badrul hisham bin kamaruddin dan 3 yang lain filedan seorang lagi pegawai polis, detektif sarjan...
TRANSCRIPT
1
DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA
(BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: B-05-180-07/2012,
B-05-181-07/2012, B-05-182-07/2012 & B-05-183-07/2012
ANTARA
1. BADRUL HISHAM BIN KAMARUDDIN 2. MOHD AMIRUL HAKIM BIN KAMARUDDIN 3. SYED MOHAMED ANIS ALKAFF BIN SYED OSMAN 4. AZAHAR BIN ALI ... PERAYU-
PERAYU DAN
PENDAKWA RAYA ... RESPONDEN
(Dalam Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam Dalam Negeri Selangor Darul Ehsan
Perbicaraan Jenayah No. 45A-185-2009
Di antara
Pendakwa Raya
Lawan
1. Badrul Hisham bin Kamaruddin 2. Mohd Amirul Hakim bin Kamaruddin 3. Syed Mohamed Anis AlKaff bin Syed Osman 4. Azahar bin Ali)
Koram : Azahar bin Mohamed, HMR Rohana bt. Yusuf, HMR Zakaria bin Sam, HMR
2
PENGHAKIMAN MAHKAMAH
[1] Badrul Hisham bin Kamaruddin (“perayu pertama”), Mohd
Amirul Hakim bin Kamaruddin (“perayu kedua”), Syed Mohamad
Anis Alkaff bin Syed Osman (“perayu ketiga”) dan Azahar bin Ali
(“perayu keempat”) telah didakwa dan dibicarakan bersama-sama
di Mahkamah Tinggi, Shah Alam kerana mengedar cannabis
seberat 22,007 gram dengan niat bersama, satu kesalahan di
bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (“ADB”)
dibaca bersama dengan seksyen 34 Kanun Keseksaan (“Kanun”).
Dalam kes ini, pihak pendakwaan bergantung kuat kepada
keterangan pegawai polis yang bertindak sebagai agent povocateur
atau penyamar sulit.
[2] Butir-butir pertuduhan terhadap kesemua perayu adalah
seperti berikut:
“Bahawa kamu bersama-sama pada 21.2.2009 jam
lebih kurang 4.20 petang, bertempat di hadapan Kilang
Aluminium New Age, 160 B Subang Village, Jalan
TUDM, Petaling Jaya dalam Negeri Selangor Darul
Ehsan, telah memperedar dadah berbahaya iaitu
Cannabis seberat 22,007 gram dan dengan itu kamu
3
telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen
39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dibaca bersama
seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum
dibawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.”
[3] Di akhir perbicaraan, YA hakim bicara telah mendapati
keempat-empat perayu bersalah dan mensabitkan pertuduhan
berkenaan terhadap mereka. YA hakim bicara telah menjatuhkan
hukuman mati mandatori terhadap kesemua perayu. Tidak puas
hati dengan keputusan tersebut, mereka telah mengemukakan
rayuan ke Mahkamah ini.
[4] Kami telah mendengar rayuan mereka dan di akhir
pendengaran, kami dengan sebulat suara memutuskan bahawa
rayuan kesemua perayu adalah tidak bermerit dan dengan yang
demikian ditolak. Diperturunkan sekarang alasan terperinci
keputusan kami.
[5] Keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan telah
dihuraikan dengan terperinci oleh YA hakim bicara dalam
penghakiman beliau yang dapat dilihat di muka surat 1046
sehingga muka surat 1061, Rekod Rayuan Jilid 11. Memadai di
sini, kami perturunkan keterangan-keterangan yang penting sahaja
4
yang disandarkan oleh pihak pendakwaan bagi membuktikan
pertuduhan tersebut.
[6] Pada 3.2.2009, Cif lnspektor Alpiyang bin Ali (“SP9”) telah
mengarah D/L/Koperal Zahurin bin Radzi (“SP3”) untuk bertindak
sebagai penyamar sulit dalam satu operasi untuk membanteras
aktivit pengedaran dadah. Berikutan itu, SP3 telah diperkenalkan
oleh seorang sumber kepada perayu kedua di sebuah kedai makan
di Bandar Kuala Lipis, Pahang. Perayu kedua dikatakan boleh
membekalkan bekalan dadah cannabis. Dalam pertemuan
tersebut, SP3 memperkenalkan diri sebagai “Adi” kepada perayu
kedua yang dikenali sebagai “Mamat”. SP3 memberitahu perayu
kedua bahawa beliau ingin membeli cannabis bagi pihak seorang
‘tauke’. Persetujuan telah dicapai di antara perayu kedua dan SP3
di mana perayu kedua akan membekalkan cannabis seberat 40
kilogram pada masa dan tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
[7] Pertemuan selanjutnya berlaku pada 15.2.2009 di Restoran
Pelita yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Di situ, SP3
dan seorang lagi pegawai polis, Detektif Sarjan Redzuan Yap bin
Abdullah (“SP5”) yang juga bertindak sebagai penyamar sulit telah
berjumpa perayu kedua dan perayu pertama. SP3
memperkenalkan SP5 kepada perayu pertama dan kedua sebagai
5
‘taukehnya’. Perbincangan dijalankan di mana perayu kedua
bersetuju akan membekalkan cannabis seberat 25 kilogram dengan
harga RM2,100.00 sekilogram. Masa, tarikh dan tempat
penghantaran akan ditentukan kemudian. Perayu kedua turut
meminta SP3 menyediakan sebuah kereta untuk mengisi cannabis
tersebut dan kereta akan dikembalikan setelah urusan
penghantaran dadah selesai dijalankan.
