syed mohd abduh bin syed abu bakar - … lwn syed... · bxxx 56000 cheras manakala defendan tinggal...
Post on 31-Aug-2018
274 Views
Preview:
TRANSCRIPT
1
ROHANA BINTI WAHAB
lwn
SYED MOHD ABDUH BIN SYED ABU BAKAR
[Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Selangor. Kes Mal Bil : 10005-054-0995-
2009 (Tuan Nik Asrulnizam bin Mustapha, HMRS)]
[24 Muharram 1428H bersamaan 11 Februari 2010]
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003-Bidangkuasa Mahkamah
Mendengar Dan Memutuskan Tuntutan Pengesahan Lafaz Cerai Diluar Mahkamah-
Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003- Lafaz perceraian secara
tulisan – lafaz kinayah – maksud tulisan jelas dan difahami – sama ada memerlukan niat
- suami berniat menceraikan isteri –sama ada gugur talak atau pun tidak – talaq 2
sekaligus – sama ada dikira satu atau dua talaq
Arahan Amalan No. 10 Tahun 2007 dan Arahan Amalan No. 9 Tahun 2001- Amalan
Pengesahan Talak Di Luar Mahkamah Dan Tanpa Kebenaran Mahkamah-Diteliti Dan
Dikuti Sebelum Diputuskan.
Fakta kes
[1] Plaintif tinggal di B-XXX, 56000 Cheras manakala Defendan tinggal di alamat
XXX, 65000 Ampang, Selangor.
[2] Plaintif dan Defendan telah berkahwin pada 10 Oktober 2007 bersamaan 29
Ramadhan 1428H berdasarkan Surat Perakuan Nikah Bil. Daftar XXX/XXXX No
XXXX Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan pernah bercerai pada 3 Januari 2009
dan disahkan dalam mahkamah dengan talak satu kali pertama berjumlah dua talak.
Plaintif dan Defendan telah merujuk semula pada 10 Januari 2009.
2
[3] Hasil perkahwinan Plaintif dan Defendan telah dikurniakan seorang anak iaitu :-
[i] Syed XXX bin Syed Mohd Abduh;
[4] Pada 26 Februari 2009 jam lebih kurang 7.26 petang, Defendan telah melafazkan
talak secara sms dengan lafaz "adik, abang ceraikan adik dengan talak dua.
Maafkan abang, adik sayang, serahkan Syed Hassan pada abang”.
[5] Mahkamah juga telah merujuk kepada surat rujuk yang telah dikeluarkan oleh
Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat Bil. Daftar XXX/2009 No XXX Negeri
Selangor.
[6] Selian daripada itu, Defendan juga dalam pengakuannya kepada mahkamah bahawa
bahawa beliau telah mengaku bahawa ada lafaz yang telah dibuat pada tarikh
tersebut dan perkataan “Adik” dalam lafaz tersebut dimaksudkan ialah isteri
Defendan.
[7] Mengenai lafaz SMS “talak dua” dalam lafaz tersebut, Defendan mengaku bahawa
lafaz itu ditulis sahaja dan mempunyai niat menceraikan Plaintif semasa menulis
SMS itu.
[8] Defendan juga telah menulis sms tersebut dalam keadaan sedar, waras, cuma dalam
keadaan marah sedikit serta masih waras ketika itu. Selain daripada itu, Defendan
lafaz dalam keadaan tidak ada paksaan, tidak ada pengaruh ubat, dadah atau alkohol.
[9] Semasa keterengan yang telah diambil oleh Hakim Tuan Mohd Fazil Bin Hasan @
Che Hasan pada 23 Disember 2009 jam 3.30 petang dengan lafaz sms “adik tak
pernah ingatkan abang ceraikan adik, abang ceraikan adik dengan talak dua”
di luar dan tanpa kebenaran mahkamah.
[10] Sehubungan dengan itu, Mahkamah telah memutuskan pada 3 Januari 2009,
tertalaklah Plaintif dengan talak dua kali pertama berjumlah dua talak secara talak
rajie dan Plaintif beriddah selama tiga kali suci mulai 3 Januari 2009. Mahkamah
telah mengeluarkan perintah melalui kes 10005-054-0075-2009 pada 14 Oktober
2009.
3
Diputuskan
[1] Mahkamah mensabitkan lafaz "adik, abang ceraikan adik dengan talak dua"
secara lisan oleh Defendan pada 26 Februari 2009 jam 7.26 petang adalah sah dan
menjatuhkan talak.
[2] Mahkamah memutuskan mulai 26 Februari 2009 jam 7.26 petang tertalaklah Plaintif
dengan talak tiga kali pertama berjumlah tiga talak secara talak bain kubro dengan
beriddah selama tiga kali suci mulai dari 26 Februari 2009.
[3] Mahkamah perintahkan penceraian ini didaftarkan di Pejabat Agama Islam Hulu
Langat dan Surat Perakuan Rujuk Asal Bil. XXX/2009 No XXX Negeri Selangor
hendaklah dibatalkan.
Peguam Syarie
Plaintif : tidak diwakili oleh mana-mana peguam Syarie.
Defendan ; tidak diwakili oleh mana-mana peguam Syarie.
Surah al-Quran yang dirujuk
1. Surah al-Baqarah : ayat 229.
2. Surah al-Nisa’: ayat 20.
3. Surah al-Talaq: ayat 1.
Kitab-kitab Yang Dirujuk
1. Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu.
2. Kitab al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah, juzuk 4.
3. Kitab al-Iqna’, Jilid 2.
4. kitab Hashiah I’anat al-Talibin, juz 4.
5. Kitab I`anah At-Talibin, Juzuk 4.
6. Kitab Mughni Al-Muhtaj, Jilid 2-4.
7. Kitab Subul al-Salam, Juzuk 3.
4
8. The Complete System Of Talaq’ .
Undang-undang Yang Dirujuk
1. Arahan Amalan Mahkamah Syariah Selangor- No 9 Tahun 2001, No. 10 Tahun
2007.
2. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003 -s.61(3)(b), s.62(2)(b).
3. Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 - s.2, s.4, s.45, s.47, s.55,
s.57, s.125.
Kes-kes Yang Dirujuk
1. Mohamed bin Mohd Ali lwn Roslina bt Mohd Yusoff, (1993) JH VIII/II. 275.
2. Rojmah Bt. Abdul Kadir Lwn. Mohsin B. Ahmad [JH 8, Bah. 2, 1993].
3. Sharifah Laila Bt Syed Shamdin lwn Abdul Latif Bin Arshad (1994) 9 bhg 1J.H 16.
4. Zainab Bt. Mahmood Lwn. Abdul Latif Jusoh [JH 8, Bah. 2, 1993] .
Penghakiman Tuan Nik Asrul Nizam bin Mustapha, HMRS.
