analisis penglibatan ejen dalam modus operandi tawarruq di
TRANSCRIPT
THE 2ND INTERNATIONAL CONVENTION ON ISLAMIC MANAGEMENT 2015
DEPARTMENT OF SHARIAH AND MANAGEMENT, ACADEMY OF ISLAMIC STUDIES UNIVERSITY OF MALAYA
1
Analisis Penglibatan Ejen dalam Modus Operandi Tawarruq di Institusi Perbankan
Islam di Malaysia Siti Aishah Kasmon
1 dan Kamaruzaman Noordin
2
1Jabatan Muamalat,
Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH),
Jalan Gertak Merah,
80000 Johor Bahru, Johor. 2Jabatan Syariah dan Pengurusan,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya,
50603 Kuala Lumpur. [email protected],
ABSTRAK
Para sarjana menyarankan agar prinsip tawarruq yang telah diperkenalkan oleh bank-bank di
Eropah dan Timur Tengah menjadi alternatif kepada prinsip bayʻ al-ʻῑnah di Malaysia.
Majoriti badan pengeluar fatwa di Timur Tengah dan Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara
Malaysia membenarkan penggunaan prinsip tawarruq tetapi mereka tidak menyatakan secara
jelas berkenaan jenis tawarruq yang dibenarkan sama ada tawarruq individu ataupun
tawarruq terancang. Majmaʻ al-Fiqh al-Islāmῑ dalam resolusinya No. 179 (19/5) menyatakan
dengan jelas bahawa tawarruq individu dibenarkan dan mengharamkan tawarruq terancang.
Sebilangan sarjana berpendapat bahawa pengharaman tawarruq terancang adalah disebabkan
oleh penglibatan bank Islam sebagai ejen kepada pelanggan bagi menjual komoditi kepada
pihak ketiga. Oleh itu, kajian ini cuba untuk mengkaji secara kualitatif berkenaan status
penglibatan ejen dalam modus operandi produk pembiayaan peribadi tawarruq di Bank Islam
Malaysia Berhad (BIMB) dan RHB Islamic Bank (RHBIB) dengan memilih garis panduan
Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI) sebagai
kayu ukur. Metodologi pengumpulan data yang digunakan dalam kajian ini adalah
penyelidikan perpustakaan dan temu bual. Analisis penetapan garis panduan AAOIFI
terhadap penglibatan institusi sebagai ejen penjualan komoditi kepada pihak ketiga serta
dokumen-dokumen rasmi dan data temu bual terpilih di BIMB dan RHBIB dilakukan dengan
menggunakan perisian ATLAS.ti versi 7. Seterusnya, kajian ini membandingkan modus
operandi tawarruq dalam produk pembiayaan peribadi di BIMB dan RHBIB dengan garis
panduan AAOIFI. Hasil analisis mendapati bahawa kedua-dua bank BIMB dan RHBIB
bertentangan dengan syarat perwakilan tawarruq garis panduan AAOIFI yang pertama dan
ketiga. Penentangan ini terjadi adalah disebabkan oleh perlantikan bank sebagai ejen
penjualan komoditi berlaku sebelum pelanggan menerima komoditi yang dibeli.
Key Words: Tawarruq terancang, pembiayaan peribadi, AAOIFI, BIMB, RHBIB
PENDAHULUAN
Penggunaan prinsip tawarruq dalam sistem kewangan dan perbankan Islam telah
diperkenalkan oleh bank-bank di Eropah dan Timur Tengah (Ab. Ghani, A. M, & Che
Abdullah, A. S, 2006). Prinsip ini telah dibenarkan oleh majoriti badan pengeluar fatwa di
Timur Tengah dan Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia (Laldin, M. A., Abdul
Khir, M. F., & Mohd Parid, N., 2012). Pandangan para sarjana terhadap tawarruq ini berbeza
dengan bayʻ al-ʻῑnah di mana penggunaannya hanya dibenarkan oleh MPS, BNM dengan
THE 2ND INTERNATIONAL CONVENTION ON ISLAMIC MANAGEMENT 2015
DEPARTMENT OF SHARIAH AND MANAGEMENT, ACADEMY OF ISLAMIC STUDIES UNIVERSITY OF MALAYA
2
mengemukakan beberapa syarat yang ketat (Bank Negara Malaysia [BNM]). Manakala,
majoriti badan pengeluar fatwa di Timur Tengah tidak membenarkan penggunaan prinsip
bayʻ al-ʻῑnah dengan alasan ia membawa kepada riba (Laldin, M. A. et al., 2012). Walaupun
majoriti para sarjana membenarkan penggunaan prinsip tawarruq dalam sistem perbankan
Islam, namun keputusan mereka tidak menyatakan secara jelas berkenaan jenis tawarruq
yang dibenarkan sama ada tawarruq individu ataupun tawarruq terancang. Sebahagian
daripada mereka ada menyatakan beberapa garis panduan yang menunjukkan bahawa jenis
tawarruq yang dibenarkan adalah tawarruq individu seperti Accounting and Auditing
Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), Kuwait Finance House (KFH),
Dubai Islamic Bank (DIB) dan Dallah al-Barakah Bank (DAB) (Laldin, M. A. et al., 2012).
Majmaʻ al-Fiqh al-Islāmῑ pula dalam resolusinya No. 179 (19/5) yang dikeluarkan pada bulan
April 2009 menyatakan dengan jelas bahawa tawarruq individu dibenarkan dan
mengharamkan tawarruq terancang (Islamic Finance Knowledge Repository [I-FIKR]).
Salah satu elemen penting yang terdapat dalam pelaksanaan tawarruq terancang yang
diharamkan oleh Majmaʻ al-Fiqh al-Islāmῑ adalah agensi. Di dalam tawarruq terancang,
pihak bank menjual komoditi yang dibeli daripada pasaran komoditi antarabangsa kepada
pelanggan secara kredit. Kemudian berdasarkan perjanjian yang dilakukan dalam kontrak
ataupun telah menjadi adat kebiasaan, pihak bank akan menjadi ejen kepada pelanggan
tersebut bagi menjual komoditi yang sama kepada pihak lain secara tunai dan sejumlah wang
akan diserahkan kepada pelanggan (Muslim World League Islamic Fiqh Council, 2003). Oleh
itu, kajian ini akan menganalisis status sebenar penglibatan institusi perbankan Islam di
Malaysia sebagai ejen kepada pelanggan bagi menjual komoditi kepada pihak ketiga dalam
proses tawarruq. Kajian ini dimulakan dengan pendahuluan dan diikuti oleh sorotan kajian
lepas. Kemudian, penerangan yang jelas berkenaan dengan metodologi yang digunakan
dalam kajian ini sangat penting untuk dilakukan sebelum membincangkan hasil analisis
kajian. Analisis kajian pula akan mengetengahkan tentang konsep tawarruq, modus operandi
tawarruq di kedua-dua bank terpilih iaitu BIMB dan RHBIB serta analisis penglibatan kedua-
dua bank tersebut sebagai ejen kepada pelanggan berdasarkan garis panduan AAOIFI.
