umexpert.um.edu.my€¦ · web viewjurnal psikologi klinis dan ... yang dibincangkan secara teori...
TRANSCRIPT
1
PENULISAN BUKU BAGI PROJEK RP03A-17HNEKELESTARIAN AGAMA DAN BUDAYA DALAM DIALOG KEHIDUPAN SAUDARA BARU MODEL AGEN PEMBANGUNAN MODAL INSAN MASYARAKAT MAJMUK MALAYSIA
ANTARA BUDAYA DAN KELESTARIAN IDENTITI MUSLIM:PENGALAMAN AKTIVIS DAKWAH DALAM PENGURUSAN MUALAF
Alwani Ghazali
Pengenalan dan latar belakang kajian
Lanskap masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama tidak terlepas
daripada interaksi dinamik antara kaum dan agama yang berbeza ini. Interaksi ini
telah mewujudkan perkenalan yang mendalam antara umat beragama sehingga
menatijahkan pengislaman sebahagian daripada masyarakat bukan Islam yang
dikenali sebagai mualaf. Mualaf di Malaysia mempunyai cabaran mereka tersendiri
dalam mengharmonikan antara identiti budaya bangsa dan agama baru, di samping
cabaran-cabaran lain yang wujud daripada keluarga asal masing-masing. Bab ini
bertujuan membincangkan isu kelestarian identiti mualaf Malaysia berdasarkan
pengalaman aktivis dakwah yang menguruskan mereka.
Sorotan literatur
Konsep budaya dan identiti
Biarpun konsep budaya sukar didefinisikan,1 definisi konsep tersebut oleh Edward
Tylor dianggap sebagai yang paling komprehensif lalu dijadikan asas kepada
pendefinisian budaya dalam antropologi. Menurut Tylor, budaya merupakan perkara
yang meliputi “…pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, undang-undang, adat
resam dan apa sahaja keupayaan serta tabiat yang didapati oleh seorang manusia
sebagai ahli masyarakat.”2 Dengan kata yang mudah, apa sahaja yang diketahui,
dipercayai lalu diamalkan secara praktikal dan kerap oleh sesebuah masyarakat
1 Encyclopedia of Language and Linguistics. Jil 4. “Language in Sociocultural Context”, 2001. Kenyataan tersebut adalah berasaskan tinjauan literatur beliau bahawa sehingga 1990an, tiada kata putus di kalangan ahli antropologi tentang apa yang disifatkan dengan budaya.2 “…that complex whole which includes knowledge, belief, art, morals, law, custom, and any other capabilities and habits acquired by man as a member of society” dalam Primitive Culture: Researches into the development of Mythology, Philosophy, Religion, Language, Art and Custom, London: John Murray, 1871, 1.
2
manusia dapat diistilahkan dengan budaya.
Identiti pula, menurut James D. Fearon,3 berkait dengan aspek sosial dan
peribadi. Dari aspek sosial, identiti merujuk kepada suatu kategori sosial bila mana
sekumpulan manusia diberi label tertentu dan dibezakan berdasarkan peraturan
tertentu yang sesuai dengan sifat-sifat kumpulan sosial tersebut. Manakala identiti
peribadi adalah suatu ciri atau ciri-ciri menonjol seseorang yang membezakan dirinya
dengan orang lain serta membuatkannya bangga dengan ciri tersebut. Dalam
membincangkan soal identiti, kedua-dua aspek; sosial dan peribadi, perlu diambil
kira.4 Ini memberi implikasi bahawa apabila mengupas tentang identiti agama, maka
ciri-ciri menonjol bagi individu dan masyarakat beragama tersebut harus diambil kira.
Identiti Islam dan Bezanya dengan Agama Lain
Dalam konteks agama Islam, identiti Islam adalah selari dengan ayat al-Qur’an yang
bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam (al-
silmi) secara keseluruhan (kaaffah), dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah
syaitan. Sungguh ia musuh yang nyata bagimu.”5 Wahbah Zuhayli mentafsirkan ayat
tersebut dengan mengertikan perkataan ‘al-silmi’ dalam ayat dengan maksud
penyerahan, pengikutan, perdamaian, kesejahteraan dan agama Islam. Manakala
tafsiran beliau bagi perkataan ‘kaaffah’ dibuat dengan menyebut tafsiran al-Suyuti
bahawa ia berkaitan dengan keadaan penyerahan tersebut, iaitu menyerah diri kepada
seluruh shari’at Islam.6 Beliau juga menghuraikan sebab penurunan ayat tersebut
berdasarkan riwayat dari Ibn Jarir dari Ikrimah. Menurutnya, sahabat Rasulullah
SAW, Abdullah bin Salam yang baru memeluk Islam dari agama Yahudi dan masih
membesarkan hari Sabtu iaitu hari ibadah bagi kaum Yahudi. Abdullah meminta agar
Rasulullah SAW membiarkan beliau terus berjaga malam bagi tujuan ibadah pada
hari tersebut memandangkan Taurat juga adalah kitab Allah, lalu turunlah ayat ini.7
Zuhayli menghuraikan lagi tafsirannya dengan menegaskan tentang keperluan untuk
mematuhi ajaran Islam secara keseluruhan dengan menunaikan semua perintah Islam
3 Beliau merupakan seorang Profesor dari Jabatan Sains Politik, University of Stanford. 4 James D. Fearon, What is Identity (As We Now Use the Word)? (Stanford: University Stanford, 1999), 2. https://web.stanford.edu/group/fearon-research/cgi-bin/wordpress/wp-content/uploads/2013/10/What-is-Identity-as-we-now-use-the-word-.pdf5 Surah Al-Baqarah: 208. 6 Wahbah Al-Zuhayli, Al-Tafsir al-Munir. Vol 1. Edisi 9. (Damshik: Dar al-Fikr, 2008), 201. 7 Ibid., 203.
3
yang asas dan yang cabang, tanpa ada campur aduk dengan ajaran lain, atau
memperkecilkan skop ajaran Islam kepada aspek tertentu sahaja.8
Pedoman ayat al-Qur’an di atas menunjukkan bahawa isu identiti agama yang
dihadapi oleh Islam dan Kristian agak berbeza kerana memeluk Islam menuntut
seseorang meninggalkan kepercayaan agama sebelumnya secara keseluruhan. Namun
kajian Jonathan A. Seitz menyatakan adanya dualisme agama (religious dualism) di
kalangan penganut Kristian apabila seorang penganut ajaran itu mengekalkan
kepercayaan lama. Jonathan membincangkan erti religious dualism ini sebagai sejenis
pengemulsian peribadi atau agama di mana dua sistem dicampur adukkan, dengan
menafikan integrasi sepenuhnya.9 Beliau menerangkan lagi bahawa proses ini
dianggap positif bagi sebahagian ilmuwan Kristian memandangkan ia membenarkan
integrasi sistem-sistem yang berbeza. Bagi yang lain pula, ia dianggap sebagai
kegagalan kerana identiti tersebut tidak harmoni, sebaliknya cuma cabang baru
tercipta daripada agama lama.10
Dinamisme Tahap Ilmu, Iman dan Amal dalam Pembentukan Identiti Muslim
Meskipun identiti Muslim tidak mengalami dualisme agama, persoalan identiti
Muslim sering menjadi perbincangan yang tidak pernah putus kerana pembentukan
identiti Muslim melibatkan proses yang bertahap dan berterusan.11 Untuk sampai
kepada identiti Muslim yang mengamalkan ajaran Islam secara lengkap, persoalan
ilmu dan keyakinan atau iman dianggap sebagai asas yang paling utama kerana
konsep ilmu dan iman berkait rapat dengan amalan yang sifatnya praktikal. Dalam hal
ini Yusuf al-Qaradhawi menghuraikan kaitan ilmu dengan iman bahawa ilmu dan
iman berjalan seiringan seperti yang disebutkan dalam al-Quran di banyak tempat
umpamanya pada Surah al-Rum, ayat ke-4 dan Surah al-Mujadilah, ayat ke-11. Beliau
juga menjelaskan bahawa “ilmu adalah imam kepada amal”.12 Perbezaan tahap ilmu
akan membuatkan perbezaan dalam amalan Islam. Begitu juga keadaan iman
seseorang memberi impak kepada pengamalan ajaran Islam walaupun beliau
8 Wahbah Al-Zuhayli, Al-Tafsir al-Munir. Vol 1, 204. 9 Jonathan A. Seitz, “Religious Dualism and the Problem of Dual Religious Identity” dalam Buddhist-Christian Studies, 35 (2015), 50. 10 Ibid.11 Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti, Fiqh al-Sirah, terjemahan Mohd Darus Senawi, Jil. 1, (Selangor: Dewan Pustaka Fajar, 2003), 115-118.12 Yusuf Al-Qaradawi, Fi al-Tariq ila Allah: Al-Hayah al-Rabbainiyyah wa al-’Ilm. (Kaherah: Maktabah Wahbah, 1995), 83-85.
4
mempunyai ilmu yang cukup tentang amalan tersebut.