ALASAN PENGHAKIMAN
[1] Plaintif dan Defendan telah berkahwin pada pada 10 Oktober 2007 bersamaan 29
Ramadhan 1428H berdasarkan Surat Perakuan Nikah Bil. Daftar XXX/XXX No XXXX
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan pernah bercerai pada 3 Januari 2009. Hasil
perkahwinan Plaintif dan Defendan telah dikurniakan seorang anak.
[2] Kes yang didengar di hadapan Tuan Mohd Fazil Bin Hasan @ Che Hasan pada
23 Disember 2009 mengenai Tuntutan Pengesahan Lafaz Cerai yang telah dibuat diluar
Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah bagi tujuan pendaftaran perceraian tersebut
di bawah seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor ) No. 2 Tahun
2003.
[3] Sebelum mahkamah mengulas lanjut berkaitan kes ini, Mahkamah perlu
memastikan segala prosedur wajib diteliti dan dipatuhi terlebih dahulu, antaranya :
5
[i] Penyampaian Saman
Plaintif telah memfailkan kes ini pada 11 Jun 2009 dan penyampaian saman
kediri juga dibuat pada hari yang sama di kaunter Mahkamah berdasarkan
affidavit penyampaian bertarikh 11 Jun 2009.
[ii] Penentuan Pihak-pihak Dan Pemastautinan
Plaintif dan Defendan adalah pasangan suami isteri yang sah yang telah bernikah
pada 10 Oktober 2007 bersamaan 29 Ramadhan 1428H berdasarkan Surat
Perakuan Nikah Bil. Daftar XXX/XXX No XXX Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur dan tidak pernah bercerai.
Plaintif di dalam kes ini adalah Rohana Binti Wahab manakala Defendan Syed
Mohd Abduh Bin Syed Abu Bakar.
Merujuk kepada Penyata Tuntutan Plaintif, pihak Plaintif tinggal di alamat
BXXX 56000 Cheras manakala Defendan tinggal di XXX, 65000 Ampang,
Selangor.
Mahkamah berpendapat Plaintif dan Defendan telah memenuhi kehendak
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 iaitu Seksyen 2
yang memperuntukkan “bermastautin” ertinya tinggal tetap atau pada
kelazimannya dalam sesuatu kawasan yang tertentu.
Merujuk kepada kes Sharifah Laila Bt Syed Shamdin lwn Abdul Latif Bin
Arshad (1994) 9 bhg 1 JH 16 Mahkamah Rayuan Syariah Selangor telah
menyatakan bahawa perkataan ’mastautin’ seperti yang terdapat dalam Seksyen 2
enakmen tersebut hanya mensyaratkan seseorang itu tinggal tetap dalam suatu
kawasan atau pada lazimnya tinggal di sesuatu kawasan, tidak disyaratkan
hendaklah menjadi rakyat negeri di dalam kawasan ia berada.
6
[iii]Bidangkuasa Mahkamah
Berdasarkan peruntukan Seksyen 62 (2) (b) Enakmen Pentadbiran Agama
Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan bahawa—
“Mahkamah Rendah Syariah hendaklah dalam bidangkuasa Mal,
mendengar, dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang
Mahkamah Tinggi dibenarkan mendengar dan memutuskannya dalam
mana jumlah atau nilai hal perkara yang dipertikaikan tidak melebihi
seratus ribu ringgit atau yang tidak dapat dianggarkan dengan wang
(tidak termasuk hadhanah dan harta sepencarian).”
Mahkamah merujuk pula Seksyen 61 (3) (b) Enakmen yang sama telah
memeruntukkan—
“Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah—
(b) dalam bidangkuasa Malnya, mendengar dan memutuskan semua
tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau
prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu
adalah berhubungan dengan:
i- pertunangan, perkahwinan, ruju’, perceraian, pembubaran
perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman
(faraq)atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan
antara suami dan isteri;
ii- ……………………………………….”
Berdasarkan fakta berkaitan tempat tinggal Plaintif dan Defendan, mahkamah
telah berpuas hati bahawa mahkamah ini mempunyai bidang kuasa sebagaimana
yang diperuntukkan di bawah Sek. 45 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam
Selangor 2003 serta sek. 4 Enakmen yang sama. Sungguh pun begitu, seksyen ini
tertakluk kepada peruntukan seksyen 47 enakmen yang sama mengenai aturan
perceraian melalui lafaz talaq iaitu hendaklah dengan kebenaran mahkamah dan
dilafazkan di hadapan mahkamah. Dalam Kes ini, perceraian telah tidak menepati
aturan yang telah ditetapkan di bawah seksyen 47 tersebut yang mana ia menjadi
satu kesalahan di bawah seksyen 125 akta yang sama. Kes ini adalah
sebagaimana yang telah diputuskan dalam kes Zainab Bt. Mahmood Lwn.
Abdul Latif Jusoh [JH 8, Bah. 2, 1993] dan dalam kes Rojmah Bt. Abdul
Kadir Lwn. Mohsin B. Ahmad [JH 8, Bah. 2, 1993] di dalam Enakmen
Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003. Walaupun ia menyalahi aturan
itu, tetapi ia tidak menyentuh tentang kesahihan lafaz itu dari segi Hukum Syara'
7
dan ia perlu diputuskan untuk tujuan pendaftaran di bawah subseksyen 55
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.
Fakta Yang Menjadi Isu
[4] Merujuk kepada Penyata Tuntutan Plaintif, fakta utama yag perlu Mahkamah
teliti dan putuskan adalah berkaitan perkara di perenggan 7 a) dimana Plaintif
mendakwa bahawa lafaz cerai secara SMS telah dilafazkan oleh Defendan pada 26hb
Februari 2009 jam lebih kurang 7.26 petang—
"adik, abang ceraikan adik dengan talak dua. Maafkan abang, adik sayang,
serahkan Syed Hassan pada abang”
[5] Plaintif tegas dan sangat yakin dengan dakwaan yang telah dibuat. Defendan pula
semasa sebutan kali pertama bertarikh 23 Januari 2009, apabila ditanya samada bersedia
atau tidak untuk memberi keterangan, Defendan juga dalam keadaan yakin dan konsisten
dalam menjawab soalan-soalan mahkamah.
[6] Setelah mahkamah menimbang dan mengambilkira dakwaan isteri adalah
berkaitan lafaz cerai talak dua, maka Mahkamah beranggapan bahawa Defendan
bersedia untuk disoal siasat dan memberikan keterangan. Oleh itu, Mahkamah telah
meneruskan prosiding untuk memutuskan kes ini.
[7] Berpandukan kepada Penyata Tuntutan Plaintif dan pengakuan Defendan,
mahkamah mendapati terdapat beberapa isu yang perlu diteliti dan diputuskan oleh
Mahkamah—
(a) Isu Pertama : Sama ada Lafaz Yang Dibuat Oleh Defendan Telah
Memenuhi Rukun Talaq Dan Menjatuh Talaq Atau Tidak.