[8] Pada 21.2.2009, SP3 dihubungi oleh perayu kedua. Perayu
kedua meminta SP3 berjumpa beliau di Restoran Nawas Maju di
Kg. Melayu Subang (“Restoran NM”). Atas arahan SP9, SP3 dan
SP5 pergi ke restoran tersebut bersama-sama dengan Detektif
Sarjan Cham Bee Wan (“SP4”). SP4 ditugaskan untuk membawa
kereta Proton Saga bernombor plat palsu TAL 2138 (“kereta
Proton”) untuk kegunaan penghantaran dadah sepertimana yang
diminta oleh perayu kedua.
[9] Pada jam 4.15 petang, SP3 dan SP5 berjumpa dengan
perayu pertama dan perayu kedua di Restoran NM. Perayu kedua
meminta ditunjukkan wang pembelian. SP5 membuka satu beg
galas yang dibawanya yang mengandungi wang berjumlah
RM52,500.00 dan menunjukkan wang tersebut kepada perayu
pertama dan perayu kedua. Kemudian, perayu kedua meminta
6
kunci kereta yang akan digunakan untuk menghantar dadah
tersebut. SP5 menelefon SP4 untuk mengesahkan lokasi
kedudukan kereta Proton tersebut dan kemudiannya menunjukkan
kepada perayu pertama dan perayu kedua. Selepas itu, perayu
pertama keluar dari Restoran NM dan menuju ke tempat kereta
Proton yang pada masa itu dipandu oleh SP4. Perayu pertama
mengambil kunci kereta daripada SP4. Beliau memandu
berseorangan kereta Proton tersebut menuju ke sebuah kawasan
letak kereta di Kem TUDM Subang. Sementara itu, perayu kedua
terus menunggu di Restoran NM bersama-sama dengan SP3 dan
SP5. Semua pergerakan ini telah diperhatikan oleh satu pasukan
polis yang diketuai oleh Inspektor Mohd Airil bin Mohd Adnan
(“SP6”).
[10] Setelah sampai di tempat letak kereta di Kem TUDM, kereta
Proton berhenti dan perayu pertama dilihat duduk sebentar di
dalam kereta tersebut. Kemudian perayu pertama keluar dari
kereta Proton dan menuju ke sebuah kereta Volvo PAW 5288
(“kereta Volvo”) yang turut berada di kawasan tersebut. Perayu
pertama dilihat masuk ke dalam kereta Volvo tersebut yang dipandu
oleh perayu ketiga dan terdapat seorang penumpang hadapan, iaitu
perayu keempat. Perayu pertama, perayu ketiga dan perayu
7
keempat berbual-bual di dalam kereta tersebut. Kemudian kereta
Volvo dilihat bergerak sedikit ke hadapan dan berhenti. Tidak
berapa lama selepas itu, datang seorang budak lelaki iaitu anak
perayu pertama, Mohd Khairul Ain bin Badrul Hisham (“Mohd
Khairul Ain”) membawa sebuah beg dan menyerahkan beg itu
kepada orang yang berada dalam kereta Volvo melalui tingkap
kereta. Mohd Khairul Ain terus meninggalkan tempat itu. Kereta
Volvo kemudiannya beredar dan bergerak menghampiri kereta
Proton. Perayu pertama keluar dari kereta Volvo tersebut bersama
dengan dua buah beg berwarna hitam dan merah dan meletakkan
beg-beg tersebut ke dalam but kereta Proton. Ketika pemerhatian
dibuat di kawasan Kem TUDM, Subang, pasukan SP6 berada pada
jarak 20 meter dari tempat peristiwa tersebut berlaku.
[11] Perayu pertama kemudiannya memandu keluar kereta Proton
dan menghala semula ke Restoran NM seorang diri. Kereta Volvo
dan perayu ketiga dan perayu keempat masih berada di kawasan
tempat kereta di Kem TUDM tersebut. Ketika kereta Proton sampai
di hadapan Kilang Aluminium New Age Subang New Village,
pasukan serbuan diketuai oleh ASP Md Suhud bin Kasan (“SP8”)
telah menahan kereta tersebut dengan perayu pertama di
dalamnya. Pemeriksaan but kereta Proton mendapati dua buah
8
beg, iaitu sebuah beg hitam putih jenama “Blue Star”, yang
mengandungi 18 ketulan mampat ganja dan beg merah kelabu
jenama “The Apex” yang mengandungi 7 ketulan mampat ganja.
SP8 telah merampas kesemua ketulan mampat tersebut.
[12] Tidak lama kemudian, pasukan serbuan yang diketuai oleh
Inspektor Mohd Ikbal bin Mohd Isa (“SP12”) telah menyerbu sebuah
rumah di dalam Kem TUDM yang didiami keluarga perayu pertama
dan menangkap perayu ketiga dan perayu keempat. Mohd Khairul
Ain turut juga ditangkap. Manakala pasukan yang diketuai oleh Cif
Inspektor Basri bin Hussein (“SP7”) telah membuat tangkapan ke
atas perayu kedua di Restoran NM sejurus selepas SP8
menangkap perayu pertama.
