penerapan kesantunan dalam komunikasi melalui filem
Post on 13-Jan-2017
391 Views
Preview:
TRANSCRIPT
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
79
4 PENERAPAN KESANTUNAN DALAM KOMUNIKASI
MELALUI FILEM
Mohd Luqman Mohd Shapie Sekolah Rendah Gongshang
muhammad_luqman_mohd_shapie@moe.edu.sg
Abstrak
Kajian ini berfokus pada aspek kesantunan leksikal yang terdapat dalam dialog filem
Ombak Rindu (2011), iaitu dialog antara dua watak utama filem tersebut. Kajian
dalam bidang pragmatik yang dilakukan ini akan mengenal pasti padanan leksikal
dengan berpandukan Tesaurus Bahasa Melayu Dewan Edisi Baharu (2010) dan
juga Tesaurus Bahasa Melayu Edisi Kedua (2011). Ketepatan pemilihan leksikal
yang digunakan dalam dialog filem Ombak Rindu akan dapat diperlihatkan selain
daripada mengaplikasikan model Prinsip Kesantunan Leech (1983) berdasarkan
keenam-enam maksimnya. Dapatan analisis menunjukkan bahawa ketepatan
pemilihan leksikal dalam dialog filem Ombak Rindu telah dipengaruhi oleh empat
faktor utama, iaitu konteks peristiwa, latar belakang watak, struktur suku kata dan
kekerapan penggunaan sesuatu kata dalam komunikasi seharian. Dalam konteks
pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu, penerapan aspek kesantunan
leksikal khususnya kata ganti nama diri dan kata sapaan turut dapat diperlihatkan
dalam drama tempatan Kisah Kita Episod 5 (2014). 147 data leksikal kata ganti
nama diri dan 115 data leksikal kata sapaan telah dikenal pasti dan hasil kajian
mendapati ketepatan pemilihan leksikal tersebut turut dipengaruhi oleh keempat-
empat faktor, iaitu konteks peristiwa, latar belakang watak, struktur suku kata dan
kekerapan penggunaan sesuatu kata dalam komunikasi seharian. Ini membuktikan
bahawa penerapan kesantunan dalam komunikasi melalui filem mahupun drama
dapat direalisasikan dengan berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa
Melayu.
Kata Kunci: kesantunan, leksikal, kata ganti nama diri, kata sapaan, filem, drama
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
80
Pengenalan
Manusia menggunakan bahasa sebagai saluran untuk berhubung, iaitu untuk
menyampaikan perasaan dan buah fikiran. Penggunaan bahasa yang sempurna
akan menentukan keberkesanan komunikasi atau mesej yang ingin disampaikan.
Demi memastikan keberkesanan komunikasi dicapai, penggunaan bahasa yang baik,
tepat dan berkesan perlu digunakan. Penggunaan bahasa yang baik, tepat dan
berkesan ini amat berkait rapat dengan unsur kesantunan berbahasa.
Kesantunan berbahasa ialah tatacara atau peraturan yang wujud dalam
sesuatu bahasa. Awang Sariyan (2007:1-2) menjelaskan bahawa kesantunan
berbahasa merupakan salah satu ciri penting bagi bangsa yang bertamadun serta
diukur berdasarkan kepatuhan seseorang pengguna bahasa itu terhadap peraturan-
peraturan yang telah ditetapkan dalam sesebuah masyarakat. Unsur kesantunan
berbahasa sering kali dilihat sebagai interaksi antara individu dalam berkomunikasi.
Kesantunan berbahasa dalam sesebuah masyarakat itu turut dipengaruhi oleh
norma budaya masyarakat tersebut. Hal ini sekaligus memperlihatkan bahawa
aspek budaya dan kesantunan berbahasa dalam sesebuah masyarakat itu saling
berkait rapat dan saling melengkapi. Unsur kesantunan berbahasa dalam budaya
masyarakat Melayu turut dapat dilihat menerusi sesebuah karya filem Melayu yang
dihasilkan.
Ismail (2009:143) menjelaskan bahawa sesebuah karya filem itu merupakan
cerminan sebenar dalam budaya sesebuah masyarakat. Karya filem Melayu yang
menggunakan bahasa Melayu dan mempratikkan budaya masyarakat Melayu akan
turut memaparkan ciri-ciri kemelayuannya kepada khalayak penonton. Salah satu
ciri kemelayuan yang mencerminkan budaya masyarakat Melayu menerusi karya
filem adalah berdasarkan aspek kesantunan berbahasa. Aspek kesantunan
berbahasa dalam sesebuah karya filem ini merujuk kepada cara dan bentuk bahasa
yang digunakan dengan penuh sopan, tidak biadab atau kurang ajar. Selain itu,
kesantunan berbahasa dalam karya filem ini turut meliputi aspek-aspek seperti
pemilihan leksikal, nada, gerak laku dan juga gaya yang digunakan semasa
seseorang watak itu berkomunikasi.
Asmah Haji Omar (2002:8-9) merumuskan bahawa asas kesantunan bahasa
adalah dengan menitikberatkan tiga jenis peraturan, iaitu peraturan linguistik,
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
81
peraturan sosiolinguistik dan peraturan pragmatik. Berkaitan dengan ketiga-tiga jenis
peraturan asas ini, kesantunan berbahasa dalam karya filem dapat dilihat pada
penggunaan leksikal yang tepat dalam dialog sesebuah filem itu. Ketepatan leksikal
dalam konteks dialog filem mampu mencerminkan ciri-ciri budi bahasa, kesantunan
dan peradaban dalam diri seseorang watak melalui dialog yang diujarkan. Ketepatan
leksikal yang digunakan ini juga amat penting dalam memastikan komunikasi
berkesan berlaku terhadap audiens yang menonton filem tersebut.
Aspek kesantunan berbahasa tergolong dalam bidang pragmatik. Kamus
Linguistik (1997:192) telah menjelaskan bahawa pragmatik ialah pengkajian bahasa
dari sudut pandangan pengguna, terutamanya pemilihan yang dibuat, kekangan
yang dihadapi ketika menggunakan bahasa dalam interaksi sosial, dan kesan
penggunaan bahasa ke atas peserta lain dalam lakuan komunikasi. Menurut Crystal
(1971:61) pula, pragmatik ialah kajian tentang bahasa dari sudut penggunaannya.
Hal ini merujuk kepada bagaimana penutur memilih untuk menggunakan sesuatu
ujaran, iaitu halangan yang perlu difikirkannya ketika berkomunikasi serta kesan
penggunaan bahasa tersebut terhadap pendengar. Sehubungan dengan itu, Clark
(1996) menyatakan bahawa sesuatu ujaran hanya boleh difahami dengan sempurna
melalui analisis yang berasaskan konteks pragmatik. Konteks yang dimaksudkan ini
berkait rapat dengan penutur, pendengar, apa yang diperkatakan, bila dan
bagaimana mereka mengatakannya serta apa tujuan mereka memperkatakannya.
Kajian dalam bidang kesantunan bahasa khususnya dari aspek ketepatan
leksikal yang terdapat dalam karya filem Melayu diharap dapat menambahkan lagi
sumbangan yang baharu dalam bidang pragmatik. Kajian kesantunan leksikal dalam
karya filem Ombak Rindu (2011) dan drama Kisah Kita Episod 5 (2014) ini,
merupakan satu kajian baharu yang khususnya melibatkan pengkajian tentang
padanan dan ketepatan leksikal. Selain itu, hasil dapatan kajian ini diharap dapat
memaparkan kerelevanan dan cerminan sebenar budaya kesantunan berbahasa
dalam masyarakat Melayu yang telah dipaparkan menerusi karya filem Melayu yang
terkenal seperti Ombak Rindu (2011) dan drama tempatan, iaitu Kisah Kita Episod 5
(2014). Justeru itu, kekuatan serta kelemahan dapatan kajian terhadap kesantunan
leksikal dalam karya filem Ombak Rindu dan drama Kisah Kita Episod 5 (2014) ini
diharap dapat menggalakkan lagi kajian-kajian baharu yang mengkaji aspek
kesantunan berbahasa dalam karya-karya filem dan drama Melayu yang lain.
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
82
Pernyataan Masalah
Bidang kesantunan berbahasa telah mendapat perhatian para pengkaji sejak tahun
1950-an sehingga kini. Ini adalah kerana kesantunan berbahasa itu merupakan
suatu nilai yang hadir dalam setiap masyarakat termasuklah dalam budaya
masyarakat Melayu. Secara umumnya, kajian-kajian yang telah dilakukan oleh
pengkaji bahasa terhadap aspek kesantunan berbahasa dalam konteks masyarakat
Melayu telah memaparkan unsur keharmonian dan keindahan yang hadir dalam
kehidupan masyarakat Melayu tersebut.
Berdasarkan kajian literatur, banyak kajian tentang aspek kesantunan
berbahasa menjurus kepada majlis pertunangan, ucapan dalam ceramah dan juga
karya pantun. Justeru, pengkaji mendapati bahawa kajian terhadap kesantunan
leksikal khususnya terhadap karya filem Melayu kurang mendapat perhatian
pengkaji bahasa. Kajian tentang kesantunan berbahasa yang khusus kepada karya
filem dan drama amat kurang dikaji walaupun sesebuah karya filem dan drama itu
merupakan suatu wadah yang mampu mengungkapkan cerminan sebenar budaya
kesantunan berbahasa yang wujud dalam masyarakat Melayu. Antara kajian yang
pernah dilakukan terhadap karya filem ialah kajian oleh Indirawati Zahid (2006).
Namun demikian, tujuan kajian tersebut tidak menjurus kepada aspek kesantunan
berbahasa tetapi lebih khusus kepada aspek verbal dan nonverbal dalam karya filem.
Dapatan analisis tersebut menunjukkan bahawa kedua-dua aspek verbal dan
nonverbal itu amat bergantung kepada persepsi masyarakat Melayu.
Disebabkan keterbatasan dan kekurangan kajian terhadap kesantunan
berbahasa dalam karya filem dan drama Melayu, pengkaji terdorong untuk mengkaji
aspek ini yang menjurus kepada kesantunan leksikal dalam sebuah filem Melayu
yang bertajuk Ombak Rindu (2011) dan drama Kisah Kita Episod 5 (2014).
Tujuan Kajian
Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk:
1. mengenal pasti padanan leksikal kata nama, kata kerja dan kata adjektifdalam filem Ombak Rindu dan hubungannya dengan komunikasi berkesan;
2. menghubungkaitkan penggunaan leksikal dalam filem Ombak Rindudengan Prinsip Kesantunan Leech (1983); dan
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
83
3. mengenal pasti penggunaan leksikal kata ganti nama diri dan kata sapaandalam drama Kisah Kita Episod 5 (2014) yang boleh diterapkan dalamkonteks pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.
Kajian Literatur
Aspek kesantunan berbahasa telah banyak dibincangkan oleh pengkaji barat dan
juga tempatan menerusi beberapa kajian yang telah dilakukan oleh mereka. Nama-
nama pengkaji dari luar dan dalam negara yang telah banyak menyumbang kepada
bidang pragmatik ini adalah seperti Goffman, Brown dan Levinson, Leech, Watts,
Asmah Haji Omar dan juga Awang Sariyan. Nama-nama ini merupakan antara
nama-nama penting yang sering dikaitkan dengan bidang kesantunan berbahasa.
Kajian literatur ini akan membincangkan tentang kajian-kajian yang berkaitan
dengan kesantunan berbahasa berdasarkan kajian luar dan dalam negara, iaitu
mengikut kronologi tahun kajian dilakukan. Kajian yang dilakukan pengkaji merujuk
kepada penulisan-penulisan seperti yang terdapat dalam buku, jurnal, kertas kerja,
tesis dan juga disertasi.
Merujuk kepada kajian-kajian yang berkaitan dengan kesantunan berbahasa
yang telah dilakukan oleh pengkaji barat, kajian dalam bidang kesantunan telah
bermula sejak tahun 1950-an (DuFon et. al., 1994). Antara penulis awal yang
membuat kajian tentang aspek kesantunan ialah Goffman (Noriati, 2003:1).
Berpandukan konsep air muka atau “on face work” yang telah ditulis oleh Goffman
pada tahun 1955 misalnya, beliau menyatakan bahawa manusia “menjaga muka”
untuk memastikan keharmonian dalam perhubungan sesama manusia. Goffman
(1967) turut menjelaskan bahawa terdapat perbezaan dalam setiap budaya dan
masyarakat apabila membincangkan tentang konsep “muka”.
Hasil penulisan dan kajian Goffman pada tahun 1955 tentang konsep “muka”
telah merangsang beberapa usaha serta kajian lain yang berkaitan dengan
kesantunan berbahasa. Pada tahun 1960, terdapat kajian oleh Grapow, H. yang
mengkaji tentang strategi orang Arab ketika menyapa dan menegur seseorang.
Kajian tentang bahasa sapaan dalam kalangan Amerika Inggeris pula telah
dilakukan oleh Brown, Roger dan Ford pada 1961. Perkembangan dalam kajian
terhadap bidang kesantunan bahasa semakin mendapat perhatian para pengkaji
pada tahun 1970an. Antaranya ialah kajian tentang ‘Sociolinguistic Rules and
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
84
Address’ yang ditulis oleh Ervin-Tripp pada tahun 1972. Pada tahun 1973 pula,
Lakoff telah menulis tentang “the logic of politeness” sebelum meneruskan
penulisannya pada tahun-tahun berikutnya sehingga tahun 1990an. Menurut Lakoff
(1989), kesantunan bertujuan untuk meminimumkan risiko konflik semasa
menjalinkan komunikasi. Tujuan meminimumkan risiko konflik ini adalah supaya
komunikasi antara penutur dan pendengar itu mampu berjalan dengan lancar, iaitu
tanpa ada sebarang kekangan atau halangan semasa berkomunikasi.
Pada tahun 1975 pula, Grice telah membuat kajian tentang “logic and
conversation”. Hasil kuliah Grice di Universiti Harvard ini boleh dianggap sebagai
pelopor kepada ilmu pragmatik moden. Berdasarkan kajian tersebut, Grice (1975)
telah memperkenalkan Co-operation Principle atau Prinsip Kerjasama yang
didukung oleh empat maksim yang menjadi peraturan dalam sesuatu perbualan.
Berdasarkan penulisan tentang “Universal in Language Usage Politeness
Phenomena” yang dihasilkan pada tahun 1978, Brown dan Levinson (B & L) telah
membincangkan tentang konsep “muka” positif dan negatif. B & L (1978)
menyatakan bahawa kedua-dua konsep “muka” ini merupakan strategi kesantunan
yang asas. Sehubungan dengan itu, B & L telah menjelaskan tentang teori
kesantunan dengan menyatakan bahawa kesantunan berkait rapat dengan konsep
“muka”. Ini telah dibuktikan melalui penjelasan mereka berkenaan konsep “muka”
positif dan negatif yang wujud dalam diri seseorang.