Disebabkan tahap penguasaan ilmu yang berbeza dan keadaan iman yang
tidak statik, pengamalan agama yang dinatijahkan juga berbeza. Dalam sebuah kajian
antropoloji di German, pemerhatian Synnøve K.N. Bendixsen menunjukkan bahawa
identiti Muslim remaja di German agak kompleks. Remaja Muslim di negara majoriti
bukan Muslim itu didapati terpengaruh dengan gaya dan gurauan masyarakat yang
tidak begitu selari dengan ajaran dan amalan Islam. Budaya dan amalan sebegitu
dilihat sebagai tidak elok dalam perhimpunan keraian komuniti Muslim di German
yang terdiri daripada pelbagai bangsa termasuk Turki dan Pakistan. Oleh yang
demikian, terdapat remaja yang menyorokkan perbuatan tersebut dari ruangan sosial
yang memungkinkan mereka dianggap tidak Islamik supaya tidak dipandang serong.13
Dalam konteks Malaysia dewasa ini, terdapat rungutan daripada segelintir
masyarakat Muslim Malaysia yang menganggap diri mereka dituduh sebagai ‘tidak
cukup Muslim’. Laporan akhbar MediaCorp bertarikh 20 Julai 2017 menyebut
beberapa kes yang melibatkan individu wanita yang berpakaian tertentu lalu ditegur
pensyarahnya, penguatkuasaan kod pemakaian di sesetengah bangunan kerajaan,
kritik pihak berkuasa agama terhadap pakaian ahli gimnastik Sukan SEA -Farah Ann
Abdul Hadi, menu ‘pretzel dog’ Auntie Anne yang tidak mendapat sijil halal JAKIM
serta pengharaman permainan Pokemon Go oleh Mufti Wilayah. Laporan tersebut
menganggap adanya perbuatan ‘pemantauan moral’ dan mengaitkannya dengan
konservatisme.14 Jelasnya, laporan ini menunjukkan bahawa perbezaan pengamalan
Islam mendapat respon yang pelbagai di kalangan masyarakat Muslim terutamanya
autoriti agama seperti pegawai dan imam masjid serta mufti. Penulis menganggap
bahawa label ‘konservatif’ tersebut juga tidak adil terhadap mereka yang mempunyai
ilmu yang lebih tinggi tentang pengamalan Islam namun kurang berhikmah dalam
menyantuni Muslim lain.
Faktor-faktor memeluk Islam
13 Synnøve K.N. Bendixsen, “Trajectories of Religious Acts and Desires: Bargaining with Religious Norms and Ideals” dalam The Religious Identity of Young Muslim Women in Berlin: An Ethnographic Study. (T.T: Brill, 2013), 183-185.14 https://berita.mediacorp.sg/mobilem/dunia/tidak-cukup-muslim-warga-m-sia-bergelut-dengan-identiti-muslim/3533042.html
5
Membincangkan tentang faktor pengislaman, terdapat beberapa faktor yang menjadi
pendorong kepada seseorang bukan Muslim untuk memeluk Islam. Menurut Scott
Flower, faktor-faktor memeluk Islam di Papua New Guinea (PNG) adalah disebabkan
globalisasi di mana usaha dakwah berjalan serentak dengan peranan media.15 Media
telah berperanan penting dalam mempromosi agama lain sebagai alternatif kepada
Kristian kepada masyarakat tersebut. Dalam konteks Islam, Flower menyebut fakta
kajian beliau terdahulu bahawa liputan media tentang peristiwa 911 di Amerika
Syarikat menyebabkan lebih ramai masyarakat bukan Islam memeluk Islam.16 Di
samping liputan media, berlaku juga aktiviti dakwah yang semakin rancak dari
pendakwah negara luar ke PNG. Pemelukan Islam berlaku hasil daripada usaha
pertemuan perseorangan pendakwah dengan mad’unya. Menurut data beliau, 75%
daripada 73 responden di kalangan mualaf yang ditemuramah dari tahun 2007 hingga
2011 berkongsi bahawa interaksi mereka dengan pendakwah merupakan antara
pengaruh terbesar mereka memeluk Islam. Kebanyakan daripada pendakwah yang
pergi ke PNG terdiri daripada golongan Sunni dari kumpulan tabligh atau dikenali
sebagai Jamaat al-Tablighi. Mereka adalah dari kalangan penduduk Australia yang
bermastautin di Sydney dan Melbourne yang rata-ratanya berasal dari Pakistan, India
dan Bangladesh.17
Suraya Sintang pula membetulkan persepsi umum bahawa perkahwinan
merupakan sebab utama memeluk Islam di kalangan mualaf. Sebaliknya, tema utama
ajaran Islam yang bersifat rasional adalah faktor utama pemelukan Islam tersebut.
Kajian beliau telah menggunapakai kaedah analisa data utama dan sekunder dari
naratif biografi mualaf. Data kajian beliau menunjukkan bahawa rata-ratanya mualaf
berpandangan bahawa di sebalik amalan spiritual serta ajaran praktikal Islam, terdapat
maksud yang bersifat rasional. Hubungan antara aspek rasional ini dengan aspek
spiritual dan ajaran praktikal ini memudahkan mualaf untuk membuat keputusan
dalam memilih agama. Ia juga membantu memotivasikan mualaf untuk
mempraktikkan Islam setelah memeluk Islam.18
15 Scott Flower, “Conversion to Islam in Papua New Guinea: Preserving Traditional Culture against Modernity’s Cargo-Cult Mentality” dalam Nova Religio: The Journal of Alternative and Emergent Religions, Vol. 18, No. 4 (May, 2015), 56.16 Flower, ‘‘The Growth of Islam in Papua New Guinea: Implications for Security and Policy,’’ Ph.D. diss., Australian National University, 2010. 17 Flower, ‘‘Growth of Islam in Papua New Guinea,’’ 232–241.18 Suraya Sintang dan Khadijah Binti Mohd Hambali @ Khambali “Rational factors in the spiritual journey of embracing Islam” dalam Journal of Advanced Research in Social and Behavioural Sciences 5, Isu1 (2016), 56-67.
6
Komitmen dan Cabaran Mualaf Malaysia
Menyentuh berkenaan identiti Islam mualaf, suatu kajian kes ke atas empat mualaf
telah dibuat oleh Titian Hakiki dan Rudi Cahyono di Indonesia. Kajian mendapati
bahawa komitmen beragama mualaf yang dikaji meliputi tiga aspek iaitu ilmu, amalan
dan usaha untuk mempertahankan agama. Bagi aspek pertama iaitu ilmu, kajian
mendapati bahawa mualaf yang dikaji mempunyai ilmu tentang iman kepada Allah
tetapi kurang ilmu dalam doktrin mengenai perkara ghaib yang lain. Bagi aspek
amalan mualaf, mereka umumnya dilihat taat menjalankan ibadah wajib walaupun
ada rasa malas dan jemu. Namun ada juga yang meninggalkan ibadah wajib pada
situasi tertentu atau kurang melaksanakan ibadah sunnah. Mereka juga didapati
memilih makanan yang halal tetapi tidak bersedia menutup aurat. Bagi aspek
mempertahankan agama, mualaf dilihat konsisten dalam mempelajari ilmu agama di
samping menyatakan komitmen untuk terus hidup sebagai Muslim. Terdapat faktor
pendorong yang memberi semangat mualaf mempelajari agama iaitu tokoh agama
yang menarik.19
Dalam konteks Malaysia, kajian menunjukkan adanya kompleksiti dalam
hubungan di antara identiti bangsa dan identiti agama mualaf. Rekod perbualan
bersama Puan Nur Hidayah Abdullah yang dikongsikan oleh seorang aktivis dialog,
Uthaya Sankar menggambarkan isu ini di kalangan mualaf berbangsa Cina. Istilah jip
huan yang bermaksud ‘masuk Melayu’ sering digunakan masyarakat Cina Hokkien
yang salah faham dengan identiti mualaf berbangsa Cina. Dalam catatan blog yang
berkenaan, Puan Hidayah turut berkongsi tentang budaya Cina yang diterapkan
kepada anak-anaknya termasuklah makan menggunakan kayu penyepit.20 Secara
umumnya, dapat disimpulkan bahawa adanya ruang budaya dan amalan bangsa yang
boleh saja diamalkan oleh mualaf setelah memeluk Islam asalkan budaya tersebut
tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Lain pula halnya dengan mualaf berbangsa India di Malaysia berdasarkan
kajian Razaleigh dan Salawati.21 Tidak ramai pendakwah yang mampu berbahasa
Tamil untuk mendidik dan menyantuni mualaf India ini. Pendakwah dari kalangan
19 Titian Hakiki dan Rudi Cahyono, “Komitmen Beragama pada mualaf (Studi Kasus pada mualaf Usia Dewasa)” dalam Jurnal Psikologi Klinis dan Kesehatan Mental, Vol. 4 No. 1, April 2015, 20-28. 20 http://uthayasb.blogspot.com/2013/04/hidayah-bangga-kekal-cina.html 21 Razaleigh Muhamat @ Kawangit dan Salawati Saringat “Dakwah Among Indian Mualaf in Malaysia” dalam Islamiyyat, 36, no. 2 (2014): 91 - 96.