[13] Ahli kimia, Zulkefli bin Mohd Edin (“SP1”) telah memeriksa
dan menganalisis kesemua ketulan mampat yang ditemui dalam but
kereta Proton tersebut. SP1 mengesahkan kesemua ketulan
mampat tersebut adalah cannabis seberat 22,007 gram seperti
yang ditakrifkan dalam seksyen 2 ADB.
[14] Di hadapan Mahkamah ini, peguam perayu pertama dan
perayu kedua dengan disokong oleh peguam perayu ketiga dan
perayu keempat telah berhujah bahawa YA hakim bicara telah
9
khilaf apabila gagal untuk memutuskan bahawa wujudnya keraguan
munasabah terhadap identiti eksibit-eksibit cannabis yang menjadi
hal perkara pertuduhan terhadap kesemua perayu. Dihujahkan
bahawa berat kasar yang telah ditimbang oleh pihak polis iaIah
23,200 gram. Namun SP1 mengesahkan bahawa berat kasar iaIah
22,543.19 gram. Oleh yang demikian, telah dihujahkan bahawa
terdapat perbezaan 656.81 gram yang gagal diperjelaskan oleh
pihak pendakwaan dan ini menimbulkan keraguan tentang identiti
eksibit dadah yang berkenaan.
[15] Dalam menimbangkan isu keraguan mengenai identiti eksibit-
eksibit yang ditimbulkan ini, kami mendapati keterangan saksi-saksi
pendakwaan adalah jelas mengenai rantaian eksibit daripada mula
ia dirampas oleh SP8 dari but kereta Proton pada masa yang
material, diserahkan kepada pegawai penyiasat Cif Inspektor Razali
Selvaraju (“SP13”), dihantar ke seksyen forensik untuk
pemeriksaan kesan cap jari oleh SP10, dihantar untuk analisis
kimia oleh SP1 dan akhirnya kepada SP13 kembali untuk simpanan
stor. Rantaian eksibit cannabis tersebut telah diperjelaskan dan
diberi pertimbangan dengan berhati-hati serta penuh teliti oleh YA
hakim bicara dalam penghakiman beliau, sepertimana yang dapat
dilihat di muka surat 1056 sehingga 1061 Rekod Rayuan Jilid 11.
10
Adalah penting untuk ditekankan bahawa kesemua saksi ini telah
mengecam eksibit yang berkenaan melalui tandaan-tandaan yang
dibuat oleh SP8 dan SP13 serta SP1. Semua saksi pendakwaan
yang berkaitan telah menjelaskan bagaimana eksibit-eksibit ini
dikendalikan dan disimpan. Penjelasan ini bersama-sama dengan
rantaian pergerakan eksibit yang tidak putus cukup untuk
membuktikan bahawa cannabis yang dirampas dari kereta Proton
yang dipandu oleh perayu pertama adalah dadah yang sama yang
dianalisis oleh SP1 dan juga cannabis yang sama yang
dikemukakan kemudiannya di Mahkamah. Walaupun terdapat
perbezaan berat di antara timbangan SP1 dan SP8, namun SP8
telah menjelaskan bahawa alat timbang yang beliau gunakan tidak
dikaliberasi berbanding dengan alat timbangan SP1. Dalam
hubungan ini, autoriti yang ingin kami rujuk adalah kes Hasbala
Mohd Sarong v Public Prosecutor [2013] 6 CLJ 945 di mana
tentang perbezaan berat di antara pihak polis dan ahli kimia, Raus
Sharif PMR ketika menyampaikan penghakiman Mahkamah
Persekutuan telah menggariskan prinsip berikut:
“The different in the gross-weight which is 171.45 grams less
could be due to the fact that the drug exhibits were weighed by
PW3 nearly three months after the drug exhibits were weighed by
PW6. We take judicial notice that environmental factors such as
11
climate condition and humidity can attribute to the difference in
weight of the impugned drug exhibits. Given that there was an
interval of nearly three months before the drug exhibits were sent
to PW3, we are driven to the conclusion that the drug exhibits
being cannabis could have dried up a little and this could be the
reason for the lesser weight. At this juncture, we might hasten to
also add that the weighing process by the police is not the
determining factor in the weight of the drugs, rather it is the
weighing done by the chemist which determines the actual weight
of the drugs and forms the basis of the charge. It is common
knowledge that the weighing process undertaken by the police
after the seizure of the drugs is only for classification purposes in
the determination of the charge that will be most likely to be
preferred against the accused and/or arrested person. More often
than not the disparity in weight of the drugs recorded is inevitable
due to different weighing methods preferred and the different
weighing apparatus used by the police force and the chemist
department.”
[16] Seterusnya kami beralih kepada hujah peguam perayu
pertama dan perayu kedua, bahawa YA hakim bicara telah terkhilaf
dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan pihak
pendakwaan telah berjaya membuktikan aktiviti pengedaran dadah
melalui penjualan terus menurut seksyen 2 ADB terhadap semua
perayu. Menurut seksyen 2, tafsiran bagi perkataan ‘pengedaran
12
dadah’ termasuklah melakukan perbuatan menjual. Menurut
peguam, kes PP v Saari Jusoh [2007] 2 CLJ 197 yang dirujuk dan
diikuti oleh YA hakim bicara boleh dibezakan secara fakta kerana di
dalam kes ini, dadah tidak berpindah tangan atau diserah. Peguam
telah berhujah bahawa YA hakim bicara telah khilaf dalam
membuat dapatan fakta bahawa wujudnya penjualan kerana dadah
belum berpindah milik kepada SP3 dan SP4, dan wang untuk
membeli dadah tersebut juga belum diserahkan kepada perayu-
perayu. Selain dari itu, telah dihujahkan bahawa tiada keterangan
dibuktikan untuk mengesahkan dadah tersebut datang dari kereta
Volvo. Menurut peguam lagi, kereta Proton ditahan sebelum
sampai di Restoran NM dan ini bermakna dadah tersebut tidak
ditunjukkan kepada SP3 dan SP5. Peguam juga berhujah Mohd
Khairul Ain, anak perayu pertama tidak dipanggil.
