web viewberdasarkan kajian sejarah mendapati islam telah bertapak dan berkembang di tanah melayu...
TRANSCRIPT
PENGARUH ISLAM TERHADAP MASYARAKAT MELAYU
KANDUNGAN
1. Pendahuluan
2. Penyebaran Islam di Tanah Melayu
3. Pengaruh Islam ke atas Masyarakat Melayu
4. Islam semasa Penjajahan Inggeris
5. Kesimpulan
Rujukan
0
1. Pendahuluan
Berdasarkan kajian sejarah mendapati Islam telah bertapak dan
berkembang di Tanah Melayu sejak sekian lama. Pelbagai teori dan hujah telah
dikemukakan oleh sarjana-sarjana tempatan dan Barat berhubung tarikh
kedatangan awal Islam di Tanah Melayu. Namun yang penting Islam telah
bertapak di beberapa buah negeri dan diterima baik oleh masyarakat Melayu.
Islam dikatakan mula berkembang apabila kerajaan Melayu Melaka bertindak
menyebarluas pengaruh Islam di seluruh Tanah Melayu.
Kedatangan Islam telah membawa suatu pembaharuan kepada
kehidupan masyarakat Melayu yang sama sekali berbeza dengan sebelumnya
iaitu terbentuknya suatu peradaban baru berteraskan Islam. Pengaruh Islam
bukan sahaja berjaya merubah kepercayaan tetapi juga sosio-budaya
masyarakat Melayu dari sudut pemerintahan, pendidikan dan kebudayaan.
Namun perkembangan dan pengaruh Islam menghadapi cabaran apabila kuasa
Barat khususnya Inggeris (British) menjajah Tanah Melayu dengan mencampuri
hal ehwal pentadbiran di negeri-negeri Melayu dengan memperkenalkan
beberapa dasar bercorak sekular dan moden dalam pelbagai aspek sehingga
secara perlahan meminggirkan pengaruh Islam. Situasi ini telah membangkitkan
kesedaran orang Melayu untuk bangkit menentang penjajah menuntut
kemerdekaan demi kesinambungan peradaban Islam yang telah lama bertapak
di negara.
1
2. Penyebaran Islam di Tanah Melayu
Penyebaran Islam secara berencana dan menyeluruh di Tanah Melayu
berlaku di Melaka apabila munculnya kerajaan Melayu Melaka sebagai pusat
penyebaran Islam di samping sebagai pusat perdagangan yang terpenting di
rantau Alam Melayu. Peranan yang dimainkan oleh kerajaan Melayu Melaka
dalam menyebarkan Islam ini telah menyebabkan Islam berkembang pesat di
beberapa buah negeri jajahannya di Tanah Melayu. Oleh kerana perkembangan
dan penyebaran Islam yang dilakukan oleh Melaka ini begitu ketara dan
menyeluruh, maka tidak hairanlah kenapa sejarawan Barat beranggapan Melaka
sebagai negeri yang mula-mula menerima Islam di Tanah Melayu pada abad ke-
15M apabila rajanya yang pertama memeluk Islam pada tahun 1414M.1
Namun pandangan ahli sejarah Barat ini disanggah oleh ahli sejarawan
tempatan kerana terdapat beberapa negeri selain Melaka telah menerima Islam
lebih awal seperti Kedah, Terengganu, Kelantan dan Pahang sekitar abad ke-7
dan ke-8 Masihi.2 Namun pertapakan Islam di negeri-negeri tersebut pada waktu
itu dianggap sebagai peringkat masa tunas dan kedudukan Islam tidak kukuh
untuk berkembang. Orang-orang Islam hanya merupakan kelompok-kelompok
kecil yang hidup bersendirian dan tidak ada bukti menunjukkan usaha
pengembangan dan penyebaran Islam secara meluas dan menyeluruh di Tanah
1 Abdullah Ishak (1990), Islam Di Nusantara (Khususnya Di Tanah Melayu), Petaling Jaya: Al-Rahmaniah, hlm. 70-71.2 Mahayudin Haji Yahaya (1998), Islam Di Alam Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, hlm. 15.