(b) Isu Kedua : Sama ada Lafaz Talak melalui SMS Dengan Niat
Menceraikan Isteri Jatuh Talak Atau tidak.
8
(c) Isu Ketiga : Sama ada Jatuh Atau Tidak Lafaz Yang Dibuat Dalam
Keadaan Marah.
(d) Isu Keempat: Sekiranya berlaku/sabit talak, berapakah Bilangan Talak
yang terkumpul.
Isu Pertama : Sama ada Lafaz Yang Dibuat Oleh Defendan Telah Memenuhi
Rukun Talaq Dan Menjatuh Talaq Atau Tidak
[8] Sama ada jatuh talaq atau sebaliknya adalah berdasarkan kepada rukun-rukun
serta syarat-syarat pada setiap rukun talaq dipenuhi atau sebaliknya. Jika telah dipenuhi,
maka jatuhlah talaq. Jika sebaliknya, maka tidak gugur talaq.
[9] Dalam Mazhab Syafie, rukun talaq ada lima iaitu: Pentalaq (suami), Sighah,
Qasad, Mahal (isteri), ada kekuasaan (wilayatul alaih) [ Rujukan: I’anat Al-Talibin
JUZ.4, hlm. 3. Tiada isu dibangkitkan mengenai rukun-rukun tersebut dalam kes ini
kecuali mengenai rukun 'sighah' dan qasad.
[10] Sebelum mahkamah menyentuh isu tersebut, ada baiknya terlebih dahulu dirujuk
kepada Nas-Nas mengenai talaq yang terdapat di dalam al-Quran dan al-Hadis semoga ia
boleh mendidik semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya menjatuhkan talaq
kepada isteri. Talaq pada asalnya adalah merupakan suatu lafaz yang digunakan oleh
masyarakat Arab zaman jahiliah (zaman sebelum kedatangan Islam). Kemudian apabila
datang agama Islam, Syara' memperakukannya. Masyarakat arab zaman jahiliah
menggunakan lafaz tersebut pada memutuskan ikatan perkahwinan akan tetapi mereka
tidak menghadkannya pada 3 kali talaq. Dalam Kitab Tafsir Ibn Adil diriwayatkan
bahawa Urwah b. al-Zubair berkata: "Manusia pada permulaan Islam menceraikan
isteri-isteri mereka tanpa menghadkan dan membataskan bilangan talaq. Seseorang
lelaki itu bila menceraikan isterinya dan apabila hampir habis iddah isterinya, ia
meruju'nya kemudianya menceraikannya dan kemudian ruju' dan begitulah berterusan
dengan maksud untuk memudaratkan isterinya.
[11] Lalu turun ayat Surah al-Baqarah, ayat 229:
بإحسان الطالق مرتان فإمساك بمعروف أو تسريح
9
Maksudnya: "Talaq (yang boleh dirujuk ) adalah 2 kali. Maka kemudian dari itu
hendaklah kamu pegang mereka dengan cara baik atau lepaskannya dengan
cara yang baik.
[12] Talaq adalah perkara halal yang dibenci oleh Allah S.W.T sebagaimana hadis
Nabi yang masyhur:
أبغض الحالل إلى هللا الطالق
Maksudnya: “Perbuatan halal yang paling dibenci oleh Allah adalah talaq.”
[Subul al-Salam, Juz 3, hlm:1072]
[13] Oleh kerana itu hak talaq yang diberikan oleh Allah kepada suami seharusnya
digunakan dalam keadaan perkahwinan yang tidak dapat dipertahankan lagi dan
janganlah penceraian tersebut memudaratkan isteri dan ia hendaklah dilakukan secara
yang ma'ruf. Adalah amat malang bagi orang Islam bilamana perkara halal yang paling
dibenci Allah iaitu penceraian, berlaku pula dengan cara yang tidak baik.
Dalam Ayat 1, Surah al-Talaq, Allah S.W.T berfirman;
يأيها النبي إذا طللقتم النساء فطللقوهن لعدتهن واحصوا العدة واتقوا هللا ربكم ال تخرجوهن من بيوتهن وال
يخرجن إال أن يأتين بفاحشة مبينة وتلك حدود هللا ومن يتعد حدود هللا فقد ظلم نفسه ال تدرى لعل هللا يحدث
بعد ذلك أمرا
Ertinya: “Wahai Nabi, apabila kamu mahu menceraikan isteri-isteri kamu maka
ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan eddahnya dan
hitunglah masa eddah itu dengan betul serta bertaqwalah kepada Allah, Tuhan
kamu dan janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediama
mereka dan janganlah pula dibenarkan mereka keluar dari situ kecuali jika
mereka melakukan perbuatan keji yang nyata dan itulah aturan-aturan hukum
Allah dan janganlah kamu melanggarnya dan sesiapa yang melanggar aturan-
aturan hukum Allah maka sesuangguhnya ia telah berlaku zalim kepada dirinya
10
sendiri. Patuhilah hukum-hukum itu kerana engkau tidak mengetahui boleh jadi
Allah akan mengadakan sesudah itu perkara lain.”
[14] Maksud ceraikan isteri ketika mereka dapat memulakan iddah dalam ayat di atas
adalah semata-mata ketika isteri suci dari haid yang tidak disetubuhi. Ertinya bukan
dalam keadaan suci yang telah disetubuhi atau dalam keadaan haid kerana dalam kedua-
dua keadaan tersebut, isteri tidak boleh terus memulakan iddah, bahkan terpaksa
menunggu suci yang seterusnya. Ia adalah perbuatan haram kerana memanjangkan iddah
isteri.
[15] Umat Islam digesa supaya tidak terburu-buru menceraikan isteri sekalipun ia
tersangat benci kepada isterinya.
Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Nisa’ ayat 20:
لمعروف ، فإن كرهتموهن فعسى أن تكرهوا شيئا وسيجعل هللا فيه خيرا كثيراوعاشروهن با
Ertinya: “Dan bergaullah kamu dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang baik.
Kemudian jika kamu merasa benci kepada mereka dengan sebab tingkahlakunya,
janganlah terburu-buru menceraikannya kerana boleh jadi kamu bencikan
sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu
kebaikan yang banyak.”
[16] Atas semangat dan roh Hukum Syara’ ini maka pihak berkuasa menggubal
undang-undang untuk mengatur dan mentadbir perkara berkaitan penceraian orang-
orang Islam dengan menetapkan talaq mesti dilafazkan di hadapan Mahkamah dan
dengan kebenaran Mahkamah supaya ia berlaku dengan cara baik dan tidak
mendatangkan penganiayaan atau kezaliman kepada kedua-dua pihak lebih-lebih lagi
isteri dan anak-anak. Ini amat selari sekali dengan kehendak Hukum Syarak.
Kembali semula kepada isu kes ini. Persoalan sama ada telah gugur atau pun tidak talaq
yang telah dilafazkan itu adalah bergantung kepada rukun-rukun dan syarat-syarat rukun
telah dipenuhi atau pun tidak. Syeikh Shamsuddin Muhammad di dalam Kitab al-
Iqna’ jil. 2, hlm. 287, dalam bab al-Talaq, menyebut bahawa rukun talaq terbahagi
11
kepada lima iaitu; sighah (lafaz talaq), mahal (orang yang ditalaq atau
isteri), wilayah (kekuasaan), qasad (niat) dan mutallaq (pentalaq). Dalam kes ini,
Mahkamah berpandangan bahawa rukun yang berkaitan dengan mahal (isteri), adalah
jelas dan tidak menimbulkan sebarang keraguan.
[17] Rukun pertama yang perlu Mahkamah perjelaskan adalah berkaitan
dengan Mutallaq iaitu suami. Disyaratkan ke atas suami mestilah seorang mukallaf
sebagaimana yang di tulis di dalam Kitab al-Iqna’ jil. 2, hlm. 287, yang menyatakan
bahawa :-
“Dan disyaratkan pada orang yang menjatuhkan talaq itu walaupun
dengan lafaz taklik, mestilah seorang yang mukallaf, maka tidak sah
talaq orang yang bukan mukallaf. Ini berpandukan kepada hadis
‘Diangkat qalam (tidak dikira bersalah) seseorang itu kerana tiga perkara
iaitu, orang yang gila sehingga ia sedar, orang yang tidur sehingga ia
bangun dan kanak-kanak sehingga ia baligh”. Dikecualikan dalam hal
talak ini orang yang mabuk, maka sah talak yang dilafazkan oleh orang
mabuk sebagaimana yang di dalam Kitab Raudhah”
[18] Mahkamah berpandangan bahawa Defendan adalah seorang yang mukallaf di
mana sekiranya lafaz talaq yang dibuat oleh Defendan itu bertepatan dengan hukum
Syarak, maka talaq itu dikira sah.
[19] Rukun yang seterusnya adalah berkaitan dengan Wilayah, iaitu kekuasaan, yang
bermaksud seorang suami itu berkuasa penuh untuk menjatuhkan talaq ke atas isterinya.
Kekuasaan juga membawa maksud tidak dipengaruhi atau dipaksa oleh mana-mana
pihak dengan apa-apa ugutan atau ancaman. Dalam kes ini, Mahkamah dapati Defendan
adalah seorang suami yang berkuasa penuh ke atas isterinya. Berdasarkan kepada
keterangan Defendan, Mahkamah juga mendapati bahawa tiada unsur-unsur paksaan
atau pengaruh daripada mana-mana pihak yang memaksa Defendan menceraikan
isterinya.
12
[20] Rukun yang berikutnya adalah berkaitan dengan sighah iaitu lafaz talaq yang
dibuat oleh Perayu dan juga qasad atau niat untuk melakukan talaq. Mahkamah
gabungkan kedua-dua rukun ini kerana ia mempunyai kaitan rapat. Dalam kes ini,
Defendan telah menulis sighah” "adik, abang ceraikan adik dengan talak dua.
Maafkan abang, adik sayang, serahkan Syed Hassan pada abang”. Defendan juga
ada mengaku ada niat menceraikan Plaintif semasa menulis SMS tersebut.
[21] Oleh itu, berdasarkan huraian mengenai rukun-rukun talak yang dijelaskan,
mahkamah mendapati bahawa kesemua elemen dalam rukun-rukun talak telah dipenuhi.
[22] Selain daripada itu, Mahkamah juga merujuk kepada Arahan Amalan No. 10
Tahun 2007 iaitu berkaitan Amalan Pengesahan Lafaz Talaq Di Luar Dan Tanpa
Kebenaran Mahkamah sebelum mensabitkan lafaz talak seperti berikut :
1. ...mahkamah hendaklah berpuashati bahawa talak itu telah memenuhi rukun-
rukun talak.
2. ...menjalankan penyiasatan melalui keterangan suami dan isteri telah memenuhi
syarat-syarat talak menurut hukum syarak seperti berikut :-
a) Suami-
i. Seorang yang baligh menurut hukum syarak;
ii. Seorang yang berakal; dan
iii. Melafazkan talak dengan kerelaanya tanpa paksaan.
b) Isteri-
(i) Seorang yang sah bagi suami tersebut atau masih dalam eddah
raj’ie;
(ii) Jika lebih daripada seorang, hendaklah ditentukan isteri mana
yang diceraikan.
3. (1) Mahkamah hendaklah sebelum mengesahkan sesuatu lafaz talak di luar
Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah hendaklah memastikan bahawa
lafaz perceraian itu dilafazkan dengan kerelaan bukan dengan paksaan.
(2) Mahkamah dalam menentukan kesahan lafaz talak itu hendaklah –
a) Memastikan kedua-dua pihak kepada perkahwinan hadir ke Mahkamah;
b) Sekiranya suami hadir, mahkamah hendaklah memeriksa dan menyiasat
sama ada suami mengaku atau menafikan dakwaan isterinya;
13
c) .....
d) Sekiranya suami mengaku dan mahkamah berpuashati hendaklah
mensabitkan talak itu.
e) ...
4. (1) .....
(2) ...
(3) ....
(4) Hakim hendaklah mengendalikan amalan sumpah dengan berpandukan
kepada Arahan Amalan No. 2 Tahun 2006 – Amalan Sumpah Mahkamah
Syariah.
[23] Plaintif dan Defendan di dalam kes ini setelah disiasat, Mahkamah berpuashati
bahawa pihak-pihak telah memenuhi kehendak sebagaimana Arahan Amalan No. 10
Tahun 2007 ini. Mahkamah ingin menegaskan bahawa dalam keterangan Defendan pada
23 Disember 2009, Defendan ada menyatakan bahawa lafaz cerai melalui SMS yang
dibuat adalah seperti berikut—
"adik, abang ceraikan adik dengan talak dua. Maafkan abang, adik sayang,
serahkan Syed Hassan pada abang”.
[24] Berpandukan kepada tatacara pengesahan dari segi hukum syarak dan Arahan
Amalan No 10 Tahun 2007 sebagaimana yang telah dinyatakan seperti di atas,
Mahkamah berpuas hati bahawa ianya telah dipenuhi dan dipatuhi dalam mensabitkan
pengesahan lafaz cerai yang di buat di luar dan tanpa kebenaran Mahkamah.
Isu Kedua : Sama ada Lafaz Talak melalui SMS Dengan Niat Menceraikan Isteri
Jatuh Talak Atau tidak.