[17] Pada pandangan kami dalam menimbangkan isu yang di
timbulkan ini, keterangan-keterangan berikut wajar di beri perhatian:
(i) Perkenalan SP3 dengan perayu kedua melalui sumber;
(ii) Pertemuan dan perbincangan serta persetujuan di
antara perayu pertama dan perayu kedua mengenai
13
kuantiti dan harga dadah dengan SP3 dan SP5 di
Restoran Pelita;
(iii) Wang pembelian ditunjukkan kepada perayu pertama
dan perayu kedua di Restoran NM;
(iv) Permintaan perayu kedua untuk SP3 dan SP5
menyediakan sebuah kereta untuk tujuan urusan
penghantaran dadah;
(v) Dadah dipindahkan dari kereta Volvo ke kereta Proton;
(vi) Perayu pertama memandu kereta Proton yang berisi
dadah tersebut ke arah Restoran NM, di mana SP3 dan
SP5 berada untuk penerimaan.
[18] Pada pandangan kami, berdasarkan semua keterangan dan
keadaan sekeliling kes ini, khususnya keterangan yang telah kami
huraikan di atas yang wajar dilihat secara keseluruhan dan bukan
berasingan, rumusan yang boleh dibuat adalah bahawa urusan
penjualan dadah tersebut telah lengkap, sungguhpun dadah yang
berkenaan tidak bertukar tangan secara fizikal. Ini adalah kerana,
sebelum itu perayu kedua telah meminta wang pembelian
ditunjukkan dan seterusnya SP5 telah membuka beg galas yang
14
mengandungi wang sejumlah RM52,500. Hanya setelah berpuas
hati, perayu kedua telah meminta kunci kereta Proton yang akan
digunakan untuk mengambil dadah tersebut. Kemudiannya, perayu
pertama telah memandu kereta itu dan menuju ke satu tempat, di
mana kereta Volvo sedang sedia menanti. Di tempat itu, perayu
pertama dilihat membawa 2 beg yang yang diperolehi daripada
kereta Volvo tersebut. Kedua-dua beg tersebut yang kemudiannya
disahkan mengandungi dadah yang berkenaan diletakkan dalam
but kereta Proton. Mengambil kira semua keterangan ini, adalah
jelas pada pandangan kami bahawa penyerahan dadah tersebut
telah berlaku di mana SP3 dan SP5 sedang menunggu di Restoran
NM bersama-sama dengan perayu kedua. Maksud ‘menjual’ telah
diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes PP v Sa’ari
bin Jusoh (supra) yang memutuskan bahawa “a sale is therefore
complete upon transfer of the property in the goods even though the
price has not been paid. A sale in this sense cannot therefore be
described as an act preparatory to the sale or negotiations leading
to the sale or even as an agreement for the sale.” Didalam kes
Wan Marzuki bin Wan Abdullah v PP [2013] 1 CLJ 177,
Mahkamah memutuskan bahawa penjualan dadah tersebut telah
lengkap walaupun dadah belum bertukar tangan secara fizikal
15
tetapi memadai sekiranya dadah tersebut ‘readily available’ kepada
pembeli.
“.. whether there is actual delivery is a question of fact and of
degree. It depends on the particular facts of an individual case.
Varying fact patterns may be envisaged. An accused (as vendor)
may physically hand the drug to the buyer (usually an agent
provocateur). Or he may place it near the buyer. Or he may
make readily available for the buyer to take control of it as
happened in Sa’ari Jusoh. Or he may place it in a vehicle or a
room and hand the keys to the same to the buyer. In all these
cases there is actual delivery. There may be cases where
delivery is constituted by more than one act. Take this yery case.
The acts of the appellant in bringing the drug to the petrol station
and placing it near PW5 when taken cumulatively constitute
actual delivery.”
[19] Dalam keadaan kes ini, penyerahan dadah telah berlaku
apabila dadah tersebut dimuatkan di dalam kereta Proton yang
disediakan oleh SP3 dan SP5 untuk tujuan penerimaan dadah
tersebut sebagaimana yang dipersetujui oleh perayu pertama dan
kedua sebelum ini. Keterangan juga menunjukkan kereta Proton
yang dipandu oleh perayu pertama telah ditahan semasa di dalam
perjalanan menuju ke Restoran NM, di mana SP3 dan SP5 berada
16
bersama-sama dengan perayu kedua. Tindakan perayu pertama
sudah cukup membuktikan adanya penyerahan dadah tersebut di
dalam kes ini walaupun dadah tersebut belum secara fizikal
berpindah tangan kepada SP3 dan SP5. Walaupun wang masih
belum bertukar tangan, namun perayu pertama dan perayu kedua
telah melihat wang yang dibawa oleh SP3 dan SP5 dan berpuas
hati dengannya. Wang tersebut adalah bersamaan dengan harga
dadah yang telah dipersetujui.