7
mualaf India sendiri agak sibuk dengan urusan menyara hidup masing-masing
sehingga kekurangan masa untuk turun padang. Disebabkan kurangnya penerusan
usaha dakwah untuk menyantuni mualaf berbangsa India di Malaysia, golongan ini
didapati sukar menyesuaikan diri di Malaysia di kalangan masyarakat Muslim yang
didominasi oleh majoriti Melayu Muslim. Mualaf India merasakan mereka sering
dilihat berbeza dengan Muslim lain. Ini menyebabkan aktiviti mereka hanya terhad
kepada aktiviti dalaman sesama mereka sahaja.22
Suraya Sintang menyatakan bahawa mualaf menghadapi dilema yang
dinamakan double marginality di mana berlaku penyisihan apabila mereka berada di
kalangan kedua-duanya - Muslim mahupun penganut agamanya yang terdahulu.
Bagaimanapun, menurutnya, mualaf akhirnya mampu menangani situasi tersebut serta
dapat menjaga hubungan yang harmoni dengan keluarga bukan Islam mereka.
Demikian juga, mualaf akhirnya dapat mengadaptasi dengan baik dengan Muslim
yang lain.23
Beberapa Faktor yang Melerastikan Identiti Mualaf
Meskipun terdapat cabaran dalam hubungan mualaf dengan keluarga asalnya setelah
memeluk Islam, mualaf Cina di Terengganu pula mempunyai suatu keistimewaan
tersendiri dalam berinteraksi dengan masyarakat Cina Muslim dan bukan Muslim
sekeliling mereka iaitu menerusi dialog kehidupan berhikmah.24 Menurut Azarudin
dan Khadijah, dialog berhikmah menekankan perpaduan dan integrasi antara Muslim
dan bukan Muslim. Dialog jenis ini merujuk kepada dialog kehidupan atau interaksi
harian mualaf dengan keluarga asal mereka yang bertunjangkan ciri hikmah atau
kebijaksanaan. Melalui dialog berhikmah ini, pelbagai amalan kebaikan ditekankan
seperti berbuat baik kepada ibu bapa melalui nada percakapan yang lembut serta
amalan memberi hadiah. Responden kajian tersebut yang terdiri daripada individu
mualaf Cina Terengganu didapati telah cuba memperbaiki hubungan dengan ahli
keluarga mereka yang telah kecewa kerana mereka memeluk Islam melalui hubungan
yang berterusan. Mereka menziarahi keluarga mereka terutamanya semasa perayaan,
22 Ibid.23 Suraya Sintang dan Khadijah Mohd Hambali @ Khambali, “Double Marginality in New Muslims’ Relationship With Born Muslims and Non-Muslims” dalam International Journal of Humanities, Arts and Social Sciences, 4, Isu 3 (2018): 104-113.24 Azarudin Awang dan Khadijah Mohd Hambali @ Khambali, “Apresiasi Dialog Kehidupan Berhikmah Komuniti Cina Muslim di Terengganu” dalam Jurnal Kemanusiaan, 24, No. 1, (2017): 1–22.
8
bukan mengasingkan diri. Seterusnya, interaksi yang kerap di antara mualaf tersebut
sering berlaku sehingga hilangnya salah faham terhadap Islam dan amalan Islam.
Pelbagai aktiviti yang tidak menimbulkan sentimen dilakukan bersama. Jika keadaan
membuatkan mualaf tersepit, mereka mencari alternatif seperti membawa makanan
mentah sendiri untuk aktiviti memasak bersama-sama. Di samping itu, mereka juga
turut hadir semasa upacara kematian ahli keluarga mereka sambil menjaga batasan
ajaran Islam dengan baik.25 Kajian berkenaan mualaf Cina di atas adalah cerminan
kepada peranan mualaf sebagai agen dialog antara agama. Menurut Suraya Sintang
dan Khadijah, mualaf berpotensi menjadi penghubung dengan bukan Muslim bagi
meluruskan kefahaman mereka tentang agama Islam. Di sini mualaf dilihat sebagai
agen dialog non elitis yang sentiasa terdedah kepada interaksi seharian dengan
Muslim dan bukan Muslim.26
Adaptasi mualaf juga turut dibantu oleh toleransi etnik dan toleransi agama
keluarga mualaf. Suraya Sintang menyatakan bahawa toleransi keluarga dalam aspek
tersebut membentuk budaya toleransi sesuatu masyarakat. Budaya toleransi
masyarakat akan mewujudkan interaksi yang menyokong bagi mualaf mengamalkan
budaya Islam yang baru baginya.27
Objektif dan persoalan kajian
Kajian ini bertujuan menjawab dua persoalan utama iaitu pertama, adakah isu
hubungan budaya dengan agama yang dibincangkan secara teori sama dengan realiti
yang berlaku? Kedua, apakah faktor yang melestarikan dan menghalang kelestarian
identiti Muslim mualaf?
Metodologi Kajian
Kaedah Pengumpulan Data
25 Azarudin dan Khadijah, “Apresiasi Dialog Kehidupan Berhikmah…”, 12-14.26 Suraya Sintang dan Khadijah Mohd Hambali @ Khambali “Saudara Baru dan Peranannya dalam Dialog antara Agama” dalam MANU 20 (2014): 109-126.27 Suraya Sintang et al. “The Culture of Tolerance in Families of New Muslims Convert” dalam Middle East Journal of Scientific Research 15, no. 5 (2013): 674.
9
Kajian ini telah menggunakan kaedah temubual mendalam (in-depth interview) bagi
pengumpulan data. Menurut Calen Boyce dan Palena Neale,28 kaedah ini bersesuaian
bagi mendapatkan pandangan yang terpeinci dan mendalam dari seseorang tentang
suatu isu yang memerlukan gambaran lengkap dan menyeluruh. Tempoh masa yang
digunakan adalah sekitar 60 minit bagi setiap peserta kajian. Dalam temubual ini,
soalan-soalan yang ditanya adalah berkisar tentang pengalaman peribadi sebagai
saudara baru dan juga pengalaman sebagai aktivis dakwah masyarakat bukan Islam.
Peserta kajian ditanya berkenaan persoalan utama bab ini yang memfokuskan pada
budaya yang membantu dan menghalang kelestarian identiti Muslim mualaf. Apabila
jawapan yang diberikan memerlukan penjelasan lebih mendalam, soalan-soalan lain
yang berkaitan turut ditanya bagi memperjelaskan konteks kes. Ini bagi mendapatkan
keterangan lebih lanjut berkenaan faktor-faktor sekeliling yang mungkin berkaitan
dengan isu kelestarian identiti Muslim mualaf.
Peserta Kajian
Peserta kajian terdiri dari lima orang aktivis dan jurulatih yang terlibat dalam dakwah
kepada bukan Muslim dan saudara baru di Malaysia. Mereka ialah:
1. Tuan Haji Kamarul Zaman bin Noor Mohamed, Pengerusi Hidayah Centre,
Hulu Selangor. (Dikenali, dan dalam tulisan ini disebut, sebagai Cikgu
Kamarul Zaman)
2. Encik John Selvaraj Edasiar, Pengurus, Interactive Da’wah Training &
Enterprise. (Dalam tulisan ini disebut sebagai Encik John)
3. Encik Mohammad Fakhrulrazi bin Mohd Fadil, Pegawai Eksekutif, Jabatan
Saudara Baru, Hidayah Centre Foundation. (Dalam tulisan ini disebut sebagai
Encik Fakhrul)
4. Encik Ben Ooi Chooi Beng, Penyelaras Program, Interactive Da’wah
Training & Enterprise, Pulau Pinang. (Dalam tulisan ini disebut sebagai
Encik Ben)
5. Puan Nur Farah Ain Leong Abdullah, Unit Ukhuwwah, Pusat Dakwah
Islamiah Paroi, Seremban. (Dalam tulisan ini disebut sebagai Puan Farah)
28 Carolyn Boyce dan Palena Neale,“Conducting In-Depth Interviews: A Guide for Designing and Conducting In-Depth Interviews for Evaluation Input” dalam Pathfinder International Tool Series for Monitoring and Evaluation – 2 Mei 2006.http://www2.pathfinder.org/site/DocServer/m_e_tool_series_indepth_interviews.pdf
10
Selain Encik Fakhrul dan Cikgu Kamarul Zaman, semua peserta kajian ini sendiri
merupakan mualaf. Setelah memeluk Islam, mereka mengambil bahagian penting
dalam penganjuran program, ceramah-ceramah agama, motivasi, proses pengajian,
kaunseling dan pelbagai aktiviti lain yang melibatkan saudara baru di Malaysia.
Analisa data
Setelah proses transkripsi dilakukan, data dianalisa melalui kaedah tematik secara
manual. Melalui kaedah ini, keterangan peserta kajian yang mempunyai isi yang sama
dikategorikan di bawah topik yang sama. Setiap perincian yang berbeza dikumpulkan
di bawah topik tersebut bagi memperkayakan dapatan kajian.
Dapatan
Hasil temubual ini dinukilkan dalam tema-tema kecil seperti dalam perbincangan
berikutnya. Ia dirumuskan dari transkripsi temubual dan disusun berdasarkan
kesamaan isi kandungan temubual, bukan berdasarkan kronoloji kandungan setiap
temubual secara terpisah.