SOROTAN KAJIAN LEPAS
Hussein Azeemi Abdullah Thaidi, Muhamad Firdaus Ab Rahman, dan Azman Ab Rahman
memilih BIMB sebagai sampel kajian bagi mengkaji kewujudan gharar dalam produk
pembiayaan peribadi. Artikel ini menggunakan kaedah perpustakaan dan observasi untuk
mengumpul data. Disamping itu, tiga orang pegawai BIMB telah ditemu bual secara separa
struktur bagi mendapatkan data primer. Seterusnya, kajian ini dianalisis dengan
menggunakan kaedah komperatif bagi membandingkan pelaksanaan pembiayaan peribadi
tawarruq dengan prinsip muamalat Islam serta bagi mengesan segala bentuk gharar yang
wujud dalam produk tersebut. Hasil analisis mendapati bahawa unsur gharar wujud dalam
proses pelaksanaan produk pembiayaan peribadi tawarruq iaitu pada barang jualan, harga
jualan dan perlangsungan akad. Namun begitu, gharar yang wujud diklasifikasikan sebagai
gharar yasir dan mengharuskan produk tersebut. (Abdullah Thaidi, H. A., Ab Rahman, M.
F., dan Ab Rahman, A., 2014).
Zainor Nasrah Abdul Rahman dan Siti Khadijah Ab Manan dalam artikel mereka mengkaji
tentang penggunaan tawarruq dalam pembiayaan perniagaan runcit. Perbincangan
merangkumi konsep tawarruq, persepakatan dan aplikasi konsep tawarruq dalam produk
pembiayaan runcit bagi membiayai usahawan kecil. Hasil perbincangan mendapati bahawa
dalam kaedah tawarruq, bank Islam boleh dilantik sebagai ejen pelanggan bagi menjual
semula komoditi kepada Broker Dua selepas pelanggan membeli komoditi tersebut daripada
THE 2ND INTERNATIONAL CONVENTION ON ISLAMIC MANAGEMENT 2015
DEPARTMENT OF SHARIAH AND MANAGEMENT, ACADEMY OF ISLAMIC STUDIES UNIVERSITY OF MALAYA
3
bank. Akhir sekali, kajian ini mencadangkan model tawarruq untuk produk pembiayaan
perniagaan runcit. Berdasarkan model tersebut, bank Islam akan membeli barang-barang
yang diingini pelanggan daripada pembekal dan menjual semula kepada pelanggan tersebut
secara tangguh dengan menggunakan kontrak murabahah. Kemudian, pelanggan menjual
barang tersebut kepada pengguna akhir bagi mendapatkan keuntungan. (Abdul Rahman, Z.
N., dan Ab Manan, S. K., 2014).
Abdul Ghafar Ismail, Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani dan Mat Nor Mat Zain cuba untuk
menganalisis penglibatan konsep wakalah dalam produk deposit bertempoh berasaskan
tawarruq dengan merujuk kepada model modus operandi produk deposit berasaskan
tawarruq di RHB Investment Bank. Hasil analisis kajian ini mendapati bahawa setelah bank
menerima wang tunai daripada pembekal bagi pihak pelanggan, pelanggan akan menjual
komoditi tersebut kepada bank. Hal ini seolah-olah bank menjual komoditi kepada dirinya
sendiri (bay al-wakillinafsihi) dan sebahagian ulama menentang amalan ini. Namun begitu,
kajian ini memilih pandangan sebahagian ulama yang lain yang mengharuskan bay al-
wakillinafsihi kerana kedua-dua pihak bank dan pelanggan mengetahui keadaan ini dan
pertuduhan (tuhmah) terhadap ejen tidak akan berlaku. Oleh itu, penggunaan konsep bay al-
wakillinafsihi tidak akan merosakkan kesahan wakalah dalam produk ini. (Ismail, A. G., Nik
Abdul Ghani, N. A. R., dan Mat Zin, M. N., 2013).
Mousa almanaseer, Shoish Al Mahamed, dan Bashar Matarneh menggunakan kaedah
deskriptif dan analitikal bagi menganalisis prinsip Shariah terhadap pinjaman tambahan
(supplementary loan). Hasil analisis mendapati bahawa pinjaman tambahan berasaskan
murabahah dan tawarruq individu diharuskan. Tetapi, pinjaman tambahan berasaskan
tawarruq terancang adalah haram dengan alasan bahawa ia terlibat dengan riba kerana
berlaku persepakatan antara pelanggan dan bank Islam di mana pelanggan menerima wang
tunai dan membayarnya dengan harga yang lebih tinggi pada masa akan datang. Kajian ini
juga mendapati bahawa pengharaman tawarruq terancang adalah disebabkan oleh
penglibatan bank Islam sebagai ejen kepada pelanggan bagi menjual komoditi yang dibeli
oleh pelanggan kepada pihak ketiga. (Almanaseer, M., Al Mahamed, S., dan Matarneh, B.,
2014).
Asyraf Wajdi Dusuki memfokuskan kajian terhadap pelaksanaan tawarruq dalam BSAS.
Beliau membincangkan tentang isu-isu yang timbul yang menyebabkan Majmaʻ al-Fiqh al-
Islāmῑ mengharamkan tawarruq terancang. Isu-isu tersebut ialah berkenaan dengan komoditi,
pemilikan dan penghantaran komoditi, isu bayʻ al-ʻῑnah dan isu berkaitan dengan agensi.
Hasil kajian menunjukkan bahawa aplikasi semasa tawarruq terancang oleh institusi
kewangan Islam telah melanggar garis panduan yang ditetapkan oleh AAOIFI. Walaupun
inisiatif Bursa Malaysia memperkenalkan BSAS sebagai platform untuk melaksanakan
transaksi tawarruq dapat menyelesaikan banyak isu-isu Syariah, namun masih terdapat
beberapa isu yang belum mampu diselesaikan. (Dusuki, A. W., 2010).
Asmak Ab Rahman, Shamsiah Mohammad, dan Iman Mohd Salleh membahaskan tentang
pandangan para ulama silam dan kontemporari terhadap tawarruq serta hujah-hujah mereka
dalam menerima dan menentang tawarruq. Disamping membincangkan tentang perbezaan
antara tawarruq dengan bayʻ al-ʻῑnah, beliau turut membincangkan modus operandi
pelaksanaan tawarruq secara ringkas dalam produk pembiayaan peribadi di BIMB. (Ab
Rahman, A., Mohammad, S., dan Mohd Salleh, I., 2010).
THE 2ND INTERNATIONAL CONVENTION ON ISLAMIC MANAGEMENT 2015
DEPARTMENT OF SHARIAH AND MANAGEMENT, ACADEMY OF ISLAMIC STUDIES UNIVERSITY OF MALAYA
4
Rafe Haneef ada membincangkan tentang modus operandi beberapa mod tawarruq semasa
yang digunakan sebagai kemudahan kecairan dan pembiayaan. Beliau membandingkan
modus operandi tersebut dari sudut fiqah. Beliau mendapati bahawa beberapa alasan yang
digunakan oleh golongan yang menentang tawarruq telah dibenarkan dalam penggunaan
kontrak-kontrak semasa yang lain seperti murabahah dan ijarah. Beliau berpendapat bahawa
pengharaman tawarruq secara mendadak tanpa mengemukakan solusi yang terbaik boleh
mengganggu kestabilan industri kewangan Islam. Sebaliknya, membenarkan penggunaan
tawarruq dengan menetapkan garis panduan tertentu yang boleh diterima pakai dapat
menjamin kemaslahatan seterusnya dapat meningkatkan industri kewangan Islam. (Haneef,
R., 2009).