[20] Seterusnya peguam perayu ketiga dan perayu keempat
berhujah bahawa tiada keterangan untuk menunjukkan bahawa
dadah yang berkenaan datang daripada kereta Volvo. Kami
mendapati hujah ini tidak bermerit berdasarkan keterangan berikut:
(i) Kereta Proton telah disediakan oleh pihak polis untuk
operasi kes ini yang kemudiannya telah diserahkan
kepada SP4;
(ii) Sebelum SP4 menyerahkan kereta Proton kepada
perayu pertama di Restoran NM, telah dipastikan
bahawa kereta tersebut tidak membawa sebarang
dadah berbahaya;
17
(iii) Perayu pertama telah memandu kereta Proton ke
tempat letak kereta Kem TUDM dan
memberhentikannya berdekatan kereta Volvo;
(iv) Perayu pertama dilihat keluar daripada kereta Proton
dan menuju ke arah kereta Vovo. Perayu pertama
kemudian masuk di bahagian penumpang belakang
kereta Volvo;
(v) Pada ketika itu, perayu ketiga dan perayu keempat
berada dalam kereta Volvo;
(vi) Tidak berapa lama selepas perayu pertama masuk,
Mohd Khairul Ain, anak perayu pertama datang dan
menyerahkan satu beg warna hitam melalui tingkap
kereta Volvo;
(vii) Kemudian, perayu pertama keluar dari kereta Volvo
dengan membawa 2 buah beg ditangannya dan menuju
kembali ke kereta Proton;
(viii) Perayu pertama telah meletakkan kedua-dua beg di but
kereta Proton;
18
(ix) Kereta Proton menuju semula ke arah Restoran NM
dan telah ditahan di satu tepi jalan tidak jauh dari
restoran tersebut;
(x) Sewaktu ditahan, kedua-dua beg berada dalam but
kereta proton;
(xi) Kedua-dua beg tersebut mengandungi dadah yang
kemudiannya disahkan oleh SP1 sebagai cannabis
yang kesemuanya seberat 22,007 gram; dan
(xii) Pada semua masa yang berkenaan, kereta Proton
sentiasa diawasi oleh pihak polis. Kereta Proton tidak
berhenti di mana-mana kecuali di tempat letak kereta di
KemTUDM tersebut.
[21] Pada pandangan kami, walaupun tiada keterangan secara
terus namun menurut keterangan ikut keadaan secara
keseluruhannya, kami mendapati bahawa hanya kesimpulan berikut
sahaja yang boleh dibuat: kedua-dua beg tesebut yang
mengandungi dadah yang berkenaan datang dari kereta Volvo.
Prinsip undang-undang berkaitan keterangan ikut keadaan telah
dijelaskan dalam kes Idris v Public Prosecutor [1960] MLJ 296.
Pada pandangan kami, berdasarkan keterangan yang ada, adalah
19
tidak mungkin bahawa dadah tersebut dibawa oleh Mohd Khairul
Ain dalam satu beg yang dibawa oleh beliau.
[22] Peguam perayu ketiga dan perayu keempat telah juga
berhujah bahawa kegagalan memanggil Mohd Khairul Ain telah
menimbulkan kelompangan di dalam kes pendakwaan. Adalah
menjadi prinsip undang-undang bahawa pihak pendakwaan hanya
perlu memanggil saksi-saksi penting untuk melengkapkan naratif
kes pendakwaan. Sekiranya pihak pendakwaan gagal memanggil
mana-mana saksi yang boleh menyebabkan kelompangan di dalam
kes pendakwaan, maka adverse inference di bawah seksyen 114(g)
Akta Keterangan terpakai terhadap pihak pendakwaan dan
sekaligus memudaratkan kes pendakwaan. Pada pandangan kami,
Mohd Khairul Ain bukanlah saksi yang boleh dikategorikan oleh
Lord Roche dalam kes Seneviratne v R [1936] 3 ALL ER 36
sebagai “essential to the unfolding of the narratives on which the
prosecution is based”. Peranan Mohd Khairul Ain di dalam kes ini
amat minimal. Beliau dilihat menyerahkan satu beg warna hitam
kepada orang yang berada dalam kereta Volvo. Pada masa yang
material perayu pertama, perayu ketiga dan perayu keempat
berada dalam kereta Volvo tersebut. Kes pendakwaan berpaksikan
kepada penjualan dadah menggunakan SP3 dan SP5 sebagai
20
penyamar sulit. Susun atur kes pendakwaan telah dibentangkan
dengan lengkap melalui, antara lain, keterangan SP3, SP4 dan
SP5. Ketiadaan keterangan Mohd Khairul Ain tidak menyebabkan
apa-apa kelompangan di dalam kes pendakwaan berdasarkan
kepada peranan beliau yang sangat minimal. Selain itu, pihak
pendakwaan tidak pernah menyembunyikan kewujudan Mohd
Khairul Ain. Sehubungan ini, kami ingin merujuk kes Pendakwa
Raya v Manser bin Mohd Rashid & Anor [1996] 3 MLJ 560, di
mana Mahkamah Agung pada ketika itu telah memutuskan tentang
pemakaian seksyen 114(g):
“In our instant case under appeal, there can be no doubt that the
basis of the prosecution’s case to substantiate the charge was on
the sale of the cannabis resulting from negotiation. There is
ample evidence of direct negotiation between PW9 and the first
respondent, and the carrying of the cannabis from room ‘K by the
second respondent at the behest of the first respondent. On that
basis, and given the roles played by Cholar and Amran as
reflected from the evidence adduced, it is difficult to see how the
two of them can be material to the point in issue, ie sale through
negotiation. Furthermore, the materials on record do not in any
way suggest that the prosecution had withheld them with ulterior
motives. We do not think any adverse inference should be drawn
21
against the prosecution for the non- production of them, at least at
this stage of the trial.”