[25] Dalam Kitab Kifayat al-Akhyar, Bab Talaq menyebutkan seperti berikut—
والطالق ضربان صريح وكناية
Ertinya: "Talaq itu ada 2 jenis iaitu talaq sorih ( terang ) dan talaq kinayah
(sindiran)
14
[26] Dalam kitab Hashiah I’anat al-Talibin, juz 4, hlm 13 ada menyebutkan maksud
lafaz sorih seperti berikut—
) ب ( صريح وهو ما ال يحتمل ظاهره غير الطالق ) كمشتق طالق ( ولو من عجمى عرف أنه موضوع
لحل عصمة النكاح أو بعده عنها وإن لم يعرف معناه األصلى كما أفتى به شيخنا ) وفراق وسراح (
وسرحتك أو زوجتي وكأنت طالق ومطللقة بشديد الالم المفتوحة لتكررها في القرآن كطلقتك وفارقتك
ومفارقة ومسرحة أما مصادرها فكناية كأنت طالق أو فراق أو سراح
Maksudnya: “Talaq jatuh dengan lafaz sorih; iaitu sesuatu lafaz yang pada
zahirnya tidak membawa maksud lain selain talaq seperti lafaz “mushtaq”
talaq sekalipun ia diucapkan oleh orang bukan arab yang mengetahui bahawa
lafaz tersebut berkaitan dengan meleraikan ikatan perkahwinan atau ia
mengetahui lafaz tersebut adalah mengenai memisahkan dia daripada isterinya
sekalipun ia tidak mengetahui maksud sebenar lafaz tersebut, sebagaimana
yang difatwakan oleh sheikh kami. Begitu juga lafaz “mushtaq” firaaq ( cerai )
dan saraah (lepas) kerana ia disebut berulang-ulang di dalam Al-Qur’an
seperti suami berkata “aku talaqkan engkau”, “aku ceraikan engkau” , “aku
lepaskan engkau atau isteriku” dan seperti suami berkata “engkau tertalaq” ,
“engkau ditalaqkan” , “engkau diceraikan” dan “engkau dilepaskan”. Adapun
kata-kata terbitan ( “masdar” ) seperti suami berkata “engkau talaq” atau
“engkau cerai” dan “engkau lepas” adalah lafaz kinayah.
[27] Manakala dalam kitab yang sama di mukasurat 17 ada menyebutkan mengenai
maksud talaq kinayah dan syarat-syaratnya seperti berikut:-
) و ( يقع ) بكناية ( وهى ما يحتمل الطالق وغيره إن كانت ) مع النية ( إليقاع الطالق ) مقترنة بأولها (
Maksudnya : “dan juga jatuh talaq dengan lafaz kinayah; iaitu suatu lafaz yang
yang mengandungi maksud talaq dan maksud selain talaq, sekiranya lafaz tersebut
dengan niat pada permulaan lafaznya untuk menjatuhkan talak
[28] Takrif kinayah ini diperincikan lagi di dalam kitab tersebut sebagaimana
berikut—
15
الكناية لفظ يحتمل الطالق ويحتمل غير الطالق لكن إحتماله لألول أقرب وفي ترغيب المشتاق ضابط
.ظ اشعار قريب بالفرقة ولم يسمع استعماله فيه شرعاالكناية أن يكون للف
Maksudnya: "Lafaz kinayah adalah suatu lafaz yang membawa maksud talaq dan
juga maksud selain talaq, akan tetapi kemungkinan makna talaq adalah lebih kuat
dari makna lain, dan pada lafaz selain “musytaq” (sebab kenapa ia dianggap
lafaz kinayah ) adalah memenuhi ciri-ciri kinayah yang sesungguhya ia lafaz yang
maksudnya lebih hampir kepada penceraian, akan tetapi ia bukan lafaz digunakan
oleh Syara’.
[29] Bagaimana kedudukan penggunaan bahasa-bahasa lain selain daripada bahasa
arab. Dalam hal ini mahkamah merujuk kepada Kitab Raudah al-Talibin, juz 8, m.s. 25
menyebutkan seperti berikut:-
ترجمة لفظ الطالق بالعجمية وسائر اللغات، صريح على المذهب لشهرة استعمالها في معناها عند أهل تلك
اللغات ، كشهرة العربية عند أهلها ، وقيل: وجهان. ثانيهما : أنها كناية ، وترجمة السراح والفراق فيها خالف
تهما بعيدة عن اإلستعمال.، لكن األصح هنا أنها كناية قاله اإلمام والروياني ، إلن ترجم
Maksudnya: "Terjemahan talaq dengan keseluruhan bahasa bukan arab adalah
sorih mengikut qaul mazhab kerana masyhur penggunaan lafaz itu pada makna
talaq di kalangan mereka, sebagaimana juga masyhur penggunaan bahasa arab
dikalangan orang arab. Manakala terjemahan firaaq (cerai) dan saraah (lepas),
ada perbezaan pendapat, akan tetapi qaul yang "asah" kedua-duanya adalah lafaz
kinayah kerana terjemahan kedua-duanya adalah tidak mashyur penggunaanya
pada maksud talaq. "
[30] Takrif kinayah ini diperincikan lagi di dalam kitab tersebut sebagaimana berikut:-
الكناية لفظ يحتمل الطالق ويحتمل غير الطالق لكن إحتماله لألول أقرب وفي ترغيب المشتاق ضابط
الكناية أن يكون للفظ اشعار قريب بالفرقة ولم يسمع استعماله فيه شرعا
Maksudnya: "Lafaz kinayah adalah suatu lafaz yang membawa maksud talaq dan juga
maksud selain talaq, akan tetapi kemungkinan makna talaq adalah lebih kuat dari makna
lain, dan pada lafaz selain "musytaq" (sebab kenapa ia dianggap lafaz kinayah) adalah
16
memenuhi ciri-ciri kinayah yang sesungguhya ia lafaz yang maksudnya lebih hampir
kepada perceraian, akan tetapi ia bukan lafaz digunakan oleh Syara'.
[31] Seterusnya Mahkamah merujuk lagi kepada kitab yang sama di halaman
30 menyatakan :-
فرع: لو كتب صريح طالق أو كنايته ولم ينو إيقاع الطالق فلغو ما لم يتلفظ حال الكتابة أو بعدها بصريح
ما كتبه
Maksudnya: “Sekiranya suami menulis perkataan cerai yang jelas (sorih) atau
yang sindiran (kinayah)kepada isterinya atau wali isterinya sedangkan suami
tidak meniatkan menjatuhkan talaq dengan apa yang ditulisnya maka tulisan itu
sia-sia (tidak jatuh talaq). Tidak jatuh selagi mana suami tidak membaca/
melafazkan semasa menulis atau selepasnya (menulis) dengan apa yang ditulis
mengenai lafaz cerai sorih tetapi tidak jatuh talaq sekiranya ia membaca apa
yang ditulisnya mengenai cerai secara kinayah kecuali jika diniatkan
menjatuhkan talaq."
[32] Berkaitan dengan niat untuk mentalaq isterinya, Mahkamah merujuk kepada
kes Mohamed bin Mohd Ali lwn Roslina bt Mohd Yusoff, (1993) JH VIII/II. 275.