Apabila tabiat bertukar menjadi budaya
Hasil temubual dengan aktivis dakwah bukan Muslim mendapati bahawa persoalan
budaya mualaf sering dikaitkan dengan tabiat yang sedia ada dalam diri mereka.
Encik John dan Cikgu Kamarul Zaman mengaitkan budaya dengan menyebut
beberapa tabiat yang tidak selari dengan ajaran Islam seperti berjudi, minum arak dan
memakan makanan haram. Ini memberi indikasi bahawa perbuatan yang diulang akan
bertukar menjadi tabiat, manakala tabiat-tabiat seharian mampu membentuk budaya
seseorang.
Puan Nur Farah Ain pula mengaitkan nilai akhlak dengan budaya. Menurut
beliau, terdapat beberapa nilai akhlak dari bangsa Cina yang mulia seperti menepati
janji dan masa. Ini selari dengan ajaran Islam dan sangat baik jika terus diamalkan.
Ujar beliau lagi, ungkapan insyaAllah tidak sewajarnya dilantunkan dalam konteks
janji yang tidak dapat dipenuhi, sebaliknya itu merupakan ungkapan yang
menunjukkan tekad dan kesungguhan untuk memenuhi janji.
Encik Fakhrul menyatakan bahawa sememangnya proses memeluk Islam
akan memberi kesan kepada tabiat dan cara hidup seseorang. Contohnya, jelas beliau,
11
selepas masuk Islam, seseorang Muslim dituntut untuk menunaikan solat sebanyak
lima kali sehari semalam. Ini memberikan kejutan budaya bagi sebahagian mualaf.
Transisi perubahan dari gaya hidup lama kepada gaya hidup baru akan memakan
masa yang berbeza-beza bergantung kepada individu. Sekiranya individu tersebut
bersedia dididik dalam kelas-kelas pengajian asas Islam, proses tersebut lebih mudah
berlaku. Dengan adanya kefahaman tentang kepentingan menutup aurat, misalnya,
maka pemakaian hijab lebih mudah dan cepat berlaku. Ini berbeza halnya dengan
mualaf yang suka menyendiri tanpa mengikuti kelas, atau mempunyai pasangan yang
menghalang atau tidak menggalakkan mereka untuk mengikuti kelas-kelas pengajian
atau mendapatkan bimbingan.
Tabiat Lama Terbawa-bawa Bergantung kepada Sebab Memeluk Islam
Bercakap berkenaan hubungan antara faktor masuk Islam dengan tabiat yang
diamalkan mualaf, Cikgu Kamarul Zaman membahagikan isu ini kepada dua yang
utama. Pertama, mereka yang memeluk Islam disebabkan kajian atau kesedaran diri.
Golongan ini lebih mudah berubah menurut ajaran Islam. Kedua adalah golongan
yang memeluk Islam atas sebab-sebab lain selain kesedaran. Sebab-sebab lain ini
termasuklah perkahwinan dan inginkan keistimewaan seperti bantuan kewangan.
Menurut beliau, golongan kedua ini agak sukar berubah dan sering membawa tabiat-
tabiat lama yang tidak Islamik setelah menganut Islam.
Temubual bersama aktivis dakwah juga menemukan beberapa faktor lain
yang menarik perhatian pengkaji. Ada di kalangan bukan Muslim yang memutuskan
untuk memeluk Islam bagi membebaskan diri daripada hutang. Menurut Encik John
dan Puan Farah, ada di kalangan saudara baru yang mendakwa mendapat maklumat
tentang peranan Baitul Mal memberi tawaran untuk membantu melangsaikan hutang
saudara baru.
Apa yang memeranjatkan ialah selain faktor tersebut, terdapat juga segelintir
saudara baru yang memeluk Islam untuk memudahkan proses penceraian dengan
pasangan bukan Islam sebelum ini. Encik John mengulas bahawa terdapat mualaf
yang merasakan bahawa proses penceraian dengan pasangan bukan Islam sebelum
masuk Islam lebih cepat diuruskan oleh mahkamah Malaysia berbanding penceraian
biasa. Kes penceraian lazimnya adalah disebabkan konflik atau ketidakserasian yang
berlaku di antara kedua-dua orang pasangan ini. Faktor ingin bercerai sebagai sebab
12
memeluk Islam juga diperkuatkan lagi apabila ada di kalangan pasangan yang
mempunyai hasrat untuk tidak berkongsi harta benda dengan bekas pasangan. Hasrat
tersebut timbul disebabkan hubungan tegang di antara kedua-dua pasangan terlibat.
Memeluk Islam dipilih sebagai langkah untuk ‘membekukan’ atau ‘menjaga’ harta
tersebut daripada jatuh ke tangan pasangan yang dicerai kerana mualaf memahami
bahawa Islam hanya membenarkan pemberian harta kepada bukan Muslim dalam
jumlah yang minima.
Berdasarkan temubual kajian ini, didapati bahawa faktor-faktor penganutan
Islam oleh saudara baru sangat mempengaruhi gaya hidup setelah memeluk Islam.
Seperti yang dikongsikan Cikgu Kamarul Zaman, golongan saudara baru yang
memeluk Islam kerana kesedaran intrinsik atau kerana ilmu yang diperoleh sebelum
memeluk Islam lebih cenderung untuk merubah gaya hidup yang selari dengan ajaran
Islam. Perubahan gaya hidup berkenaan berkemungkinan sudah pun berlaku sebelum
memeluk Islam melalui pembacaan-pembacaan atau pengalaman berinteraksi dengan
Muslim. Kadangkala, terdapat juga mualaf yang telah pun serasi dan sebati dengan
gaya hidup Muslim kerana mempunyai kecenderungan secara naluri. Ini memudahkan
lagi adaptasi mereka setelah memeluk Islam.
Sebaliknya, perubahan gaya hidup mualaf yang memeluk Islam bukan kerana
kesedaran diriatau ilmu, pelbagai keadaan akan berlaku pada perubahan gaya hidup.
Memeluk Islam disebabkan perkahwinan adalah lebih komplikated lagi. Dalam hal
ini, ilmu dan pengamalan gaya hidup Islam pasangan, usaha pasangan untuk
membimbing mualaf yang dikahwini, kefahaman dan amalan Islam mertua dan ipar
duai mualaf, kualiti interaksi atau keakraban keluarga pasangan serta sikap
mengambil berat terhadap mualaf berkenaan memainkan peranan.
Berdasarkan pengalaman Cikgu Kamarul Zaman, terdapat kes yang
melibatkan mualaf yang tidak dibimbing pasangan serta tidak diberi pendedahan ilmu
asas Islam dari mana-mana pihak. mualaf sebegini kebiasaannya tidak mengendahkan
gaya hidup sebagai Muslim dan hanya memeluk Islam sebagai satu proses formal
untuk mengesahkan perkahwinan berdasarkan undang-undang di Malaysia.
Selain sebab perkahwinan, sebab-sebab seperti mendapat insentif dari pihak
berkuasa agama, melangsaikan hutang atau memudahkan proses penceraian dengan
pasangan sebelum Islam tidak dapat menjamin perubahan dan adaptasi dalam tabiat,
budaya serta gaya hidup seseorang mualaf. Sebagai contoh, tabiat meminum arak,
berjudi dan memakan makanan haram tetap diteruskan setelah memeluk Islam kerana
13
tiada erti khusus memeluk Islam bagi sesetengah mualaf. Golongan ini hanya dikaburi
oleh matlamat sampingan yang ingin dicapai maka mereka tidak mengendahkan peri
pentingnya menuntut ilmu atau mendapatkan bimbingan sebagai penganut Islam yang
baru. Keadaan ini diburukkan lagi dengan persekitaran yang tidak kondusif dalam
memupuk budaya Islam dalam pengamalan mualaf. Secara umumnya dapat
dirumuskan bahawa faktor yang mendorong memeluk Islam dapat mempengaruhi
keadaan sama ada tabiat atau budaya lama yang tidak cocok dengan ajaran Islam tetap
diteruskan, dimodifikasi atau ditinggalkan selepas menjadi Muslim.
Tabiat dan Budaya Mampu diubah Walau Apapun Niat Memeluk Islam
Walaupun beberapa sebab lain selain ilmu dan kesedaran diri disebutkan sebagai
faktor memeluk Islam dan faktor ini berkait rapat dengan perubahan tabiat dan budaya
setelah masuk Islam, ini tidaklah bermakna mualaf yang memeluk Islam atas sebab-
sebab selain ilmu dan kesedaran diri tidak boleh berubah menjadi lebih baik. Puan
Nur Farah Ain memberi bukti kukuh bagi perkara ini kerana beliau sendiri pada
mulanya memeluk Islam hanya untuk berkahwin. Namun, kelas-kelas yang diikuti
beliau telah menambah pengetahuan dan kesedaran beliau tentang erti menganut
Islam. Sejak itu, berlakulah perubahan sedikit demi sedikit. Sejak 2013 hingga kini,
beliau terlibat sebagai sukarelawan di Pusat Dakwah Paroi Negeri Sembilan. Antara
skop tugasan beliau termasuklah pergi ke 40 buah rumah mualaf di Senawang setiap
bulan bagi tujuan mengajar Iqra’, asas fardu ‘ayn, menjaga kebajikan, serta memberi
kaunseling dan nasihat kepada mereka.