[23] Berdasarkan prinsip di atas, kami berpendapat kegagalan
memanggil Mohd Khairul Ain ini tidak memudaratkan kes
pendakwaan dan adverse inference di bawah seksyen 114(g) tidak
terpakai di dalam kes ini.
[24] Ini membawa kami kepada alasan seterusnya yang
disandarkan oleh kesemua peguam perayu yang telah berhujah
bahawa YA hakim bicara telah khilaf dalam membuat dapatan
bahawa wujudnya niat bersama di antara kesemua perayu untuk
mengedar dadah berbahaya di bawah seksyen 34 Kanun,
sedangkan tiada wujudnya keterangan untuk menunjukkan
penglibatan kesemua perayu dengan dadah yang telah ditemui di
dalam kereta Proton. Mereka berhujah bahawa tidak ada
keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan untuk
menunjukkan sebarang niat bersama di antara kesemua perayu di
dalam kes ini.
[25] Seterusnya, peguam perayu-perayu telah menarik perhatian
kami kepada fakta-fakta berikut. Dadah yang dirampas tidak
berada bersama perayu kedua semasa beliau ditangkap. Kereta
22
Proton yang dipandu oleh perayu pertama semasa beliau ditangkap
bukan kereta beliau. Semasa perjumpaan di antara perayu
pertama dan perayu kedua dengan SP3 dan SP5 di Kuala Lipis, di
Restoran Pelita mahupun di Restoran NM, tidak adanya sebarang
dadah dibawa atau diserahkan oleh perayu pertama dan perayu
kedua kepada SP3 dan SP5. Tidak ada sebarang keterangan
dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwaan untuk menunjukkan
nexus atau hubung kait di antara keempat-empat perayu untuk
membuktikan niat bersama antara mereka dan wujudnya pre-
arrange plan untuk mengedar cannabis tersebut. Tiada keterangan
untuk menunjukkan sama ada kejadian di tempat kereta di Kem
TUDM Subang tersebut adalah merupakan rentetan kejadian yang
berlaku di Restoran NM tersebut ataupun telah dirancang sebelum
itu oleh perayu pertama dan perayu kedua bersama perayu ketiga
dan perayu keempat. Tiada keterangan langsung terhadap perayu
ketiga dan perayu keempat terlibat dalam apa-apa perbincangan,
urusniaga, perjumpaan ataupun pembekalan dadah dengan SP3
dan SP5. Tiada sebarang keterangan ataupun bukti mengenai
pemilikan dadah tersebut oleh perayu ketiga dan perayu keempat.
Perayu ketiga hanya merupakan pemandu kereta Volvo, manakala
perayu keempat merupakan penumpang kereta tersebut.
23
[26] Seskyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan seperti
berikut:
‘When a criminal act is done by several persons, in furtherance of
the common intention of all, each of such persons is liable for that
act in the same manner as if the act were done by him alone’.
[27] Seksyen ini memperuntukkan bahawa apabila suatu
perbuatan jenayah dilakukan oleh beberapa orang bagi mencapai
niat bersama mereka semuanya, setiap seorang daripada mereka
itu adalah bertanggungjawab atas perbuatan itu sama seperti
seolah-olah perbuatan itu dilakukan olehnya seorang (sila lihat:
Sabarudin bin Non & Ors v PP [2005] 4 MLJ 37). Mengulas
penggunaan seksyen 34 Kanun, Mahkamah Persekutuan di dalam
kes Ghazalee bin Kassim & Ors v Public Prosecutor [2009]
MLJU 402 menyatakan:
“Section 34 of the Penal Code is invoked by the prosecution in
order to prove that although an accused did not directly commit
the criminal act, he was involved in a series of other acts with the
others to show that he had the common intention of committing
that criminal act with the others. The accused need not be
present together with the others who had committed the actual
criminal act. It is sufficient that he participated jointly with the
24
others. It must however be shown that there was a prior arranged
plan with the others. In other words, all those who are charged
pursuant to section 34 of the Penal Code, must have the common
intention to commit the offence charged.”
[28] Sama ada wujudnya ‘niat bersama’ adalah merupakan suatu
persoalan fakta yang perlu dinilai daripada keadaan sekitar dalam
setiap kes. Niat bersama boleh dibuat inferen daripada keadaan di
sekeliling sesuatu kes (Namasiyiam & Ors v Public Prosecutor
[1987] 2 MLJ 336). Dalam kes Mahbub Shah v King-Emperor
[1945] AIR PC 118, the Majlis Priviy telah berkata:
“It is clear to their Lordships that common intention within the
meaning of the section implies a pre-arranged plan, and to convict
the accused of an offence applying the section it should be
proved that the criminal act was done in concert pursuant to the
pre-arranged plan. As has been observed, it is difficult, if not
impossible, to procure direct evidence to prove the intention of an
individual; in most cases it has to be inferred from his act or
conduct or other relevant circumstances of the case.”