2
Melayu dari negeri-negeri tersebut pada waktu itu melainkan hanya Melaka
diperakui berperanan bertindak menyebarluas Islam di rantau ini. 3
Proses pengislaman dalam kerajaan Melaka adalah lebih menyeluruh
sifatnya iaitu bermula dari pihak istana. Oleh yang demikian, proses penyebaran
agama Islam di kalangan rakyat negeri Melaka dan jajahan takluknya menjadi
meluas. Pahang, Terengganu, Johor dan Kedah adalah antara negeri yang
berjaya ditakluki Melaka dan tersebar Islam di sana. Bendahara Tun Perak4
adalah orang yang bertanggungjawab disebalik kejayaan peluasan kuasa
kerajaan Melaka dan penyebaran agama Islam ke seluruh Tanah Melayu.
Pada masa pemerintahan Sultan Muzafar Shah umpamanya, kedudukan
agama Islam semakin kukuh dan berkembang apabila baginda mempergiatkan
lagi penyebaran agama Islam menerusi kuasa politik. Dasar berbaik-baik dengan
kuasa-kuasa asing seperti Siam, Majapahit dan China yang dibuat oleh
pemerintah selepas itu, iaitu Sultan Mansur Shah, membolehkan kerajaan
Melaka menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap perkembangan Islam di
dalam dan di luar negeri. Justeru itu, Melaka menjadi sebuah pusat kerajaan
Melayu yang terbesar dan pusat penyebaran agama Islam yang terpenting di
Nusantara pada masa pemerintahan Sultan Mansur Shah. Runtuhnya kerajaan
Majapahit di Jawa adalah hasil gerakan dakwah Islam oleh Melaka.5
3 Dasuki Haji Ahmad (1986), Ikhtisar Perkembangan Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, hlm. 515.4 Bendahara Tun Perak dianggap tokoh teragung dalam sejarah Melaka kerana kejayaannya menguatkan kedudukan Melaka sebagai pusat perdagangan dan penyebaran agama Islam di samping kejayaannya meluaskan wilayah Melaka.5 Abdullah Ishak (1990), Islam Di Nusantara, hlm. 99-100.
3
Selain faktor politik dan penaklukan, penyebaran Islam di Tanah Melayu
turut disumbang oleh faktor perkahwinan, perdagangan dan gerakan dakwah
oleh golongan sufi.6 Walaubagaimana pun, faktor terpenting tersebarnya Islam
secara meluas adalah kerana agama itu sendiri di mana sifat-sifatnya dan
kandungannya adalah dengan mudah dapat mendorong orang mengikutinya.7
Sungguhpun, tarikh sebenar kedatangan Islam di Tanah Melayu masih
kabur, namun kedatangan dan penyebaran agama Islam yang berlaku di negeri-
negeri Melayu ini yang menjangkau masa yang lama dan tidak henti-henti telah
membawa pengaruh yang cukup besar dan bermakna kepada masyarakat
Melayu dari aspek pembentukan peradaban mereka.
3. Pengaruh Islam Ke Atas Masyarakat Melayu
Islam yang sampai ke Alam Melayu telah membuka satu lembaran
sejarah baharu iaitu zaman bertamadun dan berkemajuan.8 Menurut Syed
Muhammad Naquib al-Attas, Islam mempunyai pengaruh yang amat besar,
mendalam dan meluas di Alam Melayu sehingga berjaya mencabut akar umbi
pengaruh Hindu-Buddha. Kedatangan Islam bukan sahaja menandakan
kedatangan zaman baharu, bahkan permulaan suatu zaman moden di rantau ini. 6 Kassim Thukiman (2002), Malaysia: Perspektif, Sejarah Dan Politik, Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia, hlm. 36.7 Wan Abdul Kadir (1993), Analisis Sejarah Budaya Melayu, Kota Bharu: Masfami Enterprise, hlm. 35.8 Muhammad Zaki Badawi (1962), Latarbelakang Kebudayaan Penduduk-penduduk di Tanah Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 37.
4
Ujarnya, segala-galanya berpunca daripada tamadun yang dibawa oleh Islam
berasaskan kepada rasionalisme dan kebebasan cara berfikir berbanding
dengan zaman sebelumnya yang tidak berasaskan kepada rasionalisme dan
akal fikiran masyarakat dibelenggu oleh kepercayaan yang salah.9
Pandangan Syed Muhammad Naquib al-Attas ini secara tidak langsung
menolak beberapa pendapat sarjana barat yang mengatakan bahawa pengaruh
Islam di Alam Melayu itu adalah suatu yang tipis iaitu hanya kulit sahaja
sedangkan di dalamnya adalah unsur Hindu dan Buddha. Anggapan sarjana
Barat ini telah mengelirukan. Bagaimana boleh dianggap penyebaran Islam itu
secara tipis sedangkan orang-orang Melayu itu menganut dan terlibat secara
dalaman dengan Islam.10 Sebenarnya pengaruh unsur Hindu dan Buddha itulah
yang tipis kerana agama Hindu dan Buddha hanya didalami dan diamalkan oleh
golongan istana sedangkan rakyat bawahan tidak mempunyai kefahaman yang
tepat berkenaan dengan agama-agama tersebut.11
Sejak orang Melayu menerima agama Islam, dapat ditegaskan ia
mempengaruhi secara mendalam dan melibatkan keseluruhan cara hidup harian
anggota masyarakat itu dan tidak hanya pada sistem kepercayaan sahaja.
9 Syed Muhammad Naquib al-Attas (1972), Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 3-4. 10 Wan Abdul Kadir (1992), Pembinaan Tradisi Dan Budaya Ekspresif: Budaya Melayu, Petaling Jaya: Masfami Enterprise, hlm. 25.11 Syed Muhammad Naquib al-Attas (1972), Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, hlm. 12.
5
Perubahan yang berlaku ini merupakan suatu revolusi yang telah sama sekali
mengubah corak sosial dan politik masyarakat tersebut.12
Umumnya kedatangan Islam telah membawa pengaruh yang cukup besar
ke atas masyarakat Melayu sehingga mencorakkan lanskap peradaban mereka.
Pengaruh Islam ke atas masyarakat Melayu dapat dilihat pada aspek-aspek
berikut:
a. Aspek Akidah (Kepercayaan)
Kesan paling ketara dengan kedatangan Islam ke dalam masyarakat
Melayu ialah bertukar agama daripada beragama Hindu atau Buddha atau
kepercayaan animisma kepada berakidah Islam yang mentauhidkan dan
menyembah Allah s.w.t,13 di samping menyakini kewujudan malaikat, perutusan
para nabi, penurunan kitab-kitab, kewujudan hari akhirat dan ketentuan qadha
dan qadar.
Pandangan masyarakat Melayu terhadap kehidupan juga menjadi benar
iaitu semata-mata untuk beribadah kepada Allah s.w.t bukan untuk tujuan-tujuan
lain selain dari itu. Amalan berakidah tidak hanya terikat pada amalan ibadah-
ibadah yang diwajibkan sahaja tetapi juga pada setiap tindakan dan perbuatan.
12 Mohammad Redzuan Othman (2005), Islam Dan Masyarakat Melayu, hlm. 1. 13 Dasuki Haji Ahmad (1986), Ikhtisar Perkembangan Islam, hlm. 540.
6
Kefahaman tauhid yang menjadi asas akidah Islam berjaya meresap masuk ke
dalam jiwa orang Melayu sehingga sukar untuk digugat keislaman mereka.
Sebab itu, cubaan untuk menyeberluas agama Kristian oleh penjajah ke atas
orang Melayu tidak memberi kesan. Malahan sampai kini, hubungan antara
Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan.14
b. Aspek Politik dan Pentadbiran
Kesan segera pengislaman di Tanah Melayu ialah kemunculan kerajaan
Islam seperti kerajaaan Islam Melaka. Sistem politik dan pentadbiran kerajaan
Islam ini telah memperkenalkan sistem pemerintahan empayar Uthmaniyah
dengan meletakkan ‘sultan’ sebagai ketua negara dan ketua agama Islam. Di
dalam perlaksanaan pentadbiran, sultan dijadikan ‘Khalifah Allah di bumi’ dibantu
oleh golongan penasihat yang terdiri daripada alim ulama dan mufti.15 Berbeza
dengan sistem kerajaan sebelum Islam di mana golongan agama tidak
mendapat tempat yang istimewa di dalam istana.
Sultan merupakan ketua tertinggi bagi melindungi agama dan adat tetapi
tidaklah dianggap sebagai peribadi yang paling suci seperti zaman Hindu yang
perlu disembah. Sultan bertanggungjawab menjadikan agama Islam sebagai
agama rasmi negara bagi mendapat berbagai-bagai keistimewaan dan
14 Wan Abdullah bin Hj. Wan Mahmood (1997), Tamadun Islam Dan Tamadun Alam Melayu Serta Sumbangannya kepada Dunia, Shah Alam: Pusat Pendidikan Islam ITM, hlm. 223.15 Hashim Musa, ”Konsep, Latar Belakang dan Pandangan Semesta Masyarakat Melayu”, dalam Tamadun Islam Dan Tamadun Asia (2004), Cetakan ke Empat, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, hlm. 168.
7
kemudahan sama ada dari segi penyebaran, pentadbiran dan perlaksanaan
hukum-hukumnya.16
Sultan juga bertanggungjawab memperkenalkan dan melaksanakan
undang-undang berdasarkan hukum syariah Islam dalam pentadbirannya bagi
menjamin keadilan dan kesaksamaan, walaupun di dalam beberapa perkara
tidak begitu sempurna dan kurang memuaskan. Hukum Kanun Melaka dan
Hukum Laut Melaka adalah antara contoh undang-undang bertulis yang
mengandungi hukum syariah Islam yang dikuatkuasakan dan dilaksanakan di
dalam pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka. Di dalam undang-undang
berkenaan telah dicatatkan beberapa peruntukkan undang-undang mengikut
perundangan jenayah Islam seperti hukuman mencuri, membunuh, zina dan
sebagainya. Selain itu, dimuatkan juga peruntukkan tentang soal nikah kahwin,
pembahagian pusaka (faraid), hal yang berkaitan dengan muamalah seperti
urusan jual beli dan sebagainya juga dilaksanakan menurut sistem Islam. 17
c. Aspek Pendidikan dan Keilmuan
Mengenai sistem pendidikan dan ilmu pengetahuan ternyata agama Islam
telah membawa beberapa perubahan dan pembaharuan kepada peradaban
Melayu. Oleh sebab agama Islam menerima naungan daripada istana raja-raja
Melayu, maka istana telah dijadikan pusat kegiatan dan penyebaran ilmu
16 Abdullah Ishak (1990), Islam Di Nusantara, hlm. 131-132.17 Dasuki Haji Ahmad (1986), Ikhtisar Perkembangan Islam, hlm. 541-542.
8
pengetahuan. Begitulah halnya yang berlaku di Melaka, bermula daripada
sultannya yang pertama sehingga sultan yang terakhir sebelum tahun 1511M
mengambil berat tentang perkembangan pelajaran dan pendidikan Islam.18
Pernah diceritakan Sultan Mahmud Shah pernah mengunjungi rumah maulana
Yusuf untuk mempelajari kitab ”Maklumat”, di samping belajar dengan maulana
Sadar Johan.19
Institusi-institusi pendidikan sama ada rasmi atau tidak rasmi seperti
pendidikan di peringkat madrasah, pondok atau pesantren, masjid dan surau
telah wujud. Ini menunjukkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira
kedudukan sosial berpeluang untuk mendapat dan mempelajari ilmu
pengetahuan terutama mengenai ajaran Islam. Kesannya, ramailah masyarakat
Melayu yang celik huruf berbanding sebelum kedatangan Islam di mana ilmu
pengetahuan hanya dipelajari oleh golongan istana sahaja. Kesan lain ialah
muncullah golongan intelektual terutama alim ulama di beberapa pusat tamadun
Melayu Islam dengan karya-karya utama mereka terutama karya-karya
berbentuk keagamaan yang disampaikan dalam bentuk persuratan yang
dinamakan sastera kitab.20
Ulama dalam bidang agama ini tidak hanya berperanan sebagai guru
agama, pengarang kitab-kitab dan penasihat raja-raja malah turut berjihad
18 Abdullah Ishak (1990), Islam Di Nusantara, hlm. 141.19 Abdul Rahman Abdullah (2000), Sejarah Dan Tamadun Asia Tenggara: Sebelum dan Sesudah Pengaruh Islam, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors, hlm. 402.20 Hashim Musa, ”Konsep, Latar Belakang dan Pandangan Semesta Masyarakat Melayu”, dalam Tamadun Islam dan Tamadun Asia (2004), hlm. 168.
9
sebagai pahlawan di medan perang. Oleh itu, golongan ini sentiasa mendapat
penghormatan yang tinggi di kalangan masyarakat dan juga pemerintah.21
Kedatangan Islam secara tidak langsung telah mengangkat martabat
bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa ilmu pengetahuan dan penyebaran
dakwah di Alam Melayu dan dianggap sebagai Lingua-Franca di rantau ini.
Justeru itu, Islam dikatakan bertanggungjawab mengasaskan sistem pendidikan
yang terawal di Alam Melayu.22
Selain itu, dengan kemasukan Islam juga telah menjadikan bahasa
Melayu daripada bahasa lisan kepada bahasa persuratan, apabila tulisan jawi
diperkenalkan, melalui pengajaran yang berasaskan kepada al-Quran. Secara
kebetulan huruf-huruf jawi yang diperkenalkan oleh tulisan Arab amat sesuai
sekali dengan cara bahasa Melayu dituturkan.23
Penglibatan pedagang dan mubaligh Islam dari Arab dalam usaha
menyebarkan Islam di Alam Melayu secara tidak langsung turut mempengaruhi
penggunaan istilah dan perkataan bahasa Arab dalam bahasa Melayu.
Penggunaan istilah dan perkataan tersebut bukan sahaja dapat dilihat pada
perkara yang berkaitan dengan akidah, syariah dan akhlak tetapi juga
merangkumi segala aspek kehidupan yang lain seperti perkataan sultan, ilmu,
kitab, masjid, hisab, alam, sedekah dan lain-lain yang dipinjam dari bahasa
21 Abdul Rahman Abdullah (2000), Sejarah Dan Tamadun Asia Tenggara, hlm. 404.22 Syed Naquib al-Attas, Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu., hlm. 41.23 Mustafa Hj. Daud (1987), Pengantar Tamadun Islam, Petaling Jaya: Media Indah , hlm. 118.
10
Arab.24 Hal ini tentunya memperkayakan lagi perbendaharaan bahasa Melayu
dan menjadi simbol kekuatan Islam menerusi bahasa.
d. Aspek Sosial
Walaupun tidak sepenuhnya unsur-unsur sosial Islam mempengaruhi
masyarakat Melayu, namun sudah terdapat nilai-nilai persamaan taraf antara
manusia, tidak wujud lagi sistem perhambaan dan amalan kasta25 sebagaimana
yang diamalkan sebelum kedatangan Islam. Sungguhpun masih kedapatan
perbezaan status antara golongan bangsawan dengan rakyat tetapi perbezaan
itu tidaklah begitu ketara.26
Islam mengajar anggota-anggota masyarakat Melayu mengeratkan
hubungan persaudaraan sesama Islam, bantu-membantu dan tolong-menolong.
Peraturan dan panduan hidup adalah berasaskan kepada agama Islam.27 Unsur-
unsur metafizik yang berkaitan dengan rukun iman dan perkara-perkara
sam’iyyat28 serta hukum syarak yang terdapat dalam ajaran Islam seperti wajib,
sunat, makruh, haram dan harus amat mempengaruhi pemikiran orang-orang
Melayu di mana segala kegiatan yang dilakukan semata-mata didorong untuk
mendapat keredhaan Allah s.w.t. Dalam kegiatan ekonomi misalnya, amalan 24 Dasuki bin Haji Ahmad (1986), Ikhtisar Perkembangan Islam, hlm. 544.25 Kasta diertikan sebagai lapisan masyarakat atau tingkatan golongan dalam masyarakat, lihat Kamus Dewan (1996), Edisi Ketiga, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka26 Abdullah Ishak (1990), Islam Di Nusantara, hlm. 133.27 Wan Abdul Kadir (1993), Analisis Sejarah Budaya Melayu, hlm. 39.28 Sam’iyyat ialah beriman dengan perkara-perkara ghaib seperti percaya adanya siksaan kubur selepas mati adalah perkara benar dan tetap akan berlaku kepada orang yang telah meninggal dunia.
11
riba, merampas dan penipuan dalam jual beli tidak lagi diizinkan. Bagi mendapat
keredhaan Allah s.w.t dan kepentingan umum, kekayaan yang diperolehi
hendaklah dikeluarkan zakat dan digalakkan berwakaf dan melakukan amal
jariah.29 Demikianlah pengaruh agama Islam dalam membentuk masyarakat dan
budaya Melayu yang lebih kukuh, yang belum pernah berlaku sebelum ini.
e. Aspek Kesenian
Pengaruh Islam dalam bidang kesenian meliputi pelbagai aspek, seperti
arkitektur, epigrafi, kaligrafi, seni ukir, seni logam dan sebagainya.30 Aspek
arkitektur atau seni bina dapat dilihat pada bangunan masjid, surau atau
madrasah, istana, rumah, kota dan sebagainya. Khusus tentang masjid yang
merupakan pusat ibadat umat Islam mempunyai beberapa ciri asasi pengaruh
kesenian Islam seperti bumbung kubah, mihrab dan mimbar, menara dan tulisan-
tulisan khat yang menghiasi dinding-dinding masjid.31
Epigrafi seperti prasasti atau batu bersurat dan batu-batu nisan
kebiasaannya terdapat tulisan-tulisan kalimah Arab dan potongan ayat-ayat al-
Quran serta angka-angka Arab. Batu nisan di Langgar Kedah misalnya terdapat
catatan kalimah Syahadah dengan tulisan khat kufi. Manakala prasasti di
Terengganu terdapat nasihat dan perintah bagi mentaati hukum-hukum syarak.32
29 Ibid., hlm. 134-135.30 Abdul Rahman Abdullah (2000), Sejarah Dan Tamadun Asia Tenggara, hlm. 390.31 Ibid., hlm. 391.32 Abdullah Ishak (1990), Islam Di Nusantara, hlm. 135.
12
Salah satu kesenian Islam yang terpenting ialah kaligrafi atau seni khat
Islam. Seni khat Islam ini dapat dilihat pada bangunan-bangunan masjid, batu
nisan atau batu bersurat, di samping tertulis pada benda-benda lain seperti
tembikar, mata wang, pakaian dan lain-lainnya.33
Adapun tentang seni logam, antara jenis-jenisnya ialah mata wang dan
senjata-senjata. Tentang mata wang, ianya menonjolkan nilai Islam dalamnya,
dengan menekankan sifat keadilan kepada raja-raja. Demikan juga pada senjata
keris, dari segi fungsi dan motif-motif ragam hias khususnya daripada ayat-ayat
al-Quran yang terukir pada hampir keseluruhan senjata ini yang mempunyai nilai
estetika yang tinggi.34
4. Islam Semasa Penjajahan Inggeris
Inggeris atau British adalah penjajah Tanah Melayu paling lama iaitu
bermula mengambil alih Tanah Melayu daripada penguasaan pihak Belanda
menerusi Perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824 sehingga mencapai
kemerdekaan pada tahun 1957. Pada peringkat awal penjajahan, dasar pihak
Inggeris ialah tidak mahu mencampuri urusan yang berkaitan agama Islam dan
adat istiadat Melayu. Bagi pentadbir British, agama Islam yang telah sebati
dalam kebudayaan orang-orang Melayu bukanlah satu ancaman. Jika
33 Abdul Rahman Abdullah (2000), Sejarah Dan Tamadun Asia Tenggara, hlm. 394.34 Ibid, hlm. 395.
13
mencampuri urusan agama seperti mengembangkan agama Kristian mungkin
akan mencetuskan ketegangan yang boleh mendatangkan masalah besar
kepada kepentingan ekonomi mereka. Oleh yang demikian mereka meletakkan
urusan yang berkaitan dengan hal-hal agama di bawah kuasa sultan sebagai
penaung.35
Menurut Muhammad Redzuan Othman, perluasan penjajahan British ke
atas Tanah Melayu ternyata tidak banyak mengubah amalan Islam dalam
kalangan orang Melayu, malah komitmen mereka terhadap agama pula tidak
pernah terjejas pada bila-bila masa.36 Namun begitu, penyerapan pengaruh
Barat tetap berlaku apabila Inggeris campurtangan dalam urusan pentadbiran
dan undang-undang kerajaan Melayu sehingga menghakis sedikit demi sedikit
pengaruh Islam. Seperti yang diungkapkan oleh Ahmad Ibrahim;
“Walaupun ada fasal yang menyatakan bahawa Raja-raja Melayu bersetuju menerima semua nasihat British kecuali dalam hal-ehwal mengenai agama Islam dan adat istiadat Melayu namun British sama ada secara langsung atau tidak langsung telah campurtangan dalam hal-ehwal agama dan pentadbiran. British secara tidak langsung telah membawa masuk undang-undang Inggeris menggantikan sebahagian besar pemakaian undang-undang Islam dan adat Melayu”.37
Menurut Ahmad Ibrahim lagi dengan memetik kenyataan R.J Wilkinson, tidak
boleh diragui lagi bahawa undang-undang Islam akan menjadi undang-undang
Tanah Melayu sekiranya undang-undang British tidak masuk dan menahannya.38
35 Mohammad Redzuan Othman (2005), Islam Dan Masyarakat Melayu, hlm. 17.36 Ibid., hlm. 23.37 Ahmad Mohamad Ibrahim (1986), Sistem Undang-undang Di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 49.38 Ibid.
14
Ekoran campurtangan Inggeris dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu
dengan memperkenalkan undang-undang Inggeris sehingga mengenepikan
sebahagian besar undang-undang Islam telah membangkitkan kemarahan di
kalangan orang-orang Melayu terutama dari golongan nasionalis Melayu dan
juga golongan ulama’. Namun semua gerakan penentangan ini dapat dipatahkan
oleh pihak penjajah. 39
Sungguhpun gerakan penentangan ini dapat dipatahkan, namun sedikit
sebanyak membuatkan pihak Inggeris mempertimbangkan kedudukan undang-
undang Islam dengan bertindak mengubah struktur pentadbiran agama Islam
dan undang-undang Mahkamah Syariah yang sedia wujud di samping
menubuhkan Majlis Agama Islam serta menggubal undang-undang untuk
dilaksanakan di mahkamah tersebut.40
Menurut Kassim Thukiman, pada zaman penjajahan Barat, Islam tidak
memberi kesan ke atas sistem politik masyarakat Melayu dan hanya dijadikan
sebagai agama rasmi di setiap negeri Melayu. Perkembangan agama Islam juga
semakin merosot dan terhad pemakaiannya. Ini kerana kerajaan British telah
menginstitusikan bidang agama menyebabkan ia menjadi sangat birokratik.41
Akibat campurtangan Inggeris, aspek-aspek lain turut terjejas seperti
ekonomi, pendidikan dan budaya. Proses modenisasi yang menjurus kepada
39 Abdullah Ishak (1990), Islam Di Nusantara, hlm. 201.40 Ibid., hlm. 202.41 Kassim Thukiman (2002), Malaysia: Perspektif, Sejarah Dan Politik, hlm. 48.
15
mementingkan kemajuan kebendaan yang dilakukan oleh pihak Inggeris dalam
pelbagai aspek ini telah mempengaruhi cara hidup masyarakat Melayu.
Kesannya, berlakulah suatu pemisahan dalam cara hidup di mana Islam hanya
pada ibadah ritual sahaja. Ini bermakna Inggeris berjaya menerapkan budaya
sekular dalam sistem pentadbiran dan kehidupan masyarakat Melayu. Di bidang
ekonomi misalnya, pihak Inggeris telah memperkenalkan sistem kapitalis yang
menekankan aspek kebendaan bukannya aspek spiritual sebagaimana dalam
Islam. Pengaruh kapitalis ini mula tersebar di bandar-bandar moden di negara ini
kerana ia merupakan ukuran kemajuan Barat.42 Oleh itu, untuk mencapai
kemajuan seperti kemajuan orang-orang Barat masing-masing berusaha
mengejar kebendaan atau material.
Begitu juga dalam sistem pendidikan di mana sistem pendidikan sekular
mengambil-alih sistem pendidikan tradisional. Stamford Raffles dikatakan
pelopor sistem pendidikan sekular ini, kerana dialah yang mula-mula
menganjurkan supaya pelajaran bahasa Melayu diasingkan dari dasar pelajaran
al-Quran.43 Sistem pendidikan Inggeris ini secara halus mula menanam sikap,
nilai dan wolrdview Barat kepada murid-murid tempatan. Barat menyalurkan
nilai-nilai Barat dan melakukan proses modenisasi atau pembaratan menerusi
sistem pendidikan. Akibatnya lahirlah golongan yang cenderong kepada budaya
Barat apatah lagi dari segi psikologinya kedudukan orang Inggeris pada waktu
dipandang tinggi. Ini kerana kemajuan yang dicapai oleh Barat dari aspek luaran
42 Wan Abdul Kadir (1993), Analisis Sejarah Budaya Melayu, hlm. 48.43 Abdul Rahman Haji Abdullah (1984), Sejarah Dan Pemikiran Islam, Damansara Utama: Penerbitan Pena, hlm. 357.
16
seperti teknologi, sains dan ilmu pengetahuan dengan sendirinya meletakkan
kedudukan orang-orang Barat di atas.44
Pengaruh budaya Barat juga disebarkan melalui penayangan filem-filem
Barat yang ternyata mendapat sambutan di kalangan muda-mudi Islam sehingga
mengabaikan amalan cara hidup Islam. Perlakuan, pakaian, fesyen dan
seumpamanya yang ditonjolkan menerusi filem-filem Barat selalu menjadi ikutan
orang-orang muda yang kebiasaannya mendapat tentangan dari golongan tua.
Ini kerana nilai-nilai dalam budaya Barat itu bertentangan dengan nilai-nilai
tradisi dan agama Islam.45
Menurut Haji Dasuki Haji Ahmad, sekurang-sekurangnya dua kesan
ditinggalkan oleh penjajah; pertamanya, melemahkan pengaruh Islam di Tanah
Melayu di mana kedatangan penjajah Barat dan penerapan kebudayaan Barat
serta kemajuan Barat dalam bidang sains dan teknologi telah menambah
kemerosotan pengaruh Islam. Keduanya, memundurkan kehidupan orang Islam
akibat penguasaan ekonomi tempatan oleh penjajah Barat di samping
pembangunan yang dibawa oleh penjajah tidak memberi faedah kepada orang-
orang Melayu.46
44 Abdul Rahman Abdullah (2000), Sejarah Dan Tamadun Asia Tenggara, hlm. 49.45 Ibid., hlm. 50-51.46 Dasuki Haji Ahmad (1980), Ikhtisar Perkembangan Islam, hlm. 16-17.
17
5. Kesimpulan
Kedatangan Islam ke Tanah Melayu jelas telah membawa pengaruh yang
cukup besar kepada masyarakat Melayu. Islam yang tersebar ke seluruh Tanah
Melayu melalui beberapa faktor telah berjaya merubah kepercayaan, pemikiran
dan cara hidup orang-orang Melayu sehingga membentuk satu peradaban
Melayu yang berbeza dengan sebelumnya. Pengaruh Islam ini terus
berkembang dengan baik dalam tempoh yang agak lama.
Namun begitu pengaruh Islam telah terjejas apabila pihak Barat datang
menjajah terutama penjajah British atau Inggeris yang telah berjaya mencampuri
urusan hal-ehwal orang-orang Melayu dengan memperkenalkan dasar-dasar
Barat menerusi sistem Residen. Akibatnya nilai-nilai tradisi dan agama Islam
yang mewarnai politik, perundangan, ekonomi dan pendidikan dalam masyarakat
Melayu semakin terhakis dan terpisah.
Walaupun penjajahan Inggeris telah menjejaskan pengaruh Islam dan
membantutkan perkembangannya dalam pelbagai aspek, namun dari aspek
kepercayaan dan pegangan akidah orang-orang Melayu tidak terjejas dan tetap
dipertahankan. Akidah Islam yang sudah tertanam dalam diri dan sebati dengan
jiwa orang Melayu sejak sekian lama telah membangkitkan kesedaran dan
semangat di kalangan mereka untuk berjuang menentang penjajahan Barat ini
sehinggalah membawa kepada kemerdekaan tanahair pada tahun 1957.
18
Selepas mencapai kemerdekaan, pengaruh dan perkembangan Islam kembali
mewarnai peradaban Malaysia.
19
Rujukan
Abdul Rahman Haji Abdullah (1984), Sejarah Dan Pemikiran Islam, Damansara Utama: Penerbitan Pena.
___________________ (2000), Sejarah Dan Tamadun Asia Tenggara: Sebelum dan Sesudah Pengaruh Islam, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.
Abdullah Ishak (1990), Islam Di Nusantara (Khususnya Di Tanah Melayu), Petaling Jaya: Al-Rahmaniah.
Ahmad Mohamad Ibrahim (1986), Sistem Undang-undang Di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dasuki Haji Ahmad (1986), Ikhtisar Perkembangan Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Hashim Musa, ”Konsep, Latar Belakang dan Pandangan Semesta Masyarakat Melayu”, dalam Tamadun Islam Dan Tamadun Asia (2004), Cetakan ke Empat, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Kamus Dewan (1996), Edisi Ketiga, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kassim Thukiman (2002), Malaysia: Perspektif, Sejarah Dan Politik, Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
Mahayudin Haji Yahaya (1998), Islam Di Alam Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Muhammad Zaki Badawi (1962), Latarbelakang Kebudayaan Penduduk-penduduk di Tanah Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka .
Mustafa Hj. Daud (1987), Pengantar Tamadun Islam, Petaling Jaya: Media Indah.
Syed Muhammad Naquib al-Attas (1972), Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Wan Abdul Kadir (1992), Pembinaan Tradisi Dan Budaya Ekspresif: Budaya Melayu, Petaling Jaya: Masfami Enterprise.
20
_______________ (1993), Analisis Sejarah Budaya Melayu, Kota Bharu: Masfami Enterprise.
Wan Abdullah bin Hj. Wan Mahmood (1997), Tamadun Islam Dan Tamadun Alam Melayu Serta Sumbangannya kepada Dunia, Shah Alam: Pusat Pendidikan Islam ITM.
21