Pengalaman Encik John juga tidak jauh berbeza dengan Puan Farah. Beliau
pada awalnya memeluk Islam kerana berkahwin dan telah berputus asa seketika
dengan Islam setelah itu. Ini disebabkan semangat beliau untuk belajar terpaksa
ditangguhkan kerana tuntutan pekerjaan. Setelah masa berlalu, terdapat kepayahan
untuk mencari guru dan suasana yang sesuai untuk belajar. Namun, perubahan besar
berlaku setelah beliau bertemu dengan Encik Lim Jooi Soon, pengasas Interactive
Dakwah Training (IDT) yang memberi keterangan padu serta menjawab persoalan
yang dikemukakan dengan hujjah yang bersesuaian dengan gaya fikirannya. Sejak itu,
beliau dapat memenuhi keperluan inteleknya melalui sistem dakwah IDT lalu beliau
sendiri kini sibuk menguruskan program-program untuk mualaf.
Dalam hal bersangkutan pembimbing, Cikgu Kamarul Zaman secara
14
konsisten menekankan tentang peri pentingnya seorang pembimbing yang dapat
berdamping dengan mualaf. Beliau juga turut menekankan tentang peranan Muslim di
sekitar mualaf dalam membimbingnya dan memberi saluran sesuai untuk mengikuti
kelas-kelas bimbingan. Melalui kelas-kelas bimbingan yang mengajar tentang asas-
asas Islamlah ilmu berkenaan Islam dapat disampaikan. Ini memangkin perubahan
tabiat, sikap dan budaya sedikit demi sedikit sehingga mualaf mampu berdikari,
berjiwa kental dan beriltizam dengan pegangan akidah Islam biar apa pun yang
melanda kehidupannya selepas memeluk Islam.
Walaupun dalam keadaan biasa, perubahan amalan, tabiat dan budaya yang
zahir dapat dicetuskan oleh kelas-kelas asas agama, namun, Encik Fakhrul
mengingatkan tentang dilema yang dihadapi mualaf.
Memahami Dilema Identiti Muslim Seorang Mualaf
Encik Fakhrul telah berkongsi beberapa keadaan mualaf setelah memeluk Islam. Ada
mualaf yang memeluk Islam secara sembunyi-sembunyi atas pelbagai sebab. Antara
sebab yang penting ialah untuk menjaga hubungan baik dengan keluarga dan
mengelakkan timbulnya kecurigaan. Ada kes di mana mualaf dipulaukan keluarga,
dikurung atau diputuskan hubungan. Di samping itu, ada antara mualaf yang
pasangannya bukan Muslim dan terpaksa berdepan dengan risiko penceraian bila
memeluk Islam. Bagi keadaan-keadaan yang disebutkan di atas, mualaf terpaksa
berselindung daripada mengamalkan ajaran Islam secara terang-terangan. Manakala
amalan lama seperti memakan daging khinzir tidak ditinggalkan secara drastik
walaupun setelah memeluk Islam.
Sebahagian mualaf berdepan dengan dilema dari aspek keseimbangan antara
tuntutan untuk belajar asas Islam dengan usaha mencari rezeki untuk menyara hidup.
Walaupun bayaran insentif diberikan untuk mengikuti kelas-kelas fardu ain, bayaran
itu agak rendah dan kurang mencukupi. Ini menyebabkan ada di antara mualaf yang
mengambil keputusan untuk terus bekerja hingga menangguhkan proses belajar
dengan begitu lama. Adalah dikhuatiri bahawa dlam kes begini, mualaf sendiri tidak
dapat melalui proses pendidikan dan pembentukan kefahaman Islam. Berlawanan pula
halnya dengan mualaf yang menumpukan pada proses belajar sehingga tidak sempat
bekerja dan akhirnya terpaksa meminta-minta apabila tidak dapat menyara diri sendiri
dan orang lain di bawah tanggungannya. Keadaan ini semuanya akan memberi kesan
15
kepada pengamalan budaya Islam yang sebenar secara zahir.
Tabiat dan Budaya Bangsa Melayu yang Menguntungkan dan Merugikan
Cikgu Kamarul Zaman menyifatkan bahawa banyak di antara budaya dan amalan
masyarakat Melayu yang menyebabkan bangsa lain tertarik dengan Islam. Antara
tabiat dan budaya yang menarik ialah hubungan akrab antara ahli keluarga Melayu,
dan hubungan hormat menghormati antara anak dan ibu bapa seperti bersalaman
sambil mencium tangan.
Puan Farah juga berasa tertarik dengan budaya masyarakat Melayu yang tidak
suka memaksa. Pergaulan beliau dengan rakan-rakan Melayu semasa tinggal di
asrama pekerja selepas tingkatan 6 sedikit sebanyak telah mendekatkan beliau dengan
Islam. Bagaimanapun, yang menjadi titik tolak beliau memeluk Islam bukanlah
amalan bangsa Melayu tetapi ajaran Islam seperti berwudhu’, kemudian duduk
mengadap kiblat dan berpuasa yang disifatkan memberi ketenangan kepada beliau.
Menyentuh tentang beberapa cara fikir dan budaya masyarakat Melayu yang
kurang menguntungkan, Encik Ben pula menyatakan bahawa kadangkala hadiah-
hadiah seperti kopiah dan kain pelikat yang diberikan setelah memeluk Islam
berupaya menimbulkan kecurigaan ahli keluarga mualaf kepada mereka. Ada ahli
keluarga yang menyangka bahawa mualaf tersebut telah masuk Islam maka menjadi
Melayu. Walhal, kopiah dan kain pelikat hanyalah adat dan bukan kewajiban untuk
dipakai ke masjid. Yang wajibnya adalah memakai pakaian menutup aurat bagi
membolehkan seseorang menunaikan solat.
Berhubung perkara ini, Encik John menyebut insiden diskriminasi dan buruk
sangka masyarakat Melayu terhadap mualaf. Beliau menceritakan pengalaman
seorang mualaf Cina yang dirumitkan oleh orang Melayu yang melarangnya
menunaikan solat Jumaat di masjid hanya kerana tidak memakai kopiah. mualaf yang
menjadi mangsa tersebut terpaksa pulang dari masjid untuk mengambil kopiah
sehingga lupus waktu solat Jumaat. Dalam insiden tersebut, mualaf berkenaan terlebih
dahulu dicurigai kerana dianggap ‘orang kafir najis’ yang akan mencemarkan masjid.
Apabila diberitahu dengan tenang bahawa beliau Muslim dan mahu menunaikan solat
Jumaat, beliau dihalau kerana tidak memakai kopiah.
Menurutnya, ramai mualaf dari bangsa Cina dan India yang sering menjadi
mangsa masyarakat Melayu. Ada di kalangan orang Melayu Muslim yang menyusah-
16
nyusahkan mualaf dalam pendekatan mengajar Islam dan al-Quran kepada mereka.
Perkara serupa telah diakui oleh Puan Farah. Ada segelintir pengajar yang meletak
tanda aras terlampau tinggi pada mualaf, sedangkan mualaf masih baru. Ditambah
pula dengan pelat masing-masing yang dibawa dari kecil hingga dewasa, sudah
tentulah mereka menghadapi kesukaran menyebut huruf-huruf al-Quran dengan
sempurna. Semangat tersebut boleh padam dengan sikap pemaksaan secara tidak
bertahap ke atas mualaf yang baru belajar. Ini dibuktikan dengan suatu kes yang
berlaku melibatkan pasangan mualaf suami dengan isteri yang asal Muslim. Si suami
tersebut telah membuat permohonan untuk murtad disebabkan sifat isteri yang keras
dan suka memaksa sehingga pengamalan Islam dirasakan sebagai beban.
Di samping tabiat buruk tersebut, terdapat juga masyarakat Melayu yang
masih kurang ilmu sehingga ada amalan khurafat dicampur adukkan dengan Islam.
Perkara ini dikongsikan oleh Encik Fakhrul yang menyifatkan bahawa terdapat
mualaf yang menjadi keliru kerana berguru dengan orang yang salah dan akhirnya
menjebakkan mualaf dengan perbomohan walhal perbuatan itu diharamkan oleh
ajaran Islam.
Cabaran Memeluk Islam antara Bangsa Cina dan India
Menurut Encik Ben, jika dibandingkan antara bangsa Cina dan India, bangsa Cina
lebih mudah untuk dikendalikan dengan cara memecahkan persepsi negatif dan salah
faham terhadap Islam. Ini membolehkan mereka mengadaptasi dengan ajaran Islam
dengan lebih cepat. Kenyataan beliau ini disebabkan beliau sendiri berasal dari
rumpun bangsa yang sama serta lebih memahami mereka.
Pengalaman Encik Fakhrul mengendalikan mualaf juga membenarkan
kenyataan Encik Ben. Menurutnya, secara umum, masyarakat Cina di Malaysia
nampaknya lebih berfikiran terbuka terutamanya yang tinggal di kawasan bandar.
Kadangkala, keadaan ini juga disebabkan agama lama sebelumnya tidak diamalkan.
Keterbukaan masyarakat Cina Malaysia dalam menerima anggota keluarga yang
memeluk Islam dapat dilihat melalui kes keIslaman seorang mualaf yang dikendalikan
Encik Fakhrul. Semasa proses syahadah berlangsung, ayah mualaf tersebut turut sama
hadir tanpa halangan atau bantahan. Encik John mengatakan bahawa kaum Cina
bukan tidak mengendahkan langsung anak mereka masuk Islam, malah mereka juga
turut bimbang, namun kebimbangan mereka tidak begitu ketara apabila anak-anak
17
sudah menjejak usia tertentu.
Menerangkan perbezaan di antara kaum India dan Cina, Encik Fakhrul
berkata, jika seorang berbangsa India memeluk Islam, keluarganya menganggap
bahawa mualaf tersebut telah menconteng arang di muka. Ini kerana prinsip
masyarakat India adalah ‘apabila seseorang lahir sebagai India, ia mesti mati sebagai
India.’ Barangkali dalam kebanyakan kes, isu bangsa dan agama telah disalahfahami.
Encik Fakhrul memberitahu bahawa kaum India amat mementingkan hubungan
kekeluargaan, termasuk juga dengan keluarga yang lebih besar. Kenyataan Encik
Fakhrul diperkuatkan lagi dengan keterangan Encik John tentang bangsa India yang
mempunyai banyak majlis keraian yang memerlukan mereka berkumpul bersama ahli
keluarga yang lebih besar. Anak-anak dituntut berjumpa dan berziarah ibu bapa
mereka, dan ibu bapa juga sering melawat anak-anak mereka jika anak-anak tidak
pulang menziarahi mereka. Menurutnya lagi, ibu bapa berbangsa India berasa tergugat
jika anak mereka memeluk Islam kerana mereka adalah masyarakat minoriti di
Malaysia. Kerana keadaan tersebut, mereka mahu melindungi bangsa mereka dan
berasa bimbang sekiranya anak mereka memeluk Islam. Mereka takutkan kehilangan
serta beranggapan bahawa “masuk Islam bererti masuk Melayu” -suatu tagline yang
kadangkala tersemat dalam mesej-mesej ceramah ustaz-ustaz Melayu, menurut Encik
John.
Puan Farah mempunyai pengalaman yang sama dalam hal salah faham
bahawa memeluk Islam bermakna menjadi Melayu. Beliau menceritakan bagaimana
beliau pernah dihalau kerana dianggap membuang bangsa serta dipandang rendah
oleh rakan-rakan dan ahli keluarga berbangsa Cina hanya kerana beliau masih
menggunakan Bahasa Cina.
Menjelaskan Batasan Bangsa dan Agama
Sebahagian daripada aktiviti untuk menjelaskan tentang betapa Islam telah meraikan
kepelbagaian budaya bangsa telah dijalankan oleh Hidayah Centre. Antara aktiviti
tersebut ialah perarakan mualaf sempena Maulidurrasul dengan memakai pakaian
tradisional masing-masing. Menurut Cikgu Kamarul Zaman, pada hari perarakan
tersebut, mualaf berbangsa India telah memakai sari dan kurta manakala mualaf
berbangsa Cina memakai cheongsam. Bagaimanapun, pakaian tradisional tersebut
telah dimodifikasi sesuai dengan tuntutan menutup aurat menurut Islam. Aktiviti yang
18
menarik minat sekitar dua ribu orang tersebut bertujuan untuk memberi kefahaman
bahawa dengan memeluk Islam, budaya dan tradisi bangsa yang baik masih dapat
diamalkan.
Mengupas tentang perkara berkaitan sambil mengambil jalan seimbang dalam
isu ini, Puan Farah menyatakan bahawa beliau bersetuju dengan kenyataan
penceramah bebas, Dr Ridzuan Tee, dalam ceramahnya. Kenyataan tersebut adalah
berkenaan sebahagian mualaf berbangsa Cina yang dulunya tidak pun endah dengan
budaya masyarakat Cina, namun setelah memeluk Islam, terdapat unsur
‘menCinakan’ agama Islam. Beliau memberi beberapa contoh iaitu tarian singa,
budaya membakar mercun dan memakan Yee Sang. Puan Farah menerangkan bahawa
di sebalik tarian singa, ada unsur menghalau hantu-hantu dari rumah di mana keadaan
tersebut dipercayai boleh memberi keuntungan (ong). Budaya membakar mercun pula
jelas merupakan suatu pembaziran, manakala memakan Yee Sang tidaklah haram
pada zat makanan tersebut. Namun, masalah dengan amalan memakan Yee Sang
adalah ketika proses menggaul makanan tersebut sambil mengangkat setingginya.
Semakin tinggi campuran Yee Sang diangkat, dipercayai semakin banyak keuntungan
akan diperoleh. Falsafah di sebalik amalan memakan Yee Sang ini pula ialah
kepercayaan bahawa hari ke tujuh Tahun Baru Cina itu merupakan hari manusia
diciptakan. Kepercayaan-kepercayaan yang dibawa bersama budaya dan amalan-
amalan ini dikhuatiri dapat menggoyahkan akidah seorang Muslim terhadap keimanan
pada asal usul penciptaan manusia serta qadha’ dan qadar.
Begitu juga halnya dengan menziarahi kubur kaum kerabat atau nenek
moyang. Meskipun perbuatan menziarahi untuk tujuan mengingati orang yang telah
meninggal dunia itu tidak salah secara asalnya, namun terdapat juga unsur
percampuran di antara berziarah dengan pemujaan ruh-ruh si mati untuk meminta
perlindungan sambil berhubung dan bercakap-cakap dengan ruh mereka. Secara
peribadi, Puan Farah mengelak daripada menziarahi kubur nenek moyangnya kerana
percampuran unsur harus dan haram dalam perbuatan tersebut. Beliau turut bimbang
seandainya jahiliyah yang ditinggalkan akan terimbau kembali sehingga membuatkan
jiwanya yang telah Islam merasa senang dengan perbuatan lampau tersebut lalu secara
tidak sedar telah menggugat akidah.
Mazhab Shafi’i sebagai Pendekatan kepada Mualaf
19
Menjawab tentang kepentingan mendekati mualaf dengan mazhab Shafi’i, Cikgu
Kamarul Zaman mengakui bahawa sememangnya kelas-kelas bimbingan fardu ‘ayn
anjuran Hidayah Centre mengguna pakai pendekatan mazhab tersebut. Namun,
kesesuaian mengetengahkan hukum hakam berdasarkan mazhab tersebut bergantung
kepada keadaan mualaf. Jika mualaf berasa sukar, maka pada waktu tersebut,
pandangan mazhab lain boleh diambil kira bagi memastikan ajaran Islam masih dapat
diamalkan.
Encik John berpendapat bahawa kita tidak sepatutnya memaksakan mazhab
tertentu kerana realiti di Malaysia ini, banyak juga pandangan mazhab Shafi’i yang
tidak diamalkan walaupun mazhab ini merupakan mazhab rasmi Malaysia. Menurut
Puan Farah, mualaf sering dituduh Wahabi dan tak faham Islam dengan betul tanpa
usul periksa. Contohnya, ada mualaf yang tidak membaca do’a qunut sebab membaca
menghafal Surah al-Fatihah pun masih sukar, tetapi dianggap Wahabi oleh
masyarakat. Padahal, mualaf tersebut berasa susah untuk menghafal do’a qunut dan
tidak pun mengetahui adanya pelbagai mazhab seperti Hanafi, Hanbali dan
sebagainya.
Pengaruh Ibu Bapa ke atas Identiti Muslim Anak-anak
Jika ibu bapa, di mana salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya adalah
mualaf, tidak mengambil berat tentang pengamalan ajaran Islam bagi mereka sendiri,
anak-anak akan turut tercorak dengn perkara berkenaan. Terdapat beberapa kes yang
dikongsikan oleh Cikgu Kamarul Zaman yang melibatkan Melayu Muslim yang
berkahwin dengan mualaf berbangsa lain. Pasangan tersebut tidak mengendahkan
ajaran Islam dalam kehidupan mereka. Tiada dorongan untuk menuntut ilmu Islam
dari kedua-dua belah pihak apatah lagi mengamalkannya. Dengan kata lain, mereka
hanya Muslim pada kad pengenalan semata-mata. Anak-anak pula dihantar
bersekolah di sekolah jenis kebangsaan di mana terdapat jumlah minima orang
Muslim di sana. Apabila berlaku kecairan seperti ini, akibatnya akan ditanggung oleh
generasi anak-anak mereka.
Pengalaman Cikgu Kamarul Zaman menunjukkan bahawa secara kasar, anak-
anak yang membesar dalam suasana inilah yang berpotensi memohon untuk murtad.
Ini biasa berlaku apabila anak-anak ini bertemu dengan pasangan bukan Muslim lalu
ingin berkahwin. Permohonan murtad dibuat untuk membolehkan proses perkahwinan
20
berlaku dengan pasangan bukan Islam tanpa perlu pasangannya menukar agama.