[29] Berbalik kepada kes ini, YA hakim bicara telah mengambil
kira dan menilai dengan begitu teliti dan terperinci isu niat bersama
ini sebelum beliau membuat dapatan berikut:
25
“Perlakuan setiap Tertuduh 1 hingga Tertuduh 4 sebagaimana
yang telah dihuraikan terdahulu daripada ini dengan jelas
menunjukkan penglibatan Tertuduh 1 hingga Tertuduh 4 dalam
pengedaran dadah melalui jualan terus kepada AP2 dengan niat
bersama. Ini jelas dilihat daripada peranan setiap seorang dalam
melengkapkan pengedaran melalui penjualan terus Cannabis
22,007 gram kepada AP2. Tertuduh 1 telah ditangkap pada
masa kereta itu dalam perjalanan ke Restoran NM setelah kereta
itu dihalang dari hadapan dan belakang oleh pasukan SP8.
Setelah Tertuduh 1 ditangkap, Tertuduh 2, 3 dan 4 juga turut
ditangkap. Penglibatan setiap orang yang yang telah dijelaskan
terdahulu dari ini melalui pemerhatian daripada saksi-saksi
pendakwaan yang kredibel sebagaimana yang telah saya
huraikan terdahulu daripada ini diterima oleh Mahkamah ini.
Persoalan sama ada terdapat niat bersama di antara Tertuduh 1
hingga Tertuduh 4 dapat dilihat daripada betapa rapinya peranan
mereka. Di samping itu walaupun Tertuduh 3 dan Tertuduh 4
tidak terlibat dengan rundingan bagi penjualan terus Cannabis
kepada AP2 namun kehadiran keduanya dari Changloon dan
Kuala Kedah yang tiba pada hari dan saat yang dijanjikan
Cannabis akan dibekalkan kepada AP2 untuk dimasukkan ke
dalam but kereta TAL 2138, keterangan yang menunjukkan beg
yang dihulur masuk ke dalam PAW 5288 ketika Tertuduh 1, 3 dan
Tertuduh 4 berada di dalamnya, pemunggahan sesuatu daripada
PAW 5288 ke dalam beg itu dan selanjutnya pemindahan beg
26
tersebut ke dalam but TAL 2138 yang kemudiannya disahkan
sebagai Cannabis dengan berat 22,007 gram menunjukkan
wujudnya elemen niat bersama dalam kes ini. Kewujudan niat
bersama iaIah suatu persoalan fakta dan dalam setiap kes
perkara ini boleh dibuat inferen daripada keadaan di sekeliling
sesuatu kes. Berdasarkan kepada fakta yang telah dihuraikan ini
intipati niat bersama jelas dibuktikan terhadap Tertuduh 1 hingga
Tertuduh 4. Dalam keadaan fakta kes ini walaupun Tertuduh 3
dan Tertuduh 4 tidak teriibat dengan rundingan penjualan dengan
AP2 pihak pendakwaan telah mengasaskan intipati niat bersama
di antara Tertuduh 1 hingga Tertuduh 4 bagi kesalahan
pengedaran terus Cannabis dengan berat 22,007 gram melalui
penjualan yang merupakan suatu kesalahan sebagaimana yang
dipertuduhkan.”
[30] Pada pandangan kami, YA hakim bicara telah membuat
dapatan yang betul berdasarkan keterangan yang ada. Keterangan
menunjukkan rundingan jual beli dijalankan oleh perayu pertama
dan perayu kedua dengan SP3 dan SP5. Penglibatan perayu
ketiga dan perayu keempat pula adalah semasa hari penghantaran
dadah tersebut, di mana dadah yang berkenaan diambil oleh
perayu pertama dari kereta Volvo dan diletakkan dalam but kereta
Proton. Kereta Proton yang mana telah dikosongkan sebelum
diserahkan kepada perayu pertama dijumpai mengandungi dadah
27
di dalam dua buah beg yang disimpan di dalam but kereta tersebut.
Kami mendapati tiada kekhilafan di dalam dapatan YA hakim bicara
bahawa kesemua perayu mempunyai niat bersama antara mereka
untuk mengedar dadah yang berkenaan. Walaupun tiada
keterangan menunjukkan perayu ketiga dan perayu keempat
terlibat di dalam rundingan jual beli dadah, namun keterangan-
keterangan yang ada menunjukkan penglibatan mereka bersama
dengan perayu pertama dan perayu kedua di dalam menjayakan
penjualan dan penghantaran dadah kepada SP3 dan SP5.
Berdasarkan keterangan yang ada dan keadaan sekeliling kes ini,
tidak mungkin perayu ketiga dan perayu keempat hanya berada di
situ secara kebetulan sahaja pada masa perayu pertama masuk ke
kereta Volvo tersebut untuk mengambil dadah yang berkenaan.
Pada pandangan kami, kehadiran perayu ketiga dan keempat
dalam kereta tersebut telah dirancang dengan rapi terlebih dahulu
dengan perayu pertama dan perayu kedua dengan satu tujuan
sahaja iaitu untuk menghantar dadah tersebut kepada perayu
pertama, yang kemudiannya akan menyerahkan kepada SP3 dan
SP5. Justeru, melihat keterangan secara keseluruhan, terdapat
keterangan yang amat jelas bahawa kesemua perayu mempunyai
niat bersama-sama antara mereka untuk mengedar dadah yang
28
berkenaan. Kami mendapati tiada kekhilafan di dalam dapatan YA
hakim bicara dalam membuat dapatan yang sedemikian.