Kes ini berkaitan dengan lafaz cerai yang dibuat oleh suami yang menyatakan ‘rela
ceraikan engkau’. Isu yang perlu mahkamah putuskan sama ada lafaz tersebut lafaz
secara kinayah atau lafaz secara sorih. Hakim Bicara telah memutuskan bahawa isu
perkataan “aku rela ceraikan engkau” iaitu:-
“Perkataan yang digunakan oleh suami dalam kes ini adalah kinayah kepada
talaq yang memerlukan niat. Perayu telah menjelaskan yang ianya tidak berniat
mentalaqkan isterinya. Oleh kerana itu, tidak terdapat talaq tiga di antara
mereka dan perkahwinan mereka tetap sah”
[33] Kembali semula kepada penghakiman mahkamah dalam kes ini, Defendan telah
menggunakan lafaz cerai yang membawa maksud "talaq" dan beliau faham perkataan
tersebut adalah mengenai memutuskan ikatan pernikahan walaupun beliau bukan orang
Arab.
17
[34] Dalam kes ini, kenyataan berbentuk tulisan yang dibuat oleh Defendan di dalam
SMS tersebut yang berbunyi “"adik, abang ceraikan adik dengan talak dua,
Maafkan abang, adik sayang, serahkan Syed Hassan pada abang”.” adalah jelas.
Walau bagaimanapun, mengikut hukum Syara’, apa-apa lafaz perceraian yang dibuat
secara tulisan merupakan lafaz penceraian yang berbentuk kinayah, yang memerlukan
kepada niat penulis lafaz. Ini adalah berpandukan kepada pendapat Mazhab Syafie
berkaitan dengan talak dalam bentuk tulisan dan boleh dilihat di dalam Kitab al-Fiqh
‘ala al-Mazahib al-Arba’ah, yang dikarang oleh Abdul Rahman bin Muhammad ‘Aud
al-Juzairy dalam juzuk 4, hlm. 221 menyatakan bahawa :
[35] Adapun talak dengan tulisan, sesungguhnya ia adalah sama dengan kedudukan
talak secara lisan. Dan dikira tulisan itu sebagai talak dengan syarat—
[i] Bahawa ia disertai dengan niat. Sekiranya suami menulis kepada
isterinya kamu telah ditalaq tetapi tidak sertai dengannya niat,
maka tidak dikira sebagai talak. Ini kerana tulisan itu dikira
sebagai talak dengan kinayah. Sama ada itu adalah perlakuan
seseorang yang mampu untuk berfikir, atau perlakuan seseorang
yang bisu. Sekiranya ia adalah perlakuan orang yang diketahui
bisu, maka hendaklah dinyatakan lafaz dengan berkata :
“Sesungguhnya aku berniat mentalak” untuk menjelaskan niat
talak dengan tulisannya.
[ii] Adalah tulisan itu hendaklah ditulis di atas sesuatu yang boleh
ditulis seperti kertas, kulit, kain dan seumpamanya. Sama ada
ditulis dengan dakwat atau selainnya, atau diukir untuk
menggambarkan mentalakkan isterinya ke atas batu, atau kayu
atau ditulis di atas bumi. Maka apabila dilukis pada udara atau
pada air, maka tidak dikira dan tidak jatuh dengannya talak
walaupun dengan niat.
[iii] Adalah suami itu menulis dengan sendirinya. Maka kalaulah
diperintah orang lain yang menulis talak itu dan berniat mentalak
18
dengan tulisan orang lain, maka sesungguhnya ia tidak dikira dan
tidak jatuh dengannya talak kerana disyaratkan bahawa tulisan
dan niat itu mesti daripada suami sahaja.
[36] Menurut Mufti Abdul Jaleel Qasmi di dalam bukunya ‘The Complete System
Of Talaq’ (Adam Publishers & Distributors, New Delhi, t/t, hal.146) menyebut:
…“sebagaimana yang telah disebut, talaq boleh gugur dengan maksud daripada
perkataan yang bertulis (melalui tulisan), mana-mana jenis talaq sama ada bain,
rajie atau sebagainya akan gugur bergantung kepada bentuk tulisan.
[37] Dalam kes ini, mahkamah mendapati bahawa syarat-syarat di dalam
perbincangan di atas telah dipenuhi. Defendan telah mengaku ada menulis SMS dengan
lafaz "adik, abang ceraikan adik dengan talak dua, Maafkan abang, adik sayang,
serahkan Syed Hassan pada abang”. Defendan juga mengaku bahawa lafaz “talak
dua” itu ditulis sahaja dan mempunyai niat menceraikan Plaintif semasa menulis sms
itu.
Isu Ketiga : Sama ada Jatuh Atau Tidak Lafaz Yang Dibuat Dalam Keadaan
Marah.
[38] Dalam kes ini, Defendan mendakwa bahawa beliau telah menulis SMS tersebut
dalam keadaan sedar, waras, cuma dalam keadaan marah sedikit serta masih waras
ketika itu. Selain daripada itu, mahkamah mendapati bahawa Defendan menulis SMS
tersebut dalam keadaan tidak ada paksaan, tidak ada pengaruh ubat, dadah atau alkohol.
[39] Dalam isu ini, mahkamah merujuk kepada hukum syarak berkaitan marah atau
tertekan. Defendan dalam kes ini seorang yang mukallaf. Beliau mendakwa sedang
dalam keadaan marah dan tertekan dengan situasi perbalahan semasa melafazkan cerai
tersebut. Apakah kedudukan lafaz cerai dalam keadaan tersebut mengikut Hukum
Syara’.
[40] Defendan mendakwa semasa melafazkan beliau di dalam keadaan marah yang
terkawal. Mahkamah tidak memeriksa fakta ini daripada pihak Plaintif terperinci kerana
19
pandangan Mazhab Shafie dalam isu ini cukup jelas sebagaimana kata-kata Imam
Nawawi dalam kitabnya al-Muhazzab yang diulas oleh Imam al-Syirazi di dalam
kitabnya al-Majmu' :-
)) فرع (( يقع الطالق في حال الرضى والغضب والجد والهزل ، لما روى أبو هريرة أن النبي صلى هللا
زلهن جد ، النكاح والطالق والرجعة .عليه وسلم قال : ثالث جدهن جد وه
Ertinya: "dan jatuh talaq jika dilafazkan dalam ketika rela ( tidak dipaksa ),
ketika marah, dan ketika bersungguh-sungguh dan jatuh juga ketika bermain-
main dengan talaq berdasarkan hadis riwayat Abu Hurairah bahawasanya Nabi
s.a.w bersabda : tiga perkara yang dibuat sungguh jadi sungguh dan dibuat
main-main jadi sungguh, iaitu nikah, talaq dan rujuk".
[41] Tidak ada pendetailan diberikan oleh imam Nawawi seolah-olah hukum jatuh
talaq ketika marah itu adalah mutlaq, tidak kira sama ada ketika marah yang tidak
menghilangkan kewarasan atau ketika menghilangkannya. Penjelasan mengenainya
dapat dilihat dalam kitab imam al-Dimyati ( Hasyiah I’anat al-Talibin ), juz 4, di m.s.
9:-
واتفقوا على وقوع طالق الغضبان وإن ادعى زوال شعوره بالغضب
Maksudnya: “Mereka (Para Fuqaha Mazhab Shafie) bersepakat atas jatuhnya
talaq orang yang dalam keadaan marah sekalipun ia mendakwa hilang
kesedarannya dengan sebab marahnya itu”.
[i] Berdasarkan masadir tersebut jelas dalam Mazhab Shafie bahawa jatuh
talaq orang yang marah secara mutlak. Cuma adakah boleh mahkamah
menerima pakai pendapat mazhab lain mengenai persoalan talaq orang
marah ini. Ini adalah kerana mengikut sebahagian besar fuqaha' Mazhab
yang lain berpendapat tidak jatuh talaq jika marah tersebut sehingga
menghilangkan akal. Dalam masyarakat kita yang bermazhab Shafie,
pendapat Mazhab Shafie haruslah diutamakan kecuali dalam keadaan
ketiadaan pendapat di dalam Mazhab Shafie mengenai sesuatu masaalah
20
atau dalam hal keadaan tertentu yang tidak memungkinkan pendapat
Mazhab Shafie boleh digunapakai. Seksyen 54 Enakmen Pentadbiran
Agama Islam (Selangor) 2003 mengenai kaedah pengeluaran sesuatu
fatwa oleh Mufti di mana ditetapkan seperti berikut:
a. Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen 48 atau
memperakukan sesuatu pendapat di bawah seksyen 53, jawatankuasa
fatwa hendaklah pada lazimnya mengikut qaul muktamad pendapat-
pendapat yang diterima Mazhab Syafie.
b. Jika jawatankuasa fatwa berpendapat bahawa dengan mengikut qaul
muktamad mazhab shafei suatu keadaan yang berlawanan dengan
kepentingan awam akan terhasil, jawatankuasa fatwa, bolehlah
mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali.
c. Jika jawatankuasa fatwa berpendapat bahawa tiada suatu pun qaul
muktamad dari empat Mazhab itu boleh diikuti tanpa membawa
kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam,
jawatankuasa fatwa bolehlah membuat fatwa itu mengikut ijtihad
tanpa terikat dengan qaul muktamad dari mana-mana Mazhab yang
empat itu.
[42] Memutuskan sesuatu perkara mengikut maslahah ammah atau kepentingan
awam ini adalah suatu cara atau kaedah yang dianjurkan oleh Hukum Syara’. Jika dalam
masaalah fatwa, kaedah ini diguna pakai, maka penerimaannya adalah lebih utama
dalam masaalah kehakiman (qadha’iyyah). Justeru itu mahkamah berpendapat jika
kepentingan awam menghendaki kita menolak pemakaian Mazhab Shafie, maka ia wajar
dilakukan. Tetapi dalam kes ini, mahkamah melihat tidak ada kepentingan awam yang
digugat jika mahkamah menerima pandangan Mazhab Shafie dalam persoalan talaq
dalam keadaan marah ini. Diperkukuhkan lagi dengan Arahan Amalan No. 9 Tahun
2001 menetapkan “Pengambilan pendapat Mazhab Mu’tabar hendaklah berpandukan
kepada dasar yang telah ditetapkan oleh Raja Pemerintah bagi negeri yang
mengeluarkan “tauliah” kepada Hakim-hakim Syarie”. Yang mendasari segala
ketetapan Yang Dipertuan Agong dan Sultan adalah mengutamakan Mazhab Shafie.
21
Isu Ketiga: Sekiranya berlaku/sabit talak, berapakah Bilangan Talak yang
terkumpul.
[43] Dalam kes ini, Defendan telah melafazkan talak melalui SMS dengan lafaz dua
sekaligus. Jika jatuh berapa terhasil dua atau tiga talaq. Mahkamah merujuk kepada
otoriti yang disebut di dalam Kitab Mughni Muhtaj, karangan Imam Muhammad Khatib
Syarbini, Juz 3, hlm. 311 di mana beliau memperincikan matan kitab Minhaj al-Talibin,
karangan Imam Nawawi di dalam persoalan mengenai tidak diharamkan mengumpulkan
talaq pada suatu lafaz—
)) تنبيه (( أفهم كالم المصنف وقوع الثالث عند جمعهنن ، وعلينه اقتصنر األئمنة ، وحكنى عنن الحجنا بنن
ارطاة وطائفة من الشيعة والظاهرية أنه ال يقع إال واحدة ، واختاره من المتأخرين من ال يعبأبه
Ertinya: "di fahamkan kata-kata pengarang ( Imam Nawawi ) bahawa jatuh talaq
tiga ketika mana dikumpulkannya ( pada satu lafaz ). Ia adalah pendapat Imam-
Iman yang empat (Hanafi, Shafie, Maliki dan Hanbali ). Dan diriwayatkan
daripada al-Hajaj bin Irthoh dan dan satu goloongan daripada Mazhab Syiah
serta Mazhab Zahiriyyah bahawa tidak jatuh melainkan satu talaq sahaja.
Pendapat yang mengatakan jatuh satu talaq ini telah dipilih oleh Fuqaha
Mutaakhirin, iaitu golongan yang tidak di ambil kira pendapat mereka."
[44] Persepakatan Mazhab yang empat dalam perkara ini juga disebut oleh Dr.
Wahbah A-Zuhaili dalam Kitabnya Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, di m.s 406-413 dan
beliau berkata bahawa sebenarnya dalam perkara ini ada 3 pendapat di mana pendapat
ketiga mengatakan tidak jatuh talaq sama sekali. Ia adalah pendapat segolongan daripada
Mazhab Syiah iaitu Syiah Imamiyyah. Dan Menurut Dr. Wahbah lagi bahawa Undang-
undang Mesir dan Syria telah mengambil dengan pendapat ini yang mengatakan jatuh
talaq satu sahaja. Kemudian Lujnah Fatwa yang bersidang di Riyadh mengubah daripada
berpegang dengan pendapat ini dan memilih dengan majoriti pendapat yang mengatakan
jatuh tiga talaq dengan lafaz tiga sekali gus.
[45] Pendapat Jumhur Fuqaha bahawa jatuh talaq tiga adalah bersandarkan Nas-Nas
al-Quran dan al-Hadis yang kukuh dan mahkamah tidak berhasrat untuk menyebutnya
kerana ia melibatkan i'tirad yang panjang lebar disebut oleh Dr.Wahbah. Yang penting
22
dalam kes ini, mahkamah berpendapat yang mengatakan jatuh talaq tiga lebih menepati
kebenaran kerana ia merupakan pendapat majoriti Fuqaha yang terdiri daripada 4
mazhab.
[46] Perbahasan hukum mengumpulkan talak di dalam kitab-kitab mazhab banyak
tertumpu di atas kepada gugurnya talak jika dikumpulkan tiga talak sekali gus
sebagaimana diulas oleh mahkamah di atas. Begitu juga jika suami menjatuhkan talak 2
sekaligus akan gugurlah talak 2.
[47] Di dalam penghakiman mahkamah telah memutuskan gugurnya talak tiga secara
bain kubra adalah pada pendapat mahkamah talak yang kedua juga dilafazkan di dalam
versi kinayah dan Defendan mempunyai niat untuk menceraikan Plaintif. Lafaz kedua
juga mengugurkan dua talak. Namun demikian menurut syarak sebagaimana yang telah
diulas jumlah talak hanya tiga sahaja bukannya empat. Justeru itu talak tiga diputuskan
berlaku pada waktu dijatuhkan selepas lafaz pertama.
[48] Mahkamah berpendapat talak tiga bain kubra terjadi berdasarkan lafaz pertama
kali pertama berjumlah dua talak pada 3 Januari 2009 melalui kes mal bil: 10005-054-
0075-2009 pada 14 Oktober 2009. Ia adalah kerana di dalam Islam talak walaupun
jumlah berapa banyak dilafazkan ia hanya gugur maksima tiga sahaja sekalipun
berganda-ganda talak dijatuh dan dilafazkan oleh suami. Talak tersebut boleh gugur
sama ada secara satu persatu, dikumpulkan hingga 3 ataupun 3 sekaligus. Ia disepakati
oleh jumhur fuqaha jatuhnya sebagaimana yang dilafazkan sebagaimana terdapat di
dalam kitab Wahbah zuhaili m/s.386 (versi Arab). Walaubagaimana pun Mazhab Hanafi
berpendapat sia-sia lafaz tersebut.
[49] Persoalan yang perlu dikupas oleh mahkamah juga, seterusnya sama ada niat
Defendan itu boleh diambil kira bersandarkan fakta bahawa Defendan telah melafazkan
cerai ke atas Plaintif sebelumnya. Banyak kes seperti ini berlaku dan di bawa ke
mahkamah untuk diputuskan. Ia menunjukkan suatu gejala tentang kejahilan pihak
suami tentang bagaimana lafaz yang sepatutnya digunakan bagi menjatuhkan talaq.
Prinsipnya adalah, kejahilan tidak merubah hukum. Kejahilan bukannya alasan yang
boleh digunakan bagi mahkamah untuk mengambil pendekatan “play save” di dalam
sesuatu isu. Lebih-lebih lagi isu talak. Ini adalah kerana ia berkaitan soal halal dan haram
23
pergaulan suami isteri serta zuriat dan keturunan anak Adam. Oleh itu adalah sangat-
sangat perlu bagi suami apabila mahu melafazkan cerai sama ada talaq munjiz atau ta'liq
dibuat di hadapan Mahkamah, supaya lafaz cerai berlaku mengikut cara yang betul bagi
memberi maksud talaq secara jelas. Jelasnya, menurut mahkamah ini apabila lafaz
adalah kinayah persoalan tentang niat adalah dengan sendirinya perlu diambil kira.
[50] Sekiranya lafaz kinayah sekalipun, kaedah berdasarkan zahir juga perlu diambil
kira oleh mahkamah berdasarkan kaedah berikut:-
إذا اختلف الملفوذ والمنوى قدم الملفوذ
Ertinya: "jika berlawanan antara apa yang dilafazkan dengan apa yang
diniatkan, maka didahulukan apa yang dilafazkan".
لمراد والنية إنما تعمل فيما يحتمل اللفظاللفظ بمجرده ال يحتمل ا
Ertinya : "sesuatu lafaz dengan semata-matanya ( tanpa qarinah ) tidak boleh di-
htimal-kan maksud. Dan niat diambil kira pada lafaz yang boleh di-ihtimal-kan
maksud lafaz.
[51] Bedasarkan kaedah-kaedah di atas menunjukkan bahawa di dalam bab cerai lafaz
yang dizahirkan adalah sesuatu yang didahulukan jika dibandingkan dengan niat
melainkan ada qarinah yang kuat. Ini berlaku di dalam bab lafaz kinayah sahaja.
[52] Jumhur Fuqaha bersepakat bahawa talak tidak jatuh dengan niat sahaja tanpa
lafaz. Lafaz yang dilafazkan apabila menggunakan sighah yang soreh dan terang jatuh
talak berdasarkan berapa bilangan yang disebut tidak kira berapa jumlahnya.
Walaubagaimanapun talak tersebut hanya terhad kepada talak tiga sahaja. Berbalik di
dalam kes ini Defendan di dalam keterangannya bersetuju bahawa lafaz yang dilafaz
melalui SMS adalah dua.
[53] Walaupun di luar isu perbahasan di dalam kes ini iaitu berkaitan isu lafaz
kinayah. Jumhur fuqaha sepakat bahawa jatuh talak kinayah berdasarkan jumlah talak
yang diniatkan. Oleh yang demikian secara maqsadnya fuqaha silam sepakat bahawa
24
talak kinayah jatuh berdasarkan niat. Ini kerana lafaz itu telah dinyatakan satu ,dua atau
tiga secara jelas. Walaupun apa maksud sebenarnya mujtahid mengambil pendekatan
namun secara pemikiran yang tersurat, terlihat ,hakikat dan makrifat dan kajian
mahkamah memungkinkan itulah maqsad sebenarnya pendekatan mujtahid. Jelasnya,
menurut mujtahid apabila berdasarkan niat sesuatu yang perlu ada apabila lafaz kinayah
dan lafaz soreh tidak memerlukan niat.
Keputusan
Berdasarkan kepada rujukan hukum syarak dan peruntukan undang-undang serta ulasan
terhadap isu-isu berkaitan pengesahan lafaz cerai di dalam kes ini, Mahkamah
berpuashati dan memutuskan—
[1] Mahkamah mensabitkan lafaz "adik, abang ceraikan adik dengan talak dua"
secara lisan oleh Defendan pada 26 Februari 2009 jam 7.26 petang adalah sah
dan menjatuhkan talak.
[2] Mahkamah memutuskan mulai 26hb. Februari 2009 jam 7.26 petang tertalaklah
Plaintif dengan talak tiga kali pertama berjumlah tiga talak secara talak bain
kubro dengan beriddah selama tiga kali suci mulai dari 26 Februari 2009.
[3] Mahkamah perintahkan penceraian ini didaftarkan di Pejabat Agama Islam Hulu
Langat dan Surat Perakuan Rujuk Asal Bil. xxx/2009 No xxx Negeri Selangor
hendaklah dibatalkan.
top related