Kajian Hussein ‘Azeemi Abdullah Thaidi dalam disertasi beliau mengkaji pelaksanaan akad
pembiayaan peribadi-i tawarruq di BIMB. Namun begitu, beliau hanya memfokuskan kajian
kepada sebuah bank sahaja dan hanya menilai keselarian pelaksanaan produk pembiayaan
peribadi-i tawarruq dengan prinsip muamalat Islam. Berdasarkan metode analisis induktif,
deduktif dan komparatif, hasil kajian mendapati bahawa terdapat elemen persepakatan awal
dan pengumpulan beberapa unsur gharar dalam satu transaksi produk pembiayaan peribadi-i
tawarruq iaitu jenis komoditi, harga jualan dan waktu berlakunya majlis akad. (Abdullah
Thaidi, H. A., 2014).
Saʻῑd Bouheraoua memfokuskan kajian terhadap tawarruq dalam sistem perbankan. Beliau
telah mengkaji istilah tawarruq dan prinsip sad al-dharā’iʻ yang merupakan asas kepada
perbezaan pandangan ulama terhadap tawarruq terancang. Beliau juga telah menganalisis
bukti-bukti dan hujah-hujah para ulama dalam mengeluarkan keputusan. Berdasarkan kaedah
perbandingan yang dibuat terhadap definisi dan bentuk-bentuk bayʻ al-ʻῑnah dan tawarruq,
perbezaan pandangan ulama terhadap prinsip sad al-dharā’iʻ serta bukti-bukti yang
dikemukakan oleh golongan yang menyokong dan menentang tawarruq terancang, beliau
mendapati bahawa mengharamkan tawarruq terancang adalah lebih kuat daripada
membenarkannya. Namun begitu, kajian ini tidak membincangkan tentang pelaksanaan
tawarruq. (Bouheraoua, S., t.t).
Disamping membincangkan konsep dan aplikasi tawarruq, Engku Rabiah Adawiyah Engku
Ali turut membincangkan tentang isu-isu yang timbul dalam tawarruq iaitu polemik antara
isu helah yang sering dikaitkan dengan tawarruq dan keperluan manusia terhadap
penyelesaian masalah kecairan. Beliau mencadangkan jawatankuasa Syariah sama ada di
peringkat tempatan atau global sepakat dalam menentukan status sebenar helah. (Angku Ali,
E. R. A., 2006)
METODOLOGI KAJIAN
(1) Reka Bentuk Kajian
Kajian ini merupakan kajian kualitatif dengan menggunakan reka bentuk kajian kes. Bank
Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan RHB Islamic Bank (RHBIB) dipilih sebagai subjek
kajian ini.
THE 2ND INTERNATIONAL CONVENTION ON ISLAMIC MANAGEMENT 2015
DEPARTMENT OF SHARIAH AND MANAGEMENT, ACADEMY OF ISLAMIC STUDIES UNIVERSITY OF MALAYA
5
(2) Metodologi Pengumpulan Data
Kajian Perpustakaan
Peringkat awal kajian ini menumpukan kepada kajian perpustakaan bagi mengumpul
maklumat berkenaan konsep tawarruq melalui jurnal, pembentangan kertas kerja, tesis dan
disertasi yang diperolehi daripada perpustakaan universiti dan internet. Kaedah ini juga
digunakan bagi memperolehi dokumen-dokumen sekunder AAOIFI, BIMB dan RHBIB
seperti Shariʼa Standard No. (30), AAOIFI, Lembaran Maklumat Produk (PDS) BIMB dan
RHBIB serta Terma dan Syarat (TnC) BIMB.
Temu Bual
Kaedah temu bual digunakan dalam kajian ini bagi mendapatkan maklumat berkenaan
pelaksanaan produk pembiayaan peribadi serta mendapatkan dokumen-dokumen primer
BIMB dan RHBIB seperti dalam Jadual Satu:
Jadual 1. Dokumen-Dokumen Primer BIMB dan RHBIB untuk Dianalisis
Bil Dokumen BIMB RHBIB
1 Tawaran untuk Membeli (OTP) √
2 Pelantikan Bank Islam Sebagai Ejen Jualan (ABSA) √
3 Surat Tawaran (LO) √ √
4 Memorandum Penerimaan √
5 Penerimaan Tawaran untuk Pembelian (AOP) √
6 Pengesahan Transaksi (COT) √
7 Jadual Pembayaran √
8 Teks SMS √
9 Pesanan Belian Komoditi (CPO) √
10 Tawaran Penjual (SO) √
11 Surat Penerimaan Jualan Murabahah (MSAL) √
12 Lain-lain (Sebut Harga dan Permintaan Penghantaran
(DO))
√
Sumber: BIMB dan RHBIB.
Responden yang dipilih dalam kajian ini adalah Zuladhha Mohd Anuar (Ketua Pembiayaan
Peribadi, Perbankan Pengguna, BIMB), Mohd Nazri Chik (Ketua Syariah, BIMB), dan
Mohammad Nasir Kamis @ Che Ali (Pengurus Kanan, Kad dan Perniagaan Tidak Bercagar,
RHBIB). Manakala temu bual bersama Mohd Zainuddin Abdullah (Ketua Bahagian Operasi
Kredit, Kad dan Perniagaan Tidak Bercagar, RHBIB) hanyalah untuk mendapatkan data-data
primer RHBIB.
(3) Metodologi Analisis Data
Perisian Analisis Data
Kajian ini menggunakan perisian ATLAS.ti versi 7 sebagai alat untuk memudahkan
pemprosesan kod yang dibina semasa menganalisis maklumat-maklumat yang terdapat di
dalam garis panduan AAOIFI, dokumen-dokumen rasmi bank-bank terpilih dan data temu
bual terpilih serta menterjemahkannya dalam bentuk visual melalui network.
THE 2ND INTERNATIONAL CONVENTION ON ISLAMIC MANAGEMENT 2015
DEPARTMENT OF SHARIAH AND MANAGEMENT, ACADEMY OF ISLAMIC STUDIES UNIVERSITY OF MALAYA
6
Kaedah Deduktif
Kajian ini akan dilaksanakan secara deduktif. Langkah pertama untuk menganalisis data
adalah dengan membina kod yang sesuai. Kod yang sesuai dibina dalam kajian ini yang
menggambarkan penglibatan ejen dalam modus operandi tawarruq adalah perwakilan.
Seterusnya, kaedah deduktif diaplikasikan dalam analisis ini dengan menggunakan kod yang
telah dibina sebagai landasan teori kajian. Garis panduan AAOIFI iaitu “Shari'a Standard No.
(30), Monetization (Tawarruq)” merupakan dokumen pertama yang dianalisis.. Seterusnya,
analisis juga dilakukan terhadap dokumen-dokumen rasmi BIMB dan RHBIB serta data-data
temu bual terpilih.
Kaedah Komparatif
Kaedah ini digunakan bagi membandingkan dokumen-dokumen dan data temu bual di BIMB
dan RHBIB dengan garis panduan AAOIFI. Kaedah ini sangat penting bagi mengetahui
adakah penglibatan kedua-dua bank BIMB dan RHBIB dalam pelaksanaan produk
pembiayaan peribadi selari dengan garis panduan AAOIFI. Seterusnya, perbandingan ini
akan dipersembahkan dalam bentuk network dengan menggunakan perisian ATLAS.ti.
ANALISIS DATA
(1) Konsep Tawarruq
Menurut Muḥammad Taqῑ al-ʻUthmānῑ, perkataan tawarruq tidak terdapat dalam istilah
bahasa (Al-ʻUthmānῑ, M. T., t.t.). Ia diambil daripada perkataan al-wariq jamaknya awrāq
yang bermaksud al-fiḍḍah iaitu perak (Ibn Manẓūr, M. M., 1990). Tawarruq adalah istilah
yang digunakan oleh para fuqaha terhadap seseorang yang memikul tanggungjawab bagi
memperoleh wang (Al-ʻUthmānῑ, M. T., t.t.). Oleh itu, perkataan tawarruq bermaksud talaba
al-wariq iaitu meminta wang. Al-wariq yang dimaksudkan pada asalnya ialah wang yang
diperbuat daripada perak. Kemudian, ia berubah menjadi umum sama ada wang yang
diperbuat daripada perak, emas atau wang kertas (Al-Manῑʻ, A. S., 1425H).
Merujuk kepada kitab Al-Mawsūʻah Al-Fiqhiyyah, tawarruq ialah membeli sesuatu barang
secara tangguh, kemudian menjualnya secara tunai kepada bukan penjual asal (pihak ketiga)
dengan harga yang lebih rendah daripada harga yang dibelinya bagi memperolehi wang tunai
(Al-Manῑʻ, A. S., 1425H). Definisi ini adalah sama seperti definisi tawarruq yang diberikan
oleh Wahbah al-Zuhaylῑ (Al-Zuhaylῑ, W., 2004) dan Nazῑh Ḥamād (Ḥamād, N., 1993).
Definisi ini juga hampir sama dengan definisi tawarruq oleh Majmaʻ al-Fiqhῑ al-Islāmῑ yang
merujuk tawarruq sebagai membeli komoditi yang berada dalam pemilikan penjual dengan
harga tangguh. Kemudian pembeli tersebut menjualnya secara tunai kepada pihak ketiga bagi
mendapatkan wang tunai (Majmaʻ al-Fiqhῑ al-Islāmῑ, 1419H).
Para sarjana kontemporari telah membahagikan tawarruq kepada tiga jenis iaitu al-tawarruq
al-fardi (real tawarruq), al-tawarruq al-munaẓẓam (organized tawarruq) dan al-tawarruq al-
maṣrifi (banking tawarruq) (Bouheraoua, S., t.t). Walaubagaimanapun, Sāmῑ Ibrāhῑm al-
Suwaylim dan beberapa sarjana lain menganggap bahawa banking tawarruq adalah
sebahagian daripada bentuk organized tawarruq kerana struktur kedua-dua jenis tersebut
adalah sama cuma yang membezakannya adalah entiti yang menguruskan prosedur tawarruq
di mana banking tawarruq dijalankan oleh pihak perbankan (Bouheraoua, S., t.t). Oleh itu,
THE 2ND INTERNATIONAL CONVENTION ON ISLAMIC MANAGEMENT 2015
DEPARTMENT OF SHARIAH AND MANAGEMENT, ACADEMY OF ISLAMIC STUDIES UNIVERSITY OF MALAYA
7
gambaran tawarruq boleh dikategorikan kepada dua jenis, iaitu tawarruq individu dan
tawarruq terancang.
Tawarruq individu yang dikenali sebagai tawarruq al-fardi/al-fiqh (Bouheraoua, S., t.t)
adalah transaksi yang berlaku dalam keadaan pembeli pertama membeli barangan secara
ansuran dan menjualnya kepada pihak ketiga secara tunai dengan harga yang rendah (Ab
Ghani, A. M. & Che Abdullah, A. S., 2006). Tawarruq terancang pula dikenali sebagai
tawarruq al-maṣrifi (banking tawarruq) atau tawarruq al-munaẓẓam (organized tawarruq).
Tawarruq terancang digunakan dalam sesebuah sistem kewangan di mana tawarruq menjadi
satu kaedah pembiayaan atau pinjaman. Di dalam tawarruq terancang, mungkin terjadi
pembeli barangan terakhir bertindak sebagai wakil kepada penjual barangan pertama ataupun
penjual pertama akan mewakili pembeli terakhir dalam menguruskan kontrak (Ab Ghani, A.
M. & Che Abdullah, A. S., 2006). Hal ini selari dengan gambaran tawarruq terancang oleh
Muḥammad Uthmān Shubayr di mana seorang pelanggan pergi kepada bank Islam dan
berkata ‘Saya inginkan wang tunai melalui kaedah tawarruq’. Kemudian, pihak bank
membeli untuknya komoditi di pasaran antarabangsa dan menjualnya kepada pelanggan
tersebut secara tangguh dan ansuran. Seterusnya, pihak bank meminta untuk menjadi wakil
pelanggan bagi menjual komoditi tersebut. Kemudian, pelanggan tersebut akan memperolehi
wang tunai (harga komoditi tersebut) dalam akaunnya dan pelanggan terikat untuk membayar
harga komoditi tersebut secara ansuran (Shubayr, M. ‘U., t.t.).
(2) Modus Operandi Tawarruq dalam Produk Pembiayaan Peribadi
a) Modus Operandi Tawarruq dalam Produk Pembiayaan Peribadi di BIMB
Apabila pelanggan berhasrat untuk memohon pembiayaan peribadi di BIMB, maka mereka
perlu menghantar dokumen-dokumen yang diperlukan bagi memproses pembiayaan yang
dimohon seperti salinan kad pengenalan dan slip gaji serta borang permohonan. Kemudian,
pelanggan akan diminta untuk menandatangani dua dokumen penting iaitu OTP dan ABSA
(Chik, M. N., 2014). Seterusnya, pegawai di cawangan akan menghantar permohonan
tersebut kepada Financing Processing Centre (FPC) untuk diproses dan dianalisis bagi
menentukan sama ada pelanggan tersebut layak mendapat pembiayaan ataupun tidak (Chik,
M. N., 2014). Maka, pihak bank akan menyemak kredit pelanggan seperti CCRIS dan CTOS
bagi memastikan pelanggan tidak tersenarai dalam senarai hitam. Kemudian, pihak bank akan
membuat siasatan bagi memastikan maklumat-maklumat dan dokumen-dokumen yang
diberikan oleh pelanggan adalah benar dan asli (Anuar, Z. M., 2014). Jika hasil siasatan
adalah memuaskan, maka pihak bank akan meluluskan permohonan pembiayaan peribadi
pelanggan dan mula membuat perdagangan komoditi tawarruq (Chik, M. N., 2014). Modus
operandi perdagangan komoditi tawarruq bagi produk pembiayaan peribadi di BIMB adalah
seperti dalam Rajah Satu:
THE 2ND INTERNATIONAL CONVENTION ON ISLAMIC MANAGEMENT 2015
DEPARTMENT OF SHARIAH AND MANAGEMENT, ACADEMY OF ISLAMIC STUDIES UNIVERSITY OF MALAYA
8
Rajah 1: Modus Operandi Perdagangan Komoditi Produk Pembiayaan Peribadi di BIMB.
Sumber: Dipetik dan Diubah Suai daripada BIMB.
Berdasarkan rajah di atas, pihak-pihak yang terlibat perlu melalui tujuh langkah dalam
pembelian komoditi bagi produk pembiayaan peribadi. Pertama, pelanggan yang memerlukan
wang tunai memohon pembiayaan peribadi berasaskan tawarruq daripada bank. Apabila
permohonan tersebut diluluskan, maka BIMB akan membeli komoditi di pasaran komoditi
melalui Broker Satu. Kemudian, bank menjual komoditi yang dibelinya tadi kepada
pelanggan secara tangguh berasaskan kontrak murabahah (pokok + keuntungan). Biasanya,
pihak bank akan menggunakan paladium sebagai komoditi dalam transaksi pembiayaan
peribadi (Anuar, Z. M., 2014). Keempat, pelanggan mewakilkan bank untuk menjual
komoditi tersebut di pasaran berasaskan kontrak wakalah. Setelah itu, bank bertindak sebagai
ejen jualan yang dilantik oleh pelanggan menjual komoditi tersebut kepada Broker Dua.
Kemudian, bank mengkreditkan wang tunai (hasil jualan komoditi) ke dalam akaun
pelanggan. Setelah pembiayaan diluluskan, pihak bank akan menyerahkan dokumen-
dokumen seperti LO termasuk PDS, Memorandum Penerimaan, AOP, COT, Jadual
Pembayaran, dan TnC kepada pelanggan bagi tujuan pembayaran (Anuar, Z. M., 2014).
Akhir sekali, pelanggan membayar sejumlah wang yang perlu dibayar kepada bank (pokok +
keuntungan) secara ansuran seperti yang telah dipersetujui.
b) Modus Operandi Tawarruq dalam Produk Pembiayaan Peribadi di RHBIB
Andaikan pelanggan datang ke RHBIB untuk memohon pembiayaan peribadi berjumlah
RM10, 000. Pelanggan akan memberi dokumen-dokumen yang diperlukan seperti penyata
gaji kepada pihak bank. Pada waktu ini juga, pelanggan akan diberikan dokumen-dokumen
sepert LO, CPO, MSAL, dan SO untuk ditandatangani bagi mendapatkan persetujuan
daripada pelanggan berkenaan terma dan syarat pembiayaan bagi membolehkan pihak bank
melaksanakan transaksi perdagangan komoditi. Kemudian pihak bank akan menyemak
kelayakan pelanggan seperti CTOS, CCRIS dan sebagainya. Apabila pelanggan tersebut
layak memohon pembiayaan peribadi RM10, 000, maka pihak bank mula melaksanakan
perdagangan komoditi (Kamis, M. N., 2014). Rajah Dua menunjukkan modus operandi
perdagangan komoditi produk pembiayaan peribadi di RHBIB:
1
7
5
2
Broker 2
Broker 1
Bank 3
4
6
Pelanggan
THE 2ND INTERNATIONAL CONVENTION ON ISLAMIC MANAGEMENT 2015
DEPARTMENT OF SHARIAH AND MANAGEMENT, ACADEMY OF ISLAMIC STUDIES UNIVERSITY OF MALAYA
9
Rajah 2: Modus Operandi Perdagangan Komoditi Produk Pembiayaan Peribadi di RHBIB
Sumber: RHB Islamic Bank Berhad (Kamis, M. N., 2014) dan Sedania As Salam Capital Sdn
Bhd (Amri, A., 2014).
Berdasarkan Rajah Dua, enam langkah perlu dilalui oleh pihak-pihak yang terlibat dalam
pembelian komoditi bagi produk pembiayaan peribadi. Pertama, RHBIB membeli komoditi
yang berharga RM 10, 000 daripada pembekal melalui sistem As-Sidq. Sistem As-Sidq
merupakan sistem perdagangan tawarruq kewangan Islam yang dibenarkan oleh Bank
Negara Malaysia. Sistem yang dibangunkan oleh Sedania ini akan mengotomatkan jualan dan
belian komoditi antara pelanggan, bank, pembekal dan pembeli komoditi (Abu Hassan, I. H.,
2014). Pembekal tersebut terdiri daripada syarikat-syarikat telco seperti Maxis, Celcom dan
sebagainya. Komoditi yang digunakan dalam transaksi ini adalah prabayar telefon (airtime).
Setelah komoditi menjadi milik pihak bank, RHBIB menjual airtime yang berharga RM10,
000 ditambah dengan X peratus keuntungan kepada pelanggan melalui sistem As-Sidq
dengan menggunakan konsep murabahah. Pada waktu ini, sistem As-Sidq akan menghantar
SMS kepada pelanggan menyatakan bahawa pihak bank bersetuju untuk menawarkan
pembiayaan peribadi kepada pelanggan berjumlah RM10, 000. SMS tersebut juga
mengandungi maklumat-maklumat terperinci berkenaan dengan pembiayaan seperti kadar
keuntungan, jumlah bayaran bulanan, maklumat komoditi dan sebagainya. Pelanggan juga
diberi pilihan sama ada mahu meneruskan permohonan pembiayaan peribadi ini ataupun
mahu membatalkannya. Sekiranya pelanggan bersetuju untuk meneruskan permohonan,
pelanggan perlu membalas YA bagi menjual komoditi kepada Sedania dan menerima wang
tunai. Balasan TIDAK menunjukkan pelanggan mahu memiliki komoditi dan balasan
CANCEL pula sekiranya pelanggan mahu membatalkan permohonan pembiayaan (Kamis,
M. N., 2014). Keempat, Sedania membeli airtime sebanyak RM10, 000 daripada pelanggan
melalui As-Sidq. Sebenarnya, pelanggan sudah melantik pihak bank sebagai wakil untuk
2
1 3
4 5
6
Menunjukkan aliran wang
tunai Menunjukkan aliran airtime daripada pembekal kepada bank.
Menunjukkan aliran airtime daripada bank kepada pelanggan dan kepada
Sedania
THE 2ND INTERNATIONAL CONVENTION ON ISLAMIC MANAGEMENT 2015
DEPARTMENT OF SHARIAH AND MANAGEMENT, ACADEMY OF ISLAMIC STUDIES UNIVERSITY OF MALAYA
10
jualkan airtime tersebut kepada Sedania rentetan daripada jawapan YA oleh pelanggan
terhadap SMS yang diberi serta semasa pelanggan menandatangani dokumen LO sebelum ini.
Kemudian, Sedania membayar (tunai) kepada pelanggan melalui As-Sidq. Apabila wang
tunai tersebut sudah menjadi hak milik pelanggan, pihak bank akan mengambil wang tersebut
dari akaun Al-Sidq dan masukkan pula ke dalam akaun pelanggan (Kamis, M. N., 2014).
Akhir sekali, pelanggan menerima wang tunai melalui As-Sidq. Pelanggan berjaya
mendapatkan wang tunai seperti yang dikehendaki setelah pihak bank memasukkan wang
tersebut ke dalam akaun bank miliknya. Kemudian, pihak bank akan menyerahkan semula
dokumen-dokumen yang telah ditandatangani oleh pelanggan sebelum ini iaitu LO, CPO,
MSAL, dan SO kepada pelanggan seminggu selepas pelanggan menerima wang tunai
(Kamis, M. N., 2014). Kini, pelanggan terikat untuk membayar hutangnya secara ansuran
kepada pihak bank.
(3) Analisis Penglibatan Ejen dalam Modus Operandi Tawarruq
a) Peruntukan Garis Panduan AAOIFI
Langkah pertama sebelum menganalisis dokumen-dokumen terlibat ialah membina kod
perwakilan. Kemudian, kod perwakilan digunakan sebagai landasan teori bagi menganalisis
garis panduan AAOIFI iaitu “Shari'a Standard No. (30), Monetization (Tawarruq)”. Hasil
analisis menunjukkan bahawa AAOIFI menggariskan tiga syarat penting berkenaan
perwakilan tawarruq seperti berikut (Accounting and Auditing Organization for Islamic
Financial Institutions [AAOIFI], 2010):
Syarat Pertama: Pelanggan tidak boleh mewakilkan pihak institusi atau ejennya untuk
menjual komoditi yang dibelinya daripada institusi tersebut bagi pihaknya.
Sekiranya pelanggan tersebut tidak dibenarkan untuk menjual komoditi
kecuali hanya melalui institusi yang sama, maka dia boleh mewakilkan
institusi tersebut untuk menjual komoditi hanya selepas pelanggan tersebut
menerima komoditi itu.
Syarat Kedua: Institusi tidak boleh mengatur pihak ketiga sebagai wakil kepada pelanggan
bagi menjual komoditi yang dibelinya daripada institusi tersebut.
Syarat Ketiga: Pelanggan hendaklah menjual sendiri komoditi yang dibelinya. Sekiranya
pelanggan menjual komoditi melalui ejen, ejen tersebut bukanlah ejen
institusi.
Ketiga-tiga syarat di atas dapat dibuktikan melalui network ATLAS.ti dalam Rajah Tiga
seperti berikut:
THE 2ND INTERNATIONAL CONVENTION ON ISLAMIC MANAGEMENT 2015
DEPARTMENT OF SHARIAH AND MANAGEMENT, ACADEMY OF ISLAMIC STUDIES UNIVERSITY OF MALAYA
11
Rajah 3: Network Perwakilan Tawarruq Garis Panduan AAOIFI
b) Analisis Syarat Pertama Perwakilan Tawarruq
Syarat pertama perwakilan tawarruq terdapat dalam artikel 4/7, Shariʼa Standard No. (30),
AAOIFI di mana pelanggan tidak dibenarkan untuk mewakilkan pihak institusi bagi menjual
komoditi yang dibelinya daripada institusi tersebut bagi pihaknya. Namun begitu, hasil
analisis menunjukkan bahawa kedua-dua bank terpilih tidak memenuhi syarat ini. Di BIMB,
pelanggan melantik pihak bank sebagai wakil bagi menjual komoditi yang dibelinya kepada
pihak ketiga sepertimana yang digambarkan dalam Rajah Empat:
THE 2ND INTERNATIONAL CONVENTION ON ISLAMIC MANAGEMENT 2015
DEPARTMENT OF SHARIAH AND MANAGEMENT, ACADEMY OF ISLAMIC STUDIES UNIVERSITY OF MALAYA
12
Rajah 4: Network Analisis Syarat Pertama Perwakilan Tawarruq BIMB vs AAOIFI
Rajah Empat membuktikan bahawa pihak BIMB dilantik sebagai wakil bagi menjual
komoditi yang dibelinya kepada pihak ketiga. Pernyataan terhadap perlantikan tersebut
terdapat dalam dokumen ABSA, COT, TnC dan temu bual bersama Mohd Nazri Chik.
Berdasarkan rajah tersebut, petikan 3:15 dalam dokumen ABSA menunjukkan pelanggan
melantik bank sebagai wakilnya bagi menjual komoditi kepada pihak ketiga:
“saya/kami dengan ini melantik Bank Islam dan bank islam bersetuju untuk
dilantik sebagai agen saya/kami untuk bertindak bagi pihak saya/kami bagi
menjual komoditi-komoditi yang akan dimiliki oleh saya/kami kepada pembeli
ketiga…”
Bagi dokumen COT, pihak bank mengesahkan tentang penjualan komoditi bagi pihak
pelanggan kepada pihak ketiga sepertimana dalam perjanjian perlantikan ejen yang dilakukan
sebelum ini. Kenyataan berkenaan dengan perlantikan tersebut ditunjukkan dalam petikan
8:15 seperti berikut:
“Persuant to your appointment of us being sale agent, we hereby confirm that we
have sold your commodity…”
Bukti perlantikan BIMB sebagai ejen pelanggan bagi menjual komoditi kepada pihak ketiga
terdapat juga dalam dokumen TnC BIMB sepertimana yang ditunjukkan dalam petikan 10:4
THE 2ND INTERNATIONAL CONVENTION ON ISLAMIC MANAGEMENT 2015
DEPARTMENT OF SHARIAH AND MANAGEMENT, ACADEMY OF ISLAMIC STUDIES UNIVERSITY OF MALAYA
13
iaitu “… the bank acts as agent (Wakalah transaction) pursuant to the appointment of the
bank as sales agent…” Hal ini juga diakui oleh Mohd Nazri Chik dalam petikan 12:3 iaitu
“Customer waktu dia datang apply, dia dah lantik bank sebagai ejen untuk jual.”
Bagi RHBIB pula, kenyataan pelantikan bank sebagai ejen jualan komoditi terdapat dalam
dokumen PDS dan Mohammad Nasir Kamis @ Che Ali seperti yang ditunjukkan dalam
Rajah Lima.
Rajah 5: Network Analisis Syarat Pertama Perwakilan Tawarruq RHBIB vs AAOIFI
Berdasarkan Rajah Lima, RHB tidak menyediakan dokumen khusus perlantikan secara
langsung pihak bank sebagai ejen menjual komoditi kepada pihak ketiga sepertimana dalam
dokumen ABSA di BIMB. Namun begitu, perlantikan ejen ini dapat difahami secara tidak
langsung dalam dokumen PDS sepertimana yang dinyatakan dalam petikan 13:4 iaitu:
“The Customer and RHB Islamic Bank (RHBIB) enter into an agreement where the Customer
promises to buy a specified commodity or asset from RHBIB and the Customer then appoints
RHBIB as his agent to sell the said commodity.”
Tambahan pula, perlantikan ini juga diakui oleh Mohammad Nasir Kamis dalam petikan
22:10.
THE 2ND INTERNATIONAL CONVENTION ON ISLAMIC MANAGEMENT 2015
DEPARTMENT OF SHARIAH AND MANAGEMENT, ACADEMY OF ISLAMIC STUDIES UNIVERSITY OF MALAYA
14
Menurut AAOIFI, sekiranya pelanggan tersebut hanya dibenarkan untuk menjual komoditi
melalui pihak bank, maka dia boleh mewakilkan bank untuk menjual komoditi hanya selepas
pelanggan menerima komoditi yang dibeli. Kajian terhadap modus operandi tawarruq dalam
produk pembiayaan peribadi di bahagian dua analisis data menunjukkan bahawa pelanggan
BIMB dan RHBIB melantik pihak bank sebagai wakil penjualan komoditi sebelum
pelanggan menerima komoditi yang dibeli. Bagi BIMB, pelanggan menandatangani dokumen
ABSA semasa permohonan pembiayaan dibuat. Pada waktu ini, pelanggan sudah melantik
BIMB sebagai wakilnya supaya menjual komoditi yang akan dimilikinya kepada pembeli
ketiga. Pada waktu ini, perdagangan komoditi belum pun dilaksanakan apalagi pelanggan
tersebut memiliki komoditi. Bagi RHBIB pula, pelantikan pihak bank sebagai ejen jualan
tidak berlaku secara langsung dalam dokumen-dokumen kontrak RHBIB. Dokumen-
dokumen kontrak seperti LO, CPO, MSAL, dan SO yang perlu ditandatangani oleh
pelanggan juga tidak ada sebarang petikan yang menunjukkan perlantikan tersebut. Petikan
perlantikan bank sebagai ejen jualan komoditi bagi pihak pelanggan hanya dicatatkan dalam
PDS (Kamis, M. N., 2014).
c) Analisis Syarat Kedua Perwakilan Tawarruq
Oleh kerana kedua-dua bank BIMB dan RHBIB bertindak sebagai ejen pelanggan bagi
menjual komoditi, maka ia tidak melanggar garis panduan AAOIFI berkenaan syarat
perwakilan yang kedua iaitu bank tidak sepatutnya mengatur wakil pihak ketiga bagi menjual
komoditi bagi pihak pelanggan. Perkara ini telah dibuktikan dalam Rajah Enam iaitu Network
Analisis Syarat Kedua Perwakilan Tawarruq.
Rajah 6: Network Analisis Syarat Kedua Perwakilan Tawarruq
THE 2ND INTERNATIONAL CONVENTION ON ISLAMIC MANAGEMENT 2015
DEPARTMENT OF SHARIAH AND MANAGEMENT, ACADEMY OF ISLAMIC STUDIES UNIVERSITY OF MALAYA
15
Berdasarkan Rajah Enam, petikan 13:7 dalam dokumen PDS, RHBIB dan petikan 3:15 dalam
dokumen ABSA, BIMB menunjukkan bahawa pihak bank sendiri yang bertindak sebagai
ejen penjualan komoditi kepada pihak ketiga.
d) Analisis Syarat Ketiga Perwakilan Tawarruq
Berdasarkan syarat ketiga perwakilan tawarruq yang digariskan oleh AAOIFI, pelanggan
hendaklah menjual sendiri komoditi yang dibelinya. Sekiranya pelanggan menjual komoditi
melalui ejen, ejen tersebut bukanlah ejen institusi. Network Analisis Syarat Ketiga
Perwakilan pada Rajah Tujuh dan Lapan menunjukkan bahawa BIMB dan RHBIB telah
menyalahi syarat ini.
Rajah 7: Network Analisis Syarat Ketiga Perwakilan Tawarruq BIMB vs AAOIFI
Hasil analisis syarat ketiga perwakilan tawarruq BIMB dalam Rajah Tujuh mendapati
bahawa petikan-petikan dalam dokumen ABSA, TnC, dan COT menunjukkan pelanggan
mewakilkan pihak bank supaya menjual komoditi yang dibelinya kepada pihak ketiga.
Petikan 3:17 dalam dokumen ABSA menyatakan “pihak bank hanya akan bertindak sebagai
ejen saya…” Perkataan saya di dalam dokumen tersebut merujuk kepada pelanggan. Petikan
10:4 dan 8:15 juga menyatakan perlantikan tersebut. Hal ini menunjukkan bahawa pelanggan
di BIMB tidak menjual sendiri komoditinya kepada pihak ketiga.
THE 2ND INTERNATIONAL CONVENTION ON ISLAMIC MANAGEMENT 2015
DEPARTMENT OF SHARIAH AND MANAGEMENT, ACADEMY OF ISLAMIC STUDIES UNIVERSITY OF MALAYA
16
Rajah 8: Network Analisis Syarat Ketiga Perwakilan Tawarruq RHBIB vs AAOIFI
Sepertimana yang berlaku dalam BIMB, pelanggan di RHBIB juga tidak menjual sendiri
komoditi yang dibelinya daripada bank kepada pihak ketiga. Hal ini ditunjukkan dalam Rajah
Lapan di mana petikan 23:6 dalam dokumen PDS dan petikan 22:10 dalam temu bual
bersama Mohammad Nasir Kamis menyatakan bahawa pelanggan melantik RHBIB sebagai
ejennya untuk jualkan komoditi kepada pihak ketiga.
Ringkasan hasil analisis syarat-syarat perwakilan tawarruq oleh AAOIFI yang dipatuhi oleh
BIMB dan RHBIB dapat ditunjukkan dalam Jadual Dua:
Jadual 2: Analisis Pematuhan Syarat Perwakilan Tawarruq oleh AAOIFI bagi BIMB dan
RHBIB:
Bil Kod Petikan garis panduan AAOIFI BIMB RHBIB
1 Perwakilan Pelanggan tidak boleh mewakilkan pihak institusi
atau ejennya untuk menjual komoditi yang dibelinya
daripada institusi tersebut bagi pihaknya. Sekiranya
pelanggan tersebut tidak dibenarkan untuk menjual
komoditi kecuali hanya melalui institusi yang sama,
maka dia boleh mewakilkan institusi tersebut untuk
menjual komoditi hanya selepas pelanggan tersebut
menerima komoditi itu.
X X
2 Perwakilan Institusi tidak boleh mengatur pihak ketiga sebagai
wakil kepada pelanggan bagi menjual komoditi
yang dibelinya daripada institusi tersebut.
/ /
3 Perwakilan Pelanggan hendaklah menjual sendiri komoditi yang
dibelinya. Sekiranya pelanggan menjual komoditi
melalui ejen, ejen tersebut bukanlah ejen institusi.
X X
* Nota: menunjukkan patuh.
[ X] = menunjukkan tidak patuh.
THE 2ND INTERNATIONAL CONVENTION ON ISLAMIC MANAGEMENT 2015
DEPARTMENT OF SHARIAH AND MANAGEMENT, ACADEMY OF ISLAMIC STUDIES UNIVERSITY OF MALAYA
17
KESIMPULAN
Tawarruq ialah membeli sesuatu barang secara tangguh dan menjualnya secara tunai kepada
pihak ketiga bagi memperolehi wang tunai. BIMB dan RHBIB melaksanakan tawarruq
terancang di mana pelanggan membeli komoditi daripada bank secara tangguh dan melantik
pihak bank sebagai ejennya bagi menjual komoditi yang dibelinya tadi kepada pihak ketiga
secara tunai dengan harga yang lebih rendah daripada harga yang dibelinya bagi memperoleh
wang tunai. Hasil kajian juga menunjukkan bahawa perlantikan bank sebagai ejen pelanggan
berlaku sebelum proses pembelian dan penjualan komoditi dilakukan. Hal ini menunjukan
bahawa perlantikan tersebut berlaku sebelum pelanggan menerima komoditi yang dibelinya
dan hal ini telah menyalahi pematuhan garis panduan AAOIFI. Oleh itu, kajian ini
mencadangkan agar pihak bank dapat membuat suatu alternatif supaya perlantikan ini dapat
dilakukan selepas pelanggan menerima komoditi yang dibelinya.
RUJUKAN:
A) Buku
Al-Zuhaylῑ, W. (2004). Al-Fiqh al-Islāmῑ wa Adillatuh. Damshiq: Dāral-Fikr. 5:3475.
Ḥamād, N. (1993). Muʻjam al-Muṣṭalaḥāt al-Iqtiṣādiyah fῑ Lughah al-Fuqahāʼ. Herndon,
Virginia: al-Maʻhad al-ʻĀlamῑ lilfikr al-Islāmῑ.
Ibn Manẓūr, M.M. (1990). Lisān al-ʻArab. Bayrūt: Dār Ṣādir. 10: 375.
B) Bab dalam Buku
Ab Ghani, A.M. & Che Abdullah, A.S. (2006). Tawarruq: Konsep dan Aplikasi dalam
Kewangan Islam. Dalam Ab Ghani, A. M & Mansor, F. (Ed.). Dinamisme Kewangan
Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI). (2010).
Shari’a Standard No.(30) Monetization (Tawarruq). Dalam Shari’a Standards: The Full
Text of Shari’a Standards as at Shawwal 1428H – November 2007. Manama, Bahrain:
Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions, 525.
C) Artikel
Abdullah Thaidi, H.A., Ab Rahman, M. F., dan Ab Rahman, A. (2014). Analisa Eksistensi
Gharar Terhadap Perlaksanaan Pembiayaan Peribadi Tawarruq. Global Journal Al
Thaqafah 4, no. 1 (Jun 2014), 83-95.
Ab Rahman, A., Mohammad, S., dan Mohd Salleh, I. (2010). Bayʻ al-Tawarruq dan
Aplikasinya dalam Pembiayaan Peribadi di Bank Islam Malaysia Berhad. Jurnal
Syariah 18, no. 2 (Mei-Ogos 2010), 333-360.
Abdul Rahman, Z. N., dan Ab Manan, S. K. (2014). Tawarruq as a Useful Instrument to
Finance Retail the Halal Way. Procedia – Social and Behavioral Sciences 121 (2014),
281-290.
THE 2ND INTERNATIONAL CONVENTION ON ISLAMIC MANAGEMENT 2015
DEPARTMENT OF SHARIAH AND MANAGEMENT, ACADEMY OF ISLAMIC STUDIES UNIVERSITY OF MALAYA
18
Al-Uthmānῑ, M. T. (t.t.). Aḥkām al-Tawarruq wa Taṭbῑqātuh al-Maṣrafiyah. Makalah,
Munẓamah al-Muʼtamar al-Islāmῑ, Majmaʻ al-Fiqh al-Islāmῑ al-Duwalῑ (al-Dawrah al-
Tāsiʻah ʻAsharah), Imārat al-Shāriqah Dawlat al-Imārāt al-ʻArabiyyat al-Muttaḥadah.
Al-Manῑʻ, A. S. (1425H). Al-Taʼṣῑl al-Fiqhῑ lil Tawarruq fῑ Dawʼ al-Ihtiyājāt al-Tamwῑlῑyah
al-Muʻāṣirah. Majalah al-Buhūth al-Islāmiyah, 72 (1425H), 354.
Almanaseer, M., Al Mahamed, S., dan Matarneh, B. (2014). Islamic Finance as an
Alternative for Supplementary Loans in Commercial Banks: A Descriptive and
Analytical Study of Alternatives. Research Journal of Finance and Accounting 5, no.
15 (2014), 142-147.
Bouheraoua, S. (t.t). Tawarruq in the Banking System: A Critical Analytical Study of Juristic
Views on the Topic. Makalah, OIC Fiqh Academy (19 Session), Sharjah Emirate,
United Arab Emirates., dicapai di http://www.isra.my/
Dusuki, A.W. (2010). Can Bursa Malaysia's Suq al-Sila’ (Commodity Murabahah House)
Resolve the Controversy over Tawarruq?. ISRA Research Paper, no.10 (2010).
Haneef, R. (2009). Is The Ban on "Organised Tawarruq" The Tip of The Iceberg?. ISRA
Research Paper, (2).
Ismail, A. G., Nik Abdul Ghani, N. A. R., dan Mat Zain, M. N. (2013). Tawarruq Time
Deposit with Wakalah Principle: An Opinion that Triggers New Issues. IRTI Working
Paper Series WP#1435 - 02 (Nov 10, 2013).
Laldin, M.A., Abdul Khir, M.F., & Mohd Parid, N. (2012). Fatwas in Islamic Banking: A
Comparative Study Between Malaysia and Gulf Cooperation Council (GCC) Countries.
ISRA Research Paper, 31.
Shubayr, M. ‘U. (t.t). Al-Tawarruq al-Fiqhῑ wa Taṭbῑqātuhu al-Maṣrafiyah al-Muʻāṣirah Fi al-
Fiqhi al-Islāmῑ, Makalah, Munẓamah al-Muʼtamar al-Islāmῑ, Majmaʻ al-Fiqhῑ al-Islāmῑ
al-Duwalῑ (al-Dawrah al-Tāsiʻah ʻAsharah), Imārat al-Shāriqah Dawlat al-Imārāt al-
ʻArabiyyat al-Muttaḥadah).
D) Penulis Korporat
Bank Negara Malaysia, dicapai di http://www.bnm.gov.my/
Islamic Finance Knowledge Repository (I-FIKR), laman sesawang I-FIKR, dicapai di
http://ifikr.isra.my/
Majmaʻ al-Fiqhῑ al-Islāmῑ. (1419H). Resolutions of the Islamic Fiqh Council - 15th Session
1419H: The Fifth Resolution on Tawarruq Sale. Dicapai di http://en.themwl.org/2012
/05/23/resolutions-of-the-islamic-fiqh-council-15th-session-1419h
THE 2ND INTERNATIONAL CONVENTION ON ISLAMIC MANAGEMENT 2015
DEPARTMENT OF SHARIAH AND MANAGEMENT, ACADEMY OF ISLAMIC STUDIES UNIVERSITY OF MALAYA
19
E) Tesis dan Disertasi
Abdullah Thaidi, H. A. (2014). Perlaksanaan Akad Pembiayaan Peribadi-i Tawarruq di Bank
Islam Malaysia Berhad (BIMB). Disertasi Sarjana Syariah, Jabatan Fiqh dan Usul,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
F) Proceeding
Engku Ali, E. R. A. (2006). Tawarruq Vis-à-vis Commodity Murabahah. Kuala Lumpur
Islamic Finance Forum 2006, Kuala Lumpur.
Muslim World League Islamic Fiqh Council. (2003). Resolutions of Islamic Fiqh Council -
17th
Session. Muslim World League Islamic Fiqh Council, Makkah al-Mukarramah.
G) Temu Bual
Chik, M. N. (Ketua Syariah, Bank Islam Malaysia Berhad), dalam temubual dengan
penyelidik, 3 Mac 2014.
Anuar, Z. M. (Ketua Pembiayaan Peribadi, Perbankan Pengguna, BIMB), dalam temubual
dengan penyelidik, 24 Mac 2014.
Kamis @ Che Ali, M. N. (Senior Manager, Cards and Unsecured Business, RHB Islamic
Bank Berhad), dalam temubual dengan penyelidik, 5 Mac 2014.
Amri, A. (Pengurus Pembangunan Perniagaan, Sedania As Salam Capital Sdn Bhd, Petaling
Jaya, Malaysia), dalam temu bual dengan penyelidik, 11 Mac 2014.
Abu Hassan, I. H. (Pengurus Hubungan Perniagaan, Sedania As Salam Capital Sdn Bhd),
dalam temubual dengan penyelidik melalui email, 25 Mac 2014).
Jabatan Muamalat
Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH)
Jalan Gertak Merah
80000 Johor Bahru
MALAYSIA
Jabatan Syariah dan Pengurusan
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
50603 Kuala Lumpur
MALAYSIA