[31] Peguam perayu pertama dan perayu kedua juga telah
berhujah bahawa YA hakim bicara telah terkhilaf apabila gagal
membuat dapatan bahawa seorang yang bernama Mohd Faizul bin
Mohd Zin yang dikenali sebagai ‘Joe’ adalah seorang saksi penting
dan oleh yang demikian harus dipanggil oleh pihak pendakwaan
sebagai saksi. Dihujahkan bahawa kewujudan Joe di dalam kes ini
telah ditimbulkan pada peringkat kes pendakwaan lagi. Mengikut
peguam, Joe memainkan peranan penting di dalam memerangkap
perayu kedua dan secara tidak langsung memerangkap perayu
pertama. Joe merupakan seorang kenalan perayu kedua, di mana
beliau telah berhutang dengan perayu kedua sebanyak
RM11,000.00. Joe dikatakan akan membayar balik perayu kedua
sekiranya perniagaan kulit ular di antara Joe, SP3 dan SP5 berjaya.
Perayu ketiga dan keempat juga mengesahkan semasa mereka
berada di kawasan tempat letak kereta Kem TUDM Subang,
adanya seorang lelaki yang tidak dikenali dan terdapatnya sebuah
kereta lain (selain darlpada kereta Volvo and Proton) di tempat
tersebut.
29
[32] Memang benar nama Joe ini dicadangkan oleh pihak
pembelaan kepada saksi pendakwaan sebagai pengedar dadah
sebenar di dalam kes ini. Namun kesemua saksi pendakwaan
menafikan penama ini ada memainkan apa-apa peranan di dalam
kes ini. Pada pandangan kami, tiada apa-apa keperluan untuk
memanggil Joe sebagai saksi memandangkan tiada keterangan
menunjukkan beliau terlibat ataupun memainkan apa-apa peranan
di dalam penjualan dadah di dalam kes ini. Oleh yang demikian,
kegagalan memanggil dan menawarkan Joe ini tidak
memudaratkan kes pendakwaan.
[33] Peguam perayu pertama dan peguam perayu kedua juga
telah berhujah bahawa terdapat perlanggaran hak perayu-perayu
untuk suatu perbicaraan yang adil dan merujuk kepada kes Lee
Kwan Woh v PP [2009] 5 CLJ 631 bagi menyokong hujahnya.
Mengikut peguam, pihak pembelaan telah dikritik secara tidak adil
oleh YA hakim bicara dalam penghakimannya apabila
menggunakan perkataan yang kasar atau tidak wajar, yang
menyamakan pembelaan mereka seperti “burung kakak tua diajar
bercakap”. Pada pandangan kami, walaupun YA hakim bicara telah
menggunakan perkataan-perkataan yang tidak sesuai dan wajar
digunakan dalam sesuatu penghakiman Mahkamah, namun
30
meneliti keseluruhan penghakiman YA hakim bicara, kami
mendapati penggunaan perkataan-perkataan yang sedemikian
tidak menyebabkan miscarriage of justice. YA hakim bicara telah
membentangkan dengan panjang lebar versi pembelaan bagi setiap
perayu-perayu (lihat muka surat 1082 – 1092 Rekod Rayuan Jilid
11). Setelah meneliti dan menimbangkan pembelaan kesemua
perayu, YA hakim bicara telah tidak mempercayai dan menolak
versi tersebut. YA hakim bicara telah memberikan analisis dengan
teliti terhadap pembelaan yang dikemukakan oleh setiap daripada
perayu. YA hakim bicara juga telah memberikan sebab-sebab
terperinci mengapa beliau menolak pembelaan semua perayu. YA
hakim bicara telah menggunakan pendekatan yang tepat dan betul
dalam menilai pembelaan perayu-perayu. Kami bersetuju dengan
penemuan di atas yang dibuat oleh YA hakim bicara, yang pada
pandangan kami, disokong oleh fakta dan keadaan sekeliling yang
terdapat dalam kes ini. YA hakim bicara telah mengarahkan dirinya
dengan betul apabila menolak pembelaan perayu-perayu
berdasarkan keterangan yang ada. Tiada sebarang sebab yang
mewajarkan kami mengganggu dapatan fakta tersebut (sila lihat
Teng Howe Seng v PP [2008] 5 CLJ 186). Dalam hubungan ini,
kami berpendapat bahawa YA hakim bicara tidak melakukan apa-
31
apa kekhilafan yang boleh dirayukan (appealable error) yang
memerlukan campur tangan Mahkamah ini.
[34] Setelah menimbangkan dengan teliti dan berhati-hati semua
keterangan serta juga hujah kesemua pihak, kami sebulat suara
telah memutuskan bahawa YA hakim bicara telah membuat
keputusan yang betul apabila mendapati semua perayu bersalah
dan mensabitkan mereka atas pertuduhan yang berkenaan. Kami
berpuas hati bahawa sabitan dan hukuman terhadap semua perayu
adalah selamat. Dengan yang demikian, rayuan ini ditolak. Kami
mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap mereka.
Bertarikh 21 Ogos 2014.
(DATO’ AZAHAR BIN MOHAMED) Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia. Bagi Pihak Perayu Pertama: Hisham Teh Poh Teik dan Perayu Kedua Tetuan Teh Poh Teik & Co.
Dato’ Salehuddin Saidin Tetuan Salehuddin Saidin & Associates
32
Bagi Pihak Perayu Ketiga : Muhammad Rafique Rashid Ali Tetuan Tawfeek Badjenid & Partners Bagi Pihak Perayu Keempat: Kitson Foong Tetuan Kit & Associates Bagi Pihak Responden : Lailawati Ali
Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara.