
Hemigraphis alternata
Tumbuhan yang berasal dari Pulau Jawa
ini selain sering ditemukan di taman batu,
7
sesuai juga untuk pasu gantung. Spesies ini
juga dikenali sebagai pokok daun logam.
Batangnya yang menjalar dan daun-
daunnya yang berwarna ungu berkilat di
permukaan atas menjadikannya unik dan
sangat menarik. Permukaan bawah daun
berwarna ungu tua, tidak berkilat. Bentuk
daunnya bujur telur dan tepinya bergerigi
krenat. Daun-daun ini tersusun
bertentangan. Bunganya kecil, berbentuk
corong dan berwarna putih, dikeluarkan di
hujung cabang. Tumbuhan ini gemar
tempat yang tidak begitu panas tetapi
sinaran matahari pagi elok untuk
mengekalkan warna daun yang cantik.
Penyiraman air yang teratur iaitu dua kali
sehari perlu kerana pokok ini tidak tahan
terhadap kekeringan.
Hemigraphis mudah dibiakkan
dengan keratan batang serta tumbuh
dengan cepat. Spesies ini sering kali di
tanam sebagai tanaman tutup bumi atau
bercampur dengan tanaman lain dalam
taman mini.
Monstera
Famili: Araceae
Kebanyakan spesies dalam genus ini ialah
pokok pemanjat yang mempunyai daun
cantik dan sesuai dijadikan hiasan dalam
ruangan. Pokok ini boleh dibiarkan
memanjat tiang atau arca teres, beranda
atau balkoni rumah selain digunakan juga
untuk menutupi batang pokok yang besar.
Ada juga spesies yang sesuai ditanam di
dalam pasu kecil dan digantung, misalnya
M.obliqua var. expilata. Tetapi,
kebanyakannya mempunyai batang keras
dan tebal, sesuai dibiarkan memanjat pada
kayu sokong atau dinding yang kuat.
Monstera memerlukan tanah yang banyak
humus atau bahan organik tetapi bersaliran
baik. Keadaan teduh dan lembap sesuai
untuk pertumbuhan yang baik walaupun
ada spesies yang tahan terhadap panas.
Pembiakannya mudah iaitu
menggunakan keratan batang. Batang
dikerat-kerat, setiap keratan mengandungi
3-4 buku dan kemudian di semai di dalam
pasir yang lembap.
Monstera delicoasa Liebm.
Monstera delicoasa
8
Pokok pemanjat ini berasal dari Amerika
Tropika iaitu dari Mexico dan Guatemela.
A daun-daunnya besar dan lebar mencapai
90 cm tebal dan keras bak kulit. Bentuk
daun kordat tetapi bercuping dalam. Selain
bercuping, terdapat banyak lubang di
antara urat daun utama dan juga di antara
cuping-cuping tersebut. Anak-anak pokok
yang masih kecil mempunyai daun tanpa
cuping atau lubang.
Spesies ini boleh ditanam di dalam
pasu atau di tanah. Batangnya yang keras
melekap pada batang pokok, tiang atau
kayu penyokong. Pada batang terdapat
akar udara yang melekat atau berjuntai.
Bagi hiasan di dalam rumah akar-akar ini
boleh ditarik dan dikumpul di pangkal
pokok supaya kelihatan kemas.
Monstera obliqua var. expilata
Sinonim: M. Leichtlinii
Monstera obliqua var. expilata
Spesies yang berasal dari Brazil ini lebih
kecil daripada spesies M. Pertusa var.
Borsigiana dan M. deliciosa. Batang dan
daunnya lebih lembut dan pertumbuhannya
lebih cepat. Bentuk daun bujur,
panjangnya 20-30 cm dan lebarnya 10-20
cm. Daun-daun ini berlubang-lubang.
Pokok ini sesuai ditanam di dalam
pasu yang kecil dan dibiarkan menjalar
atau berjuntai. Pasu begini sangat menarik
apabila digantung. Jika ditanam di dalam
pasu yang besar, kayu penyokong perlu
diletakkan supaya batangnya dapat
memanjat.
Selain medium tanah, spesies ini
juga hidup dengan baik di dalam medium
air atau hidroponik.
Monstera pertusa var. borsigiana
9
Monstera pertusa var. borsigiana
Spesies ini seakan-akan sama dengan M.
deliciosa. Perbezaannya ialah daun-
daunnya yang lebih kecil dan lembut serta
pokoknya lebih cepat membesar. Spesies
ini agak tahan hidup di tempat yang
terlindung dan lebih digemari sebagai
hiasan di dalam rumah.
Pellionia
Famili: Urticaceae
Pokok kecil yang menjalar ini berasal dari
Indo-China, Burma dan Malaysia. Apabila
ditanam di dalam pasu yang kecil,
batangnya akan berjuntai di keliling pasu,
menjadikannya cantik jika digantung.
Tempat yang agak terlindung daripada
matahari terik, misalnya di beranda dan di
tepi anjung sesuai untuk pertumbuhannya.
Spesies ini juga sesuai ditanam bercampur
dengan tanaman hiasan lain di dalam pasu
yang lebar.
Batangnya lembut dan berair atau
bersifat sukulen. Daun-daunnya tersusun
secara berselang. Bentuknya bujur panjang
atau elips, tidak simetri di pangkal dan
panjangnya kira-kira 5 cm.
Pellionia repens var. repens
Pellionia Repens var. Repens
Warna daunnya hijau tembaga berkilat,
bergaris-garis ungu dan berjalur hijau
cerah di tengahnya.
Pellionia repens var. varidis
Daun-daunnya mempunayi tompok
berwarna putih dan warna latarnya hijau.
Spesies Pellionia tumbuh dengan lambat
tetapi mudah hidup dan boleh dibiakkan
dengan keratan batang. Satu daripada
kelebihannya ialah daun-daun di pangkal
batangnya tidak mudah gugur.
Peperomia
Famili: Piperaceae
Famili Piperaceae mempunyai empat
genus dan lebih 1000 spesies pokok herba
dikotiledon atau pokok renek yang kecil.
Beberapa spesies jenis epifit dan
mempunayi batang yang memanjat.
10
Banyak spesies dan variati pokok
hiasan tergolong dalam genus ini,
kebanyakannya berbentuk padat dan
rendah. Beberapa spesies terdapat di hutan,
iaitu di tanah yang cetek atau melekat pada
humus. Daun-daun pokok Peperomia
biasanya tebal dan tidak sesuai ditanam di
tempat yang lembap dan basah. Pokok ini
hidup lebih subur di tempat yang agak
kering. Oleh itu, jika ditanam sebagai
pokok hiasan, pokok ini tidak perlu
disiram selalu. Sesetengah spesies seperti
P. sandesii akan menjadi reput apabila
diberi banyak air atau disiram terlalu
kerap. Bagi hiasan pasu di rumah, pokok
Peperomia lebih baik ditanam di dalam
bekas yang kecil kerana pokok ini tidak
banyak mengeluarkan akar. Variati yang
berwarna-warni memerlukan cahaya
matahari yang tidak begitu terik untuk
mengekalkan warnanya. Bagi spesies yang
berwarna hijau pula, daun-daunnya akan
menjadi keras jika didedahkan kepada
panas matahari terik.
Peperomia mudah dibiakkan, iaitu
dengan menggunakan keratan batang atau
daun. Keratan-keratan ini lebih mudah
berakar di dalam medium pasir. Variati
berwarna-warni boleh dibiakkan dengan
keratan batang yang mempunyai daun
kerana batang kadang-kadang
menghasilkan pokok yang hijau. Terdapat
empat spesies Peperomia yang cantik dan
ditanam sebagai hiasan:
Peperomia obtusifolia (L.) Dielr
Peperomia obtusifolia
Spesies ini dikenali juga sebagai
Peperomia hijau kerana mempunyai daun
yang berwarna hijau tua keseluruhannya.
Pokok herba yang rendah ini bersifat
sukulen, sangat tahan dan mudah dijaga.
Daun-daunnya berkilat dan tebal, bernabu,
berbentuk bulat bujur, berselang-selang
pada batang. Pokok ini dapat hidup di
tempat terlindung dan hidup subur di tanah
berpasir. Spesies ini sangat menarik
apabila ditanam di dalam pasu yang
berbentuk bulat.
Peperomia obtusifolia var. variegata
11
Peperomia obtusifolia (L.) Dielr
Variati ini mempunyai daun yang
berwarna-warni iaitu hijau di tengah dan
warna krim di tepi keliling daunnya.
Spesies ini sangat menarik apabila ditanam
bersama pokok-pokok lain atau di tanam.
Pokok ini juga sesuai ditanam di dalam
pasu berbentuk bulat kerana susunan daun
dan tabuat pertumbuhannya
membuatkannya kelihatan sebagai
gubahan bunga.
Peperomia sandesii
Peperomia sandesii
Spesies ini merupakan spesies yang paling
menarik. Dikenali sebagai ‘Pepermia
tembikai’ kerana mempunyai kulit buah
tembikai. Pokoknya jenis herba yang
rendah, berbatang lembut dan berair.
Daun-daunnya berbentuk jantung, berkilat,
berbelang-belang putih kekelabuan di
antara sembilan urat daun yang berwarna
hijau.
Peperomia scandens var. variegata
Spesies ini paling sesuai ditanam di dalam
pasu kecil dan digantung. Tabiat
pertumbuhannya yang menjalar
menjadikannya sangat menarik kerana
batangnya kelihatan berjurai-jurai
menutupi pasu. Warna daunnya cantik,
iaitu kuning berbelang hijau serta saiz
daun kecil menambahkan lagi
kecantikkannya. Tumbuhan ini mudah
dibiakkan, tidak memerlukan penjagaan
yang rapi serta tahan terhadap kekeringan.
Bagi mengekalkan warnanya, pasu perlu
digantung di tempat yang agak terdedah
pada cahaya matahari.
Philodendron
Famili: Araceae
Antara pokok pemanjat yang semakin
popular pada masa ini ialah Philodendron.
Tumbuhan yang tahan lasak ini bukan
sahaja tidak memerlukan panjagaan rapi,
12
bahkan juga paling menarik terutama jika
digunakan untuk menutup dinding di
antara gerbang di teres-teres atau anjung
rumah. Di anggarkan lebih daripada 225
spesies Philodendron terdapat di dunia ini.
Kebanyakannya berasal dari Amerika
Tropika. Spesies ini boleh hidup lama di
tempat yang terlindung. Batangnya
memanjat dengan cara melekat pada
dinding, pokok besar atau sokongan yang
diberi khusus padanya. Kesemua spesies
mempunyai akar udara yang boleh
memanjang dan menjalar jauh, tetapi akar
yang pendek digunakan untuk melekat.
Spesies Philodendron yang canti
dan biasa ditanam untuk menghiasi
ruangan ialah P. Hastatum, P. Lacerum
dan P. Bipinnatifidum.
Philodendron bipinnatifidum Schott.
Philodendron bipinnatifidum
Pokok pemanjat yang besar ini berasal dari
Amerika Tropika. Daun-daun juga besar,
jenis majmuk bipinat dan mempunyai 10-
12 segmen atau cuping pada kedua-kedua
belah tulang daunnya. Cuping-cuping ini
kecil dan memanjang, cuping paling
hujung lebih panjang daripada yang lain.
Seludang daunnya terdapat di pangkal
daun berwarna merah.
Tabiat pertumbuhannya sama
seperti P. lacerum, iaitu melekat pada
dinding atau pokok besar dengan bantuan
akarnya. Spesies ini tahan terhadap panas
dan kadang-kadang didapati ditanam di
tempat yang agak terdedah. Pada masa ini
pokok ini banyak ditanam di tepi bangunan
yang tinggi menghiasi kota raya Kuala
Lumpur. Walau bagaimanapun,
persekitaran yang agak lembap dapat
mengekalkan pertumbuhan yang baik.
Pembiakannya adalah dengan keratan
batang berbuku atau keratan pucuk.
Philodendron hastatum Hort.
Philodendron hastatum
13
Spesies ini sangat popular sebagai tanaman
hiasan dalam ruangan. Daun-daunnya
besar dan berbentuk hastat tanpa cuping.
Daun-daun ini licin berkilat, berwarna
hijau tua di permukaan atau tetapi perang
tua keunguan di permukaan bawahnya.
Pokok ini biasanya ditanam di dalam pasu
yang diletakkan kayu penyokong yang
kuat dan dibiarkan memanjat. Selain itu,
pokok boleh juga dibiarkan memanjat
dinding tembok arau pagar asalkan tempat
tersebut agak terlindung daripada cahaya
matahari yang terik. Daun-daunnya akan
melecur apabila didedahkan pada panas
matahari yang terik. Pokok ini mudah
dibiakkan dengan keratan batang, tunas
atau pucuk berdaun.
Philodendron lacerum (Jacq.) Schott
Philodendron lacerum
Spesies yang berasal dari Cuba ini
mempunyai daun yang besar dan menarik
kerana tepinya bercuping dan berlekuk-
lekuk dalam. Daun pada pokok yang muda
berbentuk jantung tanpa cuping, tetapi
semakin tua daun ini membentuk cuping
yang jelas. Panjang daun 20-80 cm dan
lebarnya 20-60cm.
Spesies ini mempunyai batang
memanjat, iaitu dengan melekap pada
pokok lain, dinding batu atau penyokong
yang dibuat khusus untuknya. Selain
mempunyai akar yang pendek untuk
membolehkannya melekap, pokok ini juga
mempunyai akar udara yang panjang.
Spesies ini agak tahan terhadap
panas tetapi untuk mendapatkan
pertumbuhan baik, pasunya perlu
diletakkan di tempat yang agak redup atau
terlindung daripada panas terik. Cara
pembiakannya mudah, iaitu dengan
menggunakan keratan ruas batang atau
pucuk berdaun. Pastikan keratan ini
mempunyai beberapa akar udara.
Scindapsus
Famili: Araceae
Genus Scindapsus berasal dari Asia
Tenggara. Pokok yang dikenali sabagai
duit-duit ini mempunyai batang bernabu
dan memanjat. Daun-daunnya berbentuk
jantung, berwarna hijau muda dan kadang-
kadang bertompok-tompok kuning, putih
atau warna perak. Pokok ini dapat hidup di
14
tempat yang teduh dan sesuai untuk hiasan
dalam ruangan. Batangnya boleh dilatih
memanjat kayu atau dibiarkan berjurai di
dalam pasu yang digantung.
Scindapsus mudah dibiakkan
dengan keratan pucuk atau batang.
Kesemua spesies boleh hidup dalam
medium air dan tanah. Spesies yang biasa
ditanam ialah Scindapsus aureus.
Scindapsus aureus (Lindl.) Engl.
Scindapsus aureus
Pokok yang mempunyai batang memanjat
atau menjalar ini boleh dibiarkan melekap
pada pokok lain atau kayu penyokong.
Saiz daun dan batangnya berbeza-beza,
bergantung pada bekas atau pasunya dan
sama ada batangnya dapat memanjat atau
tidak. Jika ditanam di dalam pasu yang
kecil tanpa penyokong, daun dan
batangnya kecil, sebaliknya juka
batangnya dapat melekap atau memanjat,
saiznya akan menjadi besar.
Daun berbentuk jantung, berukuran
daripada hanya 10 cm hingga mencapai 90
cm panjang. Warnanya terdiri daripada
hujau keseluruhannya (Scindapsus aureus
var. giant leaf) hingga hijau berbelang-
belang kuning pucat. Tetapi, terdapat satu
variati yang kian popular pada masa ini,
iaitu S. aureus var. marble queen yang
mempunyai daun hijau berbelang putih
dan warna perak.
Tanaman ini jika ditanam di dalam
pasu sederhana besar dan diberi
penyokong yang tegak sangat sesuai
dijadikan hiasan dalaman ruangan kerana
saiznya yang sederhana. Pokok ini juga
sangat cantik apabila ditanam di dalam
pasu kecil dan dicampur dengan pokok
hiasan lain atau digantung. Daun-daunnya
tidak tahan terhadap sinaran matahari yang
terik. Di tempat yang agak teduh,
permukaan daunnya akan lebih cantik dan
berkilat. Selain hidup dalam medium
tanah, pokok ini juga mudah hidup dalam
medium air atau secara hidroponik.
15
Spesies ini sangat mudah
dibiakkan, iaitu dengan keratan pucuk
berdaun dengan sedikit akar udara.
Syngonium
Famili: Araceae
Tumbuhan yang berasal dari kawasan
Amerika tropika ini tumbuh dengan cepat
dan merupakan tanaman yang paling
sesuai sebagai penutup dinding atau batang
pokok besar. Spesies Syngonium
kebanyakannya tahan lasak dan tidak
memerlukan penjagaan yang rapi.
Kebanyakan spesies Syngonium boleh
dilatih supaya memanjat kayu penyokong
atau dicantas supaya rimbun menutupi
pasu. Selain itu, batangnya yang menjalar
menjadikannya sesuai ditanam di dalam
pasu kecil dan digantung. Kebanyakan
spesies tahan terhadao panas tetapi
pertumbuhannya lebih baik di tempat yang
agak terlindung.
Pembiakannya mudah, iaitu
menggunakan keratan pucuk atau keratan
berbuku. Akar-akar baru akan muncul
dalam masa yang singkat. Selain hidup di
dalam medium tanah, pokok ini juga
sesuai ditanam dalam medium air atau
secara hidroponik.
Syngonium hoffmani
Daun-daunnya mempunyai tiga cuping
berbentuk sagitat, berwarna hijau tetapi
tulang daun dan urat-urat daunnya
berwarna putih. Helai daunnya bertukar
putih apabila pokok ini didedahkan kepada
cahaya matahari yang terik. Spesies ini
sesuai ditanam di dalam pasu kecil dan
digantung.
Syngonium Podophyllum Schott.
Syngonium Podophyllum
Spesies yang berasal dari mexico ini
biasanya terdapat di negara ini, kadang-
kadang hidup liar di kebun. Daun-daunnya
berbentuk palmat, terdiri daripada 3-9 anak
16
daun. Daun-daun ini berbentuk anak panah
semasa muda. Pokok ini tumbuh dengan
cepat, sesuai ditanam di dalam pasu atau di
tanah dan diberi kayu penyokong. Spesies
ini juga sesuai ditanam di dalam pasu kecil
dan digantung. Pokok yang ditanam di
tanah akan menjalar dan membentuk ruas
yang lebih panjang.
Spesies ini juga sesuai dijadikan
penutup dinding atau batang pokok.
Batangnya memanjat menggunakan akar
udara.
Tradescantia Setcreasea dan Zebrina
Famili: Commelinaceae
Tumbuh-tumbuhan dalam famili ini
terdapat di kawasan tropika dan sub-
tropika. Kebanyakan spesies ialah jenis
herba rendah dan menjalar, dan
mempunyai daun-daun yang berwarna-
warni. Spesies yang cantik dan biasa
ditanam ialah Setcreasea, Zebrina
pendula, Tradescantia fluninensis dan
Rhoeo discolor.
Kecuali Rhoeo discolor, kesemua
spesies mempunyai tabiat pertumbuhan
yang seakan-akan sama, iaitu menjalar dan
sangat sesuai ditanam di dalam pasu kecil
dan digantung. Apabila digantung,
batangnya akan berjurai menutupi pasu.
Spesies-spesies ini agak tahan terhadap
panas, tetapi untuk mendapatkan
pertumbuhan yang baik, tempat atau
ruangan yang tidak terlalu panas seperti di
anjung, beranda dan teres adalah lebih
sesuai.
Tradescantia dan Zebrina mudah
berubah warna mengikut keamatan cahaya
yang diterimanya dan kandungan air dalam
mediumnya. Di ruangan agak gelap dan di
tanah terlalu lembap, warna daunnya yang
ungu menjadi hijau atau hijau keunguan.
Manakala di tempat panas dan tanah yang
agak kering, daun-daunnya akan menjadi
kecil, keras dan berwarna ungu cerah. Oleh
itu, tanaman ini boleh diletakkan di tempat
yang sesuai mengikut warna yang diingini.
Pada umumnya, kesemua spesies
famili ini sangat mudah dijaga dan
dibiakkan. Pembiakannya adalah dengan
keratan pucuk yang sangat mudah dari
buku batang. Selain medium tanah,
spesies-spesies ini juga mudah hidup
dalam air dan secara hidroponik.
POKOK MEMANJAT
Terdapat pelbagai spesies pokok memanjat
terdapat di negara, sesetangahnya jenis
renek dan ada pula jenis herba. Pokok
memanjat boleh dibahagikan kepada tiga
17
jenis mengikut rupa bentuknya.
Pembahagian ini dibuat semata-mata untuk
memudahkan penghuraian dan
pengenalpastiannya.
1. Pokok memanjat berkayu keras
2. Pokok memanjat berkayu
sederhana dan lembut.
3. Pokok merayap dan menjalar.
Pokok Memanjat Berkayu Keras
Kebanyakan pokok yang memanjat dan
berkayu keras ialah pokok renek.
Kebiasaannya pokok-pokok ini tidak
menampakkan sifat memanjat pada
peringkat awal pertumbuhannya sehingga
besar dan mendapat sokongan seperti para-
para, pagar atau pokok lain bagi
membolehkannya memanjat. Pokok renek
memanjat seperti ini jika dicantas akan
menjadi pokok renek yang rimbun dan
tidak mempunyai sifat memanjat lagi.
Allamanda cathartica L.
Famili: Apocynaceae
Allamanda cathartica L.
Pokok renek Allamanda cathartica L.
berasal dari Brazil. Batangnya melampai
dan beruas-ruas pendek. Daun pokok ini
tersusun sepusar iaitu 3-4 helai pada tiap-
tiap buku dan berbentuk bujur runcing.
Mempunyai 6-8 cm panjang dan 2-3 cm
lebar. Bunga berbentuk loceng iaitu 6-7
cm diameter dan 6 cm besar dan suka
memanjat. Daunnya berukuran 10-12 cm
panjang dan 3-4 cm lebar. Bunganya 8-9
cm diameter dan berwarna kuning di mana
pada bunganya yang belum kembang
terdapat warna perang pada corongnya.
Terdapat pelbagai varieti lain
seperti Allamanda cathartica var.
Williamsii yang mempunyai daun dan
bunga yang kecil tetapi juga berwarna
kuning. Dipercayai varieti ini merupakan
kacukan antara Allamanda cathartica
dengan Allamanda neriifolia. Cara
18
pembiakan pokok ini adalah dengan cara
keratan pucuk berdaun atau batangnya.
Keratan disemai di dalam pasir dan setelah
berakar akan dipindahkan ke dalam karung
plastik atau pasu dengan tanah campuran
5:3:2 dan dipelihara sehingga subur.
Pokok Allamanda cathartica
banyak ditanam secara berkelompok atau
berbaris di tepi-tepi jalan, halaman rumah
bagi mempamerkan bunganya yang
menarik. Pokok ini boleh juga ditanam di
dalam pasu dan menjadi hiasan yang
cantik bagi hiasan luaran bangunan.
Allamanda cathartica var.
Hendersonii memerlukan sokongan atau
para-para bagi pertumbuhannya
berdasarkan sifatnya yang memanjat.
Manakala bagi pokok Allamanda
williamsii pula biasanya ditanam secara
berkelompok di atas batas-batas ataupun
ditanam di dalam pasu.
Dari segi penjagaan, Allamanda
tidak memerlukan penjagaan yang rapi
tetapi memerlukan keperluan tanah yang
subur dan saliran yang baik. Cantasan
perlu dilakukan pada pokok ini bertujuan
untuk mengekalkan bentuknya tetapi jika
diperlukan sifat memanjatnya, cantasan
tidak perlu dilakukan lagi. Dari segi
pembajaan pula, pokok ini dibaja dengan
menggunakan baja sebatian kompleks
12:12:17:2 + TE atau 18:33:18 + TE di
mana dilakukan tiga bulan sekali atau
selepas dilakukan cantasan pada pokok.
Allamanda cathartica
Allamanda cathartica var. Hendersonii
Allamanda violacea Gardn. & Field.
Famili: Apocynaceae
19
Allamanda violacea Gardn. & Field.
Spesies Allamanda ini berbeza daripada
spesies lain. Pokok ini berupa pokok renek
rimbun dan tidak bersifat memanjat. Pokok
ini dikenali sebagai Allamanda ungu di
mana bunganya berwarna ungu muda dan
jarang-jarang didapati mengeluarkan buah.
Allamanda ini jarang sekali
terdapat ditanam di taman-taman walaupun
mempunyai warna bunga yang menarik.
Dari segi pembiakannya pula
adalah dengan cara keratan tetapi tidak
begitu mudah berakar. Hormon pengakar
perlu digunakan bagi membiakkan pokok
Allamanda spesies ini.
Allamanda neriifolia Hook.
Sinonim: Allamanda schottii Pohl.
Famili: Apocynaceae
Allamanda neriifolia Hook.
Pokok Allamanda spesies ini tidak begitu
suka memanjat jika dibandingkan dengan
Allamanda cathartica. Bunganya yang
kecil tetapi mempunyai corong yang
panjang dan berwarna kuning. Pokok
spesies ini mengeluarkan buah yang
berbentuk globos dan berduri lembut.
Cara membiakkannya adalah sama
dengan spesies Allamanda yang lain.
Pokok ini kebiasaannya ditanam secara
berkelompok atau bersendirian dan perlu
diberi sokongan supaya tidak terkulai.
Cantasan perlu dilakukan pada pokok ini
bertujuan mengekalkan bentuknya.
Arrabidaea magnifica (Bull. ) Sprague.
Sinonim: Bigonia magnifica Bull.
Famili: Bignoniaceae
20
Arrabidaea magnifica (Bull. ) Sprague.
Spesies ini dikenali sebagai pokok renek
memanjat berkayu sederhana. Pokok ini
berasal dari Colombia. Spesies ini
merupakan pokok memanjat yang sangat
cantik dan berbunga sepanjang masa. Dari
segi fizikalnya, pokok ini mempunyai daun
yang majmuk terdiri daripada dua anak
daun yang berbentuk sesudu berukuran 5-
10 cm panjang dan 3-5 cm lebar.
Bunganya pula berbentuk loceng, 6-8 cm
diameter yang berwarna ungu dan terdapat
warna putih di kerongkongnya. Pokok ini
jarang-jarang terdapat mengeluarkan buah.
Cara membiakkannya adalah
dengan cara keratan batang. Keratan
mudah berakar dan cepat membesar.
Pokok renek ini biasanya ditanam dan
dibiarkan memanjat ke pagar, anjung
rumah atau para-para. Selain itu, pokok ini
juga biasanya ditanam secara bersendirian
dan diberi kayu sokongan untuk
pertumbuhannya. Pokok ini boleh menjadi
pokok renek yang rimbun jika cantasan
kerap dilakukan.
Bougainvillea
Famili: Nyctaginaceae
Pokok renek memanjat berkayu keras ini
berasal dari Brazil.
Pokok Bunga Kertas (bahasa Inggeris:
"bougainvillea") mempunyai bunga
berwarna-warni yang berkembang
sepanjang tahun dan oleh itu, telah
menjadi pilihan tanaman hiasan tropika
yang sangat popular. Berasal dari Amerika
Selatan, pokok bunga kertas sering
ditanam di taman-taman, kawasan
perumahan, dan kawasan hiasan laman.
Semasa pokok bunga kertas berbunga,
adalah kebiasaannya bahawa kebanyakan
daunnya akan luruh dan meninggalkan
bunga-bunga dan dahan-dahan yang
menarik. Nama botani bunga ini
Bougainvillea spp.
Pokok bunga kertas mendapat
nama disebabkan bunganya yang nipis dan
mempunyai ciri-ciri seperti kertas. Nama
Inggeris bunga ini, iaitu Bougainvilla, pula
dinamakan sempena nama Louis Antoine
de Bougainville, seorang Komander Laut
Perancis.
Pokok bunga kertas tergolong
dalam famili Nyctaginaceae yang
21
mengandungi 28 genus dan 250 spesies.
Terdapat tiga spesies utama bougainvilla
di Malaysia, iaitu B. glabra, B. spectabilis,
dan B. Mrs. Butt. Banyak kacukan telah
dilakukan daripada tiga spesies asal ini
untuk menghasilkan pokok bunga kertas
yang mempunyai pelbagai warna kelopak,
baik selapis mahupun banyak lapis.
Pokok bunga kertas juga menjadi
pilihan kacukan untuk menjadikan pokok
bunga kertas yang mempunyai pelbagai
dahan dengan bunga yang berlainan warna.
Pokok bunga kertas menjadi pilihan ramai
disebabkan bunga berwarna-warni yang
cantik dan tahan lama, mudah dijaga, serta
pokoknya yang tahan lama sehingga
melebihi 20 tahun (jika dijaga dengan
betul). Pokok bunga kertas kini juga
menjadi pilihan bagi menghasilkan pokok
bonsai renek.
Pokok Merayap dan Menjalar
Kebanyakan pokok yang menjalar atau
merayap ialah herba dan terdapat juga
pokok renek yang berkayu lembut. Ada
spesies-spesies, jika mendapat kayu
sokongan akan memanjat.
Asystasia Chelonoides Nees. (Asistasia)
Famili: Acanthaceae (Rumput Israel)
Asystasia Chelonoides Nees. (Asistasia)
Pokok herba rendah ini berasal dari
Malaysia. Pokok ini seakan-akan sama
dengan Asystasia gangetica tetapi
mempunyai bunga yang kecil berwarna
ungu keputihan.
Pokok ini dibiakkan dengan cara
menyemai biji benih atau dengan
menanam anak yang sentiasa hidup di
rumpunnya.
Pokok ini kadang-kadang membiak
secara berleluasa sehingga menjadi rumpai
dan sukar dibasmikan. Sebagai tanaman
hiasan pokok ini jarang-jarang ditanam
tetapi kini terdapat hibrid hasil daripada
22
kacukan spesies ini. Hibrid ini mempunyai
bunga yang besar dan berwarna menarik.
Asystasia Gangetica (L.) T. Andres
(Asistasia besar)
Famili: Acanthaceae (Rumput ruas-ruas)
Asystasia Gangetica (L.) T. Andres
Pokok herba menjalar atau kadang-kadang
memanjat secara melilit ini berasal dari
Afrika Barat. Batangnya lembut dan
daunnya berbentuk oval. Bunganya
berjambak-jambak keluar dari pucuk. Pada
satu jambak terdapat 6-10 kuntum bunga
yang berbentuk loceng dan berwarna putih.
Terdapat hibrid kemungkinan
kacukan daripada spesies ini. Batangnya
lebih tegap dan bunganya yang lebih besar
dan berbagai-bagai warna seperti putih
kebiruan, kekuningan atau kemerahan.
Cara membiakkannya adalah
dengan keratan pucuk berdaun atau secara
menyemai biji benih. Pokok ini kini
banyak ditanam sebagai hiasan tutup bumi
atau tanaman pasu.
Cissus Discolor Bl. (Sisus Ungu)
Famili: Vitaceae (Mottled Cissus)
Cissus Discolor Bl. (Sisus Ungu)
Pokok renek yang lembut ini berasal dari
Malaysia. Batangnya lembut, bersegi
empat dan memanjat secara melilit.
Daunnya berbentuk jantung, bergerigi
halus tepinya 10-15 cm panjang.
Permukaan atas daun berwarna hijau
bertompok ungu dan perak manakala
permukaan bawah daun berwarna ungu
kemerahan. Bunganya kecil dan tidak
menarik.
Cara membiakkannya adalah
dengan keratan pucuk atau batang.
Biasanya pokok ini ditanam di dalam pasu
dan diberi kayu penyokong bagi
membolehkannya memanjat. Pokok ini
23
tidak tahan kepada cahaya matahari yang
kuat dan sesuai untuk hiasan dalaman.
Cissus Quadrangularis L. (Sisus Sirih)
Famili: Vitaceae
Cissus Quadrangularis L. (Sisus Sirih)
Pokok renek memanjat ini berasal dari
India. Batangnya bersegi empat, berlendir
dan sedikit berkayu. Daunnya berbentuk
bujur sirih, teratur berselang 5-8 cm
panjang. Pada setiap buku ruas terdapat
sulur paut bagi membolehkannya
memanjat. Bunganya kecil sahaja dan
tidak menarik.
Cara membiakkannya adalah
dengan keratan pucuk atau batang.
Biasanya pokok ini dibiarkan memanjat
pagar atau junjung yang dibuat
khasuntuknya. Selain itu, ia boleh juga
dibiarkan memanjat pokok besar. Pokok
ini biasa ditanam menghiasi tepi-tepi
kolam atau menghiasi taman batu-batan. Ia
tidak memerlukan jagaan yang rapi kecuali
cantasan perlu dilakukan apabila terlalu
rimbun.
Gloriosa Superba L. (Gloriosa merah)
Famili: Liliaceae (Bunga kembang
songsang)
Gloriosa Superba L. (Gloriosa merah)
Pokok herba memanjat ini mempunyai ubi
di dalam tanah. Batangnya lemah dan tidak
bercabang pada awal pertumbuhannya
tetapi apabila telah mula berbunga pokok
ini mula bercabang. Daunnya bujur tajam,
tidak mempunyai petiol yang jelas,
mempunyai sulur paut di hujungnya bagi
membolehkannya memanjat petal yang
runcing, berombak-ombak di tepinya
berwarna kuning kehijauan di hujung dan
merah di pangkalnya. Bunga ini kembang
seperti bunga yang lain tetapi
24
kemudiannya akan menyonsang ke
belakang. Pistilnya jelas melintang ke arah
satu arah.
Spesies yang seakan-akan sama,
Gloriosa Rothshcildiana O’Brien
mempunyai bunga yang lebih besar dan
berwarna kuning dan merah. Spesies ini
tidak dapat hidup dengan baik di tanah
rendah tetapi lebih sesuai di tanah tinggi
yang berhawa dingin.
Cara pembiakannya adalah dengan
menanam ubi yang boleh diambil apabila
pokok ini telah mati. Biasanya pokok ini
ditanam di atas batas dan dibuat para-para
bagi membolehkannya memanjat. Pokok
ini juga dibiarkan memanjat pagar. Semua
bahagian pokok ini, lebih-lebih lagi ubinya
mengandungi racun.
Osbeckia Dodecandrum (Senduduk jalar)
Famili: Melastomataceae
Osbeckia Dodecandrum (Senduduk jalar)
Pokok renek lembut yang menjalar ini
mempunyai batang yang bersegi-segi,
berbulu halus dan berwarna kemerahan.
Daunnya bujur bulat dan mempunyai bulu
yang kesat 3-5 cm panjang dan 2-3 cm
lebar. Bunganya berwarna ungu
kemerahan dan berukuran 5-8 cm
diameter.
Cara pembiakannya adalah dengan
keratan pucuk berdaun atau keratan batang
yang telah berakar dari rumpunnya.
Biasanya pokok ini ditanam sebagai hiasan
tutup bumi di tempat-tempat yang redup.
Selain itu, ia juga boleh ditanam di dalam
pasu gantung untuk mempamerkan
keindahan bunganya. Pokok ini tidak tahan
kepada cahaya matahari yang terik dan
memerlukan tanah yang subur dan lembap
sedikit.
Portulaca Grandiflora Hook. (Potulaka)
Famili: Portulacaceae
25
Portulaca Grandiflora Hook. (Potulaka)
Pokok herba yang lembut dan merayap ini
berasal dari Brazil. Batangnya lembut dan
berlendir. Daunnya tebal, bulat bujur dan
1-2.5 cm panjang. Bunganya seakan-akan
bunga ros, petalnya selapis atau berlapis-
lapis, terdapat berbagai-bagai warna.
Bunganya kembang pada waktu pagi dan
layu pada waktu petang.
Cara pembiakannya adalah dengan
keratan pucuk berdaun. Pokok ini boleh
juga dibiakkan dengan menyemai biji
benih yang diimport. Spesies ini banyak
ditanam sebagai hiasan tutup bumi juga
untuk mempamerkan keindahan bunganya
yang berwarna-warni. Biasanya pokok ini
di tanam di atas batas di halaman-halaman
iaitu di tempat yang mendapat cahaya
matahari secukupnya. Tanahnya perlu
subur dan mengandungi kompos atau najis
ayam secukupnya. Jangan digunakan najis
lembu atau kerbau kerana biji-biji rumput
yang terdapat dalamnya akan tumbuh dan
menandingi bunga ini. Pembajaan adalah
dengan baja sebatian kompleks 12:12:17:2
+ TE atau 18:33:18 + TE. Sebaiknya baja
ini dilarutkan terlebih dahulu di dalam air
dan disiramkan ke pangkalnya.
Quamoclit Pinnata Boj. (Kuamoklit)
Sinonim: Ipomoea Quamoclit L. (Cypress
Vine)
Famili: Convolvulaceae
Quamoclit Pinnata Boj. (Kuamoklit)
Pokok herba yang memanjat ini berasal
dari Amerika Selatan. Daunnya halus
tersusun seperti sikat dan berwarna hijau
muda. Bunganya berwarna merah dan
terdapat juga jenis yang berwarna putih.
Bentuk bunga ini seperti bintang dan
corongnya 2 cm panjang. Buahnya
mempunyai 2-4 pangsa yang mengandungi
biji-biji berwarna perang. Cara
pembiakkannya adalah dengan menyemai
26
biji benih. Pokok ini biasanya ditanam dan
dibiarkan memanjat pagar atau para-para.
Setcreasea Pallida (Setkrisia ungu)
Sinonim: Setcreasea purpurea (Purple
heart)
Famili: Commelinaceae
Setcreasea Pallida (Setkrisia ungu)
Pokok herba lembut, merayap dan
berlendir ini berasal dari Mexico. Daunnya
linear dan tidak mempunyai tangkai daun
10-16 cm panjang dan keseluruhannya
berwarna ungu kemerahan. Bunganya
kecil berwarna merah muda.
Cara pembiakannya adalah dengan
keratan pucuk berdaun. Biasanya pokok ini
ditanam sebagai hiasan tutup bumi di
tempat-tempat redup atau di dalam pasu
yang digantung. Ia memerlukan tanah yang
subur dan lembap sedikit tetapi tidak tahan
air yang bertakung.
Wedelia Trilobata (Wedelia kuning)
Famili: Compositae
Wedelia Trilobata (Wedelia kuning)
Pokok herba menjalar ini berasal dari India
Timur dan baru sahaja diperkenalkan di
Malaysia. Batangnya liat dan mempunyai
daun yang tersusun berhadapan, berbentuk
bujur, bercuping dan bergerigi di tepinya.
Pada batang yang muda, petiol dan juga
daunnya terdapat bulu-bulu halus yang
kesat. Bunganya seperti bunga matahari 2
cm lebar dan berwarna kuning.
Pokok ini dibiakkan dengan
menggunakan keratan pucuk berdaun.
Pokok ini biasa ditanam sebagai hiasan
tutup bumi. Ia boleh juga ditanam di dalam
kotak-kotak penanaman dan dibiarkan
menjalar dan berjuntai ke bawah. Semasa
menanam elakkan daripada menggunakan
najis lembu kerana najis ini mengandungi
benih-benih rumput yang akan tumbuh dan
27
menandingi herba lain. Sebaiknya najis
ayam yang telah reput digunakan.
Zebrina Pendula Schnitz. (Zebrina)
Famili: Commelinaceae
Zebrina Pendula Schnitz. (Zebrina)
Pokok herba menjalar ini berasal dari
Mexico. Daunnya berwarna ungu di
permukaan bawah manakala di permukaan
atas daun berjalur ungu dan perak.
Bunganya kecil dan tidak menarik.
Pokok ini mudah dibiakkan dengan
keratan pucuk. Keindahan daunnya
menjadikannya sesuai sebagai penutup
bumi yang cantik. Ia juga sangat sesuai di
tanam di dalam pasu dan digantung. Pokok
ini memerlukan tanah yang subur iaitu
yang mengandungi kompos atau bahan
organik secukupnya. Ia tidak tahan cahaya
matahari yang kuat dan memerlukan
perlindungan.
KEGUNAAN DALAM LANDSKAP
KEUNGGULAN DAN KELEMAHAN
PEMBIAKAN, PENANAMAN DAN
PENYELENGGARAAN
PENUTUP
28
RUJUKAN
Ismail Saidin. (2001). Bunga-Bungaan Malaysia: Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nor Ain Mohd. Rejab. (2006). Landskap Kediaman: Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rukayah Aman. (1995). Tanaman Hiasan Ruangan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pokok Bunga Kertas (2011). Diperolehi pada Mac 22, 2011 daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Pokok_Bunga_Kertas
Pokok menjalar tambah seri (2011). Diperolehi pada Mac 25, 2011 daripada http://www.hmetro.com.my/articles/Pokokmenjalartambahseri/Article
29
30
31