Memandangkan tiada nilai agama Islam pun pada diri pemohon, murtad merupakan
jalan keluar yang difikir terbaik dan termudah bagi pemohon berkenaan tanpa rasa
berdosa. Dalam kes begini, kelestarian identiti Muslim tidak dapat dijaga.
Tabiat dan Budaya yang Dapat Melestarikan Identiti Muslim
Encik John sering menekankan tentang motivasi menuntut ilmu sebagai satu budaya
yang dapat memastikan kelestarian identiti Muslim seorang mualaf. Beliau
berpendapat bahawa budaya ilmu dapat memastikan iman dan amal seseorang Muslim
dapat dijaga. Ilmu dapat membentuk tabiat dan budaya Muslim yang sebenar.
Menurut pengalaman peribadi beliau, minat menuntut ilmu kadangkala bukan
disebabkan faktor orang sekeliling, tetapi terbit daripada dalam jiwa individu secara
semula jadi. Proses menuntut ilmu dan mencari kebenaran boleh dilakukan secara
kendiri pada zaman moden ini melalui video-video penceramah dunia yang terkemuka
seumpama Yasir Qadhi. Walaupun begitu, kehausan menuntut ilmu mualaf perlu
disambut dengan saluran atau bimbingan yang sesuai supaya peminat ilmu dan
kebenaran tidak merasa jemu atau berputus asa. Dalam hal ini, gaya seorang
pembimbing yang serasi dengan penuntut sangat dititikberatkan. Selain itu, Encik
John juga berkongsi tentang manfaat yang diperolehinya melalui perpustakaan yang
terdapat di IDT yang membolehkan beliau membuat kajian untuk menjawab
persoalan-persoalan berkenaan Islam. IDT juga ada menawarkan program Diploma
Pengajian Islam yang sangat berkesan untuk membantu mualaf.
Cikgu Kamarul Zaman pula secara konsisten menekankan peranan individu,
anggota keluarga, jiran tetangga dan masyarakat Muslim terhadap mualaf. Menurut
beliau, menjaga kebajikan serta menasihati mualaf bukan tanggungjawab pihak
tertentu semata-mata biarpun terdapat pelbagai usaha rasmi untuk membantu mereka
seperti panel dakwah Selangor dan sebagainya. Individu Muslim sebagai ahli keluarga
mertua kepada mualaf perlu cakna akan keperluan mereka secara manusiawi dan juga
bimbingan ilmu tentang Islam. Jiran tetangga mualaf dan masyarakat sekelilingnya
berperanan menghubungkan mereka dengan pihak surau dan masjid supaya kehadiran
mereka disedari dan diambil peduli.
Sebaliknya, masyarakat tidak sepatutnya mencemuh atau melabel mualaf
dengan pelbagai tanggapan buruk. Hubungan baik antara masyarakat setempat dengan
21
mualaf memberi kekuatan kepadanya untuk menjaga iman dan pengamalan agama
Islam secara konsisten walau dilanda badai ujian. Cikgu Kamarul Zaman menyebut
satu kes di mana kepekaan seorang guru sekolah telah menyelamatkan dan merubah
anak-anak mualaf yang sebelumnya tidak mengamalkan ajaran Islam. Dalam kes yang
lain, seorang datuk kanak-kanak yang ibunya mualaf telah menyelamatkan keadaan.
Kes tersebut agak kompleks kerana melibatkan ibu mualaf yang tidak endah dengan
ajaran Islam manakala bapa pula tidak bertanggungjawab. Dalam kes ini, datuknya
telah bertindak untuk mencari guru agama yang bersesuaian untuk mendidik cucu-
cucunya yang tidak pernah dididik dengan ajaran agama oleh anaknya sendiri serta
menantunya. Dapat dirumuskan bahawa Cikgu Kamarul Zaman menekankan budaya
cakna setiap Muslim di mana pun mereka terhadap satu sama lain, termasuk mualaf,
untuk melestarikan keIslaman mereka.
Puan Farah memperincikan tentang peranan masyarakat untuk memberi
sokongan kepada mualaf. Menurut beliau, mualaf adalah golongan yang sangat
sensitif kerana perubahan yang berlaku kepada diri mereka sangat besar. Pelbagai
reaksi keluarga telah dihadapi disebabkan memeluk Islam. Maka, untuk memastikan
mualaf tidak bertindak menjauhkan diri daripada Islam, masyarakat perlu
mempermudahkan urusan mereka khususnya dalam membimbing mereka. Bimbingan
yang bijaksana serta bertahap-tahap sangat penting. Pembimbing memerlukan
kesabaran yang tinggi serta bijak menyusun kata-kata kerana mualaf umumnya
merasa sukar untuk belajar serta mengambil masa yang lama untuk memahami ajaran
Islam. Aspek yang paling penting diberikan tumpuan oleh pembimbing ialah akidah
mualaf. Puan Farah juga mengingatkan supaya pembimbing tidak mendidik mualaf
untuk mengharapkan atau meminta insentif dari mana-mana pihak. Selain itu, elakkan
daripada memperbesarkan tentang perkara-perkara haram berbanding dengan perkara-
perkara halal, harus dan sunat yang ruangnya lebih luas.
Untuk kelestarian identiti Muslim mualaf, Puan Farah juga menyarankan
agar pendakwah dan pembimbing mualaf mendahulukan pembinaan aspek akidah
berbanding aspek Fiqh. Ini kerana keyakinan dan dalaman mualaf perlu terlebih
dahulu kuat sebelum berupaya memahami aspek pengamalan Islam.
Encik Ben berpendapat, budaya masyarakat yang dapat melestarikan identiti
Muslim ialah budaya saling memahami dan hormat menghormati. Menurut beliau,
walaupun berada dalam masyarakat majmuk dan terdedah dengan budaya Melayu di
Sekolah Kebangsaan itu adalah suatu bonus untuk mendekatkan dengan Islam,
22
Muslim yang patuh pada ajaran Islam sahaja yang dapat memastikan ajaran Islam
tidak disalah erti. Imej Islam sebenar dapat terjaga melalui kepatuhan Muslim kepada
ajarannya. Ini juga memastikan kelangsungan identiti Muslim pada jangka panjang.
Diskusi
Konsep budaya yang didefinisikan pakar antropologi di dalam literatur tidak jauh
daripada skop yang digambarkan oleh para aktivis dakwah yang ditemubual. Aktivis
yang ditemubual bercakap dalam skop tabiat baik dan buruk, akhlaq, amalan harian
termasuklah solat, serta pemilihan makanan dan pakaian.
Konsep bertahap dalam pengamalan Islam dalam diri individu Muslim yang
digambarkan oleh al-Buti29 juga diperkatakan oleh aktivis dakwah dalam konteks
pendekatan yang bersesuaian kepada mualaf. Dalam hal perubahan mualaf, peserta
kajian menekankan tentang peranan masyarakat dan individu Muslim dalam
membimbing mualaf secara bertahap. Penulis melihat bahawa pandangan ini adalah
pandangan pelengkap bagi maksud ayat 208 dari Surah al-Baqarah berkenaan
keperluan mengamalkan ajaran Islam secara keseluruhan.
Hubungan ilmu, iman dan amal yang dibincangkan oleh Al-Qaradawi30
sangat terserlah dalam temubual dengan semua aktivis terutamanya Cikgu Kamarul
Zaman yang menyifatkan bahawa pemelukan Islam yang disebabkan oleh ilmu lebih
cenderung untuk berubah. Peserta kajian yang lain juga berpendapat bahawa
walaupun memeluk Islam atas kesedaran dan ilmu merupakan faktor pendorong
terkuat untuk merubah amalan lama kepada identiti Muslim yang sebenar, jika mualaf
membuka diri kepada proses menuntut ilmu, rela dibimbing dan berubah, maka itu
juga dapat melestarikan identiti Muslim mereka.
Kelestarian identiti Muslim mualaf dikaitkan oleh kebanyakan peserta kajian
dengan faktor-faktor mereka memeluk Islam. Berbeza dengan kajian Suraya Sintang31
yang menunjukkan pemelukan Islam berlaku kerana rasionalnya ajaran Islam, dan
kajian Scott Flower32 ke atas mualaf Papua New Guinea disebabkan interaksi
langsung dengan pendakwah; pengalaman peserta kajian menunjukkan bahawa ramai
mualaf yang diuruskan mereka memeluk Islam kerana perkahwinan. Sebab-sebab lain
29 Al-Buti, Fiqh al-Sirah, 115-118.30 Al-Qaradawi, Fi al-Tariq ila Allah, 83-85.
31 Suraya dan Khadijah, “Rational Factors in the Spiritual Journey of Embracing Islam”, 56-67 32 Flower, “Conversion To Islam In Papua New Guinea..”, 55-82.
23
yang disebutkan mereka ialah inginkan bantuan kewangan, ingin bebas daripada
hutang, mahu mempercepatkan proses penceraian dan tidak ingin berkongsi harta
benda dengan pasangan sebelum Islam.
Cabaran mualaf diungkapkan dalam literatur secara berbeza berdasarkan
bangsa. Bangsa India yang memeluk Islam bukan sahaja dipinggirkan keluarga
namun mereka juga berasa terasing kerana tidak sampai tahap pengamalan Islam
dengan Melayu Muslim di Malaysia.33 Kaum Cina pula berdepan dengan persepsi
keluarga mereka yang menyangka bahawa mereka telah membuang identiti bangsa.34
Peserta kajian menggambarkan dilema dan cabaran yang berbeza dengan kelainan
bangsa di mana bangsa India di Malaysia yang rata-ratanya berasa rendah diri kerana
mempunyai populasi minoriti di negara ini lebih sukar menerima keIslaman anak
mereka kerana rasa terancam dan menganggap pemelukan Islam itu memalukan.
Walaupun sikap keluarga Cina agak relatif dari segi keterbukaan menerima anak yang
memeluk Islam, rungutan tentang ‘masuk Melayu’ masih kedengaran dari lisan
peserta kajian.
Faktor yang dianggap mengganggu atau membantutkan kelestarian identiti
Muslim mualaf menurut peserta kajian ialah pertama, jika individu dan masyarakat
Muslim sendiri tidak berilmu tentang ajaran Islam atau mengamalkan ajaran yang
bertentangan dengan shari’at sehingga membuatkan mualaf menyangka bahawa
amalan itu adalah Islami. Kedua, sikap Muslim yang tidak dapat membezakan prioriti
kepada amalan sehingga menyisihkan mualaf dari ruang ibadah kolektif. Ketiga, sikap
tidak serius pasangan mualaf kepada keperluan ilmu dan amalan Islam diri dan
pasangannya. Keempat, tiadanya bimbingan pasangan atau sikap keterbukaan
pasangan mualaf untuk membuka peluang mendapatkan bimbingan kepada mualaf.
Kelima, tiadanya keprihatinan Muslim sekeliling mualaf terhadap kebajikan mereka.
Sebaliknya, faktor-faktor yang dapat melestarikan identiti Muslim mualaf
menurut literatur ialah strategi mualaf dalam mendepani reaksi keluarga selepas
memeluk Islam iaitu dengan cara dialog berhikmah35 dan toleransi keluarga mualaf
dan masyarakat sekeliling.36 Secara umumnya dapat dirumuskan bahawa peserta
33 Razaleigh Muhamat @ Kawangit dan Salawati Saringat, “Dakwah Among Indian Mualaf in Malaysia”, 91 - 96.34 http://uthayasb.blogspot.com/2013/04/hidayah-bangga-kekal-cina.html & Azarudin dan Khadijah, “Apresiasi Dialog Kehidupan Berhikmah…”, 1-22. 35 Azarudin dan Khadijah, “Apresiasi Dialog Kehidupan Berhikmah…”, 14-16.36 Suraya Sintang et al. “The Culture of Tolerance in Families of New Muslims Convert”…, 669-678.
24
kajian lebih banyak memperincikan mengenai faktor kelestarian ini dalam aspek
peranan individu dan masyarakat Muslim dalam membimbing serta mempengaruhi
kelestarian identiti Muslim mualaf: Encik John menekankan budaya ilmu, Encik Ben
menekankan budaya hormat menghormati, Cikgu Kamarul Zaman menekankan
budaya prihatin manakala Puan Farah menekankan budaya hikmah dalam memastikan
kelestarian identiti Muslim mualaf.
Saranan untuk masa depan
Disebabkan sebahagian besar isu identiti mualaf Malaysia berkait rapat dengan
budaya masyarakat Muslim yang telah dilahirkan sebagai Muslim, maka penulis
berpandangan bahawa perubahan sikap masyarakat Muslim sangat penting. Antara
sikap yang perlu dipupuk secara berterusan dalam pembentukan budaya sihat
masyarakat Muslim ialah pertama, sentiasa rasa mahu belajar sebelum menghukum.
Ini sangat penting bagi memahami prioriti amalan Islam. Kedua, sudah tiba masanya
masyarakat Muslim merasakan urgensi untuk merubah sikap suka melabel kepada
sikap terbuka dan cuba memahami orang lain. Ketiga, sikap tanggungjawab untuk
membimbing dan membentuk karakter pasangan mualaf dan anak-anak mereka.
Langkah ini sangat perlu terutamanya bagi mualaf yang memeluk Islam kerana
perkahwinan. Keempat, sikap prihatin dan kepekaan masyarakat terhadap kebajikan
mualaf dan anak-anak mereka. Kelima, pemerkasaan iman dan tasawwur mualaf
tentang diri sendiri sebagai insan Muslim mulia, yang punya jati diri dan pertolongan
Allah walau di mana pun persekitaran mereka.
Bibliografi
Al-Quran dan Terjemahannya. Pustaka Darul Iman, t.t.
Apte, Michael. “Language in Sociocultural Context” dalam Encyclopedia of Language and Linguistics. Vol 4. Disunting oleh Ron Asher. Oxford: Pergamon Press, 1993.
Azarudin Awang dan Khadijah Mohd Khambali @ Hambali. “Apresiasi Dialog Kehidupan Berhikmah Komuniti Cina Muslim di Terengganu” Jurnal Kemanusiaan 24.1 (2017): 1–22
25
Bendixsen, Synnøve K. N. “Trajectories of Religious Acts and Desires: Bargaining with religious Norms and Ideals” dalam The Religious Identity of Young Muslim Women in Berlin: An Ethnographic Study. T. T. Brill, 2013.
Boyce, Carolyn dan Neale, Palena. “Conducting In-Depth Interviews: A Guide for Designing and Conducting In-Depth Interviews for Evaluation Input” dalam Pathfinder International Tool Series for Monitoring and Evaluation – 2 May 2006http://www2.pathfinder.org/site/DocServer/m_e_tool_series_indepth_interviews.pdf
Fearon, James D. What Is Identity (As We Now Use The Word)? https://web.stanford.edu/group/fearon-research/cgi-bin/wordpress/wp-content/uploads/2013/10/What-is-Identity-as-we-now-use-the-word-.pdf
Flower, Scott. “Conversion To Islam In Papua New Guinea: Preserving Traditional Culture Against Modernity’s Cargo-Cult Mentality” Nova Religio: The Journal Of Alternative And Emergent Religions, 18. 4 (May., 2015): 55-82
Flower, Scott. ‘‘The Growth of Islam in Papua New Guinea: Implications for Security and Policy.’’ PhD. diss., Australian National University, 2010.
h tt ps:// b erita. m ediacorp. s g/ m obilem/ d unia/ t idak- c ukup- m uslim- w arga-m- s ia- b ergelut- d engan- i dentiti- m uslim/3533042. h tml
Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti, Fiqh al-Sirah, terjemahan Mohd Darus Senawi, Jil. 1, Selangor: Dewan Pustaka Fajar, 2003.
Razaleigh Muhamat @ Kawangit dan Salawati Saringat. “Dakwah Among Indian Mualaf in Malaysia” Islamiyyat 36.2 (2014): 91-96.
Sankar, Uthaya. “Hidayah bangga kekal Cina.” Uthayasb (blog). h tt p:// u thayasb. b logspot. c om/2013/04/ h idayah- b angga- k ekal- c ina. h tml
Seitz, Jonathan A. “Religious Dualism and The Problem of Dual Religious Identity” Buddhist-Christian Studies, 35 (2015): 49-55.
Suraya Sintang dan Khadijah Mohd Khambali @ Hambali. “Double Marginality in New Muslims’ Relationship with Born Muslims and Non-Muslims” International Journal of Humanities, Arts and Social Sciences 4.3 (2018): 104-113. doi: https://dx.doi.org/10.20469/ijhss.4.10001-3
_____________.“Rational Factors in the Spiritual Journey of Embracing Islam” Journal of Advanced Research In Social and Behavioural Sciences 5.1 (2016):56-67.
______________. “Saudara Baru dan Peranannya dalam Dialog Antara Agama” Manu 20 (2014): 109-126.
26
Suraya Sintang, Khadijah Mohd Khambali @ Hambali, Nurhanisah Senin, Suhaida Shahrud-Din, Nur Farhana Abdul Rahman dan Siti Hamimah Mat Zin. “The Culture of Tolerance in Families of New Muslims Convert.” Middle East Journal Of Scientific Research 15 .5 (2013): 669-678.
Titian Hakiki dan Rudi Cahyono. “Komitmen Beragama Pada Mualaf (Studi Kasus Pada Mualaf Usia Dewasa)” Jurnal Psikologi Klinis dan Kesehatan Mental 4.1 (April 2015): 20-28. http://journal.unair.ac.id/download-fullpapers-jpkk8d6c54d882full.pdf
Tylor, Edward. Primitive Culture: Researches Into The Development of Mythology, Philosophy, Religion, Language, Art and Custom. London: J. Murray, 1871.
Wahbah Al-Zuhayli. Al-Tafsir Al-Munir. Jil. 1. Edisi 9. Damshik: Dar Al-Fikr, 2008.
Yusuf Al-Qaradawi. Fi Al-Tariq Ila Allah: Al-Hayah Al-Rabbainiyyah Wa Al-’Ilm. Kaherah: Maktabah Wahbah, 1995.