Namun demikian, teori kesantunan Brown dan Levinson (1978) ini telah
mendapat kritikan daripada pengkaji lain kerana teori tersebut dikatakan lebih sesuai
untuk digunakan dalam konteks budaya masyarakat barat sahaja. Pada tahun 1983,
Leech telah menjelaskan perkara ini dalam teori “Politeness Maxims” atau Maksim
Kesantunan. Prinsip Kesantunan Leech yang mengandungi enam maksim
berdasarkan bukunya Principal of Pragmatics (1983), merupakan penambahbaikan
kepada Prinsip Kerjasama Grice (1975). Prinsip Kesantunan Leech (1983) ini telah
memasukkan unsur kebudayaan daripada pelbagai dimensi dalam menghuraikan
aspek kesantunan. Selain pengkaji dari Barat, para pengkaji dan penulis dari Asia
seperti Jepun, Korea, Thailand dan China juga telah mengkaji aspek yang berkaitan
dengan bidang kesantunan. Dengan merujuk kepada kajian kesantunan dalam
masyarakat Jepun, Ide telah mula menulis tentang kesantunan orang Jepun pada
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
85
tahun 1974. Pada tahun 1989 pula, Matsumoto telah membincangkan tentang
perbezaan muka dalam kalangan masyarakat Jepun dengan masyarakat Barat.
Dengan merujuk kepada kajian kesantunan berbahasa dalam konteks
masyarakat Melayu yang telah dilakukan di Malaysia pula, terdapat beberapa
penulisan oleh beberapa sarjana seperti Za’ba (1969), Amat Juhari Moain (1985),
Khatijah Ibrahim (1993), Nor Hashimah Jalaluddin (1994), Jamaliah Ali (1997),
Asmah Haji Omar (2000), Sanat Mohd Nasir (2001), Noriati Rashid (2003) dan
Indirawati Zahid (2012). Za’ba (1950) dalam penulisannya tentang perlakuan dan
etiket Melayu yang disiarkan dalam Journal Malayan Branch, merupakan antara
penulisan awal yang menyentuh bidang kesantunan dalam masyarakat Melayu.
Dalam penulisan tersebut, Za’ba telah menyentuh beberapa perkara yang menjadi
peraturan ketat dalam masyarakat Melayu bagi mengawal perlakuan seperti dalam
percakapan dan juga etiket. Khatijah Ibrahim (1993) menerusi disertasinya yang
bertajuk “Politeness in Malay Directives” pula, telah mengaplikasikan teori
kesantunan B & L dalam kajiannya. Beliau mendapati bahawa masyarakat Melayu
amat mengutamakan konsep air muka (Strategi Kesantunan Positif dalam
percakapan) demi untuk menjaga keharmonian dalam sesuatu hubungan itu.
Menurut kajian Asmah Hj Omar (1996:136-137) pula, konsep “muka” yang
diperkenalkan oleh Brown dan Levinson (1978) mempunyai perbezaan dengan
konsep “menjaga air muka” dalam konteks masyarakat Melayu. Konsep “air muka”
yang dihuraikan oleh Asmah ini meliputi pengertian yang lebih luas dan mendalam
berbanding konsep “muka”. Ini adalah kerana, dalam konteks budaya masyarakat
Melayu, sejak kecil lagi kepentingan menjaga maruah dan martabat telah dipupuk
dalam diri setiap individu supaya tidak memalukan diri, keluarga, bangsa, agama
dan negara. Menurut Sanat (2001) pula, kesantunan yang paling luas merujuk
kepada konsep amar makruf nahi mungkar, iaitu bukan sekadar untuk menjaga
strategi menjaga muka dan input budaya semata-mata seperti yang diketengahkan
oleh Asmah.
Berkaitan dengan kajian yang menganalisis sesebuah karya filem pula,
Indirawati Zahid (2006) telah membincangkan tentang Aspek Verbal dan Nonverbal
dalam Filem Melayu. Berdasarkan pembentangan kertas kerja tersebut, analisis
kajian dari aspek verbal dan nonverbal telah dilakukan menerusi pemilihan tiga filem
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
86
Melayu, iaitu Puteri Gunung Ledang, Sepet dan Baik Punya Cilok. Merujuk kepada
kajian yang terperinci dengan mengumpulkan data-data analisis menerusi
pendekatan soal selidik, dapatan analisis menunjukkan bahawa kedua-dua aspek
verbal dan nonverbal mempunyai peranannya yang tersendiri. Hasil dapatan juga
menunjukkan bahawa kedua-dua aspek verbal dan nonverbal ini amat bergantung
kepada persepsi masyarakat. Pada tahun 2009 pula, penulisan Abdul Wahid Jais
dan Faezah Kassim menerusi buku yang bertajuk Bahasa Verbal dan Bukan Verbal :
Linguistik, Sastera dan Peradaban, telah mengemukakan tentang kesantunan
berbahasa dalam peradaban Melayu dari aspek komunikasi. Hasil kajian tersebut
mendapati bahawa kesantunan komunikasi berkait rapat dengan unsur kebahasaan,
sosial dan juga budaya. Terdapat juga kaitan yang rapat antara adab orang Melayu
yang halus dengan ajaran agama Islam yang menekankan aspek keharmonian dan
saling menghormati sesama anggota masyarakat.
Berdasarkan kajian-kajian lepas tentang aspek kesantunan berbahasa yang
telah dilakukan oleh para pengkaji bahasa dari dalam dan luar negara sejak tahun
1950an sehingga kini, aspek kesantunan berbahasa ini jelas telah hadir dalam
setiap masyarakat di dunia ini. Namun demikian, kesantunan berbahasa dalam
setiap masyarakat itu adalah berbeza, iaitu bergantung kepada faktor-faktor seperti
budaya dan juga agama yang dipraktikkan oleh golongan masyarakat tersebut.
Dalam konteks masyarakat Melayu, budaya Melayu dan agama Islam amat berkait
rapat dengan unsur kesantunan berbahasa.
Kaedah Kajian
Pengkaji telah menggunakan lapan (8) kaedah dalam kajian ini. Kaedah-kaedah
tersebut adalah:
1. Pertama, kaedah kepustakaan yang digunakan adalah melalui rujukan-rujukan seperti buku, majalah, jurnal, kertas kerja, disertasi, tesis, kamus danjuga tesaurus;
2. Kedua, kaedah pemerhatian terhadap keseluruhan filem Ombak Rindu dandrama Kisah Kita Episod 5 (2014) secara berulang kali. Kaedah pemerhatianini turut dilakukan bagi mengenal pasti dialog-dialog yang diungkapkan olehdua watak utama dalam filem tersebut, iaitu Hariz dan Izzah;
3. Ketiga, kaedah pentranskripsian dialog filem Ombak Rindu dan drama KisahKita Episod 5 (2014) dilakukan kerana pentranskripsian dialog dalam filemtersebut memainkan peranan yang penting dalam pemilihan data-data
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
87
leksikal untuk dianalisis, sekaligus membantu dalam mencapai kedua-dua objektif kajian ini;
4. Kaedah keempat pula ialah kaedah pengkategorian data leksikal berdasarkangolongan kata masing-masing, iaitu kata nama, kata, kerja, kata permintaan, kata sapaan dan kata ganti nama diri;
5. Kelima, kaedah pemadanan leksikal dengan dua data bandingan berdasarkanpadanan yang disenaraikan dalam Tesaurus Bahasa Melayu Dewan Edisi Baharu (2010) dan Tesaurus Bahasa Melayu Edisi Kedua (2011).
6. Keenam, kaedah rujukan konkordans berdasarkan korpus5 menerusi lamansesawang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu digunakan bagi meneliti kekerapan penggunaan sesuatu leksikal dalam konteks komunikasi seharian;
7. Ketujuh, kaedah kuantitatif digunakan dalam bahagian analisis kajian bagimenunjukkan jumlah perangkaan dan peratusan khususnya dalam mencapai objektif pertama dalam kajian ini. Kaedah kuantitatif ini turut digunakan untuk objektif kedua dan ketiga yang akan memperlihatkan hubungan Prinsip Kesantunan Leech (1983) dengan penggunaan leksikal dalam filem Ombak Rindu dan drama Kisah Kita Episod 5 (2014); dan
8. Kaedah terakhir ialah pengaplikasian Prinsip Kesantunan Leech (1983)terhadap data analisis yang akan memperlihatkan sejauh mana ia telah mematuhi Prinsip Kesantunan Leech (1983).
Bahan Kajian
Kajian ini akan menggunakan sebuah filem Melayu yang bertajuk Ombak Rindu
(2011) yang diterbitkan oleh Astro Shaw dan Tarantella Pictures. Filem ini telah
dipilih sebagai bahan kajian untuk mewakili filem-filem Melayu lain yang pernah
ditayangkan di pawagam. Selain itu, kajian ini turut akan menggunakan drama
tempatan, iaitu drama Kisah Kita Episod 5 (2014) yang mencerminkan penggunaan
bahasa seharian serta realiti kehidupan pelajar-pelajar Melayu di Singapura.
Prosedur Kajian
Kajian ini telah menggunakan sebelas (10) prosedur analisis dalam memastikan
hasil kajian mencapai objektif kajian. Prosedur analisis yang digunakan ialah:
1. pemerhatian filem Ombak Rindu dan drama Kisah Kita Episod 5 (2014);2. pentranskripsian dialog filem Ombak Rindu dan drama Kisah Kita Episod 5
(2014) bagi mempermudahkan pengkaji mengenal pasti data analisis;3. pengenalpastian dialog dan data analisis mengikut babak dan peristiwa;4. pelabelan data analisis seperti “B” bagi babak, “D” bagi dialog dan “KGN”
bagi kata ganti nama;5. pengkategorian data analisis, iaitu pengkategorian kepada kategori seperti
kata nama, kata kerja, kata adjektif, kata sapaan dan kata ganti nam;
5 Laman korpus DBP, iaitu http://sbmb.dbp.gov.my/korpusdbp/SelectUserCat.aspx diakses secara
atas talian.
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
88
6. pemadanan data analisis dengan merujuk tesaurus bahasa Melayu;7. pengenalpastian faktor-faktor yang mempengaruhi pemilihan leksikal
seperti faktor konteks peristiwa, latar belakang watak, struktur suku katadan kekerapan penggunaan leksikal dalam komunikasi seharian;
8. rujukan konkordans menerusi laman sesawang Dewan Bahasa danPustaka (DBP);
9. pengaplikasian kaedah kuantitatif bagi memperlihatkan darjah kedominanyang menjadi faktor penentu bagi pemilihan sesuatu leksikal serta bagimemperlihatkan keseluruhan data analisis yang dikaji dan juga; dan
10. penganalisisan hubungan penggunaan leksikal dengan Prinsip KesantunanLeech (1983), iaitu untuk memperlihatkan sejauh mana Prinsip KesantunanLeech dipatuhi atau sebaliknya dalam filem Ombak Rindu (2011) dandrama Kisah Kita Episod 5 (2014).
Dapatan Kajian dan Perbincangan
Dapatan kajian ini akan membincangkan tentang empat perkara utama, iaitu
pertama, analisis padanan leksikal kata nama, kata kerja dan kata adjektif yang
terdapat dalam dialog filem Ombak Rindu. Kedua, dapatan kajian akan turut
memperlihatkan faktor-faktor yang menjadi penentu dalam pemilihan leksikal yang
terdapat dalam dialog filem Ombak Rindu (2011), iaitu dialog antara dua watak
utama dalam filem ini. Ketiga, hubungan penggunaan leksikal dalam dialog filem
Ombak Rindu dengan Prinsip Kesantunan Leech (1983) serta sejauh mana prinsip
kesantunan tersebut dipatuhi. Keempat, dapatan kajian akan mengenal pasti
leksikal kata ganti nama diri dan kata sapaan yang terdapat dalam dialog drama
Kisah Kita Episod 5 (2014).
Dalam mencapai objektif kajian yang pertama, pengkaji telah menggunakan
58 data leksikal daripada dialog filem Ombak Rindu. Penggunaan 58 data leksikal
disenaraikan dalam Jadual 1.1 seperti berikut:
Jadual1.1: Jumlah Keseluruhan Data Leksikal Kata Nama, Kata Kerja dan Kata Adjektif dari Dialog Filem Ombak Rindu
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
89
Berdasarkan Jadual 1.1 di atas, data leksikal yang dianalisis merupakan
daripada golongan kata nama, kata kerja dan kata adjektif yang digunakan oleh
kedua-dua watak utama dalam filem Ombak Rindu (2011), iaitu Hariz dan Izzah.
Berkaitan dengan leksikal kata nama, terdapat lapan (8) leksikal daripada
golongan kata nama dianalisis berdasarkan dialog dalam filem Ombak Rindu. Hanya
lapan (8) daripada 24 data leksikal kata nama yang dianalisis disebabkan faktor
pengulangan leksikal-leksikal tersebut dalam dialog yang dituturkan. Jadual 1.2
menunjukkan kelapan-lapan leksikal yang dianalisis.
Jadual 1.2: Frekuensi Penggunaan Leksikal Kata Nama dalam Dialog
Terdapat empat belas (14) leksikal daripada golongan kata kerja dan lima (5)
leksikal daripada golongan kata adjektif yang turut dianalisis berdasarkan dialog
dalam filem Ombak Rindu (2011) ini. Jadual 1.3 menunjukkan empat belas (14)
leksikal daripada golongan kata kerja manakala Jadual 1.4 pula menunjukkan lima
(5) kata adjektif yang dianalisis.
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
90
Jadual 1.3: Frekuensi Penggunaan Leksikal Kata Kerja dalam Dialog
Jadual 1.4: Frekuensi Penggunaan Leksikal Kata Adjektif dalam Dialog
Analisis yang dilakukan dengan menggunakan Tesaurus Bahasa Melayu
Dewan Edisi Baharu (2010) dan Tesaurus Bahasa Melayu Edisi Kedua (2011),
memperlihatkan dua padanan kata bagi setiap leksikal kata nama, kata kerja dan
kata adjektif yang terdapat dalam dialog filem Ombak Rindu (2011). Perbandingan
yang dilakukan antara setiap data leksikal dengan dua padanan katanya bukan
sahaja membantu dalam menilai ketepatan sesuatu kata yang digunakan dalam
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
91
dialog filem Ombak Rindu, malah perbandingan tersebut memperlihatkan empat (4)
faktor utama yang menjadi penentu dalam pemilihan sesuatu leksikal.
Berdasarkan perbandingan antara kesemua dua puluh tujuh (27) data analisis
dengan dua padanan katanya, jelas bahawa ketepatan pemilihan leksikal dalam
dialog filem Ombak Rindu adalah bersebabkan empat faktor utama, iaitu konteks
peristiwa, latar belakang watak, struktur suku kata dan kekerapan penggunaan kata
dalam komunikasi seharian. Hasil dapatan menunjukkan bahawa kesemua 27 (100
peratus) data leksikal dalam dialog filem Ombak Rindu telah digunakan atas faktor
konteks peristiwa dan juga latar belakang watak. Berdasarkan faktor keekonomisan
bilangan suku kata pula, hasil dapatan menunjukkan bahawa hanya 12 daripada 27
leksikal (44.4 peratus) mempunyai bilangan jumlah suku kata yang lebih ekonomis
berbanding padanan kata bagi leksikal tersebut. Sehubungan itu, analisis
perbandingan antara data leksikal dengan dua padanan kata turut mendapati
bahawa 15 daripada 27 (55.6 peratus) leksikal telah digunakan disebabkan faktor
kekerapan penggunaan leksikal tersebut dalam komunikasi seharian.
Selain itu, ketepatan pemilihan leksikal dalam dialog filem Ombak Rindu
berbanding padanan katanya turut memperlihatkan tujuan utama yang ingin dicapai,
iaitu komunikasi berkesan kepada audiens. Seandainya komunikasi berkesan
dicapai, maka setiap leksikal yang digunakan dalam dialog filem Ombak Rindu ini
dianggap santun kerana tidak membebankan audiens untuk berfikir panjang dalam
waktu yang singkat.
Dalam mencapai objektif kajian yang kedua pula, pengkaji telah
menggunakan 310 data leksikal daripada keseluruhan dialog antara Hariz dan Izzah
dalam filem Ombak Rindu. Data leksikal yang dianalisis merupakan golongan kata
nama, kata kerja, kata adjektif, kata sapaan, kata permintaan dan kata ganti nama
diri yang digunakan oleh kedua-dua watak utama dalam filem Ombak Rindu. Jumlah
keseluruhan data analisis adalah seperti dalam Jadual 1.5 berikut:
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
92
Jadual 1.5: Jumlah Keseluruhan Data Leksikal dari Dialog Filem Ombak Rindu
Dapatan analisis telah memperlihatkan hubungan penggunaan leksikal dalam
dialog filem Ombak Rindu dengan Prinsip Kesantunan Leech (1983). Kesemua tiga
ratus sepuluh (310) leksikal daripada golongan kata nama, kata kerja, kata adjektif,
kata sapaan, kata permintaan dan juga kata ganti nama diri telah dianalisis dengan
menghubungkaitkan penggunaan leksikal-leksikal tersebut dengan Prinsip
Kesantunan Leech (1983) berdasarkan konteks dialog filem Ombak Rindu. Hasil
dapatan menunjukkan bahawa keenam-enam maksim, iaitu maksim kebijaksanaan,
maksim kedermawanan, maksim sokongan, maksim kerendahan hati, maksim
persetujuan dan maksim simpati yang terdapat dalam Prinsip Kesantunan Leech
(1983), hanya dipatuhi berdasarkan konteks peristiwa semasa berlakunya
komunikasi dalam dialog filem tersebut. Sesuatu penggunaan leksikal dalam dialog
boleh dianggap tidak mematuhi PKL seandainya konteks peristiwa dalam dialog itu
mencerminkan unsur kemarahan atau sindiran dalam diri watak terhadap pendengar
ujaran tersebut. Justeru itu, faktor konteks peristiwa dan latar belakang watak turut
berperanan penting untuk menilai sejauh mana penggunaan sesuatu leksikal itu
mematuhi PKL atau sebaliknya. Kesimpulannya, berdasarkan penggunaan leksikal
dalam konteks dialog filem Ombak Rindu, Prinsip Kesantunan Leech (1983) telah
dipatuhi sebanyak 167 kali (53.9 peratus) berbanding 143 (46.1 peratus)
penggunaan leksikal yang tidak mematuhi PLK tersebut.
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
93
Hasil dapatan kajian turut menunjukkan satu perspektif yang berbeza
berkaitan aspek kesantunan leksikal. Walaupun konteks masyarakat Melayu dahulu
menyifatkan perkataan berlapik sebagai cerminan budaya Melayu yang santun,
namun ironinya, dapatan kajian dari perspektif kesantunan leksikal dalam filem
Ombak Rindu beranggapan sebaliknya. Hal ini sedemikian kerana aspek ketepatan
dan juga kesantunan sesuatu leksikal dalam mencapai komunikasi berkesan amat
bergantung kepada konteks peristiwa semasa berlakunya komunikasi tersebut.
Sesuatu leksikal yang dianggap melanggar Prinsip Kesantunan Leech (1983) kerana
tidak menepati salah satu daripada keenam-enam maksim, boleh dianggap sebagai
penggunaan leksikal yang santun sekiranya leksikal tersebut tidak menghalang
pendengar ataupun audiens untuk berfikir dengan panjang. Hal ini adalah kerana
jika sesuatu leksikal dalam dialog filem itu dipilih atau digunakan semata-mata
bertujuan untuk mematuhi Prinsip Kesantunan Leech (1983) sedangkan ia akan
menjejaskan pemahaman atau penerimaan pendengar atau audiens, maka
penggunaan leksikal itu akan dianggap sebagai tidak santun kerana telah
membebankan audiens untuk berfikir dalam tempoh masa yang lama kerana tidak
dapat memahami mesej atau ujaran sebenar yang ingin disampaikan oleh penutur
atau watak dalam filem tersebut.
Dapatan kajian terhadap penggunaan leksikal kata ganti nama diri dan kata
sapaan dalam drama Kisah Kita Episod 5 (2014) turut menunjukkan bahawa 147
(56.1%) data leksikal kata ganti nama diri dan 115 (43.9%) data leksikal kata sapaan
telah dikenal pasti. Terdapat empat leksikal kata ganti nama diri, iaitu ‘saya’ (25/147),
‘aku’ (59/147), ‘kau’ (48/147) dan ‘awak’ (15/147) manakala terdapat lima leksikal
kata sapaan, iaitu ‘abang’ (56/115), ‘ayah’ (19/115), ‘cik’ (1/115), ‘ibu’ (31/115) dan
‘sayang’ (8/115). Hasil kajian mendapati ketepatan pemilihan leksikal tersebut telah
dipengaruhi oleh tiga faktor, iaitu konteks peristiwa, latar belakang watak dan
kekerapan penggunaan sesuatu kata dalam komunikasi seharian. Kesemua 147
data leksikal kata ganti nama diri dan 115 data leksikal kata sapaan telah mematuhi
maksim kebijaksaan Leech (1983). Hal ini sekaligus membuktikan bahawa
penerapan kesantunan dalam komunikasi melalui filem mahupun drama dapat
direalisasikan dengan berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa
Melayu.
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
94
Kesimpulan
Pemilihan leksikal yang tepat demi mencapai keberkesanan komunikasi amat berkait
rapat dengan empat (4) faktor utama, iaitu konteks peristiwa, latar belakang watak,
struktur suku kata dan kekerapan penggunaan sesuatu kata dalam komunikasi
seharian. Hal ini sekali gus menjelaskan bahawa komunikasi berkesan tidak akan
berlangsung atau menjadi terhalang sekiranya salah satu daripada keempat-empat
faktor tersebut tidak ditepati.
Dapatan analisis dalam kajian ini turut membuktikan bahawa kesantunan
leksikal dalam dialog filem seperti Ombak Rindu dan Kisah Kita Episod 5 dapat
dihubungkaitkan dengan Prinsip Kesantunan Leech (1983) berdasarkan enam
maksimnya, iaitu maksim kebijaksanaan, maksim kedermawanan, maksim sokongan,
maksim kerendahan hati, maksim persetujuan dan maksim simpati. Namun demikian,
tidak kesemua data leksikal didapati mematuhi keenam-enam maksim-maksim
tersebut.
Kajian terhadap penerapan kesantunan dalam komunikasi menerusi filem
atau drama ini dapat diperbaiki dengan menguji keberkesanannya di dalam bilik
darjah. Paparan klip video, baik filem mahupun drama Melayu dapat ditunjukkan
kepada murid sebelum pengajaran secara eksplisit tentang aspek kesantunan
seperti unsur kata ganti nama diri dan kata sapaan diajar kepada murid. Melalui
paparan secara visual, murid-murid bukan sahaja dapat mengenal pasti penggunaan
bahasa Melayu, bahkan menerapkan unsur-unsur kesantunan berbahasa yang betul
dalam pertuturan mahupun penulisan.
Rujukan
Asmah Haji Omar (2002). Setia dan Santun Bahasa. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Tanjung Malim.
Awang Sariyan (2007). Santun Berbahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Brown, P. dan Levinson, S. C. (1987). Politeness: Some Universals in Language Usage. Cambridge: Cambridge University Press.
Clark, H. H. (1996). Using Language. United Kingdom: Cambridge University Press. Crystal, D. (1971). Linguistics. Harmondsworth: Penguin Books. Goffman, E. (1967). Interaction Ritual: Essays on Face-to-Face Behaviour. New
York: Harper and Row. Indirawati Zahid dan Muhammad Luqman Shapie (2014). “Komunikasi Berkesan
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan
95
Dialog Filem Ombak Rindu: Analisis Ketepatan Makna”. Kertas kerja dalam Proceeding of The 50th Anniversary Celebration International Conference. Hankuk University of Foreign Studies (HUFS), Korea Selatan.
Kamus Linguistik (1997). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Leech, G. N. (1983). Principles of Pragmatics. London: Longman. Grice, H. P. (1975). Logic and Conversation. dalam Syntax and Semantics: Speech
Acts. New York: Academic Press. Tesaurus Bahasa Melayu Dewan (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka. Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), “Malay Manners and Etiquette” dlm. Jurnal Malayan
Branch of the Royal Asiatic Society (JMBRAS), Jilid XXIII (1950).
top related